Selasa, 11 Disember 2012

ORANG BIJAK...LEBIH2 KUAT PEGANGAN AGAMA@(SERING HADIR MAJLIS2 PENGAJIAN) AKAN MEMAHAMI PARTI MANA PATUT DISOKONG

Umno Ambillah Ibrahim Tanding Di Pasir Mas
Posted on Tuesday, December 11 @ 05:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh lararatu

Oleh Mohd Sayuti Omar

Pernyerahan borang permohonan oleh Zahrain Hashim untuk menyertai semula Umno kepada Ha Najib Razak semalam memecah liur beberapa orang lain yang ingin juga berbuat demikian. Salah seorang yang saya yakin sedang mengira-ngira untuk berbuat perkara sama ialah ahli Parlimen Pasir Mas, Inchek Ibrahim Ali.

Ibrahim: Berilah lambang dacing kepadanya.

Semasa melihat Zahrian menyerah borangnya, saya terfikir apakah bersama lebih 300 borang lain yang didakwa ikut sertai Umno itu, juga terselit borang Ibrahim Ali? Kenapa saya mengatakan demikian kerana Ibrahim kini dalam keadaan terdesak untuk bertanding semula di kerusi Pasir Mas. Pas tidak akan melakukan kesilapan dua kali untuk memberi laluan sekali lagi kepadanya, cukuplah sekali sebagai pengajaran dan juga teladan.

Pas kini sudah mengenali siapa dia Ibrahim Ali. Kenal bukan setakat wajah tetapi perut pedalnya sekali. Jika Ibrahim dicicang 78, mayatnya berkecai, namun bau hamis pedalnya Pas kenal. Kiamat dunia pun Pas tidak akan mengulangi perkara sama untuk beliau. Mustahil.

Perkara ini disedari Ibrahim sejak awal-awal lagi. Dia pun sudah berkerat rotan berpatah arang dengan Pas. Niat awal lagi dia hanya mahu menjadikan Pas sebagai jambatan untuk melepaskan diri ke seberang. Bila lepas, dia menang dan dapat kerusi Pas ditinggalkan, bahkan dikencing hacing begitu saja. Perbuatan Ibrahim terhadap Pas samalah seperti dia kecing dalam beladi dan menjirus dirinya sendiri.

Walaupun dia jenis muka tidak malu, tetapi Ibrahim tidak akan sanggup menghirup air kencingnya sendiri dengan Pas kali ini. Dia tidak akan menangis lagi untuk meminta direkmenkan Pas memberi laluan kepadanya. Tidak.

Maka untuk survive politiknya dia kena berbuat sesuatu menjelang pilihan raya ini. Sekiranya dia berhajat untuk terus bertanding dan kena cari formula baru atau membuat tipu muslihat baru dan melupai formula dan tektiknya sebelum ini. Dia tahu dia tidak akan menang kalau bertanding atas calon bebas. Silap hari bulan dia akan kalah. Ibrahim menyedari hakikat ini dan kekalahan itulah amat digeruni kerana dia tidak mahu menjadikan kekalahan akhir ini sebagai legasi politiknya.

Dia juga tahu di mana kekuatannya dan berapa kapasitinya di Pasir Mas. Dia boleh mendakwa dia memnpunyai pengaruh yang besar di Pasir Mas. Tetapi dia juga tahu berapa orang yang sanggup mengundinya. Dia tahu berapa banyak orang di Pasir Mas sedia mengambil duitnya tetapi tidak mengundinya. Misalnya semasa pilihan raya kecil Pengkalan Pasir, sebanyak 2,600 orang yang datang mengambil wang di rumahnya, tetapi hanya 420 saja yang mengundinya. Dalam pilihan raya itu wang depositnya mampus.

Sebenarnya selepas pilihan raya itu Ibrahim sudah patut berundur dari arina politik. Kekalahan itu cukup memalukannya dan memberi pengajaran kepadanya. Wang yang beliau tabur di Pasir Mas, ibarat padi yang dipatut dan disudu itik tetapi ia tidak jatuh ke perut. Mereka amabil duit tetapi tidak tergamak untuk undinya.

Tetapi nasibnya baik. Pas beri laluan bertanding atas tikit Pas dan menang. Pas khasnya Nik Aziz berkorban memberi kerusi itu atas kepercayaan dan ikhlas untuk membantunya. Kemenangan dalam pilihan raya umum ke-12 memulihkan semanmgat dan maruahnya. Dia menjadi hero kesekian kalinya. Tetapi Ibrahim tetap seperti anjing yang tersempit.

Bagaimana kali ini? Ibrahim sebenarnya sedang berkira-kira untuk bertanding atas tikit BN menggunakan lambang dacing. Dia tahu sukar Umno untuk menerimanya sebab dia dipecat. Menurut perlembagaan Umno setiap ahli yang dipecat akan dibuang keanggotaan seumur hidup. Kerana itu dia mengharap Najib akan memberi laluan kepadanya untuk kerusi Pasir Mas.  Bagaimana pun boleh jadi, ketegasan perlembagaan itu Umno akan terubah memandangkan Umno dalam keadaan senak perut hari ini.

Kalau Umno dan Najib mempercayai dengan kata-kata dan dakwaan Ibrahim mungkin peraturan yang rigid mengenai keahlian Umno boleh berubah. Najib boleh pejam mata kedua belah untuk mengambil Ibrahim.

Kini pun Ibrahim sedang menjual modal yang sama. Kononnya pengaruhnya hebat di Pasir Mas. Kalau Umno memberi laluan kepadanya sekurang-kurang tiga kerusi Dun akan selamat. Dun Pengkalan Pasir, Tendong dan Chetok. Kononnya pengaruhnya di parlimen Pasir Mas boleh menjamin kemenangan Umno.

Betulkah begitu dan sekuat itu pengaruh Ibrahim Ali. Sebenarnya itu adalah dakwaan dan retorik Ibrahim saja. Satu yang perlu disedari bahawa dalam pilihan raya lalu bukan semua orang Pas mengundi Ibrahim walaupun dia bertanding atas tikit Pas.

Sekiranya semua orang Pas mengundi beliau majoriti yang diperolehinya bukan 8,991 tetapi lebih besar dari itu. Seramai 864 undi rosak, kemungkinan yang rosak ini yang tidak mahu mengundi Ibrahim dan calon BN.

Ini menunjukkan bahawa ada penolakan ke atas peribadi Ibrahim Ali. Hakikat itu beliau tidak boleh mendakwa dia mempunyai pengaruh besar di Pasir Mas. Untuk dia bawa dirinya sendiri pun tidak berapa nak rak - berdaya. Bahawa yang membantu kemenangannya ialah Pas.

Kini Ibrahim beriya untuk menyertai Umno. Palan dan strategi sedang dibuat. Katanya dia tidak akan merayu untuk menyertai Umno tetapi kalau ditawar dia akan masuk. Tidak ada beza bagi dunia politik sama ada dia masuk dengan merayu atau pun ditawar. Kita boleh tanya bila masa Ibrahim Ali ada maruah dalam politik?

Cuma disini saya nak katakan kepada Najib terimalah Inchek Ibrahim menyertai Umno. Berilah lambang dacing untuk dia bertanding. Orang Pas dan orang Pasir Mas lebih seronok kalau Ibrahim bertanding atas tikit BN daripada berrtanding sendiri atas tikit Bebas. Mereka akan merasa puas hati dan gentlemen kalau dapat mengalahkan Ibrahim yang menggunakan lambang dacing daripada mengalahkan Ibrahim atas lambang bebas.

Tolonglah Najib berikan peluang kepada lebih lebih 65,000 pengundi di Pasir Mas untuk melepaskan dendam kesumat mereka ke atas Ibrahim Ali. Biarlah dunia melihat nasib Ibrahim kali ini yang 'sengotinya'. Kerana kalau Ibrahim bertanding atas tikit bebas, Ibrahim awal-awal lagi akan kalah. Sebelum tiba hari penamaan calon Ibrahim sudah menangis di umbi sagu. Kita mahu tenguk permainan sebenar di Pasir Mas kelak.

Bagaimana pun perlu disebut kalau Najib memberi laluan kepada Ibrahim Ali nescaya plan dan juga strategi yang sedang dilakar oleh Mustapa Mohamed dan rakan-rakannya untuk rampas Kelantan akan jadi 'berkucar baral' semula. Ibrahim akan tetap menganggui Mustapa. Dia tidak akan boleh duduk diam dan mengikut apa yang disusun aturkan kerana bila-bila masa dan di mana juga keadaan dia mahu menjadi ketua dan kepala halian.

Sumber
 

Air Percuma Pangsapuri : Syarat SYABAS Sukarkan Penduduk
Posted on Tuesday, December 11 @ 04:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh lararatu

Sumber Selangorku.com



KLANG 9 DIS : Tindakan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dalam menetapkan syarat ketat untuk permohonan proses migrasi meter pukal kepada individu merupakan punca utama Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan penduduk pangsapuri tidak dapat menikmati pemberian air percuma oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Berkongsi pengalaman dalam menguruskan permohonan itu, Pengerusi JMB Pangsapuri Bukit Kuda, Ahmad Ibrahim berkata Kerajaan Negeri sebenarnya banyak memudahkan urusan migrasi itu namun Syabas tidak memberikan kerjasama yang sepenuhnya selain meletakkan prosedur yang ketat.

Katanya, antara syarat yang dikenakan Syabas ialah memerlukan persetujuan 100 peratus dari pemilik ia termasuk membuat permohonan baru melalui borang SMP(borang kebenaran tukar meter) bagi setiap individu dan menyediakan RM130 setiap rumah untuk membayar deposit meter air.

Selain itu, penduduk juga dikenakan syarat membayar jumlah keseluruhan bil tunggakan dan segala kos pembaikan paip serta pengubahsuaian meter ditanggung pemilik.

“Syarat yang ditetapkan itu sangat menyusahkan. Sewajarnya mereka (Syabas) faham, untuk melaksanakan semua syarat itu bukan mudah, banyak masalah yang dihadapi oleh penduduk dan JMB sendiri.

“Pengalaman saya dalam menguruskan permohonan itu memakan masa setahun baru ia selesai itu selepas ditolak beberapa kali oleh Syabas sehinggakan saya terpaksa ke Ibu Pejabat Syabas untuk berusaha mendapatkan air percuma,” katanya kepada TV Selangor ketika ditemui.

Menceritakan lanjut, Ahmad berkata JMB pangsapurinya terpaksa mengeluarkan wang tabung pengurusan itu sebanyak RM15,000 untuk didahulukan bagi membayar bil tunggakan.

Katanya, tidak cukup dengan itu, beliau terpaksa mencari pemilik sebenarnya setiap unit rumah untuk mendapatkan persetujuan daripada mereka.

“Saya hantar sendiri notis kepada sebanyak 450 unit rumah untuk mendapatkan maklum balas daripada mereka, banyak masalah yang saya hadapi. Itu pun pada mulanya, hanya setengah sahaja yang berjaya saya cari, tetapi akhirnya saya berjaya mengumpulkan semuanya selepas beberapa langkah susulan diambil,” katanya.

Selain itu, jelasnya, penduduk terpaksa membayar RM45 bagi setiap unit rumah untuk mengubahsuai meter mereka manakala JMB mengeluarkan sebanyak RM5,000 untuk membaiki meter.

“Jika dihitung, kos mengubahsuai meter yang ditukar 450 unit rumah itu menelan belanja yang besar iaitu sebanyak RM20,200. Itu kita lakukan sendiri, jika kita memanggil pihak kontraktor sudah tentu harganya dua kali ganda,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, disebabkan syarat yang dikenakan Syabas itu menyebabkan penduduk pangsapuri lain lambat menikmati pemberian air percuma 20 meter padu itu selain mereka tidak mendapat kerjasama dari penduduk sendiri.

“Setiap penduduk harus faham, begitu juga dengan JMB, jangan menyalahkan Kerajaan Negeri, mungkin permohonan yang dihantar kepada Syabas itu tidak lengkap,” katanya.

Sementara itu, penduduk Hartila Md Daud, 42, mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana sentiasa prihatin terhadap rakyatnya.

“Saya mengharapkan rakyat Selangor terus menyokong Kerajaan Negeri yang sedia ada untuk mentadbir negeri seterusnya ke Putrajaya kerana apa yang saya lihat dan merasainya sendiri, Kerajaan Negeri banyak meringankan beban keluarga saya,” katanya.

Penduduk lain, Imran Ismail, 44, berharap Kerajaan Negeri berterusan membela rakyat yang dilihat semakin dibebankan kerana kos hidup yang tinggi.

“Dengan adanya, pemberian air percuma dan banyak program bantuan yang lain, sedikit sebanyak ia mampu mengurangkan beban kami rakyat Selangor,” katanya.

Sumber
 

Bukan setakat Najib, Mahathir juga terdesak – Lim Kit Siang
Posted on Tuesday, December 11 @ 03:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh lararatu

Sumber Roketkini.com

KUALA LUMPUR, 10 DISEMBER: Bukan setakat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang terpaksa bekerja keras memastikan Barisan Nasionl (BN) memperolehi majoriti dua pertiga pada PRU-13, tetapi Tun Dr Mahathir Mohamad juga turut berbuat demikian.

Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang, berkata Dr Mahathir yang sudah bersara akhir 2003 selepas 22 tahun menjadi Perdana Menteri juga terpaksa bekerja keras kerana bimbang Pakatan Rakyat menawan Putrajaya.

Katanya, semalam, Mahathir berada di Sik untuk mengingatkan ahli UMNO bagi menghilangkan rasa tidak puas hati terhadap calon yang dipilih kepimpinan tertinggi UMNO/BN jika mahu lihat UMNO/BN kekal berkuasa selepas PRU-13.

Mahathir meminta ahli UMNO mengenepikan perbezaan dan memberi sokongan penuh kepada calon UMNO/BN yang terpilih kerana keutamaan sepatutnya untuk memastikan kejayaan supaya BN dapat menang besar dan membentuk kerajaan yang kuat.

“Perkara itu amat luar biasa tetapi kebiasaan Mahathirism yang mana Mahathir perlu memberi amaran mengenai penyakit “Melayu mudah lupa” sebagai punca tidak puas hati di dalam UMNO sehingga tidak menyokong calon yang terpilih, sedangkan Mahathir sendiri adalah gambaran terbaik penyakit “Melayu mudah lupa” apabila giat berkempen menentang Tun Abdullah sebagai Perdana Menteri pada PRU 2008,” katanya.

Kit Siang yang juga Ketua Parlimen DAP berkata, jelas pada Mahathir, yang BN berada di hujung tanduk pada PRU-13 bukan soal jawatan Perdana Menteri Najib tetapi legasi Mahathir, dan tiada keraguan lagi yang mana satu akan mendapat keutamaan sekiranya berlaku pertembungan antara jawatan Perdana Menteri Najib dan legasi Mahathir.

“Itu sebabnya mengapa rakyat Malaysia mendapati kenyataan Najib dalam wawancara bersama Malay Mail Jumaat lalu bahawa beliau memerlukan mandat daripada pengundi untuk mereformasikan UMNO adalah mengejutkan.

“Pertama, hal itu terkena pada diri sendiri dalam Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO ke-66 sepuluh hari lalu, mengakui kegagalan UMNO/BN pada PRU ke-12 2008 adalah “isyarat jelas rakyat Malaysia kepada UMNO dan rakan dalam BN untuk berubah, sesuai dengan selera, aspirasi dan jangkaan rakyat,” katanya.

Apabila Najib mengatakan beliau memerlukan mandat pengundi pada PRU-13 untuk mereformasikan UMNO, sebenarnya Najib mengakui dia gagal mereformasikan UMNO meskipun “isyarat jelas” daripada rakyat pada PRU-12 bahawa UMNO mesti berubah – sebab yang mencukupi mengapa UMNO/BN mesti diganti dengan Pakatan Rakyat di Putrajaya pada PRU-13.

“Jika UMNO/BN mendapat majoriti dua pertiga pada PRU-13, jumlah kerusi Parlimen Pakatan Rakyat akan berkurang sekurang-kurangnya lapan kerusi, iaitu 74 daripada 82 kerusi yang dimenangi pada PRU-12 , memberi BN majoriti sekurang-kurangnya 74 kerusi.

“Bagaimanapun, sekiranya Pakatan Rakyat boleh memenangi majoriti yang banyak melalui empat juta pengundi atas pagar dalam daftar pemilih yang terdapat lebih 13 juta pengundi – terdiri daripada tiga juta pengundi baru dan satu juta pengundi atas pagar daripada PRU-12 – Pakatan Rakyat mampu mengalahkan UMNO/BN dan mendapat majoriti lebih 20 kerusi parlimen,” ujarnya.

Kit Siang berkata, dalam senario terbaik itu, kemungkinan pembahagian kerusi Pakatan Rakyat di dalam Parlimen adalah 45 untuk PKR manakala DAP dan PAS masing-masing mendapat 40 kerusi – memberikan Pakatan Rakyat majoriti kecil 28 kerusi.

Bagaimanapun, parti Pakatan Rakyat mesti berkerja keras untuk memenangi pengundi atas pagar, memandangkan perkembangan beberapa bulan ini memberi sebab untuk pengundi atas pagar mula berasa ragu-ragu sama ada parti Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PKR, PAS dan DAP betul-betul komited terhadap Kerangka Dasar Bersama PR dan Buku Jingga.

Keraguan yang diekploitasi habis-habisan oleh media perdana BN dan cybertrooper, perlu diatasi segera atau Pakatan Rakyat akan kehilangan peluang keemasan untuk memenangi Putrajaya pada PRU-13 dengan mudah.

Sumber


 

Himpunan Kebangkitan Rakyat Perak 16 Dis ini
Posted on Tuesday, December 11 @ 02:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh lararatu

Oleh Muhammad FaeezHarakahdaily



IPOH: Himpunan Kebangkitan Rakyat peringkat negeri Perak akan berlangsung pada 16 Disember ini bertempat di Bandar Seri Iskandar.

Pengarah Program, Dr Khairuddin Abdul Malik, pihaknya menyasarkan kehadiran lebih 40,000 orang dari seluruh pelusuk negeri itu.

Setiausaha Pakatan Rakyat Perak itu berkata, himpunan tersebut akan dihadiri oleh pimpinan tertinggi ketiga-tiga parti gabungan Pakatan Rakyat iaitu Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

“Program ini akan bermula jam 3.00 petang hingga 12.00 malam. Di sebelah petangnya diisi dengan pelbagai program termasuklah sukan rakyat, konvoi, dan persembahan yang membariskan artis termasuklan Ito Blues Geng, Zuar XPDC dan Nik Jidan serta para seniman.

“Kemuncak program tersebut ialah disebelah malamnya iaitu pidato daripada pimpinan parti politik dan NGO,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perjumpaan jawatankuasa program tersebut bersama Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu, Sabtu lalu.

Khairuddin menjelaskan, himpunan tersebut adalah untuk meneruskan momentum kebangkitan dan perubahan rakyat serta mengingatkan kembali tragedi rampasan kuasa  kerajaan Pakatan Rakyat secara tidak bertamadun oleh BN.

“Tragedi rampasan kuasa itu tidak pernah kami lupakan dan ianya menjadi semangat kepada rakyat Perak untuk bangkit membuat perubahan dalam PRU13 nanti.

“Kami menyeru seluruh rakyat Perak hadir beramai-ramai ke himpunan tersebut bagi menghantar mesej kepada BN bahawa rakyat sudah bangkit menentang mereka,” tegas beliau.

Hadir sama dalam sidang media tersebut ialah AJK PAS Pusat, Muhaimin Sulam; Adun Lubok Merbau, YB Zainuddin Mohd Yusof; Adun Tronoh, V Sivakumar; Pengerusi PKR Negeri, Dr Nur Manuty dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Razman Zakaria.

Sumber
 

Buruk-burukkan pembangkang, Najib jangan mimpi dapat sokongan India
Posted on Tuesday, December 11 @ 01:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh lararatu

Oleh Norutul IlhamKeadilan daily

KUALA LUMPUR 10 Dis: Fitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terhadap pembangkang ketika menyampaikan ucapan perasmian Perhimpunan Agung MIC semalam menyebabkan beliau bakal hilang sokongan masyarakat India dalam pilihan raya umum akan datang.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, S Manikavasagam berkata, kenyataan Najib yang mahu undi kaum itu sebagai deposit tetap bagi memenangkan Barisan Nasional (BN) menunjukkan begitu terdesaknya beliau.

“Ucapan Najib cukup terdesak. Apa sahaja yang dicakapnya hanya memburukkan Pakatan Rakyat. Beliau memberitahu kita suka tipu rakyat.

“Masalahnya sekarang, Pakatan belum jadi kerajaan. Bagaimana Najib boleh cakap kita tipu. Siapa yang tipu siapa, kalau bukan BN,” katanya ketika dihubungi.

Beliau mengingatkan Najib supaya tidak terlalu ghairah mengharapkan undi masyarakat India kerana mereka sudah serik penindasan BN.

“Undi masyarakat India bukan deposit tetap BN, tetapi deposit tetap Pakatan. Najib jangan mimpi lagi.

“Masyarakat India sudah terima kami (Pakatan) dari akar umbi. Setiap kali ceramah dan turun padang, mereka penuhi tapak ceramah untuk dengar penerangan,” kata Ahli Parlimen Kapar itu.

Selain menabur janji, Najib juga memburuk-burukkan pembangkang dengan menyatakan satu undi kepada Pakatan bermakna satu undi untuk huru-hara.

“Najib tidak sedar bahawa BN yang menyebabkan masyarakat India masih menggunakan IC merah. Sudah berapa lama BN memerintah, kalau betul mahu bela kami, kenapa tidak selesaikan masalah itu.

“Jangan nak putar belit cakap Pakatan tipu rakyat kerana terdesak mahu undi masyarakat India. Mereka semua sudah tahu nak beza siapa yang menipu rakyat,” ujarnya.

Sumber
 

BN Kedah rugikan RM403 juta wang rakyat!
Posted on Monday, December 10 @ 23:21:23 MYT
Dilulus untuk paparan oleh budakjalanan

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA
Selepas Menteri Besar Dato' Seri Di-Raja Azizan Abdul Razak mendedah empat 'projek sakit' zaman BN yang sedang ditanggung akibatnya oleh kerajaan sekarang ramai yang terkejut kerana belum pernah mendengar isu penyelewengan tersebut sebelum ini.


"Jika anda memiliki rumah kaca, jangan membaling batu kepada rumah jiran," Azizan memetik sebuah pepatah Inggeris ditujukan kepada pihak pembangkang yang mula menyerangnya dengan isu kerugian projek balak di Papua.
Empat kegagalan tersebut ialah isu projek perumahan oleh Yayasan Islam Kedah di Tandop, kehilangan untung projek udang Kerpan, Jerai International Park dan 99 East Langkawi. Ia cuma menambah koleksi skandal zaman BN yang kini terdedah untuk diketahui rakyat.
Tiba-tiba selepas itu terdedah lagi isu 'kecurian' balak di laluan TEKIH di zaman BN yang bernilai kira-kira RM3 juta. Terbongkar cerita penghapusan bukti ala Altantuya di mana sebuah pejabat tapak dengan segala dokumen di dalamnya beserta sebuah kenderaan dibakar hangus sebaik Pakatan menang di Kedah Mac 2008. Memang tiada siapa yang tahu skandal tersebut sebelum ini.
Terbaru, rakyat Kedah 'dihadiahkan' lagi dengan satu lagi bebanan tinggalan BN iaitu sebuah projek feedlot di Paya Mat Insun Pendang yang melibatkan kerugian tidak kurang RM3.5 juta. Ia projek di bawah Kedah Agro Industries Marketing Berhad (KAIMB) serta infrastruktur projek dibuat oleh Bina Ekoculture Sdn. Bhd yang melibatkan peruntukan RM3.5 juta.
Agak mengejutkan rupanya ia bukan projek usaha sendiri sebaliknya hanya disewakan kepada pihak lain dengan bayaran sewaan RM5 ribu sebulan. GLC negeri yang keluarkan modal tapi tak dapat untung apa-apa. Ia seolah-olah memberi pinjaman kepada syarikat kroni UMNO itu dengan mengambil masa selama 58 tahun untuk mendapatkan balik jumlah keseluruhan  RM3.5 juta melalui sewaan RM60 ribu setahun.
Dipendekkan cerita syarikat tersebut mengalami kegalalan dan sewa tidak mampu dibayar. Apabila pihak kerajaan negeri kini berusaha untuk mendapatkan semula segala infrastuktur yang kalau boleh diguna semula, rupanya projek tersebut dibuat di atas tanah persendirian dan tiada perjanjian dibuat antara KAIMB dengan tuan tanah.
Penyelewengan RM3.5 juta berlaku dalam sebuah kerajaan yang berpendapatan tidak sampai setengah billion (pada masa itu) adalah suatu jumlah yang besar. Jika dinisbahkan dengan penyelewengan RM250 juta projek NFC oleh kerajaan Pusat, maka skandal projek lembu Paya Mat Insun ini lebih besar tiga kali ganda (dari segi nisbah pendapatan Negeri dan Pusat). Maka ianya satu penyelewengan yang sangat besar.
Semua penyelewengan BN ini muncul satu persatu di penghujung penggal pemerintahan seolah-olah satu 'anugerah' kepada jentera penerangan Pakatan untuk mengasak BN hingga rapat ke dinding. Ia mengingatkan kita kepada tekanan untuk BN Pusat juga yang muncul satu persatu mengasak mereka kini. Isu lembu NFC rupanya bukan yang terakhir. Muncul lagi isu RM40 juta sumbangan politik untuk UMNO Sabah, muncul Tan Sri Musa Hassan membongkar campurtangan menteri terhadap polis, muncul pula hakim Perancis yang mahu meneliti rekod kes pembunuhan Altantuya dan terbaru muncul India penjual karpet yang dedahkan segala skandal Najib dan Rosmah satu persatu hingga tidak terjawab oleh Najib.
Berbalik isu di Kedah, sebuah jawatankuasa khas menyenaraikan semua penyelewengan yang berlaku di zaman BN. Hasilnya, kerugian dan anggaran kerugian bagi setiap 'projek sakit' tinggalan BN itu adalah seperti berikut:
Yayasan Islam -RM11 juta, projek udang Kerpan -RM8.31, Jerai International Park -RM22 juta, Projek 990East Langkawi -RM48 juta, Seri Temin -RM25.6 juta, Logi air Pdg Sanai & Lubuk Buntar -RM145 juta, Taliworks Langkawi -RM125 juta, Kompleks MPSPK -RM10 juta, Projek balak laluan TEKIH -RM3 juta, ubahsuai Seri Mentaloon -RM2 juta dan projek feedlot di Pendang -RM3.5 juta. Jumlah keseluruhannya ialah RM403.41 juta!

 Sabotaj ada di mana-mana!
Posted on Monday, December 10 @ 23:19:47 MYT
Dilulus untuk paparan oleh budakjalanan


Oleh Markus Lim
Sekarang merupakan musim sabotaj.Barangkali kerana itulah, perkataan sabotaj menjadi bualan hangat orang ramai sejak kebelakangan ini.
Dari perhimpunan Agung Umno hinggalah ke perhimpunan MCA yang berakhir baru-baru ini, keluar arahan daripada pucuk kepimpinan parti agar pengkhianat parti perlu ditangani.


Nampaknya semua begitu “menyukai” dan jatuh cinta terhadap perkataan sabotaj. Nampaknya juga istilah sabotaj mendatangkan kesan yang begitu mendalam terhadap sesebuah pihak hinggakan arahan sedemikian dikeluarkan.
Mutakhir ini, semua perwakilan parti bukan sahaja diingatkan untuk tidak mensabotaj calon lain bahkan juga usah menikam dari belakang. Malah barisan pemimpin berkenaan digesa untuk berganding bahu dalam menjayakan agenda yang ditetapkan.
Ternyata, sabotaj boleh berlaku di mana-mana sahaja baik di rumah, tempat kerja malah hubungan antara satu sama lain. Ia didorong oleh sikap cemburu, marah mahupun kecewa terhadap seseorang.
Perbuatan sabotaj akan terus berlaku selagi si pelaku menaruh perasaan syak-wasangka dan ketidakpercayaan terhadap musuhnya. Pokoknya, individu yang berkelakuan sedemikian hanya menunjukkan mereka sebenarnya tidak yakin kepada diri mereka sendiri.
Sabotaj boleh hadir dalam pelbagai bentuk. Antaranya, character assassination (pembunuhan watak), penghantaran surat layang dan gosip. Pemilihan taktik ini digemari ramai kerana ia mengundang impak yang maksimum terhadap pihak lawan sama dari segi psikologi mahupun luarannya.
Jika ada antara anda yang berpendapat bahawa sabotaj hanya berlaku di dalam parti-parti politik sahaja, kenyataan tersebut adalah kurang tepat. Realitinya, individu seperti penulis sendiri pernah berhadapan dengan perbuatan sabotaj yang dicetuskan oleh sekumpulan individu tidak bertanggungjawab.
Modus operandi mereka cukup licik. Mereka tidak banyak bercakap sebaliknya hanya mengangguk acapkali diajukan soalan. Kesilapan kecil pula digembar-gemburkan hinggakan menyebabkan ia dianggap sebagai sesuatu yang serius. Terdapat juga kecenderungan oleh pihak berkenaan untuk mencari kesalahan orang lain.
Kepada si pelaku tadi, apakah perlu untuk mensabotaj seseorang? Dimanakah kewajaran untuk berbuat demikian? Apakah mereka mendapat kepuasan dengan mensabotaj pihak lain? Apa dosanya hinggakan individu itu perlu diberi layanan sedemikian rupa?
Pada hemat penulis, mereka yang terlibat dalam amalan sabotaj harus bangkit dan cermin diri melihat bagaimana mereka boleh kembali ke pangkal jalan. Pendek kata, mereka tidak seharusnya membisu dan menganggap masalah sabotaj itu seolah-olah tidak pernah berlaku. Sikap inilah yang akan mengundang masalah kepada sesebuah organisasi.
Sabotaj ada di mana-mana. Kini, terpulanglah kepada kita semua bagaimana untuk menangani masalah tersebut dengan baik. Bagi pihak yang mendalangi sabotaj, mungkin sudah sampai masanya untuk menghentikan niat jahat itu dan melakukan perkara lain.
Soalnya sekarang, apakah mereka sudah bersedia?

 Habibie, samseng politik dan ekonomi Melayu
Posted on Monday, December 10 @ 23:17:07 MYT
Dilulus untuk paparan oleh budakjalanan

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN
Semasa Bacharuddin Jusuf Habibie dilantik menjadi Presiden Indonesia ketiga menggantikan Soeharto pada 21 Mei 1998, seperti ramai rakan-rakan yang lain, saya tidak meletakkan harapan tinggi buat anak Bugis kelahiran Sulawesi Selatan ini untuk melakukan reformasi agar pemerintahannya benar-benar berbeda daripada kebobrokan Orde Baru.


Tanggapan itu mungkin disebabkan beliau dilihat "anak didik" Presiden Soeharto dan bukannya "putera reformasi" yang bangun menuntut perubahan bersama rakyat tertindas. Habibie yang memperolehi ijazah doktor falsafah kejuruteraan pada 1965 di Jerman dan bekerja dalam industri penerbangan di Hamburg kembali ke Indonesia pada 1973 atas permintaan Soeharto. Lima tahun kemudian, beliau menyertai kabinet sebagai Menteri Teknologi.Tidak kurang yang memandang sinis -- termasuk saya di peringkat awalnya -- keupayaan BJ Habibie memulakan pembaharuan di sebuah republik yang mewarisi kacau-bilau, rusuhan dan demonstrasi, dengan imej Soeharto yang cukup kelam, terutama daripada segi rekod hak asasi manusia, demokrasi dan keadilan.
Saya masih ingat ada rombongan kecil penyokongnya datang ke pejabat Harakah, ketika Habibie dilantik baru Naib Presiden. Mereka seperti mahu menjelaskan bahawa Habibie sememangnya berbeda daripada Soeharto, dan bersedia untuk melakukan perubahan, di samping mempunyai semangat keislaman yang tinggi. Posisinya dalam Ikatan Cendekiawan Muslim Indonesia (ICMI) dtonjolkan dalam diskusi kami itu.
Semua pihak mengakui kehebatan ilmu dan kepakaran teknologi Habibie, yang  sememangnya cemerlang dalam industri kejuruteraan pesawat sehingga pada tahun 1994 mendapat anugerah tertinggi Edward Wanner Award, sempena ulang tahun ke-50 International Civil Aviation Organization (ICAO), namun rekodnya dalam bidang politik dipersoalkan.
Berbanding Soeharto yang memerintah selama 32 tahun (1966-98), tempoh penggal Habibie sebagai presiden cukup singkat, hanya setahun lima bulan; sebagai Naib Presiden sekadar dua bulan tujuh hari.
Saya sendiri yang  tidak memerhati dari dekat jasa dan bakti Habibie turut tidak memberi perhatian kepada sosok istimewa ini. Namun, begitu, saya menyedari tugas sulit yang terpaksa ditanganinya, terutama bagi melepaskan Indonesia daripada bebanan sejarah masa silam di bawah Soeharto.
Sehinggalah apabila saya terbaca komentar menarik seorang rakan, Azam Shairi, wartawan Astro Awani tentang buku "Habibie dan Ainun". Ia sebuah memoir Habibie bersama isterinya, antara lain mengisahkan saat-saat kematian Hasri Ainun (bermaksud "mata yang indah"), yang meninggal dunia di Munich, Jerman, pada 22 Mei 2010. Luar biasa detik-detik akhir pasangan yang berkasih sayang selama 48 tahun ini.
Namun, selepas mengikuti pidato Habibie (dan pengenalan ringkas oleh rakan karibnya, Anwar Ibrahim) di Unisel, Shah Alam, 6 Disember lalu, saya seperti tersipu malu dengan salah tanggapan terhadap rekod kerjanya selama ini.
habibie-anwar-mb-dinner-01
Bayangkan, Habibie membebaskan semua tahanan politik pada hari pertama menjadi presiden. Sungguh menakjubkan. Beliau tidak peduli dengan protokol atau peraturan lazim. Tanpa menunggu lama, media turut dibebaskan esoknya; begitu juga dengan pilihan raya bersih, sesuatu yang tidak pernah diimpikan di zaman Soeharto.
"Ini soal dhamir, dan tanggungjawab langsung dengan Allah," kata Anwar mengungkapkan tekad politik Habibie yang cukup kuat dan kepeduliannya terhadap nasib rakyat tanpa mengira kemungkinan kesan buruk di sebalik tindakan drastiknya itu.
Ternyata, Habibie seorang demokrat sejati. Beliau benar-benar pemimpin reformasi yang boleh dibanggakan ratusan juta rakyat Indonesia. "Seseorang itu tidak boleh ditahan, apatah lagi dipenjarakan, hanya kerana berbeda pandangan dengan pemerintah, kerana yang sebenarnya berkuasa adalah rakyat," tegasnya di hadapan hampir seribu hadiran, kebanyakannya mahasiswa.
Cukup sukar mencari personaliti hebat seperti Habibie, yang sedia mempertaruhkan jawatan, demi mempertahankan prinsip dan keyakinannya. "Pak Habibie datang sebagai sebagai penyelamat Indonesia dan sebaik menyempurnakan misinya beliau berundur secara terhormat dalam masa yang singkat," kata Anwar.
Ramai idealis yang berjaya menumbangkan diktator atau regim zalim, namun akhirnya tidak mampu melakar perubahan seutuhnya disebabkan terlalu banyak mengira risiko dan menghitung kemungkinan. Lebih malang apabila hanyut dipeluk kemewahan dan lupa diri dibalut kuasa yang mempesona.
Habibie, seorang pemberani dan pengukir zaman. Melalui langkah pertamanya Indonesia berada di atas landasan yang betul dan boleh menjadi teladan dari segi proses pendemokrasian. Sememangnya beliau berada dalam kelas tersendiri sebagai negarawan ulung.
Habibie juga mengingatkan saya kepada seorang lagi personaliti unggul dalam sejarah pembinaan bangsa Indonesia, Mohammad Natsir, Perdana Menteri pada awal 1950-an, yang meletakkan jawatan dalam tempoh singkat apabila berbeda fahaman dalam beberapa isu dasar dengan Presiden Soekarno.
II. Antara kerbau dan kucing dalam Umno
Presiden Umno, Najib Razak tidak perlu menunggu lama bagi melihat ucapannya yang  berdegar-degar "mengisytihar perang" semasa PAU 2012 mendapat respons segera daripada "anak-anak buahnya".

"Najib sepatutnya berbangga kerana ahli-ahli Umno, bermula di Gombak, bingkas bangun bertindak untuk mempertahankan Putrajaya, dengan cara yang difikirkan sesuai oleh mereka," sindir seorang pengamat politik.
Malam 4 Disember, di Batu 8 1/2, Gombak, sekumpulan lebih 200 Pemuda Umno, difahamkan sebahagian besarnya pesilat, menunjukkan keangkuhan dan mempamerkan budaya samseng, dengan melakukan provokasi dan gangguan melampau, terhadap program Ceramah Merdeka Rakyat, antara lain membariskan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.

Ketua Pemuda Umno Gombak, Megat Zulkarnain Omar Din, pernah dikaitkan dengan tindakan tidak beradab ke atas pemimpin DAP di Parlimen, pada awal 2009. Ada yang tercedera, termasuk aktivis PAS, dibaling batu dan ditikam objek tajam.
Insiden seumpama ini bukannya tragedi baru. Kes ceramah Pakatan diganggu, termasuk dengan mengadakan program Umno di lokasi berdekatan, dilakukan secara sistematik. Ia sengaja diatur, termasuk oleh pimpinan tertinggi Umno negeri, sebelah menyebelah, bagi menjejaskan tumpuan audien di majlis oposisi.

Anwar dalam ucapannya pada malam itu, yang sering diganggu pengacau Umno dengan kata-kata kesat tetapi langsung tidak menjejaskan tempo pidatonya, bertanya kepada hadirin: "Jika Najib datang ke Gombak dan kalau ada 30, 40 ahli PAS atau KeADILan datang kacau, apakah saudara ingat polis boleh benarkan?"
Beliau menyifatkan aksi samseng Umno itu sebagai "arrogance of power", amalan "bodoh, samseng dan takbur". Anwar menekankan, "rakyat akan ajar dalam PRU13, kita akan tendang mereka dari kuasa."
Ketua Umum KeADILan itu turut menyifatkan pihak yang terlolong memekik menganggu ceramah Pakatan sebagai pencacai kepada perasuah dan penzalim, yang dengan sewenangnya merampas khazanah kekayaan negara, tetapi masih berselindung di sebalik slogan "Hidup Melayu".
"Buat ceramah pun boleh cedera ... bukankah ini kurang ajar namanya? Ini tanda Umno resah gelisah dengan kebangkitan rakyat. Saya nak tahu, polis siasat atau tidak? Kita mahu negara dipimpin mengikut hukum.
"Saya mahu siasatan terperinci. Setiap anak muda yang luka, setiap orang yang dicederakan, saya mahu orang yang terlibat itu bertanggungjawab. Saya tak mahu negara ini jadi hak pengkhianat, samseng,  atau pencacai kepada penzalim," tegas Anwar disambut tepukan bergemuruh  hadirin.

Seperti kata AJK PAS Pusat, yang juga peguam terkemuka, Hanipa Maidin, politik samseng tercetus apabila idea berbeda tidak dapat diterima oleh pesaing, sehingga hujah tidak dapat dipatahkan dengan argumen, maka elemen kekerasan mengambil tempat.
Lebih menyerlah apabila sesuatu regim tidak sanggup berdepan dengan pembongkaran pelbagai skandal, dan terbayang akan kehilangan sokongan daripada rakyat, sebagai responsnya, kebangkitan itu mahu ditumpaskan dengan tindakan fizikal yang tidak bertamadun.
Kegelisahan makin tidak keruan apabila pelaku jenayah menjangkakan mereka akan dihadapkan ke muka pengadilan jika kerajaan baru di Putrajaya terbentuk.
Sayang sekali menyaksikan badut-badut Umno yang beraksi ganas itu sebenarnya hanyalah ahli atau penyokong akar umbi, sebahagian mereka mungkin diupah dengan sedikit bayaran. 
Kadang-kadang kelompok di bawah ini "ikhlas dalam perjuangan" tetapi begitu terdorong oleh pidato berapi-api pemimpin. Semangat perkauman, yang diselindung melalui ungkapan sayang-kasih kepada bangsa dan agama, dinyalakan dengan marak.
Penggerak Umno di kampung-kampung ini juga tidak menyedari kecurangan dan kerakusan elit pemimpin mereka "merampok" hasil mahsul negara, sebahagiannya melalui undang-undang dan tidak akan dikesan oleh penguatkuasa.
Ada di antara mereka yang begitu bersungguh-sungguh dan komited untuk memenangkan Umno walaupun  tidak mendapat imbuhan setimpal daripada ketua-ketua yang sibuk dengan projek demi projek.
Saya teringat "kisah kerbau dan kucing" yang sering diutarakan Cikgu Abd Wahab Abd Rahman, bekas AJK PAS Pusat dan kini masih aktif di Jerlun, bagi membandingkan nasib ahli-ahli biasa Umno dengan anak-anak pemimpin mereka.
Kerbau diperah keringat. Ke sawah membajak, dipalu belakangnya, diberi makan ala kadar, malah sehingga mati pun, kulitnya dijadikan gendang dan dipukul terus! Tetapi kucing di rumah, dipelihara baik-baik, menjadi kesayangan tuan, diberi susu dan ikan walaupun tiada kerja bermanfaat dapat dibuat.
Siapa kerbau dan siapa kucing dalam konteks Umno?
III. Pembangunan yang meruntuhkan masyarakat Melayu
Walaupun wartawan Harakah Pulau Pinang, Sabri Said sudah mewawancara tokoh korporat, Dato' Seri Abdul Rahman Maidin, yang baru menyertai PAS, namun saya tetap merasakan masih perlu berkenalan dengan pengusaha yang terlibat dengan pelbagai bidang perniagan selama 32 tahun itu.
Ternyata Abdul Rahman mudah dihubungi dan bersedia pula ke pejabat Harakah, petang 5 Disember lalu. Saya mengingatinya sebagai orang yang pernah menerajui MRCB dan menguasai kumpulan media NSTP dan TV3. Ketika itu, kira-kira akhir 1990-an, wajahnya sering muncul di kaca TV.
Baru-baru ini saya terkesan dengan pembabitan aktifnya dalam isu pengambilan tanah di Pengerang Johor. Tertanya-tanya juga bagaimana beliau sering berada di sana, bersama pemimpin popular PAS, Mazlan Aliman dan Salahuddin Ayub.
Malah, apabila beliau memilih untuk menyerahkan borang keahlian PAS kepada Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Batu Pahat, dan bukan di negeri kelahirannya di Pulau Pinang, ramai juga yang hairan, termasuk Ketua Menteri Lim Guan Eng.
Rupanya kini Abdul Rahman terlibat  dengan kerja-kerja kemasyarakatan, dalam Institut Peduli Rakyat (IMR), yang memperjuangkan isu-isu sosio-ekonomi rakyat, selain membabitkan kesihatan dan alam sekitar.
Dalam sembang santai lebih sejam bersamanya, saya tertarik dengan konsep pembangunan yang ditekannya. Abdul Rahman mengkritik cara dan pendekatan kerajaan Umno-BN untuk membangun orang Melayu.
"Mengambil tanah orang Melayu dan menghancurkan perkampungan mereka, kemudiannya memindahkan ke tempat lain memang mudah tetapi  tindakan itu langsung tidak dapat membantu kehidupan orang Melayu," tegasnya.
"Zahirnya memang nampak orang Melayu agak maju, tetapi cubalah tinjau keadaan sebenar dalam rumah mereka. Benar, rumah agak tersusun di kawasan kediaman, tetapi saya yakin lapan daripada sepuluh keluarga  dibebani  pelbagai masalah, seperti hutang keliling pinggang dan konflik rumahtangga akibat problem sosio-ekonomi," tambahnya sambil menceritakan pengalaman melihat sendiri keadaan menyedihkan keluarga yang dipindahkan di Kuala Terengganu.  
rahman maidin2

Beliau yang teruja dengan perjuangan Negara Berkebajikan PAS mahu memanfaatkan pengalamannya lebih tiga dekad dalam pelbagai bidang bisnes dan komuniti perniagaan bersama Parti Islam.
Tentunya Abdul Rahman dapat membuat penilaian sebaiknya terhadap kegagalan kerajaan membantu masyarakat Bumiputera selama ini serta mampu mencari jalan keluar. Disebabkan petang itu saya agak uzur, banyak persoalan tidak sempat dibangkitkan.
Diajukan laporan The Star, mengenai dakwaan Ketua Pemuda MCA, Wee Ka Siong bahawa beliau merupakan "orang yang paling rasis" pernah ditemui Timbalan Menteri Pelajaran itu, Abdul Rahman sekadar tersenyum dan enggan melayan tohmahan itu.
"Biarkanlah, lebih baik kita tak usah jawab, kalau jawab seolah-olah dia penting bagi kita," kata Abdul Rahman, yang merasakan ada perancangan tertentu bagi menyerangnya apabila beliau menyertai PAS.
"Saya yakin orang seperti Abdul Rahman dapat meningkatkan imej PAS terutama di kalangan orang Melayu. Beliau patut diberi peranan penting terutama berkaitan kemahirannya," kata seorang rakan. 


 

Tiada ulasan: