Rabu, 19 Disember 2012

RASA NAK KAHWIN PULAK

17 bayi ditahnikkan sempena aqiqah perdana

Rizal Tahir, 17 Dis 2012
KOTA BHARU: Seramai 17 orang bayi telah ‘ditahnikkan’ oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sempena majlis aqiqah perdana hari ini.
(Tengku Amalin [kanan] menyampaikan hadiah kepada peserta)

Majlis yang dirasmikan oleh Tengku Amalin A’Shah Putri itu diadakan di Balai Islam Lundang, di sini tengahari tadi.

Turut hadir pada majlis itu isteri Menteri Besar Kelantan, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, anggota exco kerajaan negeri, Datuk Anuar Tan Abdullah, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh.

Tuan Guru ketika berucap pada majlis itu berkata memandangkan kerajaan Kelantan mementingkan golongan remaja, peruntukkan telah ditambah untuk mereka dalam Belanjawan tahun ini sebanyak RM5 juta berbanding RM3.5 juta sebelumnya.

Katanya, anak adalah pelapis keluarga, masyarakat dan negara sebagai pemimpin masa hadapan.

“Kerana itu kerajaan negeri mengutamakan mereka dengan memberikan peruntukkan khas untuk aktiviti bermanfaat selagi tidak bercanggah dengan syarak,”ujarnya.

Hasil pentadbiran kerajaan negeri sejak 22 tahun lalu golongan remaja sekarang tidak tahu tempat-tempat maksiat.

(Tuan Guru Nik Aziz mentahnik salah seorang bayi yang sertai aqiqah perdana)

“Jika tanya mereka mana tempat berjudi, mana tempat hiburan yang melalaikan, mereka tidak akan tahu berbanding sebelum 22 tahun lalu yang sememangnya diketahui oleh remaja ketika itu,”ujarnya.

Rahim ketika berucap pada majlis yang sama berharap semoga anak-anak yang ditahnikkan termasuk bersama Tuan Guru akan menjadi anak yang soleh serta menjadi pewaris para anbia.

Sempena majlis itu juga, Tengku Amalin menyampaikan cenderahati kepada bayi yang bertuah.

PAS Melaka laksana slogan 'Rakyat Di Hati Kami'

Ahmad Danial, 17 Dis 2012

(Peralatan sekolah yang disiapkan PAS Merlimau untuk kanak-kanak di kawasannya)


JASIN: PAS pelbagai peringkat  sekali lagi membuktikan kepada masyarakat bahawa konsep "Negara Berkebajikan" merupakan agenda yang bukan sekadar retorik.

Walaupun PAS mempunyai sumber kewangan yang terhad tetapi ianya bukan penghalang untuk parti itu dan anggota-anggota dibawahnya memberikan perkhidmatan kepada rakyat yang amat memerlukan bantuan.

Sesuai dengan slogan PAS Melaka, 'Rakyat Di Hati Kami', Majlis Tindakan Dun (MTD) Merlimau mengadakan Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan sesi 2013 di Kg Chinchin, Merlimau dekat sini semalam.

Program yang melibatkan seluruh jentera parti di Dun Merlimau itu dibuat secara bersiri dan dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Adly Zahari.

Dalam ucapan perasmiannya, Adly menekankan bahawa amanah yang dipikul oleh orang Melayu dan Islam mesti dijaga dengan betul dan orang Melayu hanya boleh bangkit jika mereka menerima Islam.

"Amanah mesti dijaga dengan betul. Wang mesti diurus dengan baik. Hari ini kita mungkin senang dan masa depan kita belum tentu. Berilah peluang kepada pemimpin yang beramanah untuk memimpin negara dan negeri.

"Orang melayu ini hanya boleh bangkit jika mereka menerima Islam. Kerana Islamlah yang akan menaikkan darjat di sisi Allah. Kita terima Islam kita akan selamat," kata Adly.

Beliau juga menegaskan bahawa PAS Melaka komited untuk mendekati rakyat melalui program 'jom turun padang' dan program kemasyarakatan lain bagi mendekati dan menyelami permasalahan rakyat.

"Kita akan berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan masalah rakyat bawahan yang masih ramai berada di bawah paras kemiskinan, kita akan cuba untuk membantu mereka mendapatlan bantuan-bantuan yang sepatutnya  mereka terima di samping menyalurkan bantuan segera dari sumber kita sendiri," ujar Adly.

Sementara itu Penyelia Dun Merlimau Yuhaizad Abdullah berkata program ini dijalankan bagi meringankan beban rakyat di samping merapatkan hubungan PAS dan rakyat.

(Yuhaizah menyampaikan sumbangan kepada salah seorang kanak-kanak sekolah)

"Tujuan program ini dilaksanakan adalah kerana rasa tanggungjawab kita sesama Islam, terutama kepada mereka yang kurang berkemampuan. Kita datang untuk meringankan beban di sampintg ianya juga  boleh merapatkan ukhuwwah antara kita semua."

"Semoga dengan sumbangan yang tak seberapa ini menjadi suntikan motivasi kepada ibubapa dan anak-anak  bagi menjalani sesi persekolahan yang terdekat ini," tambah Yuhaizad yang juga merupakan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka.

Seramai 130 orang pelajar yang kurang berkemampuan dari seluruh Merlimau telah menerima sumbangan berupa peralatan asas sekolah seperti pakaian dan alat tulis.

Program ini turut diserikan dengan alunan Maulud Diba'ei dari Majlis Tindakan Dun Serkam.

Ketua ulama Syria kunjungan Presiden PAS

Salmiyah Harun, 17 Dis 2012

(Sheikh Sabuni kunjungi Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi di Pejabat Agung hari ini)

KUALA LUMPUR: Ketua Kesatuan Ulama Syria Sheikh Dr Ali As Sobuni mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Pejabat Agung PAS tengah hari tadi.

Sheikh As Sobuni, 88, sudah 35 tahun hidup dalam buangan di luar negara akibat hukuman rejim Hafiz Asaad ke atas beliau.

Pengarang kepada puluhan kitab tafsir dan hadis ini menjadi rujukan kepada ilmuan-ilmuan Islam seluruh dunia sejak puluhan tahun yang lalu.

Dalam pertemuan tersebut, Sheikh As Sobuni turut berkongsi pandangan terhadap konflik di Syria yang telah pun membunuh ribuan rakyat negara itu.

Mereka bersama-sama bersetuju Presiden Basyar Asaad mesti berundur dan bertanggungjawab terhadap apa yang melanda Syria hari ini.

Dalam masa yang sama mereka sependapat bahawa perlu kebijaksanaan dalam isu Syria khususnya dalam mendepani campur tangan kuasa-kuasa luar yang berkepentingan.

Sheikh As Sobuni juga menyampaikan penghargaan dan terima kasih rakyat Syria kepada PAS yang mengambil berat dan menghantar bantuan kemanusiaan kepada mangsa-mangsa kekejaman.

Sehingga hari ini PAS sudah menghantar lebih dari lima kali bantuan dan rombongan kemanusiaan ke Syria, bagi membantu rakyat negara itu yang ditindas ekoran konflik ini.

Sheikh As Sobuni sedang dalam rangka lawatan ke Malaysia dan Indonesia.

Turut serta dalam pertemuan itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, dan penolongnya Dr Syed Azman Syed Nawawi serta Setiausaha Akhbar Presiden PAS Mohd Nasaie Ismail.

Lesen: MPK tidak lantik pihak ketiga

Harakahdaily, 17 Dis 2012
KLANG: Majlis Perbandaran Klang (MPK)  memaklumkan kepada semua pihak supaya tidak  berhubung dengan pihak ketiga bagi sebarang urusan seperti permohonan lesen perniagaan dan juga papan iklan premis di kawasannya.

MPK ingin menegaskan perkara ini kerana terdapat beberapa iklan pihak tidak bertanggungjawab yang menyatakan bahawa sebarang urusan dengan MPK boleh melalui mereka sebagai pihak ketiga.

Pengarah Perlesenan MPK, Azhar Samsudin berkata "Majlis tidak pernah melantik orang perseorangan atau sebarang syarikat untuk mewakili MPK bagi sebarang permohonan lesen atau transaksi berkaitan dengan MPK.

"Malah, MPK sentiasa membuka kaunter perkhidmatan yang dapat memberi peluang kepada semua pihak untuk mendapatkan perkhidmatan Majlis tanpa campurtangan pihak ketiga,” katanya.

Menurutnya, orang awam diminta untuk terus datang sendiri ke kaunter-kaunter yang disediakan oleh pihak majlis atau berjumpa dengan pegawai yang bertugas bagi sebarang masalah yang dihadapi tanpa perlu melalui agen bagi sebarang urusan transaksi berkaitan iklan, banner serta permohonan lesen.

Azhar berkata, majlis  sentiasa memberikan perkhidmatan kaunter terbaik serta memudahcarakan permohonan setiap pihak tanpa prejudis jika syarat-syarat asas diikuti.
Majlis mengalu-alukan sendiri orang awam untuk datang sendiri berurusan dan akan diberi peluang yang terbaik dalam sebarang permohonan yang dibuat.

 

 

Selangor beri insentif perkahwinan tahun depan

Harakahdaily, 17 Dis 2012

(Tan Sri Khalid bersama isteri dan exco meraikan pasangan dalam perkahwinan beramai-ramai)

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor akan menyediakan insentif perkahwinan kepada belia-belia Negeri Selangor yang mendirikan rumahtangga mulai tahun hadapan.

Belia Selangor yang memenuhi syarat yang dijangka diumumkan tidak lama lagi bakal menerima RM200 sumbangan dari Kerajaan Negeri.

Selain itu, mereka yang terlibat dalam program insentif perkahwinan ini juga bakal ditawarkan program perumahan yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri.

Pengumuman tersebut dibuat Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika melancarkan Majlis Perkahwinan Belia Mengikut Adat Resam Melayu Negeri Selangor yang diadakan di pentas utama Selangor Agrofest 2012, perkarangan Stadium Shah Alam hari ini, lapor Selangorku, media rasmi kerajaan negeri Selangor.

“Insentif itu kita tak dapat mulakan kali ini sebab ia menggunakan peruntukan dari Belanjawan 2013 baru-baru ini, sebab itu kita mulakan mulai 1 Januari 2013.

“Dalam program itu juga nanti, Kerajaan Negeri akan membiayai dengan konsep perkongsian,” ujar Abdul Khalid.

Program yang dianjurkan Exco Adat Melayu, Belia dan Sukan itu meraikan 61 pasang pengantin dari seluruh Selangor yang mengadakan majlis mereka bertemakan adat resam Melayu Selangor.

Kos bagi pakaian dan majlis bagi setiap pasangan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

Sementara itu, pengumuman Abdul Khalid itu mendapat reaksi positif dari beberapa pasangan pengantin yang ditemui TV Selangor.

“Pengumuman Tan Sri Abdul Khalid tadi betul-betul membuatkan kami terharu dan bangga kerana program ini dapat mengurangkan kos perkahwinan sebab belanja perkahwinan begitu tinggi dengan cara ini dapat meringankan beban.

(Hizami Burhanuddin dan pasangannya Ilyna Mohd Ghazali)

“Saya sebagai warga Selangor, mengucapkan ribuan terima kasih atas sumbangan dan penghargaan Kerajaan Negeri dengan mengadakan majlis ini,” ujar Hizami Burhanuddin dan pasangannya Ilyna Mohd Ghazali dari Klang.

Abdul Kahar Ahmad Marwai dan Siti Sara Azraie dari Kampung Delik Klang pula berpendapat majlis tesebut wajar diteruskan bagi menggalakkan masyarakat mengamalkan kesederhanaan dalam mengadakan majlis perkahwinan.

“Dapat meringankan beban kewangan sebab lepas ini kalau sebelah pihak perempuan atau pihak lelaki tak nak buat kenduri lagi pun tak apa, sebab dah selesai dah, yang penting akad nikah,” Abdul Kahar berkata.

Antara adat perkahwinan tradisi Melayu yang diketengahkan, termasuklah persembahan pencak silat, kompang dan bunga telur.

Pasangan juga ditrampilkan di dalam busana tradisional rakyat Selangor iaitu pakaian sikap Selangor yang dikenakan pengantin lelaki serta kebaya labuh yang digayakan pengantin perempuan.

Tiada ulasan: