Khamis, 26 Ogos 2010

ULAMAK PERANANNYA BESAR...ITU SEBAB BANYAK ULAMAK TERSOHOR DAHALU MENOLAK JAWATAN MUFTI MEREKA SANGGUP DIPENJARA DARI JADI MUFTI

ULAMA' DAN UMARA'
Ulama' dan umara' perlu bersatu dan berhimpun di bawah agama "ad-Din". Ulama' dan umara' adalah pewaris nabi Muhammad S.A.W. Ulama' mewarisi ilmu daripada nabi manakala umara' pula mewarisi kepimpinan atau politik daripada nabi. Ilmu dan politik tidak boleh dipisahkan daripada Islam, begitu jugalah ulama' dan umara'. Merekalah 'ilmu' dan 'politik' bagi umat Islam.

Ulama' merupakan anugerah Allah untuk umat manusia bagi membimbing mereka ke jalan yang benar. Tanpa ulama' semua orang akan menjadi jahil dan akan bertindak dalam hidup mereka mengikut hawa nafsu semata-mata. Rasulullah S.A.W pernah menyifatkan para ulama' seperti bintang-bintang di langit :

"Bandingannya para ulama' di bumi ini samalah seperti bintang-bintang di langit. Ia menjadi pedoman dalam kegelapan di laut dan di darat. Kalau bintang-bintang itu pudar mereka yang berpandukannya akan sesat". (riwayat Imam Ahmad)

Umara' pula adalah keperluan yang pasti bagi ummah. Tanpanya masyarakat menjadi kacau, malah syariat tidak akan dapat dilaksanakan. Rasulullah S.A.W menyatakan bahawa umara' merupakan perisai ummah. Sabda baginda:

"Pemimpin itu adalah perisai. Orang akan berperang di belakangnya dan berselindung di sebaliknya". (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ciri-ciri yang perlu ada pada seorang ulama':

1. Ulama' jangan sesekali merendah diri. Perlu ada jati diri, tidak diperkecil dan direndahkan kerana mereka merupakan golongan hebat yang wajib dihormati.

2. Ulama' tidak akan sesekali tunduk kecuali kepada kebenaran. Jangan tunduk kepada kuasa. Perlu menyatakan kebenaran walaupun ia pahit, 'kulil haqqa walau kana murran'.

3. Ulama' tidak takut kepada pemimpin. Perlu sentiasa memberi nasihat dan panduan kepada pemimpin. Jangan sesekali lari dan membiarkan kejahatan dan kezaliman berleluasa.

Inilah antara ciri ulama' yang digariskan oleh cerdik pandai Islam. Selagi tiga ciri di atas tiada pada mereka yang merasakan dirinya ulama', maka tidak selayaknya golongan ini digelar sebagai ulama'.

Namun yang menyedihkan bahawa pada zaman sekarang sukar untuk berjumpa dengan umara' yang baik dan adil. Kebanyakan umara' pada hari ini mengamalkan RASUAH. Umara' sekarang tidak lagi menjadikan ulama' sebagai rujukan, ikutan dan panduan. Ulama' dipinggir dan diabaikan, malah dicemuh oleh segelintir umara'.

Contoh terbaik ulama' ialam Imam Malik bin Anas. Seorang Imam yang tegas dalam menyatakan kebenaran. Sentiasa menjaga ketinggian ilmu dan jati diri sebagai seorang alim. Beliau bukan saja disegani dan dihormati dengan ketinggian ilmunya, bahkan digeruni oleh khalifah dan umara' ketika itu. Contoh terbaik umara' pula adalah Saidina Umar bin al-Khattab r.a. Sentiasa menjaga syariat Allah S.W.T serta menjaga hubungannya dengan Allah dan sesama manusia. Merendah diri dan tidak pernah merasakan jawatan khalifah atau amir yang dimiliki sebagai satu kemegahan dan kebanggaan. Bahkan merasakan ia merupakan satu tanggungjawab besar yang perlu dijaga, dipikul, dipelihara dan dijalankan serta dilaksanakan dengan baik.
Saidina Umar al-Khattab pernah memberi nasihat kepada gabenornya, Abu Musa al-Asy'ari :

"Penguasa yang paling bahagia ialah mereka yang rakyatnya merasa bahagia dengannya. Sementara penguasa yang paling celaka pula ialah mereka yang rakyatnya merasa celaka dengannya. Ingat, jangan hidup mewah. Kerana para pegawai kamu akan meniru kamu. Bandingan kamu sama seperti binatang ternakan. Apabila berada di padang rumput yang menghijau ia akan makan banyak sehingga menjadi gemuk. Kegemukannya itu akan menjadi sebab kepada kebinasaannya. Kerana ia akan disembelih untuk dimakan".(Abu Yusuf)

Ulama' dan umara' disifatkan secara bersama sebagai faktor kebaikan ummah. Sabda Rasulullah S.A.W :

صنفان من الناس اذا صلح صلح الناس واذا فسد فسد الناس, العلماء والعمراء
''Ada dua golongan, bila mereka baik orang menjadi baik, bila mereka rosak orang menjadi rosak: Ulama dan umara''.(riwayat Abu Na'im dalam al-Hulyah)

Untuk akhirnya, buat ulama' dan umara'. Renungi dan amatilah petikan daripada kata-kata hujjatul Islam, Imam al-Ghazali:

''Sesungguhnya rakyat rosak kerana pemerintah, dan pemerintah rosak kerana Ulama. Sementara Ulama pula rosak kerana tamakkan harta dan pangkat. Maka sesiapa yang dikuasai oleh kecintaan kepada dunia, dia tidak akan mampu memberi nasihat walaupun kepada orang bawahan, apa lagi kepada pemerintah dan pembesar''.

Dalam melihat kepada 'kerosakan besar' yang berlaku kepada masyarakat Islam di Malaysia sekarang, maka siapakah yang bersalah ???
Dicatat oleh IBNU MUSLIM

Tiada ulasan: