Sabtu, 3 November 2012

BILA KEBANGKITAN RAKYAT TAK BOLEH SEKAT SERTA DIHALANG...MUNGKIN TERTINDAS...DIZALIMI SERTA TERTIPU TERLALU LAMA

Kelantan dapat RM46 juta dari projek Lembah Sireh

Salmah Mat Husain foto Rizal Tahir, 03 Nov 2012

(Sidang media selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri Kelantan)

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan telah memperolehi pulangan sejumlah RM46 juta dari projek Pembangunan Lembah Sireh yang mula beroperasi 2007.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob, berkata pulangan itu termasuk RM3 juta untuk projek kos rendah dan bantuan kepada petani di Lembah Sireh.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas selepas mesyuarat exco, di Bilik Mesyuarat MMK, di Kota Darulnaim, di sini baru-baru ini.

Sidang media itu khusus untuk menjawab tomahan pihak tertentu terhadap kelewatan projek pembangunan Lembah Sireh sehingga membuat laporan SPRM.

Katanya,  peruntukkan itu tidak termasuk yang diperolehi oleh MPKB setiap bulan yang dianggarkan RM906,000 setahun untuk bayaran cukai pintu.

“Walaupun projek ini belum lagi berjaya sepenuhnya namun imbuhan telah diperolehi kerajaan negeri bukan sahaja modal tidak pernah dikeluarkan untuk projek pembangunan ini,”ujarnya.

Katanya lagi projek pembangunan Lembah Sireh dibangunkan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama pihak swasta, malah kerajaan negeri tidak mengeluarkan wang walau satu sen pun untuk pembangunan itu.

Bagaimanapun kerajaan negeri menyediakan tanah dalam bentuk pajakan seluas 717 ekar dari 1,000 ekar mengikut perjanjian asal bagi memperolehi beberapa pulangan dalam bentuk seperti masjid, stadium tertutup seperti perjanjian pada tahun 2003.

“Apabila hanya sejumlah 717 ekar sahaja diperuntukkan, pulangan pada kerajaan negeri tidak akan diperolehi sebagaimana yang dijanjikan.

“Kerana kekurangan itu, terutama disebelah Zon B, iaitu dari Istana Kota Lama ke Kampung Cina, kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah 150 ekar kepada syarikat terbabit,”ujar Ahmad (gambar).

Bagaimanapun,  kerana projek tebatan banjir  seluas 100 ekar tanah di situ pula tidak dapat dilaksanakan projek pembangunan mengikut yang dirancangkan.

Ahmad seterusnya memberitahu, kelulusan projek pembangunan EIA pula diluluskan pada tahun 2006 dan seterusnya mendapat kelulusan pula dari pihak MPKB.

Kerana itu, menurutnya pada tahun 2007 Pasaraya Tesco mula didirikan.

“Lagipun kerajaan negeri mempunyai masa yang panjang lagi untuk menyiapkan projek itu yang bermula pada tahun 2007 hingga 2019,”ujarnya.

Ahmad seterusnya memberitahu, selain kerajaan negeri tidak mengeluarkan wang, pada masa yang sama kerajaan negeri telah berjaya menyelamatkan wang sejumlah RM500 hingga RM600 juta untuk kos tebatan banjir sebenar di situ.

Katanya, kebiasaannya kos untuk 2 kilometer sebanyak RM262 juta peruntukkan yang diperlukan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kebudayaan dan Pelancongan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan, bagaimanapun beranggapan laporan Ombak ke SPRM supaya menyiasat kelewatan pembinaan itu perkara biasa dan kerajaan negeri mengalu-alukannya.

Bagaimanapun, katanya kerajaan negeri berharap semua urusan siasatan perlu diserahkan pada SPRM sendiri dan tidak perlu dicampuri oleh pihak luar.

Pada masa yang sama beliau menyeru semua pihak menerima keputusan yang dibuat oleh SPRM tanpa sebarang kenyataan tidak puas hati sehingga menganggap badan itu berat sebalah dan sebagainya.

Beliau turut mendedahkan empat perkara yang disyorkan oleh SPRM kepada Unit Pembangunan Ekonomi Negeri berhubung projek itu,  membuat penilaian terhadap sumbangan syarikat yang bekerjasama dengan kerajaan negeri dan penilaiannya hendaklah berdasarkan nilaian tanah semasa dan kemudahan yang disediakan.

Keduanya, kata Takiyuddin lagi setiap projek usahasama perlu dikaji dengan teliti oleh pakar dan agensi kerajaan negeri dilantik untuk mengurus dan memantau dan perlaksanaan projek.

“Pihak UPEN perlu mengambil tindakan segera untuk memastikan syarikat menyerahkan bon jaminan pelaksanaan sebagaimana dalam perjanjian.

“Ketiganya kerajaan negeri perlu meneliti setiap terma dalam perjanjian usahasama dengan terperinci supaya kepentingan kerajaan negeri dan rakyat terjamin,”ujarnya lagi.

Sambungnya, kaedah yang dilakukan oleh kerajaan negeri dalam setiap projek pembangunan adalah saluran biasa mengikut undang-undang.

Sambungnya, mendakwa kegagalan projek itu suatu penyelewengan adalah suatu perkara yang tidak betul.

Malah, katanya tiada penyelewengan dalam projek Lembah Sireh ini seperti yang dihebohkan oleh pihak tertentu untuk tujuan-tujuan tertentu.

Takiyuddin seterusnya memberitahu, jumlah keseluruhan projek yang dipersetujui untuk projek pembangunan 716.8 ekar, bagaimanapun syarikat hanya menebusguna tanah berkenaan sebanyak 230 ekar.

“Sehingga kini hanya lima peratus sahaja projek pembangunan telah dilaksanakan dikeluasan terbabit yang diberi milik melalui pajakan,”ujarnya.

Ketua CIA di Mesir bincang isu keselamatan

Terjemahan Mohamad Yahya, 03 Nov 2012
KAHERAH: Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA) David Petraeus berangkat ke Kaherah Rabu lalu untuk lawatan dua hari bagi membincangkan isu keselamatan dan memerangi keganasan, lapor pegawai-pegawai Mesir.
Petraeus akan mengetuai delegasi Amerika Syarikat yang akan bertemu dengan pegawai-pegawai tertinggi keselamatan Mesir untuk bertukar maklumat tentang memerangi keganasan.

Para pegawai Mesir bercakap dengan syarat tidak mahu nama mereka didedahkan kerana mereka tidak diberi kebenaran untuk bercakap kepada pemberita.

Jurucakap Kedutaan Amerika Syarikat enggan untuk memberi maklumat mengenai lawatan tersebut.

Lawatan ini dibuat kerana Mesir mula mengetatkan kawalan ke atas suspek militan.

Minggu lalu, pihak keselamatan Mesir mengenal pasti  seorang militan dari Libya - yang terbunuh selepas meletupkan bom semasa diserbu – sebagai suspek kes serangan maut ke atas misi Amerika Syarikat di Benghazi 11 September lalu yang mengakibatkan empat warga Amerika mati, termasuk Duta Amerika Syarikat, Chris Stevens.

Menurut laporan terperinci Kementerian Dalam Negeri Mesir Rabu lalu, mereka telah menahan 13 militan yang disyaki merancang operasi untuk menjejaskan kestabilan negara dalam beberapa siri serbuan.

Serbuan yang dibuat sejak beberapa minggu lalu di beberapa kawasan yang berbeza di Mesir mendapati kebanyakan dari mereka mempunyai bahan letupan dalam jumlah yang besar.

Seorang warga Tunisia adalah antara yang ditangkap dalam satu serbuan pada minggu lepas.

Selepas kejatuhan Muammar Gaddafi, vakum politik dan keselamatan Libya telah mendorong penyeludupan senjata dan militan merentasi sempadan, melalui wilayah-wilayah Mesir ke Semenanjung Gaza. (asharq-e.com)

Himpunan Kebangkitan Rakyat bermula meriah

Harakahdaily, 03 Nov 2012

SEREMBAN:
Program Pelancaran Himpunan Kebangkitan Rakyat di Taman Seremban Jaya di sini bermula meriah petang ini.

Biarpun hujan lebat turun sejak jam 2 petang tadi, namun kehadiran orang ramai ke sini tidak putus-putus sejak tenga hari.

Tirai program dibuka kira-kira jam 4 petang ini sejurus hujan mula reda dengan ketibaan hampir 200 motor berkuasa tinggi yang berkonvoi dari Stadium Paroi ke tapak program di sini.

Ketibaan mereka turut disambut dengan paluan gendang dan alat musik tradisional dari tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India.

Pada ketika ini, sudah hampir 5,000 orang memenuhi tapak program biarpun program utama dengan kehadiran pemimpin utama PAS, PKR dan DAP hanya malam ini.

Keadaan padang yang becak tidak sedikitpun menyukarkan orang ramai untuk berada di tengah-tengah padang.

Sementara itu pihak penganjur turut menyediakan kerusi kepada orang ramai yang hadir.

Petang ini juga turut berlangsung ucapan pembukaan dari ketiga-tiga ketua pemuda PAS, PKR dan DAP negeri.

Dan sekarang ini pula berlangsung konsert nyanyian artis-artis yang telah bersama Pakatan termasuk Aisyah dan Dayangku Intan.

Berikut antara gambar-gambar sekitar yang sempat dirakam Harakahdaily.




Kuwait akan bertindak tegas kepada peserta demo

Terjemahan Mohamad Yahya, 03 Nov 2012
KUWAIT CITY: Pihak berkuasa di Kuwait memberi amaran bahawa mereka akan menggenakan tindakan yang lebih tegas ke atas penunjuk perasaan anti-kerajaan yang menentang pengharaman perhimpunan awam.


Kenyataan Khamis lalu itu adalah berikutan pertempuran antara pasukan keselamatan dan ribuan penunjuk perasaan yang menuntut pembebasan pemimpin pembangkang, Musallam al-Barrack, yang sedang disiasat atas dakwaan menghina Amir Kuwait.

Minggu lalu, Kuwait mengharamkan perhimpunan awam yang melebihi 20 orang dalam cubaan untuk mematahkan protes-protes yang diketuai oleh kumpulan pembangkang termasuk pejuang Islam. Kumpulan pembangkang sedang cuba untuk mendominasi kembali parlimen dalam pilihan raya yang  dijadualkan pada 1 Disember.

Kementerian Dalam Negeri Kuwait berkata pihak tentera akan dengan "tegasnya" bersemuka dengan sebarang protes baru.

Ia berkata "sebilangan besar" penunjuk perasaan telah ditangkap, termasuk seorang pemandu yang didakwa cuba melanggar empat anggota polis Rabu lalu. (Asharq)

Halang: Anak batal program di Felda Lasah

Muhammad Faizal, 03 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) membatalkan program Konvoi Oren Selamatkan Felda Lasah, Sungai Siput bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.


Pengerusi Anak, Mazlan Aliman yang ketika dihubungi Harakahdaily memberitahu beliau dan rombongan telah membatalkan program di Felda Lasah apabila melihat suasana yang sudah tidak terkawal.

"Sekarang konvoi telah keluar dari Felda Lasah dan sebentar tadi lebih sejam kita dihalang oleh sekumpulan pemuda yang bertindak samseng serta bersikap agresif terhadap konvoi Oren.

"Mereka telah menghalang konvoi Oren dari memasuki Felda Lasah dan dianggarkan lebih kurang 100 orang pemuda," jelasnya.

Menurut beliau lagi yang sekarang dalam perjalanan ke Felda Ijok memberitahu satu laporan polis akan dibuat setelah selesai segala program konvoi Oren Selamatkan Felda.

"Saya akan membuat laporan polis setelah selesai program yang telah dirancangkan ini, dan kita mahu pihak polis bertindak tegas atas tindakan samseng sekumpulan pemuda itu.

"Apa yang saya ketahui tedapat kamera milik peserta konvoi telah dimusnahkan dan dicuri, namun tiada kecederaan berlaku," sambungnya.

Beliau yang menjangkakan provokasi dan tindakan agresif itu dilakukan oleh Umno apabila melihat kepada pakaian dan bendera Barisan Nasional yang dibawa oleh sekumpulan pemuda tersebut.

Tambahnya lagi, beliau juga turut mendapat maklumat bahawa perseta konvoi ini akan turut dihalang memasuk Felda Ijok dan Felda Sungai Tengi.

"Maklumat telah kita perolehi dan dimaklumkan anggota Rela digunakan bagi menghalang kami memasuki Felda Sungai Tengi dan juga Ijok.

"Konvoi ini aman bukan untuk membuat kacau, kami hadir untuk memberi penerangan terhadap peneroka Felda dan kenapa perlu bertindak samseng," tegas beliau.

Sebelum itu, Anak bersama 20 buah kenderaan melalui program konvoi Oren selamatkan Felda telah tiba di Felda Lasah namun dihalang oleh sekumpulan pemuda di pintu masuk Felda tersebut.

Mazlan yang menaiki kenderaan pacuan empat roda bersama-sama dengan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria telah ditarik keluar dari kenderaan tersebut dan ditolak dengan kasar oleh pemuda-pemuda yang menghalang mereka.

Selain itu juga terdapat banner dan kain rentang dengan tulisan mencaci Mazlan secara peribadi selain makin hamun.

Terdapat 10 orang anggota polis berada di tempat kejadian yang cuba mengawal keadaan namun gagal meredakan keadaan.

Kehadiran 15 anggota Unit Amal diketuai Pengarah Amal Negeri Perak, Arif Muhammad serta Unit Keselamatan Pimpinan (UKP) seramai 8 orang berjaya menangani suasana provokatif yang dilakukan sekumpulan pemuda yang dipercayai penyokong Umno.

Mazlan, konvoi Kembara Oren dihalang di Sg. Siput

Harakahdaily, 03 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Konvoi 20 kenderaan Kembara Oren Selamatkan Felda ke Felda Lasah di Sungai Siput, Perak berdepan halangan apabila dikepung lebih 100 orang yang meyekat perjalanan mereka.


Insiden itu berlaku kira-kira jam 10 pagi tadi, sejurus pasukan konvoi yang turut disertai Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman tiba di pintu masuk gugusan felda berkenaan.

“Kemungkinan lebih dari 100 orang yang menghalang dan mengepung kenderaan kami dan jumlahnya bertambah ramai.

“Kebanyakan mereka memakai baju berlogo Umno dan BN,” katanya kepada Harakahdaily.

Mazlan berkata, beliau turut disentap keluar dari kereta oleh beberapa pemuda dan menolaknya.

Tidak cukup dengan itu, kumpulan itu juga katanya turut mengeluarkan kata-kata kesat kepadanya.

Keadaan itu kemudian menjadi makin tengang dan sekurang-kurangnya 10 anggota polis turut berada di tempat kejadian.

“Kami datang secara aman dan bukan nak buat kacau, tetapi kami dihalang,” tambahnya.

Bagaimanapun menurut Mazlan, tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku walaupun suasana agak tegang.

Tidak mahu perkara lebih buruk berlaku, Mazlan berkata pihaknya terpaksa membuat keputusan berundur dari tempat itu atas nasihat pihak polis.

Mereka kemudian keluar dari tempat tersebut kira-kira jam 11 pagi.

"Saya yakin sebahagian besar mereka ini adalah orang luar dan diupah pihak tertentu untuk menghalang kami," kata Mazlan lagi.

Kembara Oren Selamatkan Felda adalah anjuran Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Perak yang di pengerusikan Razman Zakaria dengan kerjasama NGO Anak.

Kembara tersebut akan menjelajah ke kawasan Felda di seluruh negeri bagi memberi penerangan kepada masyarakat khususnya peneroka tentang isu terkini berkenaan Felda.

Selain bertemu warga felda, kembara ini juga turut membawa risalah penerangan berhubung isu-isu berkaitan felda untuk disebarkan kepada warga peneroka.

Mengulas lanjut Mazlan berkata, pasukan kembara itu kini meneruskan kembara ke destinasi seterusnya iaitu ke Felda Ijok, Larut sebelum ke beberapa Felda di Lenggong termasuklah Felda Lawin Selatan, Felda Lawin Utara dan Felda Papulut.

"Kami tak tahu apa lagi di hadapan kami. Ada kedengaran kami juga akan di halang lagi selepas ini.

"Saya tetap yakin ini adalah provokasi pihak luar yang dirancang," katanya.

PAS adakan konvensyen di tengah gelora politik Johor

Harakahdaily, 03 Nov 2012


BATU PAHAT: Di tengah-tengah gelora politik yang sedang melanda Johor, PAS negeri itu mengadakan konvensyennya esok, 4 November.

Ia diadakan sehari selepas semua pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat berhimpun dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat di Senawang, Negeri Sembilan.

Dengan tema 'Pecutan Terakhir ke Nusajaya' Konvensyen ini akan diadakan di  Markaz PAS Johor, Kampung Parit Bisu, Batu Pahat.

Ia akan dirasmikan oleh Haji Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS. Hari ini, Mohamad Sabu adalah pengarah Himpunan Kebangkitan Rakyat yang diadakan di Negeri Sembilan.

Konvensyen ini dijangka akan merangka pelan terakhir menjelang pilihan raya umum yang akan diadakan bila-bila masa.

Johor bersama Sabah dan Sarawak adalah tiga buah negeri yang tertinggal dalam tsunami politik yang melanda negara dalam pilihan raya umum 2008 lalu.

Akibatnya, tidak ada perubahan politik di ketiga-tiga negeri ini ketika hampir kesemua negeri lain sudah berubah sehingga menyebabkan BN kehilangan kuasa dua pertiga undinya dalam Dewan Rakyat.

Kali ini, penganalisa politik menyatakan, tsunami kecil akan melanda ketiga-tiga negeri ini. Jika ia benar-benar berlaku, keputusan pilihan raya umum akan datang akan jauh berbeza.

"Saya ramalkan BN akan jatuh dalam pilihan raya akan datang ini," kata Datuk Yahya Lampong, pemimpin politik Sabah yang kini aktif semula (selepas lama bersara) kerana sangat teruja dengan perkembangan politik yang ada.

Dengan bertanding 28 - 30 dari 56 kerusi DUN Johor, penerimaan terhadap PAS bakal menentukan tsunami akan benar-benar berlaku di Johor atau tidak kali ini.

Umno, NGO perlu baiki rumah sendiri dahulu

Salmah Mat Husain|Foto Zam Zamani, 03 Nov 2012
KOTA BHARU: Umno dan NGO pro parti itu diminta memperbaiki kedudukan rumah tangga sendiri terlebih dahulu sebelum mencari kesilapan pihak lain, kerana kesannya begitu buruk apabila terkena diri sendiri.
Anggota Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata tindakan Pemuda Umno Kelantan dan NGOnya yang mengkritik kelewatan pembangunan Lembah Sireh juga dilihat sebagai menutup kelemahan diri sendiri.

“Antaranya kelewatan pembinaan Jambatan Sultan Yahya Petra kedua, ketirisan projek, terbengkalai dan berbagai lagi kelemahan yang dilakukan oleh pemimpin mereka.

“Kerana nak menutup kelemahan diri, mereka menyerang kerajaan negeri terutama masaalah air, pembangunan Lembah Sireh dan berbagai lagi walaupun ianya bukan suatu isu dan tidak berlaku masaalah,”ujarnya.

Zailah berkata demikian ketika dihubungi bagi mengulas tindakan Pemuda Umno Kelantan dan NGO Ombak projek pembangunan Lembah Sireh lambat siap dan SPRM perlu melakukan siasatan.

Beliau turut menempelak tindakan Umno itu seumpama ‘mengangkat dulang paku serpih, mengata negeri orang negeri dia yang lebih cacamerbanya.

Sambungnya, parti itu perlu menyemak di setiap negeri lain sebelum mengkritik Kelantan dalam semua hal sama ada masalah air, projek pembangunan yang banyak tertangguh sehingga terpaksa disuntik berulang kali untuk mendapatkan dana baru.

“Sebelum menekan Kelantan dalam masaalah air, cuba kaji dulu di negeri Pahang, Sabah dan Sarawak, bagaimana keadaan air di negeri yang diperintah Umno dan BN,”ujarnya.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz sebelum ini ketika mengulas perkara itu memberitahu pemimpin parti itu telah bertukar antara orang gemuk dan sembab, malah berdiam diri soal kelewatan pembinaan Jambatan Sultan Yahya Petra kedua.

Tiada ulasan: