Jumaat, 2 November 2012

YANG JAHAT TERSERLAH...YANG BAIK JUGA TERSERLAH....KITA MERANCANG TAPI ALLAH DAH MENENTUKANNYA

DHPP: PAS beri ruang kaum India bersuara

Mohd Sabri Said, 02 Nov 2012
PERMATANG PAUH: PAS tidak pernah menyisihkan kaum India sejak dahulu malah memberikan mereka bersuara melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang diiktiraf duduk sama rata dengan dewan-dewan dalam PAS.
Demikian kata Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Datuk Saleh Man ketika berucap pada majlis sempena sambutan Deepavali 2012 di Pasar Awam, Penanti, Bukit Mertajam semalam.

PAS katanya, memberikan hak bersuara dan kaum lain boleh mengemukakan pandangan untuk mengukuhkan PAS sebagai salah sebuah parti gabungan dalam Pakatan Rakyat.

"PAS tetap mementingkan suara dan pandangan kaum India dan lain kaum dalam negara ini.  Justeru itu PAS menubuhkan DHPP supaya kehendak kaum lain juga akan diambil kira dalam pembangunan negara," tegasnya lagi.

Maka, ujarnya menjadi tanggungjawab kaum India untuk meneruskan sokongan kepada Pakatan Rakyat kerana dengan cara itu sahaja dapat menyelamatkan kaum India daripada dianaktirikan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Sepertimana janji Pakatan Rakyat sambungnya, kaum India yang miskin tetap dipelihara dengan sistem demokrasi dan menentang individu India yang rakus dan mementingkan diri sendiri.

Jelasnya, apabila PAS berjaya mewujudkan DHPP, Umnolah parti pertama yang bimbang pengaruh mereka merosot sekaligus menyukarkan bertahan di kerusi yang ditandingi calon MIC.

"DHPP memang digeruni oleh Umno maka BN sedang mencari kaedah yang membolehkan perpecahan dalaman dengan mempergunakan individu yang kecewa terhadap kebangkitan PAS," ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir.

AES: BN makin lemah dan nyanyuk, perlu ditukar

Harakahdaily, 02 Nov 2012
KUALA LUMPUR: PRU13 adalah pilihan terbaik buat rakyat menukar daripada kepimpinan tua BN yang terbukti gagal dan lemah kepada Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) yang menjadi harapan rakyat.


Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor (gambar) berkata, ini kerana projek Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sudah menjadi polemik dan bahan cemuhan rakyat.

Kali ini, ujarnya bukan setakat Pakatan Rakyat yang menentang, tetapi ia juga ditentang oleh Ahli Parlimen kerajaan.

“Semakin banyak suara yang bangkit menentang pelaksanaannya, kerana merasakan ia tidak wajar dibuat buat waktu ini.

“Paling tidak ada yang mendesak menangguhkan pelaksanaannya supaya ianya benar-benar difahami oleh segenap lapisan rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, AES nampak seperti cantik pada nawaitu tindakannya, iaitu untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya, juga untuk mendidik pengguna jalan raya agar lebih berdisiplin dengan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Namun, katanya ramai tidak berpuas hati dengan kaedah saman yang dilaksanakan terhadap pesalah jalan raya melalui kamera yang dipasang di tepi jalan raya.

“Timbul pula curiga bahawa pelaksanaan AES ini hanya untuk menguntungkan syarikat pengendalinya yang bakal mendapat habuan RM16 daripada setiap saman yang dikeluarkan," ujarnya.

Katanya, penolakan projek AES merupakan suatu tamparan hebat buat pemimpin BN dan AES menjadi suatu beban yang tertanggung kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak khususnya kepada Menteri Pengakutan Datuk Seri Kong Cho Ha.

Malah, ujarnya sudah ada suatu desakan yang meminta Menteri Pengangkutan tersebut meletakkan jawatan sekiranya projek ini benar-benar ditentang dan ditolak di Parlimen kelak.

“Apakah projek ini juga menjadi suatu mesej tersirat bahawa kepemimpinan Perdana Menteri turut tercabar?” soalnya.

Beliau berkata, ramai menganggap sikap terburu-buru kerajaan dalam mengengahkan sesuatu dasar itu tanpa berfikir panjang serta meminta pandangan rakyat akhirnya memakan diri.

Menurutnya lagi, sudah acap kali keputusan besar kerajaan dibantah oleh rakyat sehingga akhirnya ianya terpaksa ditarik balik setelah mendapat bantahan awam.

Soalnya, kata beliau mengapa kerajaan tidak membuat kajian terlebih dahulu atau mendapatkan pandangan rakyat terlebih dahulu sebelum sesuatu dasar itu dilaksanakan.

“Mengapa terlalu mudah kerajaan membuat sesuatu keputusan sebelum ianya diperhalusi dari segenap sudut?” katanya

Nampaknya, ujar Riduan AES akan menjadi satu lagi projek gagal kerajaan BN, ibarat orang tua yang semakin lemah dan nyanyuk, kerap kali tindakannya tersasar kerana lemahnya akal pemikiran serta daya ingatannya.

Justeru, tegasnya negara perlu diselamatkan segera dari pelbagai dasar gagal kerajaan BN.

Rahmat tersembunyi Operasi Lalang 1987

Ahmad Lutfi Othman, 02 Nov 2012
Dr Mahathir Mohamad sendiri mengakui dalam memoirnya, "Doktor Umum" (2012), bahawa Operasi Lalang, Oktober 1987 "menjadi titik hitam dalam sejarah pentadbiran Malaysia dan sepanjang tempoh saya menjadi Perdana Menteri".

Mahathir, yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu, turut menarik balik lesen penerbitan tiga akhbar berpengaruh, dalam tiga bahasa utama, The Star (muka depannya pada hari pertama tangkapan yang membawa kepada pengharamannya, simple tapi menarik dan mudah diingati), Sin Chew Jit Poh dan Watan, atas alasan menyemarakkan api perkauman (yang sebenarnya didalangi Umno-MCA). Serentak dengan itu, majlis ceramah politik tidak dibenarkan dan Malaysia bagaikan bertukar menjadi sebuah "negara polis".

Saya, yang baru memulakan kerjaya -- pada Mac 1987 -- sebagai pemberita Harakah (dan turut terbabit dalam edisi sulungnya)  di bawah tunjuk ajar tokoh wartawan tersohor, Subky Abd Latiff,  merasai sendiri situasi sulit cemas-takut sehingga setiap orang gelisah menjangkakan mereka juga boleh diserkup bila-bila masa. Mendengar nama-nama tahanan yang tidak begitu dikenali dicekup hari ke hari membuatkan hampir semua yang pernah "berseteru" dengan pemerintah gerun.

Bersama hampir 20 rakan serumah yang masih bujang di Kg Datuk Keramat, Kuala Lumpur, kami menanti khabar dengan penuh debar tahanan-tahanan baru yang bakal disumbat. Sepuluh hari sebelum  itu, pada 18 Oktober, kejadian amuk Prebet Adam menggunakan senjata M16 di Chow Kit dan Kg Baru mengemparkan tanahair, selain merancakkan lagi pasaran berita angin terutama mengaitkan dengan isu-isu perkauman. Umno pula memukul gendang mahu mengadakan perhimpunan raksasa sebagai tindak balas terhadap isu-isu pendidikan Cina. Timbalan Presiden MCA, Lee Kim Sai beraksi garang memanipulasinya.  DAP, MCA dan Gerakan digambarkan bersatu menangani isu berkenaan.

Kebetulan saya baru saja menyiapkan satu makalah khas mengenai Peristiwa Memali, diusahakan oleh Jabatan Penerangan PAS Pusat, yang juga menerbitkan Harakah, dengan judul Percikan Darah Syuhada. Saya bermalam di kampung penuh bersejarah itu, dan mendapat layanan istimewa penduduk setempat, kunjungan kedua saya selepas menziarahinya dua bulan selepas tragedi berdarah pada hujung 1985

Bimbang turut sama menjadi mangsa ISA yang menggila, helaian pertama majalah tanpa permit itu, terpaksa digunting dan dibuang sebelum diedarkan, dengan penuh hati-hati. Memang benar-benar terasa suasana takut, risau dan penuh curiga.

Saya juga merakamkan getar Ops Lalang dalam makalah one-off, berjudul "Demokrasi Zaman Mahathir", diusahakan syarikat sendiri, Penerbitan Pemuda. Tidak pencetak berani mengambil risiko menyebabkan saya -- yang berhutang modal pembelian kertas -- berpindah-randah mencari rakan-rakan yang bersimpati. Bayangkan, proses binding makalah berkenaan dijalankan di rumah sewa secara manual, dengan bantuan lebih 12 rakan-rakan!

Tragedi penahanan tanpa bicara menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) membabitkan lebih 100 aktivis masyarakat, pemimpin parti politik, penggerak pertubuhan alam sekitar dan  tokoh pendidikan Cina itu kerap dikaitkan dengan "era kediktatoran melalui undang-undang" Mahathir.

Antara tokoh-tokoh yang dikurung ialah Mohamad Sabu, Ustaz Halim Arshat, Khalid Samad, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Karpal Singh, Dr Chandra Muzaffar, Dr Nasir Hashim dan Dr Kua Kia Soong. Ramai lagi tahanan yang tidak pernah dikenali menjadikan Ops Lalang itu bagaikan lembaga hitam yang cukup menakutkan.

Hujung November lalu, genap 25 tahun peristiwa itu berlalu. Biarpun jelas ia sarat dengan motif politik, terutama bagi menyelamatkan kedudukannya yang cukup terancam, termasuk cabaran dalaman Umno yang begitu sengit dan tajam, namun hingga kini, Mahathir masih cuba untuk merasionalkan tindakan zalimnya itu dengan daleh-daleh longgar.

Beliau juga dilihat tidak dapat menyembunyikan rasa bersalahnya terhadap satu lagi aksi brutalnya, iaitu pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan dua Hakim Mahkamah Agung serta satu kempen terancang untuk memusnahkan kebebasan badan kehakiman. Sampai saat ini, kewibawaan dan integriti hakim-hakim di Malaysia tetap dipersoal, manakala cabang eksekutif masih dilihat campur tangan dalam kes-kes kritikal mahkamah.

Apa pun, saya tertarik dengan komentar beberapa pemimpin kanan DAP, khususnya Lim Guan Eng, terhadap episod gelita suku abad yang lalu itu: "Pemimpin PAS dan DAP  mendapat peluang untuk saling kenal-mengenali lantas memecahkan fitnah yang ditaburkan Umno untuk memomokkan masyarakat bukan Melayu tentang PAS dan masyarakat Melayu tentang DAP.

"Hubungan yang dijalin dalam tahanan 25 tahun lalu telah menjadi batu asas kepada hubungan kerjasama antara dua parti itu pada hari ini."

Ya, isu dan krisis yang menyelubungi Umno waktu itu begitu kritikal dan cukup dahsyat sekali. Cabaran Tengku Razaleigh bersama Musa Hitam pada April 1987, yang kemudiannya membawa kes ke mahkamah, sehingga Hakim Harun Hashim tida pilihan lain dan "terpaksa" mengharamkan Umno (atas kemahuan Presidennya, Mahathir sendiri) seterusnya mengakibatkan Tun Salleh dipecat bagi mengelak keputusan Mahkamah Agung yang boleh "menjahanamkan" kerjaya politik Mahathir.


Bagaimanapun, disebabkan parti-parti pembangkang, khususnya PAS dan DAP, gagal membentuk persefahaman politik dan seringkali bercanggah pendapat -- meskipun mempunyai tujuan murni yang sama -- elit Umno telah menyambar kesempatan itu untuk terus bertakhta, merampok harta rakyat dan mencuri khazanah negara. Dalam keadaan serba sulit diasak segenap penjuru itu, Mahathir terselamatkan disebabkan saingan politiknya turut berpecah.

Azab di Kamunting 25 tahun lalu itu rupanya cukup berbaloi. Kesengsaraan dipisahkan daripada anak isteri memang pedih tetapi ia berupaya mendekatkan diri sesama pejuang keadilan, daripada pelbagai kumpulan dan berjaya meletakkan asas persefahaman yang kukuh serta mantap untuk satu proses agak panjang membebaskan negara.

Pengalaman di saat sukar itu mahal harganya. Pemimpin muda DAP, Liew Chin Tong, yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera, merumuskan: "Keakraban yang terbentuk dalam kesusahan akan berterusan mengukuhkan pergerakan bagi mendirikan Malaysia yang baru dan lebih baik untuk semua."

Mohamad Sabu yang dikurung satu kawasan dengan Guan Eng mengingati "detik-detik manis" itu:  "Kami yang duduk bersama-sama di Kamunting berpeluang bertukar pandangan mengenai pendirian parti masing-masing terhadap isu-isu rejim  Mahathir. Ini termasuklah prinsip DAP yang tidak menolak usaha membantu Bumiputera miskin sebaliknya menentang kecenderungan nasionalisme Melayu yang dieksploitasi hanya untuk mengkayakan pemimpin dan kroni Melayu tertentu sahaja."

Ketika budaya politik baru -- yang menolak sentimen perkauman dan memandang tinggi isu-isu good governance -- makin tumbuh subur di kalangan rakyat Malaysia, Umno dan kerabatnya dalam BN seperti MCA masih ghairah memainkan lagu lama bagi melaga-lagakan parti pembangkang.

Pelbagai jerat cuba dipasang, misalnya melalui kontroversi Hudud mutakhir ini, namun banyak pihak yakin, persefahaman PAS-DAP yang menempuh jalan berliku dan onak berduri tidak semudah itu dapat digoyang. Perangkap Umno-MCA hanya akan memakan tuan sendiri!

Umno-BN yang hampir kehilangan kuasa dan mungkin membilang hari-hari akhirnya masih tidak berputus asa untuk mengadu-domba parti-parti dalam Pakatan, khususnya PAS dan DAP. Jika kedua-dua parti pembangkang yang berkongsi kepedihan dan keperitan panjang itu dapat dipisahkan, seperti Barisan Alternatif pernah dihancurkan selepas 1999, nescaya Najib tidak ragu-ragu lagi untuk menghadap Agong bagi membubarkan Parlimen.

Ops Lalang 1987 merakamkan sejarah hitam yang pastinya terus menganggu hari-hari tua Mahathir, namun ia menjadi penyambung ikatan berpanjangan buat PAS dan DAP melakarkan sejarah gemilang dalam PRU13 nanti, dibantu KeADILan, dengan teraju utamanya, Anwar Ibrahim, yang turut menerima pendidikan terbaik, bukan saja dari Kamunting di usia mudanya tetapi juga berpindah dari lokap dan penjara ...

Kenyataan Nazri terhadap Chia diragui, kata PKR

Muhammad Faizal, 01 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Kenyataan Menteri Undang-undang Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz di parlimen baru-baru ini bahawa ahli perniagaan Michael Chia telah dibersihkan daripada tuduhan rasuah dilihat mempunyai konflik berkepentingan, kata PKR.

Menurut Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli, PKR mendapati keluarga beliau khususnya anak sulung Nazri, Nedim ada hubungan dalam bentuk kenderaan dengan Chia.

Kenderaan itu ujarnya berupa SUV Hummer berwarna hitam, yang berharga lebih RM459,000, yang dimiliki oleh Chia dan mungkin telah digunakan oleh Nedim.

"Sebagai seorang menteri kanan, yang bertanggungjawab dalam soal perundangan terutamanya dalam isu rasuah dan pengubahan wang haram, Mohamed Nazri perlulah lebih telus dan bersih tanpa mempunyai sebarang kepentingan terutama dengan individu yang dikaitkan dengan tuduhan," kata Rafizi.

Rafizi turut menunjukkan satu salinan saman trafik yang dinyatakan pemiliknya sebagai Chia Tien Woh dan gambar-gambar yang menunjukkan bahawa kenderaan itu kerap dikesan di kondo di mana Nedim tinggal.

Rafizi menyatakan dalam keadaan Michael Chia disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), namun dalam masa yang sama Mohamed Nazri mempertahankan Chia telah menimbulkan konflik kepentinga,

"PKR menunggu maklum balas dari Mohamed Nazri yang sebelum ini begitu gah mempertahankan Michael Chia, sebelum kami mengambil tindakan selanjutnya," kata beliau lagi.

01 November 2012

BOCOR !!! Bukti Hubungan Dato’ Seri Nazri Aziz Dan Michael Chia, “Conflict Of Interest” Dalam Penyiasatan Tuduhan Rasuah RM40 Juta


Jawapan-jawapan di dalam Parlimen oleh Dato’ Seri Nazri Aziz yang mempertahankan habis-habisan individu-individu yang disabitkan di dalam skandal wang Umno Sabah berjumlah RM40 juta menimbulkan banyak tanda tanya.

Sebagai seorang menteri kanan yang dipertanggungjawabkan menangani kes-kes rasuah dan pengubahan wang haram (money laundering) yang sensitif seperti kes RM40 juta ini, Dato’ Seri Nazri Aziz perlulah telus, bersih dan dilihat tidak mempunyai sebarang kepentingan dengan mana-mana individu yang dipertahankan beliau.

Malangnya, KEADILAN mempunyai bukti bahawa kaum keluarga beliau mendapat manfaat terus (direct benefit) dari sumbangan Michael Chia, iaitu individu utama yang dituduh di dalam skandal RM40 juta.


Anak kepada Dato’ Seri Nazri Aziz iaitu Nedim Nazri Aziz dan keluarganya mendapat manfaat melalui sebuah kenderaan mewah jenis Hummer hitam dengan nombor pendaftaran WNX 9776.

Kenderaan mewah Hummer hitam WNX 9776 ini dianggarkan berharga lebih RM459,000 dan dimiliki oleh Michael Chia. Hakmilik ini boleh disahkan melalui carian saman di laman MyEG.

(Sila rujuk Lampiran A)

Saman bernombor 1100105197 bertarikh 1 April 2011 (Gambar A1) mengesahkan bahawa kenderaan Hummer hitam (gambarnya disertakan sekali di dalam carian saman MyEG seperti dalam Gambar A2) adalah dimiliki oleh Michael Chia atau Chia Tien Foh (670406-12-5261).


Gambar A1
Gambar A2

Melalui kerjasama dengan Sarawak Report, KEADILAN telah menjalankan siasatan kami sendiri untuk mengesahkan bahawa kenderaan mewah Hummer itu benar-benar digunakan oleh anak Dato’ Seri Nazri Aziz.

Bukti-bukti berikut (diperolehi melalui siasatan mengenai latar belakang anak Dato’ Seri Nazri Aziz dan pemantauan Hummer WNX 9776) mengesahkan bahawa kenderaan tersebut digunakan sepenuhnya oleh anak Dato’ Seri Nazri Aziz:

i) Kenderaan tersebut berada di parkir Clearwater Residence, Damansara Heights iaitu kediaman anak Dato’ Seri Nazri Aziz

Pemantauan kami menunjukkan bahawa Hummer WNX 9776 dipandu oleh pemandu peribadi keluarga Nedim Nazri Aziz. Rutin harian kenderaan tersebut banyak berkisar di antara Clearwater Residence (kediaman anak Dato’ Seri Nazri Aziz) dan Bangsar Shopping Complex (kedai anak Dato’ Seri Nazri Aziz).

Lampiran B (Gambar B1 – B6) menunjukkan gambar-gambar pemantauan di lobi Clearwater Residence yang jelas membuktikan bahawa kenderaan itu berulang-alik dari Clearwater Residence dan dipandu oleh pemandu dan pengawal peribadi keluarga Nedim Nazri Aziz.


PANAS...SAMBUNG LAGI  DISINI

Berita Berkaitan Heboh sebelum ini SINI


 

Hudud: Utusan jahil terus kelirukan rakyat

Datuk Harun Taib, 01 Nov 2012
Utusan masih jahil tentang hukuman hudud yang terkandung di dalam Al-Quran dan Hadis. Melalui artikel yang disiarkan dalam akhbar itu yang bertajuk ‘Polemik Hukum Hudud PAS’ menyerlahkan bagaimana akhbar itu telah digunakan oleh pihak tertentu untuk memburukkan usaha PAS dalam memberikan penjelasan berkenaan hudud.
Dalam artikel tersebut telah mempersoalkan bagaimana terdapat 2 versi Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan dan Terengganu, kita ingin menegaskan bahawa pengarang tersebut telah hilang fokus dalam perbincangannya, perbezaan versi ini adalah termasuk dalam bab teknikal dan bukannya isu pokok, apa yang kita bahaskan sekarang ialah berkenaan dengan pokok iaitu memberikan penjelasan berkenaan keindahan hukum hudud dan Utusan tidak memainkan peranan ini selaku akhbar milik orang Islam.

Fakta-fakta yang dikemukakan oleh penulis tersebut juga cukup mengelirukan para pembaca, sedangkan apa yang diusahakan oleh kerajaan PAS Kelantan dan Terengganu berdasarkan pandangan para ulamak yang muktabar yang diiktiraf keilmuan mereka, ianya bukan hudud PAS tetapi ianya merupakan hudud yang berdasarkan disiplin ilmu Islam yang berpaksikan Al-Quran dan As-sunnah.

Adapun berkenaan dengan dakwaan bekas Setiausaha Dewan Ulamak PAS Kelantan seperti mana yang dilaporkan dalaman artikel itu bahawa Hukum Hudud yang diperjuangkan PAS tidak berlandaskan Al-Quran dan Sunnah adalah dakwaan yang tidak benar dan menyeleweng daripada hakikat yang sebenarnya.

Pengarang artikel juga turut juga sudah tersasar daripada perbincangan ilmiah apabila cuba mengelirukan pembaca dan mencampuradukkan di antara perbincangan berkenaan manifesto dan enakmen.

Berkenaan isu liwat dan umur aqil baligh dalam enakmen tersebut, ianya telahpun dijawab oleh Dewan Ulamak sebelum ini tetapi sebagai manfaat bersama, ulamak tidak keberatan mengulanginya.

Adapun dakwaan Penasihat Agama Menteri Besar Terenganu, Mohd Kamal Saidin yang mempertikaikan umur bagi mukallaf adalah 15 tahun dan bukannya 18 tahun menggambarkan beliau jahil tentang perbahasan para ulamak.

Berkenaan dakwaan bahawa had umur 18 tahun bercanggah dengan hukum syarak, masalah berkenaan had baligh seseorang muslim itu, sebenarnya ianya adalah perkara khilafiah, ianya bukan suatu yang qat’ie.

Ada ulamak dalam mazhab Syafie kata 15 tahun, barulah seseorang itu dianggap baligh, kalau dalam mazhab Hanafi, mereka kata 18 tahun barulah dikira sebagai mukallaf. Jadi dalam isu yang beliau bangkitkan ini, maka kita mengambil had umur yang paling tinggi supaya tidak berlaku masalah khilafiah.

Sebagai contoh, kalau diambil umur 15 tahun, nanti apabila perbicaraan diadakan, mungkin pihak peguam tertuduh akan mendakwa bahawa anak guaman bermazhab Hanafi, semata-mata untuk lari daripada hukuman.

Jadi kita ambil pandangan 18 tahun supaya tidak berlaku at-tahayul atau helah dalam perbicaraan di samping ianya merupakan petunjuk kepada tahap baligh dan kematangan atau dikenali sebagai 'sinnu rusyd', itu hanya sebahagian sebab mengapa kita pilih 18 tahun dan di sana masih ada sebab-sebab lain yang boleh kita rujuk kepada buku-buku feqah.

Berkenaan dakwaan meliwat isteri yang didakwa oleh seorang ahli parlimen yang seolah-olah dilihat dibenarkan dalam enakmen hudud yang dikemukakan oleh PAS, adalah dakwaan yang melambangkan kejahilan orang yang membangkitkan isu ini.

Liwat di antara suami isteri tidak termasuk di dalam hukum hudud tetapi bukan bererti perbuatan itu tidak salah. Perbuatan itu tetap salah, cuma tidak termasuk dalam hukum hudud dan dari sudut hukuman tetapi ia akan dikenakan hukum takzir.

Mengapa ianya dikenakan hukuman takzir dan bukannya hudud? Jawapannya ialah kerana berlaku syubhah di situ.

Untuk makluman beliau, dalam perlaksanaan hudud, seperkara yang mesti diambil kira dalam pelaksanaan ialah pelaksanaan hukuman hudud mesti meraikan satu kaedah yang penting iaitu yudra’ul hudud bi syubhat iaitu hudud itu tidak boleh dilaksanakan sekiranya ada syubhah.

Persoalannya di mana syubhah itu dalam kes ini? Syubhahnya ialah hubungan suami isteri itu sendiri atau dalam istilah feqahnya ialah syubhatul milk iaitu syubhah kerana isteri itu adalah milik suami tidak sepertimana dalam kes kesalahan hudud yang beliau nyatakan yang mana pasangan yang bersalah tersebut tidak mempunyai hubungan yang sah dari sudut syarak, ianya adalah berbeza dengan kesalahan liwat suami isteri.

Pengarang tersebut tidak sepatutnya membaca sepintas lalu dan terus menjatuhkan hukuman tanpa merujuk kepada para ulama kerana pengetahuan hukum syarak ada disiplinnya yang tersendiri, bukannya mengikut akal fikiran manusia yang lemah.

Sebelum ini Dewan Ulamak telah memberikan penjelasan berkenaan perkara tersebut secara rasmi. Dakwaan yang menyatakan Ulamak PAS gagal memberikan penjelasan berkenaan dakwaan ahli parlimen tersebut adalah dakwaan yang tidak benar sama sekali.

Isu hukum hudud yang hanya dilaksanakan ke atas orang Islam manakala orang bukan Islam diberikan pilihan, Enakmen kelantan dan Terengganu jelas menerangkan bahawa enakmen ini terpakai kepada orang Islam dan orang bukan Islam secara mutatis mutandis iaitu mereka yang bukan beragama Islam diberikan pilihan untuk memilih samada ingin diadili dengan hukum Islam ataupun memilih untuk dibicarakan mengikut undang-undang mereka.

Ini adalah berdasarkan ayat al-Quran daripada surah al-Maidah ayat 42 yang bermaksud: "Apabila mereka(orang yang bukan Islam) datang kepada kamu untuk diadili, hendaklah kamu adili mereka (dengan Islam) atau biarkan mereka (untuk membuat pilihan), sekiranya mereka enggan ianya tidak memudaratkan kamu, apabila kamu mengadili manusia hendaklah kamu berlaku adil seadil-adilnya”.

Ianya jelas berdasarkan peristiwa yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w, apabila orang bukan Islam khususnya Yahudi yang datang bertemu Rasulullah s.a.w untuk menyelesaikan kes mereka yang berkaitan hudud, lalu Allah s.w.t memberikan pilihan kepada nabi sama ada mengadili dengan hukum Islam atau sekiranya mereka enggan mereka boleh menyelesaikan pertikaian itu berdasarkan undang-undang mereka sesama di kalangan mereka. Ini nas al-Quran. Al-Quran memberitahu sekiranya kamu mengadili mereka hendaklah berlaku seadil-adilnya. Mazhab Syafie menyatakan adil di sini ialah hukum Islam.

Tambak pantai: Peniaga Teluk Kemang terjejas

Hazayani Zakaria, 01 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Kira-kira 100 peniaga sekitar Pantai teluk Kemang ke Parlimen hari ini bagi mengadu tindakan kerajaan membina projek pembangunan di kawasan tersebut sehingga menjejaskan perniagaan mereka.

Kumpulan tersebut yang diketuai Pengerusi Sekretariat Selamatkan Pantai Kita, Shahruddin Abu Talib membantah proses penambakan pantai yang menjadikan cerun semakin dalam dan telah mengorbankan beberapa nyawa.

Mereka ditemani Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrulhisham Shahrin.

"Secara tidak langsung ini menjejaskan kedatangan pelancong dan dan menjejaskan ekonomi para peniaga di kawasan sekitar," katanya pada sidang media di lobi Parlimen.

Kumpulan tersebut turut membantah pembinaa longkang-longkang besar yang menyebabkan air laut Telok Kemang menjadi keruh dan kotor.

Air longkang yang kotor dan mengandungi bahan-bahan kimia menyebabkan kulit pengunjung dan pelancong dijangkiti kuman.

"Kami bukan menolak pembangunan tetapi kami tak setuju air longkang dialirkan ke laut. Ini bukan sahaja menyusahkan pengunjung malah ikan-ikan juga lari ke tempat lain dan menjejaskan pendapatan nelayan." katanya.

Selain itu, kumpulan tersebut menuntut gerai-gerai yang sudah buruk dibina semula berkonsepkan seni bina Negeri Sembilan yang boleh menjadi daya tarikan pengunjung tempatan dan pelancong.

"Kami tidak mahu gerai-gerai kami dibina seperti sekarang yang seakan-akan kedai menjual ikan dan tiak mendapat kelulusan Sijil Kelayakan Menduduki (CF) yang dikategorikan sebagai projek gajah putih," tegasnya.

Shahruddin juga kesal apabila aduan mereka kepada Yang-DiPertua Majlis Perbandaran Port Dickson, Abdul Wahab Shamsuddin kelmarin tidak diambil peduli.

“Abdul Wahab lebih mementingkan keuntungan dari projek-projek berbanding nasib rakyat dan peniaga di situ,” kata Shahruddin.


Sokongan terhadap Umno tipis

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Sembilan Cawangan Port Dickson, Syed Mohd Arshad Jelani yang juga ketua bahagian Umno batu Empat mengakui bahawa sokongan terhadap parti itu semakin tipis akibat isu ini.

"Majoriti daripada kami ini ahli Umno dan harapan untuk terus menyokong Umno semakin tipis bila kami diperlakukan begini," katanya.

Turut bersama pada sidang media tersebut ialah Dr Hatta Ramli (PAS-Kuala Krai), Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin (PAS-Bukit Gantang), dan Er Teck Hwa (DAP-Bakri).

AES: Akhirnya Engkau Susah

http://msomelayu.blogspot.com, 01 Nov 2012

JENAKA SORE


Bantahan terhadap pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) tampaknya semakin panas dan meluas. Ia bukan saja dari pihak pembangkang yang peka melihat penguatkuasaan sistem itu sebagai menyusahkan penggunaan, tetapi ia juga dibantah oleh ahli Parlimen BN. Ketua Pemuda Umno yang tidak ada diberikan kuasa dan jawatan Khairy Jamaluddin juga membantah dan pelaksanaannya minta ditangguhkan.

Hasil hebahan pembangkang kini rakyat dan orang ramai sudah tahu apakah 'hantu' dan 'momok' di sebalik sistem berkenaan. Pembelian peralatan seperti itu bukan pertama kali ia membazir dan tidak membantu membaikpulihkan keadaan (keselamatan jalan) raya, tetapi sudah banyak sebelum ini.

Jadi buat apa lagi kerajaan berkeras untuk meneruskan juga AES ini. Ia perlu ditangguhkan segera.  Kerajaan tidak perlu menimbangkan apakah penangguhan itu akan menguntungkan parti politik mana tetapi yang penting melihat ia bermanfaat kepada rakyat seluruhnya.

Sehingga hari ini pihak kerajaan terutamanya menteri bersangkutan, Menteri Pengangkutan Kong Cho Ha masih membisu. Belum ada apa-apa keputusan. Apakah semuanya hendak tunggu Najib Razak bersuara baru hendak bertindak? Naif sangatlah menteri berkenaan. Dan letihlah Najib kalau semua perkara beliau kena handle sendiri.

Percayalah maruah BN tidak akan jatuh kalau AES ditangguhkan. Bahkan rakyat akan melihat sikap itu sebagai terbuka dan mesra rakyat. Jangan kerana kita hendak dikatakan berprinsip tetapi akhirnya prinsip itu meranapkan diri sendiri. Atau pun kerana bantahan itu dimulai oleh pembangkang maka ia tidak boleh dipatuhi kerana bimbang takut pembangkang mendapat political milage. Bagero sangat kalau berfikiran begitu.


Sebaiknya tangguh buat sementara waktu dan selepas ini kalau BN menang dan menjadi pemerintah teruskan semula. Setidak-tidaknya dalam tempoh lima tahun kerajaan BN boleh mengutip hasilnya dan memerah poket rakyat. Kita pun pasti itu akan berlaku.

Sebaliknya kalau Pakatan Rakyat menang, sistem yang menyusahkan rakyat itu pasti tidak akan diteruskan. Ini memberi peluang kepada rakyat untuk membuat pilihan puak mana yang membantu meringankan bebanan mereka.

Saya nampak AES telah menjadi beban kepada BN. AES akhirnya akan menjadi Akhirnya Engkau Susah. Begitulah kalau memperkenalkan sesuatu sistem atau polisi yang bukan dibuat untuk kepentingan rakyat tetapi kepentingan syarikat dan kroni. Ia bukan saja tidak berkat tetapi bakal menanggung kerugian. Kenapakah pengalaman sebelum ini tidak diambil iktibar...

Tiada ulasan: