Ahad, 4 Julai 2010

SENANG CERITA SYAITAN DAH BERJAYA MENGUASAI MEREKA...AMALAN AGAMA DIABAIKAN ATAU DAH TAK SOLAT LAGI

Suami dua alam

Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN, FIRDAUS SAHAT dan SHAMRAN SARAHAN
metahad@hmetro.com.my
2010/07/04

KUALA LUMPUR: Mereka sudah berkeluarga tetapi masih mengamalkan hidup songsang bagi memenuhi naluri serta keinginan seks terhadap kaum sejenis.


Rata-rata mereka yang melakukan perbuatan jijik itu seperti bernaung di bawah satu ‘kelab’ dan aktif menjalankan kegiatan terbabit secara berkumpulan.

Biasanya, golongan suami yang dahagakan hubungan sejenis ini bergerak bersama ke tempat dan ‘sarang’ golongan homoseksual itu seperti kawasan taman, rumah urut dan spa khusus untuk golongan gay memuaskan nafsu serakah mereka.


Ada juga suami gay berkenaan yang bermain cinta dengan lelaki muda homoseksual bergelar ‘anak ikan’ untuk memenuhi keinginan mereka.

Kegiatan diumpamakan ‘kelab suami gay’ ini didedahkan seorang lelaki dikenali sebagai Addy, 39, yang aktif melakukan aktiviti songsang terbabit sejak mula mendirikan rumah tangga kira-kira tujuh tahun lalu.

Addy berkata, dia mula terjebak dengan perbuatan tidak bermoral itu selepas hanya sembilan bulan perkahwinan kerana pengaruh rakan yang melakukan kegiatan sama sejak sekian lama.

“Mulanya saya teragak-agak. Saya tidak berani ‘makan luar’ dan melakukan kegiatan songsang itu lagi, tetapi jiwa saya memberontak apabila tidak menerima belaian daripada lelaki.

“Saya sayangkan isteri, tambahan pula kami kini mempunyai empat cahaya mata, tetapi selera saya pada lelaki tidak pernah padam,” katanya.

Menurut Addy, dia bersama tiga rakannya menjalankan aktiviti terbabit hanya pada masa dan tempoh tertentu, sama ada ia dilakukan satu minggu sekali ataupun hanya sekali sebulan.

Katanya, sasaran mereka adalah ‘anak ikan’ yang mudah didapati di pusat urut tradisional atau pun spa gay di sekitar ibu kota.

“Pusat tumpuan kami biasanya di Taman Miharja, Cheras. Di sana ada banyak rumah urut untuk kami kunjungi sambil melepak bersama golongan sejenis.
“Kadangkala kami pergi juga ke Tasik Permaisuri dan Taman Tasik Kelana Jaya kerana tempat ini boleh dikatakan ‘sarang’ untuk pertemuan lelaki seperti kami,” katanya.

Addy berkata, mereka melakukan semua itu semata-mata untuk melampiaskan nafsu terhadap sesama lelaki, namun pada masa sama tidak mahu mengabaikan rumah tangga, isteri dan anak.

“Apabila bersama isteri dan anak, saya adalah lelaki normal. Cuma perwatakan saya lembut.

“Saya tidak tahu bila semua ini akan berakhir, naluri saya masih berkehendakkan lelaki. Saya tetap ghairah memandang lelaki,” katanya.

Rakannya, Reza, 36, pula berkata, selain suka berfoya-foya ke ‘port’ gay sekitar Kuala Lumpur, dia turut bermain cinta dengan pasangan sejenis.

Katanya, menjadi rutin hariannya, di rumah dia bermesra bersama isteri tetapi di luar rumah dia menjalin hubungan sulit bersama pasangannya.

“Kekasih saya tahu saya sudah berkahwin, tetapi ia tidak menjadi masalah buat kami berdua. Dia (kekasih) faham situasi saya, walaupun beristeri, namun naluri saya tetap pada lelaki.

“Hujung minggu, kami sering berkunjung ke kelab malam gay di Bukit Bintang. Jika dia tiada, saya akan bersama Addy dan rakan lain ke port gay,” katanya.

Bagaimanapun, Addy berkata, hubungannya bersama isteri tetap bahagia walaupun isterinya tidak mengetahui dia melakukan hubungan songsang di luar rumah.

“Perkahwinan saya bersama isteri adalah atas desakan keluarga. Saya dipaksa kahwin, tetapi tidak dapat menolak permintaan keluarga itu.

“Namun hubungan saya dan isteri baik saja. Bersama dia saya bahagia juga, tetapi keinginan saya untuk didampingi lelaki masih tidak berubah,” katanya
Lain pula ceritanya dengan Azri, 40, yang tujuh tahun berkahwin dan dikurniakan tiga cahaya mata tetapi sanggup menipu dan menduakan isterinya hanya untuk bersama lelaki lain.

Lebih menjijikkan, dia juga sering melampiaskan nafsu songsangnya bersama suami orang yang masih mempunyai isteri dan empat anak.

Bagi Azri, sepanjang perkahwinannya dia cuba membuang tabiat songsang itu. Malah dia tahu mengenai dosa dan bala yang akan diterima. Namun, kerana tuntutan nafsu songsang yang sukar dikawal, dia sering melakukan hubungan seks sesama lelaki.

“Naluri dan nafsu saya terhadap lelaki sukar dibendung. Saya melihat lelaki seperti mana kaum itu melihat wanita seksi yang berjalan di depan mereka.

“Boleh dikatakan dalam setahun, lebih lima atau enam kali saya mencari pasangan homoseksual. Bagaimanapun, tujuan saya hanya untuk melepaskan nafsu tetapi tidak pernah terfikir untuk menjalin hubungan cinta.

“Tambahan pula saya sudah berkeluarga. Saya sayangkan mereka dan sebab itu saya tidak mahu mengabaikan mereka hanya kerana tuntutan nafsu ini,” katanya.
Menurut Azri, setiap kali ingin bersama teman sejenis, dia mencari ‘mangsa’ baru menerusi laman sosial atau menghubungi rakannya.

“Sebenarnya, mencari pasangan sejenis lebih mudah daripada seorang lelaki cuba mendapatkan perhatian wanita. Menerusi perkenalan singkat, kami mudah mesra dan terus bersetuju mengadakan hubungan seks.

“Malah, ada juga rakan rapat yang tidak tahan dengan gelora nafsu songsang mereka menghubungi saya untuk melampiaskan nafsu. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, saya menerimanya.

“Bagaimanapun, saya sedar apa hukuman yang harus diterima golongan seperti saya ini. Sebab itu saya cuba mengawal nafsu berkenaan dan hanya melakukannya beberapa kali setahun,” katanya.

Azri berkata, faktor utama yang menjadikan dirinya sebagai lelaki songsang ialah kerana sejak kecil lagi dia terbiasa memakai pakaian wanita.

Katanya, hanya kerana ibu dan ayahnya terlalu menginginkan anak perempuan, dia pula yang menjadi mangsa.

“Dulu keluarga saya kehilangan anak perempuan kerana meninggal dunia. Mungkin sebab terlalu kecewa, saya pula yang menjadi mangsa dan dipakaikan pakaian wanita.

“Apapun, saya tidak salahkan mereka. Mungkin ini sudah takdir saya dan saya terima dengan reda.

“Begitupun, saya sentiasa mengimpikan untuk menjadi lelaki sejati. Berkali-kali saya cuba menahan nafsu songsang itu tetapi tidak berjaya.

“Saya cemburu terhadap lelaki tulen. Namun, apakan daya, setiap kali saya cuba mengubah kehidupan songsang ini dan menahan gelora nafsu, saya pasti tewas,” katanya yang masih merahsiakan perbuatan terkutuk itu daripada pengetahuan keluarganya.

Tiada ulasan: