Isnin, 24 Disember 2012

SEBAGAI NEGARA DEMOKRASI YANG KITA LAUNGKAN...TAK PATUT KITA SERANG...DALAM ISLAM PUN MELARANGNYA

Seorang pengsan dipukul, Kembara Oren N9 henti serta merta

Hazayani Zakaria, 24 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Kembara Oren  terpaksa dihentikan serta merta di Negeri Sembilan apabila seorang pesertanya dipukul dengan kayu sehingga pengsan.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi semalam, Ketua Penerangan Anak, Naraza Muda (gambar) cedera di bahagian kepala dipercayai dipukul menggunakan sebatang kayu yang tajam.

Konvoi Kembara Oren dihalang di jalan utama sebelum masuk ke kawasan Felda menyebabkan berlaku pertengkaran dan Naraza dipukul sehingga pitam.

Selain itu, kenderaan Storm milik Anak juga diserang dengan kayu sehingga cerminnya pecah
Sehubungan itu, laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis (IPD) Jempol.


Kejadian tersebut juga menyebabkan Kembara Oren dihentikan serta merta kerana mendapat maklumat sekumpulan samseng sudah menunggu mereka dengan besi dan kayu tajam.

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) menyifatkan serangan Kembara Oren Selamatkan Felda di Negeri Sembilan sebagai paling teruk sepanjang siri kembara ke beberapa buah negeri sebelum ini.

Timbalan Presiden Anak, Aris Fezol berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian peserta Kembara Oren dipukul oleh sekumpulan samseng di Felda Bukit Rokan Utara, semalam.

"Sebelum ini Kembara Oren memang disekat dan dihalang masuk tapi di Negeri Sembilan keadaan paling teruk kerana menyebabkan kecederaan peserta kita," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Mengulas lanjut, Aris tidak menafikan serangan tersebut dilakukan kerana Negeri Sembilan merupakan negeri Pengerusi Felda, Tan Sri ISa Samad dan Pengarah Besar Felda, Faizol Ahmad.

"Pihak Felda sudah hilang pertimbangan kerana terlalu banyak pendedahan buruk mengenai mereka dibuat oleh Anak.

"Mereka tidak ada cara lain selain menggunakan keganasan," katanya.

Tegas beliau juga, kejadian sedemikian tidak akan berlaku jika pihak polis bertindak tegas terhadap kumpulan yang menyerang.

"Mereka berani buat sebab polis tak ambil apa-apa tindakan, hanya sekadar menjadi pemerhati.

"Selepas laporan polis dibuat di Perak semasa Kembara Oren diserang, tak ada apa-apa tindakan diambil dan ini menggalakkan pihak tertentu terus melakukan serangan," katanya.

Banjir terburuk di Kuantan dalam sejarah

Harakahdaily, 24 Dis 2012

(Sebelah Berjaya Mega Mall)

KUANTAN: Hujan lebat lebih daripada 10 jam telah menyebabkan bandar Kuantan dilanda banjir terburuk dalam sejarah hari ini.

Pelbagai gambar yang memperlihatkan jalan-jalan utama dan kenderaan ditenggelami air sedang hangat dikongsikan di laman sosial media.

(Kawasan terminal bas Kuantan penuh dengan air)

Antara jalan yang ditenggalami air ialah Jalan Lim Hoe Lek, Jalan Pasar, Jalan Bukit Ubi, Jalan Wong Ah Jang, Jalan Mahkota, Jalan Abd Aziz, Jalan Air Putih, Jalan Haji Ahmad dan Jalan Beserah.

Ombar di Laut China Selatan dilaporkan mencecah 4 meter berdasarkan pengamatan seorang nelayan di Balok yang dihubungi Harakahdaily.

Kawasan-kawasan popular seperti Berjaya Megamall, Sri Dagangan, East Coast Mall and Zenith Hotel diselubungi air dengan kenderaan dilihat di bawah air setinggi paras pinggan.

Bekas Pengerusi NUTP (Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan) Ismail Nihat yang menetap di Taman Tas memberitahu Harakahdaily hujan lebat bermula 2 pagi semalam sehingga tengahari tadi sebelum beransur menjadi gerimis.

(Suasana cemas di bawah sebuah hotel 5 bintang di Kuantan)

“Saya menelefon staf saya di pejabat (Jalan Darat Makbar), mereka memberitahu saya seluruh kawasan sekitar pejabat banjir dan menasihatkan saya agar tinggal di rumah,” katanya.

Hujan, katanya, baru berhenti ketika waktu Isyak, tapi langit masih mendung dikhuatiri akan hujan semula.

Ada laporan berkata banjir kilat di Kuantan kali ini mungkin disebabkan hujan lebat yang bertembung dengan air pasang di laut.

Ismail yang kini berusia 61 tahun berkata ini adalah banjir terburuk di bandar Kuantan setakat ini.

“Banjir besar di tahun 1971 pun bandar Kuantan tak seteruk macam ini,” katanya.

(Jalan Wong Ah Jang di tengah bandar Kuantan)

Seorang lagi penduduk di Semambu, Steven Say berkata beliau dimaklumkan jirannya dalam keadaan cemas kerana air banjir sudah melalui ruang tamu rumah.

“Saya berada di KL. Jiran saya menghubungi saya untuk memaklumkan keadaan. Jiran saya suruh jangan balik sebab seluruh kawasan perumahan (di Taman Tunas Jaya) ditenggelami air. Ini yang terburuk selama 20 tahun kami tinggal di kawasan itu,” katanya.

Sementara itu, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah yang membuat tinjauan daripada udara  untuk melihat  keadaan banjir kilat yang melanda Kuantan.

Beliau menyeru kerajaan Pahang, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan Jabatan Pengairan dan Saliran untuk mengkaji semula sistem perparitan di sekitar kawasan dan perumahan di bandar Kuantan.

(Suasana di tengah pusat bandar)

Kata baginda, banjir kilat bukan disebabkan oleh paras air sungai yang meningkat atau sistem perparitan yang tersumbat tapi banyak parit dan longkang yang terlampau sempit menyebabkan air tidak boleh keluar.

PAS Pahang dan Unit Amal turut telah turun ke padang untuk membantu penduduk. Bagi yang memerlukan bantuan, boleh hubungi PAS Pahang : Sharudin 0139191721 Fadli 0199111163.

Setelah hujan 13 jam, Kuantan dilanda banjir

Harakahdaily, 24 Dis 2012

KUANTAN: Selepas hujan tidak henti-henti selama 13 jam, bandar Kuantan kini dilanda banjir.

(Suasana banjir di tengah-tengah bandar Kuantan berhampiran dengan Mega Mall. - Foto life@Kuantan)


Banjir kilat di Kuantan yang bermula kira-kira jam 11 pagi tadi menyebabkan banyak kenderaan terperangkap dan jalan raya sesak teruk.

(Air yang deras di tengah-tengah bandar Kuantan - Foto life@Kuantan)

Kenderaan menjadi lebih buruk apabila hujan masih belum berhenti sehingga jam satu petang tadi.
Antara jalan-jalan yang  dilaporkan teruk dinaiki air ialah Jalan Lim Hoe Lek, Jalan Pasar, Jalan Bukit Ubi, Jalan Wong Ah Jang, Jalan Mahkota, Jalan Abd Aziz, Jalan Air Putih, Jalan Haji Ahmad, Jalan Beserah dan persimpangan lampu isyarat Jabatan Ukur Dan Pemetaan (JUPEM).

Aktiviti harian orang ramai turut terjejas apabila kawasan pusat tumpuan orang ramai yang seperti di Jalan Tun Ismail khususnya sekitar kompleks membeli belah Berjaya Megamall dan Sri Dagangan turut dinaiki air.

Seorang penduduk Kuantan yang dihubungi Harakahdaily, Khairatul Solehah Khairul Anuar memberitahu, beliau terperangkap selama satu jam sebelum berjaya keluar dari kawasan Stadium Darul Makmur.

Menurutnya, banyak kenderaan terperangkap di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) yang turut dinaiki air.

"Nasib baik saya letak kereta dekat dengan stadium. Di situ sahaja yang selamat. Kalau parking di Padang MPK, memang tenggelam," katanya.


Beliau juga berkata, Pasar Besar Kuantan turut dimasuki air di beberapa bahagian.

"Dalam pasar di kawasan jual barang basah, air naik. Jalan raya sangat sesak, lampu isyarat
pula rosak," katanya lagi.

Terminal Bas Makmur turut dinaiki air menyebabkan bas-bas terpaksa menunda waktu perjalanan seperti yang dijadualkan.
(Hujan lebat sejak semalam - Foto life@Kuantan)

Bilik Gerakan Banjir DPP di seluruh negara

Nasrudin Hassan, 24 Dis 2012


1. Bilik Gerakan Banjir Pemuda PAS di PERAK tlh dibuka, hbngi sdr arif shaarani 013-4213636 utk tindakan lanjut

2. Bilik Gerakan banjir Pemuda di TERENGGANU tlh dibuka, hubungi Us Saiful Anbiya 0199229158 utk tindakan lanjut,

3. Bilik Gerakan Banjir Pemuda PAS di KELANTAN  tlh dibuka, hbgi sdr Nik Asmawi +60129289859 utk urusan di Kelantan

4. Bilik Gerakan Pemuda PAS tlh dibuka di JOHOR, Penyelia sdr Faizul Salleh 0136263800 sila hbgi utk tindakan lanjut

5. Pemuda PAS tlh buka bilik Gerakan Banjir di negeri KEDAH sila hbgi ust Zelani 0194156624 utk tindakn lanjut

6. Bilik Gerakan Banjir Pemuda PAS tlh dibuka di MELAKA, sila hbgi sdr Mohd Puhat 012-242-8942 utk tindakan lanjut,

7. Bilik Gerakan Pemuda PAS tlh dibuka di WILAYAH PERSEKUTUAN sila hubungi sdr Shidi 012-2428942 utk tindakn lanjut

8. Bilik Gerakan Banjir Pemuda PAS tlh dibuka di PERLiS, hbgi sdr Mior Hassan  0194575605 utk tindakan lanjut

9. Bilik Gerakan Banjir tlh dibuka di PULAU PINANG, hbgi sdr Norazman 0134076770 utk tindakan lanjut

10. Bilik gerakn banjir Pemuda PAS tlh dibuka di PAHANG, sila hubungi sdr Sharudin 0139191721  fadli 0199111163 utk info & bantuan

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia


Mencorak Masa Depan

Salam dari :
Aku Pejuang Islam ~API~

Malaysia aman, mengapa Jelajah Oren diserang

Harakahdaily, 24 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengecam pihak yang menghalang konvoi Jelajah Oren ‘Selamatkan Felda’ sehingga mencederakan dua peserta konvoi tersebut serta memecahkan cermin kereta sebuah pacuan empat roda.
“DPPM menganggap tindakan seperti ini adalah suatu tindakan tidak bertamadun oleh golongan yang tidak mahu menerima kebenaran serta menghargai ruang demokrasi yang ada dalam negara ini,” kata Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor.

Katanya, DPPM percaya tindakan provokasi tersebut telah terlebih dahulu dirancang bagi mewujudkan insiden keganasan yang tjuannya adalah untuk mengugut rakyat agar tidak berani bangkit menyatakan kebenaran.

Beliau berkata, ia mungkin juga bagi menutup segala kepincangan yang berlaku supaya rakyat tidak tahu isu sebenar yang berlaku di dalam Felda.

Soalnya, kata beliau mengapa mesti tindakan ala samseng seperti ini berlaku dalam negara aman seperti Malaysia.

“Jika sekalipun rombongan Jelajah Oren tidak dibenarkan masuk ke Felda Bukit Rokan Utara oleh penduduk kampung, tidak bolehkah rombongan tersebut hanya dihalang masuk tanpa apa-apa insiden ganas?” katanya dalam satu kenyataan.

Soalnya lagi, apakah hak mereka untuk menghalang rombongan tersebut melalui jalan utama di kawasan tersebut.

Tambahnya, aksi penduduk yang bertindak ganas terhadap peserta Jelajah Oren dengan membawa bendera BN dengan sendirinya telah menjatuhkan imej BN di mata rakyat.

Menurutnya, mereka yang membawa bendera BN dalam insiden tersebut sebenarnya lupa bahawa mereka telah mempromosikan BN sebagai parti bermasalah, ganas, samseng dan hilang akal.

“Realitinya, insiden ini telah menambah kebencian rakyat terhadap BN. Ternyata BN gagal memimpin negara sebagai sebuah negara demokrasi yang adil, bersih dan tulen apabila enggan menghormati hak rakyat,” ujarnya.

Akhirnya, ujar beliau DPPM mendesak pihak keselamatan khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bertindak tegas menangkap individu atau kumpulan yang bertanggungjawab mencederakan dan merosakkan kenderaan Jelajah Oren itu.

DPPM juga, tegasnya mendesak supaya pihak PDRM meningkatkan kawalan keselamatan terutama menjelang Pilihan raya Umum ke-13 daripada sebarang insiden keganasan yang tidak diingini.

“DPPM tidak mahu insiden yang sama berulang terhadap rakyat sama seperti yang dialami oleh peserta rombongan Jelajah Oren ini atau dalam ceramah umum di Gombak beberapa minggu yang lalu,” ujarnya lagi.

BN Pahang tiada idea ciplak tawaran Pakatan

Khairil Abdul Rahim, 24 Dis 2012
TEMERLOH: PAS Pahang menganggap Umno dan BN negeri ini kekeringan idea dalam usaha memancing undi rakyat menjelang Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) sehingga sanggup meniru idea Pakatan Rakyat (PR) Pahang.


Ketua Penerangan PAS Pahang, Suhaimi Saad (gambar) berkata sudah dua tawaran PR diulang balik oleh Adnan iaitu dahulu menyediakan lot-lot tapak rumah, sekarang mahu menyelesaikan urusan tanah pula.

“Nampak sangat Umno BN dah kering idea, bayangkan dah 55 tahun negara merdeka kerajaan masih gagal memberikan keselesaan kepada rakyat sehingga terpaksa berjanji meniru tawaran PR.

“Saya yakin banyak lagi tawaran PR akan diciplak kerana mereka tidak ada idea. Jadi bolehkah rakyat memberikan harapan kepada golongan yang bankrap idea ini?” soalnya ketika ditanya mengenai janji Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob yang disiarkan akhbar hari ini.

Dalam kenyataan tersebut, Adnan ketika berkempen di Jerantut, memberi jaminan akan menyelesaikan permohonan tanah oleh rakyat negeri ini selepas selesai PRU13.

Sebelum ini, rata-rata rakyat mengeluh akibat kesukaran dan kelewatan untuk memohon satu kelulusan tanah sehingga terpaksa menempuh antara 20 ke 30 meja di Pejabat Tanah Daerah, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Akibatnya, untuk pelupusan tanah kerajaan, urusan pemilikan dan sebagainya, rakyat terpaksa menunggu masa antara 10 hingga 20 tahun.

Dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat Pahang di Kerdau baru-baru ini, PR telah menjanjikan Tawaran 6+3 kepada rakyat negeri ini.

Tawaran pertama PR ialah menyediakan lot-lot rumah kepada rakyat Pahang yang tidak mempunyai tanah dan rumah kediaman serta menstruktur semula Kampung-kampung Baru dan Kampung Tersusun.

Tawaran kedua pula ialah menyelesaikan permohonan tanah yang sekian lama dipohon oleh rakyat Pahang sekiranya permohonan tersebut benar-benar layak, wajar dan memenuhi syarat.

Adnan juga sebelum ini, mengatakan kerajaan BN bersedia menyediakan lot-lot rumah kepada rakyat selepas PRU nanti.

Dalam pada itu, Suhaimi berkata, rakyat mesti melihat BN sudah tidak mampu menghasilkan idea dan hanya bergantung kepada idea ciplak termasuk tawaran 100 hari PR diambil oleh Kerajaan BN.

“Selama 55 tahun rakyat menunggu dan memberi peluang kepada BN namun janji hanya tinggal janji selepas  PRU. Apa yang boleh diharapkan kepada kerajaan yang sudah tua di mamah usia  untuk menyelesaikan masalah rakyat?

“Bagi PAS Pahang juga, tawaran yang sebutkan oleh Adnan itu seperti terdesak dan tidak ikhlas. Kenapa mesti tunggu selepas  PRU kalau benar dia ikhlas nak selesaikan masalah rakyat?” soal Suhaimi.

Keratan akhbar kenyataan Adnan hari ini.

Mahkamah Tinggi batalkan AGM KPF 27 Dis

Hazayani Zakaria, 24 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Koperasi Permodalan Felda (KPF) dan seorang ahli lembaga pengarahnya agar mahkamah membatalkan Mesyuarat Agung (AGM) KPF ke-31 pada 27 Disember ini.

Hakim Abang Iskandar Abang Hashim turut membenarkan KPF mencabar kesahihan keputusan Panel Rujukan pertikaian Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) membatalkan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) KPF ke-31.

SKM mengeluarkan surat pada 4 Disember lalu, mengarahkan KPF mengadakan AGM ke-31, bersama surat kuasa yang menyatakan AGM pada 20 Jun lalu tidak sah dan AGM akan dipanggil oleh SKM.

Surat tersebut menyatakan bahawa asas bagi mengarahkan mesyuarat itu diadakan semula adalah pertikaian dalaman pada 26 November.

Ia mengandungi agenda mesyuarat seperti yang disenaraikan di bawah:

-  Mengesahkan minit mesyuarat agung perwakilan tahunan kali ke-30 pada 23 Jun 2011 dan minit mesyuarat agung khas yang diadakan pada 19 April 2012.

- Membentang dan meluluskan Laporan Lembaga tahun 2011.

- Menimbang dan meluluskan penyata kewangan teraudit bagi tahun berakhir 31 Disember 2011 berserta laporan jawatankuasa audit dalaman dan pandangan Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

- Menimbang dan meluluskan cadangan pembahagian keuntungan tahun 2011.

- Memilih anggota-anggota Lembaga sesi 2012/2013.

Mengulas keputusan mahkamah itu, Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata, keputusan tersebut melegakan 246,000 ahli KPF.

"Saya bagi pihak Anak mengucapkan terima kasih dan tahniah atas keputusan berani hakim.

"Ia sangat melegakan 246,000 ahli KPF dan menyelamatkan berbilion caruman dan aset KPF daripada penyamun yang diketuai (Tan Sri) Isa Samad," katanya kepada Harakahdaily.

Anak sebelum ini mendakwa wujud konspirasi untuk melantik Isa dan Pengarah Besar Felda, Faizoull Ahmad dalam KPF.

Pelantikan dua indivisu tersebut akan membolehkan KPF menjadi pemegang saham utama Felda Holdings untuk disenaraikan ke Bursa Malaysia.

S'gor timbang longgar syarat pohon bantuan tadika

Harakahdaily, 24 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor sedang mengkaji untuk memperluaskan penerima Skim Bantuan Tadika Selangor (Tunas) di negeri itu sehingga kepada keluarga yang berpendapatan kurang dari RM2,500 berbanding RM1,500 sebelum ini.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, pertukaran syarat itu sedang dalam penelitian kerajaan negeri ketika ini.

“Syarat itu kini sedang dibincangkan dalam mesyuarat Exco, saya harap ia dipertimbangkan,” katanya dipetik Selangorku.

Skim Tunas di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) adalah bantuan yuran sebanyak RM 50 setiap bulan kepada kanak-kanak tadika yang layak.

Ia dilaksanakan mulai dari 1 Julai tahun ini di mana yuran bagi kanak-kanak yang terpilih dibayar terus kepada tadika yang berdaftar dengan Majlis Permuafakatan Tadika Selangor (MPTS).

Setakat ini, sebanyak 1,903 penerima sudah mendapat faedah dengan penyertaan 232 tadika berdaftar di bawah MPTS termasuk Pasti, Kemas, Pra Sekolah JAIS, Pra Sekolah Kementerian, Tadika Perpaduan dan Swasta.

Jika syarat itu dilonggarkan, bermakna lebih ramai anak-anak yang bakal menerima manfaat bantuan RM50 ebulan itu.

Mengulas lanjut Dr Halimah berkata, kerajaan negeri mensasarkan 5,000 lagi penerima dan 500 buah tadika berdaftar dengan skim itu pada tahun hadapan,

Katanya, sasaran itu selaras dengan peruntukkan baru bagi tahun hadapan iaitu sebanyak RM 3 juta.

“Jika tahun ini kita memperuntukkan sebanyak RM 1.016 juta, tetapi pada tahun depan Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan sebanyak RM 3 juta di bawah bajet 2013.

“Oleh itu, saya berharap kerjasama dari pelbagai pihak termasuk Adun, Penyelaras Dun, Ketua Kampung dan semua pihak supaya dapat membantu menjayakan skim ini,” katanya.

Selepas Selangor, sampai giliran kerajaan BN Pusat pula

Harakahdaily, 24 Dis 2012
KUALA LUMPUR: PAS meminta semua rakyat menghukum kerajaan Barisan Nasional (BN) Pusat pula dalam pilihan raya umum akan datang setelah menghukum kerajaan BN Selangor dalam pilihan raya umum lalu.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, langkah ini perlu untuk membolehkan rakyat negara ini turut menikmati apa yang telah dinikmati oleh rakyat Selangor sekarang selepas mereka menghukum kerajaan BN Selangor dalam pilihan raya lalu.

Umno Selangor baru-baru ini mengakui kesilapan lampau mereka yang lalu dan menegaskan bahawa rakyat Selangor telahpun menghukum mereka, oleh itu tidak perlu untuk dibangkitkan isu-isu lama.

Mengulas kenyataan yang dibuat oleh Penyelaras BN Selangor Mohamad Zain Mohamad, Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata hukuman rakyat kepada Umno-BN di Selangor adalah satu tindakan yang tepat.

Ini kerana, hasil tindakan ini telah membebaskan mereka untuk menikmati kualiti hidup yang lebih baik, kebajikan rakyat dan peningkatan sumber hasil negeri hasil daripada pemerintahan Pakatan Rakyat.

“Oleh itu, kini sampai pula giliran rakyat menghukum kerajaan Pusat yang juga diterajui oleh kerajaan Umno-BN.

"Untuk menikmati ‘pembebasan’ dan kenikmatan manis yang dirasai rakyat yang berada di negeri Pakatan Rakyat, rakyat perlu bangkit menghukum kerajaan pusat pula,” kata beliau kepada Harakahdaily.

Tuan Ibrahim berkata permohonan maaf Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak cukup untuk rakyat mengembalikan sistem negara yang telah parah ini.

Umno-BN, katanya, akan mengulangi kesilapan yang sama kerana dasar dan kepimpinan mereka tetap kekal di takuk lama menyebabkan permohonan maaf Najib tidak mampu menyelesaikan sebarang masalah.

“Walaupun menerima kemaafan sikap terpuji, bukanlah bermakna kita perlu serahkan negara kepada Umno-BN. Berapa ramai orang memohon maaf, tetapi mengulangi semula kesilapan lampau?” tegas Pesuruhjaya PAS Pahang itu.

“Apa lagi kerajaan yang korup, salah guna kuasa, menzalimi rakyat dengan pelbagai sistem yang menekan rakyat sendiri, merompak wang royalti negeri Kelantan dan pelbagai kesalahan lagi. Kini sampailah giliran rakyat menghukum kerajaan Pusat  di atas kesalahannya,” tegas Tuan Ibrahim.

Setelah ditekan dengan isu-isu membolot tanah dengan harga murah, Mohamad Zain telah meminta supaya DAP tidak mengungkit isu-isu lama terhadap BN Selangor kerana BN telah pun di hukum oleh rakyat Selangor pada pilihanraya 2008 yang lalu.

Zain berkata “rakyat telah pun menghukum kami dan tidak usahlah mengungkit-ngungkit perkara lama.”

PAS ucap tahniah kepada rakyat Mesir

Harakahdaily, 24 Dis 2012

(Pengiraan undi menunjukkan majoriti rakyat Mesir menyokong perlembagaan baru Mesir)

KUALA LUMPUR: PAS merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh rakyat Mesir yang majotirinya telah menyatakan sokongan terhadap draf perlembagaan baru negera itu.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat Datuk Kamarudin Jaffar berkata, keputusan terbaru itu membuktikan tahap kematangan rakyat Mesir berperanan dalam sebuah negara demokrasi.

"Bagi PAS, kita melihat ini satu keputusan sangat baik untuk pentadbiran baru Mesir.

"Semoga ianya mampu memacu Mesir ke arah menjadi sebuah negara demokrasi yang lebih membangun," kata Kamarudin (gambar kanan) kepada Harakahdaily.

Ikhwanul Muslimin, kumpulan yang menyokong parti kepimpinan Presiden Mohammed Morsi, kelmarin mengumumkan 'keputusan akhir' tidak rasmi selepas dua pusingan pengundian yang menunjukkan 64.01 peratus mengundi menyokong perlembagaan baru berbanding 35.99 peratus menentang.

Pada pengundian pusingan pertama 15 Disember lalu yang diadakan di sepuluh wilayah mencatatkan 56.2 peratus menyokong dan 43.4 peratus menolak.

Pada pengundian pusingan kedua di 17 wilayah kelmarin pula menyaksikan 71.43 peratus rakyat Mesir menyokong dan 28.57 peratus tidak menyokong perlembagaan baru itu.

Draf perlembagaan baru, digubal susulan kebangkitan rakyat tahun lalu yang membawa kepada kejatuhan Presiden Hosni Mubarak.

Tiada ulasan: