Solat Terawih: Sejarah – Hukum – Kaifiat
Segala
puji bagi Allah yang menjadikan kita dikalangan orang-orang yang
beriman. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan
Allah, dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad saw itu pesuruh Allah.
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw, ahli
keluarganya dan sahabat-sahabatnya.
Alhamdulillah,
bulan Ramadhan kembali menemui kita. Banyak ilmu yang perlu kita
ulangkaji berkenaan amalan-amalan di dalam bulan Ramadhan, agar kita
dapat memperoleh manfaat dan ganjaran yang sepenuhnya pada bulan yang
mulia ini.
Risalah ringkas ini akan membincangkan tentang “Solat Terawih” dan perkara yang berhubung kait dengannya.
Berkenaan
keutamaan solat ini, Abu Hurairah r.a. menerangkan bahawa Rasulullah
saw menganjurkannya pada malam Ramadhan dengan anjuran yang bukan berupa
perintah yang tegas. Baginda bersabda:
((مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ)) [متفق عليه]
Maksudnya: “Sesiapa
yang berdiri (beribadat) pada malam Ramadhan kerana iman dan
mengharapkan ganjaran (daripada Allah), diampunkan dosa-dosanya yang
telah lepas.” [Sahih Muslim, no: 759]
Takrif Solat Terawih:
Menurut bahasa (lughah): Terawih bermaksud berehat, bersenang-senang, melapangkan nafas dan seumpamanya.
Menurut istilah: Terawih
ialah ibadat solat yang dilakukan pada waktu malam di bulan Ramadhan.
Bermula waktunya selepas solat isya’ dan berakhir dengan masuk waktu
subuh, tidak termasuk sunat ratibah isya’ dan solat witir.
Dinamakan terawih kerana orang yang melakukannya akan berehat selepas empat rakaat (dua salam).
Solat
terawih termasuk solat tahajjud atau solatul-lail dengan membaca
al-Fatihah pada setiap rakaat dan membaca ayat-ayat atau surah daripada
al-Quran.
Waktu Melakukan Solat Terawih.
Sebagaimana hadis Rasulullah saw di atas: “Sesiapa berdiri (beribadat) pada malam Ramadhan…”.
Berdasarkan hadis ini, tempoh menunaikan solat terawih ialah sesudah
masuk waktu solat isyak sehingga sebelum masuk waktu solat subuh. Ini
bererti sesiapa yang tidak dapat melakukannya pada awal malam boleh
melakukannya pada pertengahan atau akhir malam.
Hukum Solat Terawih
Solat terawih hukumnya sunat mu’akad,
iaitu amalan sunat yang amat dituntut. Rasulullah saw telah
menganjurkannya dengan arahan yang tidak tegas, bererti hukumnya adalah
sunat dan tidak wajib.
Sejarah Terawih:
Ummul Mukminin Aishah ra, meriwayatkan bahawa Rasulullah saw
melakukan solat terawih di masjid beberapa malam (ada yang mengatakan
empat malam) dalam bulan Ramadan bersama-sama para sahabat. [HR Bukhari dan Muslim].
Pada
malam kelima dan seterusnya hingga ke akhir bulan Ramadan, Baginda
melakukan ibadat ini di rumah. Ini kerana Baginda saw bimbang para
sahabat tersalah anggap dan menjadikannya sebagai solat fardu dan sudah
tentu sukar bagi mereka untuk melakukannya.
Abi Zar t meriwayatkan Nabi saw bangun
bersolat bersama-sama mereka pada malam 23 sehingga satu pertiga malam,
dan pada malam ke 25 sehingga separuh malam. Para sahabat berkata
kepada Baginda saw: “Kalaulah tuan terus sempurnakan saki baki malam kami dengan solat sunat”. Maka Nabi saw bersabda:
((إِنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ، كُتِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ)) [الترمذي، صحيح]
Maksudnya: “Sesiapa yang berdiri (bersolat terawih) bersama imam sehingga dia (imam) beredar (selesai), dituliskan baginya ganjaran orang yang Qiyam semalaman (seumpama bersolat sepanjang malam).” [HR At-Tirmizi, sahih].
Imam
Ahmad mengamalkan hadis ini dan beliau bersolat bersama imam sehingga
selesai dan beliau tidak akan beredar sehinggalah imam beredar.
Berkata sebahagian ulama’: “Sesiapa yang bangun solat separuh malam bersama imam seumpama dia telah bangun solat sepenuh malam.”
Menurut
hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban dari Jabir
ra bahawa Nabi Muhammad saw melakukan solat terawih sebanyak lapan
rakaat, setelah itu diikuti solat witir.
Khalifah Umar bin Al-Khatab ra ialah orang pertama yang mengerah umat Islam menunaikan solat terawih secara berjamaah di bawah pimpinan Ubai bin Kaab ra.
Solat
terawih dilakukan berjemaah pada setiap malam Ramadhan selepas solat
isyak sebanyak 20 rakaat dan ditambah dengan tiga rakaat solat witir.
Cara Perlaksanaan Solat Terawih.
Solat
Terawih boleh dilaksanakan secara berjamaah atau bersendirian.
Berjamaah adalah lebih afdal merujuk kepada anjuran Rasulullah saw
seperti hadis di atas.
Namun
jika menghadapi kesempitan untuk melaksanakannya secara berjamaah, maka
dibolehkan melaksanakannya secara bersendirian. Rasulullah saw sendiri
pada zaman baginda adakala melaksanakannya secara berjamaah dan adakala
secara bersendirian. Ini bagi memberi kelapangan bagi umat, seandainya
mereka menghadapi kesempitan masa atau tenaga.
Menurut
imam Al Ghazali rh walaupun solat terawih boleh dilaksanakan secara
sendirian tanpa berjemaah, solat terawih yang dilakukan secara berjemaah
lebih afdal, sama seperti pendapat Umar r.a. yang mengingatkan bahawa
sebahagian solat nawafil telah disyariat dalam solat berjemaah.
Bilangan Rakaat Solat Terawih.
Solat
terawih boleh dilaksanakan dalam jumlah lapan atau dua puluh rakaat,
diiikuti dengan solat sunat witir. Kadangkala timbul persoalan berkenaan
jumlah rakaat solat terawih yang sepatutnya dilaksanakan, lapan atau
dua puluh rakaat?
Persoalan
jumlah rakaat bagi solat terawih telah menjadi tumpuan para ilmuan
Islam sejak dari dulu. Mereka telah mengkaji dalil-dalil yang ada serta
membandingkan antara pelbagai pandangan yang wujud. Hasilnya membuahkan
tiga pendapat. Pendapat pertama: Jumlah rakaat solat terawih ialah 8
rakaat diikuti dengan 3 rakaat solat witir. Pendapat kedua: Jumlahnya
ialah 20 rakaat diikuti dengan 3 rakaat solat witir. Pendapat ketiga:
Jumlahnya tidak ditentukan. Seseorang itu bebas melaksanakan solat
terawih dengan jumlah rakaat yang dipilihnya, kemudian ditutupi dengan
solat witir.
Ketiga-tiga
pendapat di atas memiliki dalil dan hujah di sebaliknya dan kita boleh
memilih mana-mana pendapat di atas. Yang penting, kita perlu menghormati
orang lain seandainya mereka memilih pendapat yang berbeza dengan kita.
Ibnu Umar ra menceritakan: Seorang lelaki datang bertanya Rasulullah saw tentang solat malam. Sabda Nabi saw:
صَلاةُ اللَّيْلِ مَثْنَى مَثْنَى، فَإِذَا خَشِيَ أَحَدُكُمْ الصُّبْحَ صَلَّى رَكْعَةً وَاحِدَةً تُوتِرُ لَهُ مَا قَدْ صَلَّى.
Maksudnya:
“Solat malam ialah dua rakaat, dua rakaat. Apabila kamu bimbang masuk
waktu subuh maka solatlah satu rakaat, menjadikan bilangan witir
(ganjil) bagi rakaat yang telah engkau solat” [HR: Bukhari].
Rasulullah
saw tidak menyebut bilangan rakaat solat malam, malam pula panjang
masanya, boleh dilakukan banyak solat, ini menunjukkan bahawa bilangan
tidak dihadkan sekadar kepada 8 atau 20 rakaat.
Berkata Imam Asy-Syafie: “Aku telah melihat orang ramai mendirikan solat terawih di Madinah 39 rakaat, di Makkah 23 rakaat, ini bukanlah satu perkara yang sempit (terikat dengan bilangan).”
Katanya
lagi: “Jika mereka panjangkan qiyam berdiri (dengan bacaan al-Quran),
kurangkan rakaat adalah baik. Sekiranya mereka membanyakkan sujud
(rakaat) dan meringankan berdiri (ringkaskan bacaan) juga adalah baik.
Tetapi yang pertama adalah lebih aku sukai.”
Pada
umumnya masyarakat Islam di Malaysia mendirikan solat terawih sebanyak
20 rakaat tetapi ada juga yang hanya menunaikan sekadar lapan rakaat.
Terpulang kepada masing-masing untuk menunaikan ibadat ini mengikut
kemampuan dan keikhlasan diri sendiri terhadap Penciptanya. Yang
pentingnya ialah selesaikan solat bersama imam, tidak hanya setakat
separuh jalan.
Antara Kualiti dan Kuantiti.
Persoalan
yang lebih penting dalam solat terawih ialah cara melaksanakannya. 8
atau 20 rakaat, yang penting ialah membaca surah al-Fatihah dan
bacaan-bacaan solat yang lain dengan sempurna, betul dan khusyuk. Jangan
disingkatkan, jangan dibaca senafas dan jangan dibaca dengan tujuan
mengejar jumlah rakaat.
Demikian juga dengan toma’ninah
dalam solat, jadi yang penting ialah kualiti dan bukan kuantiti. Maka
pastikan ia dilaksanakan secara baik (kualiti) dan tidak sekadar
mengejar rakaat yang banyak (kuantiti).
Antara aspek kualiti yang sering ditinggalkan ialah:
1. Meninggalkan bacaan al-Qur’an secara tartil,
iaitu sebutan kalimah-kalimah al-Qur’an secara jelas berdasarkan
disiplin tajwid yang betul. Allah s.w.t. memerintah kita: “Dan bacalah
al-Qur’an dengan tartil.” [Surah al-Muzammil:4]
2. Meninggalkan bacaan doa iftitah
sebelum al-Fatihah dan bacaan surah-surah selepas al-Fatihah. Ini satu
kerugian kerana bacaan-bacaan itu memberi ganjaran pahala yang amat
besar.
3. Mengabaikan toma’ninah,
iaitu kekal di dalam sesuatu posisi solat seperti rukuk, iktidal, sujud
dan duduk di antara dua sujud. Tempoh kekal di dalam sesuatu posisi
ialah sehingga bacaan dalam posisi itu dapat dilengkapkan dengan betul
dan sempurna jumlahnya.
Pernah
seorang lelaki bersolat tanpa toma’ninah pada zaman Rasulullah saw.
Melihat cara solat lelaki itu, Rasulullah saw memerintahkan beliau untuk
mengulanginya [Sahih al-Bukhari, no: 757].
Tindakan Baginda itu menunjukkan toma’ninah ialah syarat sah solat.
Sesiapa yang meninggalkannya bererti solatnya, sama ada solat terawih
atau selainnya, adalah tidak sempurna.
4. Tidak mengambil berat tentang melurus dan memenuhkan saf solat.
Masing-masing sibuk mengejar rakaat, sedangkan Rasulullah saw telah
memberi peringatan agar menjaga saf dengan sempurna dalam sabdanya:
لَتُسَوُّنَّ صُفُوفَكُمْ أَوْ لَيُخَالِفَنَّ اللَّهُ بَيْنَ وُجُوهِكُم .
Maksudnya: “Luruskan saf-saf solat kamu atau Allah akan tukarkan wajah-wajah kamu (hati-hati kamu berpecah dan tidak bersatu).” [HR Bukhari].
Sabda Baginda saw lagi:
سَوُّوا صُفُوفَكُمْ فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصُّفُوفِ مِنْ إِقَامَةِ الصَّلاةِ
Maksudnya: “Luruskan saf-saf solat kamu, kerana saf yang lurus itu di antara tanda kesempurnaan solat.” [HR Bukhari].
Berdasarkan perbincangan di
atas, sama-samalah kita jadikan solat terawih pada tahun ini dan
tahun-tahun akan datang dilaksanakan berdasarkan kualiti dan bukannya
kuantiti.
Semoga semua amalan baik kita diterima oleh Allah swt.
Sekian.
ِِِAkhukum, Abu Anas Madani.
Pondok Sungai Durian, 4 Ramadhan 1430H.
Rujukan:
- التراويح أكثر من ألف عام في مسجد النبي عليه الصلاة والسلام. – الشيخ عطية محمد سالم.
- حكم التراويح والزيادة فيها على إحدى عشرة ركعة. – دكتور عبد الرحيم الهاشم، دار ابن الجوزي، 1426هـ.
- تيسير الفقه في ضوء القرآن والسنة (فقه الصيام) دكتور يوسف القرضاوي.
Solat Tarawih Yang Caca Merba: Antara Salah Faham dan Penambahbaikan Dalam Fekah Solat
Pengalaman
menunaikan solat tarawih pada bulan Ramadhan mengingatkan kita pada
pengalaman tahun-tahun sebelumnya. Penulis tidak berhasrat untuk
berbicara tentang kuantiti dalam artikel kali ini, hal ini adalah kerana
jika kita berbicara perihal kuantiti, ianya akan hanya melibatkan
topik-topik seperti jumlah rakaat tarawih yang diperselisihi
pandangannya ataupun melibatkan persepsi sinonim masyarakat melayu Islam
di Malaysia tentang kuantiti yang membanjiri surau dan masjid hanya
pada awal Ramadhan dan berkurangnya angka jemaah apabila di penghujun
bulan.
Memandangkan
isu-isu tersebut telahpun banyak dibincangkan permasalahannya, maka
artikel kali ini lebih fokus dan bertujuan untuk menyentuh kualiti solat
tarawih itu sendiri. Solat tarawih yang dilaksanakan wajar menunjukkan
perkembangan ilmu dan pemahaman dalam sesuatu bab fekah dalam solat,
justeru artikel ini akan melibatkan sudut pandang dan pengalaman penulis
selaku seorang penuntut ilmu. Penulis yakin bahawa para pembaca
mempunyai pengalaman tersendiri dalam perkara ini sejurus membaca tajuk
artikel, maka penulis mengambil keputusan melakukan pendedahan ini dari
sudut pandang penulis sendiri supaya tidak menyentuh mana-mana pihak
kerana ia hanya melibatkan pengalaman dan pemahaman penulis yang
berevolusi dalam bab yang khusus ini.
Jika kita berbicara tentang solat tarawih, rata-rata rakyat Malaysia memahaminya sebagai satu ibadah sunat, atau lebih tepat sunat mu’akad (sunat yang dituntut) kerana Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam
menganjurkannya dengan arahan yang tidak tegas sehingga menjadikannya
satu ibadah wajib. Walau bagaimanapun ibadah ini mempunyai fadhilat yang
besar ganjarannya apabila Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam bersabda:
“Sesiapa
beribadah pada malam Ramadhan kerana iman dan mengharapkan ganjaran
(daripada Allah), diampunkan dosa-dosanya yang telah lepas.” (Hadis
diriwayatkan oleh Imam Muslim)
Selain itu, Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam juga bersabda:
“Sesungguhnya
sesiapa yang bersolat (Tarawih) bersama imam sehingga selesai maka
Allah Menulis baginya (ganjaran seumpama) bersolat sepanjang malam.”
(Hadis diriwayatkan oleh Imam al-Nasai)
Daripada
hadis-hadis di atas, di pelbagai ceruk surau dan masjid dipenuhi dengan
umat Islam kerana ingin mendapatkan ganjaran yang dinyatakan oleh
Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam.
Semestinya para pembaca masih ingat suatu ketika dahulu kerap di dalam
televisyen dan radio mewar-warkan ‘hadis’ kelebihan menunaikan solat
tarawih pada malam tersebut, walaupun kini hadis itu telah difahami oleh
masyarakat sebagai hadis yang palsu, solat tawarih tetap menjadi buruan
umat Islam kerana ganjaran menunaikan solat tarawih tetap ada
berdasarkan hadis-hadis sahih yang dinyatakan di atas.
Justeru,
pelbagai pengalaman yang boleh kita raih jika topik solat tarawih ini
dibincangkan terutamanya melibatkan bab fekah dalam solat, khususnya
solat tarawih. Seperti kebanyakan manusia atau umat Islam di luar sana,
penulis tidak dilahirkan berpengetahuan luas dalam bidang agama. Maka
wujud beberapa salah faham yang penulis lalui ketika mengikuti para imam
dalam melaksanakan solat tarawih sepanjang bulan Ramadhan tahun-tahun
sebelum ini. Kemusykilan dan persoalan itu tidak terhenti dan dibiarkan
begitu sahaja, pembelajaran dan kajian perlu diusahakan bagi
mengeluarkan diri ini daripada tahap kejahilan dan taqlid buta yang
berisiko menjerumuskan kita ke arah salah faham dalam sesuatu persoalan
mendatang. Atas sebab itu penulis bertanya, mengkaji melalui pembacaan
dan pembelajaran lanjut. Di sini disertakan beberapa salah faham dan
penambah baikan yang boleh dilakukan hasil daripada pemerhatian penulis
dalam hal ehwal solat tarawih baik bagi para imam mahupun pengetahuan
para makmum.
Maka
konsep dasar yang perlu diikuti dalam perbincangan ini adalah tidak
lain tidak bukan dalam mebincangkan fekah bab solat ialah melalui kayu
ukur yang telah digaris bawahi oleh Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam dalam sabdanya yang bermaksud:
"Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat.” (Hadis diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari)
Suatu
ketika dahulu, kelajuan imam dalam melaksanakan solat tawarih jelas
kelihatan dalam benak penulis apabila sejurus selepas takbir, tatkala
para makmum masih lagi di permulaan bacaan doa iftitah, para imam
telahpun memulakan bacaan surah al-Fatihah. Ini membuatkan penulis
menyangka yang bukan-bukan tentang imam tersebut, barangkali mereka
ingin mengambil jalan pintas dengan tidak membaca doa iftitah atas
alasan ianya dihukumkan sunat, Hassan Ibn Salman dalam kitabnya Al-Qaulu
al-Mubin fi Akhta' al-Musollin menyenaraikan tidak membaca doa iftitah
sebagai salah satu kesalahan yang mengakibatkan ketidak sempurnaan solat
kerana ianya jelas disunnahkan di dalam solat. Walaupun hujah bahawa
bacaan doa iftitah itu sunat sememangnya tepat, perlulah difahami dalam
mengejar kesempurnaan solat tiada pilihan lain melainkan mencontohi Nabi
Sallallahu'alahi Wa Sallam dalam beribadah kerana sabaik-baik ibadah ialah ibadah yang dilaksanakan dan dicontohkan oleh Nabi Sallallahu'alahi Wa Sallam.
Memandangkan
kita dianjurkan bersangka baik sesama insan, dari sudut pandang yang
lain pula, barangkali bacaan doa iftitah yang dibaca oleh para imam yang
mengimami solat tarawih itu ialah doa iftitah ‘versi pendek’ seperti
mana yang diiktiraf oleh Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam dari bacaan seorang sahabat daripada hadis berikut:
Dari Ibn 'Umar, dia berkata: “Sedang kami bersolat bersama Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam, salah seorang dari kami mengucapkan:
اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلاً.
“Allah yang Maha Agung lagi Maha Besar dan segala puji bagi Allah sebanyak-banyaknya. Maha suci Allah pagi dan petang.”
Bersabda Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam: “Siapa yang telah mengucapkan kalimat begini dan begini?” Salah seorang dari kami menjawab: “Saya, wahai Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam.”
Baginda berkata: “Ianya (ucapan tersebut) telah membangkitkan rasa
ajaib kepada aku kerana pintu-pintu syurga telah terbuka disebabkan oleh
ucapan itu.” Ibn 'Umar berkata: “Aku tidak pernah meninggalkan ucapan tersebut semenjak mendengar Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam berkata begitu.” (Hadis diriwayatkan oleh Imam Muslim)
Doa iftitah yang lain pula adalah seperti daripada Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anhu, dia berkata: “Bila Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam berdiri hendak mengerjakan solat, diucapkannya takbir kemudian dibacanya:
وَجَّهْتُ
وَجْهِيَ لِلَّذِي فَطَرَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ حَنِيفًا وَمَا أَنَا
مِنْ الْمُشْرِكِين.َإِنَّ صَلاَتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي
لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِين.َ لاَ شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا مِنْ الْمُسْلِمِينَ. اللَّهُمَّ أَنْتَ الْمَلِكُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ أَنْتَ رَبِّي وَأَنَا عَبْدُكَ ظَلَمْتُ نَفْسِي وَاعْتَرَفْتُ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي ذُنُوبِي جَمِيعًا إِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ وَاهْدِنِي
لأَحْسَنِ الأَخْلاَقِ لاَ يَهْدِي لأَحْسَنِهَا إِلاَّ أَنْتَ وَاصْرِفْ
عَنِّي سَيِّئَهَا لاَ يَصْرِفُ عَنِّي سَيِّئَهَا إِلاَّ أَنْتَ لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ وَالْخَيْرُ كُلُّهُ فِي يَدَيْكَ وَالشَّرُّ لَيْسَ إِلَيْكَ أَنَا بِكَ وَإِلَيْكَ تَبَارَكْتَ وَتَعَالَيْتَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ.
(Hadis diriwayatkan oleh Imam Muslim)
Doa
iftitah versi pendek di atas itu barangkali janggal bagi kebanyakkan
para pembaca di Malaysia akibat ianya hanya melibatkan ayat awal
daripada apa yang diajarkan oleh mana-mana buku-buku solat tanpa
penjelasan hadis yang terperinci. Hal ini adalah kerana hakikatnya kita
diajar hanya mengikut satu acuan doa iftitah sepanjang hidup walhal
terdapat beberapa doa iftitah yang boleh diamalkan berdasarkan
hadis-hadis dari Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam (Rujuk beberapa jenis doa iftitah dalam buku Hisnul Muslim).
Adapun doa iftitah yang diajarkan di dalam buku-buku solat (tanpa penjelasan hadis yang terperinci) menggabungkan dua hadis dalam satu yakni hadis Ibn 'Umar dan hadis Ali di atas (yang diwarnakan dengan warna merah) sedangkan tiada satu hadis menyatakan sedemikian rupa. Malah Imam as-Syafi’i sendiri di dalam kitab induknya, al-Umm menyatakan: ““Kalau ditambah sesuatu padanya atau dikurangkan nescaya aku memandangnya makruh” (jld.1, ms. 252). Jelas di sini bahawa tindakan menggabungkan hadis dan bacaan doa iftitah itu adalah tidak tepat menurut sunnah Nabi Sallallahu'alahi Wa Sallam.
Dan pada ayat yang lain pula berkata Imam as-Syafi’i, “Kalau
lupa daripadanya ketika memulai solat, kemudian teringat sebelum
membaca al-Fatihah, nescaya saya menyukai bahawa dibacakannya” (jld.1,
ms. 252). Justeru, tindakan para imam sekiranya sengaja tidak
membaca doa iftitah ini tidak menepati saranan yang dianjurkan oleh Imam
as-Syafi’I sendiri di dalam kitabnya. Maka dengan itu pendeknya bacaan
para imam dalam doa iftitah (selagi mana ianya berdasarkan hadis yang
sah dari Nabi Sallallahu'alahi
Wa Sallam) tidaklah menjadi masalah, tetapi jika meninggalkannya dengan
tujuan malas, sengaja dan bertujuan mempercepatkan solat, jelas bahawa
ia berkemungkinan memberi kesan kepada kesempurnaan solat tersebut.
Justeru
dengan pemahaman ini penulis yakin ianya dapat mengeluarkan kita dari
mempunyai tanggapan atau salah faham terhadap para imam solat tarawih
yang disangkakan cepat dalam membaca doa iftitah tatkala menunaikan
solat sunat tarawih.
2. Tidak Membaca Basmalah (Bismillahir rahmanir rahim)
Antara
salah faham yang mungkin timbul ialah apabila para imam yang
mengimamkan solat tarawih tidak membaca basmalah ketika membaca surah
al-Fatihah. Salah faham ini boleh menjadi parah apabila solat tarawih
itu dianggap tidak sah kerana imam tidak sempurna bacaan al-Fatihahnya.
Inilah antara salah faham yang penulis alami suatu ketika dahulu apabila
para imam tidak membaca basmalah sehingga wujud perasaan ragu akan
solat tarawih yang didirikan. Setelah mengambil inisiatif dan sedikit
usaha, kita boleh mendapati perkara ini telahpun dibincangkan oleh para
ulamak terdahulu dengan begitu jelas, semestinya melalui pemahaman
berkenaan hadis-hadis Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam dalam hal ini.
Apa
yang dapat penulis ringkaskan dalam perbincangan yang panjang lebar
dalam kitab-kitab para ulamak muktabar dalam hal ini ialah mengenai dua
kategori yang mesti dibezakan dengan jelas, iaitu perbezaan antara tidak
membaca basmalah dan membaca basmalah secara perlahan (sirr). Wujud
perbezaan yang jelas daripada dua kategori itu walaupun jika dilihat
dari sudut realitinya sama sahaja, hanya pembaca yang mengetahui
kategori mana yang diamalkannya. Sememangnya dianggap pelik jika kita
mengganggap wujud para imam yang sanggup mengetepikan bacaan basmalah
semata-mata ingin mempercepatkan solat tarawih apatah lagi dalam solat
fardhu. Ini merupakan antara pandangan mazhab Hanafi dalam solat mereka
berdasarkan hadis-hadis seperti di bawah. Dari Manshur bin Zadzan,
beliau berkata
“Beliau tidak memperdengarkan kepada kami bacaan Bismillahir rahmanir rahim.”
Riwayat al-Hassan dari Anas yang diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah pula bermaksud:
“Mereka biasa membaca lafaz Bismillahir rahmanir rahim dengan suara perlahan.” (Fathul Bari, jld. 4, m.s 439-439)
Maka
secara kesimpulannya, kata-kata Ibn Qayyim ini penulis rasakan mampu
menjelaskan kekeliruan dalam hal ini apabila beliau menyatakan: “Adakalanya beliau (Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam) menyaringkan bacaan Basmallah, tapi yang lebih sering adalah baginda Sallallahu'alahi Wa Sallam menyembunyikannya.” (Mukhtasar Zaadul Ma’ad, m.s 20)
Memandangkan ianya perkara khilafiyyah, tiada
menjadi masalah sekiranya para imam ingin membacanya secara perlahan
mahupun kuat sesuai dengan keselesaan masing-masing dalam beramal sekaligus mengeluarkan kita daripada salah faham jika ada yang memilih untuk memperlahankan bacaan basmalah tersebut.
3. Bacaan sesudah al-Fatihah
Membaca
al-Quran atau surah darinya selepas membaca al-Fatihah adalah
disyariatkan. Adapun jika dibaca ayat-ayat al-Qur’an yang bukan dari
permulaan surah (secara tidak lengkap) maka tidak perlu dibaca Basmallah
seperti yang telah disentuh dalam perbincangan sebelum ini. Dalam solat
tarawih pada bulan Ramdhan selalunya menjadi kelaziman suara dan masjid
untuk membaca surah-surah dari al-Quran mengikut selera para imam dan
kemampuan mereka. Perlu juga para imam solat tarawih melihat keadaan
para jemaah yang mengikuti mereka supaya tidak bacaannya dianggap
sebagai terlalu pendek atau terlalu membebankan.
Dari Abi Said, dia berkata: “Kami telah diperintah (oleh baginda Sallallahu'alahi Wa Sallam) supaya kami membaca al-Fatihah dan apa-apa yang mudah.
Tidaklah ada ketetapan yang khusus melalui surah atau bacaan dalam solat tarawih ini daripada baginda Sallallahu'alahi Wa Sallam,
justeru para imam yang menetapkan bahawa sekian rakaat mesti atau wajib
dibaca sekian surah dari ayat al-Quran adalah tidak tepat (berlawanan
dengan sunnah Nabi Sallallahu'alahi Wa Sallam) sekaligus hanya memberat-beratkankan ibadah dan agama Allah. Menurut Syaikh Sayyid Sabiq rahimahullah:
“Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam
tidaklah menentukan surah-surah tertentu yang dibaca pada waktu solat
tertentu hingga tidak boleh membaca yang lain…” (Fiqh Sunnah, jld.1, ms.
336).
3.1 Mengulang surah yang sama pada rakaat berikutnya
Bagi
yang melakukan solat tarawih bersendirian di rumah, barangkali kita
hanya menghafal beberapa buah surah sahaja, ianya tidak seharusnya
menjadi penghalang untuk solat tarawih di rumah kerana keterbatasan
hafalan, solat tarawih itu boleh juga dilakukan bacaan Quran dari surah
yang sama berdasarkan hadis-hadis di bawah:
Abu Dzar rahimahullah berkata: “Nabi Sallallahu'alahi Wa Sallam
berdiri dan mengulangi surah yang sama sehingga masuk waktu solat
subuh. Ayat yang dibaca oleh baginda ialah: Sekiranya Kamu mengazabkan
mereka, sesungguhnya mereka adalah hamba-Mu. Sekiranya Engkau
mengampunkan mereka, sesungguhnya Engkau Maha Mulia dan Maha Bijaksana”
(Hadis diriwayatkan oleh Imam an-Nasa’i, no.1010 dan Ibn Majah, no.1350.
Diklasifikasikan sebagai hadis hasan oleh Albani dalam kitabnya Sahih
an-Nasa’i)
Seorang lelaki dari Juhainah mengkhabarkan bahawa dia mendengar Nabi Sallallahu'alahi Wa Sallam membaca pada waktu solat Subuh surah al-Zalzalah pada kedua rakaatnya.Ulasnya pula: “Saya tidak tahu apakah Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam
lupa ataukah dibacanya itu dengan sengaja.” (Hadis diriwayatkan oleh
Imam Abu Daud, dinilai hadis hasan oleh al-Albani dalam Sahih Sunan Abu
Daud, no. 816)
3.2 Membaca bacaan al-Quran dengan tartil
Selain
itu, perkara yang sangat penting dan perlu ditekankan dalam berbicara
soal solat tarawih ialah cara bacaan para imam yang mengimami solat
tarawih mestilah tartil bacaannya, bacaan yang tartil bermaksud
kalimah-kalimah al-Qur’an yang dibaca disebut secara jelas berdasarkan
disiplin tajwid yang betul dan tepat sehingga tidak mengakibatkan lari
makna sebenarnya. Allah Azza Wa Jalla berfirman yang bermaksud:
وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلاً
“Dan bacalah al-Qur’an dengan tartil.” (Surah al-Muzammil, ayat 4)
Bacaan
yang terburu-buru mampu mendatangkan perasaan tidak khusyuk bukan
sahaja pada pembaca yakni para imam, tetapi juga para makmum yang
mengikuti solat tarawih itu. Justeru perlulah dijaga bacaan dan bersikap
prihatin akan surah yang dibaca supaya tidak lari maksudnya. Jelas
tiada salah faham mahupun perselisihan dalam bab dibaca ayat-ayat Quran
itu secara tartil dalam hal ini kerana sewajarnya perkara ini maklum
oleh mereka yang terpilih sebagai imam kepada solat tertentu. Rasulullah
Sallallahu'alahi Wa Sallam bersabda:
يَؤُمُّ الْقَوْمَ أَقْرَؤُهُمْ لِكِتَابِ اللهِ وَأَكْثَرُهُمْ قِرَاءَةً.
“Yang
layak menjadi imam bagi sesuatu kaum adalah yang paling baik bacaan
al-Qur’an di antara mereka.” (Diriwayatkan oleh Abu Mas'ud Al-Badr)
4. Tidak menjaga thama'ninah
Thama'ninah
sedia maklum oleh semua umat islam sebagai salah satu rukun solat yang
mesti diperhatikan supaya solat itu dilihat tenang sehingga membawa
kepada kekhusyukan. Mengabaikan thama'ninah boleh mengakibatkan solat
seseorang itu batal. Pernah suatu ketika penulis solat di sebuah
kampung, imam yang dipilih mengimami solat tarawih tersebut seperti
sedang berlumba dalam solatnya sehingga membuatkan para makmum terpaksa
mengejar tindak tanduk imam tersebut. Ini adalah suatu kesalahan yang
perlu ditanggung oleh para imam sekiranya tidak menjaga tatacara solat
dengan sempurna sesuai dengan hadis dari Sahal bin Saad radiallahu’anhu, diriwayatkan bahawa ia menceritakan: Aku pernah mendengar Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam bersabda:
“Imam
itu memiliki tanggung jawab.Jika dia melakukan solat dengan baik, maka
dia dan para makmumnya mendapat pahala. Dan apabila dia melakukannya
dengan salah maka ia berdosa, sementara makmumnya tidak.” (Hadis
diriwayatkan oleh Imam Ibn Majah, no. 981).
Perintah memperbaiki solat terutama dalam bab thama'ninah telahpun penulis sentuh secara mendalam di dalam artikel “Memperbaiki Wuduk & Solat Menurut Sunnah” berdasarkan beberapa hadis yang berbentuk suruhan dari Nabi Sallallahu'alahi Wa Sallam seperti:
"Apabila
kamu hendak solat, maka berwudhulah dengan sempurna kemudian
menghadaplah kearah kiblat dan bertakbirlah. Lalu bacalah ayat Al-Qur'an
yang mudah bagimu, kemudian ruku'lah, hingga kamu tuma'ninah dalam
ruku'. Lalu tegaklah berdiri, hingga kamu berdiri lurus. kemudian
bersujudlah hingga kamu tuma'ninah dalam sujud. Lalu bangkitlah dari
sujud hingga kamu tuma'ninnah dalam duduk. Kemudian bersujud lagi hingga
kamu tuma'ninah dalam sujud. Kemudian bangkitlah dari sujud, hingga
kamu tegak berdiri. Kemudian lakukanlah itu dalam solat kamu
seluruhnya". (Hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim)
5. Berselawat di antara solat tarawih
Jika
para pembaca memerhatikan adat solat tarawih di Malaysia, secara
umumnya solat tarawih di Malaysia diselangi dengan beberapa zikir dan
selawat ke atas Nabi Sallallahu'alahi Wa Sallam
dan para Khulafa’ ar-Rasyidin yang empat. Semasa mula berjinak dengan
amalan solat tarawih ini, semestinya timbul dalam benak kita bahawa
ianya seakan-akan telah menjadi salah satu rukun dalam menunaikan solat
tarawih kerana ianya dilakukan pada setiap kali solat di surau-surau
mahupun masjid-masjid di Malaysia. Kekerapan ini menimbulkan salah faham
di dalam benak sesetengah masyarakat kita bahawa ianya adalah wajib,
walhal ramai sahaja kita mengetahui ianya tidak pernah dilakukan di
zaman Nabi Sallallahu'alahi Wa Sallam mahupun zaman para sahabat semasa mereka menunaikan solat tarawih.
Waktu
di antara solat sunat tarawih adalah waktu berehat yang boleh
dimanfaatkan untuk apa jua amalan yang baik. Justeru tindakan sesetengah
pihak yang mengagungkan adat ini sewajarnya tidak
boleh mengkhususkan amalan tersebut seolah-olah ia adalah sebahagian
daripada kaifiat (tatacara) solat Tarawih yang disyari‘atkan kerana ia
memberi kesan kepada imej agama Islam yang dicontohkan oleh Nabi Sallallahu'alahi Wa Sallam
dan para sahabat. Hasilnya perkara baru ini menyebabkan ramai para
wanita dan tidak terkecuali lelaki yang ingin solat sunat tarawih di
rumah berasa janggal (atau lebih buruk menyebabkan terbantut niat mereka
dalam melaksanakan amalan solat sunat tarawih ini) kerana tidak
menghafal doa dan selawat yang selalu dibacakan di antara solat tarawih
itu.
Perlu difahami dengan jelas bahawa adalah tidak
disyari’atkan mewujudkan bacaan zikir-zikir, selawat-selawat mahupun
doa-doa yang tertentu dengan melakukannya secara berjemaah semasa waktu
istirehat ini. Seandainya
berzikir atau mengkhususkan sesuatu apabila sedang berehat di antara
solat Tarawih adalah sesuatu yang disangkakan amalan yang baik, sudah
pasti Allah dan Rasul-Nya akan menganjurkannya sehingga dilaksanakan
sepenuhnya oleh generasi awal umat Islam. Adalah tidak pantas (baca:layak) untuk kita menambah ibadat khusus tanpa dalil yang jelas daripada petunjuk Nabi Sallallahu'alahi Wa Sallam.
Maka
hujah di atas sekaligus menemplak hujah sesetengah pihak bahawa tidak
mengapa (baca: tiada salahnya) selagimana ianya tidak bertentangan
dengan syarak, hujah sebegini dianggap satu tanggapan yang biadap kerana
ianya menggambarkan Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam
mengkhianati atau terlupa dalam menyampaikan risalah Islam yang
diamanakan oleh Allah Subhanallahu Ta'ala kepada umat Islam. Walhal
harus difahami bahawa Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam
telahpun mengajar bagaimana berinteraksi dalam hal ehwal ibadat yang
bersifat tawaqquf (terhenti) selagi mana tiada dalil jelas
menganjurkannya.
Menurut sebuah fatwa yang dikeluarkan oleh Daar al-Iftaa':
"Adalah
digalakkan duduk diantara setiap 4 rakaat dengan kadarnya, begitulah
diantara 5 tarawih dan witir, dan ini diwarisi sejak dari golongan salaf
sebagaimana solat Ubay bin Kaab dan para sahabat yang diriwayatkan oleh
Abi Hanifah - dan nama tarawih (rehat-rehat) itu sendiri dibina atas
dasar ini - maka yang afdal ialah menunggu, dan tidak ada riwayat para
salaf mengenai perkara tertentu yang mereka lakukan, yang dinyatakan
semasa menunggu, dan masyarakat setiap negara bebas memilih masa/waktu
untuk duduk, dan diantara rehat dilakukan pembacaan al-Quran, dan
bertasbih, dan Solat 4 rakat berseorangan, bertahlil, bertakbir atau
menunggu dengan berdiam diri dan tidak ada sesuatu perkara khas yang di
lakukan."
Kesimpulannya
Maka
dari sub topik yang didedahkan daripada salah faham yang mungkin lahir
dalam benak penulis suatu ketikal dahulu ada yang berasas dan ada yang
tidak. Ternyata dengan mempelajari dan menelusuri bab ini dengan lebih
mendalam kita bukan sahaja lebih memahami fekah dalam solat tarawih,
secara lansung dan tidak lansung, pengetahuan fekah solat kita juga
bertambah. Apa yang difirmankan Allah Subhanallahu Ta’ala adalah benar
apabila disebut:
Hai
orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah
perkataan yang benar, niscaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu
dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa menta'ati Allah dan
Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar.
(Surah al-Ahzab 33, ayat 70-71)
Sesungguhnya
dengan tauhid dan ilmu, Allah Subhanallahu Ta’ala memperingatkan umat
manusia bahawa Dia berkuasa memperbaiki amalan-amalan kita, dengan
memahamkan kita melalui ilmu agama milik-Nya. Melalui ilmu, kita berdaya
menambah baik tahap amalan sedia ada ke arah kesempurnaan seperti mana
yang diiktiraf melalui contoh yang pernah dilakukan oleh ibadah
Rasulullah Sallallahu'alahi Wa Sallam. Semoga perkongsian pengalaman dan pemahaman ini dirasakan bermanfaat buat para pembaca.
Wallahu’allam.
Ibn Yusof
Soalan: Yang dikasihi
Dr Asri, menjelang Ramadan, baru-baru ini ada penceramah yang
berceramah menyatakan bahawa sesiapa yang solat tarawih kurang dari dua
puluh rakaat tidak sah. Beliau juga menyata Saidina Umar orang pertama
mengadakan solat tarawih berjemaah, maka tidak mengapa kita mencipta
ibadah baru sekalipun Nabi s.a.w tidak pernah ajar. Beliau kata juga
sesiapa yang solat tarawih tapi tidak berselawat beramai-ramai seperti
yang biasa dilakukan di tempat kita maka tidak ikut amalan Saidina Umar
dan sesat. Soalan saya, betulkah demikian?
Khir, Shah Alam.
Jawapan Dr MAZA: Saudara, semoga kita
semua menyambut kedatangan Ramadan kali ini dengan ibadah yang diterima
Allah. Semoga jiwa kita semua penuh keikhlasan dan kasih-sayang sesama
muslim. Malang sekali, fanatik atau taksub telah melahirkan
penceramah-penceramah yang ‘terbabas’ sehingga berbicara apa sahaja yang
dia suka tanpa menyemak terlebih nas-nas yang sabit. Untuk soalan
saudara saya sentuh beberapa perkara berikut;
“Sesungguhnya RasululLah s.a.w keluar pada suatu pertengahan malam. Baginda solat di masjid (Masjid Nabi). Beberapa orang mengikut solat baginda. Paginya orang ramai pun bercerita mengenainya. Maka berkumpul lebih ramai lagi (pada malam kedua), baginda pun solat, mereka solat bersama baginda. Paginya orang ramai pun bercerita. Maka bertambah ramai ahli masjid pada malam ketiga. RasululLah s.a.w keluar bersolat, mereka solat bersama baginda. Apabila malam keempat, masjid menjadi tidak muat dengan orang yang hadir. (Baginda tidak keluar) sehinggalah baginda keluar pada solat subuh. Selesai solat subuh, baginda mengadap orang ramai, baginda bersyahadah, dan bersabda amma ba’d, sesungguhnya bukan aku tidak tahu penantian kamu, tetapi aku bimbang difardukan ke atas kamu lalu kamu tidak mampu. Sehinggalah RasululLah s.a.w wafat dalam keadaan begitu (tiada jamaah tarawih di masjid)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).Hadis ini dengan jelas menunjukkan Nabi s.a.w yang memulakan solat qiam atau disebut sebagai tarawih secara berjemaah dengan satu imam. Bukan ‘Umar r.a yang memulakannya. Namun baginda berhenti kerana bimbang ia menjadi kefarduan disebabkan simpati baginda kepada umat. Ini kerana zaman tersebut adalah zaman wahyu diturunkan atau zaman pensyariatan. Baginda tidak berhenti kerana ia salah atau tidak diizinkan, namun berhenti bimbangkan Allah fardukan kepada umat sedangkan umat ini mungkin ada yang tidak sanggup.
Maka dari hadis ini, solat tarawih berjemaah adalah sunnah yang jelas. Mereka selama tiga hari telah solat di belakang baginda. Jika tidak kerana kebimbangan itu, tentu baginda meneruskannya. Apabila baginda wafat kebimbangan itu tiada lagi. Wahyu sudah terputus. ‘Umar pun menghidupkannya kembali. Pada zaman Abu Bakr, terlalu singkat masanya, dan mungkin beliau tidak berkesempatan menguruskan hal tersebut disebabkan berbagai kesibukan seperti kes murtad dan seumpamanya, atau beliau tidak melihat keperluan untuk itu.
2. Justeru itu al-Imam al-Syatibi (meninggal 790H) dalam karyanya al-I’tisam mengulas hadis ini dengan berkata:
“Renungilah hadis ini. Ia menunjukkan kedudukan solat tarawih adalah sunat. Sesungguhnya solat baginda pada peringkat awal menjadi dalil menunjukkan kesahihan menunaikannya di masjid secara berjamaah pada bulan Ramadan. Baginda tidak keluar selepas itu adalah kerana bimbang difardukan. Tidak menunjukkan ia dilarang secara mutlak. Ini kerana zaman baginda ialah zaman wahyu dan tasyri’ (perundangan)..” (m.s 147, Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi).Adapun berhubung dengan perkataan Saidina ‘Umar yang menyebut solat tarawih pada zamannya “sebaik-baik bid’ah hal ini”, al-Imam al-Syatibi mengulas:
“Dia menamakannya bid’ah hanya disebabkan pada zahirnya setelah mana RasululLah s.a.w meninggalkannya. Sepakat pula ia tidak berlaku pada zaman Abu Bakr r.a. Bukannya bid’ah pada makna (syarak). Sesiapa yang menamakan bid’ah disebabkan hal ini (muncul semula), maka tiada perlu perbalahan dalam meletakkan nama (istilah). Justeru itu tidak boleh berdalil dengannya untuk menunjukkan keharusan membuat bid’ah” (m.s 147-148).Maksudnya bid’ah yang disebut oleh Saidina ‘Umar adalah disudut baru muncul semula setelah Nabi s.a.w tinggalkan, maka ia dari segi bahasa boleh dinamakan bid’ah. Bukan bererti keharusan membuat bid’ah yang dilarang syarak.
3. Berdasarkan riwayat yang sahih dalam al-Muwata karya al-Imam Malik bin Anas, bilangan rakaat yang Saidina Umar perintah dilaksanakan adalah sebelas rakaat. Kata al-Saib bin Yazid:
“Umar telah memerintahkan Ubai bin Ka’ab dan Tamim al-Dari untuk menjadi imam kepada orang ramai sebanyak sebelas rakaat” (Riwayat Malik).Maka dengan itu riwayat al-Baihaqi melalui Yazid bin Khasifah daripada al-Saib bin Yazid yang menyebut bilangan yang ‘Umar perintahkan sebanyak dua puluh rakaat adalah bercanggah dengan riwayat sebelas rakaat yang sahih tadi. Sedangkan dari segi kekuatan riwayat, riwayat sebelas rakaat itu lebih kuat, maka riwayat dua puluh dianggap shaz (ganjil) kerana menyanggahi rawi yang lebih kuat.
Justeru, riwayat dua puluh dihukum daif oleh sesetengah ahli hadis. Sebahagian pula menerima riwayat Yazid bin Khasifah dan mentakwilkan bahawa ada hari Umar memerintahkan sebelas rakaat dan ada hari pula yang diperintahkan dua puluh. Apapun, hadis al-Imam Malik tadi yang menyebut sebelas rakaat menafikan dakwaan yang menyatakan sesiapa yang solat tarawih beserta witir sebelas rakaat tidak sah. Itu adalah dakwaan yang melampau dan zalim.
4. Sebenarnya, para ulama salaf solih sendiri berbeza pendapat tentang bilangan rakaat bagi solat tarawih bersama witir. Antaranya, pendapat yang menyatakan empat puluh satu, tiga puluh sembilan, dua puluh sembilan, dua puluh tiga, tiga belas dan sebelas. Adapun dari segi riwayat amalan Nabi s.a.w, Ummul Mukminin Aishah r.aha ditanya mengenai solat Rasulullah s.a.w pada bulan Ramadan, jawab beliau:
“Rasulullah s.a.w tidak pernah melebihi sebelas rakaat samada dalam bulan Ramadan ataupun selainnya”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).Hadis ini juga menunjuk perbuatan mencela solat tarawih sebelas rakaat adalah menyanggahi sunat Nabi s.a.w. Bahkan ramai ulama hadis yang mengutamakan bilangan sebelas rakaat ini sebagai mencontohi Rasulullah s.a.w.
5. Saya bersetuju dengan pendapat bahawa tiada had rakaat yang ditetapkan oleh Nabi s.a.w. dalam hal ini. Seseorang beribadah berdasarkan kemampuannya. Nabi s.a.w tidak pernah menetapkan, bahkan memberikan keluasan dalam hal tersebut dengan menyatakan solat malam dua rakaat, dua rakaat sehingga apabila hendak masuk subuh berwitirlah. Lajnah Tetap dan Kajian Ilmiah serta Fatwa, Arab Saudi sendiri ketika mengulas hal menyebut:
“Tiada menjadi salah untuk menambah lebih dari sebelas kerana Nabi s.a.w tidak pernah menghadkannya sedikit pun. Bahkan apabila ditanya tentang solat malam baginda menyebut: “Dua rakaat, dua rakaat (secara dua rakaat setiap solat), jika seseorang kamu bimbang masuk waktu subuh, maka solatlah satu rakaat sebagai witir kepada apa yang telah dia solat sebelum” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam hadis ini baginda tidak menghadkan sebelas atau selainnya. Ini menunjukkan ada keluasan dalam solat malam pada Bulan Ramadan atau selainnya”. (Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 7/195, Riyadh: Riasah Idarah al-Buhuth).6. Adapun dakwaan bahawa sesiapa yang tidak berselawat semasa solat tarawih sesat maka itu adalah dakwaan yang melampau. Apakah beliau ingin menyatakan seluruh dunia Islam yang sebahagian besarnya tidak berselawat, termasuk Masjid al-Haram dan Masjid al-Nabi itu sesat?!
Selawat beramai-ramai semasa solat tarawih itu tidak dilakukan di zaman Saidina Umar, juga khalifah al-Rasyidin yang lain. Jika pada zaman Saidina Umar dan Saidina Uthman mereka bersalawat dan menyebut nama khalifah-khalifah selepas Nabi s.a.w seperti yang dilakukan oleh sesetengah pihak di negara ini, tentulah para sahabat tidak tertanya-tanya lagi siapakah bakal mengganti kedua khalifah tersebut selepas kewafatan mereka. Tentu tiada perbincangan lagi dalam menentukan para khalifah semasa zaman sahabah. Ini menunjukkan hal ini tidak dilakukan oleh para sahabah. Mencontohi Nabi s.a.w dan para sahabah dalam ibadah adalah paling baik dan selamat.
7. Di sana ada riwayat yang sahih
“bahawa Nabi s.a.w berwitir dengan membaca Surah al-A’la, al-Kafirun dan al-Ikhlas. Baginda menyebut selepas member salam Subhana al-Malik al-Quddus sebanyak tiga kali dengan memanjang dan mengangkat suara baginda” (Riwayat al-Nasai, Abu Daud dan Ahmad).Maka, jika kita mencontohi perbuatan tersebut, ia merupakan sunnah.
ISLAM BUKAN IKUT DEMOKRASI...YANG RAMAI ITU BETUL....YANG SIKIT ITU SALAH....YANG BETUL BERDASARKAN QURAN DAN HADIS...ISLAM TAK BOLEH TOLAK DAN TAK BOLEH TAMBAH
WALLAHU'ALAM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan