Khamis, 17 Mac 2011

BILA ALLAH NAK TUNJUKKAN KEBESARANNYA...BENDA YANG DICIPTA MENDATANG KEMUDHARATAN...ALLAH SAJA BOLEH MEMBANTU....

Lagi bahaya radiasi di loji Fukushima


GAMBAR yang disiarkan semalam menunjukkan salah sebuah loji nuklear yang musnah di loju Fukushima Daiichi di Fukushima, timur laut Jepun.


TOKYO - Loji nuklear di Fukushima-Daiichi, Fukushima dibiarkan kosong beberapa jam semalam selepas peningkatan radiasi memaksa pekerja-pekerja kecemasan melarikan diri untuk menyelamatkan nyawa mereka.

Keadaan tersebut menyebabkan pihak berkuasa menembak meriam air dalam usaha untuk menyejukkan beberapa reaktor nuklear yang terbakar di loji berkenaan.

Semua 50 pekerja kecemasan yang bertungkus- lumus cuba menyejukkan reaktor-reaktor nuklear itu berundur beberapa ratus meter dari loji Fukushima-Daiichi selepas tahap radiasi menjadi terlalu merbahaya.

Sebelum ini terdapat empat letupan yang berlaku di reaktor tersebut. Kadar tinggi radiasi itu kemudian menurun semula pada malam semalam.

Bagaimanapun, Menteri Industri Perancis, Eric Besson mendakwa Jepun gagal mengawal situasi di Fukushima dan negara itu kini di ambang malapetaka nuklear.

"Tidak perlu lagi berdolak-dalik. Mereka (kerajaan Jepun) telah gagal mengawal situasi di Fukushima. Ini adalah pendapat kami walaupun ia bukan apa yang dikatakan oleh mereka," ujarnya.

Pemerintah Perancis turut menasihatkan rakyat mereka supaya meninggalkan Jepun sebagai langkah berjaga-jaga.

Pada hari yang sama, beberapa buah helikopter tentera gagal menyelesaikan misi untuk menyejukkan reaktor-reaktor nuklear itu dengan menggunakan kaedah mencurahkan air dari udara.

Sebelum itu, pasukan-pasukan kecemasan terbabit mengepam air laut ke dalam reaktor-reaktor nuklear itu dengan menggunakan jentera bomba tetapi usaha tersebut terhenti seketika selepas mereka berundur.

Sebanyak empat reaktor loji nuklear Fukushima yang terletak 240 kilometer dari sini, mengalami kerosakan sejak gempa bumi kuat berukuran 9 pada skala Richter dan tsunami melanda Jepun pada Jumaat lalu.

Kebimbangan berlakunya kebocoran radiasi menyebabkan kerajaan Jepun memindahkan 180,000 penduduk yang tinggal di sekitar loji itu.

Lebih 140,000 lagi penduduk yang berada dalam lingkungan 30 kilometer dari loji nuklear Fukushima-Daiichi diminta tidak keluar rumah.

Sementara itu, pihak berkuasa keselamatan Perancis menyatakan, krisis loji nuklear Fukushima-Daiichi kini berada pada tahap enam dan semakin menghampiri kemalangan nuklear di Chernobyl pada 1986.

Tsunami yang berlaku pada Jumaat lalu itu dianggarkan meragut lebih 10,000 nyawa.

Angka kematian masih belum diketahui kerana anggota-anggota penyelamat masih belum melakukan kerja-kerja mencari di semua kawasan yang musnah akibat ombak setinggi 10 meter.

Sementara itu, salji yang turun semalam di kawasan bencana menyukarkan lagi kerja-kerja untuk mencari mangsa yang terselamat dalam tragedi tsunami.

Satu lagi gempa bumi sekuat 6.0 pada skala Richter turut melanda Jepun semalam.

Gempa bumi itu berpusat 96 kilometer ke timur Tokyo dan gegaran dapat dirasakan di timur negara ini.

Ia berpusat dalam Lautan Pasifik pada kedalaman 25 kilometer pada pukul 12.52 tengah hari waktu tempatan. Namun, amaran tsunami tidak dikeluarkan. - Agensi



Radiasi capai tahap berbahaya



GAMBAR menunjukkan kerosakan pada loji nuklear Fukushima.
GAMBAR menunjukkan kerosakan pada loji nuklear Fukushima.

TOKYO: Paras radiasi di loji nuklear Fukushima meningkat ke tahap bencana semalam, memaksa pekerja yang berusaha menangani kebocoran radiasi meninggalkan kawasan itu untuk menyelamatkan diri.

Pegawai yang cemas memindahkan 50 pekerja awal pagi semalam selepas penggera di loji itu mengesan tahap radiasi mencapai tahap berbahaya kepada kesihatan manusia.


Helikopter tentera kemudian dikerah cuba mengatasi kebocoran lebih buruk dan menyejukkan reaktor terbabit dengan mencurahkan air dari udara.

Kebimbangan mengenai kemungkinan berlaku bencana yang amat dahsyat meningkat seiring dengan kenaikan tahap radiasi dan pakar memberi amaran, loji di Fukushima itu kini menjadi ancaman nuklear hampir sama seperti peristiwa Chernobyl.


Lebih 140,000 penduduk dalam lingkungan 30 kilometer dari loji itu diarah supaya tidak keluar rumah sementara 180,000 yang tinggal lebih hampir dengannya sudah dipindahkan.


Orang ramai yang ketakutan memenuhi jalan raya untuk menyelamatkan diri.

Kerajaan Perancis menggesa warganya yang menetap di Tokyo supaya meninggalkan Jepun atau berlepas ke selatan negara itu, Selasa lalu, kebakaran berlaku di kolam simpanan bahan tenaga reaktor yang sama, kawasan tempat bahan negara nuklear yang digunakan disejukkan, menyebabkan bahan radioaktif terbebas ke udara.


Ketua Setiausaha Kabinet, Yukio Edano berkata, petugas yang cuba menyejukkan reaktor di loji Fukushima Dai-ichi dengan air laut sebagai usaha terdesak untuk menstabilkan suhu tidak mempunyai jalan lain kecuali menyelamatkan diri dari kawasan paling berbahaya itu.

“Mereka tidak boleh melakukan tugas di loji itu, walaupun yang paling minimum,” kata Edano.


Beliau turut memberi amaran, usaha mengatasi kebocoran radiasi dari udara dengan menggunakan helikopter mungkin tidak akan berjaya.


“Usaha mengatasi masalah itu tidak semudah dengan hanya mencurahkan air. Kami berusaha untuk mengelak daripada menimbulkan lebih banyak masalah,” katanya. - DM


Penduduk Fukushima amat kecewa, marah: Gabenor



TOKYO: Gabenor wilayah Fukushima, tempat terletaknya loji yang mencetuskan krisis nuklear akibat gempa bumi berkata, tahap kebimbangan dan kemarahan penduduknyua sudah mencapai tahap maksimum.

“Krisis nuklear yang berlaku memaksa penduduk berpindah jauh dari rumah mereka.


“Saya mahu orang ramai memahami masalah itu. Saya mahu seluruh negara menunjukkan persefahaman terhadap mereka yang meninggalkan wilayah ini.

“Kebimbangan dan kemarahan penduduk Fukushima sudah sampai ke tahap maksimum,” kata Yuhei Sato kepada stesen penyiaran NHK.


Menurutnya, bekalan bantuan tidak tiba kepada 100,000 penduduk yang berlindung di pusat pemindahan selepas mereka terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing yang terletak dalam lingkungan 20 kilometer dari loji Fukushima 1. - AP


Korea Selatan akan hantar bekalan boron

SEOUL 16 Mac - Korea Selatan akan menghantar bekalan boron ke Jepun bagi membantu menstabilkan reaktor nuklearnya yang rosak akibat gempa bumi pada minggu lepas.

Agensi Berita Yonhap yang memetik Kementerian Ekonomi Berdasarkan Pengetahuan di Seoul melaporkan Tokyo meminta bekalan tambahan boron kerana ia telah kehabisan bekalan yang ada di loji tenaga nuklear di Fukushima.

Sebanyak 52 tan bahan kimia itu akan dihantar melalui kapal dalam beberapa hari lagi.

Boron mempunyai kemampuan menyerap neutron, memperlahankan pembelahan nuklear dan menyejukkan reaktor yang kini dalam bahaya ekoran sistem penyejuk di kesemua enam reaktor di loji tenaga nuklear itu rosak.

Syarikat-syarikat minyak Korea Selatan juga merancang menghantar bekalan petrol dan diesel ke Jepun yang mengalami kekurangan bekalan selepas berlaku bencana alam itu.

S-Oil dan SK Energy menerima permohonan bantuan dari Jepun selepas beberapa kilang penapisan minyak di negara matahari terbit itu tidak beroperasi. - Dpa


Berpuluh penerbangan ke Jepun dibatal


Penduduk bandar raya sendai berbaris panjang di terminal bas di hadapan stesen kereta api Sendai semalam bagi meninggalkan bandar raya itu yang teruk dilanda gempa bumi dan tsunami jumaat lalu. - AFP


FRANKFURT 16 Mac - Berpuluh-puluh penerbangan ke Jepun dibatalkan atau dilencongkan semalam dan penumpang udara mengelakkan perjalanan ke Tokyo kerana bimbang ancaman radiasi dari sebuah loji nuklear yang rosak teruk akibat gempa bumi pada Jumaat lalu.

Paling teruk terjejas ialah syarikat penerbangan Asia dan Eropah.

Deutsche Lufthansa berkata, ia melencongkan penerbangan dari Tokyo ke Osaka dan Nagoya, sekurang-kurangnya sehingga ke hujung minggu ini.

Katanya, pesawat yang pulang dari Tokyo kelmarin tidak dicemari radiasi.

Air China berkata, ia membatalkan penerbangan ke Tokyo dari Beijing dan Shanghai, terutamanya disebabkan kekurangan kapasiti operasi di beberapa lapangan terbang.

EVA Airways dari Taiwan mengumumkan akan membatalkan penerbangan ke Tokyo dan Sapporo sehingga akhir bulan ini.

Syarikat penerbangan Amerika Syarikat (AS) tidak melaporkan perubahan besar dalam jadual penerbangan mereka ke Jepun, tetapi pihak berkuasa penerbangan AS berkata, mereka bersedia mengambil tindakan termasuk melencongkan penerbangan jika krisis nuklear bertambah buruk.

Kerajaan lain termasuk Britain, Itali dan Belanda mengeluarkan amaran perjalanan dan penerbangan bagi mengelakkan persinggahan di ibu negara Jepun itu. - Reuters


Amaran ruang udara lima negara terjejas


Kombinasi tiga gambar fail. Gambar atas ialah loji nuklear Fukushima (jepun), loji nuklear Chernobyl (ukraine) dan loji nuklear Three Mile Islands (AS). kemalangan di loji fukushima kini menjadi salah satu daripada tiga kemalangan loji nuklear terbesar dalam sejarah dunia selepas chernobyl dan three mile islands. - AFP


LONDON 16 Mac - Pihak kawalan penerbangan di London mengeluarkan amaran rasmi terhadap kemungkinan berlaku pencemaran radioaktif dari loji kuasa nuklear Fukushima di Jepun.

Pusat Maklumat Gunung Berapi London (VAAC), memberitahu industri penerbangan mengenai amaran tersebut yang dikeluarkan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa yang meliputi 10 kawasan.

Amaran tersebut dikeluarkan pada pukul 11 pagi waktu Malaysia dan melibatkan ruang udara di Jepun, Rusia, China, Amerika Syarikat dan Korea Selatan.

Kebanyakan penumpang masih membuat penerbangan ke Tokyo, namun syarikat penerbangan Jerman, Lufthansa mengalihkan penerbangannya ke lapangan terbang selain Tokyo di Jepun. - AFP









Krisis semakin tidak terkawal


sebahagian penduduk yang tinggal di barat loji nuklear Fukushima menjalani pemeriksaan radiasi di bandar raya Nihonmatsu di wilayah Fukushima sebelum dipindahkan, semalam. - AFP


TOKYO 16 Mac - Krisis nuklear Jepun semakin tidak terkawal hari ini selepas pekerja keluar sementara waktu dari loji nuklear di Fukushima yang rosak ekoran paras radiasi yang melonjak, tetapi usaha terdesak untuk mengelakkan berlaku malapetaka nuklear diteruskan dengan segera.

Pegawai Jepun berkata, mereka menghubungi tentera Amerika Syarikat (AS) mengenai kemungkinan menghantar pasukan bagi membantu pihak berkuasa di loji itu.

Awal hari ini, satu lagi kebakaran berlaku di reaktor No. 4 di loji tersebut yang telah mengeluarkan radiasi paras rendah yang dibawa angin ke Tokyo dalam tempoh 24 jam lalu, mencetuskan panik di ibu negara ini dan di beberapa negara.

Pekerja cuba membersihkan sampah sarap untuk membina sebatang jalan supaya kereta bomba boleh sampai ke reaktor No. 4 di kompleks nuklear Daiichi di Fukushima, 240 kilometer ke utara Tokyo.

Api tidak lagi kelihatan di bangunan yang menempatkan reaktor itu tetapi siaran televisyen menunjukkan kepulan asap putih atau wap.

Sebuah helikopter terbang di atas kompleks itu untuk menggugurkan air ke atas reaktor No. 3, yang mengalami kerosakan bumbung dalam kejadian letupan pada Jumaat lalu dan mengeluarkan wap awal hari ini, dalam usaha untuk menyejukkan rod tenaga nuklear.

Operator loji, Tokyo Electric Power Co. (TEPCO) menggambarkan reaktor No. 3 sebagai 'keutamaan' dan situasi di reaktor No. 4 sebagai 'tidak begitu baik'.

Pakar nuklear berkata, jalan penyelesaian yang dicadangkan untuk mengawal kebocoran radiasi di loji itu dianggap sebagai usaha terakhir untuk membendung berlaku bencana yang dijangka diingati sebagai satu bencana perindustrian paling buruk di dunia.

"Ini mimpi ngeri yang dialami secara gerak perlahan," kata penyelidik di Pusat Kajian Antarabangsa (sebahagian Institut Teknologi Massachusetts), Dr. Thomas Neff.

Di loji Fukushima, pihak berkuasa sejak berhari-hari lalu cuba mencegah air yang digunakan untuk menyejukkan teras reaktor yang mengandungi radioaktif daripada meruap, bagi mengelakkan teras reaktor menjadi terlampau panas dan kemungkinan membawa kepada kecairan berbahaya.

Kebimbangan kini tertumpu kepada kerosakan sebahagian bangunan reaktor No. 4 di mana rod tenaga terpakai disimpan di dalam takungan air, kerana paras air didapati semakin merosot dan boleh menyebabkan rod itu terdedah dan mengeluarkan radiasi.

Sebelum itu pasukan kecil yang ditugaskan untuk menangani krisis tersebut dikhuatiri tidak memadai atau pun sudah keletihan selepas berhari-hari bertungkus-lumus di kompleks itu.

Hanya 50 petugas berada di loji itu selepas pihak berkuasa membawa keluar 750 pekerja semalam.

Seorang veteran industri nuklear, Arnie Gundersen berkata, 50 pekerja tidak mampu menjaga enam reaktor nuklear.

"Tindakan membawa keluar 750 pekerja menandakan mereka mungkin sudah mengaku kalah," katanya. - Reuters

Ancaman radiasi meningkat



Reaktor nuklear semakin panas, 140,000 penduduk tak boleh keluar rumah

TOKYO: Jepun belum dapat menyelesaikan masalah loji nuklearnya di Fukushima selepas pekerja diarahkan meninggalkan seketika tempat itu semalam kerana tahap radiasi meningkat.
Pihak berkuasa berkata, tahap radiasi di ibu negara itu 10 kali tinggi daripada normal tetapi tidak membahayakan kesihatan manusia di bandar yang mempunyai 13 juta penduduk.
Pencemaran radiasi dilaporkan melanda Tokyo sejak 24 jam lalu meskipun pada tahap rendah dan kebakaran di loji nuklear berkenaan awal daripada itu meningkatkan lagi kebimbangan, lapor agensi berita Kyodo.

Pakar nuklear dan ahli akademik berkata, penyelesaian sedang dicari untuk mengawal kebocoran radiasi di loji Daiichi, wilayah Fukushima bagi mengelakkannya menjadi bencana nuklear paling teruk dalam sejarah.

“Ini adalah mimpi buruk yang berlaku perlahan-lahan,” kata pakar penyelidik di Pusat Pengajian Antarabangsa, Institut Teknologi Massachusetts, Dr Thomas Neff.

Pekerja loji itu cuba membina laluan bagi membolehkan jentera bomba masuk ke rektor nombor 4 yang terbakar. Stesen televisyen NHK menunjukkan asap atau wap kelihatan naik di kemudahan itu kira-kira jam 1 tengah hari (waktu tempatan).
Bimbang dengan krisis yang dihadapi pekerja loji yang bekerja termasuk keletihan selepas bekerja berhari-hari sejak gempa bumi melanda, pihak berkuasa mengarahkan 750 pekerja untuk pulang dan hanya tinggal 50.

Mereka yang tinggal diarahkan keluar sejam selepas itu kerana tahap radiasi terlalu tinggi tetapi kemudian dibenarkan kembali, kata pegawai rasmi.

Pihak berkuasa menghabiskan beberapa hari terdesak untuk mengelakkan air yang digunakan untuk menyejukkan radioaktif daripada mendidih yang boleh menyebabkan kepanasan dan membebaskan bahan radiasi berbahaya di atmosfera.

Tahap 400 millisievert sejam direkodkan berdekatan rektor nombor 4, kata kerajaan. Pendedahan kepada lebih 100 millisieverts setahun boleh membawa kepada kanser, kata Persatuan Nuklear Dunia.

Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan meminta 140,000 penduduk yang tinggal dalam lingkungan 30 kilometer dari loji itu supaya tidak keluar rumah.
Jepun bimbang kebocoran serius bermakna ia akan sama dengan insiden nuklear paling teruk sejak Chernobyl di Ukraine pada 1986.

Sejak gempa bumi dan tsunami melanda Jumaat lalu, empat letupan berlaku di loji nuklear yang rosak itu, terbaru letupan di reaktor nombor 2 dan 4.

Angka kematian rasmi kerana gempa dan tsunami mencecah 4,000 manakala lebih 7,000 lagi senaraikan sebagai hilang.

Salji menjejaskan lagi keadaan ribuan mangsa yang kehilangan tempat tinggal akibat gempa dan tsunami kerana terpaksa bermalam dengan kesejukan akibat bekalan elektrik terputus.

Kebimbangan terus menyelubungi kerana radiasi dikhuatiri sampai kepada penduduk di barat laut Amerika Syarikat dan Kanada.

Pihak berkuasa memberi amaran orang ramai yang terdedah kepada radiasi supaya mengambil pottasium iodin bagi melindungi daripada kanser.

Radiasi nuklear menjadi isu sensitif bagi Jepun selepas kejadian paling teruk melanda negara itu ketika pengeboman bom atom di Nagasaki dan Hiroshima pada 1945. – Reuters

Tiada ulasan: