Khamis, 22 Julai 2010

KENA SIFAT MEMADA SERTA SABAR SERTA JANGAN TAMAK...NI TERPULANG NIAT PERJUANGAN ISLAMNYA

Hasan Ali dikait lagi dengan isu Umno-PAS
Jimadie Shah Othman
Jul 22, 10
4:23pm

Datuk Dr Hasan Ali tidak pernah lekang dirundung kontroversi dan kali ini pesuruhjaya PAS Selangor dan pakar motivasi itu, dikaitkan lagi dengan isu kerjasama Umno-PAS.

Selepas selamat daripada diheret ke muktamar khas seperti cadangan awal Mursyidul Am Datuk Nik Aziz Nik Mat tahun lalu, tersebar pula khabar angin Dr Hasan menemui mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria - yang menawarkan diri sebagai pengantara - bagi membincangkan perkara itu.

Semuanya bermula apabila Harussani baru-baru ini mendedahkan terdapat pemimpin PAS dan Umno menemuinya bagi membincang dan meminta pandangan beliau berhubung cara untuk menyatupadukan kedua-dua yang bermusuh itu.

Bagaimanapun, ekoran pendirian Harussani yang enggan mendedahkan nama pihak terbabit, timbulnya lebih banyak spekulasi, khususnya di laman blog dan antara pemimpin akar umbi PAS sendiri.

Sebuah blog yang tak jemu-jemu membangkitkan isu tersebut - dengan mengaitkannya dengan idea kerajaan perpaduan - Malaysia Waves dengan terang-terang mendakwa pemimpin yang dimaksudkan Harussani itu ialah Dr Hasan.

"Seperti saya kata sebelum ini, ada video yang diambil perjumpaan Harussani dengan Hasan Ali (dan mungkin Khairuddin Othman sekali)," katanya penulisnya Abdul Rahman Talib.

Khairuddin Othman merupakan setiausaha PAS Selangor.

Abdul Rahman yang lebih dikenali sebagai 'Tulang Besi' bagaimanapun berkata beliau bersangka baik dan "kemungkinan Hasan Ali cuma mahu berjumpa untuk mendapat maklumat sahaja".

ADUN PAS akui pertemuan

Pertemuan tersebut dirakam dalam bentuk video dan pemiliknya tidak mahu mendedahkannya kecuali Dr Hasan Ali menafikan sendiri pertemuan itu, tulisnya dalam artikel berjudul 'Harussani jumpa Hasan Ali' semalam.

Tidak jelas butiran lanjut pertemuan tersebut, bagaimanapun difahamkan pertemuan tersebut diadakan di sebuah hotel di Ampang pada penghujung bulan lalu selama kira-kira 20 minit.

Desas-desus berhubung kesahihan pertemuan itu dikuatkan lagi apabila seorang pemimpin PAS Perak Khalil Idham Lim mengakui kewujudan pertemuan itu.

Menurut ketua penerangan PAS negeri itu Khalil Idham Lim, beliau tahu dengan siapa Harussani bertemu, di mana pertemuan itu diadakan - lengkap dengan tarikh dan jam pertemuan.

"Tetapi saya masih tidak berhasrat untuk mendedahkan dengan lebih jelas maklumat yang saya miliki ini," katanya yang juga ADUN Titi Serong.

Menulis dalam blognya pada 18 Julai, Idham bagaimanapun mendakwa pertemuan tersebut sebenarnya bagi tujuan lain - yang tidak dinyatakan.

"Matlamat pertemuan itu saya sahkan bukan untuk membincangkan isu perpaduan antara PAS dengan Umno seperti yang didakwa olehnya (oleh Harussani)," katanya dalam artikel berjudul 'Saya tahu siapa jumpa Harussani'.

Usaha Malaysiakini mendapatkan ulasan Harussani dan Dr Hasan buat masa ini masih belum berhasil.

'Tunggu Dr Hasan dari UK'

Bagaimanapun, Khairuddin ketika dihubungi menafikan perkara itu.

"Saya nafi terlibat (dalam pertemuan itu). Minta siapa yang buat kenyataan tersebut kemukakan bukti. Jangan sewenang-wenangnya menuduh," katanya melalui SMS kepada Malaysiakini.

Manakala ketua penerangannya PAS negeri Roslan Shahir Mohd Shahir pula ketika dihubungi pula memberitahu pihaknya sedia maklum terhadap dakwaan tersebut.

Mengakui sudah mempunyai penjelasannya, beliau bagaimanapun berkata biarlah perkara itu dijawab oleh Dr Hasan sendiri.

"Beliau sekarang berada di United Kingdom. Esok malam insya-Allah beliau pulang," katanya yang juga bekas setiausaha akhbar kepada preden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sejak 2008, tidak berapa lama setelah Pakatan Rakyat mengambil alih Selangor, Dr Hasan dilanda pelbagai kontroversi, antaranya berhubung isu penguatkuasaan penjualah arak, hubungannya dengan DAP dan rombakan kontroversi dalam PAS Selangor.

'Kemarahan' Nik Aziz pada Oktober tahun lalu yang mencadangkan PAS mengadakan muktamar khas bagi membincangkan isu "dua tiga kerat pemimpin bermasalah", termasuk Dr Hasan dianggap sebagai cabaran paling getir buatnya




'Pecat pemimpin temui Harussani'
Jul 22, 10 6:55pm
PAS diingatkan supaya bertindak tegas terhadap pemimpinnya yang mengadakan pertemuan dengan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria bagi meminta beliau mengusahakan kesatuan parti itu dengan Umno.

Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata sekiranya terdapat mana-mana pemimpinnya terlibat walaupun atas kapasiti peribadi, pemimpin berkenaan boleh dikatakan tidak wala' (setia),

"Ini kerana dasar parti jelas dan ditegaskan dalam tiga muktamar berturut-turut. Kukuhkan Pakatan Rakyat dan tolak perpaduan dengan Umno!" kata Khalid tanpa menyebut secara langsung nama pemimpin itu.

Setakat ini, isu pertemuan yang didedahkan Harussani itu masih menjadi misteri apabila mufti veteran itu memilih tutup mulut berhubung perkara itu.

Bagaimanapun tersebar di laman-laman blog dan menjadi buah mulut di kalangan pemimpin akar umbinya bahawa pemimpin yang dimaksudkan ialah pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali.

Dr Hasan yang juga exco kerajaan negeri sendiri setakat ini belum tampil mengesah atau menafikan dakwaan itu.

Menulis dalam blognya hari ini, Khalid berkata, tindakan "pemimpin itu" menyulitkan PAS, mengelirukan ahli-ahli dan menimbulkan fitnah di kalangan parti-parti rakan dalam Paktan.

Surat tunjuk sebab

Tambahnya, tindakan tersebut berpotensi untuk melemahkan Pakatan dan pastinya disahut oleh musuh politknya Umno dan parti komponen dalam BN.

"Pemimpin tersebut patut diberi surat tunjuk sebab. Dan sekiranya didapati benar beliau bertemu dengan tujuan tersebut (menyatupadukan Umno-PAS), maka beliau patut diminta tinggalkan parti.

"Dan sekiranya enggan, (hendaklah) dipecat dari parti," katanya lagi.

Khalid - kini masih digantung sebagai ahli jawatankuasa pusat PAS - berkata sekiranya pertemuan itu benar-benar berlaku ia merupakan sesuatu yang malang kerang masih ada pemimpinnya "menganggap Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu".

"Ini bermakna ada pimpinan yang 'tidak cukup tarbiahnya' (didikan) dan oleh itu mereka perlu diturunkan daripada kedudukan mereka sebagai pemimpin.

"Mereka bukanlah seperti saya, seorang ahli biasa (sehingga hujung bulan ini) tetapi mereka 'pemimpin' dan oleh itu perlu dipertanggung-jawabkan atas tindakan mereka dengan lebih tegas lagi.

"Kalau tidak, maka (PAS) akan semakin celaru," tambahnya




Tolak perpaduan asabiyah Umno
Mohd Rashidi Hasan
Mohd Rashidi Hassan

Sebagai sebuah parti Islam, PAS mengasaskan perjuangannya untuk memupuk dan memperkuatkan ukhuwwah Islamiah serta menyuburkan rasa perpaduan di kalangan rakyat dalam segenap aspek.

PAS mengasaskan perpaduan di atas prinsip Islam, memperkenalkan nilai-nilai Islam dalam usaha menegakkan keadilan dalam bidang politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya.

Pada pendapat PAS, perpaduan mestilah dipaksikan dengan ketakwaan kepada Allah SWT.

Prinsip-prinsip ini digariskan dengan jelas menerusi firman Allah (mafhumnya):

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.

"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya." (Surah al-Imraan, ayat 102-104)

Adapun sejak akhir-akhir ini Umno mula memainkan kembali 'jarum' perpaduan, kononnya masa depan Islam dan Melayu akan musnah jika PAS dan Umno tidak bersatu.

Kita mengajak kepimpinan Umno dan ulama-ulama yang sewaktu dengan mereka, untuk menghayati dan memperhalusi ayat-ayat Allah yang dipaparkan di atas.

Sebelum ulama-ulama upahan ini menjadi orang tengah untuk menyatupadukan PAS-Umno di atas dasar Islam dan Melayu, mereka harus mengkaji dan menilai kembali, pada aspek mana perjuangan Umno dan pelaksanaan pemerintahannya selama lebih 50 tahun ini, menepati ayat-ayat di atas?

Umno yang mendakwa dirinya parti Melayu-Islam tidak pernah mengasaskan tunjang pemerintahan di atas dasar takwa kerana asas perjuangan mereka adalah nasionalisme atau asabiyah.

Asabiyah yang dianuti Umno merosakkan mereka. Umno adalah Melayu, PAS juga Melayu. Tetapi mengapa mereka memusuhi PAS sekian lama, menindas dan mendiskriminasi pemimpin, ahli dan penyokong PAS? Mereka juga meminggirkan kerajaan negeri yang dipimpin oleh PAS.

Selain daripada itu Umno juga menghalang pelaksanaan Islam yang diperjuangkan oleh PAS. Umno juga menyekat, melarang dan menangkap pemimpin-pemimpin PAS yang menyampaikan kuliah di masjid-masjid dan surau-surau.

Ini belum termasuk dasar-dasar kerajaan yang menghancurkan masa depan Melayu seperti PPSMI, dasar bahasa dan sebagainya.

Hakikatnya, perjuangan Melayu-Islam untuk sudah jauh tersasar. Mereka terlalu rasis sehingga meminggirkan bangsa Melayu sendiri. Yang dipimpin, dibela, diberi biasiswa, dibantu hanyalah Melayu Umno.

Umno tidak layak menjadi parti harapan orang Melayu lagi. Umno harus dibubarkan kerana ia sudah gagal. Ia adalah parti yang memperjuangkan asabiyah sempit, parti kroni dan juak-juak.

Dalam keadaan Umno yang semakin di penghujung hayat, mereka cuba bergayut di dahan PAS dengan mengumpan agenda perpaduan. Hakikatnya Melayu tiada pilihan lain selain bersatu di bawah payung PAS. Selepas perjuangan Melayu gagal membela Melayu, kali ini beri peluang kepada parti Islam, perjuangan Islam untuk memelihara martabat Melayu


Tolak isu perpaduan, fokus 'sistem dua parti'
PAS sewajarnya fokus pada
usaha mewujudkan sistem dua parti, bukannya ghairah menyambut rancangan
'kerjasama Umno-PAS' yang dipopularkan semula oleh beberapa pemimpin
Umno, kata penganalisis politik, Prof Dr. Abdul Aziz Bari.
Ini kerana, katanya Umno yang dianggap mengidapi virus berbahaya bakal memusnahkan kekuatan yang sedia ada pada PAS sekarang.
"PAS perlu fokus dalam mewujudkan sebuah sistem dua parti yang akan
membantu memperkasa rakyat di negara, PAS akan dikutuk oleh rakyat jika
termakan dengan gula-gula Umno.
"PAS akan dijangkiti Aids yang Umno hidapi sekarang," ujarnya sebagaimana dipetik dari email beliau kepada Harakahdaily.
Beliau yang juga pakar perlembangan di Universiti Islam Antarabangsa
Malaysia berkata, rancangan tersebut yang kononnya untuk perpaduan
Melayu itu wajar dipertikai.
"Persetan perpaduan Melayu kerana dalam Umno sendiri berpecah, elok Umno masuk PAS atau PKR," tegasnya.
Difahamkan, rancangan Umno tersebut mungkin setelah melihat minat
masyarakat Melayu umumnya masih bersama Barisan Nasional, sedangkan
masyarakat bukan Melayu lebih berminat pada PAS dan Pakatan Rakyat,
sebagaimana pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) dua tahun lalu.
Ekoran itu, beliau berkata, rancangan tersebut bakal mengukuhkan sokongan Melayu pada Umno BN, bukannya Pakatan Rakyat.
Melihat pada permainan itu, katanya lagi, rakyat umumnya mungkin
bakal menolak PAS di Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kelak
sekiranya pemimpin PAS di negeri itu masih berminat untuk mengadakan
'pelan damai Umno-PAS' yang kononnya demi kepentingan Melayu.
Ini kerana, menurut beliau, kemenangan PAS serta Pakatan Rakyat di
peringkat nasional dan beberapa negeri umumnya adalah hasil sokongan
masyarakat bukan Melayu.
"Yang teringin nak bekerja dengan Umno, lupa diri negeri-negeri
Pakatan, termasuk Kedah, akan jatuh kerana orang bukan Melayu akan marah
dengan PAS, ia perlu ingat," jelas beliau sambil menasihatkan PAS
supaya kembali melihat pada lanskap 'politik baru' PRU12 lalu.
Pun begitu, beliau mengaku bahawa masyarakat Melayu di Kelantan pada
pilihan raya umum lalu banyak membantu PAS dan Pakatan Rakyat di negeri
itu.
Dari segi yang lain, beliau berkata, imej PAS bakal dipandang serong
oleh rakyat dan parti-parti komponen Pakatan Rakyat sekiranya PAS
terperangkap oleh rancangan terbaru Umno itu.
"PAS akan tersungkur serta dikenang sebagai tidak setia dan menikam dari belakang oleh rakan-rakan dalam Pakatan.
"Imej jangka panjang ini perlu PAS ingati, selain pengalaman dalam BN
pada 1972 hingga 1977 lalu, landskap politik baru itu akan menelan
PAS," tegas beliau.
Beliau turut menyuarakan rasa yakin bahawa rakyat tetap melakukan
perubahan pada pilihan raya umum yang dijangka berlangsung tidak lama
lagi walaupun PAS masih berminat dengan rancangan tersebut.
"PRU 13 cerah tapi kalau PAS masuk perangkap Umno, ia akan bungkus
dan Umno akan hidup. Umno perlukan talian hayat," ujarnya lag


Sabtu, 2010 Julai 24

PKR yakin Pas setia

SHAH ALAM – Parti Keadilan Rakyat (PKR) percaya kepada komitmen kepimpinan Pas untuk menolak kerjasama dengan UMNO sebaliknya setia dengan komitmen kerjasama yang dimeterai dalam Pakatan Rakyat (PR).

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, Pas sebelum ini telah menyatakan pendirian rasmi untuk terus bersama berjuang dengan PR.

“Ini dapat dilihat apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hadir setiap kali pertemuan dengan pimpinan PR dan Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyatakan Pas tidak goyah dan setia bersama PR.

“Malahan, terdapat banyak respons daripada pimpinan Pas yang menolak kerjasama tersebut dilaksanakan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui dalam kunjungannya ke kompleks Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd, semalam.

Nurul Izzah berkata, isu sama juga menampakkan berlakunya percanggahan dalam UMNO melibatkan Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap komitmen kerjasama tersebut.

“Ini kerana Najib kurang ‘responsive’(memberi maklum balas) berbanding Muhyiddin yang nampak beria-ia kerjasama tersebut dapat dilaksanakan.

“Mereka akan terus mencanang isu kerjasama ini sehingga pilihan raya umum akan datang untuk menunjukkan komitmen kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, UMNO perlu bersatu sebelum membincangkan kerjasama Pas dan UMNO.

“Pas bukan lagi seperti dahulu kerana mereka masih mengingati apa yang berlaku pada tahun 1970 an setelah rakyat menghukum parti tersebut.

“Parlimen kita mempunyai lebih daripada 200 Ahli Parlimen Melayu, maka isu berkaitan hak dan sebagainya tidak timbul malahan DAP menunjukkan komited dan menghormati hak tersebut,” katanya.

Beliau berkata, kewujudan pembangkang adalah sihat untuk persaingan politik Melayu kerana dapat menonjolkan polisi yang lebih baik dan masalah masyarakat dibangkitkan.



Hassan Ali akui jumpa Mufti Perak

Posted by admin on July 24th, 2010

KENYATAAN AKHBAR YB DATO DR HASAN BIN MOHAMED ALI
AHLI EXCO KERAJAAN NEGERI SELANGOR

Kerajaan Negeri Selangor tidak pernah menyekat malah sentiasa menggalakkan ahli-ahli Exconya mengadakan pertemuan dengan mana-mana pihak tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik mereka.

Pertemuan seperti ini diatur bagi meningkatkan keupayaan, kemampuan, prestasi serta profesionalisme ahli-ahli Exco berkenaan. Dengan cara ini sistem pengurusan dan pembangunan negeri terus dapat dipertingkatkan.

Pertemuan saya dengan Dato’ Mufti Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan pada kira-kira dua bulan yang lepas merupakan salah satu daripada “engagement” sedemikian yang dilakukan atas sifat saya sebagai ahli Exco Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab secara langsung antara lainnya portfolio Hal Ehwal Islam dan Adat-adat Melayu.

Pertemuan tersebut diatur bagi membolehkan saya meninjau ilmu dan pengalaman beliau secara amali mengurus Hal Ehwal Islam dan Adat-adat Melayu. Saya dimaklumkan beliau telah berkhidmat lebih 30 tahun sebagai Mufti dan sebelum itu menjawat jawatan sebagai Kadhi Besar Negeri Perak Darul Ridzuan. Ilmu dan pengalaman yang begitu luas yang beliau miliki sudah tentu dapat dimanfaatkan untuk kebaikan bersama dan umat Islam seluruhnya.

Saya ingin menegaskan bahawa:

1. Pertemuan tersebut adalah pertemuan di antara saya selaku ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor dengan beliau selaku Mufti Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan;

2. Pertemuan diatur bagi meraih kebaikan bersama demi untuk kemajuan Islam dan kesejahteraan umat;

3. Pertemuan tersebut bukan pertemuan sulit, malah diadakan secara terbuka ditempat yang terbuka.

4. Saya tidak pernah diberi mandat oleh parti saya untuk membincangkan hal-hal politik perpaduan, oleh itu tidak ada agenda khusus membincangkan soal itu;

5. Pertemuan tersebut tidak menatijahkan apa-apa tindakan susulan di kedua-dua pihak bahkan tidak ada sebarang perhubungan antara kami berdua selepas itu;

6. Pertemuan itu diadakan sehari sebelum mesyuarat Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri. Saya telah diminta mewakili kerajaan negeri dalam mesyuarat tersebut. Saya menjadikan pertemuan itu sebagai sebahagian daripada persediaan saya menghadiri mesyuarat tersebut.

Kepada sesiapa yang mempunyai prasangka dan agenda jahat terhadap saya dalam hal ini, saya menyeru supaya mereka dapat merenung semula dan bermuhasabah diri agar tidak menghabiskan masa dengan kerja-kerja yang tidak memberi manfaat kepada kemajuan agama, parti yang sama-sama kita cintai dan umat seluruhnya. Marilah kita bersama-sama menumpukan tenaga dan pemikiran bagi menghadapi cabaran Pilihanraya Umum Ke 13 yang dijangka akan berlaku tidak berapa lama lagi.

Sekian terima kasih.

24 Julai 2010

YB Dato’ Dr Hasan Bin Mohamed Ali
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam,
Adat-adat Malayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam
Tingkat 2, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah,
40000 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

Tiada ulasan: