Khamis, 29 Julai 2010

YANG BENAR TETAP BENAR...TERIMALAH...KALAU SALAH SEDARLAH SALAH...KALAU BENAR...TAHNIAHLAH...SEMUA KERJA KITA DIDUNIA AKAN DITANYA DAN DIHISAB ALLAH

FDI: Mustapa tidak bertanggungjawab, hina rakyat
Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 29 Julai: Jawapan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengenai kejatuhan pelaburan langsung luar (FDI) ke negara ini adalah tidak bertanggungjawab dan menghina pemikiran rakyat, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Mustapa mendakwa, FDI ke negara ini merudum begitu teruk ke tahap terburuk sehingga 81 peratus kerana Malaysia berada pada tahap pembangunan yang berbeza dengan jiran-jirannya.

"Mustapa enggan mengakui kegagalan kerajaan khususnya Kemneterian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mencipta peluang-peluang pelaburan di negara ini dengan berdalihkan ketiadaan pembangunan infrastruktur di negara ini seolah-olah negara ini maju sangat berbanding India atau Vietnam.

"Kalau Malaysia hebat sangat dari segi infrastruktur dan berada pada tahap pembangunan berbeza berbanding jiran-jirannya seperti Vietnam dan Indonesia, mengapa pembinaan kemudahan asas seperti jalan, bekalan elektrik dan air, serta jaringan komunikasi kepada kawasan luar bandar menjadi fokus Rancangan Malaysia Ke-10?" Mahfuz mempersoalkan.

Mahfuz juga menolak dakwaan Mustapa yang cuba mengaitkan kejatuhan terburuk FDI itu kerana kerajaan tidak berminat menarik pelaburan kategori rendah seperti pemprosesan dan pemasangan.

"Kerajaan yang tak berminat atau pelabur yang sebenarnya tidak berminat untuk melabur di negara ini yang terkenal dengan budaya rasuah parti pemerintahnya?

"Tidak cukup dengan kegagalan dan ketiadaan kebolehan menjalankan tugas, cakap berlagak pula untuk mewajarkan kegagalan. Inilah akibat dari sindrom DBS Umno - dah bodoh, sombong.

"Sebab itulah saya sifatkan jawapan Mustapa bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah menghina pemikiran rakyat kerana nampak sangat beliau cuba memperbodohkan rakyat," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Sepatutnya, kata beliau, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan timbalannya mengakui kelemahan mereka untuk menarik kemasukan FDI ke negara ini dan memohon maaf dari rakyat kerana tidak berkebolehan menjalankan tugas mereka.

"Reaksi menteri (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dan timbalannya tak ubah seperti yang disebutkan pepatah Melayu, diri sendiri tak tahu menari, salahkan tanah tinggi rendah - mereka menyalahkan segala-galanya termasuk blog kecuali diri mereka sendiri," katanya.

Sepatutnya lagi, kata Mahfuz lagi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan timbalannya meletakkan jawatan kerana kegagalan yang amat memalukan itu.

Perangai enggan mengaku kelemahan diri sendiri yang sudah sebati dengan Umno itu, katanya lagi. akan menghancurkan negara.

Mahfuz mengaitkan sikap itu dengan keyakinan bahawa mereka tidak akan dibuang.

"Tidak hairan kalau tidak ada accountability dan responsibility langsung di pihak menteri (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dan timbalannya kerana mereka yakin sangat mereka tidak akan dibuang kerja.

"Tambahan pula Najib sering dikaitkan dengan sikap yang lebih mengutamakan ‘tukang kipas’ daripada kepandaian dan kerajinan membuat kerja.

"Beliau juga dikatakan membuat perlantikan untuk mengambil hati dan menutup mulut pengkritik yang ditakutinya.

"Dan, lebih dari semua itu, kegagalan mereka adalah kegagalan Najib sendiri, takkan Najib nak membuang mereka dan dirinya sendiri," kata Mahfuz.



Kerat subsidi rakyat, bayar kroni RM222.58 juta

Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 29 Julai: Tindakan kerajaan mengarahkan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) membuat pembayaran RM222.58 juta kepada Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) membuktikan lagi bahawa kepentingan kroni lebih diutamakan berbanding rakyat, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Bernama melaporkan, semasa membuat keputusan itu, kerajaan melalui kenyataan Kementerian Pengangkutan mendakwa telah mengambil kira semua faktor berkaitan termasuk komitmen kerajaan kepada pemegang bon, serta tanggung jawab LPK di bawah perjanjian yang telah ditandatangani.

Salahuddin mempersoalkan, adakah ia merupakan tanggungjawab Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) atau tanggungjawab KDSB.

Beliau merujuk kepada laporan mengenai jaminan KDSB bahawa sebarang kekurangan dalam pembayaran semula bon adalah tanggungjawab syarikat tujuan khas itu dan wang rakyat tidak akan digunakan untuk membayarnya.

"Kerajaan perlu menjelaskan, tanggungjawab siapa untuk menanggung bebanan ini? Tanggungjawab rakyat atau KDSB?

"Kalau untuk rakyat, subsidi direntap, dikerat. Kalau untuk kroni, adakah kerajaan senang-senang belanjakan RM222.58 juta walaupun ahli lembaga LPK memutuskan tidak mahu membuat pembayaran tersebut," katanya.

Bagi Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, tindakan kerajaan itu menguatkan lagi ingatan rakyat kepada dakwaan salah seorang Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Datuk Tee Lian Ker bahawa ramai tokoh Umno dan MCA yang menerima wang dari Ketua Pegawai Eksekutif KDSB, Datuk Seri Tiong King Sing.

Tiong juga adalah Ahli Parlimen Bintulu dan Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC).

"Sebelum ini beria-ia (Menteri di Jabatan Perdana Menteri), Datuk Seri Idris Jala kata subsidi berterusan akan menyebabkan negara ini bankrap sembilan tahun lagi, tetapi pada masa yang sama kerajaan semakin kelihatan membelanjakan wang rakyat dengan sesuka hati," kata Salahuddin lagi.


Sambut baik Perkeso jual saham Carlsberg
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 29 Julai: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyambut baik tindakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menjual semula 2,155,700 unit saham dari syarikat arak Carlsberg Brewery Malaysia Berhad.

Pemangku ketuanya, Herman Samsudeen berkata, kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam di Dewan Negara semalam memberikan gambaran positif terhadap tindakan PAS yang selama ini menuntut agar Perkeso menjauhi perniagaan arak demi kepentingan awam yang telah mencarumkan hasil titik peluh mereka yang halal kepada agensi berkenaan.

DPPWP, katanya menyeru agar semua pemegang saham dalam syarikat-syarikat arak dan judi di negara ini mengambil langkah yang sama dengan menjual semua saham dan kepentingan mereka.

“DPPWP juga menyeru kepada kerajaan terutamanya Pakatan Rakyat supaya mengetatkan penguatkuasaan undang-undang penjualan arak agar ianya tidak dijual secara terbuka dan dihadkan kepada bukan Islam sahaja,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya, kewujudan premis penjualan arak serta pemborong juga perlulah dihadkan mengikut keperluan masyarakat setempat dan tidak diluluskan sewenang-wenangnya.

“DPPWP juga terus mendesak agar pihak berkuasa kerajaan tempatan di seluruh negara tidak membenarkan penjualan arak secara terbuka di premis 7 Eleven dan premis peruncitan yang lain,” ujarnya


Kemungkinan melioidosis dirahsiakan di Sarawak?
Aidila Razak
Jul 29, 10
1:09pm

Wabak penyakit 'melioidosis' atau bakteria disebabkan air dan tanah yang menular di Sarawak dikatakan menjejaskan pekerja di empangan hidroelektrik Bakun.

Namun menurut pegawai daripada Jabatan Kesihatan Sarawak, terdapat pekeliling yang dikeluarkan bulan ini yang melarang mereka daripada mengeluarkan sebarang maklumat berhubung melioidosis.

"Kami
menerima arahan daripada pegawai kanan agar tidak mengeluarkan sebarang maklumat bermula bulan ini, walaupun beberapa bulan sebelum ini, kami juga tidak keluarkan sebarang kenyataan,” katanya sambil menambah beliau tidak boleh mendedahkan sebab larangan itu.

Bagaimanapun Ketua Pengarah, Kementerian Kesihatan, Tan Sri Ismail Merican berkata beliau tidak dimaklumkan berhubung sebarang larangan itu.

Permohonan bertulis

Seorang pegawai di Jabatan Kawalan Penyakit Berjangkit juga menafikan berhubung larangan itu tetapi berkata sebarang maklumat akan hanya diberikan jika ada permohonan bertulis.

Wabak itu menarik perhatian apabila pada 10 Julai lalu, enam penduduk kampung yang terbabit dalam misi mencari dan menyelamat seorang mangsa lemas di Hutan Lipur, Lubuk Yu, dekat Maran, Pahang meninggal dunia dalam tempoh seminggu selepas operasi itu.

Sem

ua mereka yang terbabit dalam operasi bermula 26 Jun hingga 30 Jun itu, disahkan meninggal dunia akibat jangkitan bakteria leptospirosis (air kencing tikus) dan melioidosis (bakteria disebabkan air dan tanah).

Kejadian itu menyaksikan kawasan rekreasi itu ditutup dan dibersihkan oleh pelbagai agensi kerajaan.

Lebih menggemparkan lagi apabila dua hari lalu, seorang anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Jengka yang terlibat dalam operasi itu menjadi mangsa terbaru.

Malaysiakini menghubungi Jabatan Kesihatan Sarawak bagi mendapatkan perangkaan berhubung dakwaan wabak itu juga mungkin menular di kalangan pekerja pembinaan di empangan Bakun.

Bakun: Sembilan mati, 50 dijangkiti

Menurut seorang pegawai pengurusan bagi satu daripada sub-kontraktor projek berkenaan, sebahagian daripada pekerja di situ dijangkiti sejak projek itu bermula.

Pegawai yang tidak mahu dikenali itu melahirkan kebimbangannya kerana mendakwa beliau mempunyai maklumat berhubung sembilan orang yang telah meninggal dunia akibat dijangkiti sejak setahun lalu.

Katanya lagi, dia menjangkakan tidak kurang 50 lagi pekerja di syarikatnya telah pulih selepas menerima rawatan sepanjang tempoh yang sama.

Kebanyakan pekerja adalah rakyat asing dan mereka lazimnya dihantar pulang selepas dirawat kerana syarikat tidak mahu mengambil risiko kebimbangan penyakit itu menular.

Penyakit itu dilaporkan boleh kembali walaupun mereka yang telah dirawat itu telah pulih.

Dua di ICU

Dakwanya lagi, majikannya telah menghantar pulang 10 pekerja atas sebab berkenaan sepanjang tahun lalu dan ada juga yang dihantar pulang tanpa rawatan.

"Pekerja yang mati tidak menerima rawatan pada peringkat permulaan kerana mereka tidak melaporkan yang mereka sakit. Ini kerana mereka bimbang akan dihantar pulang,” katanya.

Pekerja-pekerja terbabit dipercayai terdedah kepada jangkitan ketika menjalankan tugas-tugas menggerudi tanah.

"Saya bimbang ini akan berterusan dan menular kepada pekerja di empangan Murum,” katanya.

Beliau juga mendakwa dua orang kini terlantar di unit rawatan intensif (ICU) di hospital Bintulu, termasuk seorang penduduk kampung masyarakat Belaga yang dipindahkan berikutan pembinaan empangan itu



Najib yang tersepit
Ahmad Lutfi Othman

Mulanya saya mahu tinggalkan sekejap isu sekitar karenah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang tidak habis-habis itu, juga hal permit penerbitan Suara Keadilan dan Roket yang belum diperbaharui, serta halatuju dan program KAMI (Kumpulan Aktivis Media Independen) bagi melobi dimansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

Ya ... banyak lagi isu di luar sana yang wajar disinggung waktu ini, misalnya kembang-kempis perpaduan PAS-Umno, kes saman ekor yang mengundang amarah rakyat atau sensasi pengguguran Timbalan Pendakwa Raya, Farah Azlina Abdul Latif dari pasukan pendakwaan kes Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Ramai beranggapan polemik kebebasan akhbar tidak menyentuh secara langsung kehidupan seharian rakyat yang makin terhimpit dan tersepit sekarang; ia hanya menarik minat pengamal media bebas, manakala kalangan wartawan media propemerintah pun seperti buat tak kisah saja.

Senario politik baru

Malah khabarnya ada segelintir aktivis media baru (laman web, blog dan seumpamanya) menganggap ia bukan isu mendesak kerana, bagi mereka, akhbar bercetak sudah ketinggalan zaman dan makin susut pengaruh dan tandus kredibilitinya.

Justeru, imiginasi rakyat dikatakan sukar "menangkap" isu berkenaan, apatah lagi untuk menggembleng kekuatan bagi menentangnya, sepertimana berjaya diusahakan melalui demonstrasi besar-besaran dalam isu tuntutan pilihan raya Bersih, mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), atau membantah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris(PPSMI).

Saya tidaklah sampai ke peringkat untuk merendah-rendahkan keupayaan rakyat Malaysia menanggapi isu-isu kritikal, apatah lagi senario "politik baru" semakin mendapat tempat dalam masyarakat, bermula daripada pilihan raya 1999 lagi, dan begitu mengakar kukuh dalam pilihan raya ke-12 dua tahun lalu.

Persoalan yang dahulunya nampak abstrak dan dilihat tidak kurang menarik minat pengundi Melayu, seperti isu kebebasan kehakiman, hak asasi, kepentingan golongan minoriti, sudah mula difahami dengan baik. Teriakan reformasi 1998 memulakan babak baru itu.

Darjah keaktifan penyertaan rakyat terhadap isu-isu sosio-politik semakin tinggi, termasuk melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat sivil, selain parti-parti siasah. Meskipun pengaruh pembangkang merosot teruk dalam pilihan raya 2004, namun kesedaran yang bercambah dengan pantas itu sukar disekat lagi.

Tekanan Najib dan implikasi terhadap pilihan raya

Proses pendemokrasian atau peluasan ruang sivil tumbuh selaras dengan pertumbuhan pesat kelas menengah, kemajuan ICT dan terobosan globalisasi, peningkatan urbanisasi serta penghayatan hidup beragama.

Apa pun, saya tetap melihat bahawa tekanan menyeluruh dan terancang oleh pemerintahan Dato' Seri Najib Razak terhadap tiga organ parti dalam Pakatan Rakyat (Harakah, Suara Keadilan dan Roket) mampu mengundang implikasi politik yang besar dalam pilihan raya akan datang.

Benar, Harakah sudah diperbaharui permitnya - setelah gagal berada di pasaran untuk satu keluaran - tetapi dengan penguatkuasaan syarat-syarat "karut-marut" dan "ugutan" terhadap peruncit di premis awam, oleh KDN, bermula pertengahan Julai lalu, hak PAS sebagai sebuah pertubuhan berdaftar dengan keahlian lebih sejuta orang telah dinafikan.

Mempersudutkan Harakah sekadar untuk "ahli-ahli PAS" serta hanya boleh dijual "di pejabat urusan dan markas parti sahaja", dan amaran KDN akan mengambil tindakan keras jika melanggar pantang-larang itu mengggambarkan terdapat fenomena "counter democratization" di Malaysia.

Parti perlu berinteraksi bebas dengan pengundi


Setiap perdana menteri yang baru menaiki singgahsana takhta mempamerkan dengan bangga gimik melonggarkan sekatan terdahulu, tetapi tanpa perlu menunggu lama, belangnya menyerlah apabila menyerkup kembali sisa-sisa kebebasan dengan peraturan lebih ketat. Senario pada awal pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Najib adalah contoh nyata.

Bukankah PAS, juga KeADILan dan DAP, merupakan parti politik yang dijamin bebas bergerak memperluaskan pengaruh di kalangan rakyat, dan kemudiannya dibenarkan bertanding dalam pilihan raya (yang sepatutnya bersih, bebas dan adil), bagi memilih kerajaan baru dan "menjatuhkan" regim terdahulu?

Agar rakyat dapat membuat pilihan yang tepat, setiap parti mesti boleh berinteraksi sebebasnya dengan pengundi, bagi menjelaskan manifesto, sikap dan pendirian terhadap apa jua isu dan dasar-dasar yang ingin dibentuk. Saluran perhubungan itu, terutama media, tidak boleh diganggu dengan seribu satu peraturan "karut-marut" yang bercanggah dengan prinsip asas demokrasi.

Memperkecilkan semua lidah rasmi parti Pakatan Rakyat sebagai "sebuah akhbar yang berkonsepkan surat berita parti yang berperanan memaklumkan kepada ahli-ahlinya mengenai maklumat aktiviti parti" - seperti peraturan baru yang dipaksakan KDN - juga merupakan satu lagi syarat yang menodai amalan kebebasan bersuara, selain menonjolkan rasa takut pemerintah terhadap potensi saingan politiknya.

Keadaan ini lebih buruk daripada situasi "padang permainan tidak sama rata" apabila realitinya seolah-olah Umno-BN langsung tidak membenarkan "pemain lain" masuk ke padang!

Pakatan Rakyat ke Putrajaya

Najib cukup menyedari bahawa tugasnya untuk melangsungkan survival kuasa Umno-BN cukup perit, malah seperti bakal menemui "jalan mati". Pilihan raya umum ke-13 memang genting buat kedua-dua, BN dan Pakatan. Inilah peluang terbaik rakyat memilih kerajaan alternatif.

Selepas majoriti dua pertiga BN dinafikan di Parlimen dan penguasaan ke atas lima negeri (antara yang termaju di negara ini), target seterusnya Pakatan hanya satu: Berpindah ke Putrajaya! Dan ini merupakan matlamat yang rasional dan mudah diterima akal, tidak seperti impian pembangkang sebelum ini yang pernah dipersendakan sebagai "menunggu kucing bertanduk".

Kita lihat pelbagai kaedah dilakukan, dengan peruntukan dana awam yang cukup besar (mewabakkan lagi amalan rasuah dalam kerajaan), untuk menjinakkan hati rakyat kembali bersama pemerintah, namun setakat ini "teori pendulum" tidak nampak akan berulang.

Memang diakui bahawa setiap pilihan raya pertama yang diterajui perdana menteri baru (seperti Tun Abdul Razak, dalam 1974; Dr Mahathir, 1982; Abdullah, 2004) menunjukkan prestasi membanggakan BN, tetapi saya yakin fenomena "politik baru" telah menamatkan tradisi itu. Najib tidak berpeluang untuk menikmatinya.

Walaupun ada pihak menyanggah pendapat bahawa majoriti pengundi Melayu masih bersama Umno - merujuk pilihan raya April 2008 - saya lebih suka agar pandangan itu diterima dahulu agar mudah membentuk strategi menawan kelompok terbesar ini.


Pelampau Melayu yang tidak realistik

Najib tentu mengakui bahawa harapannya lebih tertumpah kepada pengundi Melayu sepertimana pengundi Cina menjadi penyelamat kepada Dr Mahathir pada 1999. Trend masyarakat Cina yang bangkit sederap memprotes melalui kertas undi dalam pilihan raya lalu dijangka berterusan. Difahamkan mereka selesa dengan kepimpinan kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat dan begitu terkilan dengan tindakan "merampas kuasa" di Perak.

Kewujudan Perkasa pimpinan Ibrahim Ali, dan sokongan terbuka akhbar Melayu yang dikawal mutlak Umno kepadanya, seperti Utusan Malaysia, makin memburukkan suasana. Faktor Dr Mahathir yang menyusahkan Abdullah dahulu turut tidak membantu.

Walaupun Dr Mahathir pernah dikagumi pengundi Cina, terutama dalam pendekatan ekonominya,bagaimanapun selepas bersara dan kini dilihat agak dekat dengan Najib, imejnya begitu mengelirukan; ada kalanya beliau seakan-akan "pelampau Melayu" yang tidak realistik, mungkin mahu mengulangi era penentangannya terhadap pemerintahan Tunku Abdul Rahman khususnya pasca tragedi 13 Mei 1969.

Rakyat, termasuk orang Melayu, semakin bijak menilai. Membakar sentimen perkauman tidak akan membawa Malaysia ke tahap yang lebih membanggakan, sebaliknya boleh mengundang padah buat semua.


Propaganda Media


Selama mana kita mahu dipermainkan oleh elit penguasa seolah-olah kita mesti merebut-merampas hak bangsa lain untuk hidup lebih sempurna? Miskin sangatkah Malaysia sehingga sesuatu bangsa seolah-olah hanya boleh survive dengan menindas kaum lain? Walhal, berdasarkan skandal kewangan negara yang hangus puluhan bilion, negara kita cukup kaya bukan saja untuk menampung kepelbagaian warganya, malah meliputi pendatang luar.

Najib tidak jemu-jemu cuba mencuri sokongan masyarakat bukan Melayu, antaranya, melalui konsep 1-Malaysia dan beberapa langkah "liberalisasi", tetapi beberapa pilihan raya kecil menunjukkan pengundi Cina tidak mudah diumpan.

Dalam masa sama, hanya mengharapkan orang Melayu terus menjadi penyelamat bahtera BN adalah risiko cukup tinggi. Usah perkecilkan kematangan berpolitik mereka walaupun tiada perubahan jelas di Hulu Selangor dan Bagan Pinang.

Propaganda media yang mendakwa nasib orang Melayu terancam di bawah kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor, mungkin boleh menyentuh emosi kemelayuan, tetapi apabila tersingkap realiti, ia boleh menelanjangkan pembohongan tadi dan memberikan kesan lebih buruk buat Umno. Rekod parti itu menerajui kerajaan sejak merdeka adalah catatan sejarah yang membuktikan orang Melayu tetap ketinggalan sedangkan pemimpin Umno merangkul pelbagai keistimewaan.

Mungkin situasi awal lebih memihak Umno tetapi dengan usaha berterusan PAS mendekati rakyat, serta berupaya menjelaskan perkara sebenar terhadap kemusykilan yang sengaja diada-adakan, selain imejnya yang cukup positif sebagai penerajui kerajaan Kedah (dan Kelantan selama lebih 20 tahun), posisi Umno sebagai parti utama orang Melayu boleh menggelongsor.

Yang penting informasi, sebagai kuasa sakti alaf ini, dan cara ia diolah, harus langsung tanpa sensor kepada masyarakat Melayu. Orang Melayu yang bermaklumat dan berpengetahuan tinggi diharap tidak mudah lagi menelan fitnah media tradisional yang dikatakan semakin mendekati tarikh luputnya itu.

Kesepakatan PAS-KeADILan-DAP lebih ampuh

Mungkin Najib percaya majoriti orang Melayu masih terpengaruh dengan media yang dikawal mutlak pihaknya, seperti televisyen dan akhbar, sedangkan internet tetap terbatas di bandar. Justeru, akhbar seperti Harakah dan Suara Keadilan, harus disekat atau paling tidak jualannya dipastikan "tidak membahayakan".

Dengan lingkungan mencengkam itu, sudah tentu Najib tidak bersedia mempertaruhkan kedudukan dan maruahnya, hanya demi mempamerkan imej terbuka dan sederhana.

Dr Mahathir yang merasakan bakal terjunam dengan pengaruh hebat Anwar pada 1998 ternyata tidak sanggup menunggu nasib buruk yang menimpa rakannya, Suharto di Jakarta, lalu merencanakan konspirasi menjatuhkan timbalannya. Begitulah juga Najib. Asakan Pakatan cukup berbisa. Kesepakatan PAS-KeADILan-DAP, yang lebih ampuh berbanding Barisan Alternatif dahulu, mesti dipecahkan.

Orang yang terdesak, seperti Najib, dan parti yang biasa mewah-selesa dengan nikmat kuasa seperti Umno-BN, akan melakukan apa saja untuk mempertahankan takhta. Jangan hanya sekadar menunggu tindakan luar biasa tidak terduga mereka untuk melakukan serangan balas



PKFZ: Ling hadapi tuduhan tipu kerajaan M'sia
Hazlan Zakaria & Lee Way Loon
Jul 29, 10
12:04pm

Bekas menteri pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Putrajaya atas tuduhan menipu kerajaan Malaysia dengan memperdaya Jemaah Menteri berhubung pembelian tanah untuk projek ”Mega Distribution Hub” di Pelabuhan Klang.

Ling, 67, juga adalah bekas presiden MCA.

Beliau tiba di mahkamah pada jam 4.45 petang dengan ditemani isterinya, Toh Puan Ena Ling serta dua anak lelakinya.

Ling kemudian mengambil tempatnya di kandang tertuduh.

Beliau adalah presiden MCA yang kedua dihadapkan ke mahkamah selepas Tan Koon Swan.

Ling didakwa menipu kerajaan sekitar 25 September 2002 dan 6 November 2002 dengan memperdayakan jemaah menteri untuk memberikan persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah untuk projek Mega Distribution Hub di Pelabuhan Kelang.

Dia juga didakwa dengan curang menyembunyikan fakta berhubung penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan ke atas tanah seluas 43,538,200 kaki persegi yang dicadangkannya.

Ling yang memegang jawatan Menteri Pengangkutan selama 14 tahun dari Januari 1986 hingga Mei 2000, didakwa atas satu pertuduhan utama mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan dan satu pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 417 kanun yang sama.

Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Manakala pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 417, Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman lebih ringan iaitu penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan membayar ikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin.

Hakim Suzana Hussin kemudiannya menetapkan 3 September ini sebagai tarikh sebutan kes.

Ling kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis dan akan membayar wang ikat jaminnya di Mahkamah Sesyen, esok.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mengetuai pendakwaan dan dibantu oleh Ketua Bahagian Pendakwaan Datuk Tun Majid Tun Hamzah, Dzulkifli Ahmad dan Manoj Kurup, manakala Ling diwakili peguam Datuk RR Sethu.

Sebelum ini, desas desus seorang personaliti terkenal dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen itu menyaksikan puluhan wartawan, termasuk agensi berita luar negara bekejar ke mahkamah sejak awal pagi ini.

Kebanyakan mereka berhimpun di lobi dan pintu masuk mahkamah manakala ada pula yang menunggu di kawasan sekitarnya.

Pada jam 4 petang, Abdul Gani dan tiga timbalan pendakwa raya, termasuk ketua pendakwa Datuk Tun Abdul Majid Hamzah, tiba di mahkamah tanpa bercakap kepada wartawan.

Dua yang lain itu adalah Manoj Kurup and Dzulkifli Ahmad.

Sebelum kehadiran mereka di mahkamah, sebuah kereta Proton Perdana hitam dilihat memasuki perkarangan mahkamah dengan seorang lelaki yang tidak dikenali.




Kerajaan didesak tak jelaskan bayaran bon PKFZ
Jul 29, 10 5:50pm
Kementerian Pengangkutan digesa supaya menjelaskan keperluan untuk membayar semula RM228 juta kepada pemilik bon Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Persoalan tersebut timbul berikutan laporan akhbar The Sun hari ini berhubung kewujudan surat surat aku janji oleh syarikat Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) yang merupakan kontraktor utama PKFZ, yang mengeluarkan bon tersebut.

Menurut setiausaha publisiti DAP Tony Pua, surat tersebut menjanjikan pembinaan dan penyiapan PKFZ sehingga sedia digunakan dan untuk menampung apa-apa kekurangan pembayaran kepada pemegang bon.

Pua berkata, memandangkan Pihak Berkuasa Zon Bebas (PKA) telahpun memulakan saman terhadap KDSB kerana membuat tuntutan berlebihan dan tidak menyiapkan kerja mereka, kerajaan melakukan tindakan yang bercanggah sekiranya bertegas untuk membayar syarikat tersebut sebelum perkara itu diputuskan mahkamah.

Kerajan bertindak dengan "tidak masuk akal langsung" untuk membuat bayaran tersebut, sedangkan kerajaan senfiri yang mendakwa kerja-kerja tersebut tidak dijalankan, kata Pua.

Menurut satu laporan The Edge Financial Daily, badan pengarah PKA board enggan melunaskan bayaran tersebut atas dasar berkenaan.

Namun, satu kenyataan yang dikeluarkan menteri pengangkutan Datuk Kong Cho Ha semalam menyebut, kerajaan wajib membuat bayaran tersebut.

Kenyataan ringkas oleh Kong tersebut hanya menyatakan bahawa kerajaan telah mengambil kira "semua faktor relevan", yang disifatkan Pua sebagai satu usaha untuk melindungi kroni kerajaan.

Satu-satunya sebab yang memungkinkan Kong berkeras untuk membuat bayaran tersebut adalah untuk melindungi KDSB.

Tindakan ini adalah untuk memastikan KDSB tidak dimenghadapi masalah kewangan dengan pemegang bon, kata Pua lagi



LPK batal mesyuarat selepas arahan menteri
Jul 29, 10 5:36pm
Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) membatalkan mesyuarat lembaga pengarahnya hari ini selepas arahan kerajaan supaya membuat bayaran kepada pemegang bon Zon Bebas Pelabuhan (PKFZ).

Mesyuarat tersebut adalah untuk memutuskan sama ada hendak memenuhi tanggungjawabnya kepada pemegang bon yang membiayai kontraktor turnkey PKFZ, Kuala Dimensi Sdn Bhd Kuala (KDSB).

Difahamkan, lembaga pengarah LPK berpandangan bahawa mesyuarat tersebut sudah tidak perlu lagi diadakan kerana pihak menteri pengangkutan telahpun membuat keputusan.

Menurut Perkara 3 (4) Akta Lembaga Pelabuhan 1963, menteri pengangkutan mempunyai kuasa untuk mengetepikan keputusan lembaga berkenaan.

Semalam, kerajaan telah mengarahkan LPK membuat bayaran kepada syarikat tujuan khas sebagaimana yang ditetapkan dalam jadual pembayaran.

Dalam membuat keputusan tersebut, Kementerian Pengangkutan berkata, kerajaan telah mengambilkira semua faktor yang relevan termasuk komitmen kerajaan kepada pelabur bon, dan tanggungjawab LPK di bawah perjanjian yang ditandatangani

Tiada ulasan: