Ahad, 20 Mac 2011

UMUR KITA..DAN UMUR MEMERINTAH@BERKUASA SEMUA DALAM KETENTUAN ALLAH .KITA HANYA BERUSAHA..TAKDIR ALLAH TAK BOLEH KITA PINDA..SEDARLAH KITA PASTI MATI

DAP gesa rakyat S'wak nafi BN majoriti dua pertiga
Regina Lee
Mac 20, 11
3:43pm


Tidak lama selepas Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengumumkan pembubaran dewan undangan negeri, DAP negeri terus melancarkan kempennya, dengan penasihatnya, menggesa supaya menafikan BN dua pertiga majoriti.

Lim Kit Siang yang juga ahli parlimen Ipoh Timur meminta pengundi Sarawak supaya memanfaatkan sepenuhnya peti undi - untuk “memastikan Taib meletak jawatan sebagai KM”.

Lim berkata, dalam tempoh beberapa jam, Taib telah menunjukkan bahawa cakap-cakapnya untuk mengundurkan diri sebagai KM begitu kabur dan hanya beliau sahaja yang menjadi penentu "kepada apa yang dimaksud".

Malah, tegas Lim lagi, Perdana Menteri, Datuk Najib Tun Razak sendiri pun tidak dapat berbuat apa-apa.

Katanya, Taib sebenarnya meminta "sekeping cek kosong" untuk terus menjadi KM sehingga beliau dapat mencari penggantinya dan 'membentuk satu pasukan baru' untuk mentadbir Sarawak.

Dua tugas itu, kata Lim, boleh memberi Taib keseluruhan penggal kerajaan akan datang selepas gagal selama 30 tahun yang lalu untuk menyediakan penggantinya," kata Lim adlam satu kenyataan pagi ini.

Taib telah mengumumkan semalam bahawa beliau akan mengundurkan diri selepas pilihan raya negeri akan datang. Bagaimanapun, tidak pasti beberapa lama Taib bercadang untuk kekal memegang jawatannya selepas pilihan raya negeri nanti.

Taib yang sudah 30 tahun menjadi ketua menteri, pernah membuat pengumuman yang serupa sebelum itu, yang terbaru pada 2006.



Abang Johari pertahan pelan peralihan KM
Mac 20, 11 5:41pm


Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menyangkal dakwaan pembangkang bahawa keputusan presiden parti dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud untuk berundur selepas pilihan raya negeri adalah tidak ikhlas kerana tiada tarikh diberikan.

Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata tidak perlu mengumumkan tarikh untuk meletakkan jawatan atau tempoh masa pelan peralihan itu kerana proses membimbing pemimpin untuk mengambil alih pentadbiran negeri perlukan perancangan rapi tanpa campur tangan pihak luar.

"Beliau (Abdul Taib) tahu apa nak buat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sesi bertemu rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri Pending, anjuran bersama Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), PBB Bahagian Pending dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Bahgaian Penging di dewan Sekolah Menengah Kerajaan (SMK) Pending di Kuching hari ini.

Semalam, Taib, buat pertama kalinya mengumumkan perancangan persaraannya apabila menegaskan pilihan raya negeri ke-10 akan datang adalah yang terakhir baginya sebelum menyerahkan pucuk pimpinan kepada penggantinya.

Pengumuman beliau itu bagaimanapun disambut dengan penuh skeptikal oleh pembangkang.

Ramai di kalangan pembangkang mempersoalkan keikhlasan Taib, dalam blog dan protal berita, apabila ketua menteri yang paling lama berkhidmat di negara ini tidak menamakan bakal penggantinya dan enggan mendedahkan tarikh sebenar beliau akan meletakkan jawatan ketua menteri yang dipegangnya selama tiga dekad.

Selain pelbagai dakwaan oleh pembangkang di internet, terdapat juga kebimbangan di kalangan penyokong setia PBB bahawa akan berlaku perebutan bagi jawatan utama dalam parti itu yang telah menjadi tunggak BN negeri lebih 30 tahun.

Dilaporkan selain daripada Abang Johari, naib presiden kanan parti yang juga Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua negeri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, adalah antara nama yang disebut-sebut sebagai pengganti dalam pelan peralihan itu.

Terdahulu dalam ucapannya, Abang Johari yang juga Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar negeri, menjelaskan keputusan mencalonkan pakar kardiologi terkemuka dunia Prof Dr Sim Kui Hian sebagai calon SUPP dan BN di kerusi Pending yang majoriti penduduknya Cina.

"Tolong nilai prestasi wakil rakyat (Pending) anda selama lima tahun lepas kerana kami tidak dapat berbuat apa-apa jika anda terus mengemukakan aduan kerana kawasan ini di bawah pembangkang," katanya.

Dr Sim, yang bapanya ialah mendiang Tan Sri Sim Kheng Hong, bekas timbalan ketua menteri, kemungkinan akan ditentang oleh peguam Violet Yong, dari DAP yang merupakan wakil rakyat kawasan itu sekarang.

- Bernama




Sarawak Report ikut jejak WikiLeaks
Mac 20, 11 4:55pm


Mengikuti jejak langkah lamanweb pemberi maklumat WikiLeaks - lamanweb Sarawak Report (SR) yang berpangkalan di London - mendakwa telah memuatkan pangkalan data penuh mengenai tanah negeri dan urusniaga terbaru jabatan ukur dan tanah negeri dalam lamanwebnya untuk tatapan umum.

azlanHasilnya? Menurut SR, yang mereka temui adalah apa yang banyak
disyaki - dan telah dilaporkan tetapi tidak diendahkan oleh pihak berkuasa - untuk kebanyakan tempoh 30 tahun Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud mentadbir negeri itu.

Ianya adalah butiran mengenai 1,094 plot tanah yang diambil dalam tahun-tahun kebelakangan ini, yang berjumlah lebih 1.5 juta hektar (15,000 km persegi) yang kini berada dalam tangan syarikat dan individu yang didakwa ada kaitan dengan keluarga Taib, dan premium dibayar atau dibilkan kepada mereka yang dikurniakan tanah tersebut.

SR menunjukkan bahawa kerajaan negeri Sarawak dianggarkan telah menerima hanya RM734 juta bayaran premium daripada mereka yang bertuah mendapat hakmilik.

NONERM734 juta itu kutipan bagi kawasan berukuran 15,000 km persegi, yang keluasannya sama besar dengan 20 kali saiz Singapura!

Menurut SR lagi, jumlah hak milik tanah yang diberikan dalam
tahun-tahun kebelakangan ini, seperti dikira oleh jabatan ukuran dan tanah sendiri, mencecah 1.5 juta hektar.

Kebanyakannya, kata lamanweb itu lagi, membabitkan pengambilan tanah adat, yang telah membabitkan lebih 200 kes pemilikan tanah yang dibawa ke mahkamah.



Protes: Pandu 10km curah sampai di pindu masuk MDBB
Mac 20, 11 7:12pm


Seorang pekerja kilang bertindak memandu sejauh lebih 10km dengan membawa seguni plastik sampah dan dicurahkan di pintu masuk Pejabat Majlis Daerah Bandar Baharu (MDBB) di Serdang hari ini.

Ismail Ahmad, 50, dari Taman Kelisa Emas, Lubok Buntar, dekat Bandar Baharu berkata tindakan yang dilakukannya itu kira-kira jam 9.30 pagi tadi adalah satu protes kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan yang dikatakan mengabaikan tugas mereka memungut sampah mengikut jadual di kawasan perumahan tersebut sejak bertahun-tahun lalu.

“Paling ketara sejak 2010 lalu pelbagai karenah berlaku. Sudahlah tempat longgokan sampah lokasinya kira-kira tujuh meter sahaja jaraknya dari bangunan rumah saya dan kira-kira 30 meter dari kawasan tapak sebuah Tadika Perpaduan dengan hampir 100 anak-anak penduduk di sini belajar di situ," kata Ismail kepada pemberita selepas mencurahkan sampah di pintu Pejabat MDBB, Serdang di Bandar Baharu hari ini.

Beberapa kakitangan pejabat berkenaan yang sedang bertugas di situ kelihatan terpinga-pinga dan terperanjat dengan tindakan nekad yang dilakukan Ismail itu tetapi mereka tidak menghalang pekerja kilang tersebut meneruskan hasratnya dengan menyelerakkan bungkusan yang mengandungi sampah yang dibawanya dari Lubuk Buntar itu.

“Saya dan keluarga saya serta lebih 1,200 penduduk sekitar sudah tidak tahan lagi dengan bau busuk yang berpunca daripada longgokan sampah tersebut yang berlanjutan bertahun-tahun itu," kata Ismail.

Beliau berkata terdapat anjing–anjing liar dan garang pun turut menjadikan longgokan sampah itu tempat mencari makan yang kadang-kadang juga mengejar orang dewasa dan kanak-kanak yang lalu lalang di situ.

Tinjauan Bernama di lokasi mendapati longgokan sampah tanpa sebarang tong sampah yang disediakan di situ jelas keadaan sampahnya berselerakan di sekitar yang menyakitkan mata memandang di samping bau busuk.

Ismail berkata dua laporan dibuat berhubung dengan kegagalan pihak MDBB memungut sampah di Taman Kelisa Emas, Lubok Buntar iaitu pertama kepada MDBB pada 7 Oktober 2010 dan satu lagi di Balai Polis Serdang, pada 16 Mac 2011 lalu.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Enviromen Idaman Sdn Bhd Mohd Saiful Anuar Zainal ketika dihubungi memberi jaminan bahawa pihaknya yang bertanggungjawab melupuskan sampah di kawasan MDBB akan mengatasi masalah tersebut secepat mungkin.

“Longgokan sampah berkenaan telah dibersihkan dan pita sekatan melarang orang ramai membuang sampah di situ juga dipasang di tempat tersebut dengan papan tanda sekali,” kata beliau.

Katanya pihaknya juga telah mendapatkan kerjasama daripada MDBB untuk menanam pokok-pokok bunga di tempat bekas longgokan sampah di situ secepat mungkin.

“Orang ramai yang ingin membuat sebarang aduan boleh menggunakan talian bebas tol syarikat melalui talian Bebas Tol 1800-88-ENVO-(3684) dan e-mel aduan@e-idaman.com (laman sesawang :www.e-idaman.com)," katanya.

- Bernama



WiFi percuma untuk semua, termasuk kawasan BN
Mac 20, 11 6:23pm


Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng membidas agensi berita nasional Bernama dan akhbar harian bahasa Inggeris, New Straits
Times
kerana melaporkan kerajaan negeri tidak memasukkan kawasan pilihan raya BN untuk mendapatkan perkhidmatan jalur lebar Wifi secara percuma.

NONELim (kiri), yang juga setiausaha agung DAP, turut mengecam
pemimpin BN atas 'taktik tidak jujur' mereka menggunakan kawalan mereka atas media untuk melakukan penipuan.

Lim berkata, kerajaan negeri tidak terperanjat bila akhbar seperti New Straits Times berterusan menyerang kerajaan negeri bagi sesuatu yang ia tidak dilakukannya, tetapi sebenarnya cuba membetulkannya.

"Tetapi bagi agensi berita nasional seperti Bernama untuk tidak menyiarkan penjelasan kerajaan negeri bahawa inisiatif WiFi bebas itu adalah untuk semua, termasuk kawasan parlimen BN, menunjukkan bahawa pilihan raya umum semakin hampir dan Bernama patut dikenali BNnama," kata Lim, dalam satu kenyataan hari ini.

"Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang adalah untuk semua penduduk Pulau Pinang, termasuk penyokong BN," jelas Lim.

Beliau mengulas laporan yang memetik pengerusi Pasukan Petugas Komunikasi Pulau Pinang, Jeff Ooi sebagai didakwa berkata tiada gunanya melabur wang di Kepala Batas, Tasik Gelugor dan Nibong Tebal buat masa ini.

Laporan tersebut dibidas oleh beberapa pemimpin BN yang mengkritiknya sebagai "tidak adil", malah "merbahaya dan kebudak-budakan".

Ooi, yang juga ahli parlimen Jelutong dilaporkan berkata jika kerajaan negeri mempunyai sumber, ia akan menyediakan perkhidmatan percuma, tetapi inisiatif itu kini ditumpukan ke kawasan pilihan raya yang diwakili Pakatan.

"Jika penduduk di kawasan tersebut mahukan WiFi, mereka hendaklah mengundi Pakatan," Ooi dipetik sebagai berkata dalam akhbar The Star.



Kanak-kanak maut terkena renjatan elektrik tiang lampu
Mac 20, 11 5:54pm


Seorang kanak-kanak maut akibat terkena renjatan elektrik dari sebuah tiang lampu jalan, ketika dia sedang bermain di padang berhampiran rumahnya di Taman Batu 3, Shah Alam, petang semalam.

Mohd Marzuki Muda, 44, berkata kejadian berlaku semasa anaknya Muhammad Naquiddin, 11, dikatakan sedang bermain bola sepak bersama rakan-rakanya di padang berhampiran.

"Tiba-tiba dalam pukul 6.50 petang, kawan-kawan Naqiuddin datang ke rumah beritahu yang anak saya terkena renjatan elektrik," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) hari ini.

Beliau berkata setibanya di tempat kejadian, Naqiuddin dilihat sudah tertiarap dengan sebelah kakinya melekat pada salah satu tiang lampu di padang itu.

"Kulitnya yang cerah juga sudah kelihatan gelap, saya cuba tolak kakinya dengan menggunakan kayu dan mengerak-gerakkan tubuhnya namun tiada tindak balas," katanya.

Marzuki berkata beliau kemudian membawa anaknya ke Hospital Pakar KPJ, Shah Alam untuk mendapatkan bantuan kecemasan, dan menurutnya semasa di hospital itu doktor cuba memberikan 'CPR' namun anaknya tidak dapat diselamatkan.

"Sebelum ini ada beberapa jiran beritahu terasa seperti ada tenaga elektrik semasa tiang itu disentuh, namun mereka tidak buat sebarang aduan," katanya.

- Bernama



Akhirnya Taib lakar perubahan kepimpinan di S'wak
Mac 20, 11 1:57pm


Buat pertama kalinya selepas sekian lama, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud akhirnya melakarkan jadual dan perancangan awal sebelum beliau menyerahkan pentadbiran kepada kepimpinan baru.

Tampaknya beliau mungkin akan berbuat demikian dalam tempoh dua setengah tahun dari sekarang selepas mengumumkan semalam yang beliau akan mengetuai BN Sarawak dalam pilihan raya negeri ke-10 dan akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Balingian buat kali
terakhir.

Taib pertama kali melahirkan hasratnya untuk meletakkan jawatan pada 2006 tetapi ia tidak direalisasikan dan beliau terpaksa menangguhkannya.

Beliau tidak menjelaskan secara panjang lebar akan sebabnya ketika itu tetapi pemerhati politik mendapati Taib secara tidak langsung memberikan sedikit gambaran mengenai perkara itu dalam ucapannya pada program "Senada Sejiwa" di Serian semalam.

Taib berkata beliau akan terus menerajui negeri bagi memastikan "pemimpin baru" boleh dikenal pasti dan beliau akan berundur apabila beliau berpuas hati yang pemimpin baru boleh bekerjasama dengan baik.

Beliau bagaimanapun tidak menamakan mana-mana penganti yang berpotensi.

"Saya fikr beliau mahu memastikan penggantinya dan orang di sekeliling pemimpin terpilih itu tidak bercakaran antara satu sama lain; bahawa mereka boleh bekerja sebagai satu pasukan dan menjaga kedudukan BN di negeri ini," menurut seorang pemerhati politik.

Sementara itu, penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian percaya Taib akan melepaskan jawatannya dalam satu atau dua tahun akan datang.

"Jika beliau berundur sekarang, ia mungkin mencetuskan perebutan kuasa dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), tunggak gabungan parti pemerintah negeri.

"Beliau perlu membimbing seseorang untuk mengambil alih. Beliau mungkin telahpun membimbing orang berkenaan tetapi atas sebab yang hanya diketahui oleh beliau sendir, beliau telah menangguhkan (peralihan)," katanya.

Daripada perspektif strategi politik, Dr Sivamurugan berkata adalah tidak bijak untuk Taib berundur sebelum pilihan raya atau sejurus selepasnya kerana persoalan siapa bakal menjadi ketua menteri akan menjadi tumpuan berbanding usaha memenangi dan mengekalkan kuasa pada pilihan raya.

"Isu ini lebih rumit. Ia bukan mengenai siapa yang patut jadi ketua menteri. Di Sarawak, ia lebih kepada siapa yang akan menggantikan beliau sebagai
presiden PBB dan sebab itu kenapa ia tidak boleh dilakukan dalam waktu singkat," katanya.

Bukan sesuatu yang mengejutkan sekiranya proses peralihan itu akan mengambil masa lebih lama, kemungkinan sehingga pertengahan penggal akan datang bagi membolehkan pengganti berpotensi dipilih daripada kalangan pemimpin kanan parti.

Taib, 75, yang berkata beliau serius mencari pemimpin untuk menerajui parti, akan membubarkan Dewan Undangan Negeri pada Isnin, lima hari sebelum genap 30 tahun beliau menjadi ketua menteri.

Taib telah menjadi presiden PBB dan ketua menteri sejak 26 Mac, 1981.

Sebelum ini, Taib menamakan tiga pengganti berpotensi - Tan Sri Adenan Satem, Datuk Seri Abang Johari Tun Abang Haji Openg dan Datuk Seri Effendi Norwawi.

Namun keadaan berubah mengikut peredaran masa.

Tumpuan sekarang ialah kepada barisan pemimpin kanan masa kini - Timbalan Presiden I Tan Sri Alfred Jabu, Timbalan Presiden II Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Naib Presiden Kanan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.

Orang dalam parti menyatakan oleh kerana Taib sering menyatakan yang beliau dan Jabu sudah "tua", fokus kini terarah kepada Abang Johari dan Awang Tengah.

Mereka berkata pada mesyuarat parti enam bulan lepas, Taib melahirkan harapannya untuk melihat Abang Johari dan Awang Tengah saling bekerjasama.

"Saya fikir Taib perlukan lebih banyak masa kerana beliau mahu kedua-dua pemimpin ini membuktikan yang mereka boleh bekerja sebagai satu pasukan sebelum seorang daripada mereka dipilih sebagai pengganti, memastikan peralihan kepimpinan berjalan lancar," menurut seorang lagi orang dalam parti.

Dalam sejarah PBB, tiada siapa pernah mencabar presiden parti.

Pada 1998, Adenan dan Abang Johari saling bersaing bagi merebut jawatan timbalan presiden, yang diperuntukkan untuk kaum Melayu/Melanau.

Abang Johari menang berikutan mendapat sokongan padu daripada anggota Dayak disebalik hakikat Adenan mendapat sokongan Taib pada waktu itu.

Adenan, yang tewas, kemudiannya dilantik oleh Taib sebagai naib presiden kanan parti.

Tujuh tahun kemudian, Adenan sekali lagi mencabar Abang Johari, tetapi persidangan perwakilan ditangguhkan apabila dilaporkan ada penyokong Adenan didakwa dikesan mempunyai dua cawangan di kira-kira 40 kawasan.

Orang dalam parti itu berkata Taib, sebagai ahli politik veteran, diketahui tidak suka kepada sesiapa yang cuba mendesak beliau meletakkan jawatan bagi membolehkan peralihan kepimpinan negeri.

Beliau akhirnya pasti akan berundur tetapi beliau mahu melakukannya mengikut rentaknya sendiri, katanya. "Anda tidak boleh paksa beliau kerana beliau tahu bagaimana untuk membalas balik, sepertimana yang beliau telah lakukan di masa lalu. Beberapa pemimpin politik yang bercita-cita tinggi cuba memaksanya berundur tetapi akhirnya mereka sendiri yang dipinggirkan dalam politik."

Suruhanjaya Pilihan Raya perlu mengadakan pilihan raya negeri itu dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran dewan.

Sejak pembentukan Malaysia pada 1963, Sarawak telah mengadakan sembilan pilihan raya negeri -- pada 1969-1970, 1974, 1979, 1983, 1987, 1991, 1996, 2001 dan 2006.

Pilihan raya pertama Sarawak ialah selepas pembentukan Malaysia, yang diadakan secara berperingkat dari 10 Mei 1969 hingga 7 Jun 1969 kerana sistem pengangkutan dan komunikasi pada masa itu belum sempurna.

Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubarkan serentak dengan Parlimen dan semua Dewan Undangan Negeri yang lain kecuali Kelantan, pada 20 Mac 1969 dengan penamaan calon ditetapkan pada 5 April, 1969.

Bagaimanapun, akibat rusuhan kaum yang berlaku di Semenanjung Malaysia pada 13 Mei tahun itu yang diikuti dengan pengisytiharan darurat, pilihan raya itu ditangguhkan sehingga 1970.

Apabila penangguhan itu dikuatkuasakan, pilihan raya di sembilan daripada 48 kawasan di Sarawak telah bermula tetapi semuanya masih belum selesai.

Pilihan raya negeri dan Parlimen disambung semula pada 6 Jun, 1970 dan selesai pada 4 Julai, 1970.

Sepanjang pilihan raya itu, satu tragedi berlaku di Sarikei pada 29 Jun, 1970 apabila pengganas komunis membunuh tiga pegawai pengurus pilihan raya yang dalam perjalanan pulang selepas pengundian selesai di sebuah pusat pengundian.

Di luar sebuah lagi pusat pengundian di Bahagian yang sama, sebutir bom ranjau meletup tetapi tiada yang cedera.

Disebalik semua kejadian itu, 80 peratus daripada 332,373 pemilih berdaftar di Sarawak telah keluar mengundi, jumlah yang tinggi berbanding dengan peratusan pengundian di negeri-negeri lain.

Sejumlah 221 calon bertanding di 48 kerusi negeri di Sarawak, dengan Perikatan Sarawak yang dianggotai Parti Bumiputera Sarawak (BUMIPUTERA) dan Persatuan Cina Sarawak (SCA) bertanding di 33 kerusi.

Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) bertanding di 40 kerusi, Parti Pesaka Sarawak (Pesaka) 35, dan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) 47, dengan 66 calon Bebas turut bersaing.

SUPP kemudiannya menyertai Perikatan Sarawak, membolehkan gabungan itu menguasai 27 daripada 48 kerusi dalam Majlis Negeri dan membentuk kerajaan.

Pilihan raya negeri yang kedua diadakan dari 24 April hingga 14 September 1974, serentak dengan pilihan raya Parlimen selepas Dewan Undangan Negeri dan semua Dewan Undangan Negeri yang lain dan Parlimen dibubarkan pada 31 Julai, 1974.

Bagaimanapun, pilihan raya negeri yang ketiga hanya diadakan pada 1979, setahun selepas pilihan raya umum 1978, buat pertama kalinya
pilihan raya negeri Sarawak dan pilihan raya umum diadakan berasingan.

Pilihan raya negeri yang keempat diadakan 18 bulan sebelum berakhirnya penggal Ketua Menteri yang baru Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang memegang jawatan itu pada 26 Mac 1981. Dewan Undangan Negeri dibubarkan pada 18 November 1983, penamaan calon diadakan pada 8 Dis dan pengundian pada 28 dan 29 Disember.

Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubarkan pada 13 Mac 1987 bagi diadakan pilihan raya negeri yang kelima selepas sekumpulan wakil rakyat yang diketuai bapa saudara Taib dan ketua menteri terdahulu Tun Rahman Yaakub memberontak terhadap Ketua Menteri yang peristiwa itu dikenali sebagai "Ming Court Affair".

Mereka termasuk beberapa anggota PBB yang kemudiannya membentuk kumpulan "Maju Group" manakala Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS)

mengumumkan keluar daripada BN negeri tetapi kekal sebagai komponen BN di peringkat pusat.

Dalam pilihan raya yang diadakan pada 15 dan 16 April, Taib mengetuai BN negeri dengan memenangi 28 daripada 48 kerusi Dewan Undangan Negeri. Kemudiannya lapan wakil rakyat PBDS menyertai BN, memberikannya majoriti dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri.

Pilihan raya negeri yang keenam pada 1991 juga berlangsung selama dua hari, pada 28 dan 29 September, manakala pilihan raya negeri yang ketujuh diadakan pada 7 dan 8 September 1996.

Bagaimanapun pilihan raya negeri yang kelapan berlangsung dalam satu hari sahaja pada 27 September 2001 berikutan pembangunan pesat infrastruktur dan komunikasi. Dewan Undangan Negeri dibubarkan pada 3 September manakala penamaan calon diadakan pada 18 September 2001.

Pilihan raya negeri yang lepas diadakan pada 20 Mei 2006 selepas dewan dibubarkan pada 24 April dan penamaan calon pada 9 Mei.

Dewan Undangan Negeri Sarawak dianggap sebagai badan pengubal undang-undang tertua di Malaysia kerana ia diwujudkan selepas mesyuarat julung kali yang pertama di Bintulu pada 8 September 1867.

Majlis Am Sarawak yang pertama dengan 21 anggota diketuai Raja Charles Brooke yang dianggotai enam pegawainya dan 16 pemimpin
masyarakat tempatan. Pada 1903, Majlis Aam dinamakan sebagai Majlis Negeri.

Pada 1941, anak lelaki Brooke, Vyner, mewujudkan perlembagaan bertulis yang dikenali sebagai "Constitution Order in Council" sempena
sambutan ulang tahun ke-100 pemerintahan Brooke di Sarawak.

Berikutan itu, keanggotaan Majlis Negri ditambah kepada 24. Bagaimanapun, Ketua Setiausaha telah dilantik untuk mempengerusikan Majlis Negri dan bukannya Vyner Brookes (dalam peranannya sebagai Raja), pada 1963, keanggotaan Majlis Negri ditingkatkan kepada 42. Sejak itu, keanggotaannya telah meningkat secara berperingkat kepada 48 pada 1968, 56 pada 1989, 62 pada 1996 dan 71 pada 2006. Pada 1976, Majlis Negri diberi nama baru iaitu Dewan Undangan Negeri.

- Bernama

Tiada ulasan: