Imam Muda pun tak solat jemaah bersama
Moghni Asrori |
Saya terpanggil untuk menjawab tulisan Ustaz Zainudin Hashim dalam kolum Harakah keluaran Isnin 12 julai 2010 yang bertajuk ‘Masjid ikut nama sahabat Nabi tapi tak seaktif sahabat’. Sekali imbas apabila dibaca tajuk kolum ini ada benarnya akan tetapi apabila diamati isinya saya dapat faham bahawa Ustaz Zainudin ini jenis ustaz yang berfikiran orang kebanyakan atau orang awam bukan dari golongan tok guru yang banyak mengajar dan beramal dengan apa yang diajar, ustaz ini hanya setaraf dengan ustaz-ustaz yang berforum di rancangan TV untuk mendapat populariti. Banyak pandangan umum mengatakan masjid bukan tempat ibadat khusus sahaja, sebaliknya untuk ibadat lain juga. Pandangan ini sangat sinonim dengan jenis manusia yang liat datang berjamaah, mereka hanya datang ke masjid ketika untuk bernikah, ketika ada kematian dalam keluarganya dan ketika ada kelahiran cahaya mata. Kita tidak boleh membuta tuli dan lurus bendol membandingkan masjid di zaman Rasulullah dengan zaman sekarang. Walaupun dari satu segi kita mesti menjadikan sirah Rasulullah itu sebagai panduan, sepatutnya seorang yang mengaku sebagai ustaz ada fikiran, pandangan dan hujjah yang mantap dan boleh digunapakai oleh semua lapisan masyarakat. Masjid di zaman Rasulullah itulah segala-galanya sebagai Pejabat Presiden, Pejabat Ketua Turus Angkatan Tentera, Parlimen, Pusat Perdagangan dan bermacam- macam lagi yang tak perlu Ustaz Zainudin jelaskan kerana pelajar sekolah rendah agama pun tahu. Pada zaman sekarang perkara-perkara yang Ustaz Zainudin sebut tidak boleh dilakukan di masjid kerana manusai telah ramai dan masyarakat berkembang perlu kepada pentadbiran yang tersusun rapi untuk kemaslahatan umat dan keselamatan negara segalanya perlu diasingkan. Perlu diambil kira dari pelbagai sudut dan sekiranya Rasulullah hidup di zaman sekarang, saya percaya dan yakin Rasulullah akan membina pusat pentadbiran yang lebih hebat dari Putrajaya. Saya pernah dijemput dalam bengkel perancangan pembangunan masjid untuk 10 tahun akan datang di sebuah hotel. Pelbagai program dan cadangan yang dikemukakan oleh peserta bengkel, di antaranya perlu dibina kedai-kedai, gelanggang sukan, bank-bank, hotel dan bermacam-macam lagi kemudahan awam dengan tujuan supaya orang awam boleh membeli belah dan datang berjamaah. Saya terasa terpinga-pinga dan gelihati melihat peserta bengkel, dalam hati kecil saya berkata “kenapa bengkel ini tidak dibuat di masjid sahaja bukankah kita nak memakmurkan masjid, keduanya kenapa kita nak memakmurkan masjid tidak dirujuk kepada al-Quran dalam surah at-Taubah ayat 18”. Cuba kita lihat di Masjid India Kuala Lumpur, apa yang tidak ada di sekelilingnya. Adakah peniaga dan pengunjung datang berjamaah apabila masuk waktu solat? Di Masjid Wilayah Persekutuan sekarang sedang berlangsung proses penggambaraan Imam Muda oleh Astro Oasis. Apa yang sangat malang, apabila masuk waktu solat tidak seorangpun Imam Muda atau kru Astro yang solat berjemaah bersama dan yang lebih malang lagi Pengetua Imam Muda, Ustaz Hasan Mahmud Al-Hafiz dan Ustaz Zulkarnaian Al-Hafiz pun tidak turun sembahyang bersama. Dan kerap kali saya perhatikan sudah lewat waktu Asar walaupun jam telah menunjukkan pukul 6.00 petang sedangkan kedua mereka adalah menjadi idola orang PAS selalu dijemput berceramah di merata tempat. Segala kecacatan dan kepincangan masyarakat kebiasaannya disalahkan kepada imam. Imam dilempar dengan berbagai tuduhan di antaranya imam hanya bertugas ketika bertugas sahaja, imam tidak mesra masyarakat, imam tidak pandai menarik remaja datang ke masjid dan lain-lain lagi tuduhan yang tidak masuk akal sedangkan imam tidak mempunyai apa-apa kuasa, bahkan pos jawatan khusus untuk imam pun tidak ada dalam senarai perjawatan JPA. Berbalik kepada muslimah yang bermasalah dengan suaminya, sepatutnya muslimah itu berjumpa bahagian nikah kahwin di pejabat agama atau mahkamah syariah dan yang lebih baik Ustaz Zainudin sendiri yang tahu perkara itu berlaku tolong menyelesaikan, bukan menuduh yang bukan-bukan kepada imam, sampai bila Islam nak maju kalau kita asyik menuding jari kepada orang lain. Pada suatu hari dalam bulan Februari 2010, saya berurusan di Pejabat Tanah dan Galian Teluk Intan, kerana ada urusan pusaka arwah abang. Setelah selesai pegawai di pejabat tanah mencadangkan saya pergi ke mahkamah majistret yang bersebelahan dengan pejabat tanah untuk mendapatkan cop dan tandatangan hakim atau pesuruhjaya. Semasa saya sampai di mahkamah jam baru menunjukkan pukul 12.15 tengahari. Apa yang mendukacitakan salah seorang pegawai di mahkamah tersebut mencadangkan supaya saya datang pada pukul 2.00 petang. Walaupun hati saya terasa sakit dengan perbuatan pegawai tersebut tapi saya tetap sabarkan, dan saya terkenang sekiranya perkara seperti ini berlaku di pejabat saya pasti masyarakat akan riuh rendah menuduh imam tak berhati perut dan macam-macam lagi, akan tetapi oleh kerana berlaku di mahkamah tak seorang pun yang membuat tuduhan hakim tak berhati perut. Ketua Hakim Negara sendiri pun tak pernah ambil peduli. Moghni Asrori, Penolong Pengarah Kanan, Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan