Isnin, 5 November 2012

KERJANYA ASYIK MENAFILAH...NAK CAKAP APA LAGI...RAKYAT TELAH MEMBACA SELAMA 55 TAHUN...RAKYAT TAHU SAPE KAKI AUTA DAN GADAI NEGARA...ANJUR MAKSIAT DAN TAK PERJUANGANKAN ISLAM...ALLAH LAGI LAH SANGAT TAHU SAPE DIA PENYAMUN TARBUS

Nurul Izzah nafi remeh soal akidah, sokong murtad
RUZY ADILA IDRIS
5 November 2012
Nurul Izzah Anwar
Nurul Izzah Anwar
SHAH ALAM – Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menafikan beliau meremehkan soal akidah atau mudah menerima orang Islam yang memilih untuk murtad seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai juga berasa kesal apabila ada pihak cuba memutarbelitkan kenyataannya berhubung isu paksaan dalam agama melibatkan masyarakat Melayu di negara ini.

“Saya cenderung mendukung program pendididkan dan dakwah untuk memperkukuh akidah serta meningkat kefahaman terhadap Islam.

“Saya berdoa agar ALLAH SWT memberikan petunjuk dan hidayah kepada semua, demi kesejahteraan bersama,” katanya dalam satu kenyataan.

Kelmarin, sebuah portal media berbahasa Inggeris melaporkan Nurul Izzah mengatakan rakyat tidak seharusnya dipaksa untuk mengamalkan agama tertentu dan ini juga termasuk kepada orang Melayu.

"Jika anda bertanya kepada saya, tidak ada paksaan dalam agama, bagaimana kamu boleh minta maaf, (kebebasan beragama) ini hanya terpakai kepada bukan Melayu, ia perlu terpakai secara sama rata,” katanya yang dipetik dari portal berita itu.

Dalam pada itu, beliau berkata, ketika menjadi panelis dalam satu forum bertajuk ‘Islamic State: Which version? Whose responsibility?’, beliau turut ditanya berkait isu paksaan dalam agama melibatkan masyarakat Melayu.

“Saya tegaskan ‘tidak ada paksaan dalam agama (Islam)….’ sebagai yang dirujuk  daripada ayat suci al-Quran, Surah Al-Baqarah, ayat 256. Ungkapan ini merangkumi seluruh umat manusia.

“Saya berpegang pada pendirian umum sedia ada iaitu setelah memeluk Islam, seorang Muslim tertakluk dengan syariat Islam; sebagaimana seorang warganegara tertakluk dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya lagi.





Berikut kenyataan penuh Nurul Izzah:

Saya ucapkan terima kasih di atas pertanyaan lanjutan yang diterima setelah saya menghadiri satu forum bertajuk “Islamic State: Which version? Whose responsibility?” sebagai seorang panelis.

Sewaktu sesi soal jawab, salah satu soalan ditanya kepada saya berkait isu paksaan dalam agama melibatkan masyarakat Melayu. Jawapan saya menegaskan ungkapan – “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam)….” – daripada ayat suci Al Quran, Surah Al-Baqarah, ayat 256. Ungkapan ini merangkumi seluruh umat manusia.

Namun ditambah, saya berpegang pada pendirian umum sedia ada, iaitu setelah memeluk Islam, seorang Muslim tertakluk dengan Syariat Islam; sebagaimana seorang warganegara tertakluk dengan Perlembagaan Persekutuan.

Saya kesal kerana ada percubaan memutarbelitkan kenyataan saya seolah-olah saya meremehkan soal aqidah atau mudah menerima orang Islam yang memilih untuk murtad.

Saya cenderung mendukung program pendididkan dan daawah untuk memperkukuh aqidah dan meningkat kefahaman terhadap Islam.

Saya berdoa agar Allah SWT memberi petunjuk dan hidayah kepada semua, demi kesejahteraan bersama.
Cara baru PR lebih demokrasi
Wartawan Sinar Harian
5 November 2012
 Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi berucap pada program Himpunan Kebangkitan Rakyat di Taman Seremban Jaya, malam kelmarin
SEREMBAN – Pakatan Rakyat (PR) akan mengubah cara berpolitik di negara ini kepada cara baru yang lebih demokrasi tanpa ada unsur perkauman apabila mentadbir kerajaan kelak.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, cara politik yang diamalkan Barisan Nasional (BN) sudah ketinggalan zaman malah merupakan cara pemikiran sempit.

“Parti dibentuk daripada bangsa di mana parti orang Cina untuk orang Cina (merujuk MCA) dan parti orang India untuk orang India (merujuk MIC).

“Berbeza dengan parti PR yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Pas parti Islam pelbagai kaum di mana orang bukan Islam juga boleh sertai Dewan Himpunan Penyokong Pas. Begitu juga PKR dan DAP yang disertai pelbagai kaum dan agama," katanya.

Abdul Hadi kemudiannya mengajak rakyat di negara ini melakukan perubahan politik di Malaysia dengan menyokong cara baru PR.

“Kita buat perubahan dengan cara Pakatan Rakyat.. Insya-ALLAH,” katanya sambil disambut laungan takbir daripada ribuan penyokong yang hadir.

Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, PR akan melaksanakan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di seluruh negara bagi membanteras gejala rasuah jika berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Kita juga akan lancarkan AES, tapi bukan untuk kesalahan trafik, tapi basmi dan banteras rasuah yang berleluasa di negara ini.

“Satu cara untuk basmi rasuah adalah melalui AES. Jika ada sesiapa yang memiliki kekayaan dan pendapatan luar biasa, secara automatik mereka akan diheret ke mahkamah,” katanya.

Menurutnya, indeks rasuah dunia menunjukkan Malaysia berada pada nombor 60 berbanding sebelum ini iaitu pada nombor 23 membuktikan lagi kegagalan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
PR: Umno mula bimbang jika Hadi tanding di Pekan
JAMILAH HAMZAH
4 November 2012
SHAH ALAM - Beberapa pemimpin Pakatan Rakyat (PR) mendakwa reaksi Umno berhubung kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang sedia mencabar Datuk Seri Najib Tun Razak di Pekan menunjukkan mereka sudah mula bimbang kemungkinan kekalahan Perdana Menteri di kubu kuatnya.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution berkata, kenyataan Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan jelas menggambarkan Umno takut 'kehilangan' Najib di Pekan.

Menurutnya, PR percaya dengan harapan rakyat yang mahukan perubahan kerajaan di peringkat pusat.

"Ahmad perlu matang dan mengetahui sejarah kedudukan Najib pada pilihan raya umum tahun 1999 yang kemenangan beliau hanya 200 lebih undi, dan diselamatkan melalui persempadanan baru pilihan raya umum.

"Jadi kita rasa, Umno takut dengan  Presiden Pas  yang menyampaikan hasratnya untuk bertanding di Pekan baru-baru ini.

"Kita juga percaya kepada kehendak rakyat dan kebijaksanaan rakyat untuk membuat keputusan serta pilihan," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Semalam, Ahmad  berkata, pihaknya melihat perkara tersebut sebagai pelik memandangkan Parlimen Pekan bukan kubu kuat Pas, DAP mahupun PKR.

Beliau juga menasihatkan agar Hadi, kini Ahli Parlimen Marang, Terengganu, tidak mengambil tindakan yang boleh 'makan diri' sendiri.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar turut berpendapat bahawa Ahmad memperlihatkan kebimbangan kemungkinan Najib akan kalah.

"Dia sendiri takut Najib kalah," katanya.
Bawa saya ke mahkamah, Nazri cabar Rafizi
MOHAMMAD FAIRUZ JUMAIN
4 November 2012
Nazri - Rafizi
Nazri - Rafizi
SHAH ALAM – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz mencabar Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung beberapa dakwaan melibatkan diri dan anaknya.

Nazri turut mencabar Rafizi mengambil tindakan undang-undang ke atasnya kerana terlalu yakin mempunyai bukti kukuh membabitkan anaknya yang menggunakan kenderaan mewah milik ahli perniagaan Micheal Chia.

“Saya cabar dan tunggu di mahkamah. Saya tidak perlu buat laporan ke atasnya, dia yang menuduh, maka dia yang patut bawa ke mahkamah. Undang-undang negara kita, siapa menuduh, dia yang perlu dakwa dan buktikan, bukannya orang dituduh.

“Saya juga cabar dia buat laporan kepada SPRM. Saya tunggu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kelmarin, Rafizi mencabar Nazri mengambil tindakan undang-undang ke atas dirinya kerana dituduh menyebarkan fitnah.

Sebelum itu, Rafizi turut menayangkan tujuh klip rakaman video berhubung penggunaan kenderaan mewah itu.

Bagaimanapun, hasil pemerhatian wartawan Sinar Harian mendapati anak menteri terbabit bersama ahli keluarganya tidak menggunakan kenderaan itu, sebaliknya menggunakan kenderaan sendiri iaitu Toyota Vellfire berwarna hitam dan Audi R8 berwarna hijau.

Kenderaan mewah itu hanya dikendalikan oleh pemandu dan pengawal peribadi kepada anak menteri itu, walaupun ia disimpan di kediamannya di salah sebuah kondominium di ibu kota.

Rafizi turut menggesa Nazri mengikut langkah bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang bercuti dari Kabinet berikutan pendedahan isu syarikat milik suaminya National Feedlot Corporation (NFCorp) yang kini masih disiasat.
150 penghuni kuarters IPD Gombak dibenarkan pulang
AHMAD ISMADI ISMAIL
4 November 2012
150 penghuni kuarters IPD Gombak dibenarkan pulang
Kawasan tebing yang runtuh ditutup dengan kanvas.
KUALA LUMPUR - Seramai 150 penghuni Blok F1 kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak dibenarkan kembali ke unit masing-masing hari ini selepas Jabatan Kerja Raya (JKR) mengesahkan ia selamat untuk diduduki.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superitenden Rosly Hassan berkata, anggota bomba dan penyelamat  juga memaklumkan bahawa tiada sebarang pergerakan tanah berlaku, namun pemantauan 24 jam dilakukan bagi tujuan keselamatan. 
"JKR telah menutup kawasan tanah runtuh dengan kanvas dan kerja pembersihan akan dilakukan esok," katanya. 

Sementara itu, Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Sohaimi Shahadan ketika melawat lokasi kejadian menggesa tindakan segera diambil oleh JKR bagi memastikan keselamatan penghuni.
"Penghuni yang telah dibenarkan memasuki semula rumah dinasihatkan agar mengikut setiap arahan yang dikeluarkan dan sentiasa berjaga-jaga," katanya. 
Salah seorang penghuni Shazlinda Abdul Halim, 19, meluahkan perasaan bimbang meskipun blok berkenaan dilaporkan selamat untuk didiami. 
"Saya sekeluarga masih bimbang untuk mendiami rumah ini, namun kami tiada pilihan kerana tiada rumah lain untuk tinggal," katanya. 
Dalam kejadian tanah runtuh 6 petang semalam, 32 keluarga di Blok F1 berkenaan terpaksa berpindah selepas berlaku kejadian tebing runtuh di kawasan cerun kira-kira dua meter dari kediaman mereka.
Januari kemuncak kebangkitan rakyat, kata Mat Sabu
Wartawan Sinar Harian
5 November 2012
Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu
Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu
SEREMBAN – Kemuncak program Himpunan Kebangkitan Rakyat akan diteruskan PR di Kuala Lumpur,Januari tahun depan.

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, pihaknya yakin program himpunan akhir itu bakal mengumpulkan lebih 1 juta kehadiran rakyat setelah melihat sambutan ramai pada pelancaran program tersebut sekalipun berlangsung dalam keadaan hujan lebat.

“Malam ini hanya pelancaran dan selepas ini kita akan adakan himpunan kedua pada 16 November di Stadium Sultan Muhammad ke-4, Kota Bharu dan saya berharap rakyat dapat terus menyokong program himpunan ini di setiap negeri.

“Seterusnya akan diikuti  himpunan peringkat zon di Pahang, Kedah, Johor Bahru dan Perak. Manakala himpunan pada peringkat negeri yang dihadiri pimpinan lapisan kedua akan dimulakan di Melaka, Pulau Pinang, Perlis dan lain-lain sebelum kita akhirnya bersama-sama berkumpul di Kuala Lumpur iaitu pada Januari tahun depan,” katanya.

Menurutnya, program dan himpunan itu diadakan bertujuan menggesa lapan tuntutan Gabungan Menuntut Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) sekali gus memperjuangkan hak rakyat.

Beliau yang juga Pengarah Program berkata, pemilihan pelancaran program di negeri ini berikutan PR yakin Negeri Sembilan negeri paling awal   dirampas PR pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Kita jangkakan hari mengundi, pada jam 7 malam kita sudah mengetahui bahawa Wisma Negeri akan ditawan PR," katanya.
Puteri Umno bidas Hadi dakwa komponen BN rasis

4 November 2012
Rosnah Abdul Rashid Shirlin
Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin
KUALA LUMPUR - Pergerakan Puteri UMNO membidas kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mendakwa parti komponen Barisan Nasional (BN), terutama MCA dan MIC, bersifat perkauman.
Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata kenyataan itu membuktikan Presiden PAS adalah seorang yang berfikiran sempit serta gemar menggunakan politik berunsur fitnah.
"Kenyataan Abdul Hadi membuktikan bahawa pemimpin pembangkang di negara ini lebih gemar menyebar fitnah meskipun mereka sedar bahawa perkara tersebut adalah salah serta dilarang oleh agama.
"Keadaan ini amat mengecewakan kerana ketika semua parti komponen BN bekerja keras membela nasib rakyat, pembangkang pula bekerja keras memutar-belitkan fakta untuk memfitnah," katanya.
Beliau mengulas ucapan Abdul Hadi pada perhimpunan jalanan di Seremban semalam yang mendakwa parti komponen BN terutama MCA dan MIC bersifat perkauman kerana dianggotai satu kaum sahaja manakala parti pembangkang tidak begitu dan dianggotai pelbagai kaum.
Sehubungan itu, Rosnah mengingatkan rakyat supaya tidak sekadar menerima dakwaan pembangkang tanpa menimbang usaha dilaksanakan kerajaan yang sudah jelas terbukti.
Beliau berkata perpaduan yang sedia wujud hari ini bukan datang dengan mudah dan negara melalui pelbagai cabaran serta ujian sejak mula mencapai kemerdekaan.
"Jadi, janganlah kita memusnahkan keharmonian dan perpaduan yang wujud ini melalui cara mudah terpengaruh dengan dakyah pihak tertentu yang ingin memecah-belahkan kerjasama rakyat yang sedia ada.
"Untuk meruntuh atau memusnahkan perpaduan dan kerjasama antara kaum amat mudah sekali, tetapi untuk membinanya, kita terpaksa mengambil masa yang lama," katanya.
Rosnah juga berkata pembangkang sanggup mengkucar-kacirkan keharmonian negara dengan politik fitnah demi mengejar impian mereka yang terlalu ingin untuk memerintah.
Beliau turut mengingatkan rakyat supaya mengambil pengajaran daripada pengakuan bekas Naib Pengerusi Kebangsaan DAP Tunku Abdul Aziz Ibrahim yang pernah berkata bahawa penyertaannya dalam parti itu merupakan satu kesilapan
besar.
Tunku Abdul Aziz dalam satu kenyataan sebelum ini berkata beliau tertipu dengan kenyataan DAP yang mendakwa kononnya parti itu memperjuangkan kepentingan pelbagai kaum.- Bernama
Mat Sabu: Pakatan yakin tawan Negeri Sembilan
JAMILAH HAMZAH
4 November 2012
Hujan tidak halang Himpunan Kebangkitan Rakyat
Pengunjung yang membanjiri program walaupun hujan renyai.
SHAH ALAM - Pakatan Rakyat (PR) yakin bahawa Negeri Sembilan bakal ditadbir oleh perikatan itu ekoran "kebangkitan rakyat", yang diperlihatkan pada program Himpunan Kebangkitan Rakyat di Seremban, semalam.

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, PR mempunyai keyakinan akan menawan Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) berdasarkan sokongan ditunjukkan rakyat dengan menghadiri majlis semalam walaupun dalam keadaan hujan.
Menurutnya,  pada tahun 2008 PR tidak memiliki kekuatan seperti sekarang.
PR dianggotai Pas, PKR dan DAP. Kini ia mentadbir Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.
Bagaimanapun apabila semua parti bekerjasama dalam setiap program yang dianjurkan PR, katanya, ia menunjukkan pembangkang semakin kuat.
"Kita yakin PR akan menang untuk tawan Negeri Sembilan pada kali ini.
"Kita kata sebegitu kerana rakyat turun menunjukkan sokongan kepada semua program yang kita buat termasuk Himpunan Kebangkitan Rakyat, semalam.

"Walaupun cuaca tidak menentu dan hujan tapi sambutan masih menggalakkan, dan semua ahli parti di kawasan itu juga bekerjasama untuk menjayakannya, kami semakin kuat daripada tahun 2008," kata beliau kepada Sinar Harian Online hari ini.
Semalam, PR telah mengadakan Himpunan Kebangkitan Rakyat di Negeri Sembilan dan menampilkan barisan pemimpin PR, artis-artis dan aktivis-aktivis.

Mengulas lanjut, Mohamad Sabu berkata, PR akan terus mengadakan Himpunan Kebangkitan Rakyat - yang paling besar Januari depan.
Berdasarkan maklumat sebelum ini, PR menganjurkan perhimpunan semalam untuk menyegarkan semula tuntutan ke arah pilihan raya yang bebas dan adil.
TPM: Pakatan cacamarba, jangan gadai negara

4 November 2012
 Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin memegang sepanduk "BN Untuk Semua " ketika merasmikan majlis Perjumpaan Khas TPM bersama jentera pilihanraya Barisan Nasional (BN) parlimen Pagoh
PAGOH - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meminta rakyat supaya tidak memperjudikan masa depan negara dengan cuba memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat (PR), sebaliknya terus bersama Barisan Nasional (BN) demi menjamin masa depan.
Beliau berkata, kerajaan BN sudah mempunyai pelbagai pengalaman dalam mentadbir negara sejak 55 tahun lepas berbanding PR yang dilihat semakin 'bersimpang-siur' dan 'cacamarba' dalam pentadbiran mereka.
"Masa depan tidak boleh diperjudikan," kata Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN semasa berucap pada majlis perjumpaan khas anggota jentera pilihan raya BN Pagoh, di sini, hari ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata di 'musim kilang-kilang fitnah bekerja 24 jam' ketika ini,  rakyat diminta supaya jangan sesekali bersifat ingin mencuba nasib dengan menyokong pakatan pembangkang yang hanya pandai menabur janji tetapi tidak ditepati.
"Dia (pembangkang) janji macam-macam. Kata boleh buat lebih baik dari kita (BN) tetapi tidak boleh. Mereka tidak sepakat, jadi, bagaimana hendak tubuh kerajaan.
"Hari-hari ada berita dari Selangor. Bukan BN hendak bohong tetapi bila ditanya, mereka (pembangkang) tidak dapat jawab,soal air di Selangor, saya hendak lihat bagaimana Selangor menyelesaikan masalah itu," tegasnya.
Mengenai jentera pilihan raya BN Pagoh, Muhyiddin menasihatkan jentera di 46 Pusat Daerah Mengundi itu supaya bekerja keras demi mencapai kemenangan.
Matlamat BN untuk mendapat majoriti lebih besar pada pilihan raya umum akan datang akan tercapai sekiranya anggota jentera mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan, katanya. - Bernama
Anak bekas ahli Parlimen Pasir Puteh parah ditetak
AHMAD ISMADI ISMAIL
4 November 2012
KUALA LUMPUR - Anak bekas Ahli Parlimen Pasir Puteh, Wan Mohd Faizal Wan Mohd Najib, cedera parah di kepala, tengkuk dan tangan akibat ditetak oleh tiga lelaki bersenjatakan parang di Wangsa Maju di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, mangsa berusia 24 tahun terpaksa berlari sejauh kira-kira 30 meter menyelamatkan diri dalam keadaan berlumuran darah sebelum rebah di sebuah restoran.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Othman Abu Bakar berkata, ketika kejadian mangsa yang bekerja sebagai jurujual kereta berjalan berseorangan dan didatangi tiga lelaki.

"Dipercayai dua lagi rakan suspek menunggu di dalam kereta jenis Proton Perdana warna hitam, berlaku pergelutan antara mangsa dan tiga lelaki berkenaan, mangsa terkena beberapa tetakan di kepala, tengkuk dan tangan" katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian melarikan diri dan rebah di restoran.

"Orang awam dan pelayan di restoran kemudian menghubungi polis dan ambulans, mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan, difahamkan mangsa kini ditempatkan di wad unit rawatan rapi," katanya.

Othman berkata, pihaknya masih menyiasat motif sebenar kejadian. Kamera litar tertutup di lokasi kejadian tidak dapat memberi sebarang petunjuk.

"Kami juga mendapati beberapa barang berharga milik mangsa tidak diambil oleh tiga lelaki berkenaan," katanya.
PR: Kami semakin kuat, pandangan Mahathir tiada asas
JAMILAH HAMZAH
4 November 2012
SHAH ALAM - Pakatan Rakyat (PR) menyangkal dakwaan  bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kerjasama perikatan berusia empat tahun itu hanya bersifat sementara.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution berkata, PR tetap bersama mentadbir kerajaan sekiranya menang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Menurutnya, PR akan bersama dengan mengamalkan konsep yang telah dipersetujui parti walaupun mempunyai ideologi yang berbeza.

Tambahnya, "kejayaan PR bersama mentadbir empat negeri yang diperintah membuktikan kita sentiasa bersama dan akan kekal begitu."

"Kenyataan Dr Mahathir adalah untuk menakutkan rakyat, tapi rakyat sudah tidak kisah dan mereka yakin kerajaan alternatif mampu memberi perubahan.

"Kita hendak katakan kenyataan beliau sama sekali meleset, kita semakin kuat dan bersatu," katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.

Kelmarin, Dr Mahathir menyifatkan kerjasama PR bersifat sementara dan sekadar mahu memenangi pilihan raya umum.

Tidak seperti Barisan Nasional (BN) yang mempunyai kerjasama rapat selama 55 tahun dan persefahaman, beliau berkata, dalam pakatan pembangkang itu sendiri sebenarnya tiada persetujuan dan tiada perancangan masa depan.

“Kita harus ingat pakatan bukan gabungan. Pakatan adalah perjanjian secara tidak bertulis yang mahu bekerjasama melawan BN, itu sahaja,” katanya.

Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, jelas PR mempunyai kerjasama dan kebersamaan antara parti dan tidak akan berpecah jika menang pilihan raya pada kali ini.

Dalam pada itu, Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, PR akan tetap kekal bersama sampai bila-bila selagi berpegang kepada konsep yang diamalkan PR.

Beliau juga berkata, rakyat tidak lagi mengambil kisah dengan kenyataan yang berunsur ugutan dan cubaan menakutkan, tetapi mereka sepakat untuk membuat perubahan bersama kerajaan alternatif PR.

"Kata-kata Mahathir sekarang sukar dipegang dan sering berubah, tak apalah kita tak mahu layan dengan kenyataan beliau yang mahu takutkan rakyat itu.

"Kita Pakatan, tetap kekal bersama dan rakyat pun sudah tidak peduli dengan kenyataan-kenyataan pemimpin BN untuk melakukan perubahan kerajaan," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.
10 anggota bomba cedera tangki minyak letup
Rosalwani Che Soh
4 November 2012
10 anggota bomba cedera tangki minyak letup
Anggota bomba memadamkan kebakaran di sebuah kilang tayar tidak beroperasi di kawasan perindustrian Pengkalan Chepa. - Foto Sinar Harian oleh Khiru Shaleh Abdullah
KOTA BHARU- 10 anggota bomba cedera dalam kebakaran yang melibatkan empat tangki minyak di sebuah kilang tayar yang tidak lagi beroperasi di kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa, Padang Tembak di sini pagi tadi.
Anggota bomba berdepan detik cemas selepas dua daripada tangki minyak terbabit yang dipercayai mengalami kebocoran meletup ketika mereka cuba mengawal api dalam kebakaran yang berlaku kira-kira jam 8 pagi itu.

Wartawan dan Jurufoto Sinar Harian juga yang turut berada di lokasi kejadian, sempat menyelamatkan diri dari kebakaran itu yang mengambil masa hampir dua jam untuk dikawal.

Kesemua yang cedera dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan susulan.

Pengarah Bomba Negeri, Azmi Osman berkata, dalam kejadian itu lima anggota dilaporkan mengalami kecederaan parah manakala selebihnya menerima rawatan susulan di HUSM dan HRPZ II.

"Buat masa ini tiga mangsa yang cedera parah iaitu Nazah Napi, Abdullah Mohamad, Abdul Razak Abdullah yang bertugas di Balai Bomba Kota Bharu ditempatkan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

"Selebihnya yang mengalami kecederaan di leher, tangan dan badan menerima rawatan susulan di HUSM dan HRPZ II," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.
Azmi berkata, ketika kebakaran berlaku lima jentera dengan 39 anggota iaitu dari Balai Bomba Kota Bharu, Pengkalan Chepa, dan Darul Naim dihantar ke tempat kejadian.
"Ketika cuba memadam api, bomba menghadapi kesukaran disebabkan masalah bekalan air yang tidak mencukupi namun masih berusaha mengawalnya.
"Buat masa ini punca kebakaran dan kerugian masih disiasat bagi mengenal pasti punca kejadian terbabit," katanya.
Mukhriz: Rakyat Kedah perlu hukum Pakatan kerana gagal tunai janji

4 November 2012
Datuk Mukhriz Mahathir
Datuk Mukhriz Mahathir
BALING - Rakyat semua kaum di Kedah perlu menghukum kerajaan negeri pakatan pembangkang yang diterajui PAS pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) akan datang atas kegagalan menunaikan janji dalam manisfesto mereka pada pilihan raya umum lepas.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata kegagalan pakatan pembangkang menunaikan janji yang mereka buat itu membuktikan mereka bukan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat supaya tidak mudah termakan dengan hasutan PAS dan anggota pakatan pembangkang lain yang kini dilihat semakin terdesak meraih simpati rakyat menjelang PRU-13.
"PAS...menabur fitnah kononnya wang BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) haram dan sebagainya yang berunsur negatif untuk memesongkan fikiran rakyat," katanya semasa merasmikan program Gelombang Merah Peringkat Parlimen Baling di Perkampungan Keda Ulu Bakai di sini hari ini.
Pada majlis itu, Mukhriz yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri turut menyampaikan sumbangan wang dan barang makanan kepada 70 warga emas dan veteran Umno.- Bernama
Salahuddin sedia tentang MB Johor
MOHD FIRDAUS YON
4 November 2012
Salahuddin Ayub
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub
JOHOR BAHRU - Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub tidak menolak kemungkinan akan bertanding bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Serom pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), yang kini disandang Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.

Menurutnya, beliau kini bersedia untuk menentang pemimpin nombor satu di negeri ini sekiranya pucuk pimpinan parti mengarahkannya untuk bertanding di Dun berkenaan.

“Siapa pun di dalam parti tidak kira memegang jawatan Presiden atau sebagainya perlu ikut arahan diberikan.

“Sebab itu bila parti mengarahkan saya untuk pulang ke Johor dan bertanding di sini, saya patuh dan meninggalkan Kelantan.

“Jika parti arah saya untuk lawan Menteri Besar di Dun Serom, saya akan patuh,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejutan dan kesediaan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk bertanding di kerusi Parlimen Pekan pada PRU13, yang kini disandang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kelmarin.

Salahuddin yang merupakan Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, kesediaannya untuk bertanding di Dun Serom itu selari dengan nada yang dilontarkan oleh Ahli Parlimen Marang (Abdul Hadi).

“Saya akan patuh seperti mana Presiden Pas sendiri. Ia akan berlaku sekiranya parti memutuskan ia kelak,” katanya.

Ditanya persiapan jentera parti sekiranya beliau bertanding di Dun Serom, beliau berkata, semua jentera Pas di negeri ini sudah bersedia untuk memastikan kemenangan Pas dan calon-calon pakatan pembangkang di setiap kerusi yang ditandingi.

“Jentera tidak mempunyai masalah. Jika pemimpin (calon) sendiri sudah bersedia untuk berkorban, jentera Pas juga akan berjuang seperti mana dilakukan sebelum ini.

“Mereka (jentera) sentiasa taat dan patuh kepada parti serta kepimpinan,” katanya.

Selain itu, Salahuddin berkata, pembahagian kerusi dalam kalangan Pakatan Rakyat (PR) di negeri ini sudah 95 peratus selesai sekali gus tidak timbul dakwaan berlakunya masalah berhubung perkara berkenaan.

Tiada ulasan: