Ahad, 27 Mac 2011

Jangan Berhenti Berdoa.

Jangan Berhenti Berdoa.

Kesabaran Rasulullah SAW Dalam Berdakwah. Bukhari

Muslim


Jundub Ibn Sufyan r.a menerangkan : Bahawasanya Rasulullah SAW pada suatu hari berada di dalam sebuah peperangan sedangkan anak jari baginda sudah berdarah. Maka berkatalah Rasulullah SAW : “Engkau hai anak jari tiada lain melainkan anak jari yang telah berdarah dan di jalan Allah apa yang telah engkau deritai”. (Bukhari dan Muslim)

Nabi pernah menyatakan bahawa tekanan paling berat yang pernah dirasakan Baginda sewaktu berhadapan dengan orang Quraisy ialah apa yang pernah Baginda deritai pada Hari Aqabah di Mina iaitu ketika Baginda pergi ke Taif untuk berdakwah. Di sana Baginda berharap agar penduduk Taif akan menerima dakwah Baginda dan melindungi Baginda daripada keganasan puak Quraisy. Namun yang sebaliknya pula berlaku apabila Baginda diusir dan dikasari hingga luka berdarah. Dalam peristiwa ini Allah SWT telah mengutuskan malaikat untuk membantu Baginda membinasakan puak yang menentang itu dengan cara membinasakan mereka sebagaimana yang berlaku pada kaum-kaum sebelumnya. Namun sebagai seorang Nabi, Baginda tidak terburu-buru. Baginda menolak bantuan tersebut dan masih mengharap supaya kaum yang melampau itu diberikan kesedaran dan mereka tidak dibinasakan kerana perlakuan mereka itu sebenarnya adalah disebabkan kejahilan mereka.

Jangan Berhenti Berdoa

Muslim

Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW telah bersabda : “Allah sentiasa memperkenankan doa seorang hamba selama doa itu tidak mengandungi (perkara) dosa, (perkara yang) memutuskan silaturrahim dan selama tidak meminta supaya cepat-cepat diperkenankan”. Lalu Baginda ditanya oleh seseorang : “Apa maksudnya meminta dicepatkan?” Jawab baginda : “Umpamanya seseorang itu berkata dalam doanya : “Aku telah berdoa, aku telah berdoa tetapi aku belum melihat doaku diperkenankan. Lalu aku putus asa dan berhenti berdoa”. (Riwayat Muslim)

Betulkah setiap doa akan dikabulkan oleh Allah? Mungkin ada antara kita yang telah berdoa sesuatu namun tidak merasakan hasilnya. Selaku hamba, kita harus menyedari bahawa kita tidak berhak memaksa Allah kerana kitalah yang berhajatkan sesuatu bukan sebaliknya. Sesungguhnya Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita atau mungkin Allah mempunyai ketentuan lain yang tidak kita ketahui. Mungkin juga doa kita bukan tidak dikabulkan tetapi ditunda waktunya atau diganti dengan yang lebih baik. Nabi Zakaria a.s adalah contoh manusia yang sangat kuat nilai kesabarannya. Baginda telah puluhan tahun berdoa agar dikurniakan zuriat namun belum dikabulkan Allah. Antara isi doa baginda ialah : “Ya Tuhanku, sesungguhnya tulangku telah lemah dan kepalaku telah ditumbuhi uban, dan aku belum pernah kecewa dalam berdoa kepada Engkau, ya Tuhanku; (Surah Maryam : Ayat 4). Sehingga pada akhirnya Allah SWT memakbulkan permintaan baginda dengan mengurniakan seorang anak lelaki bernama Yahya. Begitulah sikap yang seharusnya kita contohi iaitu jangan sekali-kali kecewa dalam berdoa.

Doa Yang Tidak Diperkenankan

Muslim

Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda : “Hai manusia! Sesungguhnya Allah itu baik. Dia tidak menerima sesuatu melainkan yang baik. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan kepada orang-orang mukmin seperti yang diperintahkan-Nya kepada para Rasul. Firman-Nya : “Wahai para rasul, Makanlah makanan yang baik-baik (halal) dan kerjakanlah amal soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”. (Surah al-Mukminun : Ayat 51). “Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah rezeki yang baik-baik yang telah kami rezekikan kepadamu…” (Surah al-Baqarah : Ayat 172). Kemudian Nabi SAW menceritakan tentang seorang lelaki yang telah lama berjalan kerana jauhnya perjalanan yang ditempuhnya sehingga rambutnya kusut masai dan berdebu. Orang itu menadah tangannya ke langit dan berdoa : “Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku!”. Padahal makanannya dari barang yang haram, minumannya dari yang haram, pakaiannya dari yang haram dan dia diasuh dengan makanan yang haram. Maka bagaimanakah Allah akan memperkenankan doanya”. (Hadis Riwayat Muslim)

Berdoa itu tidak boleh dilakukan secara tidak berhati-hati dan sembarangan, tetapi perlu kepada adab-adab dan syarat-syarat tertentu. Orang yang berdoa sambil lewa dan menganggap bahawa berdoa itu adalah suatu yang remeh adalah orang yang doanya jarang dikabulkan sehingga kemudian timbul prasangka buruk kepada Allah SWT. Memakan makanan yang halal dan baik merupakan salah satu bentuk dari ketaatan kepada Allah dalam memenuhi segala perintah-Nya. Maka apabila seseorang itu selalu taat kepada Allah dalam dalam segala perkara dan sentiasa berada dalam kebenaran, insyaAllah segala apa yang dipohon akan dikabulkan Allah. Kita hendaklah berdoa dengan penuh keyakinan, harapan dan rasa takut. Merendahkan diri dengan suara yang lirih, tenang, tidak tergesa-gesa, penuh khusyuk dan tahu akan hakikat yang diminta. Ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud : “Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dan suara yang lembut..” (Surah al-A’raf : Ayat 55) Rasulullah pernah bersabda yang maksudnya : “Tiada seorangpun yang berdoa kepada Allah dengan suatu doa, kecuali dikabulkan-Nya dan dia memperolehi salah satu daripada tiga keadaan, iaitu dipercepatkan penerimaan doanya di dunia, disimpan (ditunda) untuknya sampai di akhirat atau diganti dengan mencegahnya daripada musibah (bencana) yang serupa”. (at-Tabrani)



Syaitan Jatuh Sambil Menangis

Bukhari, Muslim


Daripada Abu Hurairah ra katanya; Rasulullah saw telah bersabda: Apabila anak Adam membaca ayat Sajdah, lalu dia sujud; maka syaitan jatuh sambil menangis. Katanya, Celaka aku! Anak Adam disuruh sujud, maka dia sujud, lalu mendapat syurga. Aku disuruh sujud, tetapi aku menolak maka untukku neraka. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Tilawah ertinya bacaan. Maka sujud tilawah ertinya adalah sujud bacaan. Di dalam Al-Quran terdapat beberapa ayat iaitu apabila dibaca ayat tersebut, kita disunatkan bersujud. Ayat inilah disebut ayat sajdah dan sujudnya disebut sujud tilawah. Sujud tilawah disunatkan tidak hanya pada waktu solat tetapi juga di luar solat. Namun dalam solat berjamaah, sekiranya imam tidak melakukannya, maka makmumnya juga tidak perlu bersujud kerana makmum wajib selalu menyesuaikan gerakannya dengan imam iaitu tidak boleh melakukan gerakan yang tidak dilakukan oleh imam. Sujud tilawah juga boleh ditangguhkan. Misalnya ketika sedang di jalanan tiba-tiba kedengaran seseorang membaca ayat sajdah. Maka tidak diharuskan sujud seketika itu juga kerana untuk melakukannya, seseorang itu mestilah dalam keadaan suci dan berada di tempat yang suci, sama seperti mahu mengerjakan solat. Ayat-ayat sajdah itu ialah : Surah As-Sajdah : Ayat 15Surah Al-A’raf : Ayat 206Surah Ar-R’ad : Ayat 15Surah Al-Nahl : Ayat 49Surah Al-Israa’ : Ayat 107Surah Maryam : Ayat 58Surah Al-Hajj : Ayat 18Surah Al-Furqan : Ayat 60Surah An-Naml : Ayat 25Surah Fussilat : Ayat 38Surah Al-’Alaq : Ayat 19Surah An-Najm : Ayat 62Surah Al-Insyiqaq : Ayat 21Surah Sad : Ayat 24 Cara melakukan sujud sajdah di luar solat menurut mazhab Syafi’e ialah dengan mengangkat tangan sambil bertakbir dan terus sujud dan membaca sepotong ayat ketika sujud : [Image]
Maksudnya: “Aku bersujud dengan wajahku kepada Dzat yang telah merupakan dan menciptakannya, dan menciptakan pendengaran dan penglihatannya dengan kekuatan-Nya. Maha memberkati Allah, sebaik-baik Pencipta”. Kemudian kembali duduk dan memberi salam. Manakala ketika di dalam solat pula cara melakukan sujud sajdah ialah sebaik sahaja membaca ayat sajdah, hendaklah terus bersujud dan membaca bacaan seperti di atas (di dalam sujud). Setelah itu berdiri semula meneruskan bacaan seterusnya.


Sujud Syukur

Ahmad

Dari Abu Bakar r.a bahawa; “Nabi Muhammad SAW biasanya apabila menerima berita yang mengembirakan Baginda terus sujud kepada Allah”. (Ahmad)

Apabila mendapat sesuatu nikmat yang meliputi sebarang perkara yang baik dan mengembirakan sunat kita melakukan sujud syukur. Sujud ini juga sunat dikerjakan apabila kita melihat sesuatu bala bencana dan kita diselamatkan daripadanya. Cara melakukan sujud syukur itu ialah dengan sujud sekali sahaja dan dilakukan di luar sembahyang.

Menurunkan Bala

Bukhari


Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Apabila Allah menurunkan azab ke atas dunia untuk satu-satu kaum, maka azab itu akan menimpa ke atas mereka yang berada sama dalam masyarakat kaum itu, kemudian apabila mereka dibangkitkan di akhirat nanti maka kedudukan mereka adalah mengikut taraf keimanan serta amal kebajikan yang mereka lakukan di dunia ini”. (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Hadis di atas bermaksud apabila Allah mahu menurunkan bala atau bencana ke atas satu-satu kaum di dunia ini kerana ada di kalangan kaum itu melakukan kejahatan atau maksiat, maka azab yang diturunkan itu menimpa ke atas kaum yang beriman dan juga kepada mereka yang kufur. Tetapi apabila mereka berada di hari Akhirat nanti, mereka akan ditempatkan di tempat yang sesuai dengan kedudukan mereka mengikut keimanan dan amal kebajikan yang mereka lakukan di dunia ini. Allah yang Maha Berkuasa, melakukan sesuatu mengikut kehendak-Nya tanpa mengira sesiapa. Allah melakukan itu dengan kehendak dan kekuasaan-Nya. Dialah yang menjadikan segala-galanya dan Dialah yang menjadikan siang dan malam, panas, sejuk, ribut dan sebagainya. Di samping itu, Allah menurunkan rahmat dan Dia juga menurunkan bala kepada mereka yang Ia kehendaki. Sesungguhnya, Allah itu bersifat pemurah kepada sekalian makhluk termasuk jin dan manusia, sama ada makhluk itu beriman kepada-Nya atau makhluk itu kufur kepada-Nya. Allah memberi banyak nikmat kepada hamba-Nya di dunia ini sama ada nikmat yang mereka rasakan itu telah diusahakan ataupun tidak. Akan tetapi pada hari Akhirat nanti Allah tidak akan memberikan nikmat kepada hamba-Nya yang kufur, sebaliknya memberikan nikmat kepada mereka yang beriman saja. Namun begitu Allah menurunkan nikmat atau bala secara khusus kepada hamba-Nya di dunia ini disebabkan kezaliman mereka atau kerana keingkaran mereka. Di samping itu, Allah telah menurunkan bala atau bencana secara umum ke atas satu-satu kaum disebabkan ada dalam masyarakat kaum itu melakukan kemaksiatan dan kemungkaran. Dengan demikian, apabila Allah murka kepada sebahagian daripada kaum itu kerana kejahatan yang dilakukan oleh mereka, maka Ia menurunkan bala dan bencana ke atas kaum itu secara umum tanpa memilih sama ada mereka itu terdiri dari dari orang kafir atau pun dari mereka yang beriman. Sungguhpun begitu, setiap mereka yang beriman telah dijanjikan dengan nikmat syurga manakala bagi mereka yang kafir telah dijanjikan dengan balasan neraka di akhirat kelak. Kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW sungguh bernasib baik kerana Allah tidak memberi hukuman yang sewajarnya kepada hamba-Nya yang melakukan maksiat di dunia ini sekalipun seseorang itu telah melakukan dosa yang besar. Balasan yang diberi kepada mereka di dunia ini hanya kecil saja. Ia boleh dianggap sebagai pengajaran serta menjadi teladan kepada mereka yang hidup di dunia ini supaya insaf dan berhenti daripada melakukan sebarang kemungkaran. Sebaliknya balasan yang wajar diberikan kepada mereka yang bersalah itu adalah di akhirat kelak sekiranya mereka mati belum sempat untuk bertaubat. Dengan demikian, kita sebagai umat Muhammad patut bersyukur kepada Allah kerana Ia telah memberikan taufik hidayah kepada kita di mana kita dapat beriman kepada-Nya serta berpegang dengan agama-Nya. Pada masa dulu, sebelum adanya syariat Nabi Muhammad SAW seperti berlakunya ke atas nabi terdahulu seperti nabi Nuh, Ibrahim, Musa, Isa dan lain-lain yang mana pada zaman itu, jika ada mereka yang tidak beriman atau mereka yang melakukan perbuatan mungkar dan apabila mereka diberi amaran supaya mematuhi suruhan dari Allah tetapi mereka masih lagi enggan, Allah menurunkan ke atas mereka dengan azab yang sungguh dahsyat bagi membinasakan kaum itu. Bala atau bencana yang diturunkan itu bermacam-macam rupa seperti yang berlaku ke atau kaum Nabi Nuh yang berupa banjir yang sangat besar. Hal sama juga berlaku kepada umat Nabi Musa yang mana kaum Firaun tenggelam dalam sungai Nil. Bala yang menimpa Nabi Lut pula berlaku di mana bumi mereka diterbalikkan.


Tanggungjawab Manusia

Abu Daud, At-Tarmizi


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Sesungguhnya apabila manusia melihat manusia lain melakukan kezaliman lalu dia tidak melarangnya, maka dikhuatiri Allah akan menimpakan azab-Nya secara umum tanpa ada yang terselamat sama ada yang melakukan kezaliman atau yang melihatnya tanpa mencegahnya.” (Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Seorang muslim mukmin yang sebenar sepatutnya menjauhkan diri daripada perbuatan keji dan mungkar serta mencegahnya, bukan terus duduk bersama orang yang berbuat maksiat kerana ia seolah-olah menunjukkan bahawa mereka redha dengan maksiat dan kekufuran yang dilakukan. Membiarkan perlakuan maksiat merupakan satu maksiat (dosa). Perbuatan ini akan mengundang bala daripada Allah SWT yang akan menimpa bukan sahaja ke atas pelaku maksiat semata tetapi terhadap semua anggota masyarakat. Menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah melakukan kejahatan adalah satu bentuk tanggungjawab sosial. Ini bukanlah untuk menjaga hal ehwal (tepi kain) orang lain melainkan untuk memelihara kepentingan bersama kerana keharmonian dan ketenteraman dalam masyarakat hakikatnya dapat menjamin kehidupan yang aman dan damai bagi seluruh penduduk sekitarnya


Fitnah Terbesar

Ahmad, al-Nasa'i, At-Tarmizi, Bukhari, Ibnu Majah, Muslim


Dari Usamah bin Zaid r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda : “Tidak ada suatu fitnah (bencana) yang lebih besar bahayanya dan lebih bermaharajalela selepas wafatku terhadap kaum lelaki selain daripada fitnah yang berpunca daripada kaum wanita”. (Bukhari, Muslim, Imam Ahmad, at-Tirmidzi, Nasa’i dan Ibnu Majah)

Dunia mempunyai daya penarik yang kuat kerana Allah SWT telah menjadikannya berkeadaan demikian untuk menguji manusia siapakah yang dapat menguasai hawa nafsunya dan dapat menjalani kehidupan di dunia menurut jalan yang diredhai Allah. Antara daya penarik dunia ialah wanita kerana lazimnya mereka mendorong lelaki dengan tutur kata yang manis, gerak geri yang menggoda dan pakaian yang memberahikan. Semua ini mencabar keimanan kaum lelaki sehingga mereka menjadi lalai terhadap tugas dan kewajipan mereka. Oleh itu Rasulullah SAW menuntut kita supaya memelihara dan mengawal diri daripada diruntun oleh kemanisan dan keindahan dunia dengan menambahkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah sambil mengingati bahawa segala yang ada di dunia hanyalah sementara sahaja berbanding dengan segala nikmat di akhirat yang kekal abadi. Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah.

Menggadaikan Agama Kerana Dunia

At-Tarmizi


Daripada Abu Hurairah ra berkata; Rasulullah saw bersabda: “Akan timbul di akhir zaman orang-orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka menunjukkan kepada orang lain pakaian yang dibuat daripada kulit kambing (berpura-pura zuhud dari dunia) untuk mendapat simpati orang ramai, dan percakapan mereka lebih manis daripada gula. Padahal hati mereka adalah hati serigala (mempunyai tujuan-tujuan yang jahat). Allah swt berfirman kepada mereka, “Apakah kamu tertipu dengan kelembutan Ku? Ataukah kamu terlampau berani berbohong kepada Ku? Demi kebesaran Ku, Aku bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi di kalangan mereka sendiri, sehingga orang yang alim (cendikiawan) pun akan menjadi bingung (dengan sebab fitnah itu)”. (Hadis Riwayat Tarmizi)

Golongan yang dimaksudkan di dalam hadis ini ialah orang­-orang yang menjadikan agama sebagai alat untuk mendapat keuntungan dunia. Mereka rela menggadaikan agama untuk meraih keuntungan dunia. Dan apabila bercanggah kepentingan dunia dengan hukum syarak mereka berani mengubah hukum Allah dan memutarbelitkan kenyataan. Mereka juga pandai mengemukakan hujah-hujah yang menarik dan alasan­-alasan yang memikat hati, tetapi sebenarnya hujah-hujah dan alasan tersebut hanya semata-mata timbul dari kelicinan mereka memutarbelitkan kenyataan. Mereka menipu orang lain dan juga menipu diri mereka sendiri. Mereka akan dilanda kekusutan pemikiran yang sangat tajam sehingga orang alim yang banyak pengalaman pun akan kehabisan akal dan buah fikiran. Mereka menghadapi masalah-masalah yang meruncing dan akan menemui jalan buntu dalam permasalahan yang dihadapi. Kalau kita perhatikan dunia Islam hari ini, keadaannya tidak begitu jauh daripada gambaran yang telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW. Ulama yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah ulama su’ yang menjual agama mereka dengan harta benda dunia, bukan ulama akhirat yang mewarisi tugas para Nabi dan yang meneruskan penyebaran dakwah dari masa ke semasa. Ulama jenis ini bercakap menggunakan ayat suci al-Quran semata-mata demi kepentingan sendiri, selain sanggup memutar belit ayat suci Allah SWT bagi meraih keuntungan dunia.


Kelebihan Menuntut Ilmu

Abu ad-Darda' r.a


Rasulullah s.a.w bersabda : “Sesungguhnya Malaikat-malaikat sentiasa menurunkan sayapnya (sebagai memuliakan dan menghormati) penuntut ilmu agama, kerana mereka suka dan bersetuju dengan apa yang penuntut itu lakukan”. (Abu ad-Darda’ r.a)

Penuntut ilmu agama adalah bakal muballigh (penyampai maklumat) Islam, maka merekalah yang akan menyebarkan agama Allah sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah kepada rasul-Nya. Menuntut ilmu agama adalah tidak tertentu kepada satu-satu golongan sahaja melainkan ia adalah wajib dituntut oleh setiap orang Islam demi menjamin kehidupan yang sempurna di dunia dan akhirat. Kita selaku umat Islam dilarang memperlekehkan golongan alim ulama’ dan penuntut ilmu agama ini kerana Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa para malaikat sendiri seluruhnya memberikan penghormatan yang tinggi kepada mereka disebabkan kemuliaan ilmu yang dituntut itu.

Tiada ulasan: