DUNIA
Nelayan kahwin anak bilionair
LONDON - Nasib seorang nelayan yang hidup amat sederhana dari Dartmouth, Devon, Britain, Guy Barnett berubah serta-merta apabila dia bertemu jodoh dengan anak perempuan seorang individu yang merupakan antara paling kaya di dunia di Kanada, lapor sebuah akhbar semalam.
Sebelum meninggalkan kampung halamannya di Devon, Barnett bertugas membawa pelancong untuk menangkap ikan tenggiri di atas sebuah bot kecil berusia 80 tahun.
Barnett kemudian meninggalkan Devon untuk bekerja sebagai kelasi di atas sebuah kapal layar mewah milik seorang bilionair Kanada, John Risley yang kini menjadi bapa mertuanya.
Barnett berkenalan dengan anak bilionair itu, Sarah ketika dia bekerja di atas kapal tersebut.
Pasangan itu berkahwin di rumah agam milik Risley di Kanada pada Jumaat lalu.
Majlis sederhana tersebut dihadiri oleh 150 tetamu.
Mereka kemudian belayar ke Eropah dengan penuh bergaya di atas sebuah kapal layar mewah, Northern Star yang bernilai AS$156 juta (RM488 juta).
Kapal itu singgah di Dartmouth untuk majlis resepsi yang mewah.
"Kami mengadakan majlis resepsi di atas kapal bagi membolehkan rakan-rakan saya menghadirinya," kata Barnett.
Dia dan isterinya, Sarah berbulan madu di atas kapal mewah enam tingkat yang disewa khas oleh bapa Sarah, John sebagai sebahagian daripada hadiah perkahwinan untuk mereka.
Barnett sebenarnya sudah lapan tahun bekerja dengan Risley, 62, pemilik sejumlah kapal penangkap ikan di Amerika Utara. - Agensi
DUNIA
Wanita cedera disimbah asid oleh kekasih
|
|
PHNOM PENH - Empat wanita Kemboja cedera dalam satu serangan asid oleh seorang kekasih yang cemburu di sini kelmarin, kata polis semalam.
Menurut seorang ketua polis tempatan, Born Sam Ath, seorang lelaki berusia 22 tahun menyimbah asid ke arah seorang wanita yang merupakan pekerja kilang pakaian berusia 23 tahun di luar kilang tersebut kelmarin.
Serangan tersebut telah mengakibatkan wanita yang dikenali sebagai Keo Savorn itu melecur manakala tiga lagi wanita yang berada berhampiran turut cedera.
"Serangan itu angkara cinta tiga segi dan polis masih memburu lelaki terbabit," kata Born Sam Ath. - AFP
DUNIA
Tubuh jadi medan magnet
|
|
LONDON - Seorang wanita Britain, Brenda Allison mendakwa, banyak objek logam melekat pada tubuh badannya selama beberapa minit seperti medan magnet, lapor sebuah akhbar semalam.
Ibu seorang anak itu yang bertugas sebagai pengurus akaun berkata, tarikan magnet badannya turut menyebabkan dia boleh menyalakan mentol lampu, membunyikan penggera kereta dan membuka mesin tunai kedai.
Doktor-doktor yang melakukan pemeriksaan berkata, kuasa magnet pada Allison, 50, disebabkan oleh tekanan tinggi pada dirinya sendiri dan mereka menasihatkannya supaya dia mengurangkan tekanan.
"Benda logam mudah melekat di kawasan bertulang dari bahagian berotot menyebabkan ramai orang yang pernah ketawa apabila melihat saya," katanya. - Agensi
DUNIA
Detik-detik wartawan dihanyutkan arus
|
|
KUNMING - Sebuah stesen televisyen menunjukkan detik-detik cemas seorang wartawan penyiaran wanita yang dihanyutkan oleh banjir lumpur diselamatkan oleh dua lelaki di barat laut China kelmarin.
Dua lelaki bergegas mendekati wartawan itu dan menarik tubuhnya bagi mengelak dia terus dihanyutkan arus deras.
Insiden berlaku selepas satu kejadian tanah runtuh menggegarkan bandar Puladi di wilayah Yunnan berikutan hujan lebat yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 67 orang hilang manakala jalan keluar dan masuk terputus.
Menurut agensi berita rasmi Xinhua, sembilan orang cedera serius manakala 25 lagi cedera ringan dalam kejadian tanah runtuh itu. - Agensi
DUNIA
Misteri ratusan ikan muncul di tepi pantai
MANILA, Filipina - Ratusan ikan yang masih lagi hidup dilaporkan timbul secara mendadak di perairan Naic di wilayah Cavite dekat sini sejak pagi kelmarin, lapor sebuah akhbar semalam.
Datuk Bandar Naic, Edwina Mendoza berkata, penduduk di empat buah kampung bergegas menangkap sejumlah ikan itu.
Bukan sahaja ikan tetapi hidupan laut lain seperti ketam, ikan pari dan udang turut boleh ditangkap dengan mudah.
Seorang pakar pertanian tempatan menyalahkan perubahan cuaca sebagai penyebab kejadian itu.
Menurutnya, fenomena itu berlaku disebabkan faktor perubahan iklim apabila suhu di laut meningkat.
Peningkatan suhu itu menyebabkan ikan terpaksa berenang mendekati permukaan laut bagi mendapatkan oksigen.
Fenomena itu merupakan kali kedua dilaporkan pernah berlaku di perairan Cavite. - Agensi
DUNIA
4.6 juta mangsa banjir tiada tempat tinggal
ISLAMABAD - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam menganggarkan seramai 4.6 juta orang masih tiada tempat berlindung selepas banjir besar melanda Pakistan.
Angka itu adalah tiga kali ganda lebih tinggi berbanding anggaran bantuan PBB ketika badan dunia itu bersiap sedia untuk meningkatkan bantuan ke Pakistan.
PBB menyifatkan banjir yang menyebabkan krisis kemanusiaan terburuk di Pakistan itu sebagai antara bencana alam terbesar pernah melanda dunia.
Namun, ketika bantuan asing mula tiba, pengkritik-pengkritik mengecam komuniti antarabangsa kerana terlalu lambat bertindak.
Setakat ini, sekurang-kurangnya enam juta mangsa banjir bergantung kepada bantuan kemanusiaan untuk meneruskan kehidupan.
Mangsa-mangsa banjir memerlukan makanan, tempat tinggal dan air minuman bersih manakala kebimbangan turut meningkat berhubung tercetusnya wabak penyakit seperti taun, demam kepialu dan hepatitis.
"Dianggarkan 4.6 juta orang masih tiada tempat tinggal," kata jurucakap Pejabat PBB bagi Koordinasi dan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), Maurizio Giuliano, di Islamabad. - AFP
DUNIA
Tikus gergasi ditemui di dalam rumah
|
|
BRADFORD, England - Penduduk di kawasan kediaman Ravenscliffe di sini mengadu kepada pihak berkuasa Britain mengenai kemunculan spesies tikus bersaiz gergasi ditemui di dalam rumah mereka, lapor sebuah akhbar semalam.
Seorang penduduk, Brandon Goddard, 31, mendakwa, dia berjaya menembak mati seekor tikus itu yang sepanjang 76 sentimeter (sm).
Namun dia kemudian mendapati terdapat beberapa lagi ekor tikus yang masih bebas berkeliaran di kawasan kediaman mereka.
Jiran Goddard, Julie Briggs berkata, dia dan suaminya, Andrew Denton, 24, pernah mendengar bunyi tikus itu bergaduh di sebalik dinding rumah mereka sambil kejar-mengejar seperti perlumbaan kereta.
Masalah itu dilaporkan kepada seorang pakar di Persatuan Mamalia Britain, Laura Drake yang datang menyiasat ke kawasan kediaman tersebut.
Dia menganggap tikus itu mungkin coypu, sejenis rodensia dari Amerika Selatan dan sering dirujuk sebagai tikus gergasi.
Katanya, haiwan itu sudah pupus di Britain lebih 20 tahun lalu namun menegaskan adalah tidak mustahil keturunannya masih wujud manakala Presiden Kelab Tikus Yorkshire, Colin Arundel berkata, tikus tersebut mungkin gemuk kerana mendapat banyak sumber makanan. - Agensi
DUNIA
Bayi 10 bulan seberat 20kg
|
|
BEIJING - Seorang bayi di China yang berusia 10 bulan memiliki berat sama seperti seorang kanak-kanak normal berusia enam tahun, lapor sebuah akhbar semalam.
Berat bayi yang bernama Lei Lei itu mencecah 20 kilogram (kg) dan dia turut digelar Michelin Baby yang merujuk kepada maskot pengeluar tayar terbesar dunia dari Jerman yang bertubuh besar.
Menurut ibu bayi itu, Cheng Qingyu, anaknya mempunyai berat badan normal ketika dilahirkan namun disebabkan selera makan yang tinggi berat badannya bertambah sejak dilahirkan.
Lei Lei ketika ini berada di sebuah hospital di wilayah Hunan selatan China, yang merupakan tempat dia menjalani pemeriksaan untuk mengenal pasti punca beratnya bertambah. - Agensi.
Raja Azmi tidur lokap
am@hmetro.com.my
2010/08/20
AMPANG: Hanya sehari selepas namanya terpampang di media kerana dikaitkan dengan kes perceraian pemain badminton negara, Roslin Hashim, produser filem, Raja Azmi Raja Sulaiman yang juga isteri bekas jaguh badminton negara, Jalani Sidek sekali lagi mencipta kejutan apabila ditahan polis, petang semalam.
Bagaimanapun, penahanan wanita berusia 51 tahun itu ketika hadir di Balai Polis Ampang di sini, kira-kira jam 3.30 petang tiada kaitan dengan kes rumah tangga Roslin, sebaliknya disebabkan kegagalannya menghadiri satu perbicaraan mahkamah pada Julai lalu.
Sumber polis berkata, Raja Azmi yang pernah dikenakan waran tangkap berikutan kesalahannya itu ibarat menyerah diri berikutan dia ditahan ketika hadir di Balai Polis Ampang untuk membuat laporan mendakwa isteri Roslin, Norhayati Othman, 38, memberi keterangan tidak benar di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur kelmarin berhubung kononnya dia berkhalwat dengan pemain badminton negara itu.
“Dia tiba di Balai Polis Ampang dengan menaiki kereta ditemani Roslin dan seorang lagi kenalannya. Malah, seorang lagi pegawai polis turut mengambil keterangan bertulis daripada Roslin berhubung laporan yang dibuat sebelum itu bersama Raja Azmi.
“Polis hanya menahan Raja Azmi sejurus selepas dia memberi keterangan mengenai laporan dibuatnya,” kata sumber itu.
Difahamkan, Raja Azmi gagal hadir di mahkamah bagi perbicaraan berhubung kes bankrap bersama suaminya.
Sumber itu berkata, disebabkan waran tangkap ke atasnya baru dikeluarkan pihak mahkamah, Raja Azmi tidak boleh dijamin dan terpaksa bermalam dalam lokap wanita Balai Polis Pandan Indah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menahan penerbit filem itu kira-kira jam 4.50 petang semalam.
Menurutnya, Raja Azmi ditahan atas kesalahan tidak hadir perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Bahagian Dagang pada 21 Julai lalu.
“Tahanan terhadapnya dilakukan di Balai Pandan Indah, Ampang di sini. Dia akan dibawa ke Mahkamah Tinggi esok (hari ini) atas waran tangkap dikeluarkan sebelum ini,” katanya.
Kelmarin, Raja Azmi mencetuskan kontroversi apabila Norhayati memberitahu Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, wanita itu berdua-duaan bersama suaminya di bilik Hotel Corus, Jalan Ampang di sini.
Dalam keterangannya itu, Norhayati bersama dua adik dan ibunya menemui Roslin bersama Raja Azmi dalam bilik hotel terbabit pada jam kira-kira 8 malam 7 Ogos lalu sebelum Roslin melafazkan ‘I cerai youlah’ pada jam 8.32 malam.
Norhayati yang juga Pengarah Pemasaran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) baru berkahwin dan Roslin pada 9 Julai lalu di Hotel Flamingo, Jalan Ampang, di sini.
Suasana bagai gempa bumi
anbia@hmetro.com.my
2010/08/20
KUALA LUMPUR: “Saya hanya mampu merangkak dalam kesakitan selepas tubuh dan tangan saya ditimpa runtuhan,” kata Norafinda Yudoyono, 20, yang terselamat selepas siling di tingkat satu pusat beli-belah Plaza GM di Jalan Chow Kit di sini, tiba-tiba runtuh petang semalam.
CEDERA...salah seorang mangsa, Husnawati, dikejarkan ke hospital. Gambar kanan, pekerja mengemas jam serta barangan yang berteraburan dalam kejadian siling runtuh, semalam.
“Saya hanya fikir akan mati jika tidak cepat keluar dari runtuhan siling itu sebelum berusaha merangkak menuju ke tangga berhampiran.
“Saya bernasib baik kerana akhirnya berjaya menyelamatkan diri walaupun tangan kanan luka akibat dihempap runtuhan itu,” katanya.
Katanya, ketika kejadian, dia berada dalam kedai aksesori di tingkat satu pusat beli-belah itu bersama rakan sekerjanya dikenali sebagai Ida, 30-an.
“Selepas keluar dari runtuhan saya bergegas turun ke tingkat bawah bangunan berikutan bimbang bangunan berkenaan runtuh.
“Keadaan tidak ubah seperti gempa bumi kerana ramai mangsa dan peniaga di tingkat atas bangunan kelam-kabut berlari menyelamatkan diri,” katanya yang masih trauma dan menggeletar ketakutan selepas terselamat dalam kejadian itu.
Norafinda yang cedera di tangan kanan diberikan bantuan kecemasan oleh pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang tiba di tempat kejadian beberapa minit selepas berlaku runtuhan.
Ida pula berkata, dia hanya mampu menjerit sebaik siling atas kedainya tiba-tiba roboh dan menghempap bahu serta pahanya.
Katanya, kejadian berlaku tiba-tiba kerana sebelum itu tiada bunyi retak atau tanda awal sebelum siling runtuh.
“Saya terpaksa merangkak keluar untuk menyelamatkan diri. Setahu saya ada tiga lagi wanita yang berada di dalam kedai itu turut menjadi mangsa runtuhan. Bagaimanapun, saya tidak pasti sama ada mereka sempat melarikan diri atau sebaliknya,” katanya.
Wartawan Harian Metro yang berada di lokasi juga melihat seorang gadis diusung keluar dari lokasi dalam keadaan meraung kesakitan sambil memegang dadanya.
Gadis yang dikenali sebagai Husnawati, 25, dikatakan cedera di bahagian dada selepas dihempap runtuhan rak dan barangan dari tingkat atas yang runtuh.
Pada masa sama, orang ramai berpusu-pusu keluar dari pusat beli-belah itu selepas tersebar khabar angin bahawa bangunan itu akan runtuh.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Wilayah Persekutuan, Azizan Ismail berkata, pihaknya yang menerima panggilan kecemasan menghantar dua jentera dengan 17 anggota ke lokasi.
Katanya, sebaik tiba, pihaknya mendapati orang ramai sudah mengosongkan bangunan berkenaan dan berkumpul di luar.
“Ketika tiba kami melihat seorang wanita dipercayai pekerja kedai tersepit di celahan runtuhan dalam keadaan terduduk dan mengambil hampir lima minit untuk mengeluarkannya,” katanya.
Mengerang dalam gaung
asnawi@hmetro.com.my
2010/08/20
SEREMBAN: Sepasukan anggota bomba dan penyelamat yang menjalankan operasi memadam kebakaran sebuah kereta di tepi gaung, dikejutkan dengan suara meminta tolong dari dalam gaung di Jalan Seremban-Kuala Pilah di Bukit Putus, dekat sini, semalam.
ANGKAT...anggota bomba membawa naik pemandu kereta dari dalam gaung.
Ketika ditemui terbaring di pangkal pokok di dalam gaung itu, mangsa mengerang kesakitan kerana hampir 80 peratus badannya melecur dan anggota bomba membawanya naik menggunakan pengusung dan dikejarkan ke hospital dengan ambulans untuk rawatan.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Ariffin Esa, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 1.05 tengah hari.
Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian bagi memadamkan kebakaran kenderaan berkenaan.
“Ketika memadam kebakaran, anggota kami terdengar suara orang meminta tolong dari bawah bukit lalu turun untuk melakukan pemeriksaan lanjut.
“Selepas pemeriksaan, anggota bomba menemui seorang lelaki berusia lingkungan 30-an mengerang kesakitan dengan kesan kebakaran pada badannya,” katanya ditemui di lokasi kejadian, di sini.
Beliau berkata, pihaknya mengambil masa selama kira-kira 10 minit untuk membawa naik mangsa dari dalam gaung itu sebelum dikejarkan ke hospital.
Menurutnya, punca kebakaran kenderaan berkenaan masih dalam siasatan Unit Siasatan Kebakaran bomba.
Difahamkan, mangsa yang masih sedarkan diri ketika kejadian, sempat memberitahu pasukan penyelamat tiada lagi mangsa lain kecuali dirinya.
Setakat ini, belum dapat dipastikan bagaimana mangsa boleh terbabit dalam kejadian hampir meragut nyawanya.
Sementara itu, seorang saksi, Mohd Zaidi Aziz, 26, berkata dia yang kebetulan lalu di tempat kejadian ternampak kereta itu terbakar di tepi gaung lalu memeriksa.
“Apabila melihat Proton Wira terbakar, saya menghubungi bomba. Ketika terbakar, kereta itu meletup beberapa kali,” katanya.
Tuah nelayan
2010/08/20
DEVON: Seorang nelayan yang hidup sederhana sebelum ini berjaya ‘menangkap’ anak perempuan antara lelaki paling kaya di dunia dan pulang bersama kapal layar bapa mentuanya yang berharga £100million (RM500 juta).
KAPAL layar RM500 juta yang dibawa pulang Barnett.
BARNETT dan Sarah.
Kapal sepanjang 75 meter itu siap dibina kira-kira setahun lalu dan kini berlabuh di Darthmouth, Devon, tempat Barnett pernah menjalani kehidupan dengan membawa pelancong memancing ikan kembung dengan kapalnya berusia 80 tahun.
Lapan puluh tetamu dipelawa menaiki kapal layar itu yang turut dilengkapi tempat mendarat helikopter, hiasan dalaman mewah dan kakitangan seramai 22 orang.
Barnett berkenalan dengan Sarah, 35, selepas dia menjadi kelasi sebuah kapal milik bapa Sarah, bilionair, John Risley, lapan tahun lalu.
John, warga Kanada berusia 62 tahun adalah pemilik sebuah syarikat makanan dan angkatan kapal nelayan terbesar di Amerika Utara.
Pasangan itu berkahwin di Nova Scotia minggu lalu dan Barnett terbang ke Gibraltar untuk membawa pulang Northern Star yang boleh disewa dengan bayaran £533,000 (RM2.7 juta) seminggu, ke Britain.
Bapa Sarah bermula dengan kedai kecil menjual udang galah pada 1976. Dia kini memiliki syarikat makanan laut, kilang memproses makanan dan sebuah syarikat telekomunikasi serta empayar hartanah. - Agensi
Ramai sangka Obama Islam
2010/08/20
WASHINGTON: Semakin ramai rakyat Amerika Syarikat perrcaya Presiden Barack Obama beragama Islam.
Pada masa sama juga, semakin ramai yang keliru mengenai agamanya.
Hampir satu daripada setiap lima orang atau 18 peratus percaya Obama muslim, meningkat 11 peratus daripada kajian pada Mac 2009, menurut satu kajian pendapat. Jumlah mereka yang berkata betul bahawa pemimpin Amerika Syarikat itu Kristian menurun 34 peratus.
Dalam pada itu, 43 peratus berkata, mereka tidak tahu agamanya, meningkat daripada 34 peratus berbanding awal 2009.
Hasil kajian yang dilakukan Pusat Penyelidikan Pew itu berdasarkan temuramah yang dijalankan sebelum kontroversi mengenai sama ada umat Islam dibenar mendirikan masjid di bekas tapak Pusat Dagangan Dunia New York atau tidak, tercetus.
Obama minggu lalu berkata, beliau percaya masyarakat Islam berhak membina pusat Islam dan masjid di situ.
Dalam kajian lain dilakukan majalah Time/ABT SRBI Isnin dan Selasa lalu, selepas Obama membuat kenyataan mengenai masjid itu, 24 peratus berkata mereka percaya beliau Islam, 47 peratus percaya beliau Kristian dan 24 peratus tidak tahu. Enam daripada 10 orang yang percaya Obama Islam berkata, mereka mendapat maklumat mengenainya daripada media, sementara yang lain berkata, mereka mengetahuinya berdasarkan tingkah laku dan kata-katanya. - AP
BEIJING - Seramai 14 orang terkorban dan berpuluh-puluh lagi hilang dalam kejadian tanah runtuh yang melanda perkampungan di lembah terpencil bahagian barat daya China, semalam.
Kejadian tanah runtuh terbaru yang melanda Puladi di wilayah Yunnan itu dipercayai berlaku selepas hujan lebat.
Sekurang-kurangnya 10 buah lori dan 21 buah rumah tertimbus dalam kejadian tanah runtuh tersebut.
Media tempatan turut melaporkan kemungkinan mangsa untuk terselamat adalah sangat tipis.
Kawasan yang terletak di pedalaman wilayah Yunnan tersebut menyukarkan pasukan penyelamat untuk melakukan operasi mencari berpuluh-puluh mangsa yang dipercayai hilang dan terperangkap dalam timbunan batu dan lumpur sedalam 300 meter itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan