Khamis, 8 Julai 2010

FIKIRKAN LAH...BERITA DUNIA....ALLAH MAMPU MENTAKDIR APA SAJE....KERANA ALLAH BERKUASA ATAS SEGALA SESUATU...

Kes tentera Israel bunuh diri makin meningkat



2010/07/08

TEL AVIV: Israel menyatakan kebimbangan terhadap peningkatan kes bunuh diri di kalangan anggota tenteranya selepas berlaku peningkatan ketara sejak awal tahun ini.

Akhbar Ynet melaporkan, seramai 19 tentera membunuh diri setakat ini berbanding 21 orang sepanjang tahun lalu.


Akhbar itu berkata, peningkatan itu berlaku ketika tentera mengambil pelbagai langkah bagi mengekang kes bunuh diri.


Pada 2000, sebanyak 30 kes bunuh diri direkodkan, manakala 35 kes serupa dilaporkan pada 2005.


Bagi mengekang kejadian itu, tentera melancarkan program latihan bagi membantu pegawainya mengesan kemurungan psikologi serius dalam pasukan berkenaan. Melalui program itu, jumlah tentera yang dibenarkan membawa pulang senjata api ke rumah berjaya dikurangkan. - Agensi



Pemuda perjuang poligami



2010/07/08

JEDDAH: Sekumpulan lelaki muda Arab Saudi melancarkan usaha menggalakkan poligami sebagai cara untuk mengakhiri masalah anak dara tua di kalangan wanita di negara itu.

Mereka melancarkan kempen dalam Facebook berjudul ‘Kami Mahu Empat Isteri,’ dan meminta setiap lelaki Saudi yang berkemampuan, berkahwin empat bagi mengurangkan jumlah wanita tidak berkahwin di negara itu.


Tidak ada statistik mengenai jumlah wanita negara itu yang tidak berkahwin.


Namun, jumlah mereka dipercayai ramai kerana kos terlalu tinggi untuk mendirikan rumah tangga.


“Setiap lelaki Saudi yang berkemampuan dari segi kewangan dan fizikal untuk berkahwin lebih daripada seorang tidak perlu teragak-agak untuk berkahwin lebih bagi membantu menangani masalah wanita yang tidak berkahwin.


“Dengan berbuat demikian mereka juga membantu mengekang kos perkahwinan yang tinggi yang menjadi punca ramai pemuda mengelak untuk berkahwin,” kata kumpulan itu.


Keluarga juga didesak supaya tidak menyulitkan persediaan perkahwinan dengan meminta wang hantaran yang tinggi dan tanggung jawab kewangan yang tidak boleh disediakan oleh bakal pengantin lelaki.


Selain itu, kumpulan berkenaan meminta kaum lelaki yang berkahwin lebih daripada satu supaya berlaku adil dan melayan isteri secara sama rata seperti yang dituntut oleh Islam.


Sementara itu, sekumpulan pemuda Saudi lain yang melancarkan kempen yang sama, juga dalam Facebook berkata, Islam tidak mencipta poligami sebaliknya hanya menghalalkannya.


Mereka juga berkata, Barat melihat lelaki Islam yang berkahwin lebih daripada satu dengan penuh prasangka, lebih-lebih lagi ada di kalangan mereka yang tidak mengikuti syarat yang telah ditetapkan agama itu.


“Jangan anda berkahwin isteri kedua semata-mata kerana mahu berkahwin. “Anda hanya perlu kahwin apabila ada keperluan untuk beristeri kedua, ketiga dan keempat dan jika anda berkemampuan dari segi kewangan untuk menyara mereka secara adil,” kata kumpulan itu. - Agensi


Nato ‘serang’ tentera Afghanistan



2010/07/08

GHAZNI: Polis semalam berkata, enam tentera Afghanistan terbunuh selepas diserang secara tidak sengaja oleh tentera udara Nato di negara itu.

Menurut pegawai polis Ghazni, Nawruz Ali Mohamoodzada, serangan Nato itu disasarkan ke atas pos tentera Afghanistan dan membunuh enam anggotanya.


Katanya, serangan udara itu pada asalnya ditujukan kepada militan Taliban.


“Ia tersilap dan terkena pos tentera yang menempatkan tentera kerajaan.


“Siasatan kes itu kini dijalankan pihak berkenaan,” katanya.


Serangan udara oleh tentera Barat ke atas Taliban membunuh ramai orang awam dan anggota keselamatan tempatan sebelum ini dan ia menjadi alasan pelbagai pihak membantah kehadiran tentera asing di negara itu.


Sementara itu, jurucakap Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) berkata, mereka masih mengumpul maklumat lengkap mengenainya.


Ketika ini ada kira-kira 140,000 tentera asing ditempatkan di seluruh Afghanistan untuk memerangi militan bersama pasukan keselamatan kerajaan.


Dalam perkembangan berkaitan, laporan diterbitkan semalam mendakwa Britain - negara kedua paling ramai memiliki tentera di Afghanistan selepas Amerika Syarikat - memutuskan untuk berundur dari kawasan kritikal di selatan negara itu.


Mereka akan menyerahkan tugas kawalan keselamatan di itu kepada AS. Menurut stesen penyiaran Britain, BBC, Setiausaha Pertahanan Britain, Liam Fox, dijangka membuat pengumuman mengenai pengunduran dari daerah Sangin di wilayah Helmand itu, hari ini.


Seramai 312 tentera Britain maut di Afghanistan sejak 20011. - AFP



Konduktor muzik terkenal dituduh rogol budak lelaki



2010/07/08

BANGKOK: Konduktor muzik terkenal Russia, Mikhail Pletnev menghadapi tuduhan merogol seorang budak lelaki bawah usia 15 tahun di Thailand.

Dia boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.


Pletnev, Pengarah Artistik Orkestra Kebangsaan Russia dan juga pemenang anugerah Grammy, bagaimanapun dibebaskan semalam selepas membayar ikat jamin sebanyak 300,000 baht (RM30,000) selepas ditangkap pada hari yang sama di Pattaya.


“Dia menghadapi tuduhan merogol budak lelaki bawah umur 15 tahun yang membawa hukuman penjara empat hingga 20 tahun,” kata pegawai kanan polis, Leftenan Kolonel Omsin Sukkanka.


Katanya, polis menimbang sama ada akan turut mendakwa Pletnev atas tuduhan menahan juvana secara haram.


“Dia perlu melapor diri di mahkamah setiap 12 hari dan jika ingin ke luar negara, perlu mendapat kebenaran mahkamah kerana kami sudah memaklumkan kesnya kepada pihak imigresen,” kata Omsin. - Reuters


Tiada ulasan: