Isnin, 8 November 2010

JADI PEMIMPIN BUKANNYA MUDAH...AKAN DITANYA ATAS SEMUA YANG KITA PIMPIN...SATU TUGAS BERAT..MENYURUH BERTAQWA

Elektrik: Janji 5 kali pilihan raya belum ditunai
PAS Miri

MIRI, 8 Nov: PAS For All sekali lagi diterjemahkan PAS Miri melalui program pembelaan rakyat dan kebajikan di sekitar pinggir Desa Senadin dan Kampung Sealine.

Yang Dipertua PAS kawasan, Haji Jofri serta pimpinan kawasan beserta anggota Dewan Himpunan Penyokong PAS, rombongan telah turun menyampaikan bantuan serta mendengar sendiri permasalahan rakyat setempat, kelmarin.

Turut serta Setiausaha Pemuda PAS Pusat, Khairul Faizi yang dalam rangka lawatan kerja bertemu Pemuda PAS kawasan.

Kebanyakan penduduk ditemui amat kecewa dengan janji pemimpin BN khasnya berkaitan pampasan kepada penduduk yang terlibat pada kebakaran dua bulan yang lalu.

Mereka tidak diberi pampasan malah terpaksa membayar harga tinggi untuk mendapatkan rumah baru yang dibina kroni BN di Desa Senadin.

Selain itu, bagi penduduk sekitar Kampung Senadin pula menghadapi masalah tiada sambungan bekalan air dan elektrik sempurna.

Bayaran mahal sehingga RM3,000 diperlukan untuk penyambungan melalui pihak swasta iaitu Sesco dan Laku.

Janji demi janji Adun setempat yang kononnya akan menyegerakan penyelesaian masalah itu terus diimpikan walaupun sudah lima kali pilihan raya.

Mereka kesal dan telah menyatakan sokongan kepada PAS dan Pakatan Rakyat untuk membuat perubahan.

Jofri yang ditemubual menyatakan komitmen dan usaha PAS untuk membawa permasalahan itu kepada pihak berkenaan.

“Dengan penubuhan DHPP yang insya Allah bakal dirasmikan Tuan Guru Presiden, PAS for All kini benar-benar diterjemahkan di negeri Bumi Kenyalang ini,” ujarnya



Orang hilang: Di mana 3,479 belum ditemui
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 8 Nov: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menyerahkan memorandum mendesak pihak polis lebih agresif menyelesaikan kes orang hilang kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Parlimen hari ini.

Menurut Ketuanya, Nasrudin Hassan, statistik jumlah keseluruhan orang hilang di negara ini dari tahun 2007 hingga 2010 iaitu seramai 7,312 orang yang dilaporkan PDRM amat membimbangkan rakyat.

Daripada jumlah itu, seramai 3,653 orang yang telah ditemui manakala bakinya sejumlah 3,479 masih belum ditemui.

"Meskipun daripada jumlah yang ditemui tersebut lebih 95 peratus daripadanya dijumpai masih hidup, namun jumlah yang masih gagal ditemui menjadi titik persoalan yang besar.

"DPPP mendapati antara faktor utama kes kehilangan orang ini adalah disebabkan oleh masalah institusi kekeluargaan, masalah perhubungan di kalangan remaja, penculikan dan kelemahan pengawasan serta penyelesaian daripada PDRM," kata Nasrudin dalam sidang media di lobi Parlimen sebelum penyerahan memorandum berkenaan.

Beliau memberitahu, memorandum berkenaan mengandungi empat tuntutan dan cadangan tindakan daripada DPPP.

Salah satunya adalah mendesak pihak polis segera menubuhkan task force khas yang merangkumi beberapa agensi kerajaan seperti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta Ikatan Relawan Masyarakat (Rela) termasuk pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, institusi media, parti-parti politik dan sukarelawan.

"Penubuhan task force ini adalah sebagai satu komitmen bersama untuk terus menggerakkan usaha mencari orang-orang yang masih lagi belum dijumpai.

"Ia juga sewajarnya dapat mewujudkan satu pelan bertindak bersama dalam tempoh masa tertentu bagi memastikan ia mencapai matlamat yang disasarkan secara efisyen dan efektif," katanya lagi.

DPPP juga mendesak kerajaan agar dapat menjalankan satu kajian yang komprehensif untuk mengenal pasti faktor dan motif kes orang hilang yang terlalu banyak berlaku dalam negara kerana ia dikhuatiri ada kena mengena dengan kes penculikan, pembunuhan dan pemerdagangan orang yang sedang aktif bergerak di negara ini.

Selain itu, Nasrudin berkata, DPPP turut menggesa kerajaan dan pihak polis meningkatkan mutu perkhidmatan terbaik agar kes-kes yang masih belum dapat diselesaikan boleh ditangani dengan lebih cepat dan berkesan.

"Berdasarkan kepada penguatkuasaan undang-undang, pihak kerajaan diharapkan agar dapat mengkaji semula beberapa peruntukan sekiranya ia melibatkan isu-isu jenayah seperti penculikan atau pemerdagangan manusia. Ini bagi memastikan hukuman yang setimpal dapat dikenakan ke atas mereka yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Dalam pada itu, DPPP akan melancarkan kempen besar-besaran di seluruh negara untuk menyebarkan maklumat dan memberikan kesedaran kepada masyarakat berhubung kes ini sebagai medium pengesanan yang efektif dan sistematik.

"Antara bahan kempen yang akan dilakaukan seperti penerbitan bahan bercetak, pembinaan laman web dan pemantauan berkala di kawasan-kawasan panas yang telah dikenal pasti," katanya.

DPPP juga, katanya akan menubuhkan Pusat Aduan Rakyat bagi memudahkan medium pengantara dan melicinkan sistem penyampaian maklumat selain menjalinkan kerjasama di antara Jabatan Amal DPPP dan PDRM.


Zaid tarik diri, letak semua jawatan PKR
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 8 Nov: Datuk Zaid Ibrahim mengumumkan menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR dan meletak semua jawatan dalam parti itu.

Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan PKR Wilayah Persekutuan membuat keputusan itu kerana tidak ada usaha dari pimpinan parti untuk mengatasi pelbagai masalah manipulasi dan amalan pemilihan yang tidak adil, walaupun isu itu diungkit berkali-kali.

“Saya ditawarkan untuk bergabung dengan parti ini di bawah kepercayaan bahawa saya boleh mempromosikan politik progresif, memelihara dan mengembangkan nilai-nilai politik berprinsip dan budaya yang saya anggap penting bagi perkembangan demokrasi dan tata pemerintahan yang baik di negara ini.

“Aku salah,” tulisnya di dalam blognya http://www.zaiduntukrakyat.com hari ini.

Selama pemilihan parti, katanya peristiwa telah menunjukkan bahawa kepimpinan secara aktif membenarkan tindakan penyelewengan dan penipuan untuk mencapai tujuan yang dirancang.

Beliau yakin bahawa setiap parti politik dengan nilai-nilai munafik dan palsu tidak akan boleh menawarkan reformasi yang bererti bagi rakyat.

Begitupun, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mengucapkan terima kasih kepada semua ahli yang telah menyokongnya dan menempatkan mereka di jalan reformasi.

Keputusan yang diambil itu, ujarnya adalah kekecewaan sepenuhnya bahawa beliau tidak boleh meneruskan proses pemilihan yang cacat.

“Saya tetap komited untuk menyebabkan pembangkang dan akan terus bercakap tentang isu-isu rakyat jelata. Kita akan terus bersama meneruskan perjuangan terhadap kerajaan yang lebih baik untuk rakyat,” ujarnya.

Beliau berharap para peminat Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lagi menganggapnya sebagai spoiler menyekat perjalanan ke Putrajaya


Pemuda PAS sedia bersemuka dengan Zambry
Harakahdaily

IPOH, 8 Nov: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak bersedia untuk menjelaskan dakwaan bahawa tindakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir jelas mendokong amalan syirik yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Setiausahanya, Dr Raja Ahmad Al-Hiss ingin menarik perhatian Zambry berhubung kenyataan meminta pendirian mereka berikutan dakwaan terhadap perbuatan menteri besar itu yang jelas membudayakan kembali unsur syirik dan khurafat dalam amalan orang Melayu.

Justeru, katanya pihak Pemuda PAS negeri amat berbesar hati atas permintaan Zambry yang ingin mendapatkan penjelasan terhadap dakwaan beliau kepada Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin.

“Pihak kami bersedia bersemuka dengan YAB Datuk Seri bagi menjelaskan perkara tersebut,” ujarnya di dalam emel yang dihantar kepada Zambry, hari ini.

Oleh yang demikian, katanya pihak Pemuda PAS negeri sedia menerima cabaran Zambry untuk menjelaskan pendirian.

Bagaimanapun, tambahnya ianya mestilah dibuat dalam satu pentas bersama bagi memberi peluang kepada rakyat dan umat Islam memahami dan menilai isu yang cuba diselewengkan oleh Barisan Nasional (BN).

Justeru, katanya pihak Pemuda PAS negeri menantikan persetujuan pihak Zambry bagi menetapkan apa sahaja kaedah pentas tersebut dan sesuai dengan masanya.

Beliau menambah, jika Zambry gagal memberikan sebarang respons bermakna menteri besar itu bersetuju dengan dakwaan Pemuda PAS negeri.

Bagaimanapun, ujarnya Zambry masih ingin mempertahankan perbuatan yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar dan jelas lari daripada akidah Islam



Antara menang fizikal dan rohani di Galas
Pemerhati Jauh

Keputusan pilihan raya kecil di Galas memperlihatkan kemampuan BN menambah satu kerusi Dun di Kelantan. Pelbagai komentar diberikan terhadap kemenangan bergaya ini. Antaranya, kebangkitan BN selepas tempoh terburuknya dalam Pilihan raya Umum 2008 yang dikaitkan dengan krisis kepimpinan.

Namun, adakah kebangkitan ini realistik? Adakah pula kekalahan PAS kali ini menggambarkan titik penolakan kepada pemerintahan ulama di Kelantan atau sememangnya kemenangan BN ini atas faktor Ku Li?

Untuk menerokai persoalan ini, beberapa fakta numerik dapat ditunjukkan dengan merujuk kepada kegemilangan BN pada Pilihan raya Umum 2004 sebagai rujukan. Fakta di Galas 2004: BN (4,184), PAS (2,455), keseluruhan undi (6,639), undi majoriti (1,729).

Undi majoriti dalam Pilihan raya Kecil 2010 (PRK 2010) hanyalah 1,190. Ini secara tidak langsung menunjukkan kemerosoton majoriti undi bagi BN.

Namun, undi majoriti ini dapat dipertikaikan kerana bilangan undi dikira pada PRK 2010 ini telah bertambah. Oleh itu, fakta kedua perlu dipertimbangkan.

Bilangan undi dikira pada PRK 2010 telah bertambah sebanyak 42.5 % dari 6,639 kepada 9,458. Dari pertambahan undi ini, 25.3 % memihak kepada PAS, manakala 17.2 % kepada BN. Defisit undi baru yang tidak memihak kepada BN ialah sebanyak 8%.

Berdasarkan fakta defisit ini, nyata sekali bahawa BN masih perlu melakukan tindakan pelbagai bagi membolehkan pengundi baru menyokong parti pemerintah. Dilengkapi dengan pelbagai bantuan dari agensi kerajaan dan media perdana, PAS didapati berjaya menerombosi jentera-jentera ini.

Bahkan, faktor Ku Li sebagai pemangkin di kawasan ini juga berjaya diketepikan. Oleh itu, dalam PRK 2010 ini, BN telah menang secara fizikal, namun secara rohaninya PAS nyata amat berjaya sekali.

Tahniah kepada pemenang PRK 2010.

* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.




Ku Li atasi Najib, Mustapa hujung kuku

Mohd Nasir Awang

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa PAS bukanlah pihak paling gusar di atas kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas, Kelantan, 4 November lepas.

Walau pun keputusan itu menyaksikan PAS kehilangan penguasaannya ke atas kerusi yang tidak pernah dimenanginya sejak lebih 40 tahun itu, kesan negatif terhadap parti itu jauh lebih kecil berbanding kegusaran yang kini menyelubungi sesetengah kalangan pemimpin BN sendiri, khususnya Umno.

PRK Galas diadakan ekoran kematian penyandangnya dari PAS, Allahyarham Chek Hashim Sulaima, akibat barah usus, 27 September lalu. Beliau menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar Al-Islam Kampung Baru, Kuala Lumpur, setelah lebih setahun bertarung melawan penyakit dihidapinya itu.

Pada pilihanraya lalu, Chek Hashim menang dengan majoriti 646 undi selepas menumpaskan penyandang dari BN, Mohamad Saufi Deraman. Allahyarham memperolehi 4,399 undi manakala calon BN itu memungut 3,753 undi.

PRK Khamis (4 November) lalu mengulangi pertembungan dua penjuru antara musuh tradisi, PAS yang mewakili Pakatan Rakyat dan Umno mewakili BN. PAS tewas dengan majoriti 1,190 undi. Calonnya, Dr Zulkefli Mohamed memperolehi 4,134 undi berbanding lawannya, Abdul Aziz Yusoff yang mendapat 5,324 undi.

Keputusan itu sekali gus mengembalikan kerusi yang telah berada di dalam genggaman BN/Perikatan sejak 1964 itu kepadanya. Kawasan berkenaan hanya pernah dimenangi PAS pada 1959 menerusi Ustaz Khaidir Khatib (atas nama Dun Ulu Kelantan Barat) dan kembali dimenangi pada 2008.

Kekalahan kelmarin bagaimana pun bukan lah suatu kehilangan sangat besar buat PAS. Ia tidak mendatangkan implikasi terlalu signifikan kepada parti itu, sama ada di peringkat negeri mahu pun nasional.

Parti itu ada sebab agak rasional untuk tidak terlalu berdukacita di atas ketewasannya di Galas.

Pertama, ia suatu keputusan yang sudah dapat diduga sedari awal memandangkan PAS bertanding di kawasan yang secara tradisi milik BN. PAS hanya berharap dapat mengekalkan pola sokongan pengundi sepertimana 2008 untuk mempertahankan kerusi tersebut.

“Dua faktor utama kita menang 2008 ialah undi Cina dan Orang Asli. Kalau kita boleh kekalkan undi Cina dan Orang Asli, insya Allah kita dapat pertahan (kerusi Galas),” kata Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Abdul halim Abdul Rahman kepada penulis.

Perbualan santai antara kami berlaku sejurus sebelum bermulanya perarakan calon, 26 Oktober lalu. Biar pun hasrat mengekalkan sokongan dua kelompok masyarakat itu amat tinggi, beliau sedari saat itu mengakui ia sesuatu yang memerlukan kerja sangat kuat oleh PAS.

Kebimbangan itu sedikit menjadi nyata. Analisa keputusan Khamis lalu menyaksikan perubahan sokongan di kalangan dua kaum ini, terutama di peti-peti undi Orang Asli.

Pengarah Pilihan Raya DAP, Thomas Su pula mengakui pilihan raya kecil kali ini juga menyaksikan kemerosotan sokongan pengundi Cina kepada Pakatan Rakyat.

Menurutnya, DAP mengendalikan tiga kawasan dalam kempen di Galas, iaitu Pulai, Kampung Baru dan Bandar Lama. Katanya, secara keseluruhannya undi di tiga kawasan tersebut kepada PAS merosot 206 undi atau 4.92 peratus Khamis lalu.

Kedua, kekalahan ini bukan suatu yang memalukan jika dinilai dari sudut manipulasi kuasa BN. PAS turun secara bermaruah berbekalkan kekuatan ahli dan penyokong berbanding BN yang turun dengan kekuatan kerajaan Pusat dan jentera beberapa kerajaan negeri-negeri.

Sukar dinafikan seluruh kementerian, jabatan dan agensi kerajaan dikerah menjayakan misi BN merampas semula Galas. Apa yang dilakukan BN di penempatan Orang Asli adalah contoh paling menyerlah.

Penglibatan secara langsung agensi kerajaan terutamanya Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), tentera dan Rela di penempatan Orang Asli menjadi faktor utama peningkatan ketara pengundi kaum itu kepada BN.

Agensi-agensi kerajaan terbabit dikatakan mengawal sepenuhnya masyarakat Orang Asli menyebabkan mereka tidak berani memberi sokongan kepada calon PAS.

Kongkongan terhadap mereka malah dapat dinilai berdasarkan pakaian seragam merah bercop jabatan yang mereka pakai sewaktu keluar mengundi.

Ada pun penglibatan jabatan dan agensi kerajaan lain di segenap aktiviti kempen BN juga berlaku secara terbuka dan sukar dinafikan.

Ketiga, kekalahan itu tidak boleh dijadikan bukti kemerosotan pengaruh dan kekuatan PAS di Galas. Undi diperolehi Dr Zulkefli (4,134) merosot hanya 265 undi berbanding 4,399 dikutip Allahyarham Chek Hashim.

Kehilangan sebanyak itu terlalu sedikit untuk dikaitkan dengan apa juga andaian kemuakan atau penolakan rakyat terhadap PAS. Ia malah terlalu jauh dari memadai jika dinilai dari jumlah perbelanjaan dihabiskan BN untuk itu.

Keempat, kerahan BN menyaksikan peningkatan peratus keluar mengundi. PRU 2008 jumlah pemilih menunaikan tanggungjawab mereka di Galas hanya 80.9 peratus. Kelmarin ia melonjak kepada 83 peratus.

Menjadi sifir politik dalam mana-mana pilihan raya di negara kita, peratus keluar mengundi yang tinggi selalunya membantu kemenangan BN. Kerana mereka yang keluar secara luar biasa itu dikaitkan dengan kerahan.

Pihak yang paling berkemampuan membuat kerahan dan memberikan “dorongan” agar pengundi yang liat pun keluar juga sudah tentu lah BN. Parti itu ada “ubat” sangat mujarab mengatasi keengganan pengundi kategori itu.

Thomas Su turut mengakui, peratusan pengundian yang tinggi memberi lebih banyak undi pengundi Cina kepada BN.

Dengan mengambil contoh di Pulai, beliau berkata, walaupun PAS berjaya menambah sembilan undi, tetapi BN menambah lebih banyak undi dan menang di kawasan majoriti Cina itu.

Kelima, ini bukan kali pertama PAS kalah dalam pilihan raya kecil. Ia pernah kehilangan kerusi Dun Semerak dimilikinya dalam pilihan raya kecil pada 1997. Begitu juga Dun Pengkalan Pasir sejurus selepas Pilihan Raya Umum 2004.

Namun kekalahan di kedua-dua kerusi itu berjaya ditebus kembali dalam pilihan raya umum kemudian. Semerak kembali ditawan Pas pada 1999, begitu juga Pengkalan Pasir pada 2008 lalu.

Khabarnya sejarah serupa pernah dialami PAS bagi Dun Kemumin yang dirampas BN menerusi satu pilihan raya kecil ekoran pembatalan kemenangan tanpa bertanding calon PAS dalam Pilihan Raya Umum 1982. Kerusi itu bagaimana pun kembali semula ke pangkuan PAS pada 1986.

Ada pun bagi Dr Zulkefli secara peribadi, ini juga bukan kekalahannya yang pertama dalam pilihan raya. Beliau sebelum ini pernah dua kali tewas di kerusi Parlimen Gua Musang.

Namun, itu terbukti tidak mematahkan semangat juangnya. Beliau telah membuktikan komitmen sangat tinggi terhadap parti dan istiqomah di saf hadapan PAS kawasan berkenaan.

Keenam, dan paling penting, ia tidak mengubah status quo politik Kelantan, khususnya berkaitan kuasa pemerintahan negeri. Kemenangan itu sekadar menambah satu lagi kerusi di pihak BN dalam Dun, tetapi terlalu jauh untuk menggugat kelangsungan kerajaan diperintah PAS.

Lain halnya jika ia berlaku sebelum 2008, ketika mana perbezaan jumlah kerusi antara PAS dan BN dalam Dun Kelantan amat kritikal. Jika BN ada sebarang peluang menggugat dan melenyapkan pengaruh PAS di negeri itu, maka tempoh itu adalah peluang paling keemasan buatnya.

Namun kebimbangan itu tidak menjadi kenyataan. Maka, apa lah sangat yang boleh dibuat BN dengan kemenangannya di Galas ini.

Ibarat kata orang-orang tua kita, “sedangkan bah perahu tak hanyut, inikan pula kemarau panjang!”

Di atas perkiraan sama, BN juga tidak boleh terlalu berbangga dengan kemenangannya di Galas. Ia bukan membawa erti sangat signifikan kepada imej dan reputasi politik BN, sebaliknya membawa bersama implikasi tidak menyenangkan, khususnya buat Umno Kelantan.

Akuilah bahawa kemenangan BN di Galas tidak ada kena-mengena dengan kekuatan atau kejayaan BN atau pun Umno.

Ia bukan kerana rakyat semakin menolak PAS dan Pakatan Rakyat atau pengundi menerima baik konsep 1Malaysia, atau yakin dengan transformasi ekonomi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Atau rakyat kembali meletakkan harapan pemerintahan negeri kepada BN, atau kerana kerja kuat Umno Kelantan sendiri.

Ia bukan sepertimana digembar-gemburkan para pemimpin BN dan media-media tali barut parti itu. Galas adalah kejayaan peribadi Pengarah Pilihan Rayanya, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li).

Adat kata, jika tidak kerana peranan dan pengaruh besar tokoh yang nyaris-nyaris menjadi Presiden Umno itu, keputusan itu tidak akan jadi sebegitu. Ia bukan kemenangan Najib, Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mahu pun Datuk Seri Mustapa Mohamed selaku Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan.

Ia juga bukan kerana ada saham kemenangan The Red Warriors bersama kelibat Piala Malaysia yang dijulang dan diarak ke kawasan itu minggu lalu. Episod itu tidak lebih sekadar gimik politik murahan Umno untuk mengaitkan kejayaan pasukan didokongi seluruh rakyat Kelantan itu hanya untuk kepentingan politiknya.

Biar pun tokoh veteran Umno itu sekadar bertahan pada jawatan Ketua Umno Bahagian Gua Musang, beliau benar-benar membuktikan cengkaman pengaruh dan genggaman poltiknya di kawasan berkenaan.

“Ambo Pilih Parti Ku Li”, begitulah baca banyak kain pemidang di serata Galas. Ada yang disertakan gambar anak raja itu, bahkan tidak lengkap sekeping poster kempen BN jika tidak disertakan gambar Ku Li, walau pun ia sudah ada gambar Najib Razak.

Segala gerak kerja dan penampilan BN tidak lengkap tanpa dikaitkan dengan Ku Li. Pengaruhnya mengatasi Najib, manakala peranan Mustapa ibarat hujung kuku Ku Li saja.

Sebab itu BN, khususnya Umno, tidak sayugia terlalu berbangga dengan kemenangan di Galas. Sebaliknya, mereka ada sebab agak munasabah untuk lebih gusar!

Tiada ulasan: