Selasa, 11 Disember 2012

BILA CARI MAKAN@REZEKI MAIN BELASAH TAK KIRA SOAL JAWAB DIAKHIRAT NANTI...BAHKAN TAK MEMIKIRAN KEBERKATAN REZEKI TERSEBUT

Ke mana sisa Lynas dieksport atau henti operasi

Harakahdaily, 11 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan dan Lynas Corporation perlu menyatakan dengan jelas di mana sisa Lynas akan dieksport dahulu sebelum kilang dibenarkan operasi untuk memproses nadir bumi.

“Yang pasti, negara asal sumber nadir bumi itu, Australia tidak mahu menerimanya, sebagaimana mereka tidak mahu memberi kelulusan kepada syarikat Lynas sendiri untuk beroperasi di negara sendiri,” kata Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Justeru, beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat menegaskan kerajaan mesti menghalang operasi harian di kilang LAMP di Gebeng, Kuantan selagi syarikat tersebut gagal menjelaskan di mana sisa akan dibuang, walaupun mahkamah telah memberi kebenaran untuk Lynas beroperasi, namun syarat lesen tol mesti dipatuhi.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Kerajaan Persekutuan BN dan Lynas Corporation perlu menyatakan dengan jelas di mana sisa Lynas akan dieksport  dahulu sebelum kilang dibenarkan operasi untuk memproses nadir bumi.

Kenyataan empat Menteri BN, Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Sains Teknologi Dan Inovasi Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili, Menteri Sumber Asli Datuk Seri Douglas Unggah Embas Dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai bahawa syarikat Lynas Corporation Australia perlu mengeksport sisa yang terhasil daripada loji di Gebeng untuk memenuhi syarat lesen pengendalian sementaranya (TOL) adalah tidak mencukupi tanpa menuntut Lynas untuk menyatakan dengan jelas di mana sisa radioaktif kilang Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) itu akan dieksportkan.

Yang pasti, negara asal sumber nadir bumi itu, Australia tidak mahu menerimanya, sebagaimana mereka tidak mahu memberi kelulusan kepada syarikat Lynas sendiri untuk beroperasi di negara sendiri.

1. Kerajaan mesti menghalang operasi harian di kilang LAMP selagi syarikat tersebut gagal menjelaskan di mana sisa akan dibuang, walaupun mahkamah telah memberi kebenaran untuk Lynas beroperasi, namun syarat lesen tol mesti dipatuhi.

2. Kerajaan mesti menuntut surat atau dokumen perjanjian daripada Lynas untuk mengesahkan mereka sudah menjumpai negara yang sanggup menerima sisa-sisa radioaktif tersebut.

3. Kerajaan juga mesti menuntut Lynas memperjelaskan bagaimana syarikat tersebut mengatasi kekangan undang-undang antarabangsa yang menghalang penghantaran bahan berbahaya ke negara lain seperti yang dinyatakan pengarah urusan Lynas Malaysia Mashal Ahmad dalam laporan Guang Ming Daily.

Apakah Menteri Pahang sanggup berjanji sekali lagi untuk telinganya yang satu lagi dipotong dan terjun Sungai Pahang sekiranya Lynas gagal mengeluarkan apa-apa dokumen rasmi perjanjian, pelan dan negara mana yang sanggup menerima sisa toksik kilang LAMP?
Keadaan ini mesti ditangani segera, kerana bahan mentah nadir bumi telahpun sampai di kilang, dan syarikat Lynas akan memulakan operasinya. PAS Pahang ingin tegaskan bahawa kerajaan mesti bertegas dalam soal keselamatan rakyat dan risiko dari projek ini.

Rakyat Pahang khasnya bimbang sisa tersebut akan tetap berada di Pahang, kerana tiada negara sanggup menerimanya, sedangkan syarat lesen operasi ialah sisa toksik mesti dibawa keluar dari negara ini.

Rakyat tidak akan teragak agak untuk berkumpul di hadapan kilang Lynas, sekiranya kilang ini memulakan operasinya tanpa menjelaskan ke mana sisa ini akan dihantar.

Rakyat Pahang ingin melihat surat rasmi dari Lynas dan kesediaan negara mana yang sanggup terima sisa bahaya ini. Ketiadaan negara sanggup menerima sisa membuktikan ianya bahaya bagi alam sekitar dan manusia, dan inilah yang rakyat perlu memahami kenapa Pakatan Rakyat bertegas menentang projek ini.

Tanpa surat rasmi akan timbul persoalan dan spekulasi - jika tiada negara yang sanggup menerimanya, dan demi meneruskan operasi harian untuk mematuhi syarat TOL, apakah ada kemungkinan sisa toksik Lynas dibuang ke perairan laut antarabangsa di Laut China Selatan sebagai langkah mudah?

Deligasi PKR bawa bukti baru ke Hong Kong

Harakahdaily, 11 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Deligasi PKR akan bertemu Suruhanjaya Bebas Anti Rasuah Hong Kong (ICAC) esok dengan membawa bukti-bukti baru mengenai skandal wang RM40 juta yang melibatkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Deligasi PKR itu akan disertai oleh  William Leong, Ahli Parlimen Selayang, Hee Loy Sian, Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan,Chang Li Kang, ADUN Teja, Darell Leiking, Timbalan Setiausaha Agong/Ketua Cabang Penampang dan Rafizi Ramli, Pengarah Strategi.

Mereka akan membuat lawatan kedua ke Hong Kong pada 12 dan 13 Disember 2012 dalam usaha membuka semula siasatan pihak berkuasa Hong Kong mengenai tuduhan rasuah RM40 juta membabitkan Musa Aman melalui orang pertengahannya iaitu Michael Chia.

Delegasi akan mengadakan pertemuan dengan  James To, ahli Majlis Perundangan Hong Kong yang bertanggungjawab menyelia perjalanan Suruhanjaya Bebas Anti Rasuah Hong Kong (ICAC), selain mengadakan pertemuan khusus dengan pegawai penyiasat ICAC untuk menyerahkan bukti-bukti lanjut kes.

Menurut Rafizi Ramli, PKR telah berjaya mengumpulkan bukti-bukti baru terutamanya bukti urusniaga dan butiran pemindahan wang di Hong Kong melalui akaun HSBC Milik Michael Chia di Singapura.

Selain itu, bukti mereka adalah urusniaga melalui Akaun UBS di Hong Kong milik Zenique Investments Ltd dan Blisstop Corporation Ltd.

Mereka juga akan membawa Akuan Bersumpah Datuk Seri Lajim Ukin untuk menyokong dakwaan rasuah yang dilakukan pemimpin politik di Sabah.

"Ketiga-tiga bukti ini adalah mencukupi, seperti yang dibincangkan dengan ICAC, untuk membuka semula siasatan terhadap Datuk Seri Musa Aman.

"Sekiranya pihak berkuasa Malaysia terus mendiamkan diri dan tidak mengambil tindakan, bukti-bukti ini akan terus tersebar dan melemahkan lagi keyakinan rakyat terhadap SPRM dan Peguam Negara," tegas Rafizi.

Tok Guru Nik Aziz setuju nikahkan Apex

Harakahdaily, 11 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersetuju menikahkan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat (Apex) dengan pasangannya, Leuniey Natasha Nazri pada 28 Disember ini.


Demikian dinyatakan dalam surat daripada Pejabat Menteri Besar Kelantan kepada Nazri.

Menurut surat bertarikh 10 Disember yang ditandatangani Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar, Rushdee Abdullah itu, majlis akad nikah akan diadakan di rumah keluarga Leuniey jam 10.00 pagi.

PAS usul tangguh sidang DUN bincang blok Bertam

Harakahdaily, 11 Dis 2012
KUALA TERENGGNU: PAS melalui usul di Dewan Undangan Negeri Terengganu mengajak Adun Terengganu termasuk dari Umno untuk membincangkan siapa sebenarnya memiliki kawasan carigali minyak Blok PM 307 Bertam.

Ini kerana, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengisytiharkannya terletak di bawah negeri Pahang sedangkan Lundin Oil yang membuat kerja-kerja carigali mengatakan ia terletak di kawasan perairan negeri Terengganu.

Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi (gambar atas) dalam usulnya meminta persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu yang bersidang sekarang ditangguhkan untuk membincangkan usul ini.

Bagaimanapun usul ini kemudiannya ditolak tanpa bahas oleh Speaker DUN Terengganu.

Di Temerloh, Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mempertikaikan, apakah Perdana Menteri berbohong ketika membuat kenyataan bahawa ia adalah milik Pahang atau tidak mempunyai cukup maklumat mengenainya.

Dalam Sidang DUN Terengganu, Adun PAS Dr Syed Azman berkata, sidang DUN hendaklah ditangguh mengikut fasal 30 Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan dewan yang mulia ini merundingkan isu  kawasan medan minyak yang baru di temui di Blok PM 307 Bertam yang terletak di luar pantai Semenanjung antara Terengganu dan Pahang yang kini sah menjadi milik rakyat Terengganu.

Hak tuntutan ini, katanya, diperkuatkan lagi dengan jawapan yang telah diberikan oleh Syarikat Lundin Oil yang merupakan syarikat carigali yang berpangkalan di Sweden yang melaksanakan kerja-kerja carigali di kawasan berkenaan dengan kerjasama Petronas Carigali.

Mereka memperakui bahawa Blok PM 307 Bertam ini adalah sah terletak di kawasan perairan negeri Terengganu.

Bagi beliau, isu ini adalah perkara-perkara tertentu kerana telah berlaku suatu pencabulan hak yang boleh menggugat amalan sistem Federalisma yang menjadi asas penubuhan Malaysia.

Dewan yang mulia ini bertanggungjawab membincangkan tindakan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Sri Najib Tun Razak yang mengistiharkan pada  30 Oktober lalu bahawa negeri Pahang dan bukannya Terengganu berhak menerima royalti minyak di medan minyak Bertam, yang terletak di Blok PM 307.

Medan minyak itu, kata Najib, terletak kira-kira 160 kilometer di luar pesisiran pantai Semenanjung Malaysia bertentangan Pahang, pada kedalaman air 76 meter.

Perdana Menteri juga menegaskan bahawa negeri Pahang dijangka menerima royalti sekitar RM100 juta setahun, bergantung kepada anggaran pengeluaran, apabila pengeluaran bermula pada suku ketiga tahun 2014.

Perkara ini, kata Dr Syed Azman, adalah melibatkan kepentingan orang ramai apabila hak negeri Terengganu ini dinafikan dengan sewenang-wenangnya, ia akan menghilangkan keyakinan rakyat Terengganu terhadap pemerintah serta kredibiliti pemimpin negara.

Bagi beliau, tindakan ini jelas merampas hak-hak rakyat negeri Terengganu yang berpegang kepada semangat Federalisma dan keluhuran perlembagaan negara.

"Ini ditambah lagi dengan tindakan ‘mengehsankan’ royalti minyak Terengganu di bawah Dana Khas Persekutuan yang jelas menzalimi rakyat Terengganu yang majoritinya Melayu dan beragama Islam," tegasnya.

Bagi DR Syed Azman yang merupakan Penolong Setiausaha Agung PAS, sewajarnya Dewan yang mulia ini merakamkan penghargaan yang setingginya kepada Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah selaku pengasas Petronas.

Beliau telah menunjukkan sifat seorang negarawan tulen dan berani berdiri dipersada politik tanahair bagi membetulkan fakta yang diselewengkan khususnya dalam perkara pembayaran royalti pertoleum kepada negeri Terengganu, Kelantan dan negeri-negeri lain.

Menurut beliau juga, perkara ini perlu disegerakan kerana ia menyentuh hal pelanggaran hak rakyat dan kedaulatan negeri Terengganu.

Pengumuman ‘anugerah wang ehsan’ oleh Perdana Menteri kepada negeri Pahang ini telah membuka kembali terlalu banyak persoalan besar.

"Apakah perjanjian asal diantara kerajaan-kerajaan negeri dengan Petronas yang ditandatangani pada tahun 1975 itu sudah tidak diterima-pakai lagi?" soal beliau dalam usul itu.

Beliau juga bertanya, apakah setiap penemuan hasil minyak termasuk di Sabah dan Sarawak kini boleh di agih-agihkan kemana-mana sahaja negeri hanya dengan kuasa mutlak Perdana Menteri? Dan apakah kesudahan kepada tuntutan royalti minyak kepada negeri Terengganu?

Katanya, tuntutan royalti minyak di medan minyak Bertam, yang terletak di Blok PM 307 bukan lagi persoalan sentimen serta permainan politik sempit semata-mata, "tetapi berkaitan dengan persoalan maruah dan hak kita sebagai rakyat Terengganu  Darul Iman, negeri yang berdaulat dan negeri yang berpayungkan Tuanku Al-Sultan kita, Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud."

"Maka saya berpandangan bahawa usul ini melibatkan perkara tertentu, kepentingan ramai serta perlu disegerakan," tegas beliau dalam usulnya.

Pemuda Umno didesak letak jawatan dalam SPR

Hazayani Zakaria, 11 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS  Malaysia (DPPM) mendesak Ketua Penerangan Pemuda Umno Bahagian Kinabatangan, Aksyah Nasrah meletakkan jawatan dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ketua pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu berkata, sebagai orang penting dalam Umno, Aksyah tidak sepatutnya memegang jawatan  Timbalan Pengarah (Operasi) SPR Sabah.

"Pemuda minta Aksyah memilih salah satu daripadanya. Sama ada terus pegang jawatan dalam Pemuda Umno dan tinggalkan SPR atau sebaliknya.

"Tapi kalau boleh kita desak dia letak jawatan dalam SPR," kata beliau dalam sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini.

Semalam, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mengeluarkan kenyataan bahawa tidak salah pegawai-pegawai SPR menyertai parti politik tetapi  tidak boleh memihak kepada mana-mana parti semasa menjalankan tugas.

Mengulas perkara tersebut, Ahli jawatankuasa DPPM, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus berkata, Perlembagaan Persekutuan melalui artikel 114(2) menyatakan harapan agar SPR dapat menjayakan keyakinan orang awam.

Tambah beliau, hal ini  bermaksud SPR sepatutnya menjalankan pilihan raya dengan telus dan tidak berpihak kepada mana-mana parti dalam memastikan hak-hak pengundi sejagat, persaingan yang adil bagi kesemua parti politik dan calon-calonnya.

"Ini bukan isu dia pernah melakukan kesalahan sewaktu bertugas dalam SPR tapi isunya dia seorang ahli parti dan memegang jawatan penting.

"Bagaimana SPR boleh bagi jaminan dia boleh melakukan tugas secara profesional?

"Sebagai contoh, dalam perlawanan bola sepak, pengadil itu menyokong salah satu pasukan. Bagaimana penonton nak percayakan pengadil tersebut?" katanya yang merupakan seorang peguam.

Beliau juga berkata, tindakan lanjut akan diambil sekiranya Aksyah masih memegang kedua-dua jawatan dalam Umno dan SPR.

"Kalau SPR berdiam diri dan Aksyah meneruskan tugasnya seperti biasa, kita akan buat pendedahan seterusnya.

"Sekarang kita tunggu apa tindakan SPR dan Aksyah dulu," katanya.

Bertam: PM bohong atau salah maklumat?

Harakahdaily, 11 Dis 2012
TEMERLOH: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diminta tampil memberikan penjelasan mengenai pertelingkahan mengenai hak telaga minyak PM 307-Bertam yang dijumpai oleh Petronas Carigali Sdn Bhd dan Lundin Oil baru-baru ini antara negeri Pahang dan Terengganu.

“PAS Pahang mendesak Perdana Menteri menjelaskan kedudukan sebenar kawasan telaga minyak PM307-Bertam, samada  berada di dalam perairan Pahang atau Terengganu.

Ini kerana ia turut dituntut oleh kerajaan Terengganu, sedangkan Perdana Menteri telah mengumumkan penemuan medan Bertam sebagai hak bagi negeri Pahang,” tegas Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar atas) dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataannya, Tuan Ibrahim turut memetik pengumuman yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 31 Oktober, 2012:

"Medan minyak ini terletak kira-kira 160 km di luar persisiran pantai Semenanjung Malaysia bertentangan dengan negeri Pahang, pada kedalaman air 76 meter. Penemuan ini telah membuktikan kewujudan minyak dan gas di kawasan selatan Malay Basin ke arah Penyu Basin. Oleh itu, medan minyak tersebut adalah terletak di kawasan pelantar benua di dalam bidang kuasa kerajaan persekutuan.

"Berasaskan pertimbangan yang adil dan saksama, dan mengambil kira negeri-negeri yang telah dibayar wang ehsan sebelum ini, serta komitmen kerajaan untuk terus memastikan pembangunan serta manfaat dapat dirasai oleh negeri-negeri, dalam hal ini, bergantung kepada anggaran pengeluaran, negeri Pahang dijangka akan menerima wang ehsan sekitar 100 juta setahun apabila pengeluaran bermula pada suku ketiga tahun 2014.”


Di sidang DUN Terengganu, timbul maklumat baru yang menyatakan bahawa telaga minyak tersebut dijumpai di perairan Terengganu dan bukannya Pahang.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata syarikat cari gali minyak di kawasan berkenaan iaitu Lundin Oil mengesahkan tentang penemuan itu dan menyatakan ia berada di kawasan negeri ini.

Tuan Ibrahim berkata, Perdana Menteri tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang tidak tepat, kerana ia memalukan negara.

“Perdana Menteri bukan sahaja mengumumkan penemuan kawasan telaga baru tersebut, bahkan turut menyatakan dengan penuh komitmen bahawa Pahang akan diberi  wang ehsan sebanyak RM100 juta setahun,” kata Tuan Ibrahim.

Ketua Penerangan PAS Pusat itu berkata pengumuman Najib sebelum ini dilihat satu perkembangan baru yang menarik, untuk usaha penerokaan kawasan minyak di Pahang yang turut disahkan mempunyai kawasan minyak dan gas.

"PAS Pahang berharap PM tidak bermain politik dalam hal ini. Penegasan dari beliau akan meredakan ketegangan antara dua negeri yang turut menuntut medan Bertam sebagai hak negeri mereka.

"Kerajaan Pahang seharusnya turut menjalankan kajian bagi pengesahan kawasan penemuan minyak tersebut, dan sekiranya benar ia di perairan Pahang, kerajaan negeri harus menuntut pembayaran dari Petronas dan Kerajaan Pusat (Persekutuan) ikut sebagaimana Perjanjian Petroleum 1974 sebagai royalti,” tegasnya lagi.

Cadangan tajuk buku Rosmah meletup di Twitter

Harakahdaily, 11 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Pelancaran buku biografi, Datin Seri Rosmah Mansor semalam menjadi antara topik  paling popular di kalangan pengguna media sosial Twitter sejak semalam.

Dengan hashtags "#TajukBukuRosmah" atau "#RosmahBookTitle", masing-masing pengguna cuba memberi cadangan judul buku yang bakal diterbitkan pertengahan Januari depan itu.

Beribu cadangan tajuk dikemukakan termasuk ada yang bersifat sinis terhadap isteri Perdana Menteri itu yang boleh dikatakan sering mengundang kontroversi dalam politik Malaysia.

Antara cadangan sinikal yang dikemukan seperti dalam imej 'print screen' berikut:




Harakahdaily bagaimanapun mengkaburkan nama pengguna bagi mengelak kaitan perundangan.

Buku biografi Rosmah itu dilancarkan semalam dengan Penasihat Penerbitannya adalah Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.

Buku itu didakwa "bakal menjawab secara telus" isu serta dakwaan fitnah yang dikaitkan dengan isteri perdana menteri itu.

Ianya akan diterbitkan oleh Yayasan Amanah Perdana Malaysia (YAPM).

Umno hakis rizab Melayu peninggalan penjajah

Harakahdaily, 11 Dis 2012

KUALA LUMPUR: Umno BN mesti ditumbangkan di dalam Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang demi menyelamatkan tanah Melayu yang semakin terhakis setelah 55 tahun negara merdeka.

“Apabila Umno BN kalah maka terdedah fail-fail yang menunjukkan tanah Melayu menjadi mangsa kerakusan pemimpin Umno,” kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, peliknya pemimpin Umno berlagak menjadi pembela Melayu,  sedangkan tangan merekalah yang melepaskan tanah rizab Melayu kepada orang lain.

Menurutnya, sejahat-jahat penjajah mereka telah mewartakan 3 juta hektar tanah rizab Melayu supaya hak milik Melayu kekal tetapi apabila Umno memerintah, mereka lebih zalim daripada penjajah.

Idris berkata, tanah rizab Melayu terhakis  daripada 3 juta hektar pada tahun 1957 kepada 1.7 juta hektar pada 1995, bermakna 44% tanah rizab Melayu yang ditinggal oleh penjajah dengan susut kadar 1.2% setahun.

“Mungkin tanah rizab Melayu sekarang sudah hilang sebanyak 2 juta hektar setelah 55 tahun merdeka,” ujarnya.

“Pemimpin Umno masuk ke kampung-kampung menabur fitnah kononnya Pakatan Rakyat akan menjual tanah Melayu kepada orang bukan Melayu, meniupkan budaya takut, kononnya Umno kalah habis tanah Melayu akan tergadai kepada orang bukan Melayu sedangkan dari segi faktanya Umno yang mengkhianati Melayu,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, Harakah pernah mendedahkan lot-lot tanah di Pantai Cherating, Pahang yang bernombor 5233, 7058 dan 7059 yang berstatus rizab Melayu telah bertukar tangan kepada bukan Melayu.

Katanya, Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Ali pernah mendedahkan di sidang Dewan Undangan Negeri Selangor bahawa seluas 74 ekar Tanah Rizab Melayu di Sungai Sering telah dijual kepada Syarikat Triumph City Development Sdn Bhd tanpa sebarang gantian tanah di kawasan lain.

Tambah beliau, Umno juga menggadaikan tanah rizab Melayu di bandar Kubang Kerian Kelantan sewaktu berkuasa di Kelantan.

Begitu juga  tanah  Lot 305 Seksyen 1 Bandar  Tumpat yang diduduki penduduk Melayu sebelum air bah merah (sekitar 1925) iaitu ketika Kelantan berada di pemerintahan Siam telah bertukar kepada Datuk Foo Chow Yong (MCA).

“Bagaimana perkara ini berlaku, semuanya halal jika Umno yang berkuasa,” ujarnya.

Selain itu, ujarnya 105,000 hektar  tanah tizab Melayu dijadikan cagaran apabila Felda Global Venture disenaraikan di bursa saham.

Pada 1 Julai 2011, ujarnya Datuk Seri Najib telah menyerahkan  217 hektar Tanah Keretaapi Tanah Melayu di Tanjung Pagar  kepada  Singapura.

“Tanah yang berharga selama ini terlepas dengan mudah. Sebelumnya Singapura memperoleh Pulau Batu Putih, sedangkan Malaysia dapat pulau tenggelam timbul,” ujarnya.

Beliau berkata, fakta di atas menggambarkan daifnya Umno untuk mempertahankan tanah, terutama hak Melayu.

Mereka, kata beliau hanya berlakon dan berdusta atas nama Melayu untuk memperkayakan pemimpin Umno walaupun terpaksa menggadai masa depan orang Melayu.

“Jika Umno BN diberi mandat lagi, maka banyak tanah Melayu akan musnah,” katanya.

Tengku Azlan ikut Ku Li, 'berundur' dari Umno

Harakahdaily, 11 Dis 2012

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jerantut, Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar berkata beliau berhasrat untuk 'berundur' dari Umno.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Jerantut itu berkata, beliau berkemungkinan akan menyertai Amanah, sebuah NGO yang dipimpin oleh Tengku Razaleigh Hamzah.

Bagaimanapun katanya, tindakan itu tidak bermaksud beliau meninggalkan Umno secara total.

“Tak betul, saya hanya ‘berundur’, tapi bukan keluar Umno. Belum terlintas lagi. Belum lagi (masuk Amanah). ‘Amanah’ (saya) untuk selamatkan negara, untuk tolong rakyat miskin.

“InsyaAllah…(akan sertai Amanah) Tapi bukan tahun ini, lagi pun sudah hujung tahun. Saya sokong perjuangan Amanah. Amanah untuk membantu masyarakat lebih maju,” jelas bekas Menteri Pengangkutan itu kepada lidah rasmi PKR, Keadilandaily.

Langkahnya itu dilihat sama dengan langkah  Tengku Razaleigh yang kini aktif dengan Amanah, mengkritik dasar kerajaan walaupun masih ahli Umno dan Ahli Parlimen Gua Musang.

Tengku Azlan juga memberitahu, beliau juga akan berundur dari menjadi calon PRU13 dan menyerahkan mandat kepada orang muda.

“Bagi laluanlah kepada orang muda…Saya kena buat pembaharuan. Tapi orang muda jangan hanya pandai bercakap, mesti bertindak. Tunaikan melalui perbuatan untuk kebaikan orang muda juga,” tegas veteran Umno Pahang itu lagi.

Yakin kemampuan Pakatan

Dalam pada itu beliau yang juga adik kepada Sultan Pahang turut meyakini kemampuan Pakatan Rakyat untuk mendapat sokongan daripada rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Katanya, pendekatan berani Pakatan Rakyat bertemu rakyat bagi menerangkan dasar perjuangan mereka memperlihatkan kesungguhan untuk memenangi PRU13.

“Mereka (Pakatan) cuba terangkan apa yang boleh diberikan kepada rakyat dan negara jika menang dalam pilihan raya. Ini tak ada masalah,” katanya.

Semalam sebuah akhbar Tamil, Makkal Osai melaporkan, Tengku Azlan akan keluar meninggalkan Umno.

Beliau dilaporkan tidak berpuashati dengan parti itu dan akan aktif dengan Amanah.

Makkal Osai melaporkan, Tengku Azlan akan menjadi Pengerusi Amanah negeri Pahang.

Selepas Utusan, Star pula jadi alat politik

Anis Nazri, 11 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Selepas Utusan Malaysia, akhbar The Star milik MCA pula meneruskan agenda bagi kepentingan politik tuannya dalam usaha menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan bukan Islam.

Lebih-lebih lagi apabila akhbar yang mempunyai pembaca bukan Islam itu sengaja mensensasikan isu yang dikatakan kes 'khalwat' di Kelantan yang telah berlaku beberapa bulan lalu padahal ianya bukan kes khalwat.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, berkata isu yang dianggap panas oleh The Star itu sebenarnya hanya sebahagian dari agenda politik MCA.

Katanya, MCA cuba menggunakan akhbar itu untuk cuba mengelirukan bukan Islam, selain mengangkat isu lapuk untuk disensasikan.

"Isu ini hanya kerana agenda politik MCA untuk 'cover' semula akar umbi masyarakat bukan Islam kerana MCA sedang berusaha untuk 'survival' mereka dengan percaturan politik mereka dengan DAP," tegas beliau kepada media.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, hari ini.

Tambah Mustafa, MCA kononnya menggunakan isu tersebut untuk 'memukul' DAP kerana parti itu bersama-sama dengan PAS, sedangkan ia tiada kaitan dengan DAP sebaliknya melibatkan kerajaan negeri.

Mengulas kes tersebut, Mustafa berkata apa yang dilaporkan The Star menunjukkan seolah-olah orang bukan Islam yang dikatakan ditangkap khalwat itu diambil tindakan di bawah undang-undang syariah.

Hakikatnya, apa yang berlaku di Kelantan itu tidak ada kaitan dengan undang-undang Islam, sebaliknya berkait dengan satu Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Malah, tegas Mustafa selama PAS memerintah Kelantan, tidak seorang pun bukan Islam pernah diambil tindakan di bawah undang-undang syariah.

"Isu ini berkait dengan satu akta kerajaan tempatan 1976, yang menyeluruh bagi Malaysia, ada Undang-Undang Kecil Taman yang diterima pakai di Kelantan pada 1986. PAS belum perintah lagi waktu itu. Jadi, kenapa sekarang baru timbul?

"Itu saya kata sengaja nak tunjukkan PAS tidak adil apabila bertindak terhadap bukan Islam," tegas beliau.

Tambah Mustafa lagi, isu berkaitan perkara ini pernah berlaku di Kuala Lumpur pada 2003, membabitkan pasangan bukan Islam yang didakwa atas dakwaan 'berkelakuan tidak sopan di tempat awam'.

Akhbar Bahasa Inggeris itu melaporkan bahawa empat orang bukan Islam – dua lelaki yang tengah melihat pesawat berangkat serta satu pasangan yang bersiar-siar di sebuah taman di Kelantan – ditahan kerana “berkhalwat”, satu jenayah di bawah undang-undang syariah.

LAPORAN BERKAITAN


DBKL ada hak dakwa pelajar bercium: Mahkamah

The Star sudah jadi macam Utusan

PAS blasts MCA daily's report as 'an outright lie'

Tiada ulasan: