Isnin, 12 Julai 2010

ISU PASIR LAGI.....BEREBUT KUASA...DAN KEUNTUNGAN....ORANG LA NI TAK BEREBUT CARI SYURGA....




MB S'gor: Samseng pun terlibat operasi pasir

Salhan K Ahmad
Jul 12, 10
7:41pm

Langkah kerajaan Selangor mewujudkan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) bertujuan mengawal industri perlombongan pasir yang sebelum ini memberikan pihak tertentu peluang mengaut keuntungan mudah daripada kegiatan berkenaan, kata menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Selain itu, ia juga bertujuan membolehkan Selangor mengenali selok belok industri berkenaan untuk mengenalpasti ketirisan yang berlaku dalam kegiatan perlombongan pasir.

"Saya dapati terlalu ramai mereka yang terlibat dalam operasi pasir ini bukan saja individu. Ada juga kepimpinan kampung, pegawai kerajaan, pembawa lori, dan rupa-rupanya samseng pun terlibat.

"Barulah saya tahu industri ini ramai peminat. Bila kita kurangkan duit poket ini, terdapat heboh begitu besar, tapi kita mesti selesaikan," katanya ketika menjawab soalan lisan di DUN Selangor hari ini.

Soalan tersebut dikemukakan Mohd Shamsudin Lias (BN Sungai Burong) yang bertanyakan jumlah kerugian yang dialami Selangor akibat kegiatan kecurian pasir.

Dalam soalannya itu, Mohd Shamsudin turut menyoal langkah-langkah yang diambil kerajaan negeri dalam menangani isu berkenaan.

Khalid dalam jawapannya berkata, pada tahun 2006 kerajaan negeri memperoleh royalti sebanyak RM4.37 juta. Manakala bagi tahun 2007 pula jumlah kutipan berjumlah RM4.2 juta - jauh daripada kutipan sepatutnya yang dijangkakan sebanyak RM30 juta setahun.

"Kecurian masih berleluasa. Kita dapati (hasil) berjumlah RM30 juta tidak terkutip sebab kita tidak kawal. Jadi cara kita adalah tubuhkan Kumpulan Semesta," katanya.

Dedah nama

Tambahnya, hasil daripada langkah itu, kerajaan negeri berjaya mengutip hasil sebanyak RM7 juta pada 2008, tidak termasuk keuntungan daripada KSSB.

"Kenyataannya, (KSSB) bukan saja untuk tingkatkan royalti. Unjuran awal bukan (hanya) RM10 hingga RM20 juta, tapi untuk 2010 mereka jangka keuntungan melebihi RM25 juta," katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri juga bercadang untuk mendedahkan senarai individu yang menerima lesen pengeluaran pasir sebelum 2008 untuk membolehkan masyarakat tahu sama ada indvidu berkenaan merupakan pengeluar pasir yang sebenar.

"Ikut kajian kita, 80 peratus daripada mereka tak kenalpun jentera tapi dapat lesen untuk dijual. Sekarang kita buat perubahan," katanya.

Katanya lagi, kaedah menangkap individu terlibat dalam kegiatan tersebut dan menyita peralatan mereka didapati tidak berjaya menyelesaikan masalah berkenaan.

"Untuk ini kerajaan berpendapat, salah satu usaha bukan saja selesaikan pengeluaran tetapi juga mengawasi penggunaan atau pengeluaran," katanya lagi.

Jelasnya, kaedah mengenakan kawalan di pihak pengguna pasir didapati berkesan untuk mengawal industri perlombongan, seperti yang diamalkan dalam industri minyak.

"Dulu kita hanya sekat tempat keluar pasir. Sekarang strategi kita ialah tempat penggunaan pasir. Kita akan letakkan pegawai untuk buat semakan sama ada pasir diambil dari tempat yang diluluskan kerajaan negeri.

Rampas tanah persendirian

"Contohnya, kawasan pembinaan jalan untuk kapal terbang (tambang murah) LCCT yang perlukan berjuta tan pasir," katanya lagi.

Katanya, kerajaan negeri juga akan berbincang dengan pengeluar simen di Selangor supaya dapat bekerjasama bagi menentukan sama ada mereka membeli pasir daripada kawasan yang diberikan lesen.

"Kita tubuhkan syarikat kerajaan negeri (KSSB) untuk bersaing dan selesaikan masalah, sebab kita tidak tahu tentang industri ini. Kita tidak tahu siapa pembeli, siapa penggunanya," katanya.

Katanya lagi, selain langkah makro seperti itu, kerajaan negeri juga akan mengadakan mesyuarat mingguan dengan pegawai setiap daerah untuk mengenalpasti kawasan yang berlaku kecurian pasir.

Tambahnya, kerajaan juga akan membayar sagu hati sebanyak RM5,000 kepada pemberi maklumat yang boleh mendedahkan maklumat kegiatan kecurian pasir.

Selain itu, kerajaan negeri juga telah meluluskan langkah untuk merampas tanah milik persendirian yang membiarkan kegiatan kecurain pasir dilakukan di tanah mereka.

"Kerajaan negeri setuju beri borang 7A untuk rampas tanah tersebut, dan bila dirampas, tanah akan jadi milik kerajaan dan kerajaan negeri akan jaga tanah tersebut supaya tidak berlaku kecurian.

"Hampir 7, 8 keping tanah sudah kita ambil kerana mereka tidak jaga tanah mereka dan dibiarkan dicuri," katanya lagi.

Tambahnya, peruntukan untuk penguatkuasaan seperti itu akan dibiayai oleh KSSB





MB: TPM subahat jika tak tangkap pencuri pasir
Salhan K Ahmad
Jul 14, 10
5:50pm

Selangor telah menghantar surat kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memohon kerjasama timbalan perdana menteri itu dalam menangani isu kecurian pasir di negeri itu, kata menteri besarnya Tan Sri Khalid Ibrahim.

Katanya, surat yang sama telah dihantar hari ini kepada menteri dalam negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan, peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail serta ketua polis negeri Datuk Khalid Abu Bakar.

"Saya telah hantar surat kepada timbalan perdana menteri untuk jelaskan isu kecurian pasir di Selangor dan jemput beliau dan agensi kerajaan persekutuan untuk perangi jenayah ini.

Tambahnya, turut disertakan dalam surat tersebut ialah laporan polis yang dibuat oleh kerajaan negeri berhubung kegiatan tersebut, serta penjelasan mengenai langkah-langkah yang telah dijalankan Selangor dalam menangani isu berkenaan.

"

Saya juga telah sertakan semua maklumat mengenai kegiatan curi pasir yang telah diperolehi Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) supaya timbalan perdana menteri dan agensi persekutuan seperti polis dapat membuat tindakan sewajarnya.

"Sebab dalam berita dia kata 'bila kita tahu siapa terlibat, kita akan tangkap.' Jadi sekarang kita telah beri maklumat ini kepada beliau.

"Kalau dia tidak tangkap, dia bersubahat dengan pencuri pasir pula," katanya dalam satu sidang media selepas persidangan DUN Selangor hari ini.

Jelasnya, dalam surat berkenaan juga beliau menjelaskan bahawa usaha yang dijalankan kerajaan negeri itu termasuk menubuhkan satu jawatankuasa khas diketuai setiausah kerajaan negeri.

Satu lagi langkah yang diperkenalkan ialah menawarkan ganjaran kepada orang ramai yang membantu dalam usaha menahan penjenayah berkenaan.

Khalid berkata sistem yang diamalkan Selangor sekarang berjaya meningkatkan hasil pasir daripada RM2.9 juta pada 2007 kepada RM6.3 juta pada 2008.

Katanya, jumlah tersebut semakin meningkat kepada RM5.4 juta pada 2009 dan RM10.3 juta setakat Jun tahun ini.

Menurutnya lagi, sebagai langkah susulan, beliau juga akan mengumumkan senarai individu yang diberikan lesen melombong pasir oleh kerajaan BN sebelum ini.

Jelasnya, walaupun langkah tersebut diketahui tidak akan disenangi beberapa pihak, namun ia perlu dilakukan bagi membolehkan individu tersebut dinilai sama ada mereka layak menerima lesen berkenaan.

Ujarnya, beliau juga berharap pemimpin Umno tidak hanya menimbulkan isu kecurian pasir bagi tujuan politik.

"(Saya) berharap agar dokumen yang diberikan adalah memadai untuk timbalan perdana menteri memberi arahan kepada pihak berkuasa untuk bertindak secara profesional.

Tiada ulasan: