Sabtu, 19 Mac 2011

APA PUN BERLAKU DENGAN IZIN ALLAH...TAPI DAKWAH DIDULUKAN...POLITIK IKUT BELAKANG JANGAN SEBALIKNYA...DAKWAH DIATAS...JIKA INGIN BERJAYA...

Pemuda kilang pemimpin PAS
Harakahdaily

**Jika anda mempunyai soalan khas untuk ditujukan untuk ketiga-tiga Naib Presiden PAS, sila emailkan kepada sembangnaibpresidenpas@gmail.com


Soalan 1: Kenapa ekonomi PAS tidak digerakkan secara optimum, sebagai contoh membuka rangkaian mini market di setiap negeri dan cawangan PAS?

Tuan Ibrahim Tuan Man:

PAS sebagai sebuah organisasi politik perlu berhati-hati dalam tindakannya. Kita ada Kohilal namun apabila ia gagal mencapai sasaran, parti terpaksa berhadapan dengan pelbagai kecaman dan kritikan ahli.

Kerana itu, PAS sebagai sebuah organisasi politik tidak perlu terbabit secara langsung dalam aktiviti ekonomi di atas nama parti, kerana risikonya yg besar dan akan memberi implikasi terhadap parti secara langsung.

Salahuddin Ayub:

Dalam pandangan peribadi saya dan pengalaman-pengalaman dalam perjuangan PAS, tidak perlu agenda parti disibukkan dengan program ekonomi yang serius. Ianya boleh mendatangkan kemudaratan dan risiko yang amat tinggi sekiranya satu-satu perniagaan itu tidak dapat diurus tadbir dengan baik.

Saya rasa lebih baik PAS terus fokus kepada agenda pentingnya iaitu menerajui perjuangan dalam negara kita. Yang pentingnya, kita galakkan individu-individu PAS yang mempunyai bakat dan kebolehan dalam perniagaan untuk terus maju dan hasil daripada perniagaan itu, mereka boleh sumbang balik kepada PAS. Bukannya organisasi PAS itu sendiri yang melibatkan diri.

Ini menjadi lebih penting apabila satu hari nanti PAS berada di tampuk kekuasaan, kita tidak mahu suatu parti yang ada kepentingan perniagaan, yang mana besok dibelenggu dengan isu urus tadbir, ketelusan dan sebagainya.

Mahfuz Omar:

Saya berasa ia satu perkara yang perlu dipikul oleh PAS buat masa ini, tetapi parti harus mencari satu mekanisme yang lebih baik iaitu bukan PAS yang mengendalikan projek-projek ekonomi tetapi melalui kerjasama bersama-sama ahli-ahli PAS untuk kendalikan perniagaan.

Ini kerana sekiranya PAS yang lakukan – ia bermaksud kita telah menyekat peluang ahli-ahli kita – seharusnya kita memberikan bimbingan, khidmat nasihat dan kepakaran kepada mereka secara percuma dan merekalah yang didorong untuk melakukan aktiviti-aktiviti ekonomi ini – dengan PAS mendapat sedikit keuntungan hasil daripada sumbangan ahli-ahli yang berjaya dalam bidang ini.



Soalan 2: Apakah strategi dan usaha PAS untuk meningkatkan dan mengekalkan ukhwah/silaturahim/ persahabatan sesama ahli dan bukan ahli (penyokong dan pengundi PAS) sebelum dan selepas PRU 13 (jika PAS menang mahupun tewas)?

Salahuddin Ayub:


Saya rasa kita perlu pegang pada perkara-perkara yang fundamental dalam aspek-aspek seperti keikhlasan, ukhwah Islamiyah, jihad dan pengorbanan itu perlu segar dalam sanubari sama ada pemimpin ataupun ahli.

Kita ada satu institusi dalam parti yang kukuh dalam melahirkan kepimpinan yang setia hari ini – iaitu institusi-institusi usrah yang harus terus disuburkan dan dipertingkatkan dan diberikan nafas baru kerana daripada institusi-institusi inilah lahir kadel-kadel yang menjadi pemimpin yang faham realiti perjuangan yang berteraskan kepada Islam.

Itu sahaja yang dapat menyelamatkan parti daripada pengalaman menghadapi 12 pilihanraya yang lalu, dan perkara yang sama untuk pilihanraya ke 13 nanti.

Mahfuz Omar:

Soalan menjaga hati dan hubungan sesama ahli dan penyokong tidak harus dijadikan ungkapan idealis semata-mata, ia harus diterjemahkan menjadi realiti dengan PAS mewujudkan lebih banyak program yang bersifat santai mewujudkan suasana mesra kepimpinan dengan ahli dan bukan ahli.

PAS tidak boleh mengadakan semua program yang bersifat politik sahaja kerana ia berat untuk ditanggung kemampuan dan pemikiran ahli – jadi sebab itu perlu diadakan program santai dengan ahli dan juga bukan ahli.

PAS juga perlu mewujudkan program-program yang bersifat menjaga kebajikan ahli-ahli dan bukan ahli sepanjang masa untuk mereka merasai kehadiran parti senantiasa – dan itulah yang membuatkan hubungan ahli dan bukan ahli kekal erat dengan pemimpin-pemimpin.

Tuan Ibrahim Tuan Man:

Bagi mengekalkan ukhwah di kalangan ahli dan penyokong, kita perlu memperbanyakan program yang bersifat informal seperti muqayyam, rehlah dan ziarah.

Selain itu, pembinaan rangkaian melalui rakan Facebook, Twitter dan lain adalah mekanisma yang menarik untuk dihayati. Di samping itu, PAS juga perlu memberi perhatian serius kepada permasalahan kebajikan ahli dan penyokong juga perlu diberi keutamaan. Hal ini dapat dilakukan melalui rangkaian organisasi parti.

Soalan 3: Apakah harapan Naib Presiden untuk muktamar bagi perwakilan Dewan Pemuda PAS kawasan-kawasan yang bakal berlangsung?

Mahfuz Omar:

Pemuda adalah kilang untuk melahirkan pemimpin parti – kebanyakan pemimpin parti di peringkat atasan ini semuanya lahir daripada kilang PAS iaitu Pemuda.

Bukan sahaja saya menaruh harapan pada muktamar, tapi pada Pemuda PAS itu sendiri perlu senantiasa dapat melahirkan kepimpinan yang baru.

Pemuda PAS tidak harus melihat kepimpinan itu dari segi ketokohan tanpa kebolehan – kehebatan tanpa kemampuan – kewibawaan tanpa keupayaan. Ini bermakna Pemuda PAS perlu faham bahawa ketokohan seseorang mesti disertai dengan kebolehan, kehebatan pemimpin mesti diiringi kemampuan dan kewibawaan mesti dengan keupayaan.

Kita kena elak wujud kepimpinan di pelbagai peringkat yang tidak dapat dinafikan ketokohannya tetapi tidak ada kebolehan, kebijaksaan dan keupayaan untuk membawa parti lebih maju. Jika ini berlaku, PAS tidak akan ke mana.

Dan inilah yang perlu dilakukan Pemuda PAS – sambil mengubah paradigma keseluruhannya untuk menilai kepimpinan itu dari sudut yang saya sebutkan tadi.

Tuan Ibrahim Tuan Man:

Harapan saya kepada muktamar ialah pemuda hendaklah melihat kepada beberapa kelemahan jentera pemuda di peringkat kawasan dan cawangan.

Kegagalan pemuda di peringkat cawangan yang ketara perlu d atasi dan kehilangan undi pengundi muda dalam beberapa PRK perlu juga diberi perhatian.

Salahuddin Ayub:

Kali ini akan ada perubahan besar, di mana percalonan akan merangkumi kawasan-kawasan di sekitar negara kita – ini menjadikan Pemuda semakin besar dan sambutannya semakin bertambah. Jadi sesuai dengan Pemuda yang semakin besar organisasinya, kita mengharapkan kita akan dapat melangkah lebih maju ke hadapan, lebih dinamik dan lebih progresif dan terus lahirkan pemimpin-pemimpin yang berkualiti pada masa akan datang.

Inilah harapan saya untuk muktamar Pemuda yang bakal menjelang dan didoakan ia lebih baik daripada muktamar-muktamar yang lalu.


Pemuda PAS lancar derma bantu mangsa Tsunami
Harakahdaily
IPOH, 19 Mac: Dewan Pemuda PAS Perak telah melancarkan kutipan derma bagi membantu rakyat Jepun yang menjadi mangsa ge,pa bumi dan Tsunami baru-baru ini.

Pelancaran tersebut disempurnakan ketuanya, Zawawi Hasan sebaik sahaja selesai mesyuarat exconya malam tadi.

Ianya adalah hasil kerjasama Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda Pas Pusat dan turut mendapat sambutan daripada sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO), Perak Care yang dipengerusikan Salman Saleh.

Menurut Zawawi, bantuan itu diusahakan sebagai tanda simpati dan prihatin kepada mangsa bencana tsunami yang berlaku akibat gempa 9.0 skala ritcher baru-baru ini.

Tragedi itu telah mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa dan ratusan ribu penduduk Jepun terpaksa berpindah keluar daripada rumah kediaman masing-masing.

Kejadian itu juga telah menyebabkan kebimbangan rakyat dunia ekoran peningkatan kadar radiasi selepas beberapa loji nuklear meletup.

Tiada ulasan: