Ahad, 10 April 2011

SARAWAK TENGAH DIKUNJUNGI...TENTU MERIAH...SIBUK...BISNES PUN MAJU...LEPAS NI HANYA ALLAH SAJA YANG TAHU...

Calon PAS Tanjung Datu cuba dibeli dan diugut
Nazri Abddullah

SANTUBUNG, 10 April: PAS membuat satu laporan polis ekoran calon mereka di Dewan Undangan Negeri (Dun) Tanjung Datu, Nani Sahari didakwa cuba diugut dan cuba dibeli pihak tertentu.

Laporan itu dibuat di Balai Polis Lundu 7 April lalu oleh wakil calon, Syed Abdul Rahman Syed Hussain.

(Gambar: Calon PAS Tanjung Datu, Nani Shaari)

Menurut Abdul Rahman, ketika sedang mengadakan kempen rumah ke rumah, calon menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai seorang pegawai polis.

Dalam perbualan itu, lelaki tersebut cuba memujuk beliau untuk berjumpa dan berunding tentang penyertaan beliau dalam pilihan raya negeri kali ini.

Bagaimanapun, Nani didakwa menolak pelawaan tersebut secara baik dan meletak telefon biarpun diajak bertemu sendirian beberapa kali.

"Calon bagitahu saya dia menolak pelawaan itu dengan memberitahu dia ada perinsip dan tidak mahu berunding apa-apa.

"Kita anggap ini satu percubaan untuk membeli, mengugut dan menyusahkan calon kita," katanya ketika ditemui semalam.

Katanya, pihak polis juga turut mengesahkan nombor telefon yang diguna untuk menghubungi calon itu adalah dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

(Gambar: Mahfuz menunjukkan salinan repot polis yang dibuat)

"Kita mahu polis mengadakan siasatan segera kerana kita tidak mahu perkara sama berulang dan boleh menjejaskan kempen calon," tegasnya.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar kemudiannya menunjukkan kepada Harakahdaily laporan polis yang dibuat oleh Syed Abdul Rahman itu.

Nani akan ditentang Tan Sri Adenan Satem dari BN manakala Gilbert Asson Anak Kulong (Bebas).


8 anggota SMM masih ditahan, wartawan di bebas
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 10 April: Lapan anggota Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang ditahan di KL Sentral pagi tadi masih berada di Balai Polis Jalan Travers sementara tiga wartawan yang membuat liputan telah dibebaskan tengahari tadi.

Mereka ditahan selepas sidang media SMM mengenai program Jelajah Mahasiswa Selamatkan Rakyat berkomuter dari KL Sentral ke Seremban pagi tadi.

Lapan daripada mereka merupakan mahasiswa IPTA di Lembah Klang manakala dua yang lain ialah wartawan dan jurugambar akhbar Suara Keadilan dan seorang jurugambar TV Selangor.

Menurut jurucakap SMM, Ahmad Shukri Kamaruddin, mereka ditahan kerana didakwa mengadakan perhimpunan tanpa permit.

Namun beliau menyifatkan tangkapan itu sebagai tidak munasabah kerana mereka tidak berhimpun sewaktu ditangkap malah ada mahasiswa yang ditahan sewaktu ingin menaiki komuter.

"Saya anggap tangkapan ini tidak munasabah kerana kami tidak melakukan perkara yang menganggu ketenteraman awam," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau yang masih menunggu untuk disoal siasat pegawai yang bertugas juga berkata, mereka mengikut arahan polis untuk bersurai namun polis bertindak selepas mereka bersurai dengan merampas kad pengenalan mereka.

Mereka mengadakan sidang media berkenaan untuk menghebahkan siri jelajah mahasiswa selamatkan Malaysia bagi menunjukkan protes terhadap politik kotor Mahasiswa.

SMM tegasnya tetap akan menyampaikan mesej menolak politik lucah, rasuah dan pendidikan seks kepada masyarakat walaupun mahasiswa terpaksa berhadapan dengan sekatan-sekatan melampau daripad a pihak polis.

"SMM tetap berpendirian tegas untuk menentang budaya politik lucah, rasuah dan pendidikan seks sehingga integriti nilai-nilai moral berteraskan norma-norma peradaban negara bangsa Malaysia dapat dikembalikan. SMM juga akan tetap memperjuangkan hak, demokrasi dan autonomi di dalam dan di luar kampus," katanya.



BN ugut pemilik rumah tumpangan PAS
Hazayani Zakaria

SANTUBONG, 10 April: BN Sarawak terus menunjukkan sikap terdesak apabila mengugut pemilik permit rumah tumpangan dan rumah persendirian yang menyewakannya kepada petugas PAS.

Perkara ini berlaku di Sementan, Dun Tanjung Datu apabila petugas PAS dari Johor terpaksa keluar dari rumah yang disewa walaupun pada mulanya pemiliknya menunjukkan sikap positif meskipun mengetahui mereka daripada PAS.

Menurut ketua petugas PAS Johor di Dun tersebut, Onn Jaafar, kali pertama mereka diarah keluar ialah sewaktu menyewa di rumah tumpangan di Sementan.

Setelah empat hari menyewa di situ, mereka diarahkan keluar kerana pemiliknya memberitahu, mereka diugut oleh pihak BN-PBB bahawa permit sewaannya akan ditarik balik jika terus menyewakannya kepada petugas PAS.

Pada malam sebelum diarah keluar, PAS mengadakan ceramah di perkarangan rumah tumpangan tersebut dan pemiliknya turut menghadiri ceramah tersebut.

Pemiliknya sedikitpun tidak menunjukkan rasa tidak senang malah menyatakan sokongan kepada calon PAS dan bersedia membawa petugas menyelami masalah penduduk di kawasan sekitar.

"Esoknya kami dipanggil dan setelah berbincang, mereka menyuruh kami keluar kerana takut dengan ugutan daripada pihak BN.Tapi mereka minta maaf kerana terpaksa arahkan kami keluar," cerita Onn ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Setelah diarah keluar, mereka menyewa di sebuah rumah persendirian yang juga di Sementan.

Pemiliknya juga tahu mereka daripada PAS dan tidak menunjukkan sebarang masalah.

Namun pada malamnya, mereka sekali lagi diarah keluar kerana pemiliknya turut menerima ugutan lesen perniagaannya akan ditarik kerana bekerjasama dengan PAS.

"Dia seorang ahli perniagaan. Dia bagitau kami, kalau benarkan kami menyewa, lesennya akan ditarik balik. Kerana takut, dia menyuruh kami keluar," katanya.

Sehubungan itu, mereka terpaksa menumpang di bilik gerakan kerana tidak mahu perkara sama berulang lagi kerana difahamkan pihak BN sentiasa memantau penduduk kawasan tersebut.

Namun bagi Onn, kejadian 'dihalau' ini tidak sedikit pun menjejaskan semangat petugas PAS untuk terus berkempen sehingga hari membuang undi 16 April ini.

Beliau sebaliknya hanya menyifatkan kejadian ini sebagai cabaran kecil yang harus ditempuh oleh petugas-petugas apatah lagi jika 'masuk ke tempat orang'.

"Walaupun terpaksa berpindah randah begini, sedikitpun tak jejaskan semangat kami untuk terus membantu kempen calon PAS.

"Ada lagi petugas dari Johor yang akan tiba walaupun sudah dimaklumkan mengenai perkara ini," katanya.

Seramai 13 orang petugas dari Johor berkampung di Tanjung Datu sehingga hari mengundi.

Calon wanita

PAS meletakkan calon wanita, Nani Sahari untuk merampas kerusi Dun Tanjong Datu daripada penyandang kerusi ini, Adenan Satem daripada BN-PBB.

Nani berhadapan dengan pertandingan tiga penjuru apabila menentang Adenan yang mengekalkan kerusinya selain seorang lagi calon bebas, Gilbert Asson ak Kulong.

Nani, 42 berasal daripada Kampung Pula, Petrajaya, Sarawak merupakan seorang graduan UiTM pada tahun 1993.

Nani yang bertugas sebagai pembantu klinik di Sarawak merupakan bekas Ketua Wanita PKR Sarawak pada tahun 2009 sebelum menyertai PAS tahun lalu.

Pada tahun 2006, Adenan menang kerusi ini dengan mendapat 4,545 undi menewaskan Sobey Daud, PKR (409) dan Larry Dominic Linang, Bebas (357).

Jumlah pengundi seramai 7,936 iaitu Melayu/Melanau (53.06%),Cina (19.63%), Iban (17.34%), dan Bidayuh (9.97%)


Abang Eddy teruskan legasi datuk
Nazri Abdullah

SAMARAHAN, 10 April: Seorang lagi calon anak muda PAS, Abang Eddy Abang Fauzi yang bertanding bagi merebut kerusi DUN Sadong Jaya, dilihat mempunyai tarikan sendiri berdepan mayarakat di Dun itu.

Susuk tubuh yang tegap, petah bercakap, ada karisma, antara kelebihan Abang Eddy yang juga Ketua Pemuda PAS Sarawak.

Tidak banyak beza dengan Abang Ahmad Kerdee Masagus iaitu calon muda PAS di Beting Maro, Abang Eddy, 32, juga punyai kelebihan tersendiri.

Beliau cukup dikenali di Dun ini apatah lagi beliau adalah cucu kepada bekas Speaker Dewan Negara, Tan Sri Ahmad Urai Datuk Hakim Abang Haji Mohidin, yang juga bekas Adun Sadong Jaya sejak tahun 80-an.

Jasa dan kebaikan datuknya itu sangat diketahui penduduk di sini dan tempiasnya kini kena pada diri beliau.

Atas kapasiti itulah, beliau juga sangat disegani kawan dan lawan.

Ketika ditemubual Harakahdaily semalam, beliau berkata beliau akan meneruskan segala usaha murni yang dipelopor datuknya membawa Sadong Jaya ke tahap lebih baik.

"Untuk peringkat pertama ini, saya dah melawat ke lima unit peti undi, naik rumah ke rumah, mereka menerima kita.

"Walaupun mereka letak bendera BN, mereka tetap alukan kedatangn kita, lebih lebih lagi mereka kenal datuk saya.

"Di sini persaudaraan lebih penting berbanding ideologi politik,"katanya.

Ditanya pendekatan kempen yang diguna, Abg Eddy memberitahu beliau selesa dengan kempen rumah ke rumah dan berperinsip 'lebih banyak menerang dari menyerang'.

Menurutnya, kaedah itu lebih sesuai kerana majoriti masyarakat di sini adalah saudara dan rakan-rakan yang membesar bersamanya.

Antara isu utama membelengu masyarakat di sini katanya adalah isu kemudahan asas yang masih lagi tidak sempurna.

Selaian Abang Eddy, turut merebut kerusi itu, Aidel Lariwoo (BN) dan Mahayudin Bin Wahab (Bebas).


Rakyat Sarawak berpeluang cipta sejarah
Ismail Hashim

MIRI, 10 April: Rakyat Sarawak berpeluang besar untuk mencipta sejarah baharu membuat perubahan drastik di dalam Pilihan Raya Umum Negeri ke 10 (PRUN10) pada 16 April depan dengan menumbangkan BN.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, tidak mustahil usaha keras yang dijalankan oleh Pakatan Rakyat selama ini lebih-lebih lagi menghadapi PRUN10 kali ini akan menghasilkan keputusan terbaik.

Katanya, rakyat mahu Taib Mahmud berhenti sebagai Ketua Menteri bukan dua atau tiga tahun lagi tapi berhenti pada 16 April ini setelah lebih 40 tahun melakukan berbagai salahlaku di Sarawak.

Namun beliau berkata, bukan senang untuk berjaya menjatuhkan Pek Moh (gelaran rambut putih diberikan rakyat kepada Taib Mahmud atau Tok Uban) namun dengan pra-syarat kerja usaha kuat, 16 April akan menghentikan sejarah rakus Pek Moh di Sarawak.

"Inilah masa untuk rakyat Negeri Sarawak menulis dan mencipta sejarah baru dalam lanskap politik negara setelah sekian lama berada di bawah pemerintahan BN yang membiarkan negeri dan rakyat dalam kemiskinan sangat ketara.

"Kebanyakan rakyat yang ditemui melahirkan rasa tidak senang dengan keadaan kehidupan mereka tetapi masih ramai yang berasa takut untuk bersuara, jadi dengan adanya PRUN10 ini, semua kehendak tinggi rakyat mesti dibuktikan dalam peti undi.

Satu ketika Lim bertanya, "Adakah anda semua sudah bersedia? (bergemuruh jawapan "Yaaa") Jika anda sudah bersedia, bersedia untuk apa? "Untuk berubah", jawab ribuan hadirin yang berada di hadapan klinik calon Senadin dari Keadilan, Dr Teo Yu Kheng.

Menurutnya, pengundi terutamanya rakyat seluruh Negeri Sarawak akan dapat merasai kelainan bentuk pentadbiran baharu yang diterajui oleh Pakatan Rakyat di mana seorang peguam terkenal, Baru Bian telah ditentukan sebagai Ketua Menteri jika PR menang kali ini.

Paling kurang, jelasnya, PR mahu mengurangkan penguasaan politik BN di negeri ini dengan mencipta keputusan dua pertiga di dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak.



PRN Sarawak: PAS arah solat hajat Khamis ini

Harakahdaily

KUCHING, 10 April: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengarahkan semua ahli dan penyokong PAS agar mengadakan solat hajat memohon agar kemenangan memihak kepada calon-calon PAS dan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya negeri Sarawak.

Menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, mereka mengarahkan agar solat hajat ini didirikan secara berkelompok atau bersaorangan pada 14 April ini iaitu hari Khamis malam Jumaat.

"Semua ahli PAS diarah menunaikan solat hajat ini dan memohon kepada Allah agar diberikan kemenangan kepada calon PAS dalam pilihan raya Sarawak ini. Sebaik-baiknya ia diadakan selepas solat Isyak," kata beliau kepada Harakahdaily.

Lima calon PAS bersama calon PKR dan DAP sedang menghadapi pilihan raya negeri Sarawak sekarang.

Calon-calon PAS yang bertanding adalah Adam Ahid (Sebuyau), Abang Ahmad Kardee (Beting Maro), Abang Eddy (Sadong Jaya), Noraini Hamzah (Muara Tuang) dan Nani Shaari (Tanjung Datu).

PAS mensasarkan untuk membuat pencapaian terbaik dalam pilihan raya Sarawak kali ini iaitu sekurang-kurangnya menghantar seorang wakilnya ke DUN Sarawak.


Tiada ulasan: