Beliau berkata, ianya nampak jelas apabila Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Abdul Razak sendiri datang malam ini untuk berkempen sepanjang lima hari akan datang.
Katanya, tidak pernah berlaku dalam sejarah Sarawak di mana pemimpin-pemimpin peringkat persekutuan datang untuk berkempen seperti sekarang, yang menurutnya, mencerminkan kegagalan kerajaan negeri.
Kehadiran perdana menteri, kata Anwar, menunjukkan BN percaya bahawa Taib tidak berkeupayaan untuk mendapatkan jaminan sokongan rakyat Sarawak untuk menyokong BN.
Bercakap dalam satu sidang akhbar di Kuching, beliau berkata, Najib juga membawa bersamanya sumber-sumber dari kementerian-kementerian pusat, dan ini memberi gambaran yang tidak baik terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Ini adalah satu kesalahan," katanya.
Najib akan tiba di Kuching bagi kali kedua sejak kempen bermula pada 6 April, dan hanya akan pulang Jumaat depan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga berada di Sarawak untuk kempen sejak beberapa hari lalu.
Dalam reaksinya terhadap dakwaan pembangkang itu, Najib berkata
lawatan kerapnya ke Sarawak bukan sesuatu yang luar biasa.
Katanya, beliau membuat lawatan tersebut atas rasa tanggungjawabnya sebagai pengerusi BN dan perdana menteri.
Bernama memetik Najib sebagai berkata petang ini bahawa "Sarawak adalah sebuah negeri yang besar dan mempunyai 71 kerusi negeri, dan ia mengambil masa berhari-hari untuk sampai ke kawasan berkenaan kerana jaraknya.
Anwar, yang mendapat sambutan ribuan hadirin di majlis-majlis yang dihadirinya di Sarawak, berkata kehadiran para pemimpin tinggi BN dalam pilihan raya negeri ini, hanya membuktikan yang gabungan itu berada dalam bahaya
.
pilihan raya Sarawak 16 April ini, kata Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Kong Cho Ha.
Beliau berkata dakwaan pembangkang yang mereka mendapat cukup sokongan untuk menubuhkan kerajaan hanyalah bertujuan memainkan perasaan rakyat.
"Mereka hanya memainkan sentimen sahaja, nak putar belit dan cakap yang bukan-bukan. Saya tidak percaya bahawa akan berlaku pertukaran kerajaan di negeri Sarawak," katanya dalam sidang akhbar di Miri hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini bahawa pembangkang akan memperoleh cukup sokongan daripada masyarakat Cina Sarawak untuk memerintah negeri ini.
Kong, yang juga Menteri Pengangkutan, berkata masyarakat Cina tidak perlu mempercayai dakwaan itu, sebaliknya perlu menyedari pentingnya mereka sentiasa bersama-sama dalam BN demi masa depan mereka.
- Bernama
Berbeza dengan pendekatan BN dan parti-parti dalam Pakatan Rakyat, SNAP memilih tidak terlibat dalam perang psikologi melalui pemasangan poster, bendera parti dan kain pemidang di kawasan-kawasan awam.
Bagaimanapun, sebagai parti tertua bangsa Dayak yang ditubuhkan pada tahun 1961, pengalaman mengajarnya cara mendapatkan undi dengan cara yang paling murah, namun dianggap paling berkesan.
“Dengan duit, kita tidak boleh lawan BN. Kita tidak ada duit sebanyak BN (untuk berkempen). Jadi, yang kita ada hanyalah masa (sebagai modal). Ini yang tidak ada pada parti-parti lain,” kata perancang kempennya yang enggan namanya dinyatakan.
Menurutnya beliau, menyedari tempoh kempen 11 hari yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak memadai, mereka mengambil keputusan mengumumkan calon lebih awal, lebih-lebih menyedari rundingan pembahagian kerusi dengan PKR mengambil masa terlalu lama.
“Jadi dengan itu kita ada lebih masa berkempen. Dengan cara ini, masuk sahaja hari berkempen, sekurang-kurangnya separuh daripada pengundi sudah kita temui,” katanya lagi ketika ditemui Malaysiakini semalam.
Parti itu percaya, bertemu dan bermesra dengan pengundi secara langsung merupakan strategi yang terbaik bagi memenangi hati pengundi.
Bagi beberapa calon-calonnya, pendekatan unik itu dinamakan sebagai “silent killer” (pembunuh senyap). Manakala ada juga yang secara berjenaka merujuknya sebagai “taktik lipas”.
'Ejen' di rumah panjang
“Malam-malam baru kita keluar gempur rumah-rumah panjang. Macam lepeh (lipas),” kata Abang Osman Abang Gom yang bertanding kali ketiga untuk merampas kerusi Lingga, berdekatan bandar Sri Aman.
Di rumah panjang yang tidak dapat ditembusi calon, SNAP akan memastikan terdapat “ejen” mereka di kalangan penduduk setempat berkempen dalam diam-diam, tambah Abang Osman – calon Melayu tunggal dalam parti yang didominasi Iban itu.
Sementara itu, walaupun di simpang-simpang jalan hampir tidak kelihatan langsung bendera kuning SNAP berkibar, mereka bagaimanapun tidak mengabaikannya di rumah-rumah panjang - tempat pengundi menginap.
Malah, poster yang dibekalkan amat besar kira-kira dua kali ganda saiz akhbar. Parti pimpinan Edwin Dundang Bugak itu juga memastikan setiap pengundi yang ditemui mendapat poskad kuning memaparkan nama dan wajah calon serta slogan SNAP sebagai “parti asal bangsa Sarawak”.
Ditanya adakah bahan kempen parti itu tidak akan dipasang langsung sehinggalah pilihan raya berlangsung pada 16 April ini, sumber itu mengiyakannya.
“Kalau kita pasang bendera. BN banyak, kita sikit. Jadi kita nampak lemah,” jelasnya.
Tinjauan Malaysiakini di beberapa kawasan yang ditandingi SNAP – meliputi Lingga, Bukit Begunan, Engkelili, Layar, Bukit Saban dan Krian – mendapati strategi ini betul-betul dilaksanakan seperti yang dirancang.
Bagaimanapun di Bukit Saban yang mana ketua Pemudanya Dayrell Walter Entrie sendiri bertanding kelihatan agak berbeza apabila kain pemidangnya kelihatan di tempat-tempat strategik dalam DUN itu.
Empat 'kawasan A'
Bukit Saban antara “kawasan A” bagi SNAP yang mana mereka yakin menang selain Pakan, Machan dan Lambir. Manakala kawasan yang dianggap berpotensi besar antaranya Lingga, Bukit Begunan, Bekenu, Engkelili, Telang Usan dan Tarat.
Difahamkan senarai tersebut diperoleh dengan mengambil kira faktor calon, petugas dan penyokong tegar di tempat masing-masing.
Sementara calon-calon di beberapa di DUN sepanjang jalan Sri Aman-Sarikei (kira-kira 200km) ketika ditemui rata-rata mengaku sebagai calon underdog atau bukan pilihan.
Di Bukit Saban, Dayrell masih risau sama ada pengundi yang berhijrah ke bandar besar untuk bekerja – dianggarkannya 30 peratus daripada keseluruhan 7,657 pengundi – dapat pulang menunaikan tanggungjawab di DUN itu.
Manakala Marudi @ Barudi Mawang (Engkelili) pula mengambil memberi perhatian kepada jentera BN dengan kekuataan kewangan yang disifatkannya mempunyai sumber kewangan “umpama padi di tangkai”. Kebimbangan itu turut dikongsi Joe Unggang di Layar.
Di Krian pula keadaan berbeza apabila calon PKR Ali Biju, seorang ahli perniagaan dilihat jauh di depan, termasuk berbanding calon BN sendiri.
Kempen SNAP memfokuskan lima isu utama, meliputi tanah adat (NCR), isu kalimah Allah dan Alkitab berbahasa Melayu, isu kemajuan negeri, Perjanjian 18 Perkara Tanah Melayu dan Sarawak serta pemeritahan 30 tahun Tan Sri Taib Mahmud sebagai ketua menteri.
SNAP bertanding di 26 kawasan majoriti Dayak dalam pilihan raya negeri kali ini dan bertembung dengan PKR di 25 tempat ekoran kegagalan rundingan awal.
Lazimnya keheningan kampung yang dihuni kira-kira 200 penduduk itu diganggu dengan ngauman lori dan kenderaan berat yang berulang-alik ke Empangan Bengoh yang bernilai RM310 juta dan sebuah kuari yang baru dibuka bagi membekalkan batu kapur untuk projek berkenaan.
Kerja-kerja pembinaan empangan yang bertujuan membekalkan air besih kepada penduduk di Kuching dan kawasan sekitarnya, bermula pada tahun 2007 di sebalik bantahan daripada penduduk tempatan. Ia kini memasuki peringkat fasa terakhir dan dijadualkan siap sebelum tarikh tempoh yang ditetapkan.
Sesetengah penduduk terpaksa mengorbankan rumah dan juga kawasan pertanaian mereka di atas tanah hak adat pribumi (NCR) bagi membolehkan empangan itu dibina. Namun di sebalik semua itu, mereka sendiri juga tidak menikmati bekalan air bersih.
Seseorang terpaksa melalui Kampung Bengoh sebelum boleh menuju ke resort mewah, Borneo Highlands.
Bagi penduduk, bekalan air diperolehi daripada gunung dengan setiap keluarga menyumbang RM10 setiap tahun bagi kos penyelenggaran menyalurkan air ke rumah mereka.
"Sistem itu okay bagi rumah-rumah di kawasan rendah tetapi bagi rumah di bukit, air tidak boleh naik. Air ini datang terus dari sungai, jadi kena berhati-hati, jika tidak mungkin terminum pacat,” kata seorang penduduk ketika ditemui Malaysiakini pada Jumaat lalu.
Sebagai membuktikan kepayahan mereka, rakannya membuka paip yang hampir langsung tidak mengeluarkan air.
"Macam kencing tikus.” kata rakannya yang mempunyai tatto tulisan Iban 'Agi Idup Agi Ngelaban' (Selagi bernyawa, saya terus berjuang) di lengannya.
Lelaki yang tidak mahu namanya disiarkan kerana khuatir akan menjejaskan kedudukannya sebagai kakitangan awam berkata beliau berasal dari kampung tersebut sebelum berpindah ke Tasik Biru berhampiran Bau kerana kepayahan hidup.
Namun ibu bapa dan saudara maranya masih di kampung itu. Beliau antara ramai anak muda Bidayuh yang terpaksa berpindah keluar kerana keperitan hidup.
Justeru, seperti golongan muda yang lain, rasa dikianati oleh kerajaan tidak dapat disembunyikan.
Bagi Akiu Nora, 63 masalah yang paling menghantui mereka adalah ramapasan tanah NCR untuk membina empangan tersebut.
Terdapat dua kes di mahkamah yang difailkan ke atas anak syarikat Naim Holdings - konglomerate yang membina empangan itu dan mengendalikan kuari tersebut - oleh penduduk Kampung Bengoh.
"Mereka rampas ladang kita untuk bina empangan tetapi bayaran pampasan tidak setimpal. Mereka juga tidak bagi tahu bagaimana mereka kira jumlah pampasan,” kata petani itu.
Empang kampung yang mempunyai 1,600 penduduk telah dipindahkan kerana pembinaan empangan berkenaan. Penduduk kemudiannya diarahkan membeli rumah di Kampung Tun Razak - yang bagi Akiu sesuatu nama yang melucukan - pada harga RM48,000 setiap satu.
Sebaik sahaja jadual Najib yang juga adalah pengerusi BN disahkan, timbul spekulasi bahawa kemungkin Sarawak akan menyaksikan beberapa kerusi di kubu kuatnya tumbang.
Najib mungkin menjadi perdana menteri pertama yang berkempen sebegitu aktif. Lazimnya, tugas itu diserahkan kepada timbalan perdana menteri manakala perdana menteri sibuk dengan urusan mentadbir negara di Putrajaya.
Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada April 2009, Najib hanya memainkan peranan kecil dalam pilihan raya kecil dan tindakannya kali ini dikata mengejutkan banyak pihak.
Lebih menarik lagi, tahun ini sahaja sudah dua kali beliau melawat Sarawak. Kali pertama pada 19 Mac lalu pada perhimpunan di Serian dan pada 7 April lalu beliau berjalan sekitar bandaraya di Kuching untuk bermesra dengan penduduknya.
Anwar juga di Kuching
Kali ini, tumpuan Najib adalah di bandar-bandar utama – Miri, Sibu dan Kuching – yang sejak beberapa hari lalu menyaksikan ribuan rakyat tertarik kepada ceramah yang dianjurkan oleh Pakatan rakyat.
Kerusi-kerusi di kawasan bandar-bandar utama itu dikatakan sebagai kawasan gelap di mana parti komponen BN, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menghadapi persaingan sengit.
Najib juga dijadual melawan pekan-pekan kecil seperti Sri Aman, Lubok Antu, Betong, Engkilili, Sebuyau, Sadong Jaya, Bau, Bario, Sungai Baram, Lawas dan Limbang.
Sekilas pandang, perdana menteri dilihat cuba meninjau sokongan etnik-etnik berkenaan di kawasan luar bandar yang sebelum dikatakan sebagai 'simpanan tetap' BN.
Dan seperti pada beberapa pilihan raya kecil yang lalu, lawatan Najib tidak akan lengkap tanpa membawa 'ole-ole' untuk rakyat Sarawak.
Pada Khamis pula, beliau akan ke Sungai Baram, kawasan pembinaan empangan Bakun yang kontroversial dan dijadual melancarkan 'klinik terapung 1Malaysia'.
Najib juga akan menghadiri dua perhimpunan di Kuching pada malam ini dan esok dan dijangka membuat beberapa pengumuman penting bagi menarik undi di kalangan mereka yang tidak berpuas hati dengan BN.
Hari ini juga menyaksikan ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menggempur Sarawak dan fokusnya kali ini adalah di Kuching dan kawasan sekitarnya.
Anwar, dijadualkan berceramah di Asajaya, Kuching, Kampung Samariang dan Petrajaya.
Beberapa sumber berkata jumlah hadirin di perhimpunan di Miri, Senadin dan Bintulu adalah 7,000 orang manakala pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang dalam tulisan di Twitter menyifatkan “puting beliung” sedang melanda negeri itu.
Perhimpunan terbesar dikatakan di Miri dengan kehadiran tidak kurang 4,000 penyokong yang datang untuk mendengar ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang juga adalah setiausaha agung DAP.
Rali kedua terbesar adalah di Senadin - yang tidak jauh dari Miri - di mana dianggarkan tidak kurang 2,000 orang berkumpul di klinik calon PKR Dr Teo Yu Kheng bagi mendengar ceramah ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. [Lihat video]Pada ucapannya, Anwar berkata masa sudah tiba untuk rakyat berhenti menjadi pemerhati pasif kepada perompakan hasil mahsul Sarawak yang memperkayakan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan pemimpin BN lain termasuk kerabat keluarga dan kroni mereka.
"Jangan biarkan Taib atau Najib (Razak) atau Rosmah (Mansor) sekalipun menentukan nasib kita. Kita sendiri mesti bangun dan tentukan nasib negeri ini demi masa depan anak cucu kita.
“Sudah cukup rakyat Sarawak menderita miskin disebabkan kerakusan BN. Sekarang masa yang amat sesuai untuk berubah," katanya sambil disambut tepukan gemuruh hadirin.
Manakala di Bintulu, kira-kira 1,000 orang hadir pada perhimpunan yang dianjurkan oleh DAP dengan pemimpin veterannya, Lim Kit Siang dijemput sebagai penceramah.
DAP dikatakan kini memberi tumpuan di dua bandar di utara Sarawak - iaitu di Sibu dan Miri selepas yakin, kerusi-kerusinya di Kuching boleh diperttahankan tanpa sebarang masalah besar.
Semua kerusi di Sibu dan Miri itu adalah di kawasan yang sebelum ini dianggap sebagai kubu kuat Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) yang begitu sukar ditembusi.
Sesetengah pihak mendakwa jumlah hadirin yang ramai belum tentu dapat menjamin bahawa DAP mampu menumbangkan calon-calon BN, termasuk presiden SUPP, Tan Sri Dr George Chan, khususnya di kerusi Piasau.
Chan, adalah juga timbalan ketua menteri Sarawak dan ini penggal ketujuh beliau mempertahankan kerusinya.
Meskipun jumlah hadirin yang ramai, belum tentu dapat diterjemahkan sebagai undi, namun pemimpin DAP cukup selesa kerana di kalangan yang hadir itu, ramai yang menyumbang kepada tabung parti itu, terutamanya di Miri dan Bintulu.
Di Miri, ketua pemuda DAP Anthony Loke melaporkan kira-kira RM20,000 berjaya dikutip di kalangan penyokong parti itu yang menghadiri perhimpunan semalam, manakala Kit Siang pula berkata RM10,896.70 dikutip di Bintulu.
Ramai penganalisis berpendapat keputusan itu sebagai pemangkin terhadap 'tsunami politik' yang melanda Semenanjung Malaysia pada pilihan raya umum 2008.
Empat kawasan yang ditawan oleh DAP dan PKR, ketika itu adalah daripada Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) sebuah komponen BN.
Kerusi-kerusi berkenaan adalah Padungan, Pending, Batu Lintang dan Kota Sentosa. Malah pembangkang sama sekali tidak menjangkakan keputusan berkenaan.
Meskipun lima tahun hampir berlalu dan tidak ada banyak rungutan berhubung prestasi keempat-empat penyandang kerusi berkenaan, namun perjalanan pilihan rayamereka pada 16 April ini dijangka tidak semudah dan mungkin berliku, khususnya kepada DAP.
Antara yang dikatakan mungkin menghadapi masalah dan menyaksikan pertarungan paling sengit di parlimen Kuching adalah di Pending. Penyandangnya Violet Yong (DAP) akan ditentang dalam pertandingan satu lawan satu dengan Dr Sim Kui Hian (BN–SUPP).
Yong, 33, seorang peguam yang petah bermain kata-kata akan dicabar oleh Sim, 46, seorang doktor pakar jantung yang amat dihormati penduduk tempatan.
Sim terbabit menerajui menubuhkan Pusat Jantung Hospital Awam Sarawak (SGHHC), yang menawarkan rawatan yang berpatutan kepada pesakit dan terbabit juga dengan penyelidikan genetik dan imej molekular.
Sepanjang kempennya, Sim sering memakai kemeja T yang mempunyai gambar jantung dan modal kempennya adalah mengenai pentingnya gaya hidup yang sihat.
Meskipun seorang pendatang baru dalam bidang politik, Sim cepat menyesuaikan diri di kalangan orang ramai yang selesa dengan wajahnya yang sentiasa mengukirkan senyuman.
Ketika berkempen di Pusat Komersial Kenyalang, di Kuching, Rabu lalu, beliau menghuraikan beberapa kejayaannya termasuk mempunyai hubungan langsung dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kebetulan merasmikan SGHHC pada Januari lalu.
“Saya bagi tahu beliau (Najib) bahawa Kuching perlu lebih banyak pusat pendidikan tinggi. Kami perlukan cawangan universiti, mungkin dari China dan India,” katanya kepada kira-kira 300 hadirin.
Menurut Sim lagi, beliau juga akan memperjuangkan bagi rakyat mendapatkan perkhidmatan perubatan kelas pertama, pembinaan lebih banyak universiti dan supaya kerajaan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
Timbalan Perdana Menteri seterusnya mencabar Pakatan Rakyat menyediakan dana sebanyak RM10 bilion untuk membasmi kemiskinan di Sarawak.
Katanya kerajaan BN sudah mengurangkan kadar kemiskinan di Sarawak kepada hanya tiga paratus sekarang berbanding 60 ke 70 peratus 20 tahun yang lalu.
"Sekali pandang tawaran (Pakatan) hebat, kalau betul-betul serius letak RM10 bilion, sebab kita sudah beri berpuluh bilion... lebih daripada itu," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra selama setengah jam di pasar utama di Bintulu hari ini.
Katanya cadangan penubuhan Dana Pembasmian Kemiskini sebanyak RM1 bilion untuk menangani keluarga di bawah paras kemiskinan dalam manifesto pakatan pembangkang hanya satu tawaran manis untuk menarik sokongan pengundi di Sarawak dan ia sebenarnya tidak mampu untuk dilaksana seperti apa yang berlaku di Selangor yang berada di bawah pemerintahan PKR.
'BN bagi RM5,000'
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata tawaran pemberian secara sekali sahaja sebanyak RM200 kepada setiap murid yang memasuki Tahun Satu juga jauh lebih rendah berbanding pendidikan percuma yang diberikan kerajaan BN untuk pelajar sekolah rendah dan menengah yang menelan kos kira-kira RM5,000 setiap seorang.
"Kita bukan sahaja laksana...kita komited untuk program pembangunan dan bagi saya (jika) bandingkan kedua-dua manifesto dapat lihat apa yang dia (pembangkang) perjuang dan kita (BN) perjuang, rakyat perlu lebih prihatin dan peka, bukan kita buat sewenang-wenangnya kita buat atas dasar pembangunan berterusan," katanya.
Mengenai slogan "ubah" yang dilaungkan oleh Pakatan Rakyat, Muhyiddin berkata kerajaan sebenarnya telah membuat tranformasi dalam pemerintahan iaitu lebih baik maksudnya berbanding maksud "ubah".
Katanya kerajaan bukan sahaja telah membuat tranformasi dalam politik, malah juga cara pemerintahan dalam kerajaan serta ekonomi.
Bakal pengganti
"(Ketua Menteri Tan Sri Abdul) Taib (Mahmud) dah sedia bakal pengganti... dia ada bisik bisik dengan saya...(dengan) Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) mungkin lebih jelas lagi...jadi bermakna akan ada tokoh muda lebih berwibawa... itu lebih penting, kalau dikira lama, (Penasihat DAP Lim) Kit Siang, (Pengerusi DAP) Karpal Singh, (Menteri Besar Kelantan) Datuk Nik Abdul Aziz (Nik Mat) lebih lama," katanya.Mengulas sokongan kaum Cina, Muhyiddin menasihati pengundi Cina agar memastikan mereka ada wakil dalam kerajaan BN di peringkat negeri.
"Merujuk kepada trend sokongan pada beberapa pilihan raya kecil sebelum ini, ada peningkatan dalam sokongan pengundi Cina kepada BN," katanya.
Berkenaan kempen, Muhyidin berkata BN akan bekerja lebih keras pada pilihan raya kali ini dan tidak akan memandang mudah dengan cabaran yang diberikan oleh pembangkang.
Katanya pengundi juga diingatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan sesetengah parti pembangkang dan calon Bebas yang mendakwa mereka mendapat sokongan BN di peringkat pusat.
"Mereka tidak guna lambang dacing (BN), mereka guna lambang sendiri, bagaimana kita nak kata mereka menyokong BN, ini semua satu pembohongan," katanya.
Hari pengundian pilihan raya negeri Sarawak ke-10 pada 16 April ini.
- Bernama
Naib Ketua Pemuda PKR Azmizam Zaman Huri mendakwa, tindakan itu bertujuan menakut-nakutkan pengundi kelompok itu memandangkan ketua menteri sekarang, Tan Sri Abdul Taib Mahmud adalah dari kalangan mereka.
"Poster ini tidak ditampal tetapi diedarkan terus ke tangan pengundi dari rumah ke rumah," jelas Azmizam sambil mendakwa ia diedar di hampir semua kawasan Melayu-Melanau.
Poster biru muda berukuran tabloid itu memaparkan Baru sedang tersenyum dengan tulisan "Baru Bian calon ketua menteri Pakatan Rakyat" tertera di atasnya.
Sementara itu, calon PKR di Satok Ahmad Nazib Johari mendakwa mengesan poster itu di sekitar perkampungan Melayu di Petrajaya dan Jalan Keretapi di Batu Kawa kira-kira seguni banyaknya.
Sambil mendakwanya sebagai taktik kotor BN, Ahmad Nazib yakin ia tidak akan memberi kesan kepada pengundi.
"Jika kita lihat, poster itu tidak serius. Kita faham sensitiviti Melayu, ia tidak berkesan. Itu kempen kotor. Gambarnya pun tidak cantik," katanya yang mengaku terpaksa menyentuh isu itu di ceramahnya.
Sementara akhbar tempatan Utusan Borneo hari ini melaporkan, poster yang sama sama ditemui di sekitar kawasan Gita, dalam DUN Tupong.
Poster yang sama setakat ini belum dikesan di lima kawasan Melayu di mana PAS bertanding, jelas setiausaha agungnya Datuk Mustafa Ali.
Kelmarin, pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat dilaporkan bersetuju melantik Baru yang berbangsa Orang Ulu sebagai pengganti Taib sekiranya Pakatan Rakyat menumbangkan BN.
Tujuh kerusi, semuanya di kawasan tengah Sarawak, mempunyai majoriti masyarakat Melanau. Statistik rasmi bagaimanapun mencantumkan Melanau dengan masyarakat Melayu, menjadikannya sebanyak 27.5 peratus daripada keseluruahn pengundi, sekalig gus mendominasi 26 kerusi.
Setakat ini, jentera pilihan raya PAS dikatakan agak lesu kecuali di Beting Maro – yang dikatakan mempunyai peluang terbaik bagi parti Islam itu membuat kejutan.
Jika dibandingkan dengan jentera PKR dan DAP, persiapan PAS itu terlalu jauh bezanya. Itu belum lagi dibandingkan dengan jentera BN yang berpuluh kali ganda lebih perkasa.
Jentera di Beting Maro – kawasan tumpuan mereka - kini dikukuhkan dengan bantuan jentera import daripada Kelantan dan Terengganu yang lebih agresif. Pendekatan kempen kumpulan itu di kalangan penduduk setempat digelar sebagai "Kelantan style".
Namun di kerusi-kerusi lain yang ditandingi PAS - Tanjung Datu, Sebuyau, Muara Tuang dan Sadong Jaya – jentera pilihan raya dikatakan terus lesu dan masih belum dibangunkan.
Pada pilihan raya kali ini, PAS mensasarkan menang sekurang-kurangnya di tiga DUN iaitu Beting Maro, Sadong Jaya dan Sebuyau. PAS hanya kalah tidak sampai 900 undi di Beting Maro dan Sebuyau pada pilihan raya 2006 lalu.
Strategi PAS adalah dengan menggunakan bantuan jentera parti itu dari semenanjung untuk memastikan mereka mampu menembusi kubu-kubu BN itu.
DUN Sebuyau dibantu jentera PAS di negeri-negeri di Utara semenanjung Malaysia, iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. Tanjung Datu pula mendapat bantuan daripada Pahang, Johor dan Melaka manakala di tempat lain, ia masih belum jelas.
Isu tanah adat
Selain bantuan jentera pilihan raya, isu yang dijadikan modal pada pilihan raya Sarawak juga dilihat tidak banyak.
Antara yang hangat adalah isu berkaitan tanah adat (NCR) bumiputera Sarawak. Ia menjadi tuntutan utama masyarakat pribumi setiap kali datangnya pilihan raya di negeri itu.
Kebanyakan penduduk menghadapi masalah mendapatkan geran individu untuk tanah nenek moyang mereka. Terdapat juga pertikaian dalam membezakan antara tanah berstatus NCR dan tanah negeri.
“Kita beritahu pengundi, kalau kita berjaya membentuk kerajaan dengan Pakatan, semua isu melibatkan tanah adat boleh diselesaikan dengan mudah.
“Tetapi jika sekadar menjadi pembangkang pun, akan menyebabkan kerajaan sedia ada tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya terhadap tanah mereka,” jelas seorang pegawai kempennya Jamaludin Ishak.
Katanya lagi, bagi memastikan kesungguhan untuk menyelesaikan keluhan zaman berzaman itu, PAS mengambil peluang menemui pengundi sambil mengutip maklumat tentang masalah berkenaan. Ini akan disusuli dengan bantuan guaman.
Tambahan lagi, menurut Jamaludin, calon mereka di Beting Maro, iaitu Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus juga merupakan seorang peguam.
Belajar dari PKR
Tindakan itu dilihat cuba belajar daripada pengalaman rakan mereka dari PKR yang mana beberapa pemimpin mereka seperti Baru Bian (bertanding di Ba'Kalalan) dan See Chee How (Batu Lintang) – kedua-duanya menempa nama kerana banyak membantu memperjuangkan kes tanah NCR ke mahkamah.
Kemenangan PAS kali ini amat penting untuk kelangsungan parti itu di Sarawak pada masa depan,. Ia juga sekali gus menyuntik semangat baru kepada anggotanya yang tidak pernah menikmati rasa kemenangan sejak pertama kali bertanding pada tahun 2003.
Justeru, selepas lapan tahun, sebagai sebuah parti Islam dalam masyarakat yang majmuk, PAS dilihat perlahan-lahan berubah untuk dilihat lebih terbuka dan rencam.
Pada masa yang sama, parti itu juga percaya perlu bergantung kepada faktor lain bagi memberikan imej positif mereka sebagai sebuah parti Islam di tengah-tengah masyarakat pelbagai kaum dan agama.
Justeru, bagi Pengarah Pilihan Raya PAS DUN Sarawak Nasharudin Mat Isa (kanan) tindakan parti itu meletakkan dua calon wanita dan seorang calon muda bertanding di tiga daripada lima tempat yang diperuntukan Pakatan padanya mempunyai percaturan tersendiri.
“Sudah tentu ada perkiraannya. Sebagai contoh, calon Beting Maro, Abang Ahmad Kerdee, dengan ketokohan orang muda, seorang peguam dan aktivis Pemuda (parti), ini pilihan terbaik untuk rakyat.
“Calon Muslimat pula, isyarat yang lain bahawa kita punya calon daripada pelbagai latar,” kata Nasharudin yang juga timbalan presiden PAS ketika dihubungi Malaysiakini Khamis lalu.
Tak belajar dari BN Sarawak
Ditanya kenapa sejak beberapa pilihan raya kecil sebelum ini, PAS terus gagal menjadi pilihan rakyat Sarawak, meskipun mengetengahkan isu tempatan seperti tanah NCR berulang kali, Nasharudin berkata ia disebabkan kekangan media arus perdana dan faktor geografi.
Katanya, kedua-dua faktor itu menyebabkan maklumat sukar disalurkan.
“Jadi rakyat hampir tidak bermaklumat. (Maka) yang menjadi penentuan, dolar dan sen (politik wang),” kata Nasharudin yang anggota parlimen Bachok.
Berbeza dengan pendekatan di semenanjung, PAS tidak menyentuh langsung isu agama yang menjadi polemik sebelum ini seperti isu kalimah Allah dan penyebaran kitab Injil berbahasa Melayu.
Menurut seorang tokoh masyarakat Melayu-Melanau tempatan, perkara itu tidak menjadi isu di bumi Kenyalang selagi kerajaan sedia ada menjaga kebajikan penganut semua agama.
“Selagi kemudahan dan peruntukan untuk masjid terjaga, selagi kemudahan untuk gereja terjaga, masyarakat Sarawak tidak akan kisah. Politik di sini berbeza dengan di semenanjung Malaysia,” kata Mufti Perlis Juanda Jaya yang merupakan anak jati dan pengundi Sarawak.
Juanda juga mendedahkan, BN mengekalkan popularitinya di kalangan rakyat yang ketandusan maklumat melalui 'utusan' yang dihantar bagi berbual di pasar dan kedai-kedai kopi untuk menyampaikan mesej mereka.
“Ini yang Pakatan tidak belajar daripada BN Sarawak,” katanya yang akan pulang mengundi di DUN Jemoreng dalam parlimen Igan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan