Isnin, 30 Ogos 2010

INI TERBALIK....CAMNE...FIKIR2KAN

Adun PAS ziarah kuil Hindu
Harakahdaily

KLANG, 30 Ogos: Kunjungan dan ucapan anggota Parlimen Serdang, Teo Nie Ching telah menyebabkan Umno dan penguasa agama di Selangor melenting tetapi bagaimana reaksi mereka kalau melihat Adun PAS pergi melawat kuil Hindu dan berucap di sana.

Baru-baru ini, Adun PAS dari Meru, Dr Rani Othman telah melawat Kuil Hindu Bukit Rajah dan bercakap kepada para penganut agama itu yang sedang membuat ibadat.

Melalui blognya, Dr Rani menulis, beliau mengunjungi kuil di Bukit Rajah dan mengambil kesempatan untuk memberikan gambaran sebenar tentang tasawwur dan keadilan Islam kepada masyarakat India yang berada di situ.

"Sejarah membuktikan walaupun 12 kurun Islam menguasai negara Palestin contohnya, tetapi tidak ada seorang pun dari penganut agama Kristian dan Yahudi yang di paksa untuk menganut agama Islam sepanjang pemerintahan itu melainkan ramai dari mereka yang menganut agama Islam adalah dari kerelaan hati mereka sendiri apabila mereka dapat melihat sendiri keadilan dan akhlaq yang tinggi dikalangan orang-orang Islam," tulis beliau dalam blog Khidmat Meru itu.



BEZAKAN


Masuk Surau: Nie Ching temui Nik Aziz
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 30 Ogos: Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching hari ini bertemu Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi mendapatkan pandangan berhubung isu kunjungannya ke Surau Al-Huda, Kajang 22 Ogos lalu.

Beliau mengunjungi Menteri Besar Kelantan itu di Rumah Kelantan di ibu negara siang tadi sejurus Tuan Guru dan deligasi kerajaan Kelantan memfailkan saman kepada Petronas di pejabat Pendaftaran Dagang Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta di sini.

Nie Ching ketika ditemui selepas pertemuan 10 minit itu berkata, beliau gembira dapat bertemu Tuan Guru dan mendapat pandangan yang jelas dari Tuan Guru yang juga Mursyidul Am PAS itu.

"Tok Guru jelaskan kepada saya bahawa dari segi Islam bukan menjadi satu isu orang Islam masuk ke surau atau masjid.

"Dia beritahu sebenarnya pada zaman Nabi Muhammad SAW, orang bukan Islam selalu masuk masjid untuk bertemu Nabi," katnya menjelaskan isi pertemuan.

Menurutnya, dalam pertemuan itu juga, Tuan Guru memberitahunya bahawa yang menyempitkan pemahaman berhubung isu bukan Islam kunjungi masjid adalah Umno.

Menurutnya, Umno kini sangat terdesak sehingga sanggup menyempitkan isu tersebut sehingga memberi tanggapan salah bukan Islam kepada Islam.

"Dia juga memberitahu saya, di Malaysia ini, Umno guna Islam untuk takutkan orang bukan Islam dan menjadikan Islam itu agama eksklusif sedangkan Islam itu adalah untuk semua manusia," katanya lagi.

22 Ogos lalu, Nie Ching berkunjung ke Surau Al-Huda, Kajang untuk menyampaikan bantuan membaiki pagar surau tersebut.

Beliau juga dijemput oleh jawatankuasa surau untuk menyampaikan ucapan ringkas.

Insiden itu bagaimanapun dieksploitasi media arus perdana dan Umno dengan mendakwa ia satu kesalahan dan mencemar imej Islam.

Nie Ching berkata, biarpun insiden tersebut dimainkan Umno, sehingga hari ini beliau masih berkunjung ke masjid dan surau yang menjemputnya.

"Saya masih menjalankan tugas saya sebagai ahli parlimen bila dijemput.

"Sejak insiden itu diperbesarkan, saya terus mendapat sokongan dari rakyat," katanya.

Sementara itu, Nie Ching juga memberitahu surat permohonan maaf kepada Sultan Selangor telah disampaikan melalui Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim Sabtu lalu





Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid

Harakahdaily

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah membincangkan Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid.

Muzakarah telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab.

Walaubagaimanapun, perbuatan berdoa atau bertafakur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang.

Keterangan/Hujah:

1. Dalam hal-hal yang berkaitan ibadah, sensitiviti umat Islam sangat tinggi dan nilai-nilai ta'abbudi amat dititikberatkan oleh masyarakat Islam.

2. Umat Islam dibenarkan melakukan ibadah sembahyang walaupun di dalam gereja kerana Saidina Umar al-Khattab pernah melakukannya. Umat Islam perlu bersikap tasamuh dan tidak terlalu rigid dalam membenarkan orang bukan Islam mendekati masjid.

3. Keindahan Islam boleh ditunjukkan kepada orang bukan Islam melalui lawatan mereka ke masjid-masjid selaras dengan peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pengurusan masjid.

4. Sikap membenarkan orang bukan Islam memasuki masjid tidak boleh disamakan dengan sikap tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh Kristian kerana konsepnya adalah berbeza.


Teo hadiri satu lagi majlis di surau
Ogos 30, 10 2:10pm
Meskipun dikecam hebat kerana mengunjungi sebuah surau dalam kawasan pilihan raya minggu lalu, ahli parlimen Serdang, Teo Nie Ching mengunjungi sebuah lagi surau semalam.

Teo dijemput ke surau Al-Muhajirin, Bukit Mahkota, di mana beliau juga menyumbangkan RM500 kepada RELA.

Bagaimanapun kali ini, beliau tidak memasuki ruang solat tetapi memakai selendang. Majlis tersebut berlangsung di bawah sebuah khemah dalam kawasan surau.

Dalam satu kenyataan hari ini, Teo berkata kunjungannya itu adalah berasaskan kepada prinsip berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira kaum dan agama mereka.

Menurut Teo, beliau diberi sambutan yang baik sepertimana ketika beliau mengunjungi surau Al-Huda di Kajang, yang telah mencetuskan kontroversi.

Katanya, majlis tersebut berjalan lancar walaupun terdapat kecaman terhadapnya dan penyiaran siri laporan yang mengecamnya, terutamanya oleh akhbar berbahasa Melayu, Utusan Malaysia.

Malah, katanya, ada antara para hadirin yang bersalaman dengannya dan menyuara sokongan mereka kepadanya.

Teoh yakin, selagi tindakannya itu berasaskan kepada prinsip, rakyat tidak akan mempercayai serangan bermotif politik terhadapnya.

Tambahnya, selain sumbangan dari kerajaan negeri, beliau juga turut mengedarkan kurma dan duit raya kepada anak-anak dari ibu tunggal.

Teo menjadi sasaran kecaman ahli-ahli politik BN, blog pro-BN dan akhbar Melayu ekoran kunjungannya ke Surau Al Huda pada 22 Ogos lalu.

Antara lain, mereka mendakwa Teoh telah melakukan penghinaan
besar terhadap umat Islam kerana bercakap di depan dewan solat, yang dianggap suci dan dilarang dimasuki bukan Islam.

Ekoran itu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah mengambil alih pentadbiran surau tersebut dan akan menghantar surat amaran kepada Teoh


MP Selayang batal program di Masjid At Taqwa esok
Abdul Rahim Sabri
Ogos 30, 10
4:50pm

Program pemberian sumbangan ahli parlimen Selayang, William Leong Jee Keen kepada golongan yang memerlukan di Masjid At-Taqwa, Selayang Baru pagi esok telah dibatalkan.

Perkara itu dinyatakan oleh pembantu peribadi ahli parlimen tersebut, Chan Foo Chuen dalam nota liputan kepada media.

"Harap maaf kerana program pemberian sumbangan di Masjid At-Taqwa, Selayang Baru dibatalkan. Sekian terima kasih," demikian menurut nota liputan dari Chan.

Bagaimanapun, tidak dinyatakan dalam nota liputan tersebut sebab majlis itu dibatalkan.

Ketika dihubung Malaysiakini, Chan berkata beliau tidak tahu mengapa majlis itu dibatalkan dan meminta supaya bertanya sendiri kepada William.

Malaysiakini kemudiannya berusaha untuk menghubungi William tetapi tidak berjawab. SMS yang dihantar kepada beliau juga belum dijawab.

Pembatalan tersebut dibuat beberapa jam selepas Chan menghantar nota liputan yang menyebut William akan menghadiri majlis tersebut di masjid berkenaan.

Menurut jadual awalnya, majlis sumbangan itu akan berlangsung pada jam 10 pagi di masjid berkenaan.

Sebelum ini, William menjadi sasaran Mingguan Malaysia kerana menghadiri majlis sumbangan kepada masjid yang sama.

Akhbar milik Umno itu melaporkan bahawa ahli parlimen Selayang itu diberi kebebasan berada di saf paling hadapan dalam masjid berkenaan.

Di bawah tajuk "Kesucian masjid terus dinodai", akhbar itu memetik sebuah laman blog, yang menyebut, pihak yang bersekongkol membenarkan William memasuki ruang solat masjid tersebut adalah orang Melayu yang beragama Islam.

William menjadi sasaran selepas akhbar berkenaan menyiarkan di muka depannya mengenai kunjungan kontroversi ahli parlimen Serdang Teo Nie Ching ke sebuah surau di Kajang minggu lalu.

Akhbar itu menyebut, tindakan itu terbongkar "cuma sehari selepas umat Islam di negara ini dikejutkan dengan tindakan Teo 'bertaskirah' di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral tanpa menutup aurat".

Perbuatan wakil rakyat PKR itu, lapor akhbar itu lagi, bukan sahaja memperkecilkan arahan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang melarang orang bukan Islam memasuki ruang solat tetapi turut menghina kesucian agama Islam

Tiada ulasan: