Selasa, 31 Ogos 2010

MERDEKA TANDA PENAH DIJAJAH..SYUKUR PADA ALLAH KERANA TELAH 53 TAHUN...SUJUD SYUKUR PADA ALLAH TU YANG AULA....


Khas untuk hari Merdeka
Li Fook Gao

MINDA NAIB PRESIDEN PAS – 31 OGOS 2010, Edisi Merdeka dan Hari Lahir Tuan Ibrahim

Jika saudara mempunyai sebarang soalan yang ingin ditanya kepada ketiga-tiga Naib Presiden PAS, sila hantarkan soalan saudara ke sembangnaibpresidenPAS@gmail.com. Pemilihan soalan pembaca adalah bergantung keistimewaan soalan dan juga budi bicara pengelola kolum ini.

MARI KITA SEMBANG BERSAMA…

Datuk Tuan Ibrahim (TITM), YB Salahuddin Ayub (SA) dan Datuk Mahfuz Omar (MO)

Selamat membaca!

Soalan 1:

Pada pendapat Naib Presiden sekalian, apakah sambutan Merdeka bersama PAS dan keluarga yang paling dikenangi sehingga kini?

TITM: Maaflah, saya memang tiada banyak peristiwa kenangan menyambut Merdeka dengan keluarga, kerana apabila cuti ada saja program untuk saya.

Namun begitu, saya masih teringat satu malam Merdeka tahun 1986 saya bersama panel forum mengadakan forum merdeka di Bayan Baru Pulau Pinang. Saya masih ingat sambutannya agak baik, selepas forum, AJK ajak makan nasi kandar - tengah nak sampai kedai nasi kandar, ratusan motor belia, beliawanis keluar dengan bunyi yang sangat bingit, mereka bertempik, bersorak gembira…. beberapa minit kamudian mereka hilang...

Saya bertanyakan kawan-kawan ke mana mereka menghilang.... mungkin ke pantai, begitulah Merdeka... mereka bebas nak buat apa yang mereka inginkan... terasa jauhnya erti perjuangan kemerdekaan yang diperjuangkan oleh pejuang-pejuang yang lalu dengan erti kemerdekaan-kebebasan yang dilakukan oleh remaja masa kini.

Saya berharap suasana zaman jahiliyah itu akan bertambah baik dengan pelbagai program pembinaan akhlak untuk remaja kini.

SA: Ucapan Merdeka saya kepada rakyat Malaysia: Kita mesti menjadikan kemerdekaan ini sebagai suatu turning point (titik perubahan) untuk kita menjadi rakyat yang betul-betul Merdeka dari segi minda, pemikiran, sikap dan tanggungjawab kita kepada negara ini.

Saya mengimpikan satu keadaan kepada rakyat di mana mereka dapat menggunakan kebebasan mereka untuk berfikir, bertindak untuk memilih yang terbaik khususnya dalam kita mendepani urus tadbir dalam negara kita.

Marilah kita memilih yang terbaik untuk negara kita ini dan kita menggunakan seluruh kekuatan dan kebijaksaan kita untuk menolak sebarang bentuk penyelewengan, rasuah dan salahguna kuasa yang dilakukan oleh mana-mana pemimpin dalam negara kita.

Kenangan manis saya ialah semasa saya berada di sekolah rendah dulu, di mana saya diberi peluang untuk menyertai satu syarahan mengenai bagaimana menghayati kemerdekaan negara. Saya tidak boleh tidur selama satu minggu kerana memikirkan bagaimana untuk menghadapi syarahan itu. Selepas saya dapat memberikan syarahan tersebut, saya berasa cukup gembira dan saya turut mendapat pujian daripada guru-guru saya ketika itu.

MO: Merdeka yang paling dikenangi khususnya semasa saya bersama keluarga, bukan dengan isteri anak-anak, tapi dengan mak dan ayah saya… pada waktu itu, trend sambutan merdeka lebih bersifat temasya dan bukan pengisian, jadi pada waktu itu, kita tidak tahu apa itu pengisian erti kemerdekaan yang ada… yang ada hanyalah tembakan bunga api pada malam kemerdekaan itu…

Pada jam 12.01, semua akan berhimpun di bandar-bandar besar, antaranya Bandar Alor Setar… ayah saya akan bawa saya dan adik-beradik untuk tengok bunga api… maknanya itu hanya satu temasya, satu kemeriahan, keseronokan, kegembiraan dalam menikmati kecantikan bunga api… keesokan harinya kita pergi ke stadium pula tengok persembahan perarakan di jalan raya… dan saya sebagai murid sekolah akan kibarkan bendera dan berbaris di jalan raya… Itulah antara kenangan saya walaupun pada masa itu saya tak banyak tahu tentang apa itu erti kemerdekaan. Oleh kerana ia merupakan satu sambutan yang bersifat temasya, malah sampai sekarang sambutan kemerdekaan ini tidak dalam bentuk pengisian erti kemerdekaan kepada anak bangsa tapi lebih kepada hiburan untuk orang berseronok, dan lepas itu habis begitu sahaja. Kemudian kita marah orang tak pasang bendera di kereta dan sebagainya…

Mesej saya kepada rakyat Malaysia bahawa di waktu kita menyambut kemerdekaan yang ke 53, iaitu seumur saya ini sebagai anak Merdeka, saya mengajak seluruh rakyat Malaysia ini untuk memahat satu keazaman bagi mencetuskan satu kemerdekaan baru kepada negara kita ini iaitu satu pembaharuan kepada masa depan negara dari semua sudut termasuklah politik, ekonomi dan sebagainya.

Ini kerana kemerdekaan pertama yang kita lalui itu, pengisiannya telah dicemari oleh pelbagai bentuk yang merosakkan nama baik Merdeka… kita sudah terlibat dengan rasuah, kita telah terlibat dengan salahguna kuasa, penyelewengan urus tadbir negara kita ini dan ini cukup memalukan.

Jadi kita perlu bahawa satu kemerdekaan yang baru untuk memastikan slogan Merdeka itu membawa erti kepada sanubari rakyat Malaysia. Maknanya kita mesti bebas, bukan sahaja daripada orang putih, tetapi kita juga harus bebas daripada penjajahan bangsa kita sendiri yang bertujuan untuk mengaut kekayaan untuk diri mereka… terutamanya UMNO.

Soalan 2:

PAS dilihat berhadapan cabaran pertembungan approach dalam pendekatannya antara dakwah dan siasah. Dakwah lebih bersifat mengajak, sedangkan pendekatan politik lebih bersifat menyerang. Bagaimana Naib Presiden sekalian menyesuaikan dua situasi yang bertentangan ini?

SA: Sering kali saya percaya tentang satu yang pernah diperkatakan oleh Pak Nasir, seorang ulamak yang amat terkenal di Nusantara ini. Beliau sering kali mengingatkan gerakan Islam untuk berhadapan dengan dua situasi – iaitu kita akan berdepan dengan dunia politik dan dunia dakwah dan cabarannya.

Oleh itu, gerakan Islam ini bijak untuk memposisikan diri mereka iaitu saya teringat ungkapan Pak Nasir yang berbunyi, “Kita mesti berpolitik di jalur dakwah, dan berdakwah di jalur politik.”

Kedua-kedua pendekatan ini akan memberikan satu keberuntungan dan keberhasilan besar kepada gerakan Islam sekiranya kita bijak untuk menggunakan pendekatan ini. Kita mesti bijak meletakkan diri kita sebagai seorang pemimpin yang boleh menguasai kedua-dua cabaran ini di hadapan kita.

MO: Saya tidak melihat ada penentangan di antara dakwah dan siasah. Kedua-dua dakwah dan siasah ini mempunyai pendekatan approach yang sama. Dakwah juga ada sifat menyerang, kita tidak boleh menafikan kerana Rasullulah s.a.w sendiri dalam misi dakwahnya, baginda berdepan dengan suasana peperangan.

Kalau kita nak katakan, serangan hanya dalam bentuk ucapan dan percakapan tapi Rasullulah berhadapan dengan peperangan… dan begitu juga dalam al-Quran itu sendiri, kalau kita melihat bahawa Quran itu sendiri telah memberikan satu gambaran bahawa dalam dakwah ini ada yang bersifat mengajak dan ada yang bersifat menyerang, begitu juga dalam siasah – siasah tidak boleh menyerang sahaja tanpa mengajak, macam mana orang nak sokong kita?

Kita mesti mengajak dan menyerang untuk orang menyokong kita – menyerang perbuatan, kita bukan menyerang orang, tapi kita menyerang perlakuan yang bertentangan dengan nilai-nilai Islam itu sendiri. Jadi saya tidak melihat ada pertembungan dan pertentangan approach, tapi sebaliknya dakwah dan siasah itu saling memerlukan. Dalam dakwah mesti ada siasah, kalau tiada maknanya kita akan gagal.

Saya melihat siasah itu ialah kebijaksanaan, kelicikan dan kepandaian – kalau kita tiada kebijaksanaan, kelicikan, kepandaian dan siasah dalam melaksanakan dakwah kita, kita akan gagal dalam dakwah kita. Begitu juga jika dalam siasah tiada unsur dakwah, iaitu unsur nak memberi penerangan dan pemujukan dan sebagainya, kita juga akan gagal dalam siasah kita kerana kita gagal menyampaikan satu mesej yang terang kepada masyarakat.

Jadi, dakwah dan siasah saling bertemu antara satu sama lain.

TITM: Saya melihat ianya tidak bertentangan kerana dakwah bukan bermakna mengajak dengan lemah lembut sahaja… sebaliknya dakwah dilakukan dengan tiga cara yang dinyatakan oleh Allah, iaitu hikmah, contoh tauladan yang baik serta berdebat dengan cara yg berakhlak.

Hikmah bukan lemah lembut, hikmah ialah melakukan dakwah sesuai dengan keadaan, ada masanya kita perlu menyerang, herdik, gertak dan serangan secara hujjah, itu adalah medan dakwah, dan itulah juga uslub politik PAS.

Kita menggunakan pentas ceramah bagi menyedarkan rakyat terhadap penyelewengan kerajaan UMNO-BN. Kita membongkar penyelewengan mereka, kita mendedahkan salahguna kuasa mereka.

Kita sebut nama bukan untuk membongkar peribadi, tetapi atas sifat dia sebagai pemimpin yang rakyat perlu tahu. Kita perlu mendedahkan semua yang terlibat kerana rakyat mempunyai kepentingan untuk mengetahuinya.

Saya masih ingat, bilamana Imam Malik mengajar bab perawi hadis, beliau menyebut Si Fulan - Si Fulan adalah adil, terima hadis riwayatnya, tapi Sifulan bin Si Fulan adalah fasik, jangan terima hadisnya.... lalu bangun seorang muridnya menegur beliau dengan berkata, "Apakah kamu nak mengajar atau nak mengumpat?"… lalu dijawab oleh imam Malik, “Ini bab saya menasihati kamu tentang dirinya (perawi), bukan dalam bab mengumpat kepadanya.”

Demikian uslub dakwah dan siasah Islam tentulah sama, dan tidak ,menimbulkan pertembungan seandainya kita memahaminya.

Istimewa buat peminat kolum Minda Naib Presiden sempena Hari Jadi Datuk Tuan Ibrahim. Selamat Hari Jadi Datuk!

Kenangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sempena hari lahirnya 27 Ogos

27hb Ogos baru berlalu, tarikh keramat yang mengimbau bagaimana kini usiaku semakin lanjut. 50 tahun lalu aku dilahirkan oleh ibu, Nik Hasanah binti Nik Mat, adik kepada Nik Aziz Nik Mat.

Ibu pernah menceritakan pengalaman bagaimana sewaktu mengandungkanku lebih kurang 3 bulan. Dia mengidam nak makan ubi kayu bakar, terasa sedap jugak. Ibu menceritakan bagaimana dia pada suatu petang hari berjalan ke rumah jiran yang kebetulan ada menanam ubi kayu yang agak luas. Untuk membeli beberapa puluh sen, rasanya tiada masalah sangat. Biasalah orang mengidam tak makan banyak, beliau terus ke rumah jiran tersebut. Bilamana sampai di hadapan rumah jiran ibu memberi salam, dan menjelaskan hajat untuk membeli ubi kayu (dalam 20 sen) sambil menceritakan rasa mengidam nak makan ubi kayu bakar. Masa itu 20 sen dah kira dapatlah seguni ubi kayu.

Tapi sayang tuan rumah menjawab: “Ubi kayu tidak dijual 20-30 sen, jual banyak sekali gus, sikit-sikit tak jual, maaf je lah ye….” Ibu sangat terasa hati dengan jawapan tersebut. Ingatkan dapat percuma, biasalah orang kampung kalau mengidam punya pasal, kita bagi sahaja. Tapi ibu merayu agar dia juallah sedikit, namun jawapannya tetap sama. Ibu terus pulang dalam keadaan sangat kecil hati dan rasa tersinggung dengan tindakan jiran itu.

Sambil balik ibu menceritakan ia mengadu dalam hati alangkah baiknya kalau Allah mengajar agar manusia insaf. Manusia boleh memiliki tanah, tapi yang mengeluarkan isi (hasil) adalah Allah. Kalaulah hujan turun, agaknya baru dia insaf… Bukanlah berdoa, tetapi hanya kerana rasa terkilan. Selepas solat Maghrib, tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya sehingga Subuh.

Keesokan hari bilamana hujan berhenti hampir 8.00 pagi, ibu membuka tingkap rumah. Didapati seluruh kawasan tanaman ubi ditenggelami air. Ubi kayu memang pantang tenggelam air, akan rosaklah ia.. Apabila ibu membuka pintu rumah, didapati ada beberapa ketul ubi kayu diletakkan di atas pelantar rumah. Maka dapatlah ibu makan ubi bakar, kuranglah rasa mengidamnya.

Itulah sedikit kisah waktu ku dalam kandungan. Masa tu manalah kita tahu. Kisah ini ibu ceritakan kepadaku bilamana beliau mengingatkanku jangan sombong dengan apa yang dikurniakan oleh Allah kepada kita. Nasihat itu masih tergiang-ngiang di telinga. Mengenang hari lahir ini teringat bagaimana seorang ibu menahan penderitaan di saat melahirkan kita. Semoga Allah sentiasa memelihara ibu, ayah dan semua sahabat seperjuangan

Tiada ulasan: