Khamis, 29 Julai 2010

JANGAN MENDAHULUI KUASA ALLAH SWT...BENDA KEDEPAN ALLAH SAHAJA YG TAHU:

Umno dicabar dedah Melayu dihalau kerajaan negeri
Mohd Sabri Said

PERMATANG PAUH, 29 Julai: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mencabar Umno mengemukakan nama individu Melayu yang pernah dihalau oleh Kerajaan Pakatan Rakyat negeri daripada mendiami perkampungan sekitar Jelutong.

Jelasnya, apa yang berlaku sepertimana Kampung Pokok Asam di Jelutong atau Kampung Binjai di Bayan Lepas bukan masalah kerajaan negeri sebaliknya adalah arahan mahkamah kerana tanah yang mereka duduki telah dibeli atau dimiliki oleh pemaju.

Itupun katanya, kerajaan negeri masuk campur untuk mencari penyelesaian seperti mendesak pemaju di Pokok Asam agar menghentikan pelaksanaan projeknya selama tiga bulan untuk mengadakan perbincangan bagi manfaat penduduk.

"Mana ada individu yang Kerajaan Pakatan Rakyat halau. Kalau ada berikan saya satu nama, melainkan ia adalah arahan mahkamah kerana pemaju telah membeli tanah yang mereka diami dari pemilik asal. Macam tu kita tak boleh buat apa sebab tanah swasta," jelasnya ketika menyampaikan pidato di Dataran Kompleks An-Nadhoh, Penanti, malam tadi.

Turut berceramah ialah Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Saleh Man dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu.

Di Kampung Binjai pula, katanya belum pun berlaku apa-apa lagi tetapi Umno sudah tunjuk 'hero' hendak membela orang Melayu walhal pelan perancangan belum dibuat lagi.

Begitupun, melalui media kepimpinan Umno Balik Pulau mengapi-apikan penduduk kononnya tanah yang mereka duduki sejak sekian lama akan diambil oleh kerajaan dan akan berlaku kejadian menghalau bangsa Melayu.

Katanya lagi, Umno sengaja membangkitkan isu tersebut untuk melahirkan penentangan di kalangan orang Melayu agar jangan tertipu dengan kerajaan berjiwa rakyat pimpinannya yang telah berjaya membawa perubahan ketara berbanding di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

"Umno bangkitkan isu perkauman untuk kepentingan senario politik sempit mereka selain untuk melagakan PAS, PKR dan DAP. Bila berpecah BN dan Umno akan bersorak tetapi masalahnya setakat ini semua perancangan yang dibuat makan diri," tegas beliau dalam majlis anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang itu.

Tambahnya, tindakan yang dilakukan Umno terhadap kerajaan negeri bermatlamat memberi gambaran jahat bahawa kerajaan Pakatan Rakyat bertindak zalim terhadap orang Melayu jika diberi mandat memerintah negara.

DAP pula, katanya ditohmah parti anti Melayu apabila mengambil langkah menghalau orang Melayu dari perkampungan yang diduduki sejak puluhan tahun.

"Tujuan mereka hanya satu iaitu nak menakutkan orang Melayu di negeri lain jika biarkan Pakatan Rakyat memerintah, bencana akan terjadi. DAP akan melakukan sesuatu di luar dugaan dan negara akan jadi huru hara," jelasnya yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Justeru itu, beliau mengingatkan masyarakat Pulau Pinang sama ada Melayu, Cina mahupun India supaya jangan terpengaruh dengan dakyah Umno dan BN sebaliknya memahami dasar Kerajaan Pakatan Rakyat secara mendalam.

Katanya, Kerajaan Pakatan Rakyat akan membela rakyat selaras dengan dasar dan matlamat menjadikan rakyat hidup dalam keadaan sejahtera, aman, makmur dan ada integeriti.

Ini, ujarnya berbeza dengan BN yang asyik menyuruh rakyat mendahulukan sesuatu termasuk menghadiahkan rakyat dengan beberapa kenaikan harga barangan dan petroleum, baru-baru ini




Tahyul: Melayu mundur jika Umno kalah

Mohd Sabri Said

PERMATANG PAUH, 29 Julai: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu (gambar) menyifatkan pendapat yang mengatakan jika Umno kalah, maka Melayu juga kalah atau mundur adalah tahyul dan merupakan satu tafsiran mengarut.

Katanya, kepimpinan Umno lazimnya membuat kenyataan tahyul itu bahawa sekiranya Umno kalah dalam pilihan raya nanti, masyarakat Melayu akan hidup dalam suasana kelam kabut atau tertekan sebagaimana zaman Jepun.

Padahal, jelasnya jika Umno kalah, maka PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu parti yang seagama dengan kepimpinan Umno pula akan memegang tampuk pemerintahan serta meneruskan kelangsungan perjuangan tetapi berlainan pendekatan untuk membela rakyat.

"Bila Umno kalah, PAS dan PKR pula yang akan teruskan perjuangan tapi kali ini bukan macam Umno yang berkepentingan dan kroni, kita akan urus tadbir negara dengan baik," tambahnya semasa berucap dalam program ceramah anjuran Dewan Pemuda PAS di Dataran Kompleks An-Nadhoh, Penanti malam tadi.

Katanya, pemimpin Umno sanggup menggertak supaya orang Melayu jangan mengundi PAS atau PKR yang digambarkan sebagai petualang bangsa kerana kononnya menggadai maruah kepada kaum lain.

"Sekarang ini biarlah Umno dan Barisan Nasional (BN) nak gelarkan apa pun, kita jangan peduli. Kita patut pandang ke depan dengan satu matlamat mendaki Putrajaya kerana jalan tersebut boleh menyelamatkan maruah negara yang sudah tercalar di mata dunia," tegasnya.

Rakyat, ujarnya wajar menilai kepimpinan PAS di Kelantan, Terengganu sebelum tewas pada pilihan raya ke-11 lalu dan terkini di Kedah, adakah gagal melaksanakan tanggungjawab mentadbir dengan baik.

Jawapannya, kata beliau pasti lebih cemerlang berbanding Umno dan BN kerana pentadbiran mereka penuh dengan penyelewengan, pembohongan fakta dan penipuan.

"Sebagai kepimpinan parti dalam Pakatan Rakyat, saya lihat sudah ada kemahiran dan pemimpin tidak melatah seperti sebelum pilihan raya 2004 yang mana DAP lari keluar yang akhirnya kita kalah sebagai pakatan pembangkang," katanya.

Namun, katanya kini Umno memainkan rentak yang sama iaitu isu Melayu untuk bersatu dengan PAS.

Menurutnya, mereka menggunakan mufti untuk kepentingan politik sempit padahal peranan mufti menasihati tingkah laku kepimpinan Umno yang terlalu banyak penyelewengan sehinggakan rakyat terpaksa menolak kerajaan BN pada pilihan raya umum ke-12 lalu.

"Mufti pun jadi kalut sekarang ini nak satukan PAS dan Umno. Saya dengar 'geli' bila sebut tentang kerjasama PAS dan Umno. Nak kerjasama macam mana, depan ajak elok dengan senyuman sampai ke telingga tapi di belakang mereka panah kita dengan anak panah berbisa.

“Lupakanlah kerjasama tu kerana yang penting biar Umno karam manakala kita daki Putrajaya bersama parti dalam Pakatan Rakyat yang lain," tegas beliau

Tiada ulasan: