Sabtu, 3 November 2012

SATU2 PENYAMUN TARBUS TERBUKA KHIANATNYA...SAPE BUKA...ALLAH BUKA KEJAHATAN2 MEREKA...ADAKAH MEREKA TAK TAKUT MATI SERTA SEKSAAN DIAKHIRAT KELAK

BN: ‘Guan Eng bentang bajet PRU13’
MOHD IDROS MOHD ALI
2 November 2012
BN: ‘Guan Eng bentang bajet PRU13’
Dr Hilmi menunjukkan naskhah ucapan Bajet 2013 Negeri Pulau Pinang disifatkannya sebagai bajet pilihan raya.
GEORGETOWN - Kalau sebelum ini Pakatan Rakyat (PR) menganggap Bajet 2013 yang dibentang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah bajet pilihan raya, ia tidak ada beza dengan bajet Pulau Pinang yang dibentangkan oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng, hari ini.
Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya (BN-Teluk Bahang) yang kini menjalankan tugas Ketua Pembangkang berkata, Bajet 2013 Negeri Pulau Pinang juga boleh dianggap bajet pilihan raya kerana memberi pelbagai goodies kepada rakyat.
Beliau berkata, pelbagai habuan yang akan diberikan kepada rakyat Pulau Pinang menunjukkan bahawa PR juga cuba mengambil hati rakyat negeri ini dengan janji manis dan gula-gula pilihan raya.
"Jadi janganlah menuduh BN cuba membeli atau mengambil hati pengundi tetapi PR pun sama juga. Cakap orang, dia yang lebih.
"BN memberi pelbagai kemudahan kepada orang ramai sebagai memenuhi tanggungjawabnya sebagai kerajaan yang mengutamakan kebajikan rakyat. Sebab itu kita tengok banyak benda yang dapat dinikmati rakyat dalam bajet negara," katanya pada sidang media hari ini.


[UCAPAN PENUH BAJET 2013 PULAU PINANG DISAMPAIKAN LIM GUAN ENG]
Menurutnya, bajet yang dibentangkan Guan Eng tidak banyak perkara baru sebaliknya benda lama yang sudah dilakukan oleh BN sebelum ini tetapi hanya diberi nafas atau permukaan baru.
Tiada apa yang boleh dibanggakan walaupun peruntukan melebihi RM1 bilion disediakan untuk tahun depan," katanya.
Hilmi berkata, kenyataan Guan Eng mengenai sifar miskin di Pulau Pinang juga agak   mengelirukan kerana bercanggah dengan maklumat sebelum ini.
"Dulu Guan Eng kata Pulau Pinang capai sifar miskin pada 2009 dan kini kata tahun depan baru boleh capai sasaran itu. Yang mana satu betul.
"Kaedah yang digunakan oleh Kerajaan Negeri untuk membasmi kemiskinan juga agak lucu kerana hanya membuat tambah nilai (top up) kepada jumlah tertentu agar mencapai tahap bebas kemiskinan.
"Adakah dengan menetapkan RM700 sebagai kadar melebihi paras kemiskinan dan memberi top up jika pendapatan penduduk seseorang itu kurang dari jumlah itu akan menjamin mereka bebas dari kemiskinan? katanya.
Menurutnya, kaedah itu menunjukkan Kerajaan Negeri menggalakkan penduduk miskin bergantung harapan kepadanya sepanjang masa kerana mendapat bantuan berterusan.
Diminta mengulas cadangan Kerajaan Negeri untuk melaksanakan sendiri pelan induk pembangunan Pulau Pinang jika tidak mendapat maklum balas dari Kerajaan Pusat sehingga hujung tahun ini, Dr Hilmi berkata Guan Eng perlu berbincang dengan Putrajaya dan bukan dengan cara mengugut.
"Setiap perkara atau masalah boleh diselesaikan melalui perbicangan. Jangan guna tekanan atau ugutan untuk mencapai sesuatu matlamat. Saya yakin oa boleh diselesaikan jika Kerajaan Negeri menggunakan pendekatan yang betul," katanya.  
Pembantu rumah Aznil Nawawi disyaki larikan barang kemas

2 November 2012
Aznil Nawawi
Aznil Nawawi
KUALA LUMPUR - Pengacara terkenal Aznil Nawawi kehilangan sejumlah barang kemas yang disyaki dilarikan pembantu rumah dalam kejadian di rumahnya di Taman Yarl, Jalan Klang Lama di sini hari ini.

Aznil dalam laman Twitternya berkata beliau hanya menyedari perkara itu pada 2 petang tadi dan meminta sesiapa yang mengenali pembantu rumah warga Indonesia dikenali sebagai 'Soimah' itu supaya menghubungi balai polis berdekatan.

Beliau turut memuatkan gambar wanita itu di laman sosial berkenaan dan Facebook.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi berkata laporan polis mengenai kejadian itu diterima pada 3.15 petang tadi.

Ogos lepas, rumah Aznil dipecah masuk penjenayah yang menyebabkan pengacara itu kerugian kira-kira RM40,000. - Bernama
Kong Cho Ha: AES kekal
JAMILAH HAMZAH
2 November 2012
Kong Cho Ha
Kong Cho Ha
SHAH ALAM - Kementerian Pengangkutan menegaskan kerajaan tidak bercadang untuk menangguhkan pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di seluruh negara buat masa sekarang.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, kerajaan akan meneruskan pelaksanaan AES sebagaimana telah dirancang dan kini dalam proses merujuk Pejabat Peguam Negara berhubung pendirian empat negeri Pakatan Rakyat (PR) yang memutuskan untuk menangguhkannya.

Menurutnya, kerajaan menggunakan AES adalah untuk menjaga keselamatan pengguna lalu lintas dan tindakan pembangkang akan mengancam nyawa rakyat.

"Kerajaan setakat ini tidak mempunyai cadangan untuk tangguh AES, pemimpin Barisan Nasional (BN) yang minta tangguh pun sebab mereka mahu penjelasan dan itu sebagai mengeluarkan pendapat mereka.

"AES penting untuk menjaga keselamatan rakyat terutama pengguna jalan raya," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Kepimpinan PR sebulat suara bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan AES di empat negeri yang diperintah mereka. Ahli-ahli Parlimen BN dan Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan BN turut menyokong penangguhan pelaksanaan AES serta mahu ia dikaji semula.

Mengulas lanjut, Cho Ha berkata, bagaimanapun kerajaan sedang meneruskan usaha mendekati rakyat bagi memberi penjelasan tentang sistem AES.

"Kita akan teruskan usaha untuk memberi penjelasan kepada rakyat supaya mereka lebih faham tujuan pemasangan AES bagi menjaga keselamatan mereka," katanya.

Beliau turut meminta supaya tidak ada pihak yang cuba mempolitikkan AES demi menjaga keselamatan pengguna jalan raya di Malaysia.
Susulan serbuan Jais: Saya tidak buat salah, kata Badrulamin
NURUL AINI MOHAMED ALI
2 November 2012
 Susulan serbuan Jais: Saya tidak buat salah, kata Badrulamin
Dr Badrulamin Baharon antara hadir pada konsert bertemakan Abuya Terus Memimpin Walaupun Ghaib di Rawang. Beliau turut ditahan untuk membantu siasatan.
SHAH ALAM- Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Dr. Badrulamin Baharon menafikan beliau seorang ahli jemaah Al-Ikhwan, sebaliknya hanya menghadiri majlis sambutan ulang tahun kelahiran pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad atas jemputan yang disampaikan melalui risalah.

Menurutnya, beliau pergi ke majlis malam tadi bukan atas jemputan rasmi tetapi kehendak dirinya sendiri dan ingin membawa isteri dan anak-anaknya melihat persembahan nasyid yang diadakan.

“Saya tidak nafikan tiada jemputan rasmi tetapi melalui risalah yang diberi ketika saya membeli-belah di kawasan Global Ikhwan Sdn Bhd, hanya ke sana untuk mebawa anak-anak saya yang menggemari nasyid dan sekadar makan-makan, itu saja,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Semalam, Badrulamin ditahan dalam serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas satu acara dianjurkan bekas pengikut Al-Arqam di Rawang.

Laporan akhbar mendakwa Badrulamin merupakan tetamu khas majlis sambutan ulang tahun kelahiran Ashaari.

“Apa salahnya jika saya memberi sokongan dalam majlis yang berbentuk dakwah itu, saya sendiri terpinga-pinga, belum sempat minum sudah ditahan Jais.

“Kalau benar mereka bersalah, tangkap saja ahli jawatankuasa penganjur majlis, jangan tangkap tetamu seperti saya, saya tidak salah, malah saya tidak ada kaitan sama sekali dan tiada kepentingan apa-apa dalam Al-Ikhwan,” tegasnya.
Menurutnya, beliau tertarik untuk menghadiri majlis itu atas rasa kagum dengan kegiatan ekonomi Global Ikhwan yang berkembang maju, malah dirinya sendiri serta keluarga selalu membeli-belah di sana.

“Saya suka membeli-belah dengan syarikat itu kerana mereka menyediakan segala kelengkapan bagi umat Islam, malah makanan yang dijual turut terjamin dari segi halal, sebab itu saya selalu pergi ke sana,” ujarnya.

Pada masa yang sama, beliau juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas sebuah akhbar hari ini yang mengatakan dirinya ahli pertubuhan itu.

“Sejak bila pula saya ahli dalam Al-Ikhwan? Saya penat nak jawab, saya tidak ada kena-mengena langsung,” tegasnya.
Golongan pengikut Al-Arqam membangunkan entiti korporat kumpulan Global Ikhwan bagi mempertahankan empayar perniagaan Ashaari, selepas pergerakan itu diharamkan pada 1994.
Syarikat tersebut diasaskan pada 2009 selepas pihak berkuasa mengenakan tekanan ke atas Rufaqa Corporation Sdn Bhd yang ditubuhkan oleh kumpulan sama pada 2006.
Ashaari meninggal dunia pada 13 Mei 2010.
Presiden Pas sedia tanding di Pekan
Mohd Azlim Zainury
2 November 2012
Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang
RUSILA - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini membuat kejutan apabila menyatakan kesediaannya untuk bertanding di kerusi Parlimen Pekan, yang disandang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

"Saya ikut keputusan parti, serah kepada parti. Parti akan membuat keputusan termasuk jika parti menyuruh saya bertanding di Parlimen Pekan," katanya pada Majlis Pelancaran Dana PRU13 Dewan Muslimat Pas Negeri Terengganu di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian apabila ditanya adakah beliau akan kekal sebagai calon Parlimen Marang atau mempunyai perancangan untuk bertanding di luar Terengganu pada PRU13.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Marang itu berkata, keputusan bertanding pada PRU13  bergantung sepenuhnya kepada keputusan parti, sama ada menetapkan beliau untuk kekal di Parlimen Marang atau bertanding di luar termasuk di Parlimen Pekan.
AES: PR 'lawan' jika Pusat cabar keputusan tangguh
JAMILAH HAMZAH
2 November 2012
Mahfuz Omar
Mahfuz Omar
KUALA LUMPUR - Pakatan Rakyat (PR)  hari ini menyatakan pendiriannya akan "lawan" jika Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan undang-undang terhadap empat negeri Pakatan Rakyat (PR) yang mengambil keputusan untuk menangguhkan pelaksanaan  Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).
Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, PR juga mempunyai hak untuk mengambil tindakan mahkamah berhubung isu AES.

Menurutnya, tindakan kementerian itu hanya memburukkan lagi keadaan mereka, yang ratanya bersetuju agar menangguhkan pelaksanaan AES termasuk ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional dan Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional.

Tambahnya, "mereka (Kerajaan Persekutuan) memang ada hak untuk merujuk Peguam Negara, tapi jika mereka mencabar kita dengan melakukan injuksi, situasi itu akan memburukkan keadaan mereka lagi.
"Lagipun semua orang minta menangguhkan pelaksanaan AES itu, termasuk Ahli Parlimen BN sendiri, dan Majlis Profesor Negara pun sokong AES ditangguhkan dan gunakan pendekatan lain untuk mendidik.

"Ya, kita juga ada hak untuk ambil tindakan di mahkamah, kita akan lawan mereka di mahkamah jika mereka cabar kita," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Rabu lalu, Kementerian Pengangkutan menyatakan pihaknya akan merujuk kepada pegawai undang-undang dan pejabat Peguam Negara berhubung tindakan empat kerajaan negeri pimpinan PR menangguhkan pemasangan AES di negeri masing-masing.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, perkara ini tidak sepatutnya dijadikan modal politik kerana tujuan sebenar pemasangan AES ialah untuk melindungi rakyat di samping membentuk masyarakat berhemah dan berdisiplin di jalan raya.

"Kita akan merujuk kepada pihak Peguam Negara berhubung pelaksanaan di negeri-negeri pembangkang ini. Saya tidak pasti mengenai peruntukan undang-undang berhubung perkara ini, sama ada mereka (kerajaan negeri) mempunyai hak terutamanya lampu isyarat, yang mungkin terletak di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Begitu juga jalan-jalan persekutuan atau lebuh raya yang di bawah PLUS. Walaupun ini berada di negeri-negeri mereka (pembangkang) tapi jalan raya ini adalah milik orang awam," katanya.
Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga Pengerusi Kempen Anti Saman Ekor (Kase) berkata, PR tetap dengan pendirian menangguhkan perlaksanaan AES di negeri Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor.

Sementara itu, Mahfuz turut menafikan pembangkang menjadikan AES sebagai agenda politik.
Sebaliknya beliau mendakwa Pemuda Umno yang melakukan perkara tersebut.
Rafizi cabar Nazri ambil tindakan undang-undang
ARHIZA AHMAD
2 November 2012
PR kuat di bandar: Rafizi
Rafizi Ramli
PETALING JAYA - Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli mencabar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengambil tindakan undang-undang berhubung pendedahan membabitkan anaknya menggunakan kenderaan mewah yang didakwa milik ahli perniagaan Michael Chia.

“Saya dituduh menyebarkan fitnah terhadap Mohamed Nazri, kerana mendakwa mereka menggunakan kenderaan itu dan terbabit dalam rasuah, sekiranya apa yang diperkatakan oleh saya adalah fitnah, saya mencabar beliau untuk mengambil tindakan undang-undang.

“Kami (pembangkang) mempunyai bukti yang kukuh, selain gambar kami juga mempunyai bukti rakaman video mengenai penggunaan `Hammer’ oleh ahli keluarga mereka,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Dalam sidang media itu, Mohd Rafizi turut menayangkan tujuh klip rakaman video berhubung penggunaan kenderaan mewah itu.

Bagaimanapun, hasil daripada pemerhatian wartawan Sinar Harian mendapati anak menteri terbabit bersama ahli keluarganya tidak menggunakan kenderaan itu, sebaliknya menggunakan kenderaan sendiri iaitu Toyota Vellfire berwarna hitam dan Audi R8 berwarna hijau.

Kenderaan mewah itu hanya dikendalikan oleh pemandu dan pengawal peribadi kepada anak menteri itu, walaupun ia disimpan di kediamannya di salah sebuah kondominium di ibu kota.

Kelmarin, Mohamed Nazri ketika ditemui media di lobi Parlimen, menafikan mempunyai sebarang kepentingan dengan mana-mana individu yang dipertahankan oleh beliau.

Beliau mendakwa Chia adalah rakannya dan sekiranya dia meminjamkan kenderaan itu kepada anaknya beliau tidak mengetahuinya.

Sementara itu, Mohd Rafizi menggesa Mohamed Nazri mengikut langkah bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang bercuti dari kabinet berikutan pendedahan isu syarikat milik suaminya National Feedlot Corporation (NFCorp) yang kini masih disiasat.

Menurutnya, mengikut Seksyen 16 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan perlakuan rasuah dikira berlaku walaupun suapan itu diterima oleh orang lain dan manfaatnya dinikmati oleh orang lain.

“Saya menyeru agar pihak kerajaan menjalankan siasatan mengenai perkara ini, dan satu laporan SPRM akan dibuat di minggu hadapan,” katanya.
Ambrin Buang: Audit Negara bebas kuasa politik

2 November 2012
Tan Sri Ambrin Buang
Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang
GEORGETOWN - Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang berkata, Jabatan Audit Negara (JAN) merupakan sebuah badan yang bebas daripada kuasa politik dan semua urusan pengauditan dilaksanakan mengikut piawaian antarabangsa.
Beliau berkata setiap tugasan secara spesifik merujuk kepada tajuk sesuatu projek dan bukan melihat kepada pihak yang melaksanakannya.
"Kita tidak tengok kepada kerajaan 'A' atau kerajaan 'B', kami 'colour blind', setiap negeri atau jabatan yang diaudit disusuli dengan laporan, boleh lihat kepada laporan itu.
"Sebab itu, setiap laporan yang dikeluarkan mesti dibaca keseluruhannya kerana ada terdapat pandangan dan pendapat daripada jabatan atau agensi yang diaudit, diakui memang ada terdapat kelemahan tetapi sentiasa diperbaiki dari semasa ke semasa," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan perdana di Dewan Budaya Universiti Sains Malaysia.
Ambrin berkata memandangkan proses pengauditan adalah panjang, pihaknya sudah melakukan persiapan untuk tahun depan, dan apa yang dilakukan ini tidak mempunyai kaitan langsung dengan urusan pilihan raya.
Beliau juga berkata proses pengauditan dilakukan berdasarkan fakta yang diperoleh sebelum semakan dibuat, dan tugas itu biasanya dilaksanakan sebelum sesuatu projek selesai sepenuhnya.

"Kita tidak tunggu sehingga sesuatu projek itu habis atau selesai baru nak buat audit, kita masuk ketika projek itu sedang dijalankan, niat kita untuk perbetulkan kesilapan yang terdapat dalam pelaksanaan sesuatu projek," katanya.

Selain itu, Ambrin berkata orang ramai yang ingin mengetahui laporan berhubung sesuatu agensi atau jabatan yang diaudit boleh membaca terus di laman web jabatan tersebut, dan laporan berkenaan boleh dianggap sebagai saluran maklumat untuk kegunaan mereka.
"Menerusi perolehan maklumat itu, orang ramai boleh berperanan dalam usaha mengekang pemborosan, pembaziran dan penyelewengan (3P) sesebuah jabatan atau agensi, seterusnya ia juga boleh digunakan sebagai usaha untuk meningkatkan kecekapan, keberkesanan dan ekonomi," katanya.
Beliau juga berkata status Unit Audit Dalaman (UAD) perlu dimartabat untuk mempertingkat tahap kecemerlangan dan kualiti perkhidmatan sesebuah agensi kerana jika terlalu rendah, ia akan berdepan kesukaran menarik perhatian peringkat pengurusan.- Bernama
NGO Islam Pahang bantah kenyataan Presiden MCA

2 November 2012
Datuk Seri Dr Chua Soi Lek
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek
KUANTAN - Kira-kira 150 individu dan gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam Pahang berkumpul di Bangunan MCA Kuantan untuk menyerahkan memorandum bagi membantah kenyataan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek baru-baru ini yang dianggap menghina hukum hudud.
 
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusof berkata beberapa wakil pertubuhan terbabit telah memaklumkan kepada pihak polis sebelum itu untuk berkumpul menyerahkan memorandum berkenaan.
 
"Kami benarkan asalkan tidak melanggar syarat-syarat yang ditetapkan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
 
Beliau berkata perhimpunan itu bersurai sebaik wakil mereka menyerahkan memorandum bantahan itu kepada wakil MCA pada pukul 2.15 petang.
 
Sementara itu, Setiausaha Perhubungan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Pahang, Mahadi Deraman memaklumkan tindakan itu dibuat bagi membantah kenyataan Presiden MCA itu baru-baru ini yang mendakwa 1.2 juta rakyat Malaysia akan hilang pekerjaan jika hukum hudud dilaksanakan.
 
Justeru, mereka mendesak Dr Chua supaya menarik balik kenyataan itu dengan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam, katanya dalam kenyataan di sini. - Bernama
3 lelaki termasuk dalang utama serang Ketua Pemuda Umno ditahan
NURUL RIDUAN NOR ASHAHA
2 November 2012
SHAH ALAM - Polis menahan tiga lelaki termasuk dalang utama dikenali Wak berhubung kejadian serangan Ketua Pemuda Umno Kepong, Datuk Norizan Ali akhir September lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, semua suspek ditahan hari ini di beberapa lokasi di LRT Sentul Timur, Ampang dan Taman Bidara Selayang.
Beliau berkata, sebilah parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu turut ditemui di longkang, kira-kira jam 2.05 petang tadi.
Parang itu dibuang selepas kejadian tersebut.
"Siasatan mendapati, kes itu bermotifkan dendam lama. Bukan berkaitan dengan parti politik.
"Suspek bernama Wak itu adalah individu yang berdendam dengan mangsa," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Beliau berkata, kes ini dianggap selesai dan semua suspek direman sehingga Khamis depan untuk siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Dalam kejadian itu, Norizan, 41, parah diserang dua lelaki bersenjatakan parang selepas pulang daripada menonton perlawanan bola sepak.
Beliau diserang di hadapan rumahnya di Taman Dagang Ampang.

Tiada ulasan: