Sabtu, 19 Mac 2011

TAKDIR DARI HADIS KE 4

TAKDIR.

Perkara : 1. PERINGKAT KEJADIAN MANUSIA DI DALAM PERUT IBUNYA , TERMASUK PENENTUAN REZEKI , TEMPOH KEMATIAN , AMALAN JUGA MENGENAI NASIBNYA SAMA ADA MENDAPAT KECELAKAAN ATAU KEBAHAGIAN.

Bilangan : 1/4
Hadis : 1521 - Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w seorang yang benar serta dipercayai bersabda: Kejadian seseorang itu dikumpulkan di dalam perut ibunya selama empat puluh hari. Sebaik sahaja genap empat puluh hari kali kedua terbentuklah segumpal darah beku. Manakala genap empat puluh hari kali ketiga bertukar pula menjadi seketul daging. Kemudian Allah s.w.t mengutuskan malaikat untuk meniupkan roh serta memerintahkan supaya menulis empat perkara iaitu ditentukan rezeki, tempoh kematian, amalan serta nasibnya samada mendapat kecelakaan atau kebahagiaan. Maha suci Allah s.w.t di mana tiada tuhan selainNya. Seandainya seseorang itu melakukan amalan sebagaimana yang dilakukan oleh penghuni Syurga sehinggalah kehidupannya hanya tinggal sehasta dari tempoh kematiannya, tetapi disebabkan ketentuan takdir nescaya dia akan bertukar dengan melakukan amalan sebagaimana yang dilakukan oleh penghuni Neraka sehinggalah dia memasukinya. Begitu juga dengan mereka yang melakukan amalan ahli Neraka, tetapi disebabkan oleh ketentuan takdir nescaya dia akan bertukar dengan melakukan amalan sebagaimana yang dilakukan oleh penghuni Syurga sehinggalah dia memasukinya.

1. PERINGKAT KEJADIAN MANUSIA DI DALAM PERUT IBUNYA , TERMASUK PENENTUAN REZEKI , TEMPOH KEMATIAN , AMALAN JUGA MENGENAI NASIBNYA SAMA ADA MENDAPAT KECELAKAAN ATAU KEBAHAGIAN.

Bilangan : 2/4
Hadis : 1522 - Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Secara marfuk baginda s.a.w bersabda: Allah s.w.t mengutuskan Malaikat ke dalam rahim. Malaikat berkata: Wahai Tuhan! Ia masih berupa air mani. Setelah beberapa ketika Malaikat berkata lagi: Wahai Tuhan! Ia sudah berupa darah beku. Begitu juga setelah berlalu empat puluh hari Malaikat berkata lagi: Wahai Tuhan! Ia sudah berupa seketul daging. Apabila Allah s.w.t membuat keputusan untuk menciptakannya menjadi manusia, maka Malaikat berkata: Wahai Tuhan! Orang ini akan diciptakan lelaki atau perempuan? Celaka atau bahagia? Bagaimana rezekinya? Serta bagaimana pula ajalnya? Segala-galanya dicatit semasa dalam perut ibunya lagi.

1. PERINGKAT KEJADIAN MANUSIA DI DALAM PERUT IBUNYA , TERMASUK PENENTUAN REZEKI , TEMPOH KEMATIAN , AMALAN JUGA MENGENAI NASIBNYA SAMA ADA MENDAPAT KECELAKAAN ATAU KEBAHAGIAN.

Bilangan : 3/4
Hadis : 1523 - Diriwayatkan daripada Saidina Ali k.w katanya: Ketika aku mengiringi jenazah di perkuburan Baqi' al-Gharqad (di Madinah). Lalu Rasulullah s.a.w menghampiri kami lantas baginda duduk dan kami juga duduk di sekitarnya. Baginda memegang sebatang tongkat dan menghentakkan tongkat itu ke tanah. Baginda kemudiannya menggariskan tanah dengan tongkat tersebut dan bersabda: Setiap orang dari kamu, setiap jiwa yang bernafas telah ditentukan oleh Allah s.w.t tempatnya di Syurga atau di Neraka. Begitu juga nasibnya telah ditentukan oleh Allah s.w.t, apakah dia mendapat kecelakaan atau kebahagiaan. Saidina Ali k.w berkata: Seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah! Kenapa kita tidak menunggu ketentuan kita terlebih dahulu kemudian barulah memulakan amal ibadat? Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang termasuk dalam golongan yang mendapat kebahagiaan, sudah pasti dia mudah melakukan amalan golongan bahagia. Begitu juga sesiapa yang termasuk dalam golongan yang mendapat kecelakaan, dia juga sudah pasti mudah melakukan amalan golongan celaka. Baginda bersabda lagi: Lakukanlah amalan kerana segala-galanya dipermudahkan. Golongan yang mendapat kebahagiaan akan dipermudahkan melakukan amalan golongan yang mendapat kebahagiaan. Manakala golongan celaka pula akan dipermudahkan melakukan amalan golongan celaka. Seterusnya baginda membaca ayat Yang bermaksud: Adapun orang yang memberikan apa yang ada padanya ke jalan kebaikan dan bertakwa dengan mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala larangannya serta dia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik, maka sesungguhnya kami akan memberikan dia kemudahan untuk mendapat kesenangan Syurga. Sebaliknya orang yang bakhil daripada berbuat kebajikan dan merasakan cukup dengan kekayaannya dan kemewahannya serta dia mendustakan perkara yang baik, maka sesungguhnya kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan.

1. PERINGKAT KEJADIAN MANUSIA DI DALAM PERUT IBUNYA , TERMASUK PENENTUAN REZEKI , TEMPOH KEMATIAN , AMALAN JUGA MENGENAI NASIBNYA SAMA ADA MENDAPAT KECELAKAAN ATAU KEBAHAGIAN.

Bilangan : 4/4
Hadis : 1524 - Diriwayatkan daripada Imran bin Husain r.a katanya: Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah sudah diketahui penghuni Syurga dan penghuni Neraka? Rasulullah s.a.w bersabda: Ya. Sahabat bertanya lagi: Kalau begitu untuk apa amalan dilakukan? Rasulullah s.a.w menjawab: Segala-galanya akan dipermudahkan berdasarkan kepada untuk apakah beliau dijadikan.


2. HUJAH NABI ADAM DAN NABI MUSA A.S.

Bilangan : 1/1
Hadis : 1525 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Nabi Adam berhujah dengan Nabi Musa a.s, di mana Nabi Musa berkata: Wahai Adam, kamu adalah ayahku. Kamu menghampakan aku dan kamu keluarkan aku dari Syurga. Nabi Adam menjawab: Kamu Musa. Allah s.w.t telah memilihmu dengan kalamNya. Allah s.w.t menulis untukmu dengan tanganNya (kuasa). Apakah kamu akan mencelaku terhadap sesuatu yang berlaku dengan ketetapan Allah s.w.t, di mana ianya telah ditetapkan sejak empat puluh tahun sebelum aku di ciptakan. Nabi s.a.w bersabda: Akhirnya Nabi Adam a.s tetap berhujah (mengemukakan dalil) dengan Nabi Musa a.s. Akhirnya Nabi Adam a.s tetap berhujah (mengemukakan dalil) dengan Nabi Musa a.s.

3. BAB ANAK ADAM DITAKDIRKAN CENDERUNG TERHADAP PERBUATAN ZINA DAN SEBAGAINYA.

Bilangan : 1/1
Hadis : 1526 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Allah s.w.t telah mencatit bahawa anak Adam cenderung terhadap perbuatan zina. Keinginan tersebut tidak dapat dielakkan lagi, di mana dia akan melakukan zina mata dalam bentuk pandangan, zina mulut dalam bentuk pertuturan, zina perasaan iaitu bercita-cita dan berkeinginan mendapatkannya manakala kemaluanlah yang menentukannya berlaku atau tidak.

4. ERTI SEBENAR SETIAP ANAK DILAHIRKAN DALAM KEADAAN FITRAH IAITU SUCI BERSIH SERTA HUKUM ANAK ORANG KAFIR DAN ANAK ORANG ISLAM YANG MENINGGAL DUNIA.

Bilangan : 1/2
Hadis : 1527 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah iaitu suci bersih. Kedua orang tuanyalah yang membuatnya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi. Sebagaimana seekor ternakan yang melahirkan anaknya (dengan sempurna kejadian dan anggotanya), adakah kamu menganggap hidung, telinga dan lain-lain anggotanya terpotong?

4. ERTI SEBENAR SETIAP ANAK DILAHIRKAN DALAM KEADAAN FITRAH IAITU SUCI BERSIH SERTA HUKUM ANAK ORANG KAFIR DAN ANAK ORANG ISLAM YANG MENINGGAL DUNIA.

Bilangan : 2/2
Hadis : 1528 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah ditanya tentang anak orang-orang Musyrikin. Baginda bersabda: Allah lebih mengetahui terhadap apa yang mereka lakukan.

Tiada ulasan: