Isnin, 28 Mac 2011

Istighfar Penghapus Dosa.

Istighfar Penghapus Dosa.

meragukan

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : “Tinggalkan apa yang membimbangkan kamu kepada apa yang tidak membimbangkan kamu”. Hadis Hasan soheh yang bermaksud : “Tinggalkan perkara yang engkau ragu dan ambillah perkara yang engkau tidak ragu”. (Riwayat At-Tarmizi)

Nabi melarang umatnya dari melakukan atau melibatkan diri dalam sesuatu perkara yang hukumnya tidak jelas sama ada halal atau haram. Melakukan perkara-perkara yang diragui boleh menyebabkan seseorang itu tercebur ke kancah dosa. Banyak perkara yang membimbangkan dan meragukan di dalam dunia ini, oleh itu jauhilah atau tinggalkanlah perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah yang merugikan dan pilihlah perkara-perkara yang mendatangkan kebaikan dan kebajikan demi kebahagian dunia dan akhirat. Tinggalkanlah perkara yang meragukan kepada perkara yang tidak meragukan.

Islam Itu Mudah.

Bukhari,Muslim


Daripada Aisyah, katanya Rasulullah SAW tidak pernah memilih antara dua perkara melainkan Baginda akan memilih yang paling mudah antara keduanya selagi perkara itu tidak mendatangkan dosa. Jika mendatangkan dosa, Baginda adalah orang pertama menjauhinya. Rasulullah SAW juga tidak pernah menuntut sesuatu perkara untuk kepentingan dirinya melainkan dilakukan untuk kesucian agama Allah, maka pembelaan yang dilakukan olehnya adalah semata-mata kerana Allah Taala. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Islam adalah agama Allah yang kesuciannya hendaklah sentiasa dipelihara dan segala perkara dilakukan hendaklah diniatkan kerana Allah. Oleh itu, umat Islam janganlah terburu-buru bertindak apalagi terhadap perkara yang remeh temeh kecuali terhadap perkara menyentuh kepentingan agama. Islam memberi kelonggaran kepada umatnya melakukan perkara yang mudah dan senang selagi ia tidak mendatangkan dosa. Jika mendatangkan dosa, umat Islam perlu berusaha untuk menjauhi perkara berkenaan dengan apa cara sekalipun.


Istighfar Penghapus Dosa.

Muslim


Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya : “Demi Allah, kalau kamu tidak berdosa, Allah akan menjadikan satu umat lain yang melakukan dosa, lantas mereka beristighfar kepada Allah lalu diampuni dosa mereka”. (Muslim)

Sudah menjadi lumrah bahawa manusia itu tidak boleh lepas daripada kesalahan dan dosa. Hal ini disebabkan adanya sifat lupa, lalai, mengikut hawa nafsu, godaan syaitan dan sebagainya. Sesungguhnya dosa sebenarnya bukanlah perkara yang pelik dan mengaibkan tetapi yang aibnya ialah apabila seseorang itu kekal dalam dosa tanpa rasa ingin kembali bertaubat serta memohon ampun daripada Allah SWT. Oleh itu beristighfar amatlah dituntut dalam Islam kerana ia boleh menghapuskan dosa perbuatan yang dilakukan. Tetapi sayang, kita sukar sekali mengamalkan istighfar ini padahal ia sungguh ringkas dan mudah sehingga akhirnya bertambah-tambahlah dosa yang dilakukan dari hari ke hari lantaran kelalaian dan tabiat suka bertangguh. Istighfar juga bukan setakat jalan untuk memohon ampun daripada Allah SWT tetapi ia juga sebagai suatu sinar cahaya yang menerangi wajah dan hati seseorang.


Kepentingan Solat

At-Tarmizi


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya : “Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang dari sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman : “Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya”? Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain”. (Riwayat At-Tarmizi)

Seorang mukmin yang sebenar sudah tentu tidak akan mengambil mudah ibadat sembahyang fardhu yang diwajibkan ke atasnya termasuklah menjaga waktu sembahyang, mematuhi tertib sembahyang dan sebagainya disamping mengerjakan ibadat sunat seperti sembahyang sunat, puasa sunat dan lain-lain setakat yang termampu olehnya. Sesungguhnya sembahyang itu jika dikerjakan dengan sempurna dapat mencegah seseorang daripada perbuatan keji dan mungkar. Sebaliknya orang yang mengerjakan ibadat sambil lewa tidak akan dapat merasai nikmat ketenangan dan ketakwaan yang sebenar kepada Allah S.W.T. Dia akan menganggap bahawa ibadat itu adalah suatu yang memberatkan. Lantaran itulah kita mendapati ramai orang yang tidak segan silu melakukan dosa dan maksiat sekalipun dia mengerjakan sembahyang, puasa dan sebagainya. Rebutlah segala peluang yang ada semasa hidup di dunia ini untuk mengerjakan kebaikan, hayatilah kata-kata (athar) : “Berusahalah untuk duniamu seolah-olah engkau hidup selama-lamanya, dan beramallah untuk akhiratmu seolah-olah engkau akan mati esok hari”.


Kewajipan Dalam Menunaikan Solat Fardhu.

Bukhari


Dari Anas r.a katanya : “Nabi Muhammad SAW telah bersabda : (selain dari apa yang telah aku saksikan semasa aku dibawa israk dan mikraj pada malam itu), maka Allah fardhukan (atasku) dan atas umatku lima puluh sembahyang, lalu aku memohon kepadaNya (supaya dikurangkan lagi bilangan sembahyang itu yang telah pun dikurangkan sehingga tinggal lima sahaja) maka Allah SWT berfirman : “Sembahyang fardhu (sehari semalam) itu tetap lima (dari segi bilangannya) dan ia juga tetap lima puluh (dari segi pahalanya). KeputusanKu itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti”. (Bukhari)

27 Rejab mencatatkan lakaran sejarah penting yang berlaku ke atas Rasulullah S.A.W kerana pada tarikh tersebutlah berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj ke atas baginda. Ia berlaku pada tahun yang dinamakan “Tahun Dukacita”, di mana baginda telah kehilangan dua orang insan yang telah banyak memberi pertolongan dan bantuan sepanjang menjalankan dakwah suci iaitu isteri baginda Siti Khadijah dan bapa saudara baginda Abu Talib. Di dalam peristiwa ini banyak perkara telah berlaku dan yang paling utama adalah mengenai sembahyang yang merupakan salah satu daripada rukun Islam yang lima. Baginda S.A.W telah menerima kewajipan sembahyang lima waktu ketika Mikraj sebagaimana yang digarapkan oleh imam Bukhari di dalam sohihnya. Jika kita perhatikan mengenai kewajipan ini maka fahamlah kita tentang betapa besarnya ganjaran dan peranan sembahyang di mana sembahyang itu jika dikerjakan dengan sempurna mampu mencegah umat Islam daripada melakukan perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Peringatan Rasulullah S.A.W mengenai sembahyang ini harus dititikberatkan memandangkan sekarang ini ramai di kalangan umat Islam yang mengabaikan solat dan memandang mudah terhadap sembahyang lima waktu apatah lagi menunaikannya secara berjemaah. Pengaruh keduniaan telah menghantui mereka sehingga sanggup meninggalkannya demi mengejar habuan dunia yang tidak seberapa.

Sebenar-benar Perkataan dan Sebaik-baik Jalan Pimpinan.

Muslim


Dari Jabir bin Abdullah r.a., katanya: Pernah Rasulullah s.a.w apabila berpidato merah menyala matanya, lantang suaranya dan bersangatan marahnya, sehingga seolah-olah Baginda seorang pemberi amaran yang menyatakan kepada angkatan tentera (tentang kedatangan musuh) dengan katanya: Bahawa musuh akan datang menyerang kamu pada pagi-pagi hari dan (mungkin) pada waktu petang!; serta Baginda bersabda: “(Masa) aku diutuskan dan masa berlakunya kiamat seperti dua jari ini,” lalu Baginda menyatukan kedua jari tangannya – jari telunjuk dan jari tengah, serta baginda bersabda lagi: “(Ketahuilah) selain dari itu, maka sebenar-benar perkataan ialah kitab Allah dan sebaik-baik jalan pimpinan ialah jalan pimpinan Muhammad (s.a.w) dan (sebaliknya) sejahat-jahat perkara ialah perkara-perkara baharu (yang diada-adakan dalam agama), sedang tiap-tiap perkara baharu (yang diada-adakan dalam agama) itu adalah bid’ah dan tiap-tiap bid’ah itu sesat”. Kemudian Baginda bersabda lagi: “Aku adalah berhak menolong tiap-tiap seorang mukmin lebih daripada ia menolong dirinya sendiri, – sesiapa yang meninggalkan harta benda maka itu adalah untuk waris-warisnya dan sesiapa yang meninggalkan hutang atau orang yang kehilangan tempat bergantung maka terserahlah kepadaku menjaganya atau akulah yang menanggung hutangnya”. (Hadis Riwayat Muslim)

Benar bererti tepatnya sesuatu yang disebut dengan keadaannya yang sebenar. Ketetapan itu ialah apabila yang menyebut itu mempunyai pengetahuan yang luas meliputi segala hal keadaan yang dinyatakannya; pengetahuan yang sedemikian tidak dipunyai melainkan oleh Allah Subhanahu wa Taala. Kitab Allah, kitab suci Al-Qur’an Al-Karim, antara lain mengandungi kisah-kisah kejadian yang berlaku, sama ada yang berlaku sebelum daripada masa turunnya, semenjak zaman purba ataupun yang berlaku kemudian daripada masa turunnya hingga hari kiamat. Mengenai perkara-perkara yang telah berlaku, Al-Qur’an Al-Karim telah menceritakan dalam keadaan yang terbuka kepada segala lapisan masyarakat dan apa yang telah diceritakannya itu tidak ada sesiapapun yang menentangnya, dari golongan ahli pengetahuan yang jujur. Demikian juga, mengenai perkara-perkara yang akan datang, Al-Qur’an telahpun menceritakannya dan di antaranya ada yang telah berlaku menjadi kenyataan sebagaimana yang telah diceritakannya dan setengahnya yang lain lahir ke alam nyata melalui kajian-kajian sains. Ini adalah di antara bukti-bukti yang menunjukkan bahawa kisah dan kejadian-kejadian yang disebut dalam kitab Allah itu adalah benar, maka demikianlah pula mengenai bahagian-bahagian yang lain, seperti bahagian hukum, bahagian pengajaran dan seterusnya adalah semuanya benar belaka. Kitab Allah adalah sebenar-benar perkataan, kerana ilmu Allah itu adalah meliputi segala-galanya. Nabi Muhammad s.a.w diutuskan untuk memimpin umat manusia ke jalan yang benar, yang boleh menyampaikan kepada matlamat kebahagiaan sejati. Jalan pimpinan Baginda adalah sebaik-baik jalan pimpinan kerana pimpinan baginda adalah dengan panduan wahyu melalui malaikat yang diutus oleh Allah Azza wa Jalla pencipta seluruh alam. Dalam buku-buku karangan mengenai pemimpin-pemimpin dunia yang masyhur, terdapat Nabi Muhammad s.a.w disebut dari jumlah mereka. Ya, sungguh benar, Baginda termasuk dalam jumlah pemimpin-pemimpin dunia yang terkenal, tetapi yang lebih benarnya ialah pimpinan Rasulullah s.a.w tidak boleh ditandingi dengan pemimpin-pemimpin dunia yang lain, yang dalam hal memimpin rakyat, mereka hanya berpandu kepada fikiran masing-masing yang sangat terbatas, dalam keadaan dan masa yang terbatas.

Tanda Kiamat.

Muslim


Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda : “Belum akan terjadinya kiamat sebelum banyak haraj”. Bertanya para sahabat, “Apakah itu haraj ya Rasulullah?” Jawab baginda, “Pembunuhan! Pembunuhan!” (Muslim)

Kejadian-kejadian seperti pembunuhan sudah sering kali kita lihat di perbagai media. Kadangkala kita berfikir bahawa kejadian seperti ini adalah kerana zaman sudah berubah. Manusia sekarang suka bunuh-membunuh, berlaku perzinaan, hal halal haram tidak dipedulikan dan sebagainya. Seperti yang diramalkan oleh Rasulullah s.a.w bahawa masa sudah mendekati hari kiamat dan tanda-tandanya adalah seperti yang disebutkan di atas. Ini adalah kebenaran. Bagaimanakah nanti sekiranya umat Islam juga terjebak dalam perkara yang sama (suka melakukan pembunuhan tanpa hak) sedangkan Islam menyarankan agar umatnya hidup dalam keamanan dan menyarankan kedamaian sesama manusia. Oleh itu sebaik-baik amal pada ketika dan saat ini adalah menyeru agar masing-masing sentiasa melakukan kebaikan dan mencegah daripada berlakunya kemungkaran kerana masa yang kian bergerak pantas akan menjadikan kita lemas di celah-celah kekalutan manusia yang haru biru tanpa arah tujuan sedangkan manusia yang benar-benar beriman sudah tentu tidak akan dapat bertahan tanpa melakukan sesuatu bagi merubah keadaan.

Beriman Kepada Allah Dan Hari Kemudian.

Bukhari, Muslim


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya : Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka hendaklah ia berkata perkara yang baik atau diam. Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka hendaklah ia memuliakan jirannya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka hendaklah ia memuliakan tetamunya. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Islam adalah agama yang mengajar umatnya nilai peradaban yang tinggi serta sopan santun yang terpuji. Maka individu yang benar-benar beriman semestinya akan mengamalkan segala ajaran Islam untuk menjaga keselamatan dirinya iaitu dengan memelihara percakapannya demi menjaga hubungan baik dengan jiran-jiran dan sahabat-sahabatnya sesuai dengan keadaan masing-masing. Sebelum berkata hendaklah berfikir terlebih dahulu, bila didapati tidak ada bahaya kerananya, berkatalah, tetapi jika sebaliknya diamlah kerana diam yang tepat pada waktunya adalah sifat orang yang terpuji melainkan jika diam dari mengatakan yang hak dan menegur sesuatu yang salah kerana diam seperti ini adalah diam yang dicela oleh agama. Setiap umat Islam hendaklah bertimbang rasa dalam pergaulan sesama jiran kerana jiran adalah orang yang paling dekat selain daripada sanak-saudara yang tinggal di sekeliling. Memuliakan tetamu pula maksudnya ialah melakukan kebaikan kepada mereka sebagai orang yang datang berkunjung ke rumah di mana selaku tuan rumah hendaklah melayan tetamu mereka dengan senang hati, sopan dan memberikan jamuan kepada mereka sesuai dengan keadaan dan kemampuan. Manakala bagi tetamu pula hendaklah sebaik mungkin tidak sampai menyusahkan tuan rumah.


Bersumpah.

Bukhari
Dari Abdullah ra, Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang bersumpah hendaklah bersumpah dengan nama Allah atau hendaklah diam sahaja”. (al-Bukhari)

Ucapan seharian seorang muslim itu hendaklah senantiasa dikembalikan kepada Allah seperti; mengawal pekerjaan yang baik dengan Bismillah (dengan nama Allah); mengakhiri pekerjaan dengan membaca Alhamdulillah (segala puji kepada Allah); berjanji dengan ucapan InsyaAllah (jika Allah menghendaki) dan bersumpah dengan hanya menggunakan nama Allah seperti wallahi, wabillahi atau watallahi yang bermaksud (demi Allah). Sumpah yang sah ertinya sesuai dengan ketentuan syarak iaitu dengan menyebut nama Allah dan dibuat dalam keadaan sedar. Orang yang melanggar sumpah yang sah, baik secara sengaja atau tidak, wajib menebusnya dengan membayar kifarah yang secara terminologinya (istilah), maksudnya adalah denda yang harus dibayar ketika seseorang melakukan salah satu dari lima perkara berikut iaitu: Membunuh. Zihar, iaitu menyamakan isteri dengan ibunya.Bersetubuh di siang hari dalam bulan Ramadhan.Sengaja berbuka puasa tanpa alasan yang diharuskan syarak.Melanggar sumpah. Rasulullah SAW melarang keras perbuatan terlalu banyak bersumpah terutamanya di dalam hal jual beli sebagaimana sabda Baginda yang maksudnya: “Banyak bersumpah (dalam jual beli) menjadikan barang dagangan laris, namun menghilangkan berkah”. (Bukhari dan Muslim).

Jual Beli Secara Hutang.

Muslim

Dari Usamah bin Zaid ra katanya, Nabi saw bersabda: “Sesungguhnya riba itu boleh berlaku pada jual beli secara hutang (kredit)”. (Muslim)

Firman Allah yang bermaksud: “Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Ia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa”. (Surah al-Baqarah : Ayat 276)


Allah Melaknat Orang Yang Makan Riba.

Abu Daud, Ahmad


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya : “Allah akan melaknat pemakan riba, yang memberi makan, dua orang saksinya dan jurutulisnya”. (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Mencari rezeki merupakan sebahagian daripada ibadah. Begitu juga sebaliknya. Agihan kekayaan yang tidak seimbang akan menjadi punca terjadinya segala jenayah berbentuk korupsi. Di antara rezeki yang haram menurut pandangan Islam ialah rasuah, makan harta anak yatim tanpa hak, mencari rezeki dengan meminta-minta, riba, perdagangan benda yang memabukkan, perjudian, penipuan dalam timbangan, menjual barang rosak dan barang tiruan. Riba yang dari segi istilah bermaksud ‘az ziadah’ (tambahan) iaitu tambahan di atas modal sama ada sedikit atau pun banyak (beban bunga) di mana ia adalah termasuk salah satu daripada dosa-dosa besar kerana ia merupakan pemerasan orang kaya terhadap orang miskin yang membuatkan orang kaya menjadi bertambah kaya dan orang miskin menjadi bertambah melarat. Pemakan riba akan mendapat hukuman yang berat sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud :“Orang memakan riba atau mengambilnya, ia tidak dapat berdiri (hidup) melainkan keadaan seperti orang yang dirasuk syaitan atau macam orang gila (kehilangan akal)”. (Surah al-Baqarah : Ayat 275) Dalam surah dan ayat yang sama juga selanjutnya Allah berfirman bahawa orang yang mengulangi memakan riba setelah ia mengetahui hukumnya, maka Allah akan memasukkannya ke dalam neraka dan kekal di dalamnya. Semasa peristiwa Isra’ dan Mikraj, Rasulullah s.a.w telah ditunjukkan bagaimana seorang yang berenang dalam sungai darah. Setiap kali orang berkenaan menghampiri tebing, dia telah dilontar dengan batu. Penjelasan yang diberikan oleh malaikat ialah orang ini sewaktu di dunia adalah pemakan riba. Sistem riba adalah sistem yang buruk dari segi ekonomi. Oleh itu untuk menghindari dari kemungkinan terlibat ke dalam riba yang dilarang oleh Islam, (walaupun batas-batas yang dianggap riba masih diperselisihkan di kalangan para ulama) jalan yang paling selamat adalah melakukan muamalah berdasarkan ajaran lslam sama ada secara mudharabah, musyarakah, murabahah atau wadi’ah. Riba lawannya sedekah kerana sedekah merupakan kerelaan memberikan harta benda tanpa mengharapkan balasan. Sedangkan riba, ia menuntut kembali wang yang dipinjamkannya termasuk dengan bunganya yang dikaut daripada penat jerih orang yang meminjamnya.


Anak Yatim.

Ahmad, At-Tarmizi, Bukhari, Ibnu Majah, Muslim


Daripada Abu Ummah diceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang membelai kepala anak yatim kerana Allah SWT, maka baginya kebaikan yang banyak daripada setiap rambut yang diusap. Dan barang siapa yang berbuat baik kepada anak yatim perempuan dan lelaki, maka aku dan dia akan berada di syurga seperti ini, Rasulullah SAW mengisyaratkan merenggangkan antara jari telunjuk dan jari tengahnya.” (Hadis riwayat Ahmad)

Mengulas hadis riwayat Ahmad itu, Al-Hafizah Ibnu Hajar Al-Asqalani berkata: “Cukuplah sebagai bukti yang menetapkan dekatnya kedudukan Nabi dengan kedudukan orang yang mengasuh anak yatim, kenyataan bahawa antara jari tengah dan jari telunjuk tidak ada jari yang lain.” M Khalilurrahman Al-Mahfani dalam sebuah bukunya mencatatkan mengenai anak yatim: “Anak yatim adalah satu daripada komponen kehidupan yang harus kita rahmati. Dengan kata lain, kita harus menjadi rahmat bagi mereka, bukan menjadi musibah.”

Daripada Ibnu Abbas meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang memelihara anak yatim dalam kalangan umat Muslimin, memberinya makan dan minum, pasti Allah SWT akan masukkan ke dalam syurga, kecuali ia melakukan dosa yang tidak boleh diampun.” (Hadis riwayat Tirmidzi)

Jelaslah bahawa pahalanya sangat besar bagi sesiapa yang berbuat baik atau memelihara anak yatim.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik rumah di antara orang Islam adalah rumah yang di dalamnya ada anak yatim yang diperlakukan dengan sebaik-baiknya dan seburuk-buruk rumah adalah rumah yang di dalamnya ada anak yatim, namun diperlakukan dengan buruk.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Rahmat bagi mereka dizahirkan dalam bentuk kepedulian yang nyata, antara lain mengasuh mereka dalam keluarga kita, membantu ekonomi dan pendidikan, menjadi orang tua asuh, serta aktif mengelola rumah asuhan. Allah SWT juga berjanji akan memberi pahala dan ganjaran yang setimpal kepada kaum Muslimin yang membantu meringankan beban anak yatim dengan memberi sumbangan wang ringgit (derma atau sedekah). Banyak atau sedikit sumbangan yang diberikan itu bukan ukurannya, tetapi keikhlasan yang penting. Allah melihat apa yang ada dalam hati.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada suatu pagi yang dilalui oleh seorang hamba kecuali dua malaikat turun. Satu daripadanya berkata: Ya Allah, berilah ganti orang yang berinfak (dermawan). Malaikat yang satu lagi berkata: Ya Allah, berilah kehancuran bagi orang yang kedekut.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad)

Amin. Amin. Amin.

al-Bazzar, Bukhari


Dari Ka’ab Bin ‘Ujrah ra katanya : Rasulullah S.A.W bersabda : Berhimpunlah kamu sekalian dekat dengan mimbar. Maka kami pun berhimpun. Lalu beliau menaiki anak tangga mimbar, beliau berkata : Amin. Ketika naik ke anak tangga kedua, beliau berkata lagi : Amin. Dan ketika menaiki anak tangga ketiga, beliau berkata lagi : Amin. Dan ketika beliau turun (dari mimbar) kami pun bertanya : Ya Rasulullah, kami telah mendengar sesuatu dari tuan pada hari ini yang kami belum pernah mendengarnya sebelum ini. Lalu baginda menjawab : “Sesungguhnya Jibril as telah membisikkan (doa) kepadaku, katanya : Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampuni. Lalu aku pun mengaminkan doa tersebut. Ketika aku naik ke anak tangga kedua, dia berkata lagi : Celakalah orang yang (apabila) disebut namamu di sisinya tetapi dia tidak menyambutnya dengan selawat ke atasmu. Lalu aku pun mengaminkannya. Dan ketika aku naik ke anak tangga yang ketiga, dia berkata lagi : Celakalah orang yang mendapati ibu bapanya yang sudah tua atau salah seorang daripadanya, namun mereka tidak memasukkan dia ke dalam syurga. Lalu aku pun mengaminkannya”. (Hadis Riwayat Bazzar dan Imam Bukhari)


Alam Kubur.

Abu Hurairah r.a


Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila si mati dikuburkan, datanglah kepadanya dua Malaikat hitam legam, lagi biru (matanya), salah satu di antaranya disebut dengan nama “Munkar” dan yang satu lagi disebut dengan nama “Nakir”, (lalu keduanya mendudukan si mati itu setelah dikembalikan rohnya ke dalam jasadnya). Kemudian mereka menyoalnya: Apa yang pernah engkau katakan mengenai orang ini (Muhammad s.a.w)? Dan pada satu riwayat oleh Abu Daud: Mereka bertanya kepadanya: Apa yang engkau pernah sembah? Maka kalau Allah memberi hidayah petunjuk kepadanya, ia akan menjawab dengan berkata: Aku menyembah Allah! Kemudian ia ditanya lagi: Apa yang engkau pernah katakan mengenai orang ini (Muhammad s.a.w)? Dan pada satu riwayat yang lain, oleh Abu Daud juga: Mereka menyoalnya dengan berkata: Siapa Tuhanmu? Ia menjawab: Tuhanku ialah Allah! Mereka bertanya lagi: Apa agama mu? Ia menjawab: Agamaku ialah Islam! Mereka bertanya lagi: Siapa dia orang yang telah diutuskan dalam kalangan kamu? Maka kalau si mati seorang yang beriman, ia akan menjawab dengan berkata: Orang itu (Muhammad s.a.w) ialah hamba Allah dan RasulNya, aku mengetahui serta meyakini bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Muhammad itu ialah hamba Allah dan RasulNya! Mereka berkata kepadanya: Kami sedia mengetahui bahawa engkau mengakui yang demikian. Dan pada satu riwayat oleh Abu Daud bahawa Baginda s.a.w bersabda: Lalu diseru oleh penyeru dari langit katanya: Sungguh benar hamba-Ku, maka bentangkanlah kepadanya satu hamparan dari Syurga, dan pakaikanlah dia pakaian dari Syurga, serta bukakanlah baginya sebuah pintu ke Syurga. Rasulullah s.a.w bersabda lagi: Lalu datang kepadanya sebahagian dari bau Syurga dan keharumannya; kemudian dilapangkan kuburnya seluas tujuh puluh hasta persegi, dan diberikan cahaya yang menerangi kuburnya; kemudian dikatakan kepadanya: Tidurlah! Lalu ia berkata: Bolehkah aku balik kepada keluargaku supaya dapat aku ceritakan kebaikan halku? Dua Malaikat itu berkata kepadanya: Tidurlah seperti tidurnya pengantin yang tidak dibangkitkan dari tidurnya melainkan sekasih-kasih ahlinya; Demikianlah halnya sehingga ia dibangkitkan Allah dari tempat baringnya itu. Jika si mati itu seorang munafik, ia menjawab pertanyaan Malaikat itu dengan katanya: Aku dengar orang berkata demikian, maka aku pun turut berkata sama; aku tidak tahu benarkah atau tidak. Lalu dua Malaikat itu berkata: Memang kami tahu engkau berkata demikian. Dan menurut satu riwayat oleh Abu Daud: Lalu diseru oleh penyeru dari langit katanya: Sesungguhnya orang itu berdusta maka bentangkanlah kepadanya satu hamparan dari Neraka, dan pakaikanlah dia pakaian dari Neraka, serta bukakanlah baginya sebuah pintu ke Neraka. Rasulullah s.a.w. bersabda lagi: Lalu datang kepadanya sebahagian dari bahang Neraka dan udara panasnya; kemudian diperintahkan bumi supaya mengapitnya lalu bumi mengapitnya sehingga berselisih tulang-tulang rusuknya, maka tinggallah ia dalam azab itu terus menerus ke masa Allah bangkitkan dia dari kuburnya. (Abu Hurairah r.a)


Sakaratul Maut.

Anas r.a


Dari Anas r.a katanya : “Rasulullah s.a.w telah masuk menziarahi seorang pemuda yang sedang berada dalam keadaan hampir mati, lalu bertanya kepadanya” : “Bagaimana keadaanmu?” Pemuda itu menjawab : “Aku berharap kepada (rahmat) Allah – Ya Rasulullah! – dan aku takutkan (balasan buruk) dari sebab dosa-dosa ku”. Mendengarkan yang demikian, Rasulullah s.a.w bersabda : “Tidak berhimpun dalam hati seseorang dua perkara itu (harap dan takut) pada saat yang seperti ini, melainkan Allah memberikannya apa yang diharapkan dan menyelamatkannya dari apa yang ditakuti”. (Anas r.a)

Apabila menghadapi sakaratul maut setiap umat Islam diminta agar sentiasa mengingati Allah dengan bersungguh-sungguh serta berdoa semoga Allah memberi pertolongan kepadanya semasa mengalami penderitaan tersebut. Kita hendaklah menanamkan perasaan takut terhadap kemurkaan Allah dan mengharapkan rahmat daripada-Nya pada setiap masa apatah lagi di saat-saat genting menghadapi sakaratul maut kerana hal ini ada ganjaran dan penghargaan yang besar daripada Allah S.W.T malah dengan adanya perasaan tersebut juga akan menghindarkan kita daripada terdorong melakukan perbuatan yang mengundang kemurkaan Allah.

Penawar Penyakit.

At-Tabrani


Rasulullah SAW bersabda : “Siapa yang mengucapkan La Haula Wala Quwwata illa billahi, maka ia akan menjadi ubat kepada 99 penyakit. Yang paling ringan adalah kebimbangan”. (Hadis Riwayat Tabrani)

Hadis ini adalah riwayat at-Tabarani dalam al-Awsath dan al-Hakim yang berbunyi: “Man Qala La Haula wala Quwwata Illa Billahi Kana dawa’an min tis’atin wa tis’iina da’in, aisaruha al-Hammu” dan maksudnya adalah seperti di atas. Intipati hadis tersebut adalah umat Islam digalakkan untuk tabah dan berusaha merawat penyakit asalkan mengikut peraturan agama. Penyakit yang dimaksudkan itu ada terkandung dalam beberapa ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. Daripada Anas, bahawa Rasulullah SAW berdoa dengan doa: “Allahumma innii ‘auuzhu bika minal barashi wal junuuni wal-juzaami wa sayyi’il asqaam (yang bermaksud: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari penyakit sopak, gila, penyakit kusta dan penyakit-penyakit yang berat).” (Hadis Riwayat Abu Daud) Begitu juga hadis riwayat Abu Daud menyebut bahawa Rasulullah SAW berdoa: “Allahuamma Inni a’uuzu bika minal hammi wal hazan, wa ‘auuzhubika minal ‘ajzhi wal kasal, wa’auuzhu bika minal Jubni wal-Bukhl, wa’uuzhubika min ghalabatid daini wa qahrir rijaal (yang bermaksud: “Ya Allah, saya berlindung kepada-Mu daripada penyakit gelisah dan dukacita, aku berlindung kepada-Mu daripada penyakit lemah dan malas, aku berlindung kepada-Mu daripada pengecut dan bakhil dan aku berlindung kepada-Mu daripada timbunan hutang dan penindasan orang.” Apa yang penting pada hadis berkenaan ialah untuk menyatakan kelebihan dan manfaat besar kepada orang yang banyak menyebut ‘La Haula Wala Quwwata Illa Billah’. Maksudnya tiada daya dan kekuatan (untuk menolak sesuatu kemudaratan dan mendatangkan suatu yang manfaat) selain Allah SWT. Ucapan itu dinamakan Hauqalah. Apabila kita ditimpa sesuatu yang kita tidak sukai, banyakkan menyebut hauqalah. Imam a-Nawawi berkata: “La haula wa la quwwata illa billah”, itulah kalimah yang digunakan untuk menyerah diri dan menyatakan bahawa kita tidak mempunyai hak untuk memiliki sesuatu urusan. Ia kalimah yang menyatakan bahawa seseorang hamba tiada mempunyai daya upaya untuk menolak sesuatu kejahatan (kemudaratan) dan tiada mempunyai daya kekuatan untuk mendatangkan kebaikan kepada dirinya melainkan dengan kudrat iradat Allah SWT juga. Dalam sebuah hadis menyebut daripada Abu Zar, beliau berkata: “Aku berjalan di belakang Rasulullah SAW, lalu Baginda berkata kepadaku: “Wahai Abu Zar, mahukah aku tunjukkan kepada kamu satu perbendaharaan daripada beberapa perbendaharaan syurga? Aku berkata: Mahu ya Rasulullah. Baginda bersabda: “La Haula wala Quwwata illa billah.” Begitu juga hadis daripada Abu Musa, beliau berkata: “Rasulullah SAW bersabda kepadaku: “Mahukah aku tunjukkan salah satu perbendaharaan dari perbendaharaan syurga? Saya menjawab: “Mahu ya Rasulullah. Kemudian Baginda bersabda: La haula wala quwwata illa billah.” Daripada Ibnu Mas’ud beliau berkata: “Rasulullah SAW bersabda: Wahai Muaz, adakah kamu tahu tafsir (maksud) La haula wala quwwata illa billah? Muaz menjawab: Allah dan rasul-Nya lebih mengetahui. Rasulullah SAW bersabda: La haula (tiada daya) dari menghindari maksiat kepada Allah melainkan dengan kekuatan Allah, wala quwwata (tiada kekuatan) atas mentaati Allah melainkan dengan pertolongan Allah SWT. Kemudian Rasulullah SAW menepuk bahu Muaz dan Baginda bersabda: “Demikianlah yang diberitahu oleh kekasihku Jibril daripada Tuhan.” Sebenarnya apabila kita banyak menyebut Allah SWT atau berzikir mengingati-Nya sebanyak-banyaknya, ia mampu menjadi penyembuh, tetapi sekiranya kita banyak ingat kepada manusia ia boleh menjadi penyakit.

Tiada ulasan: