Khamis, 19 Ogos 2010

KECAMLAH...ORANG MORALNYA DAH TERCALAR...BUKTI TERANG DENGAN VIDEO DAN SERTA MENGAKU...SENDIRI FIKIRLAH

Mahasiswa Islam pula kecam Chua
Abdul Rahim Sabri
Ogos 19, 10
6:23pm

Sekumpulan persatuan mahasiswa Islam hari ini menghantar memorandum menuntut Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek menarik balik kenyataannya yang didakwa menghina sistem pentadbiran dan kewangan Islam.

Me
morandum daripada sembilan persatuan itu diserahkan oleh presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) Ahmad Syazwan Hasan kepada seorang pembantu Chua pada jam 3.00 petang di ibu pejabat parti itu ibu negara.

Menurut Ahmad Syazwan (kanan), kenyataan Chua yang dikatakan mendakwa negara Islam mundur, tidak membangun dan tidak progresif serta kenyataannya mengenai mata wang Syariah telah "mengganggu sensitiviti umat Islam".

"Kita anggap, beliau tidak faham (mengenai perkara ini). Ini satu penghinaan terhadap Islam dan mengganggu sensitiviti umat Islam," katanya.

Pada Konvensyen Tahunan ke-33 MCA di Alor Star 6 Ogos lalu, Chua dilapor memberi tanggapan negatif kononnya negara-negara Islam.

Manakala pada 14 Ogos, Chua dilaporkan mendakwa pelabur khuatir sekiranya PAS melaksanakan sistem wang syariah sekiranya berjaya menjadi parti pemerintah.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Ahmad Syazwan juga, secara sinis juga menjemput Chua menghadiri forum penerangan berhubung sistem pentadbiran dan ekonomi Islam yang akan dianjurkan mereka.

"Kita akan buat pada bila-bila masa dan di mana-mana universiti," katanya sambil mencabar Chua berdebat sekiranya beliau enggan menarik balik kenyataannya.

Antara yang hadir pemimpin Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia (PMIUPM) dan Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (ISIUKM).



Ekuiti bumi: Soi Lek tentang perlembagaan, kata Rais
Ogos 20, 10 12:38pm
Kenyataan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek supaya ekuiti bumiputera dikurangkan adalah bertentangan sama sekali dengan Perlembagaan negara, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Katanya ini kerana Perkara 153 memberi hak yang terasas kepada orang Melayu dan juga penduduk asal Sabah dan Sarawak dan pihak-pihak yang dilindungi oleh semua peruntukan undang-undang.

"Apabila beliau menuntut ekuiti bumiputera sebanyak 30 peratus dalam semua sektor ekonomi dikurangkan secara berperingkat-peringkat, sekali gus beliau menentang Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

"Mungkin beliau tidak sedar perkara ini tetapi saya ingin mengingatkan iaitu Perkara 153 bukan merupakan satu peruntukan yang mudah, malah ia tidak boleh dipinda oleh mana-mana pihak kecuali dengan persetujuan Majlis Raja-Raja dan juga sesuai dengan Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan Malaysia," katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa di Masjid Felda Pasoh 1 dekat Jelebuh malam tadi.

Rais berkata bahawa semasa Chua menyuarakan hal itu, beliau mungkin menyesuaikan dengan sentimen politik partinya tetapi orang Melayu khasnya, sebagai pejuang menegakkan perlembagaan, tidak boleh menerima itu.

"Jika itu dilaksanakan dalam bentuk tindakan maka pertama, kita mencabul Persekutuan Malaysia menerusi Perkara 153 dan kedua, kita mencabul kedudukan Raja-Raja Melayu khususnya Yang di-Pertuan Agong yang berhak menentukan kepentingan- kepentingan tersebut.

"Kita maklum hal ini bukanlah perkara yang diamalkan begitu saja, tetapi ini sudah diterima oleh semua yang menjadi pihak kepada kontrak sosial pada tahun 1956, 1957 semasa Suruhanjaya Reid ditubuhkan sehinggalah Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu diwujudkan dan sehinggalah Perlembagaan Persekutuan Malaysia dimaktubkan," katanya.

Rais berharap pada masa depan pemimpin parti politik tidak hanya menyatakan sesuatu mengikut sesuka hati mereka, tetapi memberi pengiktirafan kepada perkara yang sudah menjadi pokok kepada negara ini.

Katanya hal ini harus diterima dan tidak boleh lagi dipinda mengikut sentimen politik sekarang.

"Misalnya, jika Umno sendiri pun nak pinda Perkara 153, tidak boleh. Ia mempunyai lapisan kuasa-kuasa tertentu, apatah lagi kalau Datuk Seri Dr Chua Soi Lek nak memindanya atau pun nak menidakkan bahagian yang hak kepada orang Melayu dan juga penduduk asal di Sabah dan Sarawak," katanya.

Rais berkata bahawa dalam Perkara 153 juga, hak kaum juga juga disebut, dan dalam soal ini, Chua boleh berjuang dan meminta ehsan kerajaan untuk membantu, tetapi tidak boleh menidakkan hak yang ada pada orang Melayu dan juga penduduk asal di Sabah dan Sarawak.

"Jika Chua hendak menuntut yang lain, ini terserah kepada tenaga sekutu politik yang ada dan saya percaya orang Melayu mempunyai fahaman dan juga pendirian yang tegas, dan jika dikira kekayaan dan perolehan bukan Melayu seperti rakan-rakan Tionghua kita, mereka sudah mendapati agihan yang lebih daripada 47 peratus.

"Jadi hal ini harus ditimbang dalam kontek sebenar dan kita berjuang sebagai satu sekutu dan sebagai seorang juara," katanya.

Ditanya kenyataan Chua bahawa MCA sanggup berkongsi pandangan sama dengan DAP untuk kepentingan masyarakat Cina, Rais berkata perbuatan Chua sekaligus menonjolkan beliau tidak lagi menghormati gagasan BN di mana pengerusinya adalah Perdana Menteri dan membelakangkan realiti ini.

"Ekoran itu orang Melayu mesti bersatu untuk menghadapi perkara seperti ini. Jadi bila kita kuat, orang lain tidak boleh cuit...samalah seperti yang saya katakan apabila tiang condong, kura-kura pun nak naik.

"Orang Melayu harus bersatu dan ketepikan perkara remeh dan menyuarakan apa yang hak. Jika ini tidak dilakukan orang seperti Chua akan terus menggugat perjuangan asas," katanya.

Di majlis itu, Rais yang juga ahli Parlimen Jelebu menerima zakat perniagaan Amanah Raya Bhd (ARB) berjumlah RM10,000 daripada Ketua Pegawai Pemasaran ARB Ahmad Saruji Abdul Aziz, untuk diagihkan kepada 50 orang kurang bernasib baik.

Rais turut menyampaikan sumbangan peruntukan kawasan Parlimen beliau kepada 46 penerima.

- Bernama

Tiada ulasan: