Pasti hebat
shamss@hmetro.com.my
2010/08/29
KUALA LUMPUR: Bersemangat. Begitulah komitmen kira-kira 8,000 peserta yang menyertai raptai penuh persembahan dan perbarisan menjelang sambutan Hari Kemerdekaan ke-53 di Stadium Putra, Bukit Jalil, semalam.
Peserta perbarisan, Laskar Kelas 1 (Peperangan Atas Permukaan) Mohd Azrul Jalaludin, 26, dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berkata dia teruja dengan sambutan kemerdekaan tahun ini dengan adanya pelbagai pengisian positif mencerminkan perpaduan kaum.
“Selain perbarisan, pelbagai persembahan budaya dan etnik bakal diadakan dan dilakukan serentak di seluruh negara. Ia mesej jelas menunjukkan negara kita yang dihuni pelbagai kaum ini dapat hidup dengan aman dan harmoni.
“Selepas dua kali menyertai perbarisan kemerdekaan, saya yakin sambutan kali ini hebat dan lebih bermakna,” katanya yang kini bertugas di TLDM Protela Lumut, Perak.
Bagi pelajar, Nabilah Mohd Izhar, 14, pengalaman menyertai sambutan kemerdekaan tahun ini menjadi kenangan berharga kerana sebelum ini dia hanya menonton di televisyen.
“Saya gembira apabila terpilih menyertai rombongan sekolah untuk sambutan ini. Tidak terbayang dalam fikiran akan menyertai sambutan bersejarah ini.
“Yang pasti, ia pengalaman istimewa dan saya tidak sabar-sabar menanti sambutan Hari Kemerdekaan,” kata pelajar SMK Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor, itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan