Rabu, 30 Mac 2011

MASALAH AKIDAH...MASALAH AMALAN DAN KEFAHAMAN ISLAM YG BERBEZA...KESAN PENJAJAHAN...MENGASINGKAN POLITIK DENGAN ISLAM...PAYAH JIKA TAK FAHAM..

Melayu gagal amal Islam punca perbalahan

SHAH ALAM – Sikap masyarakat Melayu gagal amalkan Islam punca perbalahan kalangan kaum majoriti negara ini masih berlanjutan.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kedatangan Islam ke Tanah Melayu (Malaysia) lebih 500 tahun lalu masih gagal dikuasai Melayu beragama Islam sepenuhnya.

“Kita sebagai masyarakat Melayu menolak (tidak mengamalkan) Islam, (sebaliknya mengambil pendirian) nasionalisme sebagai keutamaan, sedangkan bumi yang dipijak adalah ciptaan Allah SWT.

“Sekarang ini bukan masalah Melayu dengan Cina, tetapi Melayu dengan Melayu,” katanya ketika sesi lawatan ke Universiti Antarabangsa Al-Madinah (Mediu) di Plaza Masalam semalam.

Beliau berkata, sikap perkauman perlu dikekang sebelum menjadi barah kalangan masyarakat.

“Malaysia ada pelbagai bangsa, tetapi tiada titik pertemuan (yang dapat menyatukan masyarakat dalam negara ini).

“Kenapa orang Melayu sebut ketuanan Melayu dan bukan ketuanan Islam. Orang Cina mana ada sebut hidup Melayu.

“UMNO punya ‘bodoh’ sebut ketuanan Melayu, sudahlah orang Melayu tak ada untung, duit, moral dengan (pendedahan) video seksnya. Mana ada Cina nak hormat Melayu dengan video seks itu,” katanya.


Sembilan kerusi berpotensi


KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) mengenal pasti sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor yang berpotensi untuk dirampas kembali pada Pilihan Raya Umum ke-13 bagi membolehkan BN kembali menerajui negeri itu.

Timbalan Perdana Menteri, yang juga Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun BN mungkin menghadapi tentangan hebat daripada parti pembangkang, namun jika ada usaha gigih dan kerjasama daripada semua parti komponen, ia bukan mustahil dicapai.

“BN memerlukan sekurang-kurangnya 30 kerusi DUN untuk membolehkan kita memerintah semula di Selangor. Sekarang kita hanya kekurangan sembilan kerusi.

Strategi sudah mula diatur untuk menebus kembali sembilan kawasan DUN berkenaan untuk memastikan kita mendapat semula Selangor.

“Ini matlamat BN di peringkat pusat dan negeri dan ia suatu pertempuran yang sengit kerana kita sedar tentunya pembangkang tidak akan mudah menyerah kalah,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tasik Ampang di sini semalam, beliau turut menasihatkan rakan-rakan BN di Selangor supaya bekerja keras bermula dari sekarang bagi memastikan kemenangan parti.

Majlis berkenaan dihadiri pemimpin dan anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), belia, Rukun Tetangga, anggota jawatankuasa masjid dan surau di Selangor, yang diadakan sempena lawatan sehari timbalan perdana menteri ke Selangor semalam.

Hadir sama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor dan Timbalan Menteri Kewangan, merangkap Naib Presiden MCA, Datuk Donald Lim Siang Chai.

Mengulas mengenai lawatannya, Muhyiddin berkata aktiviti turun padang ke kawasan bandar dan luar bandar di sekitar Selangor adalah antara langkah untuk melihat keadaan dan menilai tahap penerimaan rakyat kepada BN dan barisan kepimpinan parti itu.

“Langkah turun ke bawah ini sememangnya disusun supaya dapat melihat sendiri suasana semasa. Dengan cara ini, saya yakin kita dapat lihat perubahan sikap dan peningkatan sokongan untuk menebus semula kekalahan lalu,” katanya.

Berdasarkan sambutan dan interaksi yang diterima sepanjang lawatan itu, Muhyiddin yakin rakyat di Selangor mula memberikan penilaian positif kepada kerajaan.

“Mungkin kerana mereka faham pendekatan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) berkaitan Gagasan 1Malaysia menyebabkan mereka lebih yakin,” katanya.

Muhyiddin berkat, walaupun keyakinan itu tidak dizahirkan melalui kata-kata, ia dapat dilihat menerusi bahasa badan apabila mereka keluar beramai-ramai dengan mesra dan sukarela, yang beliau sifatkannya sebagai satu petanda sangat baik kepada kepimpinan parti untuk terus mencapai kejayaan masa depan. - Bernama


Kawasan panas Pilihan Raya Sarawak

Malam tadi saya diminta oleh Astro Awani untuk menganalisis kawasan-kawasan pilihanraya yang dikatakan "panas" berdasarkan senarai yang dikeluarkan oleh SPR dan beberapa orang penyelidik lain.

Apa yang saya dapati ialah sesebuah kawasan DUN dimasukkan ke dalam senarai tersebut apabila wujud salah satu atau lebih faktor-faktor berikut:

1. Faktor penambahan pengundi baru

Daripada 71 buah DUN, sebanyak 22 kerusi mengalami jumlah penambahan pengundi yang melebihi 1,000 undi, sejak pilihanraya tahun 2006. Penganalisis meramalkan ini ialah kawasan tumpuan.

2. Faktor pemimpin PKR

Kawasan Ba'kalalan dimasukkan sebagai kawasan panas kerana Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian dijangka bertanding di kerusi ini. Sekiranya Baru Bian yang kalah tiga kali berturut-turut tewas sekali lagi, maka PKR boleh melupakan hasrat untuk bertapak di Sarawak.

3. Faktor Pas

Walaupun PAS diramalkan akan hanya bertanding lima kerusi, penganalisis politik meletakkan Beting Maro sebagai satu kawasan untuk diperhatikan. Sekiranya PAS yang tidak ada satu kerusi pun di Sarawak boleh menang satu kerusi, ia adalah petanda bahawa parti itu sudah mula menembusi negeri tersebut.

4. Faktor Ketua Menteri

Kawasan Baligian juga diletakkan oleh sesetengah penganalisis sebagai kawasan panas kerana Ketua Menteri Sarawak bertanding di sini. Penganalisis meramalkan serangan terhadap beliau akan bermula di kawasannya sendiri.

5. Faktor Sibu

Bawang Asan, Nangka dan Palawan dimasukkan sebagai kawasan panas kerana kawasan ini berada dalam Parlimen Sibu di mana DAP menang dengan majoriti tipis tidak lama dulu.

6. Faktor Dayak

Terdapat sekurang-kurangnya 29 kawasan DUN majoriti Dayak di Sarawak. Di sesetengah kawasan di mana calon sedia ada sudah terlalu lama atau gagal memenuhi harapan rakyat, pengundi mula bercakap soal mencari wakil rakyat baru - sekiranya ia tidak ditawarkan oleh Barisan Nasional, pengundi akan mencari dari kalangan pembangkang.

Selain dari faktor-faktor di atas, saya tidak melihat ada faktor-faktor lain yang boleh menjadikan sesuatu kawasan itu "panas."



Dipetik daripada blog Nobisha

Tiada ulasan: