Nasihat-nasihat Luqmanul Hakim kepada anaknya
Oktober 20, 2009
Assalaamu’alaikum w.b.t……. Sebagaimana yang diketahui
umum bahawa kisah2 tentang Luqmanul Hakim ini ialah kisah yang
diceritakan di dalam AlQuran dan AlHadith. Dan ianya adalah sebagai
pengajaran akhlaq kepada kita semua, bukan hanya untuk anak Luqman.
Semoga mendapat manfaat bersama …….
1 – Wahai anakku, elakkan dirimu dari berhutang,
kerana sesungguhnya berhutang itu akan menjadikan dirimu hina di waktu
siang dan gelisah di waktu malam.
2 – Wahai anakku, sekiranya ibubapa mu marah kepadamu
kerana kesilapan yang telah kamu lakukan, maka kemarahan ibubapamu
adalah seperti baja untuk menyuburkan tanam tanaman.
3 – Wahai anakku, jika kamu mahu mencari kawan
sejati, maka ujilah dia terlebih dahulu dengan berpura pura membuatkan
dia marah padamu. Sekiranya dalam kemarahan itu dia masih mahu
menasihati dan menginsafkan kamu, maka bolehlah kamu mengambil dia
sebagai kawan. Jika berlaku sebaliknya maka berwaspadalah kamu
terhadapnya.
4 – Wahai anakku, bila kamu mempunyai teman karib,
maka jadikanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan
sesuatu daripadanya. Sebaliknya biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu
darimu.
5 – Wahai anakku, jagalah
dirimu supaya tidak terlalu condong kepada dunia dan hatimu selalu
disusahkan olah dunia saja kerana kamu diciptakan Allah bukanlah untuk
dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang
yang terpedaya dengan dunia.
6 – Wahai anakku, janganlah kamu ketawa jika tiada
sesuatu yang menggelikan, janganlah kamu berjalan tanpa tujuan yang
pasti, janganlah kamu bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu,
janganlah mensia siakan harta mu pada jalan maksiat.
7 – Wahai anakku, sesiapa yang bersifat penyayang
tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada
mengeluarkan perkataan yang sia-sia, dan sesiapa yang tidak dapat
menahan lidahnya dari berkata kotor tentu dia akan menyesal kelak.
8 – Wahai anakku, bergaullah dengan orang yang soleh
dan berilmu. Bukalah pintu hati mu dan dengarkanlah segala nasihat dan
tunjuk ajar darinya. Sesungguhnya nasihat dari mereka bagaikan mutiara
hikmah yang bercahaya yang dapat menyuburkan hatimu seperti tanah kering
lalu disirami hujan.
9 – Wahai anakku, sesungguhnya dunia ini bagaikan
sebuah kapal yang belayar di lautan yang dalam, banyak manusia yang
karam ke dalamnya. Jika engkau ingin selamat, maka belayarlah dengan
kapal yang bernama ‘taqwa’, isinya ialah ‘iman‘ dan layarnya adalah ‘tawakkal kepada Allah’.
10 – Wahai anakku, jika kamu mempunyai dua undangan
majlis, iaitu majlis takziah kematian atau majlis perkahwinan, maka
utamakanlah majlis kematian, kerana ianya akan mengingatkanmu kepada
kampung akhirat sedangkan menghadiri majlis perkahwinan hanya
mengingatkan dirimu kepada keseronokan duniawi sahaja.
11 – Wahai anakku, janganlah kamu terus menelan apa
sahaja yang kamu rasa manis janganlah terus meludah sahaja apa yang kamu
rasa pahit, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit
itu belum tentu menimbulkan kelemahan.
12 – Wahai anakku, janganlah kamu makan sampai
kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya adalah lebih baik jika
bahagian dari yang kenyang itu diberikan kepada anjing sahaja.
13 – Wahai anakku, janganlah kamu menjadi lebih lemah
dari seekor ayam jantan, kerana ia telah berkokok pada waktu pagi hari
sedangkan kamu pada waktu itu masih terbaring di atas katilmu.
14 – Wahai anakku, jangan kamu melantik seseorang
yang bodoh menjadi utusanmu. Jika tiada siapa yang lebih cerdas, pintar
dan bijak maka sebaiknya dirimu sendirilah yang menjadi utusan.
15 – Wahai anakku, orang yang bersedia untuk
mendengar nasihat dan bimbingan dari orang yang lebih alim, maka dia
layak untuk mendapat penjagaan dari Allah tetapi bagi orang yang insaf
setelah menerima teguran maka dia lebih layak untuk mendapat kemuliaan
dari Allah.
16 – Wahai anakku, orang yang merasa dirinya hina dan
rendah diri dalam beribadat dan taat kepada Allah, maka dia tawadduk
kepada Allah, dia akan lebih dekat kepada Allah dan selalu berusaha
menghindarkan maksiat kepada Allah.
17 – Wahai anakku, seorang pendusta akan lekas hilang
air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yang telah rosak
akhlaknya akan sentiasa banyak melamunkan hal hal yang tidak benar.
Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah
daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.
18 – Wahai anakku, kamu telah merasakan betapa
beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan
lebih lagi daripada semua itu, adalah bilamana kamu mempunyai jiran yang
jahat.
19 – Wahai anakku, jauhilah bersifat dusta, sebab
dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal
sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yang berbahaya.
20 – Wahai anakku, bukanlah satu kebaikan namanya
bila mana kamu selalu mencari ilmu tetapi kamu tidak pernah
mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang yang mencari kayu
bakar, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih
mahu menambahkannya.
21 – Wahai anakku, jadikanlah dirimu dalam segala
tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau
mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya yang akan
mendatangkan cela pada dirimu.
22 – Wahai anakku, ambillah harta dunia sekadar
keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan
akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau bakul
sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban
orang lain. Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk
habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah
tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat
talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.
23 – Wahai anakku, apabila kamu menghampiri kediaman
sesuatu kaum, ucaplah salam. Kemudian duduklah ditempat yang telah
disediakan oleh mereka. Jangan mulakan perbualan sehingga mereka
mulakannya. Sekiranya mereka suka berzikir maka sertailah mereka, jika
sebaliknya maka jauhilah mereka dan sertailah kelompok lain.
24 – Wahai anakku, bertakwalah kepada Allah, orang
lain tidak akan tahu engkau takut kepada Allah s.w.t hanya untuk
dihormati, sedangkan hatimu menyimpang daripada kebenaran.
25 – Wahai anakku, janganlah engkau terlalu
menyayangi orang jahil kerana dia akan menganggap kamu bersetuju dengan
perbuatannya. Janganlah engkau menghina sesuatu yang dibenci oleh orang
bijaksana kerana dia akan terus meninggalkanmu.
26 – Wahai anakku, ketahuilah bahawa kekuasaan berada
pada mulut orang-orang yang bijaksana. Mereka tidak berkata-kata
melainkan dengan apa yang dikurniakan Allah s.w.t
27 – Wahai anakku, janganlah engkau menyesal kerana
berdiam sahaja. Sesungguhnya percakapan itu berharga perak, sedangkan
berdiam diri berharga emas.
28 – Wahai anakku, hindarilah dirimu daripada
kejahatan, nescaya ia akan menjauhimu. Sesungguhnya kejahatan itu untuk
sejahat-jahat makhluk.
29 – Wahai anakku, pilihlah majlis-majlis yang
mengingati Allah, sertailah mereka, sekiranya engkau seorang yang
berilmu engkau dapat memanfaatkan ilmumu. Sekiranya engkau seorang yang
bodoh mereka akan mengajarmu. Allah akan merahmatimu dan juga mereka.
Wahai anakku janganlah engkau menyertai majlis-majlis yang tidak
mengingati Allah, sekiranya engkau seorang yang berilmu, engkau tidak
dapat memanfaatkannya. Sekiranya engkau seorang yang bodoh, engkau akan
bertambah bodoh. Allah akan murka kepadamu dan kepada mereka.
30 – Wahai anakku, janganlah engkau makan makanan yang tidak bersih. Bermesyuaratlah dalam urusanmu yang berbentuk ilmu.
31 – Wahai anakku, janganlah beriri hati dan tanding
menandingi kerana ia meluaskan medan pertumpahan darah orang yang
beriman. Pertumpahan darah dianggap oleh Allah sebagai pembunuhan, bukan
kematian.
32 – Wahai anakku, sesungguhnya kebijaksaaan itu meletakkan orang miskin pada taraf raja-raja.
33 – Wahai anakku, hendaklah kamu ingat kebaikan
orang dan lupa kejahatan orang. Dan hendaklah kamu lupa kebaikan kamu
terhadap orang dan ingatlah kejahatan yang kamu lakukan kepada orang.
Petikan ayat2 AlQuran
1 – “Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata
kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya: “Hai anakku,
janganlah kamu mempersekutukan (Allah) sesungguhnya mempersekutukan
(Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar.” Surah Luqman : Ayat 13
2 – “Dan Kami perintahkan kepada manusia
(berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapanya; ibunya telah mengandungnya
dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya dalam dua
tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya
kepada-Kulah kembalimu. Dan jika keduanya memaksamu untuk
mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang
itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah keduanya di
dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku,
kemudian hanya kepada-Kulah kembalimu, maka Ku-beritakan kepadamu apa
yang telah kamu kerjakan.” Surah Luqman : Ayat 14 – 15
3 – “(Luqman berkata): “Hai anakku,
sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi, dan berada
dalam batu atau di langit atau di dalam bumi, nescaya Allah akan
mendatangkannya (membalasinya). Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha
Mengetahui. ” Surah Luqman : Ayat 16
4 – “Hai anakku, dirikanlah shalat dan
suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari
perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu.
Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh
Allah).
Dan janganlah memalingkan muka dari manusia
(kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh.
Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi
membanggakan diri.
Dan sederhanalah kamu dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai. “ Surah Luqman : Ayat 17 – 19
Amal Soleh mesti melalui 8 tapisan
|
Gambar hiasan |
Amal Soleh mesti melalui 8 tapisan
http://www.almerzem.com/photos/albums/userpics/10001/normal_Pleiades_final_noiseweb.jpg
Ringkasan dari Hadis Muaz dengan Rasulullah SAW tentang Isra’ dan Mikraj:
1-Apabila amal soleh melalui langit pertama, Malaikat akan menilai agar
amal soleh tersebut suci dari nilai-nilai Ghibah, atau mengumpat.
2-Apabila amal soleh tersebut berjaya melalui langit pertama, maka
Malaikat dilangit kedua telah ditugaskan agar amalan tersebut suci dari
nilai-nilai Matlamat dunia, jika amalan terebut suci dan selamat dari
sifat-sifat matlamat dunia , maka dibenarkan meneruskan perjalanan dan
akan naik ke langit ke tiga.
3-Semasa amal soleh tersebut melalui langit ketiga, Malaikat akan
menilai dan menapis amalan tersebut agar suci dari sifat bangga diri.
4-Apabila amalan tersebut tidak memilki unsur-unsur bangga diri, maka
amalan tersebut akan dibenarkan melangkah ke langit kelima, semasa
amalan soleh melalui langit kelima, Allah SWT mengarahkan agar amalan
tersebut dinilai agar suci daripada nilai-nilai hasad.
5-Apabila amalan tersebut berjaya melepasi langit keempat, amalan soleh
akan melalui langit kelima, semasa dilangit ke lima , amal soleh akan
dinilai agar suci daripada sifat Ujub atau berbangga dengan kelebihan
diri sendiri.
6-Apabila amal soleh telah berjaya melepasi langit ke lima, amal
tersebut akan melalui langit keenam, semasa amal soleh melalui langit
keenam, Malaikat yang bertugas dilangit keenam akan menilai agar amal
soleh tersebut mengandungi sifat kasihan belas kepada orang lain, tidak
menzalimi orang lain dalam semua perkara.
7-Apabila amal soleh telah berjaya melepasi langit keenam, maka amal
soleh tersebut akan diarak oleh ribuan para malaikat sehingga
mengeluarkan bunyi seperti lebah dan apabila sampai dilangit ketujuh,
Malaikat yang menjaga langit ketujuh akan menilai agar amal soleh
tersebut suci daripada sifat Riya’, iaitu amal soleh yang tidak
disertakan dengan harapan agar amalannya diiktiraf oleh manusia serta
disanjung dan diagung-agungkan.
8-Apabila amal soleh telah berjaya melepasi langit ketujuh, amal soleh
tersebut akan diiringi oleh ribuan para Malikat. Apabila amal soleh
tersebut telah berada dihadapan Allah SWT. Malaikat berkata kepada Allah
SWT dengan kata mereka : Ya Allah inilah amal yang terbaik yang telah
melepasi segala tapisan, tetapi Allah SWT berfirman : Sesungguhnya masih
ada lagi tapisan yang perlu dilakukan kerana Aku lebih mengetahui
sesuatu amalan yang terbaik ” Maka Allah SWT akan menilai agar amal
soleh tersebut dilakukan adalah benar-benar Ikhlas demi Allah SWT”,
setelah amal soleh tersebut benar-benar dilakukan kerana Ikhlas kepada
Allah SWT, Maka Allah SWT bersetuju memberi pahala dan dimasukkan
kedalam Syurga.
Nota: Setiap amal soleh yang tidak melepasi tapisan-tapisan para
Malaikat, amal soleh tersebut akan dihumban ke muka pemilik amal soleh
tersebut.
Sumber Rujukan:
Imam Abdullah bin Al Mubarak lah.a telah meriwayatkan di dalam kitab Al
Zuhd dengan sanad beliau daripada seorang lelaki (iaitu Khalid bin
Maadan) yang pernah berkata kepada Muaz bin Jabal: “Wahai Muaz!
Ceritakanlah kepadaku sebuah hadis yang pernah engkau dengar daripada
Rasulullah s.a.w.”
Berkata Rawi hadis tersebut (Khalid bin Maadan) lalu Muaz menangis
sehingga aku sangka ia tidak dapat berhenti tetapi akhirnya Muaz
berhenti daripada tangisannya kemudian lalu Muaz berkata. Aku mendengar
Rasulullah s.a.w pernah bersabda kepadaku: Wahai Muaz! Sebenarnya aku
mahu menceritakan kepada kamu sebuah hadis jikalau engkau mampu
memeliharanya pasti ia akan memberi manfaat akan dikau di sisi Allah
tetapi jika engkau mensia-siakannya dan tidak memeliharanya maka akan
terputuslah hujjahmu di hadapan Tuhan pada hari kiamat nanti.
Wahai Muaz! Sesungguhnya Allah s.w.t telah menjadikan 7 orang malaikat
sebelum ia menciptakan langit dan bumi kemudian lalu ditentukannya pada
setiap langit seorang malaikat daripada mereka untuk menjaga pintu
langit tersebut. Lalu naiklah malaikat Hafazhah membawa amalan seseorang
hamba yang dilakukannya mulai dari pagi sampai ke petang. Amalan
tersebut mempunyai nur bagaikan cahaya matahari, sehingga apabila
malaikat Hafazhah yang membawa amalan hamba itu sampai ke langit yang
pertama.
Mereka menganggap bahawa amalan itu baik dan sangat banyak lalu bekata
malaikat penjaga langit pertama itu bagi malaikat Hafazhah: “Pukulkan
dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya. Akulah malaikat
penjaga ghibah (mengumpat). Allah telah menyuruhku supaya aku tidak
membiarkan amalan orang yang mengumpat orang lain itu dapat melalui aku
untuk terus naik ke atas.”
Kemudian datang pula malaikat Hafazhah membawa amalan seseorang hamba.
Mereka menganggap bahawa amalan itu sangat baik dan sangat banyak
(Malaikat itu berjaya melintasi langit yang pertama) sehingga mereka
sampai ke langit yang kedua lalu berkata malaikat penjaga langit yang
kedua itu:”Berhenti kamu di sini dan pukulkan dengan amalan ini akan
muka orang yang mengerjakannya kerana ia menghendaki dengan amalannya
akan mendapat keuntungan dunia. Allah telah menyuruhku supaya aku tidak
membiarkan amalan orang seperti ini melintasi aku untuk terus naik ke
atas. Selain daripada itu ia juga suka membesarkan diri di dalam majlis
perjumpaan. Akulah malaikat penjaga kebesaran.”
Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amal seseorang hamba yang
penuh dengan sinaran dan cahaya daripada pahala sedekah, solat, puasa.
Para malaikat Hafazhah merasa hairan melihat keindahan amalan tersebut
lalu mereka membawa amalan itu (melintasi langit pertama dan kedua)
sehingga sampai ke pintu langit yang ketiga maka berkata malaikat
penjaga langit ketiga itu:”Berhenti kamu di sini dan pukulkan dengan
amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya. Akulah malaikat
takkabur. Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang
takkabur dapat melintasiku. Orang itu sangat suka membesarkan diri di
dalam majlis orang ramai.”
Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amal seseorang hamba. Amal
itu bersinar-sinar seperti bersinarnya bintang yang berkelip-kelip.
Baginya suara tasbih, solat, puasa, haji dan umrah. Para malaikat
Hafazhah berjaya membawa amalan itu sehingga sampai ke langit pintu yang
keempat maka berkata malaikat penjaga langit keempat itu: “Berhenti
kamu di sini dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang
mengerjakannya, belakang dan juga perutnya. Akulah malaikat ujub (bangga
dengan diri sendiri). Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan
orang yang ujub dapat melintasiku. Ia beramal adalah dengan dorongan
perasaan ujub terhadap dirinya.”
Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amal seseorang hamba
sehingga mereka berjaya sampai ke pintu langit yang kelima seolah-olah
amalan itu pengantin yang dihantar (disambut) ke rumah suaminya
(maksudnya amalannya itu berseri-seri) lalu berkata malaikat penjaga
langit yang kelima: “Berhenti kamu dan pukulkan dengan amal ini akan
muka orang yang mengerjakannya dan campakkanlah di atas tengkoknya.
Akulah malaikat hasad ia sangat hasud kepada orang yang belajar ilmu dan
beramal seperti amalannya. Ia hasut akan orang lain yang melakukan
sebarang kelebihan di dalam ibadat, ia juga mencela mereka. Allah
menyuruhku supaya aku tidak membiarkan amalan orang yang hasud ini
melintasi aku.”
Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amalan seseorang hamba.
Baginya cahaya seperti bulan purnama daripada solat, zakat, umrah, jihad
dan puasa. Malaikat Hafazhah berjaya membawa amalannya sehingga sampai
ke langit yang keenam lalu berkata malaikat penjaga langit tersebut:
“Berhentilah kamu dan pukulkan amalan ini akan muka orang yang
mengerjakannya kerana ia tidak belas kasihan kepada hamba-hamba Allah
yang terkena bala dan kesusahan bahkan ia merasa gembira dengan
demikian. Akulah malaikat rahmat. Allah menyuruhku supaya tidak
membiarkan amalan orang yang seperti ini dapat melintasi aku.”
Kemudian naiklah pula malaikat Hafazhah membawa amalan seseorang hamba.
Amalan itu ialah solat, puasa, nafkhah, jihad dan warak. Baginya bunyi
(maksudnya bunyi zikir) seperti bunyi lebah dan baginya cahaya seperti
cahaya matahari dan naiklah bersama dengan amalan itu 3000 orang
malaikat. Mereka telah berjaya membawanya sehingga sampai ke pintu
langit yang ketujuh maka berkata malaikat penjaga pintu langit tersebut:
“Berhentilah kamu dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang
mengerjakannya bahkan pukulkan pula akan seluruh anggota badannya dan
tutupkan ke atas hatinya. Akulah malaikat sum’ah (ingin masyhur). aku
akan menghalang amalan orang yang riak dari sampai kepada Tuhanku. Ia
beramal bukan kerana mencari keredhaan Allah tetapi bertujuan supaya
mendapat tempat yang tinggi di hati para fukaha dan supaya disebut di
kalangan para ulama dan supaya masyhur namaya di merata tempat. Allah
menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang riak itu melintasi
aku, kerana setiap amalan yang tidak ikhlas adalah riak dan Allah tidak
akan menerima amalan orang yang riak.”
Kemudian naik pula malaikat Hafazhah dengan amalan seseorang hamba.
Amalan itu berupa solat, zakat, puasa, haji, umrah, akhlak mulia, banyak
berdiam (daripada yang tidak berguna) dan banyak berzikir. Amalan hamba
ini diusung oleh para malaikat penjaga tujuh petala langit sehingga
mereka melintasi segala halangan dan sampai kepada Allah. Para malaikat
itu berhenti di hadapan Allah dan bersaksi dengan keikhlasan dan
kebaikan amalan tersebut lalu Allah berfirman kepada para malaikatnya:
“Kamu adalah yang bertugas menjaga amalan hambaKu ini dan sebenarnya aku
lebih mengetahui dengan segala isi hatinya dan aku lebih mengetahui apa
yang dimaksudkan oleh hambaKu ini dengan amalannya. Dia tidak ikhlas
kepadaKu dengan amalannya. Dia menipu orang lain, menipu kamu (malaikat
Hafazah) tetapi tidak boleh menipu aku. Aku adalah Maha Mengetahui”.
“Aku melihat segala isi hati dan tidak akan terlindung bagiKu apa sahaja
yang terlindung. PengetahuanKu atas apa yang telah terjadi adalah sama
dengan pengetahuanKu atas apa yang bakal terjadi”.
“PengetahuanKu atas orang yang terdahulu adalah sama dengan
pengetahuanKu atas orang-orang yang datang kemudian. Kalau begitu
bagaimana hambaKu ini menipu aku dengan amalnya ini?”
“Ia sebenarnya tidak menghendaki akan aku dengan amalan tersebut. Ia
hanya menghendaki sesuatu yang lain daripadaKu. Oleh kerana itu maka aku
turunkan ke atasnya akan laknatKu.”
Dan ketujuh-tujuh malaikat berserta 3000 malaikat yang mengiringinya pun
berkata, “Ya Tuhan, dengan demikian tetaplah laknatMu dan laknat kami
sekelian bagi mereka.”
Dan semua yang di langit turut berkata, “Tetaplah laknat Allah kepadanya dan laknat orang yang melaknat”.
Sayidina Muaz (yang meriwayatkan hadis ini) kemudian menangis
teresak-esak dan berkata, “Ya Rasulullah, bagaimana aku boleh selamat
dan apa yang diceritakan ini?”
Sabda Rasulullah saw., “Hai Muaz, ikutilah Nabimu dalam soal keyakinan”.
Muaz bertanya kembali, “Ya, tuan ini Rasulullah sedangkan saya ini hanya
si Muaz bin Jabal (hamba Allah bukan Rasul), bagaimana saya boleh
selamat dan boleh lepas dan bahaya tersebut?”
Bersabda Rasullullah, “Ya begitulah, kalau dalam amalanmu ada kelalaian
maka tahanlah lidahmu jangan sampai memburukkan orang lain. Ingatlah
dirimu sendiri pun penuh dengan aib maka janganlah mengangkat diri dan
menekan orang lain”.
“Jangan riak dengan amal supaya amal itu diketahui orang. Jangan
termasuk orang yang mementingkan dunia dengan melupakan akhirat. Kamu
jangan berbisik berdua ketika di sebelahmu ada orang lain yang tidak
diajak berbisik. Jangan takabbur pada orang lain nanti luput amalanmu
dunia dan akhirat dan jangan berkata kasar dalam suatu majlis dengan
maksud supaya orang takut kepadamu. Jangan mengungkit-ungkit apabila
membuat kebaikan, jangan merobekkan (pecah belah) peribadi orang lain
dengan mulutmu kelak engkau akan dirobek-robek oleh anjing-anjing api
neraka jahanam”.
Sebagaimana firman Allah yang bermaksud, “Di neraka itu ada anjing-anjing perobek badan manusia”.
Muaz berkata, “Ya Rasulullah, siapa yang tahan menanggung penderitaan semacam itu?”
Jawab Rasulullah SAW., “Muaz, yang kami ceritakan itu akan mudah bagi
mereka yang dimudahkan oleh Allah SWT. Cukuplah untuk menghindar semua
itu, kamu menyayangi orang lain sebagaimana kamu mengasihi dirimu
sendiri dan benci apa yang berlaku kepada orang lain apa-apa yang
dibenci oleh dirimu sendiri. Kalau begitu kamu akan selamat dan dirimu
pasti akan terhindar”.
Wallahu’alam….
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Sesungguhnya Allah S.W.T tidak memandang kepada rupa paras dan harta
benda kamu tetapi Allah hanya memandang kepada niat hati dan
amalan-amalan kamu.” (Riwayat Muslim)
Katakanlah: “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap
diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu
berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan
segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani. (Surah Az-Zumar: 53)
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya sudah datang kepada kamu al-Quran yang
menjadi nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu, dan yang menjadi
penawar bagi penyakit batin (hati) yang ada dalam dada kamu dan menjadi
hidayah petunjuk untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang
beriman.” (Surah Yunus: ayat 57).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan