Selasa, 31 Ogos 2010

RENUNGKANLAH

MENASIHATI BUKAN SETAKAT BERKATA2 SAHAJA ! Petikan drp Kolum Mahmudah Dlm Majalah Solusi, catatan Syikhuna Us Umar Muhd Nur

by Ustaz Zahazan Mohamed on Tuesday, August 31, 2010 at 8:40am

Jarir bin Abdillah Al-Bajali (w.51 H) seorang sahabat Nabi s.a.w. yang sangat kacak rupanya. Khalifah Umar bin Al-Khattab pernah memanggilnya sebagai “Nabi Yusuf” umat ini. Jarir masuk Islam pada tahun 10 H di Madinah dan berbai’ah kepada Rasulullah s.a.w. dengan berkata, “Aku berbaiah kepada Rasulullah s.a.w. untuk selalu mendirikan solat, membayar zakat dan memberi nasihat terhadap setiap Muslim.” Alhamdulillah, sampai akhir hayatnya, Jarir tetap berpegang teguh dengan tiga janji yang ia ucapkan ini.

Imam Al-Tabarani dalam Mu’jam Al-Kabir meriwayatkan bahawa pada suatu hari Jarir pergi ke pasar dengan pembantunya untuk membeli seekor kuda. Setelah melihat kuda yang diinginkannya, Jarir memerintahkan supaya membelinya. Pembantunya dan pemilik kuda sepakat dengan harga tiga ratus dirham, lalu mereka mendatangi Jarir untuk mengambil wang yang disepakati.

Jarir bertanya, “Berapa harganya?” Pemilik kuda berkata, “Tiga ratus dirham.” Jarir berkata, “Kuda ini bernilai lebih dari itu.” Orang itu bertanya, “Berapa harganya menurutmu?” Jarir berkata, “Kamu harus menjualnya antara 500 hingga 800 dirham.” Ia lalu memberikan jumlah itu kepada pemilik kuda tersebut. Ketika ditanya mengapa ia melakukan hal itu, Jarir menjawab, “Saya berjanji kepada Rasulullah s.a.w. untuk selalu menasihati kaum Muslimin.”



JANGAN MAKAN MELAINKAN DRP HASIL TANGAN & SUMBER YG HALAL !

petikan drp Artikel Mahmudah tulisan Syikhana Us UmarMajalah Solusi

by Ustaz Zahazan Mohamed on Saturday, August 21, 2010 at 1:06pm

Setiap pengkaji mazhab al-Syafii pasti mengenal nama Imam Abdul Malik bin Abdullah bin Yusuf Al-Juwaini (419-478 H), lebih dikenal dengan panggilan Imam Al-Haramain. Beliau seorang ulama besar mazhab al-Syafii yang banyak berjasa dalam perkembangan ilmu-ilmu keislaman di dunia Islam abad ke-5 hijriah.

Imam ahli hadis yang hidup bersamanya di kota Nisabur, Al-Hafiz Abdul Ghafir Al-Farisi, memujinya dengan berkata, "Beliau imam semua imam secara mutlak, disepakati keimamannya di belahan timur dan barat." Cukup untuk menunjukkan kebesaran beliau, Hujjatul Islam Abu Hamid Al-Ghazali pergi dari kota Thus ke Nisabur untuk menimba ilmu darinya.

Kebesaran ini tidak dapat dipisahkan dari jasa besar ayahnya (Imam Abdullah bin Yusuf al-Juwaini) yang sangat memperhatikan pertumbuhan jiwa anaknya jauh sebelum anak itu dilahirkan. Sejak menikah, Imam Al-Juwaini selalu memastikan nafkah yang diberikan kepada isterinya benar-benar halal dan bersih dari syubhah, apalagi haram. Dan setelah anaknya lahir, ia juga tidak pernah mengizinkan orang lain menyusui anaknya selain isterinya. Hal ini untuk memastikan tubuh anak itu tidak bercampur sesuatu yang tidak dapat dipastikan kehalalannya.

Imam Ibn Khillikan dalam kitab "Wafayat Al-A'yan" bercerita bahwa suatu hari ayah Imam Al-Haramain pulang dari tempat kerja dan mendapati isterinya sedang sakit. Ia melihat seorang jirannya sedang menyusui anaknya yang sedang menangis. Ayahnya sangat marah. Ia lalu membalikkan tubuh bayi itu, menekan perutnya, bahkan memasukkan jari ke dalam mulutnya sehingga anak itu memuntahkan apa yang diminumnya. Al-Juwaini berkata, "Saya lebih suka melihat anak ini mati daripada tubuhnya dirosakkan dengan susu orang lain yang tidak diketahui kehalalannya."

Makna Halal

Pada bulan suci Ramadan ini, sengaja saya memilih bahasan tentang makanan halal agar kita mengkaji kembali apa yang kita makan dan yang kita berikan kepada keluarga kita. Masalah ini sangat penting sebab Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya Allah Maha Baik (thayyib) dan hanya menerima yang baik-baik sahaja. Sesungguhnya Allah Swt memerintahkan kaum mukminin (perintah yang sama) dengan para rasul. Allah berfirman, "Wahai rasul-rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal yang saleh." (Qs Al-Mu'minun: 51). Dan Allah berfirman, "Wahai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang kami berikan kepadamu." (Qs Al-Baqarah: 172). Diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Abu Hurairah.

Dari sini, Imam Ahmad berpendapat bahawa makan merupakan aspek terpenting dalam agama.Kesan makanan haram terhadap akhlak dan perangai manusia juga dijelaskan oleh Imam Sahl bin Abdillah al-Tustari, "Barang siapa yang memakan makanan yang haram, anggota tubuhnya akan melakukan maksiat, mahu tidak mahu, sadar atau tak sadar. Dan barang siapa yang makanannya halal, semua anggota tubuhnya akan tunduk kepadanya dan ia akan diberikan taufik menuju perbuatan baik."

Dari sini, kita boleh menyimpulkan bahawa seorang anak yang sejak kecil selalu makan dari yang haram atau syubhah, perkembangan akhlak dan spiritualnya akan terjejas. Bahkan tidak mustahil ia akan berjalan ke arah gejala sosial yang memadah muka keluarganya.

Setiap kali saya membaca kisah-kisah penyimpangan remaja masa kini yang berkaitan dengan seks bebas, penyalahgunaan dadah, kekerasan dan kes-kes lainnya, terbetik pertanyaan di benak saya, "Adakah kaitannya semua ini dengan makanan mereka sejak kecil?" Boleh jadi, terutama dalam sistem kehidupan moden kita yang tak boleh lepas dari riba.

Peranan ibu bapa dalam menghindari terjadinya penyimpangan remaja ini sangat penting, salah satunya dengan memastikan nafkah halal sahaja yang diberikan kepada anak-anaknya. Jika anda benar-benar sayang kepada anak, maka jadikan ucapan Ibn Al-Mubarak sebagai kaedah pencarian rezeki, "Menolak satu Dirham yang syubhah jauh lebih baik daripada bersedekah dengan 600 ribu Dirham."

Tergagap

Kembali kepada kisah Imam Al-Haramain sebagaimana diceritakan oleh Ibn Khillikan dan Tajuddin Al-Subki. Suatu ketika dalam suatu majlis diskusi, tiba-tiba Imam Al-Haramain dilihat agak tergagap dalam menjawab pertanyaan. Belum pernah terjadi hal itu selama beliau menghadiri semua majlis diskusi dan perdebatan. Seseorang lalu bertanya tentang sebab ketergagapan tersebut. Imam Al-Haramain menjawab, "Ini kesan dari sisa-sisa susu yang aku minum pada hari itu." Wallahu a'lam.



Hidupkan Sunnah Bersahur

oleh kolumnis baru majalah Solusi Isu 22, yang dikasihi Ustaz Syed Nurhisham tenaga pengajar Imam Muda.

by Ustaz Zahazan Mohamed on Friday, August 13, 2010 at 4:27pm

Hidupkan Sunnah Bersahur

Berdasarkan ayat 183 surah al-Baqarah, umat terdahulu juga diwajibkan berpuasa. Matlamatnya sama, iaitu melahirkan ketaqwaan kepada Allah. Walau bagaimanapun, terdapat satu perbezaan besar antara puasa umat Nabi Muhammad s.a.w. dengan umat terdahulu dalam aspek pelaksanaannya.

Perbezaan yang jelas ialah bersahur. Sahur hanyalah khusus untuk umat Muhammad s.a.w. Berdasarkan sebuah hadis Imam Muslim, dia meriwayatkan yang antara lain bermaksud, sabda Rasulullah s.a.w.: "Beza antara puasa kita dan puasa ahli kitab ialah kita disyariatkan (disunatkan) bersahur." (Hadis no. 1836)

Berkat Bersahur

Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Bersahurlah, sesungguhnya pada bersahur itu ada keberkatan." (Riwayat al-Bukhari no. 789 dan Muslim no. 1835)

Hadis ini menjanjikan kelebihan bersahur iaitu mendapat keberkatan dalam hidup. Ketika mensyarahkan hadis keberkatan sahur ini, Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitabnya, Fath al-Bari berkata, keberkatan melalui bersahur diperoleh kerana beberapa perkara iaitu:

1. Mengikut sunah Rasulullah s.a.w.

2. Menyalahi (tidak menyamai) kaedah ahli kitab

3. Menambah kekuatan fizikal dan kecergasan untuk beribadat

4. Mengelakkan akhlak yang buruk disebabkan lapar

5. Menjadi sebab untuk kita bangun berzikir dan berdoa kerana waktu itu sangat mustajab

6. Dapat berniat puasa bagi yang terlupa untuk meniatkannya sebelum tidur.

Berkat adalah sesuatu yang tidak boleh dilihat. Oleh sebab itu berkat adalah termasuk dalam perkara ghaib yang wajib diimani oleh seseorang Muslim. Maka bersahur yang menepati kehendak Islam akan menambahkan iman dan taqwa.

Tawaran daripada Rasulullah s.a.w., seharusnya tidak dibiarkan begitu sahaja malah setiap orang boleh mengukur keimanan masing-masing terhadap janji-janji Baginda. Sejauh mana kita sanggup merealisasikan amalan tersebut dalam kehidupan.

Selain itu Ibn Hajar juga membawakan hadis riwayat Imam Ahmad yang menyatakan sekurang-kurang sahur adalah sesuap makanan atau seteguk air. Menurut Sheikh Ibn Uthaimin dalam Syarh Riyad al-Salihin, antara bentuk berkat sahur ialah dia mampu menjadikan seseorang itu boleh bertahan sehingga waktu maghrib. Masakan seseorang yang hanya minum air sekadar seteguk boleh bertahan begitu lama kalau tidak ada keberkatan daripada Allah.

Kita boleh bayangkan kalau pada hari-hari biasa, setelah bersarapan pada waktu pagi, kita akan makan lagi pada tengah hari, itu pun masih terasa lapar. Lalu ditambahkan lagi dengan minum petang. Ya dengar bersahur kita mampu segar pada waktu petangnya.

Sunat Dilewatkan Bersahur

Sheikh Ibrahim al-Bajuri di dalam kitab Hashiyah al-Bajuri menyatakan bahawa waktu sahur bermula pada separuh kedua malam, maka makan sebelumnya tidak mendapat pahala sunah. Jadi, bersahur adalah satu sunah dan melewatkan sahur juga adalah satu lagi sunah berasingan yang sangat dituntut.

Para sahabat r.a. bersahur bersama-sama Rasulullah s.a.w. dan kemudian menunaikan solat subuh berjemaah. Mereka menyatakan bahawa tempoh masa antara sahur dan solat Subuh adalah kadar membaca 50 ayat al-Quran. Peristiwa ini dirakamkan oleh Imam al-Bukhari no. 1787 dan Muslim no. 1837.

Jelas dari peristiwa itu menunjukkan bahawa Baginda melewatkan sahur sehingga hampir masuk waktu subuh. Jadi bagaimana dengan sahur anda?

Itu Bukan Sahur

"Ustaz, saya agak sukar untuk bangun bersahur sebelum subuh, selalunya saya supper sebelum tidur, kemudian hanya bangun apabila azan subuh dilaungkan. Adakah ini dikira sebagai sahur?" Soalan ini kerap dikemukakan apabila Ramadan menjelang. Sebenarnya amalan itu bukan supper (makan lewat malam), tetapi suffer (menderita).

Dalam ilmu kesihatan dan perubatan, sistem penghadaman seseorang menderita apabila ia makan dengan banyak kemudian terus tidur. Tindakan seumpama ini adalah budaya pemakanan yang tidak sihat bahkan boleh menyebabkan penyakit dan kegemukan. Jadi, pada bulan Ramadhan ini, budaya itu harus ditinggalkan.

Faedah Saintifik

Penekanan Nabi s.a.w. supaya sahur dilewatkan dan tidak diabaikan adalah signifikan lagi saintifik kerana ia menepati waktu bersarapan pagi. Kajian semasa menunjukkan bahawa makanan yang paling utama dalam masa 24 jam adalah sarapan pagi. BBC News bertarikh 7 Mac 2003 melaporkan, bersarapan pagi adalah penting bagi memelihara kesihatan seseorang berbanding mengambil makanan pada waktu lain.

Kajian yang dilakukan oleh Dr. Mark Pereira dan rakan-rakannya daripada Pusat Perubatan Harvard mendapati, mereka yang tidak bersarapan pagi berisiko tinggi menjadi gemuk, mendapat sakit jantung dan menghidap kencing manis. Kajian yang sama juga menunjukkan, mereka yang sentiasa bersarapan pagi menanggung risiko 50% lebih rendah diserang masalah kesihatan yang berkaitan dengan lebihan kadar gula dalam darah berbanding dengan mereka yang jarang bersarapan pagi. (Dr. Danial Zainal Abidin, Quran Saintifik, hlm. 295)

Penemuan-penemuan ini menambahkan bukti kehebatan Islam yang datang daripada Yang Maha Mengetahui. Ilmu ini juga sangat bermanfaat untuk dikongsikan dengan sahabat-sahabat yang belum memeluk Islam. Walau bagaimanapun, seorang Mukmin wajar melakukan segala perintah Allah dan anjuran Rasul-Nya semata-mata kerana iman yang terpasak di dada. Islam menuntut kita melaksanakannya sama ada tahu hikmah atau tidak di sebalik sesuatu amalan.

Solusi Isu 22



10 Keistimewaan Orang Berpuasa.

by Abu Basyer on Monday, August 30, 2010 at 8:34am

Sahabat yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita meghayati kemuliaan dan keistimewaan ibadah puasa yang fardukan oleh Allah s.w.t semoga dengan memahami hikmah dan kebaikan ibadah puasa ini akan menambahkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t.

Sayyid Muhammad bin Alwi Al Maliki mengatakan orang yang berpuasa mempunyai 10 keutamaan yang diberikan Allah s.w.t., di antaranya ialah:

Pertama, Allah memberikan keistimewaan kepada umat yang berpuasa dengan menyediakan satu pintu khusus di Syurga yang dinamai Al Rayyan. Pintu Syurga Al Rayyan ini hanya disediakan bagi umat yang berpuasa.

Kata Nabi s.a.w.dalam satu hadisnya yang bermaksud : " Pintu Rayyan hanya diperuntukkan bagi orang-orang berpuasa, bukan untuk lainnya. Bila pintu tersebut sudah dimasuki oleh seluruh rombongan ahli puasa Ramadhan, maka tak ada lagi yang boleh masuk ke dalamnya.

(HR. Ahmad dan Bukhari-Muslim).

Kedua, Allah telah mengfungsikan puasa umat Nabi Muhammad s.a.w sebagai benteng yang kokoh dari siksa api Neraka sekaligus tirai penghalang dari godaan hawa nafsu. Dalam hal ini Nabi s.a.w. bersabda maksudnya : “Puasa (Ramadhan) merupakan perisai dan benteng yang kokoh dari siksa api neraka.” (HR. Ahmad dan Al Baihaqi).

Nabi s.a.w. menambahkan pula bahawa puasa yang berfungsi sebagai perisai itu layaknya perisai dalam kancah peperangan selama tidak dinodai oleh kedustaan dan mengumpat. (HR. Ahmad, An Nasa`i, dan Ibnu Majah).

Ketiga, Allah memberikan keistimewaan kepada ahli puasa dengan menjadikan bau mulutnya itu lebih harum dari minyak kasturi. Sehingga Nabi s.a.w. bertutur demikian, “Sungguh bau mulut orang yang berpuasa lebih semerbak di sisi Allah dari bau minyak kasturi.”

Keempat, Allah memberikan dua kebahagiaan bagi ahli puasa yaitu bahagia saat berbuka dan pada saat bertemu dengan Allah kelak. Orang yang berpuasa dalam santapan bukanya meluapkan rasa syukurnya dimana bersyukur termasuk salah satu ibadah dan zikir. Syukur yang terungkap dalam kebahagiaan kerana telah diberi kemampuan oleh Allah untuk menyempurnakan puasa di hari tersebut sekaligus berbahagia atas janji pahala yang besar dari-Nya. “Orang yang berpuasa mempunyai dua kebahagiaan. Yaitu berbahagia ketika berbuka dan ketika bertemu Allah,” kata Nabi s.a.w dalam hadis riwayat Imam Muslim.

Kelima, puasa telah dijadikan oleh Allah sebagai medan untuk menempa kesehatan dan kesembuhan dari berbagai penyakit. “Berpuasalah kalian, niscaya kalian akan sehat.” (HR. Ibnu Sunni dan Abu Nu`aim).

Sayyid Muhammad menegaskan bahawa rahasia kesehatan di balik ibadah puasa adalah bahawa puasa menempah tubuh kita untuk melumatkan racun-racun yang mengendap dalam tubuh dan mengosongkan materi-materi kotor lainnya dari dalam tubuh.

Menurut kerangka berpikir beliau puasa ialah cara mendapatkan kesehatan bagi seorang hamba guna meningkatkan kadar ketaqwaan yang merupakan tujuan utama puasa itu sendiri. “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.” (Surah Al Baqarah ayat 183).

Keenam, keutamaan berikutnya yang Allah berikan kepada ahli puasa adalah dengan menjauhkan wajahnya dari siksa api Neraka. Matanya tak akan sampai melihat siksaan api Neraka dalam bentuk apapun juga. Nabi s.a.w.l yang mulia berkata demikian, “Barangsiapa berpuasa satu hari demi di jalan Allah, dijauhkan wajahnya dari api Neraka sebanyak (jarak) tujuh puluh musim.” (HR. Ahmad, Bukhari-Muslim, dan Nasa`i).

Ketujuh, dalam Al Quran Allah berfirman, “Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji, yang melawat, yang ruku’, yang sujud, yang menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah berbuat munkar dan yang memelihara hukum-hukum Allah. dan gembirakanlah orang-orang Mukmin itu.” (Surah At Taubah ayat 112).

Sebagian ulama ahli tafsir menerangkan bahawa orang –orang yang melawat (As Saihuun) pada ayat tersebut adalah orang yang berpuasa sebab mereka melakukan lawatan (kunjungan) kepada Allah. Makna lawatan, tegas beliau, di sini adalah bahawa puasa merupakan penyebab mereka (orang yang berpuasa) boleh sampai kepada Allah. Lawatan kepada Allah ditandai dengan meninggalkan seluruh kebiasaan yang selama ini dilaksanakan (contoh makan, minum, mendatangi isteri di siang hari) serta menahan diri dari rasa lapar dan dahaga.

Sayyid Muhammad cuba mentafsirkan ayat 10 dalam Surah Az Zumar : “Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” Orang-orang yang bersabarlah maksudnya adalah orang yang berpuasa sebab puasa adalah nama lain dari sabar. Di saat berpuasalah, orang-orang yang bersabar (dalam beribadah puasa) memperoleh ganjaran dan pahala yang tak terhitung banyaknya dari Zat Yang Maha Pemberi, Allah s.w.t.

Kelapan, di saat puasa inilah Allah memberi keistemewaan dengan menjadikan segala aktiviti orang yang berpuasa sebagai ibadah dan ketaatan kepada-Nya. Kerana orang yang berpuasa dan ia meninggalkan ucapan yang tidak berguna (diam) adalah ibadah serta tidurnya dengan tujuan agar kuat dalam melaksanakan ketaatan di jalan-Nya juga ibadah. Dalam satu hadis riwayat Ibnu Mundih dinyatakan, “Diamnya orang yang berpuasa adalah tasbih, tidurnya merupakan ibadah, dan do'anya akan dikabulkan, serta perbuatannya akan dilipatgandakan (pahalanya).”

Kesembilan, di antara cara yang Allah kenakan dalam memuliakan orang yang berpuasa, bahawa Allah menjadikan orang yang memberi makan berbuka puasa pahalanya sama seperti dengan orang yang berpuasa itu sendiri meski dengan sepotong roti atau seteguk air. Dalam satu riwayat Nabi s.a.w.bersabda maksudnya : " Seseorang yang memberi makan orang yang puasa dari hasil yang halal, akan dimintakan ampunan oleh malaikat pada malam-malam Ramadhan meski hanya seteguk air. (Hadis Riwayat Abu Ya`la).

Kesepuluh, orang yang berbuka puasa dengan berjemaah demi melihat keagungan puasa, maka para malaikat akan bershalawat (memintakan ampunan) baginya.

Sahabat yang dimuliakan,

Marilah kita menghayati 10 keistimewaan yang dikurniakan oleh Allah s.w.t kepada mereka yang berpuasa ikhlas semata-mata mencari keredhaan Allah s.w.t. Di harapkan sampai akhiran bulan Ramadhan, semua dosa-dosa kita di ampunkan oleh Allah s.w.t., dapat pembebasan daripada api Neraka dan memperolehi taqwa kepada Allah s.w.t.

(Sumber daripada Pondok Habib)

Tiada ulasan: