Isnin, 16 Ogos 2010

KESIAN...YANG KAYA BERMEWAH BERBUKA DI HOTEL2....MANA PERANAN PUSAT ZAKAT...WARTAWAN YANG TERHIDU CERITA...



'Air kosong jadi santapan'

Oleh Norasikin Daineh

2010/08/16

BEAUFORT: “Enam adik saya tidak pernah merungut apa lauk untuk berbuka atau bersahur kerana mereka faham keadaan keluarga hidup susah,” kata Siti Norzianah Abdul Pani, 25, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batandok Lubak, semalam.

Anak sulung itu mengaku dia dan adik-beradiknya sudah biasa dengan keadaan itu lantaran kehidupan mereka serba kekurangan kerana pendapatan bapanya, Abdul Pani Ramin, 46, yang bekerja sebagai penoreh getah tidak mampu memberi kemewahan seperti dinikmati orang lain.


“Ayah bekerja sebagai penoreh getah, manakala kami tujuh beradik bergilir menjaga ibu yang mengalami pendarahan otak sejak beberapa tahun lalu.


“Saya bekerja di kantin sekolah bagi membantu ayah termasuk menanggung beberapa adik yang masih bersekolah,” katanya.


Siti Norzianah berkata, gaji sebagai tukang masak di kantin sekolah yang tidak seberapa menyebabkannya kadangkala terpaksa mengikat perut dan menikmati sisa makanan yang ada.


“Kami sekeluarga tidak pernah menikmati ayam atau daging ketika berbuka puasa dan bersahur, malah ada masanya hanya air kosong menjadi santapan,” katanya.


Sementara itu, Abdul Pani berkata, pendapatannya sebagai penoreh getah kurang RM500 sebulan menyebabkannya tidak mampu menyediakan rumah selesa untuk isteri dan anak-anaknya.


“Keadaan rumah saya ini sangat uzur tetapi ia menjadi tempat kami sembilan beranak berlindung dari hujan dan panas walaupun sudah terlalu banyak kerosakan berlaku pada dinding dan bumbung.


“Malah, pendapatan hasil menoreh getah juga tidak cukup menampung perbelanjaan perubatan isteri yang mengalami pendarahan otak serta menampung keperluan enam anak yang masih bersekolah,” katanya.


Tinjauan Harian Metro mendapati rumah didiami Abdul Pani sekeluarga sangat sempit dan hanya langsir usang memisahkan bilik tidur, dapur dan ruang tamu.


Malah, dinding yang berlubang, selain bumbung zink yang bocor menyebabkan keluarga berkenaan hidup dalam kesejukan terutama ketika hujan lebat.

Keadaan kesihatan isteri tidak mengizinkan dan memerlukan kos setiap kali pergi ke hospital menyebabkan saya berjimat dan menghadkan perbelanjaan.


“Kami boleh diibaratkan seperti kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang kerana pendapatan tidak menentu.


Abdul Pani berkata, isterinya pernah menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) beberapa bulan lalu di mana separuh perbelanjaan dan kos rawatan ditanggung kerajaan.


“Selebihnya saya terpaksa mendapat ihsan ahli keluarga lain serta menggunakan duit simpanan sendiri yang dikumpul bersama anak sulung, Siti Norzianah,” katanya

Katanya, sambutan Aidilfitri kali ini sama seperti tahun sebelumnya iaitu tiada pakaian atau juadah istimewa untuk isteri dan anak-anaknya.


“Sebelum ini saya ada memohon mendapatkan rumah melalui Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) pada tahun 2001 tetapi tiada jawapan,” katanya.



KOMEN..NANTI BERBONDONG2 DATANG HULUR BANTUAN...HAIRAN BIN AJAIB



Ibu tunggal hampa tiada rumah kosong


Azihani Ali (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Norrehan Kamaruddin (kiri) di Kampung Kurung Tengar, Kuala Perlis, semalam.


KANGAR 16 Ogos - Harapan ibu tunggal, Norrehan Kamaruddin, 37, bagi mendapatkan rumah untuk keluarganya berlindung daripada panas dan hujan, berkecai apabila dimaklumkan tiada lagi rumah kos rendah yang kosong untuknya.

Menurutnya, dia telah menemui beberapa pihak yang berkaitan pagi ini seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri cawangan Perlis termasuk Bahagian Perumahan dan Kerajaan Tempatan namun diberitahu tiada lagi kekosongan.

"Saya tidak tahu hendak buat apa lagi, sudah banyak kali minta namun masih juga tidak berjaya," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Kuala Perlis dekat sini, hari ini.

Menurutnya, dia kini tidak tahu kepada pihak mana lagi yang perlu dirujuk bagi mendapatkan rumah untuk berlindung.

"Hendak cari rumah sewa pun tidak ada, kalau ada pun tuan rumah seolah-olah tidak percaya sama ada saya mampu bayar sewa kerana melihat anak-anak saya yang ramai," ujarnya.

Dia benar-benar berharap ada pihak yang tampil untuk membantunya mendapatkan rumah supaya dia dapat mencari pekerjaan bagi menyara mereka.

"Saya tidak kisah kalau diberi kerja sebagai tukang sapu tetapi saya perlu ada rumah untuk memastikan keselamatan anak-anak terjamin apabila keluar bekerja," katanya.

Mengenai dakwaan sesetengah pihak kononnya dia enggan berpindah setelah ditawarkan rumah pangsa, Norrehan menjelaskan, sehingga kini tiada pihak pernah berbuat demikian.

"Saya tidak pernah mendapat apa-apa tawaran untuk berpindah ke rumah pangsa atau rumah lain, yang ada hanyalah janji daripada pihak tertentu untuk mendapatkan saya rumah," katanya.

Sementara itu, Norrehan dan tujuh anaknya menerima kunjungan wakil Yayasan Pok Dan Kassim yang menghulurkan bantuan makanan dan wang tunai RM400.

Sumbangan tersebut dihulurkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif yayasan tersebut, Azihani Ali yang diiringi Pegawai Khas pengerusi yayasan itu, Zahari Bakar.

"Kunjungan kami atas dasar prihatin terhadap kesusahan dihadapi oleh Norrehan walaupun mereka bukan anak jati Perlis. Sumbangan ini merupakan ihsan kemanusiaan daripada yayasan terutama dalam bulan yang mulia ini," kata Azihani.




Tiada ulasan: