DUNIA
Ratusan lebah di tiang lampu di Soho
LONDON – Orang ramai yang melalui kawasan Soho di sini akan tertarik melihat sebatang tiang lampu yang dikerumuni dengan beratus-ratus ekor lebah liar, lapor sebuah akhbar semalam.
Kejadian pada musim panas di Wardour Street, Soho, di sini,
dirakam dan dimuatkan ke laman jaringan sosial Twitter oleh seorang penduduk tempatan yang meng-
gunakan nama samaran PopeRamone.
Kehadiran serangga itu mencetuskan sensasi di kalangan orang awam kerana populasi lebah ternak
dan lebah liar berkurangan dengan mendadak di Britain. Lebah-
lebah itu kelihatan bersantai dan berehat sekejap di tiang lampu tersebut.
Pada 2007, bilangan lebah madu Eropah mencatat penurunan besar sehingga mendorong beberapa siasatan dilakukan bagi mencari punca kemerosotan itu.
Lebah merupakan serangga tidak agresif tetapi sengatnya boleh menyebabkan kematian kepada mereka yang menghidap alahan. – Agensi
DUNIA
AS arah kapal tinggalkan Guam
HAGATNA - Pihak berkuasa Pulau Guam, sebuah wilayah Amerika Syarikat di Lautan Pasifik mengarahkan sebuah kapal supaya beredar dari sini selepas beribu-ribu ekor labah-labah keluar dari kargo kapal berkenaan.
Jabatan Pertanian Guam menyatakan, beratus-ratus labah-labah besar dan ribuan lagi yang lebih kecil dikesan apabila pekerja-pekerja sedang mengangkut keluar palang-palang insulasi untuk projek perumahan dari kapal berkenaan, M.V. Altavia.
Kargo tersebut dikembalikan ke kapal itu manakala Jabatan Pertanian pada Jumaat lalu mengarahkan supaya kapal tersebut tidak dibenarkan berlabuh.
Kali terakhir M.V. Altavia berlabuh adalah di Korea Selatan.
"Apabila terdapat banyak labah-labah yang beraneka saiz, ia tentunya telah bersarang dan membiak," kata Pengarah Jabatan Pertanian, Joseph Torres.
Beberapa pegawai pertanian yang bimbang haiwan itu akan merosakkan alam sekitar pulau berkenaan berkata, mereka tidak tahu jenis labah-labah tersebut tetapi ia bukan jenis yang biasa terdapat di Guam.
- AP
NEGARA
Terumbu karang Malaysia mula mati
LANGKAWI - Sebanyak 12 lokasi pelancongan - sembilan pulau taman laut dan tiga pulau lain yang kesemuanya di Kedah, Terengganu dan Pahang - terpaksa ditutup sehingga 31 Oktober ini berikutan kejadian pelunturan karang.
Fenomena yang menunjukkan tanda-tanda karang tertekan dan mungkin akan mati itu semakin meluas, malah ia mencapai status 90 peratus bagi sesetengah kawasan terumbu yang terjejas.
Ketua Pengarah Jabatan Taman Laut Malaysia, Abdul Jamal Mydin berkata, antara lokasi itu ialah Teluk Wangi, Pantai Damai dan Coral Garden di Pulau Payar di sini.
Beliau menambah, di Terengganu, kawasan yang terjejas ialah sembilan lokasi di Pulau Redang, dua di Pulau Perhentian Besar serta masing-masing satu di perairan Pulau Lima dan Pulau Tenggol.
Di Pahang, tiga lokasi yang dikenal pasti terletak di Pulau Tioman, Pulau Chebeh dan Pulau Tulai.
Pada masa yang sama, tiga pulau lain di Pahang iaitu Pulau Rengis, Pulau Tumok dan Pulau Soyak turut ditutup.
"Ini adalah kali kedua berlaku kelunturan karang dan ia lebih teruk berbanding kes pertama kali semasa fenomena El-Nino pada 1998,'' kata Abdul Jamal pada sidang akhbar di sini semalam.
Sidang akhbar itu turut dihadiri Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab.
Abdul Jamal berkata, antara punca berlaku kelunturan karang di semua perairan itu ialah pemanasan global.
Tambahnya, serentak dengan itu, sebuah jawatankuasa bertindak ditubuhkan dengan disertai pelbagai jabatan termasuk Kementerian Pelancongan, Jabatan Kerja Raya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya dan badan-badan bukan kerajaan.
Abdul Jamal berkata, setiap tahun taman laut di Malaysia dikunjungi lebih 500,000 pelawat dalam dan luar negara.
Beliau juga mengumumkan langkah mengehadkan jumlah pelawat ke Taman Laut Pulau Payar daripada 400 orang kepada 200 orang sehari bagi mengurangkan tekanan terhadap terumbu karangDUNIA
Misteri ratusan penguin mati
SAO PAULO - Sejumlah 500 ekor bangkai penguin ditemui terdampar di pantai Brazil sejak 11 hari lalu, kata seorang pakar biologi di Akuarium Peruibe, Thiago do Nascimento.
Sebahagian besar daripada haiwan jenis Magellan itu datangnya dari Argentina, Chile dan Pulau Falklands yang berhijrah untuk mencari makanan mati akibat kelaparan.
Nascimento berkata, bedah siasat terhadap beberapa penguin itu mendapati perut mereka kosong tanpa makanan.
Namun, saintis-saintis masih menyiasat sama ada cuaca sejuk atau aktiviti manusia sebagai punca kematian.
Katanya, memang menjadi kelaziman pada waktu ini apabila penguin berenang untuk berhijrah ke bahagian utara dan malangnya ada sebilangan kecil yang akan maut akibat kelaparan atau kepenatan.
"Namun, kali ini jumlah yang mati amat besar," kata Nascimento. - AP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan