Anak murid Jakim agen penyesat?
Wan Nik Wan Yussof
Seorang yang terkedu dengan kenyataan kawannya telah menelefon saya (Khamis lepas, 8 Julai). Katanya, tergamak kawannya itu membuat tohmahan "SESAT" bernada keras dan kebencian terhadap seorang berperwatakan ulama yang memang dikenali ramai di negeri, negara hatta peringkat dunia.
Kawannya itu, kononnya lulusan Universiti al-Azhar, pensyarah salah sebuah IPT di Johor, dipanggil ustaz dan dianggap orang agama, tetapi kelihatan tidaklah berakhlak ulama. Dia berani mengeluarkan kenyataan SESAT selepas kembalinya berkursus di JAKIM. Ada individu tertentu telah mengasak pemikirannya dengan fakta-fakta kononnya dilakukan oleh ulama tersohor itu. Lalu dilabelkan ulama itu seorang yang SESAT.
Ulama yang dimaksudkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Menteri Besar Kelantan. Menurutnya, beliau telah berhujah dengan kawannya itu dengan beberapa persoalan yang gagal dijawab oleh kawannya itu. Setakat yang dia tahu tentang Tuan Guru Nik Abdul Aziz (TGNAA), beliau tegaskan, tak mungkin seorang berakhlak seperti TGNAA itu adalah SESAT! Lalu saya menelusuri sikap terkedu saudara penelefon itu.
Saya membutirkan lagi beberapa hujah agar terkedunya itu tidak sampai ke peringkat kegusaran yang berpanjangan. Saya berhujah berdasarkan pengalaman selama lebih 30 tahun mengenali TGNAA. Antara hujah yang dapat saya paparkan (menerusi telefon yang mengambil masa sekitar 10 minit):
1. TGNAA memang seorang ulama kerana akhlaknya selalu berserban ketika tampil di khalayak, SESATkah kerana berserban?
2. TGNAA memang seorang guru agama kerana mengajar kitab (yang KDN lulus dijual di pasaran) setiap malam Khamis dan Jumaat di masjidnya sendiri, SESATkah kerana mengajar kitab?
3. TGNAA satu-satunya yang berserban, lulusan Deoband, India dan al-Azhar Mesir dalam bidang hadis dan qanun wal-syariah telah diangkat rakyat Kelantan menjadi Menteri Besar (MB) telah 20 tahun, SESATkah ilmu itu dan SESATkah rakyat Kelantan kerana mengangkatnya jadi MB?
4. TGNAA selalu bangun untuk beribadat malam (tahajud) mendekati Tuhan, SESATkah kerana beribadat malam?
5. TGNAA sering dijemput berkhutbah Jumaat tatkala hadir mengunjungi masjid-masjid di serata Kelantan, SESATkah kerana boleh berkhutbah (bukan baca khutbah)?
6. TGNAA bila berceramah, berucap dan merasmikan majlis akan memulakannya dengan membaca ayat-ayat al-Quran sebagai mukadimah kepada intipati kepada apa yang akan diceramahkan, diucapankan dan dirasmikan, SESATkah kerana bermukadimah dengan ayat al-Quran?
7. TGNAA akan bersolat dhuha dulu sebelum duduk memulakan tugas di kerusi MBnya, SESATkah kerana solat dhuha di pejabat?
8. TGNAA sejak menjadi pemimpin PAS telah mengajar ilmu tafsir al-Quran setiap pagi Jumaat di Masjid Muhammadi, kemudian sejak jadi MB mengajar pula di Dataran Ilmu MPKB yang anak muridnya ribuan orang, SESATkah kerana mengajar tafsir yang kitab rujukannya adalah "Tafsir Pimpinan Rahman" yang duluskan Jakim dan KDN?
9. TGNAA apabila hadir untuk bersolat fardhu di mana-mana masjid di serata negari dan negara tidak mudah nak jadi imam, selagi mana pihak berkuasa masjid itu tidak memintanya menjadi imam, SESATkah sikap sedia jadi imam semata-mata kerana diminta untuk jadi imam?
10. TGNAA sejak jadi Mursyidul Am PAS, menjadi pemimpin Pakatan Rakyat, berkawan dengan parti KeADILan dan DAP akan selalu menyampaikan mesej Islam (menerangkan kelebihan Islam) bila dijemput berucap, meskipun di depan Anwar, Lim Kit Siang hatta di depan Karpal Singh, SESATkah seorang pemimpin Islam bila berucap di depan pemimpin bukan Islam ia tegas menyatakan ajaran Islam?
11. TGNAA sebaik jadi MB Kelantan, komited dengan dasar Membangun Bersama Islam, arah simpan wang kerajaan Negeri di Bank Islam, buka pajak gadai Islam, pakai prinsip pentadbiran berteraskan Ubudiah, Masuliah dan Itqan, laksana perbandaran Islam, beri takaful kifalah untuk wasi si-mati, guna dinar emas, beri cuti bersalin 60 hari, mulakan kerja 5 hari seminggu..
.sekadar beberapa contoh, SESATkah pendekatan pentadbiran Islam sebegitu yang jelas kerajaan Pusat pun terikut-ikut sama? Lepas itu, saya merungut di dalam hati..."sampai lenguh aku memegang telefon ni, nak layannya." Apa pun banyak lagi hujah yang saya nak sebutkan. Namun, saya ringkaskan dengan mempelawanya,
"jemputlah kawan saudara tu baca blog TGNAA (http://www.blogtokguru.com/) dan cuba-cubalah masuk Facebook TGNAA (ttp://www.facebook.com/nikaziz)." Alamatnya mudah je.... Harap sampaikan salam saya kepada kawan saudara tu (dalam hati aku terkata, iaitu anak murid Jakim agen penyesat?) Terima kasih.
Coretan ikhlas,
Wan Nik Wan Yussof,
Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan.
Saman Barry Wain jika dakwaan tidak benar
Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 9 Julai: Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mencabar kerajaan mengenakan tindakan undang-undang terhadap penulis, Barry Wain sekiranya dakwaan terhadap mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad melalui bukunya Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times tidak benar. [Image]Charles berkata, jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai bukti lengkap bahawa tiada elemen perlakuan rasuah berlaku seperti yang didakwa Wain, kerajaan tidak harus takut untuk mengambil tindakan itu bagi membersihkan nama Tun Mahathir.
"Saya minta kerajaan menyaman Barry Wain kalau dakwaan beliau itu tidak betul dan SPRM ada butir-butir lengkap, maka mesti menyaman Barry Wain untuk bersihkan nama Dr. Mahathir," katanya pada sidang media di lobi Parlimen petang semalam. Beliau sebelum itu mengemukakan soalan kepada Perdana Menteri, meminta Perdana Menteri menyatakan samaada kerajaan bercadang atau tidak untuk menyiasat dakwaan Barry Wain dalam buku terbarunya yang mengatakan bahawa mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir bertanggungjawab atas kerugian kewangan dan 'write-off' berjumlah RM100 bilion semasa beliau menjadi Perdana Menteri untuk 22 tahun.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dalam jawapan bertulis kepada soalan itu berkata, SPRM tidak bercadang menyiasat dakwaan itu kerana mendapati tiada elemen perlakuan rasuah berlaku seperti yang didakwanya. Beliau berkata, selepas meneliti buku berkenaan SPRM mendapati tiada asas berlakunya kesalahan itu di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Charles mempertikaikan jawapan itu dan meminta SPRM mendedahkan siasatan yang dilakuakan terhadap Tun Mahathir kepada umum bagi membuktikan kerajaan mengamalkan sikap telus dan bebas daripada rasuah. "Kalau benar bahawa penyiasatan telah dijalankan terhadap Dr Mahathir, maka kita nak tahu bila ia dijalankan dan apakah rumusan itu dapat dikeluarkan untuk pengetahuan umum.
"Kerajaan kata mereka nak jadi telus, nak menyerang rasuah habis habisan, oleh itu kita nak minta SPRM dan juga Datuk Seri Nazri supaya memberitahu kepada rakyat Malaysia apakah kandungan penyiasatan itu dan mengapa SPRM berfikir bahawa tidak ada unsur rasuah dalam isu ini," katanya lagi.
Sementara itu, ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi pula berkata, Nazri dalam jawapannya tidak menafikan dakwaan Wain bahawa Tun Mahathir telah mengakibatkan kerugian sebanyak RM100 bilion. "Saya sudah baca buku ini dan baca juga jawapan Datuk Seri Nazri. Beliau tidak menafikan atau menolak apa yang telah diutarakan oleh Barry Wain yang menyatakan dalam pemerintahan Dr Mahathir telah mengakibatkan kerugian RM100 bilion. Jadi perkara ini harus disiasat secara telus," katanya.
Buku itu pernah ditahan lebih lima bulan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan alasan untuk mengkajinya. Disember tahun lalu, KDN telah merampas 800 naskah buku tersebut di Pelabuhan Klang.
Boleh jadi Umno lebih sesat - bekas Imam Besar
Ali Hashim
ALOR SETAR, 10 Julai: Ahli Parlimen Baling, Taib Azamudden Md Taib mengingatkan pemimpin Umno terutamanya di negeri Kedah supaya tidak membuat tuduhan dan dakwaan melulu tanpa sebarang fakta dan bukti yang konkrit.
Menurut beliau lagi tuduhan yang dilemparkan oleh Pengerusi Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mendakwa PAS sesat adalah sesuatu yang melampau dan keterlaluan.
Beliau yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS III Kedah berkata, seandainya Umno menyifatkan PAS sesat, kemungkinan Umno itu lebih sesat kerana mereka bukannya memperjuangkan ajaran Islam sebenarnya sebaliknya memperjuangkan isu perkauman dan assabiyah.
"Pemimpin Umno sepatutnya tidak bercakap mengikut angin mereka sahaja. Setiap dakwaan dan tuduhan perlulah mempunyai fakta kebenaran sebelum membuat sebarang dakwaan.
"Oleh kerana itu kepimpinan Umno dinasihatkan supaya sentiasa berpandukan kepada kebenaran dalam isu yang mengaitkan PAS sebagai sebuah parti yang sesat.Dakwaan tersebut juga adalah suatu perkara yang tidak harus dipandang ringan kerana ia boleh mencelarukan pemikiran masyarakat,"katanya yang juga besar imam besar Masjid Negara.
Pemuda PAS Kedah cabar siasat Sementra itu, Dewan Pemuda PAS Kedah mencabar Naib Presiden Umno yang juga Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Shafei Apdal supaya menubuhkan jawatankuasa agama bagi menyiasat dakwaan kononnya PAS parti yang sesat.
Menurut Ketuanya, Ahmad Yahya, siasatan boleh dilakukan dalam apa jua aspek mengenai dakwaan tersebut.
Namun begitu beliau juga berkata seandainya dakwaan yang tidak disertakan dengan bukti yang tepat tidak harus dilayan kerana ia merupakan satu tuduhan liar yang tidak berasas.
"Sekiranya beliau (Shafie) seorang yang bermaruah, maka tunjukkan bukti dan jalankan siasatan dari aspek mana kebenaran dakwaan beliau itu. Siapakah yang sebenarnya sesat? Mungkin Umno atau mungkin PAS. Hanya siasatan saja yang mampu untuk menyatakan kebenarannya," kata Ahmad Yahya
Menurutnya, Pemuda PAS Kedah amat kesal dengan dakwaan beliau ini kerana ia amat keterlaluan dan melampau.
Samada dengan sengaja atau pun tidak, tindakan beliau ini tidak boleh dimaafkan, katanya.
Menurut Ahmad, Shafie yang merupakan Pengerusi Umno Kedah juga sengaja mahu menimbulkan isu serta mencetuskan kekeruhan dalam PAS dan Umno.
"Ini adalah soal akidah. Ia boleh menimbulkan keresahan dikalangan masyarakat kerana dakwaan sesat adalah sesuatu yang serius,"katanya.
Ahmad juga menasihatkan Shafie supaya menerima hakikat bahawa PAS bukan hanya sebuah parti politik, namun ia juga merupakan kerajaan kepada negeri Kedah bersama Pakatan Rakyat (PR) yang menggabungkan PKR dan DAP di negeri Kedah.
"Beliau juga sepatutnya akur ketokohan yang ada pada pemimpin PAS yang memerintah negeri yang dikuasai oleh PR di negeri ini,"tambahnya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan