Jaja kismis
2010/07/30
KUALA LUMPUR: Kegiatan sekumpulan pelajar sekolah agama menjaja kismis untuk menampung yuran pengajian dan asrama dikesan masih aktif di beberapa lokasi di ibu negara dan Lembah Klang terutama sekitar Jalan Raja Laut, Masjid Negara dan Shah Alam.
JAJA...antara pelajar sekolah agama yang menjaja kismis di ibu kota.
JUAL...seorang pelajar sekolah agama menjaja kismis di ibu kota.
Tinjauan Metroplus di Jalan Raja Laut dan Masjid Negara mendapati lebih 10 remaja belasan tahun memegang kotak kismis sambil memujuk orang ramai membeli jualan mereka.
Seorang pelajar sekolah agama berusia 14 tahun yang enggan namanya didedahkan memberitahu dia melakukan kerja itu secara sukarela, bukan dipaksa guru atau individu lain.
Katanya, dia tidak pernah meminta sedekah, tetapi melakukan kerja halal untuk mendapatkan wang bagi menyara hidup apabila bapanya yang bekerja di kilang ais di Pahang dan hanya memberinya RM10 sebulan.
“Saya perlu bekerja dan berdikari mencari wang alternatif bagi membayar yuran sekolah RM150 sebulan selain membeli keperluan harian lain kerana ayah perlu menyara ibu dan enam adik-beradik lain.
“Saya menjual kismis pada hujung minggu dengan memperoleh bekalan dari sekolah dan akan memberi separuh hasil jualan kepada sekolah bagi membaik pulih kelengkapan serta separuh lagi disimpan untuk belanja harian,” katanya ketika ditemui di Jalan Raja Laut di sini, baru-baru ini.
Seorang lagi pelajar yang ditemui, berkata dia menaiki komuter dari Rawang dan mencari kawasan sesuai menjual kismis.
“Saya melakukan kegiatan ini sejak setahun lalu secara sukarela kerana mahu menghabiskan masa lapang dengan aktiviti berfaedah.
“Kami akan keluar pada hujung minggu dari jam 10 pagi dan akan pulang jam 6 petang selepas semua kismis habis dijual,” katanya.
Rakannya berusia 13 tahun pula berkata, mereka dibahagikan kepada beberapa kumpulan oleh pihak sekolah dan akan ditempatkan di kawasan strategik bagi menjual kismis
Katanya, dia memperoleh pendapatan kira-kira RM50 hingga RM100 sehari untuk membolehkannya berdikari tanpa meminta wang daripada keluarga.
Sementara itu, Pengarah Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Noormah Datuk Abd Rauf, berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memandang serius kegiatan berkenaan kerana ada pihak yang cuba menggunakan kanak-kanak bawah umur untuk kepentingan diri.
Katanya, mereka yang bersalah akan dikenakan tindakan kerana mempergunakan kanak-kanak untuk mencari wang yang menyalahi Akta Kanak-kanak 2001.
“Kami akan membuat pemantauan bagi menangani masalah itu dengan memberi nasihat kepada ibu bapa atau penjaga, sekiranya mereka masih menggunakan kanak-kanak untuk tujuan itu kami akan mengambil tindakan sewajarnya
“Sepatutnya ibu bapa atau penjaga kanak-kanak berkenaan mengambil berat dan menjaga mereka bukan menggunakan mereka untuk mendapatkan wang,” katanya ketika dihubungi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan