Khamis, 30 April 2015

ORANG YANG INGATKAN MATI ADALAH ORANG YANG BIJAKSANA













Mengingati Allah Ta’ala itu WAJIB..

Bismillah





"Ingatlah Aku nescaya Aku akan mengingati kamu" (al-baqarah:152)

 Berkata Thabit al-Bunani rahimahullah: Sesungguhnya aku mengetahui bila Allah ‘Azzawajalla akan mengingatiku. 
Orang ramai bertanya dengan hairannya: Bagaimana kamu tahu semua itu? 
Jawabnya: Jika aku mengingatiNya Dia akan mengingatiku.

"Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah Allah dengan ingatan yang sebanyak-banyaknya. (Perbanyakkanlah mengingati Allah)." (al-ahzab:41)

"Apabila kamu bertolak balik dari padang Arafah, hendaklah ingat akan Allah di Masy'aril Haram(nama bukit). Dan ingatlah akan Allah sebagaimana Dia menunjuki kamu. Sesungguhnya kamu sebelumnya termasuk orang-orang yang sesat." (al-baqarah:198)

"Maka apabila kamu telah selesai menunaikan amalan haji, ingatlah akan Allah seperti kamu mengingati bapa-bapamu malah lebihkan lagi mengingatiNya." (al-baqarah:200)

~Hendaklah selalu mengingati Allah~


"Orang-orang yang mengingati Allah ketika berdiri, duduk dan berbaring." (ali-imran:191)


Apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, hendaklah kamu ingat akan Allah waktu berdiri dan duduk dan berbaring  (an-nisa’:103)

Allah Ta’ala juga mencela orang munafiq iaitu:


"Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah sedang Allah menipu mereka itu (membalas tipuan mereka itu). Apabila mereka berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas serta riya' terhadap manusia dan mereka tidak mengingati Allah melainkan sedikit sekali." (an-nisa’:142)

Allah ‘Azzawajalla juga menyuruh kita menghormatiNya dalam firmanNya yang lain.


"Dan ingatlah Tuhanmu di dalam hatimu serta merendahkan diri dan takut, dan bukan dengan suara yang keras, ketika pagi dan petang dan jangan kamu termasuk orang-orang yang lalai." (al-a’raf:205)

Sebagaimana mana Allah memberi tahu kita juga, 
"Sesungguhnya mengingati Allah lebih besar (faedahnya)."  (al-ankabut:45)

“Orang yang menyebut Allah sedang dia lalai sama seperti pohon yang hijau ditengah-tengah pepohonan yang kering”

Dalam hadith qudsi, Allah telah berfirman:
“Aku sentiasa dengan hambaKu setiap kali dia mengingatiKu dan bergerak-gerak kedua bibirnya menyebut namaku”
“Jika hambaKu mengingatiKu dalam dirinya, Aku pasti mengingatinya dalam diriKu. Jika dia menyebut namaKu di hadapan khalayak ramai, Aku akan menyebut namanya dihadapan khalayak yang lebih mulia daripada khalayaknya. Jika dia menghampiriKu sejengkal, Aku akan menghampirinya sehasta, jika dia mendekatiKu sehasta, Aku akan mendekatinya sedepa. Jika dia datang berjalan kepadaKu, Aku akan berlari kepadaNya. Yakni segera menyahut segala permintaannya”

Sabda Nabi s.a.w lagi:
“Tujuh manusia yang akan dinaungi Allah ‘Azzawajalla di hari tiada naungan melainkan naunganNya. Diantara yang tujuh itu ialah orang yang sentiasa menyebut-nyebut nama Allah, bersendirian, lalu mengalir air matanya kerana takut kepada Allah”

Berkata Mu’az bin Jabal r.a:
Penghuni syurga tidak akan meyesal apa pun lagi kecuali pada saat-saat yang berlalu di dunia di mana dia tiada menyebut nama Allah s.w.t

Bersabda Rasulullah s.a.w:
Tiada suatu kaum yang duduk-duduk di majlis di mana mereka menyebut-nyebut nama Allah ‘Azzawajalla melainkan akan dinaungi malaikat, dikelubungi oleh rahmat dan disebutkan mereka oleh Allah Ta’ala kepada sesiapa yang ada disisiNya

~Warisan Rasulullah yang dibahagi~ 
Daripada Abu Hurairah r.a pada suatu hari dia memasuki pasar seraya berkata:Kenapa aku masih mendapati kamu di sini, sedangkan warisan Rasulullah dibahagi-bahagikan di masjid. Orang ramai ribut apabila mendengar berita itu dari Abu hurairah, lalu mereka beramai-ramai ke masjid dan meninggalkan kerja di pasar. Apabila mereka tiba di masjid, mereka tiada mendapati apa-apa disiti, lalu mereka berkata: Hai Abu Hurairah! kami tidak mendapati warisan yang engkau katakan itu sedang dibahagi-bahagikan di masjid. Tanya Abu Hurairah: Apa yang engkau dapati di sana? Jawab mereka: Kami dapati orang orang ramai sedang duduk berzikir kepada Allah Ta'ala, dan ada pula yang sedang membaca Al-Quran. Berkata Abu Hurairah lagi: Bodoh kamu, bukankah itu warisan Rasullah s.a.w 



"Tiada Tuhan melainkan Allah yang Esa tiada sekutu bagiNya, bagiNya segala kerajaan dan segala pujian dan Dia adalah berkuasa atas segala sesuatu." 

Wallahu'alam..


Peringatan Mati.
Di dalam mengingati mati, manusia ingat 2 (dua) perkara:
Perkara sebelum mati.
Perkara sesudah mati.
Meskipun mati penuh dengan rahsia, tetapi hendaklah orang selalu ingat bahawa mati pasti datang. Itulah sebabnya para Anbiya’ menjadikan ingat kepada kematian itu sebagai salah satu cabang dari pelajarannya. Demikian juga ahli-ahli falsafah, sebahagian besar mengakaji masalah kematian itu panjang lebar. Setengah berkata, kehidupan ini hanya palsu saja, hakikat hidup ialah sesudah mati.
Rasulullah saw bersabda:
“Banyak-banyaklah mengingat barang yang memusnahkan segala kelazatan itu, kerana siapa yang di dalam kesempitan, kalau dia ingat mati, dia insaf bahawa dia akan disambut oleh kesempitan”.
Ahli-ahli falsafah bangsa Cina purbakala menciptakan suatu tradisi yang amat ganjil. Seorang anak yang baru dilahirkan ke dunia, dibuatkan oleh ibu bapanya dua barang yang amat perlu, iaitu buaian dan peti mati, supaya di samping kehidupan dia ingat akan kematian. Bertambah besar anak, bertambah besar peti mati dibuatkan. Setelah tua, meskipun badan sihat sampai sekarang masih kita lihat mereka buat keranda dan kuburan yang tenteram di dekal rumahnya yang indah, supaya kuburan itu jadi peringatan baginya, ke mana dia akan pergi. Mereka berkata bahawa manusia dalam hidupnya, berjalan melalui sebuah jambatan.
Sebelah ke belakang yang telah dilampaui ialah hidup, dan yang akan ditempuh ialah mati. Bertambah lama berjalan, bertambah dekat kepada mati, bertambah dekat pintu mati, bertambah jauhlah hidup.
Orang Mesir zaman purbakala lain lagi caranya. Bila mereka mengadakan suatu perhelatan (pesta) besar bersuka ria, sedang segenap tetamu gembira bersorak bersenda gurau, tuan rumah membawa suatu peti mati berisi mummi ke tengah-tengah majlis itu. Ketika itu segenap tamu lelaki dan perempuan harus diam, dan insaf bahawa di samping segala kesukaan itu berdiri ‘elmaut’.
Sebab itu hendaklah orang yang berakal sentiasa ingat akan kematian, sebagaimana dia ingat akan kehidupan. Ingat bahawa hari ini kita memikul mayat orang lain, dan besok lusa mayat kita sendiri dipikul orang. Hendaklah ingat bahawa kita tidak akan lama menghuni rumah bagus, hendaklah yakin bahawa akan datang masanya naik usungan.
Itulah yang ajaib bagi filosof bangsa Cina zaman dahulu. Iaitu mereka pakai segala warna hitam, tanda berkabung atau kelahiran. Kerana bagi mereka lahir ke dunia itu belum tentu beroleh gembira, barangkali menempuh sengsara, lantaran ‘hayat’ ini sukar jalannya. Tetapi kalau kematian, mereka memakai pakaian putih (sekarang biasanya memakai pakaian putih kasar, belacu atau serupa guni), tanda bersyukur sebab telah datang janji yang ditunggu-tunggu, akan bertemu dengan arwah nenek moyang, pindah dari alam keonaran (huru hara) ke dalam alam bahagia.
Tidaklah kita hairan, bila kita baca riwayat kematian Bilal bin Rabah. Seketika dalam nazak, beliau berkata:
“Wahal gembiranya“.
Laltu isterinya bertanya:
“Wahai suamiku, mengapa di dalam sakaratul maut, tuan berkata gembira, padahal dari tadi saya berkata:
“Aduh dukacitanya hatiku“.
Bilal menjawab:
“Tidakkah gembira hatiku, bila aku ingat bahawa aku akan meninggalkan dunia yang fana, kembali ke alam baqa, menemui Rasulullah yang kucintai”.
Dari keterangan di atas, tahulah orang bahawa ingat mati, ialah ingat akan hal sebelum dan hal sesudah mati. Sebab mati itu sendiri tidak lama!
Bilal gembira akan mati, kerana ingat akan hal yang akan ditemuinya sesudah mati.
1. Keadaan Manusia Mengingati Mati.
Pertama: Orang inilah yang sangat merugi, kerana tidak ingat kematian, tak terbayang-bayang dalam fikirannya, seakan-akan telah tetap dalam otak bahawa mati itu tak ada.
Orang ini tidak akan merasa hakikat mati sebelum menyaksikan sendiri. Orang ini baru dapat mengingat mati lantaran mengingat anak atau harta. Dia payah memikirkan bagaimanakah hartaku kelak, siapakah yang akan menjadi suami isteriku kalau aku wafat. Bagaimanakah jadinya anakku kalau aku telah menutup mata.
Kalau mayat dipikul orang di hadapan rumahnya, dibacanya “Inna Lillahi wa Innailaihi Raji’un” krana sudah teradat demikian. Masusia begini bukan mengingati kematian untuk dirinya, tetapi memikirkan orang lain. Ada juga dia mengaku ingat akan mati, cuma dengan mulutnya, tidak sejak dari hatinya. Dibawanya lengah saja perasaan takut mati yang ada dalam batinnya.
Kedua: Orang yang sentiasa takut saja mengingat mati, takut akan mati, takut kalau-kalau mati datang sehingga gementar tubuhnya dan berkunang-kunang penglihatannya. Dia ingat perkara ini kalau dia telah duduk termenung-menung seorang diri, sehingga lama-lama fikirannya morat-marit, pekerjaannya tak menentu lagi, pencemas, penggigil, putus harap. Bagi orang begini nikmat Tuhan jadi kecelakaan. Sebab tiap-tiap perniagaannya beruntung atau gajinya naik anaknya bertambah, rumahnya indah dan lain-lain, semuanya menambh takutnya menghadapi mati.
Dia takut kena angin, kerana angin itu menurut keterangan doktor membawa baksil penyakit. Takut bergaul dengan orang, kerana barangkali orang itu ada menyimpan bibit t.b.c. (penyakit berjangkit) kelak dibawa angin bertambah kembang biak, dan pindah pula ke dadanya sendiri. Kadang-kadang ada orang takut makan, kalau makanan itu tidak diperiksa doktor terlebih dahulu, barangkali beracun. Sultan Abdul Hamid menggaji seorang tukang cicip (kinyam) makanan yang akan baginda makan, haruslah dimakan oleh tukang cicip itu lebih dahulu. Akhirnya tukang cicip makanan itu kaya raya lantaran gajinya. Ia tidak mati kena racun, melainkan kemudian Sultan Abdul Hamid, mati di tanah buangan.
Penyakit demikian kalau dibiarkan, tidak ditangkis dengan kekuatan jiwa atau kekuatan iman kepada Tuhan, akan membahayakan diri, yang perlu kepada rawatan Doktor mengeluarkan wang beribu-ribu. Kalau doktor itu tidak ingat akan sumpah dan kemanusiaan, orang yang seperti ini boleh dijadikan permainan, penambah kekayaan pula bagi si doktor.
Ketiga: Orang yang ingat kematian dengan akal budi dan hikmat. Tak ubahnya dengan orang yang naik haji ke Makkah. Selama di dalam perjalanannya tidak lupa dia bahawa dia akan naik haji. Di dalam perjalanan selalu dihafalya manasik. Dicukupkannya wang, dilengkapkannya bekal, jangan sampai hajinya tidak sah.
Yang demikian adalah lantaran dia yakin bahawa ingat mati menghapuskan angan-angan yang tak menentu, menghabiskan was-was dan mengenang barang yang akan menghabiskan umur. Dari inat akan kematian, manusia menjadi sabar menerima bahagian yang sedikit, tidak tamak akan harta benda, lebih dari mesti, dan tidak menolak berapapun diberi, tidak tercengang dan gamang jika harta itu habis. Ingat mati menyegerakan taubat, khianat, haloba dan tamak. Ingat mati menghindarkan ujub. Ingat mati menghindarkan takbur. Tiap-tiap sehari melangkah dalam hidup,ingatlah mati sekali, supaya bekal ke sana bertambah banyak disediakan. Jangan sampai kejadian, sedang terlengah-lengah menghadapi yang lain, malaikat maut datang tiba-tiba. Sebab mati itu mungkin datang secara mendadak.
Hendaklah laksana juru tulis pejabat yang berkerja secara rapi. Bersedia memperlihatkan buku, apabila tukang periksa datang.
2. Ikhwal Manusia Seketika Mati.
Keadaan manusia seketika mati, tiga macam:
Pertama: Memikirkan bahawa kematian itu laksana suatu yang membawa bahagia, melepaskan dari, perhambaan, sebab hidup itulah yang memperhambanya. Sesungguhnya kehidupan manussia ini, walaupun sampai beribu tahun, masih sekejap mata saja dari cahaya kilat, setelah itu hilang kembali dan kemudian gelap. Orang ini tidak merasa berat meninggalkan dunia, hanyalah sekadar beberapa kekurangan yang belum terbayarkan olehnya kepada Tuhannya. Dia merasa menyesal lantaran khidmat kepada Tuhan dirasanya belum puas. Orang ini masih tamak juga hendak mendekatkan diri kepada Tuhan sedikit lagi, masih haloba kepada kesucian.
Orang bertanya kepada seorang Waliullah yang hampir mati, mengapa dia kelihatan bersedih hati. Dia menjawab:
“Saya agak sangsi, kerana saya baru akan menempuh suatu perjalanan yang belum pernah saya lihat, sampai sekarang dada saya berdebar, perkataan apakah kelak yang akan saya ucapkan di hadapanNya”.
Orang ini bukan takut mati, tetapi merasa belum cukup ibadatnya, merasa malu akan bertemu dengan Tuhan lantaran ingat akan kebesaran Tuhan. Dia ingin beribadat sedikit lagi, tetapi waktunya sudah habis dan ajal sudah datang.
Seorang Waliullah yang lain berdoa demikian:
“Ilahi! Jika hamba memohon hidup di alam kematian, tandanya hamba benci hendak bertemu dengan Engkau. Sebab RasulMu sendiri pernah berkata: “Siapa yang ingin hendak bertemu dengan Allah, maka Allah pun ingin hendak bertemu dengan dia. Siapa yang enggan bertemu dengan Tuhannya, Tuhan pun enggan hendak menemuinya”.
Buat orang ini Tuhan menyediakan sambutan yang baik. Buat mereka mati dialih namanya jadi “Liqa”, ertinya “Pertemuan”.
Kedua: Orang-orang yang sempit pandangan, yang perjalanan hidupnya penuh dengan maksiat, yang telah karam dalam godaan dunia, hingga tak dapat dibongkar lagi, sehingga kalau dia meninggal, hatinya masih tetap tersangkut. Orang ini merasa bahawa hidup di dunia itulah yang paling beruntung, dan tak memikirkan kehidupan akhirat. Memang orang yang begini lantaran telah kotor dalam kehidupan dunia, tersisih juga darjatnya dalam kehidupan akhirat. Dia telah lebih dahulu buta di dunia, sebab itu dia buta pula di akhirat.
Orang yang pertama tadi adalah seorang hamba yang patuh, yang bilamana dipanggil Tuhannya, dia bersegera datang dengan muka manis, dia datang dengan sukacita dan senyum simpul. Dia datang mengadap Tuhan dengan Qalbin Salin: Hti Baik.
Orang yang kedua, ialah hamba yang keras kepala, pulang kepada Tuhan dengan dada berdebar, sebab kesalahan amat banyak. Barangkali ia mencuba lari, tetapi tak dapat lagi, sebab temphnya sudah cukup. Sebab itu, kedatangannyakepada Tuhan terpaksa diikat, sebagai orang yang bersalah, tak dapat mengangkat muka, kelu lidahnya, tak dapat menjawab segala pertanyaan.
Alangkah jauh bedanya di antara kedua manusia ini.
Himah Rasulullah saw bertemu di dalam perkara menghantarkan mayat ke kubur, sabda baginda:
“Lekas-lekas hantarkan mayat ke kuburnya. Sebab kalau dia orang soleh, supaya lekas dia bertemu dengan pahalanya, dan kalau dia orang jahat, supaya jangan lama dia memberati dunia ini!”.
Ketiga: Orang yang berada di tengah-tengah di antara kedua darjat tadi. Iaitu yang tahu tipu daya dunia, tak terikat oleh alam, tetapi dia suka juga kepada alam itu, sebab tak dapat menahan hatinya. Orang ini, laksana orang yang kepayahan berjalan tengah malam dan mencari tempat berhenti. Tiba-tiba tertumbuk kepada sebuah rumah kosong di tepi jalan, yang di kiri kanannya rimba. Akan masuk ke dalam merasa takut, akan diteruskan perjalanan takut pula. Lantaran terpaksa oleh keadaan dia masuk juga ke rumah kosong itu. Kalau orang ini sabar menunggu hari siang, tentu kelak dia akan menempuh jalannya juga dan rasa takutnya pun hilang. Tetapi kalau takutnya diperturutkannya, itulah yang akan membinasakannya.
Kita tidak hairan bahawa manusia amat berat akan meninggalkan suatu barang yang biasa dipakainya. Berapa banyaknya orang yang enggan meninggalkan rumah lama, pindah ke rumah baru, padahal rumah baru itu lebih besar. Anak-anak menangis meninggalkan perut ibunya, padahal dia pindah dari lapangan sempit kepada alam luas, nanti kalau telah biasa dengan udara alam, dia pun tak menangis lagi, bahkan menangis pula kelak bila akan meninggalkan alam itu.
Moga-moga kita semuanya menjadi umat yang bererti, yang redha pada Allah, dan Allah redha pada kita, sehingga hidup kita selamat di dunia dan di akhirat. Amin!

CARILAH HATIMU!

Author: carilah-hatimuKau mesti mulakan langkah mujahadah ini sekali lagi. Berbekalkan kata pujangga, kebaikan itu kerapkali perlu dimulakan berkali-kali. Tidak ada istilah putus asa dalam mengharap keampunan dan keredhaan Allah. Walaupun berkali-kali mundur dan terbentur, tetapi itu bukan alasan untuk berhenti. Berhenti ertinya mati – mati hati dalam mengharapkan cahaya Ilahi. Hakikatnya itu lebih bahaya daripada matinya jasad yang lahir ini. 
Ya, kau perlu mulakan sekali lagi. Begitu bisikan ilmu menolak rasa ragu. Selalu. Walaupun terasa diri diselubungi selimut dosa dan kemelut alpa, jangan sekali-kali putus asa. Begitu kata jiwa yang menjerit tanpa suara. Allah tidak akan menutup pintu keampunannya… kunci pintu itu adalah harapan. Selagi ada harapan, selagi itulah ada perjuangan. Tewas dalam satu pertempuran tidak bererti tewas dalam satu peperangan. Begitulah jua dalam peperangan melawan syaitan dan hawa nafsu ini.
Tidak ada jalan lain wahai diri, kecuali bangun dan terus bermujahadah. Hati itu boleh berkarat, pencucinya adalah Al Quran dan ingatkan mati. Begitu panduan yang diberikan oleh Rasul junjungan. Jua teringat pesan Imam Ghazali:
“Carilah hatimu di tiga tempat… Temui hatimu sewaktu bangun membaca Al Quran. Tetapi jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga, kau carilah hatimu ketika duduk tafakkur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati!”
Semak-semak dalam kehidupan harianmu. Bagaimana awal pagimu… Telahkah kau buka setiap hari barumu dengan hati yang bersyukur? Telahkah kau ucapkan, segala puji bagi Allah yang menghidupkan aku daripada kematian yang sebentar dan kepada-Nyalah kami akan dikembalikan? Kemudian mintalah berlindung daripada sifat malas, takut, bakhil dan penguasaan orang lain terhadapmu. Senyum. Dan teruskan bersuci dengan mandi dan wuduk. Basuh wajahmu, fikiranmu, pendenganmu dan penglihatanmu daripada cela dosa dan prasangka. Kemudian dirikan solat Subuh. Pinta hidayah, kesihatan, kekuatan dan kesabaran dalam kalimah-kalimah doa dan munajat itu.
Tidak mengapa sekiranya hati terganggu oleh karenah-karenah manusia atau mainan rasa. Tetapi capai segera Al Quran dan bacalah. Bacalah, itu hakikatnya menjana kekuatan jiwa untuk menghadapi badai kehidupan. Jiwa yang tidak membaca al Quran umpama talipon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, tidak berguna… Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran, tanpa al Quran segalanya tidak berguna.
Jangan mendaki puncak hanya untuk meninggikan tempat jatuh. Jangan memburu fatamorgana kemewahan dunia hanya untuk ditipu olehnya. Ingat wahai diri, janji kesibokan yang tanpa henti, kelesuan yang tiada penghujung, kejemuan yang senentiasa mencengkam, kebimbangan tanpa kesudahan, buat pemburu-pemburu dunia yang bagaikan anjing rakus memburu bangkai. Sebaik-baik bekalan adalah taqwa. Sebaik-baik perlindungan adalah Al Quran. Mereka yang begini sahaja mampu ‘menukar’ bangkai dunia menjadi baja dalam kehidupan.
Burulah kehidupan dengan semangat orang yang bersedia untuk mati. Jadilah insan bijaksana yang menghayati pesanan Rasulullah agar sentiasa mengingati mati dan bersedia untuk menghadapinya. Jadilah umpama para sahabat Rasulullah s.a.w yang hidup bahagia, tenang dan aman walaupun dunia ditadbir dan diurus dengan cekap dan berkesan. Jangan jadi Namrud, Firaun dan Haman yang mengurus dunia penuh dengan ketamakan dan kezaliman. Nanti kau diburu oleh resah, gelisah, kesibokan, kejemuan, kemarahan yang tiada berkesudahan.
Ingatlah wahai orang yang bermujadahah… tidak mengapa sekiranya engkau tidak sampai di hujung jalan, cukup sekadar kau telah menempuh jalan. Justeru ketenangan dan kebahagiaan itu bukan hanya ada di hujung jalan, tetapi ada di sepanjang jalan…Genggam al Quran, ingat mati dan berangkatlah.

Zikrul Maut ( Ingat Akan Mati )

Posted: December 1, 2009
بسم الله الرحمان الرحيم

Mati adalah sesuatu perkataan yang paling ditakuti oleh hampir setiap manusia. Setiap orang, juga binatang takut mati, kecuali beberapa manusia yang sudah putus asa dalam kehidupan ini, yang ingin segera mati. Wajar sekali kalau manusia takut mati, sebab mati bererti berpisah dengan segala yang ia miliki atau senangi, berpisah dengan segala yang disayangi atau dicintai. Berpisah dengan anak dan isteri serta kekasih. Berpisah dengan bapa atau ibu, berpisah dengan harta dan pangkat, berpisah dengan dunia dan segala isinya.
Semua orang takut mati, tetepi ada yang berlebihan sekali, ada pula yang takutnya itu sedikit sahaja, bahkan ada yang tak takut sama sekali, malah berani dan ingin mati. Ketakutan terhadap mati adalah kerana dua hal :-
Kerana kurang atau tidak adanya pengetahuan kita tentang mati, keadaan mati dan keadaan selepas mati adalah gelap. Semua orang takut menempuh tempat yang gelap dan tidak diketahui. Kerana doa dan kesalahan yang sudah bertumpuk dan tidak bertaubat, sehingga mendengar kata mati sudah terbayang azab dan seksa yang diperolehinya akibat dosa dan kesalahan tadi. Bagi orang cukup pengetahuan dan keyakinan terhadap hidup sesudah mati dan merasa dirinya tak pernah melakukan dosa dan kesalahan, maka baginya tak ada ketakutan terhadap mati malah ingin mati. Tetapi agama Islam melarang orang ingin cepat mati, agar dapat hidup melakukan kebaikan sebanyak-banyaknya. Dan kalau ingin hidup lama adalah dengan tujuan agar dapat semakin banyak melakukan kebaikan bukan pula untuk dapat lebih banyak menumpuk harta dan kekayaan atau keturunan.

'Sentiasalah ingat kepada kematian'

seruan suci 022
MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala laragan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di Akhirat.
Kehidupan di dunia ini hanyalah sementara. Setiap yang bernyawa pasti akan mati, itulah hakikat yang pasti dan tidak diragukan lagi. Apabila ajal telah tiba, tidak sesaat pun akan berganjak dan tidak ada seseorang atau apa jua benda pun yang akan dapat menghalang seseorang itu menghadapi kematiannya. Maut akan menghampiri kita semua tidak kira kaya atau miskin, muda atau tua, sihat atau sakit dan walau di mana pun kita berada. Kita semua akan mati untuk kembali kepada Tuhan Rabbuljalil, Allah Subhanahu Wata'ala dan untuk menerima apa saja balasan atas apa yang telah kita lakukan semasa hidup di dunia ini. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Ali 'Imran ayat 175, tafsir-Nya :
“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan sesungguhnya pada Hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Oleh itu, sesiapa yang dihindarkan daripada Neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga maka sesunggunhya dia telah berjaya. Dan tiadalah kehidupan di dunia melainkan hanyalah kesenangan yang memperdayakan.”
Kita disunatkan untuk sentiasa mengingati mati. Tujuannya ialah supaya kita tidak lalai dengan kesibukan atau kehidupan dunia ini yang hanya bersifat sementara dan memperdayakan.

Kadang kala akibat sibuk dengan urusan dunia seperti sibuk bekerja, sibuk dengan urusan anak-anak dan keluarga dan sebagainya sering membutakan manusia lupa untuk mengingati Allah Subhanahu Wata'ala. Perkara ini telah diperingatkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Munaafiquun ayat 9, tafsir-Nya :
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh urusan harta benda kamu dan anak-anak pinak kamu daripada mengingati Allah dengan menjalanakan perintah-Nya dan ingatlah, sesiapa melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.”
Apa yang dimaksudkan sebagai orang yang rugi dalam ayat tersebut ialah orang yang lalai dan lupa dari mengingati Allah Subhanahu Wata'ala kerana sibuk untuk mengumpulkan harta kekayaan dan sibuk untuk mengembangbiakan keturunannya. Mereka lupa bahawa semua yang diperolehi dan dibanggakan itu hanyalah di dunia sahaja tanpa mengingati mati. Mereka kembali kepada Allah SubhanahuWata'ala dalam keadaan miskin kerana yang hanya dibawa sebagai bekal untuk menghadap Allah Subhanahu Wata'ala hanyalah iman dan amal soleh. Kalau itu tidak ada, maka menjadikan mereka sebagai orang yang rugi dan melarat. Ketahuilah bahawa mencari dan mengumpul harta dunia ini tidaklah dilarang oleh Allah Subhanahu Wata'ala tetapi harta tersebut hendaklah diperolehi dengan cara yang halal dan dibelanjakan kepada jalan Allah seperti memberi nafkah, berzakat, bersedekah, berwakaf, membantu orang yang memerlukan pertolongan, membuat amal ibadat, membuat perkara yang bermanfaat dan berfaedah dan sebagainya. Itulah antara cara atau jalan untuk membebaskan diri dari tipu daya dunia.
Sesungguhnya harta yang kita nafkahkan pada jalan Allah itu dikira sebagai sedekah jariah dan dijanjikan pahala berterusan walaupun sesudah kita meninggal dunia. Ini seperti mana yang dijelaskan dalam sebuah hadis :
Maksudnya : “Dari Abu Hurairah Radiallahuanhu, sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda : Apabila telah mati seseorang itu akan terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat dengannya dan anak yang soleh yang mendoakannya.”
Sesungguhnya amalan yang dilakukan dengan niat yang ikhlas akan mendapat ganjaran pahala yang besar untuk kita menghadap Allah Subhanahu Wata'ala dan juga sebagai saham yang menguntungkan bagi mendapatkan kehidupan yang baik di Hari Kiamat kelak. Oleh itu nafkahkanlah harta yang ada dengan jalan yang betul semasa hayat masih dikandung badan, kita tidak tahu bila ajal akan tiba, esok atau lusa, kerana apabila saat itu tiba, penyesalan sudah tidak berguna lagi. Kita hayatilah firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Munaafiquun ayat 10 - 11, tafsir-Nya :
“Dan berlanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya. Kalau tidak maka dia pada saat itu akan merayau dengan katanya : Wahai Tuhanku, alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi diri orang-orang yang soleh. Dan ingatlah, Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang atau sesuatu yang bernyawa apabila sampai ajalnya, dan Allah amat mendalam pengetahuannya mengenai segala yang kamu kerjakan.”
Kehidupan bahawa kematian adalah suatu yang sangat mengerunkan lebih-lebih lagi ketika menghadapi sakratul maut. Kematian juga merupakan jambatan ke Akhirat iaitu sebagai penghubung dari kehidupan di dunia yang fana menuju kehidupan yang kekal abadi. Kehidupan kita di dunia inilah yang akan menentukan baik atau buruk tempat kita kelak. Kerana itu sebagai umat Islam kita hendaklah membuat persiapan sebelum ajal tiba.
Terdapat banyak cara untuk kita mempersiapkan diri bagi menghadapi kematian, antaranya ialah :
Pertama : Mempertingkatkan lagi amal ibadat kepada Allah Subhanahu Wata'ala yang dilakukan dengan niat yang ikhlas kerana Allah Subhanahu Wata'ala.
Kedua : Kita hendaklah sentiasa bertaubat memohon ampun kepada Allah Subhanahu Wata'ala a di atas dosa yang telah kita lakukan sama ada secara senghaja atau tidak, dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi.
Ketiga : Sentiasa ingat kepada kematian kerana perbuatan tersebut dapat menimbulkan kesedaran dan keinsafan dalam diri untuk terus berusaha menjadi hamba Allah yang taat dan patuh pada perintahNya. Dengan mengingati mati juga dapat menimbulkan rasa takut dan gentar untuk melakukan sebarang perkara dan perbuatan yang mungkar, berdosa dan dilarang serta dilaknat oleh Allah Subhanahu Wata'ala dan juga dapat melunturkan kecintaan terhadap dunia.
Akan tetapi sudah menjadi lumrah manusia mudah lupa dan lalai jika tidak diingatkan termasuklah perkara kematian. Ramai orang yang mudah lupa kepada mati kecuali setelah ada amaran atau tanda-tanda bahawa kematian semakin dekat seperti selalu sakit, umur tua, tumbuh uban, kurang penglihatan, kurang pendengaran dan sebagainya. Namun tidak semua orang mahu mengambil peringatan daripadanya, malahan ada yang tidak mengambil kesempatan dan peluang dari amaran yang telah diberikan kepadanya seperti seseorang yang mendapat nikmat umur yang panjang. Sepatutnya apabila semakin meningkat, sudah sewajarnya hati menjadi lebih dekat dan ingat kepada Allah, ingat kepada ajal yang semakin mendekat menghampiri sehingga menjadikan lebih bertekad dan tekun untuk beramal ibadat kepada Allah Subhanahu Wata'ala.
Tetapi malanganya, ada orang yang lupa akan kematian seolah-olah masa itu masih panjang dan seolah-olah tubuh itu masih sempat untuk dilakukan kemudian nanti sehingga menjadikan mereka tenggelam dalam urusan duniawi yang melalaikan dan mensia-siakan masa yang ada dari berbuat amal ibadat kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam At-Tarmizi bahawa Abu Bakar ada berkata :
Maksudnya : “Dari Abdul Rahman bin Abi Bakar dari ayahnya: seseorang lelaki telah berkata: wahai Rasulullah siapakah sebaik-baik manusia? Rasulullah bersabda : Sebaik-baik manusia ialah orang yang dipanjangkan umurnya dan umurnya itu dipergunakan untuk berbuat kebajikan. Berkata lelaki itu lagi : Siapakah sejahat-jahat manusia? Rasullullah bersabda : Sejahat-jahat manusia ialah orang yang dipanjangkan umurnya tetapi digunakan untuk berbuat kejahatan.”
Ingatlah bahawa kematian pasti akan terjadi, Cuma kita tidak tahu bila ia akan tiba. Oleh itu kita hendaklah bersiap sedia menghadapi kematian dengan berusaha menjadi hamba Allah yang beriman dan bertaqwa agar dapat memperolehi kematian dalam keadaan Khusnul Khatimah iaitu mati dalam keadaan baik dan seterusnya dapat menjalani kehidupan yang baik alam barzah dan hari kiamat kelak. Kita hendaklah beramal tanpa bertangguh-tangguh, berusahalah seperti esok merupakan hari kematian kita kerana perkara tersebut boleh menyedarkan kita dari terleka dengan nikmat kehidupan dunia yang melalaikan dan mengasyikkan ini sentiasalah juga berdoa semoga kehidupan kita ini berakhir dalam keadaan Khusnul Khatimah dan dijauhikan dari Su’il Khatimah. Amin Ya Rabbal Alamin.
Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Ali 'Imran ayat 16, tafsir-Nya :
“Iaitu orang-orang yang berdoa dengan berkata : “Ya tuhan kami, sesungguhnya kami telah beriman, maka ampukanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab Neraka.”

Sunday, 1 July 2012

Ingat Mati Menghidupkan Hati 

 

– Mukmin Profesional 25.06.2012

Ustaz Pahrol Mohd Juoi
Mukaddimah:
Alhamdulillah, syukur kita dapat meneruskan kehidupan dan kita ditakdirkan berada dalam daerah kebaikan iaitu kita dapat terus menimba ilmu pengetahuan. InsyaAllah, mudah-mudahan dengan bertambah ilmu, bertambah juga kefahaman, bertambah penghayatan dan seterusnya bertambah amalan kita. Saya tidak jemu-jemu mengingatkan diri saya dan para pendengar semua bahawa apa yang kita dapat dalam kehidupan ini adalah bagaimana kita melihat kehidupan dan mengambil manfaat daripada apa yang berlaku dalam kehidupan yang singkat ini. Saya juga ingin mengingatkan bahawa bagaimana kita melihat kehidupan bergantung kepada kesedaran siapakah diri kita yang sebenarnya. Jadi, InsyaAllah kita telah memahami konsep ini kerana rancangan Mukmin Profesional selalu menekankan bahawa hidup ini perlu dilihat daripada kacamata Pencipta Hidup. Hanya dengan ini barulah kita sebagai hamba Allah dapat mengambil manfaat daripada kehidupan ini.
Kita telah bermula lama dahulu, daripada membincangkan arah hidup, tujuan hidup, jalan hidup, bekalan hidup, penghalang hidup dan petang ini sampai ke penghujungnya iaitu akhir hidup. Akhir hidup ialah kematian, dan kita diminta melihat kematian sebagaimana Allah SWT melihatnya. Kematian dalam Islam bukanlah satu pengakhiran, sepertimana yang difahami ramai manusia. Sebenarnya mati merupakan permulaan kehidupan yang tak mati-mati. Hidup sebelum mati itu penting, tetapi hidup selepas mati itu lebih hakiki dan abadi. Mati pada hakikatnya hanyalah satu proses transisi ke satu dunia lain. Sebagaimana proses kelahiran yang memindahkan kita dari alam rahim ke alam dunia, proses kematian pula memindahkan kita dari dunia ke alam barzakh. Namun, sayangnya kita lebih banyak membuat persiapan menyambut kelahiran berbanding kematian. Sebab itu ada gurauan sinis yang mengatakan bahawa - 'Manusia lebih berminat membincangkan berkenaan kain lampin berbanding kain kapan'. Perkara-perkara lain dalam kehidupan seperti kelahiran, perniagaan, perkahwinan bukanlah sesuatu yang pasti, tetapi kematian adalah satu kepastian bagi setiap yang bernyawa.
Mati itu pasti, dan sesuatu yang pasti itu adalah hampir. Dalam Islam, detik kematian kita telah ditentukan ketika kita masih dalam rahim lagi. Tetapi kita tak tahu bila ianya akan berlaku, tetapi apa yang nyata adalah dengan setiap detik yang berlalu, kita semakin menghampiri detik kematian yang telah ditentukan. Oleh sebab itu ketika sambutan ulang tahun kelahiran, kita sebenarnya semakin dekat mengampiri detik kematian. Umur kita sebenarnya seumpama jam pasir yang terus-menerus mengalir, semakin lama, semakin berkurangan. Saya teringat satu perumpamaan yang amat mengujakan ketika saya kecil dahulu – 'Kematian itu pasti dan kita tak dapat menentukan bilakah detiknya?'. Tamsilannya seperti pokok kelapa, bila-bila masa saja mayangnya, bunganya atau buahnya yang muda atau tua boleh gugur. Begitulah juga dengan kita, tak kira umur berapa pun boleh mati. Cuba perhatikan sekeliling, ramai orang tua atau orang muda? Biasanya kita akan nampak orang tua sedikit. Apa maknanya? Ramai orang muda mati dahulu sebelum sempat tua, sebab itulah sedikit sahaja golongan tua yang tinggal. Oleh itu, kita semua perlu mengambil peringatan.
Dalam Islam mengingati mati merupakan sifat mahmudah yang terpuji. Diriwayatkan bahawa para sahabat sering mengingati mati dan ada yang mengingati mati 70 sehingga 100 kali sehari. Nabi SAW bersabda, dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majjah, “Aku bersama Rasul SAW dan kemudian datang seorang lelaki daripada kaum Ansar dan memberi salam kepada Rasul SAW, dan bertanya, “Siapakah mukmin yang terbaik?” Nabi SAW menjawab, “Mereka yang terbagus akhlaknya”. Kemudian lelaki Ansar itu bertanya lagi, “ Siapakah mukmin yang tercerdik?” Nabi SAW menjawab, “Mereka yang paling banyak mengingati mati dan yang terbaik adalah mereka yang melakukan persiapan untuk kehidupan selepas itu.” Ada banyak kelebihan mengingati mati, antaranya ialah:
  1. Kita akan menyegerakan kerja.
  2. Kita akan menyegerakan taubat – Kita tidak akan bertangguh-tangguh.
  3. Kelazatan untuk menikmati maksiat akan kendur – Kita akan jadi takut untuk melakukan maksiat kerana akan memikirkan keadaan kita bertemu Allah.
Ada tiga golongan manusia, iaitu:
  1. Yang lupa mati
  2. Yang takut mati
  3. Yang ingat mati
Ada kesan yang berbeza antara orang yang takut mati dan ingat mati. Orang yang takut mati biasanya akan hilang semangat. Keceriaan sudah hilang daripada wajahnya. Dalam satu hadis Nabi SAW yang panjang, Nabi SAW menceritakan bahawa akan tiba suatu masa umat Islam akan dipermainkan musuh-musuh Islam. Sabahat pun bertanya adakah kerana bilangan mereka sedikit? Jawapannya tidak, bahkan bilangan kamu ramai tetapi seumpama buih di lautan sahaja. Kenapa kita ditindas walaupun bilangan kita ramai? Kerana Nabi SAW berkata kita terkena penyakit 'al-wahhan' iaitu cinta dunia dan takut mati. 
Jadi, bagaimana yang dikatakan mati boleh memberikan kita semangat? Apabila berlaku kematian, kita sebut ,”Innalillahiwainna ilahiroji'un” yang bermaksud, “Daripada Allah kami datang, dan kepada Allah kami akan dikembalikan.” Jadi, jika kita tahu kita akan kembali kepada Allah, adakah kita takkan buat persiapan? Kita perlu buat persiapan dan persediaan. Inilah kesan positifnya. Kita akan memperbanyakkan ibadah – ibadah asas, sunat dan umum. Kita juga akan menjaga hubungan dengan Allah dan dengan manusia. Kita juga akan bekerja bersungguh-sungguh dan tidak sambil lewa. Allah SWT yang kita akan jumpa menyukai hanya yang terbaik, oleh itu kita perlu itqaan (memberi yang terbaik) dalam setiap pekerjaan yang dilakukan, tak kiralah sama ada pekerjaan berkaitan hubungan dengan Allah mahupun hubungan dengan manusia. Kita akan sentiasa memperelokkan perkerjaan jika kita sentiasa ingat mati, kerana kita sedar pekerjaan tersebut akan dipersembahkan kepada Allah SWT nanti. Jadi, ternafilah pendapat yang mengatakan jika ingat mati, orang akan jadi tidak bersemangat, tidak produktif dan tidak memberi kerja berkualiti. Sebaliknya, ingat mati akan membantu meningkatkan produktiviti seseorang. Kenapa? Orang yang ingat mati akan bekerja dengan bersungguh-sungguh. Orang yang ingat mati tidak akan suka bertangguh-tangguh kerana sedar yang mati boleh datang tiba-tiba. Oleh itu, kerana tidak mahu terhutang dengan majikan atau keluarga, seseorang itu akan menyiapkan kerja pada hari yang ditetapkan. 
Saya pernah menghadapai cabaran menyakinkan seseorang tentang keperluan mengingati mati. Orang itu berpendapat sekiranya kita ingat mati, kita tidak produktif kerana hanya ingin berada di masjid untuk solat, baca Quran dan berzikir sahaja. Ini merupakan satu kesalahan yang besar dalam pemahaman Islam kita. Ibadah dalam Islam terbahagi kepada 3 iaitu: Ibadah asas dan sunat yang berkaitan habluminallah, contohnya solat, baca Quran, berzikir dan sebagainya. Ibadah umum contohnya seperti pekerjaan seharian kita yang memberi kebaikan kepada diri dan manusia lain. Oleh itu, kerja kita juga merupakan persiapan untuk menghadapi kematian. Jika kita sedar fakta ini, adakah kita akan buat kerja sambil lewa ketika di pejabat? Tidak mungkin. Sebab itu Rasul SAW sering mengingatkan, “Jika kamu nak solat, solatlah seumpama solat kamu yang terakhir.” Begitulah juga dengan setiap pekerjaan lain yang kita dilakukan, contohnya bersama keluarga. Jika kita ingat mati, pastilah kita akan melayan ahli keluarga dengan penuh kasih-sayang dan kemesraan.
Jadi, setakat itu sebagai pencerahan awal, mudah-mudah dapat diterima bahawa mengingati mati akan dapat menghidupkan hati kita. Hati boleh jadi kotor, lalai, dan perlu dibersihkan dengan zikrullah (ingat Allah), dan zikrulmaut (ingat mati). Oleh sebab Rasul SAW menegaskan dalam hadisnya yang bermaksud, “Cukuplah mati itu sebagai peringatan”.
Senarai soalan dan jawapan:
S: Bolehkah pembayaran khairat kematian dikira sebagai persiapan kita menghadapi kematian? Bolehkah duit khairat kematian digunakan untuk bukan Islam?
J: Terima kasih kepada semua pemanggil. Apabila saya mendengar kembali rakaman, saya rasa masih ada lompang-lompang dalam jawapan yang saya berikan. Oleh itu saya sematkan dalam hati, kalau saya bergantung pada diri saya sendiri, saya ada sebab untuk bimbang. Oleh itu mari bersama-sama ktia gantungkan harapan kita kepada Allah atas usaha kita ini. Dengan cakap saya yang sedikit, tetapi jika Allah SWT menjadikannya sebagai sebab orang dapat hidayah, orang akan lebih mudah memahaminya. Ini bukanlah sebagai satu alasan, tetapi keterbatasan sesiapa sahaja.
Kembali kepada persoalan: Saya melihat di sebalik soalan itu bagaimana kaedah untuk kita mengingati mati. Kita tahu falsafahnya ialah hidupkanlah hati dengan mengingati mati. Tetapi bagaimana dengan tip-tip mengingati mati. Betul, membayar khairat kematian juga merupakan satu persediaan menghadapi kematian. Tetapi itu cuma persediaan pengkebumian sahaja, sedangkan yang lebih penting ialah persiapan kita bertemu dengan Allah. Bagi saya, cara yang baik untuk mengingati mati adalah dengan mengikut cara yang ditunjukkan para ulama dengan menulis wasiat. Berani tak kita menulis surat wasiat? Dahulu, setiap ahli usrah Ikhwan Muslimin pula menyimpan sepasang kain kapan dirumah. Apabila hati mula rasa kasar atau keras, mereka akan merenung kain kapan tersebut dan mula mengingati mati semula. Ada juga ulama-ulama tasawwuf dulu yang pergi lebih jauh lagi untuk mendidik hati tentang kematian – mereka korek liang lahad dan duduk di dalamnya untuk merasa betapa gelapnya, sempitnya, sunyinya dan tidak berteman. Jadi, ketika itu kita akan menyedari itulah kematian yang kita akan hadapi. Para sahabat Nabi SAW, apabila mengingati mati, mereka terhalang daripada berbuat dosa. Mereka merasakan bahawa detik mati itu sesuatu yang pasti yang mereka akan alami. Selain itu, pergi menziarah hospital dengan melihat mayat, atau orang sakit tenat di ICU juga mengingatkan kita kepada mati. Pada masa itu baru kita sedar bahawa orang yang sedang sakit itu juga pernah sihat seperti kita, pernah punya impian seperti kita. Namun, ketika sakit tenat, yang ada dalam hatinya mungkin bagaimana dia akan berdepan dengan Allah SWT. Khairat kematian hanyalah persiapan fizikal dan material menghadapi kematian, tetapi kita sepatutnya kita lanjutkan kepada soal-soal tazkirah, peringatan, dan zikrullah.
S: Bolehkah duit khairat kematian digunakan untuk bukan Islam?
J: Saya tidak mahu merujuk perkara ini berdasarkan hukum kerana saya bukanlah orang yang ada kuasa untuk menentukannya. Tetapi pada asasnya, jika ada orang bukan Islam yang dalam kesusahan, tidak menjadi kesalahan kita untuk membantunya. Cuma jika diambil daripada sumber wang khairat mungkin tidak boleh kerana ianya merupakan hak orang Islam bersama, tetapi jika duit poket sendiri rasanya tiada masalah. Mungkin dengan bantuan yang dihulurkan boleh melembutkan hati orang bukan Islam kepada Islam.
S: Apa pendapat ustaz jika meletakkan hiasan marmar di atas kubur?
J: Jika dilihat melalui pembacaan dan sebagainya, sepatutnya tidak boleh ada unsur-unsur pemujaan di atas kubur atau sehingga membazir. Sebagai adat yang tidak menyalahi syariat di Malaysia ini ialah kita meletakkan batu nisan dan sedikit batu-batu yang diletakkan (bukan bangunan) mengelilingi kubur sebagai tanda.
S: Tidur itu saudara kepada mati. Orang yang tidur ini jika diberi peringatan atau berita gembira, dia tidak akan ambil peduli. Bagaimana pula orang yang mati hatinya? Kerana seperti orang yang tidur, mereka juga tidak dapat menerima peringatan. Mohon pandangan ustaz.
J: Betul, dikatakan bahawa tidur itu separuh daripada kematian. Oleh sebab itu, kita perlu bersyukur apabila bangun kerana kita telah diberikan kembali separuh daripada kehidupan untuk hidup semula. Berapa ramai orang yang tidur dan tak bangun-bangun lagi? Sebab itu kita perlu ambil pengajaran daripada tidur itu sendiri. Kematian itu ada dua – kematian hati dan juga kematian jasad. Ini juga mengingatkan kita kepada kata-kata Sayyidina Ali, “ Kebanyakan manusia tidur, setelah mati baru dia sedar”. Apakah maksudnya? Sayyidina Ali merujuk kepada hati manusia yang kebanyakannya mati ketika masih hidup, dan hanya tersedar setelah dia mati. Setelah mati, barulah dia nampak apakah tujuan kehidupan dan timbul penyesalan di alam kubur. Sebab itulah kita tidak boleh terjaga setelah kita mati. Marilah kita bersama-sama celikkan mata hati ketika kita masih hidup lagi. Mari bandingkan mana yang lebih teruk antara mati jasad dengan mati hati. Orang yang mati jasadnya, apabila dimandikan, dikafankan, disolatkan dan dikebumikan, akan selesai urusannya. Jika dia hamba yang baik, dia akan mendapat balasan kebaikan. Jika dia orang yang zalim, orang lain akan dapat kebaikan dengan kematiannya. Sebaliknya orang yang mati hatinya tidak mengenal Allah dan kebenaran. Dia melakukan kejahatan dan kemungkaran yang akan merosakkan dirinya dan orang lain juga. Jika sebagai ayah, keluarganya akan rosak. Jika sebagai pemimpin, rakyatnya jadi rosak. Oleh sebab itu kerana kita perlu berhati-hati.
S: Bagaimana mengekalkan keikhlasan takkala doa kita tidak dimakbulkan?
J: Memang payah nak ikhlas, kerasa ianya adalah rahsia dalam rahsia Allah. Sebagai panduan, setiap masa dalam apa jua amalan yang dilakukan, kita wajib merasakan bahawa kita ini hamba Allah. Bila kita hamba, kita perlu merasa sifat-sifat kehambaan. Ilmu kita yang terbatas tak mampu mengukur ilmu Allah yang Maha Luas. Kita minta sesuatu, tetapi Allah tak bagi. Kita tak tahu sama ada apa yang kita minta itu baik atau tidak untuk kita. Oleh sebab itu, bila Allah tak beri, itulah yang lebih baik untuk kita. Kadang-kadang kita nak sesuatu cepat, tetapi Allah belum beri kerana Allah tahu yang kita belum bersedia. Jika Allah beri juga, kita mungkin takkan dapat menampung nikmat itu dengan rasa syukur. Jadi yang Allah tak beri itu sebenarnya adalah yang lebih baik untuk kita. Kasih sayang Allah kepada hambanya sukar diteka. Kadang-kadang, antara ibu dan anak pun, tidak semua permintaan anak akan ditunaikan oleh ibunya. Contohnya, jika anak berumur 3 tahun meminta untuk makan tom yam pedas yang dimakan ibunya, pasti ibu itu takkan memberikan walaupun anak itu menangis. Memanglah pada mata anak itu, tomyam itu nampak sedap, tetapi kerana ibu tahu yang anaknya itu belum bersedia untuk menerima makanan pedas, maka tidak diberikan tom yam itu kepada anaknya. Begitulah juga sebabnya ada antara doa kita yang tidak dimakbulkan segera oleh Allah SWT. Sesungguhnya apa yang ditentukan Allah adalah yang terbaik. Sebagai hamba kita perlu berpegang pada prinsip ini: 'Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita berbanding diri kita sendiri. Allah lebih tahu apa yang memudaratkan kita daripada diri kita sendiri.' Oleh itu, jika Allah menahan atau memberi sesuatu, kita kena yakin bahawa Allah Maha Tahu segala-galanya agar kita dapat menerimanya dengan sabar dan redha. InsyaAllah.
S: Bila ingat keluarga, rasa tak bersedia untuk mati. Tetapi ada kalanya rasa bersedia pula. Mengapa rasa begini? Adakah berkaitan dengan iman?
J: Ini merupakan satu kesilapan ketika mengingati mati. Bila kita mati, kita sepatutnya lebih risau akan nasib kita yang akan berdepan dengan Allah SWT. Dalam Islam, kematian bermaksud kita akan menghadapi alam barzakh, bertemu Allah, padang masyhar. Di padang masyar nanti, kita hanya akan memikirkan keselamatan diri sendiri, dan takkan lagi mengingati orang lain. Jadi kita perlu ubah pemikiran ini dan lebih mengenangkan nasib kita yang meninggalkan dan bukan pula nasib orang yang kita tinggalkan. Jangan kita lebihkan perasaan sedih untuk meninggalkan keluarga setelah mati. Ketika Israk dan Mikraj, banyak diceritakan tentang pembalasan di hari akhirat dan ini sepatutnya menimbulkan risau di hati kita.
S: Mohon penjelasan tentang pengisian mati?
J: Saya rasa mungkin maksud soalan ini ingin bertanya persiapan menghadapi kematian. Persiapan utama adalah ibadah kita, jangan ditanguh-tangguhkan lagi. Kedua: menyegerakan taubat dan ketiga: menghentikan maksiat.
S: Kadang-kadang bila timbul rasa nak mati, teringat apa yang akan ditinggalkan, contohnya anak dan isteri. Hati tak nak pula teringat apa yang akan dibawa berjumpa Allah.
J: Soalan ini lebih kurang sama dengan soalan sebelum ini. Sebagai seorang ayah, kita taklah pula terus lupakan anak dan isteri ketika mengingati mati. Kita perlu ingat adakah kita telah memberikan didikan yang baik kepada anak dan isteri – dengan kata lain kita ingat kepada tanggungjawab kita kepada keluarga. Kita mohonlah pada Allah agar selepas ketiadaan kita, mereka terus diberikan hidayah oleh Allah. Inilah yang kita harus rasa apabila mengingati kematian dan bukan merasa sedih untuk meninggalkan mereka.
S: Jika suami saya macam susah sikit untuk menjadi orang yang lebih baik, ada tak nasihat atau perbuatan baik yang boleh saya usahakan?
J: Tentunya ada cabaran untuk menasihati orang yang lebih tinggi daripada kita, kerana kebiasaanya pemimpin yang lebih mudah menasihati pengikut. Tetapi itu tidak bermakna kita terus menghentikan usaha. Pertama sekali: buat hubungan baik dengan Allah. Maksudnya kita mendoakan suami kita. Doa ini tentulah ikhlas kerana doa itu tiada manfaat untuk kita dan semata-mata untuk keselamatan suami. Kedua: berdakwah melalui perbuatan dengan menjaga ibadah kita, menjaga akhlak, menjaga harta suami sepertimana seorang isteri solehah. Mengikut 'Law of Attraction' – apabila kita baik, kita akan menarik kebaikan. Lama-kelamaan suami akan terkesan juga dengan kebaikan yang ditunjukkan oleh isteri dan akan bertanya kepada isteri. Oleh itu dalam berdakwah, bina jambatan dahulu, jangan bina sempadan. Kita perlu berinteraksi, jangan berkonfrontasi. Yang penting jaga hubungan dan laksanakan tugas sebagai isteri dengan sebaik-baiknya. InsyaAllah dengan ada 'jambatan', kita akan boleh menyeberang.
Kesimpulan:
Sebagai peringatan kepada saya dan para pendengar, InsyaAllah jika kita ingat mati, kita akan menghidupkan hati kita. Bila ingat mati, hati kita akan ingat pertemuannya dengan Allah SWT dan hati itu akan jadi tenang, segar dan hidup. Jika benar kita cinta Allah, tentulah kita tidak membenci kematian, kerana kematian itu adalah pertemuan dengan Allah. Cuma mungkin kita ada kegusaran dengan persediaan kita untuk bertemu Allah. Cara mengatasinya adalah dengan kita terus menyuburkan hati kita dengan mengingati mati dan menjadikan peringatan itu sebagai obor untuk terus berbakti kepada Allah dengan bersungguh-sungguh tanpa bertangguh-tangguh.

Tiada ulasan: