• Saifudin (tiga,kanan) mengangkat serkap bersama rakan dan penduduk kampung yang menangkap ikan apabila musim membajak. Saifudin (tiga,kanan) mengangkat serkap bersama rakan dan penduduk kampung yang menangkap ikan apabila musim membajak.
1 / 1
KANGAR - Cuti penggal sekolah selama seminggu dimanfaatkan remaja di negeri ini dengan menangkap ikan darat terutamanya ikan haruan untuk dijual kepada penggemar ikan tersebut.
Bersesuaian dengan musim membajak ketika ini, ramai masyarakat kampung mengambil peluang itu dengan mengikut belakang traktor atau kubota sambil menyerkap ikan dalam sawah.

Saifudin Bakar, 14, berkata, dia tidak mahu melepaskan peluang itu bersama-sama rakannya ke sawah menangkap ikan bagi mencari duit poket.
“Memang duit belanja sekolah ibu bapa saya yang berikan, tetapi kalau ada duit sendiri lebih seronok! Setiap sekilogram ikan haruan yang dapat saya akan jual dengan harga RM25.
“Itu merupakan harga pasaran, rasanya ia sangat berbaloi apabila kami terpaksa bergelumang dengan selut selain berada di bawah terik matahari,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Baru, Utan Aji, dekat sini.

Menurut Saifudin, menyerkap ikan menjadi aktiviti yang wajib diikutinya setiap kali melihat traktor membajak.

Selain itu, katanya ia juga menjadi hobi bagi mengisi masa lapang semasa cuti ataupun di sebelah petang apabila pulang dari sekolah.
Sementara itu, bagi Abu Bakar Mat, 57, tujuan dia menyerkap ikan adalah bagi menangkap ikan haruan untuk dijemur dan dikeringkan.

Katanya, ikan haruan kering lebih mahal harganya iaitu mencecah RM40 sekilogram kerana khasiatnya amat baik bagi membantu menyembuhkan luka selepas pembedahan.

“Saya akan berada di mana sahaja apabila musim membajak tiba, asalkan berkesempatan pasti saya akan turun menyerkap ikan haruan, kalau dapat ikan lain seperti puyu atau keli saya akan makan atau jual kepada penduduk kampung sahaja,” katanya.