Angin berkabus putih
2010/07/08
RAWANG: “Hanya laungan azan dapat saya lakukan sebaik bumbung kedai saya melayang ke langit akibat angin kencang,” kata mangsa, Mohamad Ismail, 58, menceritakan kejadian angin kencang yang melanda kedai makannya di Batu 23, Batu Arang, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian angin kencang diikuti hujan lebat kira-kira jam 2 petang itu, puluhan rumah di Jalan Batu Arang mengalami kerosakan terutama pada bahagian bumbung.
Mangsa yang ditemui berkata, ketika kejadian dia dan isteri, Kamaliah Ismail, 54, sedang sibuk melayan pelanggan di kedai makannya yang terletak di hadapan rumah.
“Saya bagaimanapun tergamam apabila angin berkabus putih tiba-tiba datang menderu dari hadapan kedai menyebabkan saya dan isteri terpaksa berpaut pada almari kaca yang menempatkan lauk-pauk.
“Angin kuat diselangi bunyi umpama puting beliung itu menyebabkan bumbung kedai dan rumah saya bergegar kuat seolah-olah ditarik dari atas,” katanya.
Menurutnya, kejadian cemas selama lima minit itu menyebabkan dia hanya mampu melaungkan azan sambil berdoa agar dia dan isteri tidak mengalami malapetaka lebih dahsyat.
“Selang beberapa saat kemudian bunyi kuat disusuli angin berputar menyebabkan separuh daripada bumbung kedai saya terangkat sebelum berterbangan di udara.
“Malah semua perkakas dan periuk di dapur rumah saya melambung ke udara. Air hujan pula melimpah masuk melalui bahagian bumbung yang diterbangkan angin berkenaan,” katanya.
Menurutnya, sebaik ribut berkenaan reda, dia mendapati puluhan kedai yang berada berhampirannya turut rosak.
“Ini adalah kejadian pertama kali berlaku sejak saya tinggal di sini hampir 20 tahun. Buat masa ini, saya terpaksa membersihkan kedai dan rumah sebelum perniagaan boleh dijalankan semula,” katanya.
Sementara itu, seorang pemilik bengkel kereta, Khairussalleh Mohamad, 37, berkata, dia panik apabila kedainya bergegar ditiup angin kencang.
“Bumbung kedai termasuk papan tanda di hadapan premis saya turut lesap diterbangkan angin yang datang bergulung-gulung,” katanya.
Pada masa sama, Penghulu Rawang 2, Ahmad Nazri Ibrahim, 39, yang melawat kawasan kejadian berkata, bencana alam terbabit turut menyebabkan beberapa rumah di Bandar Country Home, Kundang dan Batu Arang rosak terutama membabitkan bahagian bumbung.
Menurutnya, kejadian itu sudah dimaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Gombak bagi memastikan bantuan segera disalurkan kepada mangsa yang memerlukan.
“Sekurang-kurangnya 20 kedai membabitkan kedai membaiki kenderaan, perabut, kilang dan kedai alat ganti mengalami kerosakan akibat kejadian ribut berkenaan,” katanya
TENGOK NI ..DAN BANYAK LAGI MUNGKAR MELANDA NEGARA...
2 lagi mengaku berkhalwat
2010/07/08
SHAH ALAM: Mereka tanpa segan silu berhimpun dalam sebuah bilik hotel untuk melayan muzik, sehingga awal pagi.
Pada masa sama, beberapa kenalan lain lalok akibat mengambil dadah di bilik bersebelahan.
Semalam, dua lagi daripada 39 peserta parti itu mengaku bersalah atas tuduhan berkhalwat sehingga menimbulkan syak di dalam sebuah bilik di Intekma Resort & Convention Centre, November tahun lalu.
Ini menjadikan 12 sudah mengaku salah, manakala bakinya, 27 termasuk tujuh wanita akan dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah di sini, pada 6 Oktober depan.
Dua yang mengaku salah hari ini, Muhamad Said Uzair Bharudin dan Muhamad Khairil Izwan Mohamad Jamil.
Muhamad Said Uzair dikenakan denda RM2,500 atau penjara 60 hari.
Manakala, Muhamad Khairil Izwan pula didenda RM2,000 atau penjara 30 hari.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang sebahagian besar pelajar berusia 17 hingga 30 tahun dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bilik, Blok 4 hotel itu yang terletak di Persiaran Raja Muda, Seksyen 7, di sini, jam 2.10 pagi, 15 November 2009.
Mereka didakwa berada bersama-sama dengan bukan mahram sehingga boleh menimbulkan syak sedang melakukan perbuatan tidak bermoral.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) untuk lelaki dan (b) untuk wanita Enakmen Jenayah Syariah Selangor yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu, ketika rayuan terhadap hukuman, Pegawai Pendakwa dari Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Hasrul Hafisi Ahmad Kamal berkata, hukuman berat perlu dikenakan kepada tertuduh kerana kes itu sudah mencemarkan kesucian Islam.
“Kejadian ini menyebabkan ada yang memandang serong kepada penganut agama Islam. Sebagai umat Islam, kita seharusnya menunjukkan contoh baik kepada bukan Islam,” katanya.
Pada prosiding semalam, Hakim Syarie, Saharuddin Selamat memerintahkan salah seorang tertuduh, Noor Maria Mohammad Jamil didenda RM200 kerana gagal hadir prosiding terdahulu.
Beliau juga membenarkan permohonan pendakwaan bagi mengekalkan ikat jamin tertuduh yang tidak mengaku salah dan minta dibicarakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan