Sabtu, 4 Disember 2010

SAPE PUN JADI KERAJAAN...KENA2 HATI2...RAKYAT SEKARANG SUDAH CERDIK...RAKYAT TAHU YANG PENIPU...BERPURA2....DAN MEMENTINGKAN DIRI DAN KRONI2

Sudahkan Mahathir masuk Umno semula?
Subky Latif

TUN Dr. Mahathir ketika berucap di Kemaman menyeru sekalian ahli Umno yang menubuhkan PKR membubarkan parti itu dan kembali semula ke pangkuan Umno serta bertaubat kerana telah memecahkan perpaduan orang Melayu/Islam.

Sebelum bekas ahli Umno dalam PKR itu kembali kepada Umno, mereka perlu tanya apakah Dr. Mahathir sendiri sudahkah menyertai Umno semula?

Orang-orang Umno PKR itu keluar Umno kerana membantah konspirasi Dr. Mahathir memecat Anwar Ibrahim sebagai ahli Umno dan Timbalan Perdana Menteri. Mereka merasa dia dizalimi dan parti yang zalim saja logiknya sanggup memecat ahli dan pimpinan secara zalim. Mereka keluar parti dan membentuk PKR atas kezaliman Umno.

Tetapi Dr. Mahathir keluar Umno atas alasan apa?

Semata-mata kerana tidak setuju dengan pimpinan Tun Abdullah Badawi. Ramai juga yang lain tidak senang dengan pimpinan Abdullah tetapi mereka tidak keluar Umno.

Ribuan orang Umno menyokong isteri Anwar menubuhkan PKR. Hanya beberapa orang mengikut Mahathir keluar Umno termasuk penyokong setianya Tan Sri Sanusi Joned. Anak-anak Dr. Mahathir pun tak ikut ayahnya.

Sehingga ini saya tidak ingat dia sudah kembali semula kepada Umno. Ada usaha Muhyiddin Yassin sebelum menggulingkan Abdullah dulu untuk membawanya kembali kepada Umno, tetapi selepas itu tidak kedengaran apa-apa.

Yang kesiannya beberapa orang pak turutnya sahaja yang keluar Umno. Dan bagaimana mereka akan kembali semula ditakdirkan Dr. Mahathir masuk semula Umno dan taubat? Lebih kesian Tan Sri Sanusi. Kerana terlalu fanatik dengan Dr. Mahathir lalu ikut sama keluar Umno. Akibatnya gugur jawatannya sebagai Reaktor UIA.

Tetapi bolehkah bekas ahli Umno bubarkan PKR? Ia bukan ditubuhkan oleh penyokong Umno saja. Ia ditubuh bersama oleh Tian Chua, Elizabeth Wong, Sivaraa, Dr. Xavier dan kemudian diperkukuh pula oleh penyertaan Dr. Syed Husin Ali dan penyokong-penyokong dari PRM

PKR bukan seperti Parti Melayu Semangat 46 ditubuhkan oleh orang Umno belaka. Bila bekas ahli Umno rasa mereka patut bersatu semula dengan Umno, maka mereka mudah bubarkan Parti S46.

Kalau PKR dibubarkan, ke mana hendak dilemparkan ahlinya yang tidak pernah menyertai Umno seperti Lateefa Koya, Badrul Amin dan Fuaziah Salleh? Apakah mahu suruh mereka menyrtai PAS sebagai ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS atau DAP?

Dan apakah Dr. Mahathir fikir Dr. Syed Husin Ali akan ikut Dr. Wan Azizah menyertai Umno?

Orang Melayu berada dalam parti yang berbeza kerana mereka percaya kepada demokrasi. Tunku Abdul Rahman Putra berpendapat, orang Melayu menyertai berbagai parti bukan bukti mereka berpecah kerana amalan demokrasi membenarkan masing-masing berbuat demikian.

Jika orang Melayu berada dalam parti yang berbeda dikira perpecahan, maka mengapa Dr. Mahathir usahakan penyingkiran PAS dari Barisan Nasional sedang perpaduan orang Melayu melalui Barisan Nasional adalah paling ketara hingga Pilihan Raya Umum 1974 mencatitkan begitu banyak kerusi dimenangi BN tanpa bertanding?

Jika kewujudan Umno dan PAS dikira punca perpecahan orang Melayu, mengapa penyatuan kedua parti itu dalam BN dipecahkan oleh Dr. Mahathir?

Kalau berjuta penyokong Umno itu bersetuju orang Melayu mesti berada dalam satu parti, maka pendekatan melalui BN yang dipelopori Tun Razak dulu adalah formula terbaik bagi penyatuan itu. Kalau Umno boleh bersetuju Perikatan ditukar kepada BN, maka Umno tentu boleh menerima apa jua nama jika penyokong Umno dan penyokong PAS boleh disatukan.

Jika Umno mengira adalah yang terbaik, mengapa Umno tidak singkirkan Tun Hussein Onn dan Dr. Mahathir yang menjadi pemecah penyatuan Melayu yang amat sukar dicapai oleh Tun Razak itu?

Selepas Dr. Mahathir berpuas hati dapat menyingkirkan Anwar dari Umno dan kerajaan, maka dia tidak sedar konspirasinya itu memecahkan Umno, dan kewujudan Pakatan Rakyat mula mengancam Umno dan BN, maka menyalahkan pementukan PKR konon memecahkan orang Melayu.

Dia suruh PKR dibubarkan bagi kembali ke pangkuan Umno semula. Apakah dalam pekej itu termasuk Anwar sekali? Dia tidak sebutkan Anwar mesti dikecualikan.

Anwar pun tak kebulur dan begitu juga PKR. Apakah ia tanda Mahathir menyesal dengan konspirasinya dulu? Kalau dia menyesali, dialah yang wajar bertaubat, bukan PKR yang perlu bertaubat.

Jika dia menyesali akan perpecahan Melayu itu, apakah dia mengaku silap memecat Anwar dan menyingkirkan PAS dari BN dulu?


Kerajaan negeri mahu beli Penang Port
Mohd Sabri Said

GEORGETOWN, 4 Dis: Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhasrat membeli dan mengambil alihan Penang Port Sdn Bhd selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa setiap penswastaan utama dan penganugerahan projek akan dilaksanakan dengan telus dan terbuka menerusi tender antarabangsa untuk memaksimumkan hasil.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menerusi surat yang dikirimkan kepada Najib pada 2 Disember lepas juga berharap satu perbincangan diadakan dan beliau sendiri akan membentangkan cadangan kerajaan negeri tentang struktur, strategi dan mekanisma rancangan untuk kemajuan Penang Port.

"Kerajaan negeri berhasrat membeli Penang Port menerusi tender terbuka sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan setelah menerima kertas cadangan dari pihak swasta untuk mengambi alih dan membeli Penang Port.

“Jika Kerajaan Negeri dapat menguasainya pasti pertumbuhan ekonomi di bahagian utara yang merupakan penyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta hasil cukai negara boleh dipertingkatkan," ujarnya.

Pelabuhan yang berdaya saing tambahnya, memerlukan penambahbaikan seperti logistik dan perkhidmatan pelabuhan sebagai sebuah hab untuk Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Sumetera Utara dan selatan Thailand.

Beliau bertekad akan membawa masuk rakan kongsi teknologi asing dan tempatan bagi mengendalikan pelabuhan berkenaan dan kemudahannya ke tahap antarabangsa.

Bukan itu sahaja, malahan kerajaan negeri bercadang mewujudkan satu Lembaga Penasihat terdiri dari tokoh termuka dari Malaysia dan antarabangsa yang berpengalaman luas dalam bidang pelaburan, keupayaan dan berkelayakan bagi pengurusan pelabuhan.

"Untuk menseimbangkan Lembaga Penasihat yang akan diketuai oleh Najib sendiri satu kaedah baru akan diguna pakai sebagai tatacara urustadbir yang bertaraf antarabangsa selaras dengan prinsip CAT iaitu Cekap, Akautabiliti dan Telus," tegas beliau.

Lim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Putih berharap jika sekiranya kerajaan negeri dapat memilikinya penjanaan ekonomi negeri akan melonjak ke arah yang lebih mapan dalam jangka sederhana dan panjang.

Sekaligus, katanya memberi kelebihan kepada kerajaan negeri menyalurkan semula kepada pembangunan strategik dan projek sosial bagi tujuan menambah baik kehidupan rakyat Pulau Pinang


Elak berpolemik, tunggu 12 Disember - PAS

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 4 Dis: PAS meminta semua pemimpinnya agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan sebarang polemik sehinggalah ia dibincangkan dalam mesyuarat mereka 12 Disember nanti.

“Saya meminta semua para pemimpin tertinggi parti tidak membuat sebarang kenyataan yang dimainkan oleh media sekarang ini sehingga menimbulkan terus polemik kerana ia akan dibincangkan terlebih dahulu dalam mesyuarat kita 12 Disember ini,” kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali (gambar).

Dalam kenyataan dua perenggan kepada Harakahdaily itu, Mustafa bimbang kalau-kalau ia terus menyusahkan PAS dan Pakatan Rakyat kerana ia memang menjadi tujuan pihak-pihak dan media-media berkenaan untuk melagakan mereka.

Tambahan pula pilihan raya umum nampaknya semakin dekat dan konvensyen kedua Pakatan Rakyat akan diadakan 19 Disember ini di Pulau Pinang.

Ada di kalangan pemimpin Pakatan bimbang kalau-kalau konvensyen ini menjadi medan serang menyerang antara mereka bukan mempersiapkan Pakatan untuk menghadapi pilihan raya.

Sejak kebelakangan ini, media-media tertentu mula memainkan kembali isu sensitif yang melibatkan hubungan antara PAS dan lain-lain parti dalam Pakatan Rakyat.

Sesetengah pihak pula melihat, ia berlaku kerana sikap sesetengah pemimpin PAS yang terus melayan isu berkenaan apabila dipancing oleh media.

Antara isu panas sejak akhir-akhir ini adalah isu timbalan perdana menteri dan isu negara Islam dan hukum hudud.

Berdasarkan kenyataan Mustafa itu, PAS akan membincangkannya dalam mesyuarat mereka 12 Disember ini dan beliau berharap sehinggalah ia diputuskan, tidak ada mana-mana pemimpinnya memberikan pendapat di mana-mana media mengenainya.

“Tunggulah sehingga kita mesyuarat dan bincangkan isu ini terlebih dahulu,” katanya.



5000 peneroka saman Felda sedang dipersiapkan
Hafiz Baqi

KEMAMAN, 4 Dis: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) hanya menunggu beberapa minggu sahaja lagi untuk membawa sekurang-kurangnya 5000 peneroka ke mahkamah untuk menyaman Felda atas dakwaan melakukan penipuan.

Pengerusinya, Mazlan Aliman berkata, setakat ini 4000 peneroka sudah menyatakan kesanggupan untuk mengambil tindakan itu sekiranya diminta berbuat demikan.

"Ia bergantung kepada dua tuntutan kita kepada kerajaaan sehingga akhir Disember ini, kalau (kerajaan) masih tidak layan saman akan bermula," katanya yang mengakui telah menyediakan 30 peguam untuk menguruskan saman tersebut.

Kata Mazlan, dua tuntutan pihaknya kepada peneroka ialah pembayaran wang tanam semula kepada lebih 10 ribu peneroka yang masih belum diserahkan dan pengredan buah kelapa sawit dinaikkan kepada 23 peratus daripada 19 peratus mengikut piawaian sebenar.

Anak ketika ini terus menjalankan kaji selidik untuk mendapatkan jumlah semaksimanya peneroka yang masih belum dapat bayaran tanam semula daripada kerajaaan melalui pengedaran borang-borang kaji selidik ke seluruh negara untuk memastikan nama mereka tidak ketinggalan mendapat bayaran tanam semula.

"Mahkamah telah memutuskan kerajaan perlu bayar RM1700 seekar kepada peneroka untuk tanam semula, ini yang kita tuntut supaya kerajaan tunaikan kerana masih ramai (peneroka) belum dapat," katanya.

Begitu juga kata Mazlan dengan pengredan buah kelapa sawit, berdasarkan kes di Tanah Merah Kelantan terbukti berlaku manipulasi kepada harga perahan sawit yang merugikan peneroka.

Dalam kes tersebut, 14 peneroka Sungai Kemahang memenangi samannya ke atas Felda dan mendapat bayaran pampasan.

"Masalahnya sekarang kilang-kilang Felda masih melakukan perkara sama (pengredan perahan sawit) iaitu 19 peratus," kata Mazlan yang mendakwa telah membuat tinjauan ke beberapa kilang sawit Felda baru-baru ini.

"Maknanya walaupun selepas kes di Kemahang itu mereka tidak belajar apa-apa malah terus menipu peneroka," tambah Mazlan.

Ditanya tindakan saman itu boleh menjejaskan imej Felda dan seterusnya membentuk gambaran buruk kepada negara di mata dunia, Mazlan berkata beliau tidak boleh buat apa-apa kerana telah melakukan perundingan dan diplomasi.

"Saman ini adalah langkah seterusnya..apabila rundingan kita gagal dan tuntutan tidak dipenuhi, sekarang kita sedang tunggu respon kerajaan" ujarnya.

Dalam masa yang sama kata Mazlan, saman itu juga bakal membuka medan baru perjuangan Anak kerana mereka juga akan membuat semakan mahkamah berhubung bidang kuasa sebenar Felda berdasarkan Akta GSA 1960 (Group Settlement Act).

"Kita yakin banyak pelangaran dan salah guna kuasa dilakukan oleh Felda jika dirujuk kepada akta ini," ujarnya lagi ketika di program Himpunan Kebangkitan Rakyat Tertindas (Bangkit) anjuran Lujnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat di jalan Air Putih dekat sini.

Himpunan yang disertai kebanyakan peneroka felda itu telah dirasmikan oleh Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa.

Sebanyak dua kertas kerja dan dua slot khas mengenai masalah tanah dan peneroka Felda turut diadakan sepanjang himpunan tersebut sebelum ditutup dengan ceramah perdana oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi PKR Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman.

Bawa marhaen ke jalan raya

Dalam pada itu, Mazlan juga tidak menolak untuk mengambil tindakan lebih keras dalam menuntut hak dan keadilan ke atas rakyat tertindas iaitu membawa mereka turun ke jalan raya.

Malah kata Mazlan, pendekatan itu ada dalam perbincangan pihaknya dan sebelum pilihan raya umum adalah waktu sesuai untuk melakukannya.

"Kita jangkakan sekitar bulan April ini, kalau suara kita melalui diplomasi tidak diberi perhatian" katanya.

Kata Mazlan, perarakan itu untuk menghantar memorandum kepada Raja-Raja khasnya Yang DiPertuan Agong.

"(Jika dibuat) Ia secara besar-besaran, melibatkan rakyat daripada Sabah dan Serawak, Ngo-ngo dan parti-parti politik.

"Apa yang kita mahu sampaikan, isu tanah ini perkara serius dan besar kepada rakyat. Bayangkan, ketika himpunan Anak di Sabah, ada orang datang dari jauh, tujuh hingga lapan jam perjalanan untuk menemui Anak, kerana apa? kerana rumah mereka sedang dimusnahkan, ada yang dibakar dan tanah mereka dirampas," kata Mazlan



Gantung Anwar tambah sokongan - Nasharudin
Hafiz Baqi

KEMAMAN, 4 Dis: Pengantungan ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat akan menambahkan lagi sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat (PR), kata Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa.

Beliau menegaskan tindakan itu tidak sekali-kali akan menjadikan PR lemah.

(Gambar: Nasharuddin dan Mazlan melakukan gimik sempena perasmian program Himpunan Kebangkitan Rakyat Tertindas (Bangkit)

Mengulas perkembangan tersebut selepas merasmikan program Himpunan Kebangkitan Rakyat Tertindas (Bangkit) dekat sini, Nasharuddin berkata tindakan mengantung Anwar bakal menambah kemarahan rakyat yang akan melihat ruang demokrasi negara semakin menuju kehancuran.

Kata beliau, rakyat sedang melihat bagaimana tekanan dilakukan kepada media, sekatan ceramah dan larangan berhimpun di premis sendiri dan kali ini (rakyat) sedang menyaksikan sebuah institusi yang dikatakan kebal menyuarakan apa sahaja (Parlimen) oleh ahlinya turut dicabul ruang kebebasannya.

"Dalam Dewan Rakyat hanya dua perkara sahaja yang tidak boleh dibincangkan iaitu isu berkaitan Raja-Raja dan kes yang sedang dibicarakan di Mahkamah. Perkara-perkara lain bebas untuk dibangkit atau dipersoal oleh ahli-ahli dewan termasuk perkata yang dibangkitkan oleh Anwar itu," katanya.

Tindakan mengantung Anwar dikatakan berkaitan dengan isu pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membayar sebuah firma perunding yang didakwa mempunyai hubungan dengan Yahudi iaitu Apco Worldwide melebihi RM70 juta.

Isu pembabitan apa yang didakwa sebagai anasir Yuhudi dalam pentadbiran kerajaan pernah menjadi perdebatan hangat dalam negara sebelum ini termasuk mengaitkannya dengan idea konsep 1Malaysia selain dikatakan telah meresap dalam Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Kata Nasharuddin, Anwar mungkin akan digantung dari menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan.

Anwar dalam kenyataanya sebelum ini mengakui keputusan tersebut berkaitan dengan isu Apco yang sepatutnya dibuat oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen yang memerlukan beliau dipanggil untuk memberi keterangan dan membela diri.

Bagaimanapun Anwar mendakwa beliau tidak pula dipanggil untuk memberikan keterangan yang lebih jelas. Begitu juga dengan usul yang dikemukakan oleh beliau untuk membincangkan perkara itu secara khusus sering ditolak oleh Dewan Rakyat.

Felda labor RM23 juta setahun dalam Lim Kok Wing

Sementara itu, ketika berucap merasmikan Bangkit, Nasharuddin berkata kerajaan mengakui Felda melabur sebanyak RM23 juta setahun dalam sebuah pusat pengajian tinggi swasta iaitu Lim Kok Wing untuk membawa anak-anak peneroka belajar di situ.

Mengulas lanjut, Timbalan Presiden PAS itu berkata, kenyataan itu merupakan sata fakta jelas pemimpin Umno yang menerajui negara sebenarnya hipokrik tentang ketuanan Melayu yang dilaung-laungkan.

Katanya, bukan sahaja biasiswa kepada bumiputra ditarik balik, bahasa Melayu dikhianati, membantu pusat pengajian tinggi swasta milik orang Melayu pun mereka (pemimpin Umno) tidak berminat.

"Saya bukan bermasalah dengan Lim Kok Wing, tetapi kalau betul Umno memperjuangkan Melayu kenapa sebuah agensi seperti Felda itu tidak dibawa melabur ke IPT swasta milik orang Melayu, sedangkan seperti kita sedia maklum ada IPTS milik orang Melayu yang daif dan memerlukan suntikan modal," kata beliau.

Malah tambahnya, dengan jumlah sebanyak RM23 juta setahun itu Felda sendiri mampu menubuhkan sebuah IPT miliknya kerana ia sangat mencukupi.

"Soalnya kenapa mereka tidak berbuat demikian? kerana inilah caranya golongan ini mengaut keuntungan dan kekayaan untuk diri sendiri dan kroni," ujarnya.

Sambutan hangat

Program Bangkit yang diadakan sepanjang hari mendapat sambutan mengalakkan khususnya dari kalangan peneroka Felda, Felcra dan individu yang tanah dirampas oleh kerajaaan.

Sepanjang program, rata-rata ahli panel dan pemidato menyentuh masalah peserta tanah-tanah rancangan seperti peneroka Felda yang ditindas dan dinafikan haknya.

Sebanyak dua kertas kerja dibentangkan masing-masing oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ladang , Tengku Hassan Tengku Omar (Perampasan Tanah Rakyat, Suatu Pendedahan dan Tindakan Semasa) dan Peguam Aminuddin (Perjuangan Menuntuk Hak Peneroka Felda).

Slot khas turut diadakan untuk mendedahkan kepincangan pengurusan Felda oleh Pengerusi Alummni Bekas Kakitangan Felda, Khamis Saat yang menceritakan pengalamannya dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Felcra Lubuk Sireh, Perlis, Radzi Musthapa.

Majlis perasmian penutup disempurnakan oleh Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, manakala sebelah malan ceramah khas oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi PKR Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman.


Naik harga bukti ekonomi negara tenat
Rizal Tahir

KOTA BHARU, 4 Dis: Harga petrol dan diesel yang naik bermula hari ini masing-masing 5 sen untuk seliter, membuktikan ekonomi kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semakin tenat.

Sambil melahirkan rasa dukacita di atas perkara itu, Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut meminta kerajaan menarik balik slogan kerajaannya ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’, kerana kenaikan harga minyak termasuk gula tidak menggambarkan ciri-ciri itu.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui selepas merasmikan majlis khatam perdana Dun Chempaka di Pusat Tarbiah Islamiah (Putik), di sini hari ini.

Tuan Guru turut berkata, pengumuman projek yang bakal dilaksanakan rakyat hanya ‘gula-gula’ untuk bersiapan pilihan raya umum yang akan datang.

“Hakikatnya kerajaan tidak ada duit, tetapi untuk mencanangkan kepada rakyat seluruhnya mereka masih mampu, terpaksa mencanangkan projek itu dan projek ini.

“Apa yang pasti bila harga minyak naik, bukan setakat gas dan gula sahaa akan naik, sebaliknya barang-barang keperluan utama lain juga akan naik,” ujarnya.

Tambahnya, sekiranya harga gula naik, rakyat boleh dinasihati agar kurangkan menggunakan bahan berkenaan.

“Tetapi kalau harga minyak naik, apa kita nak tipu rakyat lagi? Bandingkan dengan kerajaan lain?, ianya tidak sama sebab kita pengeluar minyak,” ujarnya lagi.

Sambungnya, akibat kenaikan harga minyak juga, gejala sosial seperti merompak, mencuri semakin berleluasa kerana ingin mendapatkan dana dengan cara mudah bagi menampung keperluan harian.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat supaya menilai kemampuan kerajaan BN hari ini khususnya di bawah Najib yang semakin bermasaalah khususnya berkaitan ekonomi.

“Rakyat perlu menghukum kerajaan ini, khususnya pada pilihan raya umum nanti, itu saja caranya,”ujarnya.

Seramai 85 kanak-kanak mengikuti program khatam berkenaan. Sebanyak RM30 ditanggung oleh Dun Chempaka untuk seorang kanak-kanak, RM20 lagi ditanggung keluarga sendiri.

Beliau turut berkata, berkhatam mula diikuti oleh orang bukan Islam kini kerana mereka yakin ianya untuk kebersihaan

“Ini bererti Islam dah berjaya menunjukkan perkara yang betul hingga diikuti oleh bukan Islam,” ujarya lagi



Tarik subsidi kroni, bukan rakyat

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 4 Dis: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) terkejut dengan pengumuman kenaikan harga barangan asas pengguna yang menjadi permintaan harian rakyat iaitu petrol, gas, diesel dan gula.

Presidennya, Ahmad Syazwan Muhammad Hasan berkata, kenaikan berkuatkuasa hari ini akan menimbulkan reaksi yang kontradik kepada keputusan kerajaan tersebut.

Alasan yang digunakan ialah perlu pelarasan fiskal dalam perbelanjaan negara khususnya dalam mengurangkan perbelanjaan.

“Persoalannya kenapa subsidi syarikat kroni dalam IPP berjumlah RM19 bilion tidak dipotong?

“Kenapa mahu bina menara 100 tingkat yang kosnya mencacah RM5 bilion yang akhirnya rakyat tak dapat keuntungan darinya.

“Kenapa kos permulaan penubuhan Pemandu di bawah JPM berjumlah RM66 juta yang hanya diperolehi oleh orang-orang tertentu sahaja?” soalnya.

Sepatutnya, kata beliau pengurangan fiskal mesti dibuat dalam pentadbiran kerajaan, bukannya dengan tarik hak rakyat marhaen.

Ujarnya, mahasiswa merasakan alasan untuk mengurangkan subsidi bagi bahan keperluan asas rakyat ini sangat tidak masuk akal.

Soalnya, di mana slogan rakyat didahulukan yang dilaungkan sebelum daripada ini sekiranya perkara keperluan asas rakyat juga boleh diperdagangkan.

Tambahnya, soal yang lebih besar bila harga petrol dan diesel naik akan menyebabkan harga barangan lain akan naik secara lansungnya.

Katanya, itu sifar yang mudah dan sering berlaku.

Menurutnya, kenaikan harga komoditi ini tidak serentak dengan kenaikan pendapatan rakyat akan menyebabkan kos sara hidup dan beban rakyat akan bertambah.

“Kesan ini juga akan mengena kepada mahasiswa yang hanya mempunyai pinjaman PTPTN yang sedikit ditambah beban yang mahal akan lebih memerlukan lagi suasana,” katanya.

Sehubungan itu, katanya Gamis menyeru untuk kerajaan mengkaji semula berkaitan subsidi khususnya yang melibatkan kepentingan rakyat.

“Jangan kerana nak menjaga poket kroni, duit rakyat dikebas,” ujarnya.

Tambahnya, Gamis akan berusaha menyedarkan golongan muda bahawa duit mereka telah dirampas oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan seharusnya anak muda akan membuat perubahan pada pentadbiaran politik yang paranoid pada masa sekarang.

Menurutnya lagi, mahasiswa akan bersama turun pada demonstrasi rakyat Selangor, esok bersama dengan memorandum yang akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong berkaitan isu kenaikan harga barang ini.

Baginya, walaupun demostrasi ini telah diberikan amaran oleh pihak polis untuk tidak diadakan, namun mahasiswa rasa pihak polis kena fikirkan soal rakyat pula, bukan hanya melutut kepada arahan pemerintah semata-mata.

“Demonstrasi ini berada dalam keadaan aman jika pihak polis tidak buat kacau kerana rakyat turun dengan cara baik untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong yang menjadi payungan kepada rakyat,” ujarnya.


Demo air: Tuntut hak bukan galak jenayah
Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 4 Dis: Perhimpunan aman "Kembalikan Hak Air Kepada Rakyat" yang dirancang Kerajaan Selangor bukan mahu menggalakkan perbuatan jenayah, tetapi bagi menuntut hak rakyat.

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin menegaskan demikian sebagai menafikan dakwaan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah bahawa himpunan esok hanya "menggalakkan perbuatan jenayah" di kalangan masyarakat.

"Kebebasan mengadakan perhimpunan aman seperti yang termaktub mengikut Fasal 10, Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan atas dasar ini Kerajaan Negeri telah membuka ruang kepada rakyat untuk menyatakan sokongan mereka kepada usaha mengambilalih pengurusan air dari syarikat swasta yang nyata gagal membekal air bersih dengan harga yang berpatutan," katanya.

Merujuk kepada beberapa kes yang dianjur beberapa NGO sebelum ini, mahkamah memutuskan tidak salah bagi rakyat untuk berhimpun di masjid yang merupakan rumah ibadat bagi umat Islam.

Rakyat Selangor serta pimpinan negeri katanya hanya mahu mendapatkan perhatian Yang di-Pertuan Agong yang menjadi tempat rakyat mencari keadilan dan berlindung supaya hak rakyat tidak diketepikan dalam isu air apatah lagi dalam ketika hidup rakyat semakin perit dengan harga barangan asas yang meningkat.

"Tujuan ini jauh menyimpang dari anggapan Ketua Polis Kuala Lumpur.

"Bagaimanapun, Kerajaan Negeri berharap pihak polis akan mengambil sikap professional ketika memantau perhimpunan aman esok dan semua pemimpin yang hadir akan memberi kerjasama pihak berkuasa agar semua berjalan lancar," katanya lagi.

Kerajaan Negeri juga menyeru agar rakyat yang bersama kerajaan Negeri bertenang dan sentiasa bersikap rasional ketika menyertai perhimpunan aman tersebut esok.

Makluman juga telah dibuat kepada polis termasuk, Ketua Polis Kuala Lumpur, Pejabat polis Daerah Dang Wangi dan Brickfields, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Majlis Peguam Malaysia (Bar Council).

Tiada ulasan: