Ahad, 16 Disember 2012

RAMAI DAH SEDAR...ALLAH MENYEDARKAN...KECUALI YANG ALLAH TAK BERI TAUFIK DAN HIDAYAH...HINGGA ADA DAH MUAK SANGAT...DAH BANYAK BANGKAI DAH TAK BOLEH TUTUP

‘R’ dakwa Pahang ada telaga 'lebih besar'

Khairil Abdul Rahim, 15 Dis 2012


(Kawasan telaga minyak baru yang lebih besar dari Bertam)

TEMERLOH: Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mendedahkan terdapat sebuah telaga minyak baru ditemui yang lebih besar di perairan Pahang, berbanding telaga minyak di Bertam yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini.

Gabungan Profesional Menuntut Royalti Minyak atau ‘R’ Pahang, pihaknya mempunyai bukti telaga minyak di medan ‘Rhu’ Blok PM-308 di dalam sempadan Pahang adalah enam kali lebih besar berbanding telaga minyak di Blok 307 Bertam, dalam perairan Terengganu.

Pengerusi NGO berkenaan, Nordin Majid, dalam kenyataan medianya berkata, malangnya, Kerajaan Pusat tidak mendedahkan penemuan blok itu kepada umum hingga menimbulkan persoalan, khususnya kepada mereka yang mengetahui mengenai perkara tersebut.

“Pahang sebenarnya mempunyai blok telaga minyak enam kali lebih besar daripada Bertam, tetapi tidak didedahkan.

“Kami harap Kerajaan Pusat dapat menjawab persoalan, mengapa Kerajaan Pusat tidak mendedahkan kepada umum penemuan telaga minyak di Blok 308 Rhu ini?” katanya.

Nordin berkata, pihaknya juga mahukan Kerajaan Pusat memberikan royalti lima peratus kepada Kerajaan Negeri dan bukannya wang ihsan bagi setiap penemuan minyak di perairan negeri ditemui.

Beliau berkata, sumber mengenai penemuan minyak di Blok PM-308 ‘Rhu’ berkeluasan 5,500 dan 8,600 kilometer persegi itu diperoleh hasil kajian dibuat ‘R’ Malaysia serta ‘R’ Pahang.

Menurutnya, rakyat Pahang secara umumnya perlu tahu sekiranya wujud blok lain selain Blok 307 Bertam yang diumumkan Kerajaan Pusat sebelum ini.

“Kerajaan Pusat juga perlu mengumumkan jumlah hasil Blok PM-308 Medan Rhu dan tarikh pengeluarannya bermula seperti mana pernah diumumkan kepada rakyat Pahang mengenai Blok PM-307 Bertam.

“Apabila medan minyak Rhu yang berada di dalam perairan Pahang mengeluarkan hasil, adakah rakyat Pahang akan dibayar royalti atau wang ihsan?” soalnya.

Nordin berkata, ‘R’ Pahang adalah sebuah NGO gabungan 100 NGO profesional lain bertindak bagi mencapai tujuan berkaitan tuntutan royalti mengikut perjanjian Akta Pembangunan Petroleum 1974 serta Hak Pendaratan Minyak dan Gas ke Pahang.

Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan, pada Oktober lalu mengumumkan negeri Pahang dijangka menerima wang ihsan sekitar RM100 juta setahun, berikutan Petronas Carigali Sdn Bhd dan Lundin Oil menemui rizab minyak tambahan di medan minyak Bertam, yang terletak di Blok PM 307.

Medan minyak itu terletak kira-kira 160km di luar pesisiran pantai Semenanjung Malaysia bertentangan Pahang, pada kedalaman air 76 meter.

Namun begitu, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said, mendakwa telaga minyak berkenaan merupakan hak Terengganu.





CAPTION

Peta yang ditunjukkan oleh NGO ‘R’ Pahang

Tuduhan: Najib tidak boleh membisu

Aspan Alias, 15 Dis 2012
Apa yang dibongkar oleh Deepak dan Musa Hassan wajar mendapat jawapan dari Najib, Hishammuddin dan Muhyiddin kerana tuduhan yang dilemparkan oleh kedua-duanya, Deepak dan Musa, adalah tuduhan terhadap kepimpinan tertinggi UMNO dan amat serius. Isu yang melibatkan kepimpinan negara. Negara kita adalah sebuah negara persekutuan yang berdaulat. Bagi sesebuah negara yang berdaulat Malaysia tidak wajar mempunyai pemimpin yang begitu mudah dikaitkan dengan isu-isu seperti membunuh serta isu-isu yang boleh menjejaskan kewibawaan negara kerana pemimpin besarnya dikaitkan dengan kerja yang amat hina dan menjijikkan itu.
Malaysia bukan letaknya di benua Afrika. Kita berada di rantau yang sedang membangun dan juga menjadi negara yang mengamalkan demokrasi berjiran kepada demokrasi terbesar di dunia ini. Jika di pandang dari sudut etika kepimpinan yang sebenarnya Najib sepatutnya meletakkan jawatan sebagai PM dan jawatan-jawatan dalam parti. Apabila seorang Perdana Menteri itu meletakkan jawatan maka keseluruhan kabinet beliau juga sepatutnya meletakkan jawatan. Begitu juga mereka yang menjadi ahli-ahli Majlis Tertinggi parti. Itulah etika sebenarnya.

Selama ini kita tidak mengamalkan moral demokrasi itu dengan baik dan telus. Kita telah melanggar banyak kali etika kepimpinan bagi negara ini pada masa-masa yang lampau. Itulah sebabnya kita tidak pernah terlepas dari menghadapi masalah moral dalam kepimpinan negara kita. Pihak yang berkuasa tidak mengambil isu moral kepimpinan ini sebagi isu teras bagi kepimpinan negara. Banyak masalah negara sepatutnya telah dapat diselesaikan jika isu moral dan etika ini diambil berat oleh mereka yang sedang berkuasa.

Dalam isu Deepak dan Musa Hassan yang sedang menjadi perbualan ramai sekarang ini, mereka yang dikaitkan, iaitu Najib dan isterinya sepatutnya tampil ke depan dan memberikan penjelasan terhadap isu yang ditimbulkan oleh Deepak terutamanya. Apabila matinya seseorang wanita asing yang dikaitkan dengan orang-orang yang hampir dengan Perdana Menteri, Najib mesti tampil ke hadapan dan memberikan penjelasan secara terbuka kepada rakyat.

Ini sangat penting, kerana Najib itu adalah Perdana Menteri dan Rosmah itu adalah isteri kepada Perdana Menteri. Rakyat ingin tahu kenapa Rosmah mencari Deepak untuk memaksa Bala Subramaniam melakukan ‘retraction’ terhadap akuan bersumpah yang pertamanya dan menyediakan seorang peguam untuk mengadakan akuan bersumpah yang kedua. Ianya tentu ada kena mengena dengan Rosmah dan Najib. Kalau ia tidak kena mengena dengan suami isteri itu masakan mereka sibuk untuk meminta Deepak mencari Bala Subramaniam.

Jika Najib dan Rosmah tidak tampil ke depan dan memberikan penjelasan, apa yang perlu dilakukan sekarang oleh Najib ialah untuk berundur dan seluruh kabinet patut berundur kerana ini adalah cara demokrasi dan etika kepimpinan negara yang sudah maju mengamalkannya. Itu sebabnya seseorang pemimpin bagi negara yang sedang membangun mesti menjaga kewibawaan mereka dengan tidak terlibat dengan perkara-perkara seperti pembunuhan dan rasuah serta apa jua perkara yang melanggar moral dan etika kepimpinan negara itu.

Di negara barat seperti di Amerika Syarikat dan lain-lain, seseorang yang bersedudukan dengan teman wanita tanpa pernikahan yang sah itu adalah menjadi budaya dan perkara yang biasa. Tetapi Gary Hart seorang calon ‘primary’ dari parti Demokrat telah berundur dari pemilihan itu kerana beliau didapati pernah bersedudukan dengan seorang wanita di luar perkahwinannya. Kehidupan seperti itu adalah kehidupan yang ‘normal’ bagi orang negara barat.

Tetapi apabila isu itu diketahui umum, Gary Hart telah mengundurkan diri dari pertandingan itu kerana semata-mata untuk menjaga etika kepimpinan dan moral negara AS itu. John Terry pernah digugurkan sebagai ketua pasukan bola England apabila beliau di katakan mempunyai hubungan sulit dengan bekas teman wanita sahabatnya sendiri. Tindakan itu ialah untuk menjaga moral dan etika pasukan bola negara England.

Begitulah tingginya nilai moral di mana-mana negara maju jika ia berkaitan dengan kepimpinan. Nilai inilah yang kita tidak pernah mengambil pusing kerana kita menganggap pemimpin itu boleh melakukan apa sahaja yang tidak bermoral dan beretika itu.

Kita perlu ingat yang kita pimpin ini adalah negara, bukannya pemimpin persatuan silat atau persatuan pemandu teksi dan beca.

Saya hadir kerana didakwa sakit berat -TG Nik Aziz

Harakahdaily, 15 Dis 2012
DUNGUN: Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, dia gagahkan dirinya datang ke himpunan PAS Ganti Umno (PGU) di sini kerana didakwa 'sakit berat' oleh Umno.

"Saya hadir di PGU Terengganu sebab ada orang telefon setiausaha saya kata Umno kata Nik Aziz sakit berat.

"Saya kata, 'Ini kena pergi ini'. Alhamdulilah saya dapat hadir," kata Tuan Guru Nik Aziz ketika berucap merasmikan perhimpunan ini pagi tadi.

PGU ke 6 berjalan di Kuala Paka mulai pagi tadi hingga malam ini.

Semalam Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) peringkat negeri Terengganu berjalan di tempat yang sama.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan  Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu antara tertamu utama yang berucap dalam himpunan malam tadi.

Malam ini, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Abdul Hadi Awang dan bekas timbalan menteri, Datuk Yahya Lampong antara tetamu utama yang akan berucap.

Anggota polis dakwa dalam FB muak jadi alat Umno

Harakahdaily, 15 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Tindakan seorang anggota polis yang berani memasukkan dalam Facebooknya tentang gangguan pemimpin Umno dan Barisan Nasional dalam tugasan polis telah mendapat sokongan dari pelbagai pihak.

Norhashimah Mohammad, yang mendakwa dirinya seorang anggota polis wanita memasukkan status "pasukan polis sudah tercemar identiti nya,,dan sudah hilang integriti,,DEK KERANA KERAKUSAN KUASA DAN HARTA PEMIMPIN UMNO DAN BARISAN NASIONAL." hari ini.

Menurut Norhashimah, 29, beliau menjadi polis kerana teruja dengan keberanian dan kekentalan para ibu semasa peristiwa Bukit Kepong.

"Tapi sayang nya hari ini,,,pasukan polis sudah tercemar identiti nya, dan sudah hilang integriti,,DEK KERANA KERAKUSAN KUASA DAN HARTA PEMIMPIN UMNO DAN BARISAN NASIONAL.

"Saya sama sekali tidak akan redha di mana tugasan kami sebagai polis sudah diperkudakan sebegini rupa, sehingga rakyat sudah muak melihat uniform kami," tulis Norhashimah.

Menurut Hashimah yang kini bertugas di Selangor, rakyat sekarang sudah hilang hormat kepada tugasan pasukan mereka.

"Ayuh kawan-kawan semua, kita sama-sama berjuang untuk menegakkan keadilan di muka bumi Malaysia ini.

"Tak kira walaupun apa bangsa sekalipun, demi untuk menjatuhkan Umno yang zalim," tulis Norhashimah.

Menurut beliau, di saat beliau menulis tulisan ini di Facebooknya (kira-kira jam 5.30 petang 15 Disember), surat pertukaran ke Sarawak sudah pun beliau tandatangani.

Ekoran posting itu, pelbagai sokongan beliau terima dalam bentuk mesej melalui Facebook.

Salah seorang dari mereka yang mengenalkan diri dengan Ras Ye Saye menulis, "Syabas Puan atas keberanian yang jarang-jarangkali dapat didengari."

"Kami, selaku rakyat awam perlu sedikit saja masa lagi sehingga tiba PRU 13 untuk memastikan nama PDRM yang telah tercemar teruk angkara regim tak berhati perut ini dapat dipulihkan kembali, sekaligus menumbangkan regim ini buat selamanya dari terus menggila berkuasa.

"Doa kami akan senantiasa mengiringi perjuangan murni Puan. Semoga terus kekal tabah berjuang, sekali lagi syabas saya ucapkan Puan!," tulisnya.

Memerdekakan polis dari gangguan Umno

Subky Latif, 13 Dis 2012
BETAPA polis dipandang rendah oleh masyarakat disebabkan gangguan orang politik telah didedahkan oleh Tan Sri Musa Hasan yang baru setahun jagung bersara dari Ketua Polis Negara.


Lebih dari sekali dia bersungut tentang campuran  tangan orang politik mengganggu polis menjalankan tugasnya.

Jika sekadar sekali dua  atau sekali sekala gangguan itu berlaku, tentu pegawai polis yang diketahui tinggi disiplinnya terhadap kerajaan tidak akan bersungut secara terbuka kepada umum.

Dia tidak menamakan orang politik mana yang campur tangan kerja polis itu, tetapi tentulah bukan PAS, PKR dan DAP walaupun kumpulan pembangkang itu sering mengkritik polis yang dikatakan tidak profesional menjalankan tugas.

Jika mereka yang mengganggu kerja polis itu sudah lama semua pemimpin pembangkang diseret ke mahkamah seperti yang dilakukan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pertuduhan menghalang polis menjalankan tugas. Sudah tentu ramai mereka telah dipenjarakan.

Siapa yang dituduh oleh Musa Hasan itu? Tentulah UMNO.

Memang persepsi umum merasakan orang kuat UMNO cawangan-cawangan lebih berkuasa dari Ketua Polis Daerah terutama dalam menangani urusan politik dengan pembangkang. Hingga payah hendak ditentukan sikap pihak berwajib terhadap Bersih yang tiga kali itu adakah keputusan polis atau keputusan UMNO?

Tujuan Musa membuat pendedahan itu bagi memulihkan persepsi rendah umum terhadap polis. Diakuinya pula, bukanlah senang hendak membetulkan semula imej polis disebabkan belenggu yang dihadapi polis itu bukanlah baru, bahkan sudah berlarutan.

Ada tanggapan Musa sudah dirasuk politik kerana dia menyatakan tidak puas hatinya itu pada saat UMNO/BN dikecam kiri kanan menjelang PRU13 ini. Hingga ada yang merasakan dia hendak masuk politik. Ada pula kononnya, ada parti politik mempelawa dia masuk politik.

Berkali-kali ditegaskannya dia tidak akan menyertai politik, tetapi apa yang dibuatnya sekadar mahu memebaskan polis dari gangguan politik tentunya UMNO dan mahu memulihkan persepsi buruk umum terhadap polis.

Musa memang mendapat perhatian  dan sokongan masyarakat yang mahu semua perkhidmatan negara mendapat kebebasan profesional dalam menjalankan tugas masing-masing.

Ketika rencana ini ditulis belum ada reaksi rasmi kerajaan terhadap pendedahan Musa itu. Seperti sah sekarang polis dibelenggu oleh UMNO bagai persepsi kebanyakan orang bukan UMNO.

Adakah yang tidak  suka dengan belenggu itu hanya Musa saja? Semua bekas polis dan anggota polis suka mereka dibelenggu? Mungkin orang yang dibelenggu itu tidak rasa mereka dibelenggu dan kalau dibelenggupun tidak mengapa kerana ia dilakukan oleh parti kerajaan. Kalau mereka tidak merasa malu kerana setia membabi buta kepada UMNO, tetapi polis  Malaysia mesti malu kepada polis dunia yang negara masing-masing memberi kemerdekaan kepadanya berkhidmat secara profesional.

Kata Musa, bukan mudah untuk memulihkan kebebasan polis itu. Memang benar kiranya Malaysia terus dikuasa oleh UMNO. Polis jangan harap UMNO dan BN boleh mengubah nasib polis. Mereka sudah sedap pegawai-pegawai polis itu tunduk kepada orang kuat akar umbi UMNO.

Tuhan tidak akan mengubah nasib polis kiranya polis tidak mengubah nasibnya sendiri.

Musa sudah ada kesedaran itu. Tetapi dia sendiri menghadapkan supaya UMNO mengubah sikap terhadap polis. Musa kata, payah hendak mengubahnya.

Ia  tidak payah seperti yang Musa sangka. Amat senang. Dan inilah masanya maruah polis dipulihkan iaitu memerdekakannya dengan polis tidak mengundi Barisan Nasional dalam PRU13 yang sudah dekat itu.

Kalau tok nenek polis dan anak cucu polis tidak mahu polis terus dibelenggu macam lembu Kedah, hari mengundi nanti jangan undi dacing. Pastikan kotak undi pos anggota polis itu kosong untuk BN. Kerajaan menunggu tidak akan membelenggu polis.

Mari sokong Musa memerdekakan profesionalisma kepolisian!

Sebelum berjaya Putrajaya, Pakatan sudah menang di mahkamah

Mohd Sabri Said, 15 Dis 2012
BAYAN BARU: Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti PAS kena lajukan lagi larian ke Putrajaya dengan merangka aktiviti  menarik pengundi.

Penasihat DAP Kebangsaan, Karpal Singh berkata, terlalu banyak isu yang boleh dimainkan seperti kes Antantuya Shariibuu yang boleh memusnahkan harapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib kekal kuasa di Putrajaya.

Jika Najib kekal di situ tambahnya, negara pasti bangkrap dan tidak maju ke hadapan ekoran pengeluaran wang negara yang terlalu banyak ke luar negara serta pembaziran hasil ketidak kecekapan kepimpinan Malaysia.

"DAP, PKR dan PAS sudah sebati dalam perjuangan menegakan kebenarn dan keadilan.
Maka, jangan putus asa sebaliknya teruskan langkah dengan laju lagi bagi memastikan Barisan Nasional (BN) jatuh dalam piihanraya ke 13 nanti, " ujarya dalam ucapan aluan sempena Kongres ke 16 DAP Kebangsaan di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA), Bayan Baru sebentar tadi.

Sudah banyak kemenangan dikecapi ekoran serangan musuh menerusi akhbar Utusan Malaysia apabila ramai kepimpinan Pakatan Rakyat mencapai kemenangan dalam kes masing-masing.

Contohnya, Ketua Menteri Pulau,Pinang, Lim Guan Eng yang menang terhadap kes fitnah yang dilemparkan kepadanya selama ini.

Begitu juga Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Salahudin Ayub yang menang kes Bersih.

Ini bermakna tindakan pasukan Polis pada perhimpunan Bersih salah dan melanggari etika

"Sebelum mendaki Putrajaya secara sah kita telahpun menunjuk prestasi yang memberangsangkan apabila menang banyak kes mahkamah, " katanya dalam Kongres bertemakan 'Perubahan Di tanganmu'.

Selain kimpinan DAP  yang hadir ialah  Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, Naib Presiden PKR, Datuk Mansor Orhman, Setiausaha Agung PAS, Datuk Haji Mustafa Ali dan wakil parti Sosialis Rakyat Malaysia dan Badan Bukan Kerajaan ((NGO).

DAP ajak PR buat perubahan 3 serangkai

Mohd Sabri Said, 15 Dis 2012
BAYAN BARU: Pakatan Rakyat mesti menghadapi tiga cabaran utama sekiranya mahukan  mandat yang jitu daripada rakyat serta sanggup menjadi Kerajaan yang lebih baik daripada Barisan Nasional (BN) selepas pilihanraya umum nanti sesuai dengan tema 'Perubahan Ditanganmu'.

Demikian kata Setiausaha Agung, Lim Guan Eng ketika berucap dalam Ucapan Dasar Kongres Ke 16 DAP Kebangsaan di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA), Bayan Baru pagi tadi.

Menurutnya, pertama mesti memastikan Pakatan Rakyat kukuh walaupun banyak dugaan ditempuhi

Keduanya ialah pastikan kemenangan Pilihanraya Umum akan datang dan ketiga ialah untuk melahirkan sebuah negara Malaysia yang baru Pakatan Rakyat mesti mengubah langskap politik menjadi parti yang besih daripada rasuah.

Jika gagal jelasnya, bermakna Malaysia berada di tahap lama malahan boleh buruk lagi ekoran mempunyai kepimpinan yang rekodnya tidak cemerlang.

"Kita ada tiga serangkai cabaran yang perlu dibuat bersama dalam gabungan Pakatan Rakyat. Ketiga-tiganya penting untuk memastikan Barisan Nasional (BN) tumbang dan hilang kuasa, " tegasnya.

DAP jelas Lim, tetap berkongsi tanggungjawab dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Islam Se Malaysia (PAS) bagi merealisasikan impian mendaki Putra Jaya sepertimana yang tertakluk dalam Common Policy Framewok dan Buku Jingga.

DAP juga percaya semua kepimpinan semua parti dalam Pakatan Rakyat mempunyai semangat yang cukup tinggi  untuk memberikan tumpuan memenangi warga pertengahan Malaysia.


Islam


Menyentuh mengenai Islam katanya, DAP tidak menyebelahi MCA yang menyerang Islam sebaliknya mempertahankanya apabila cubaan mengaitkan dengan rasuah dan kemiskinan.

Bahkan, DAP juga mempertahankan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat terhadap pembohongan dari MCA kononya beliau merelakan lelaki Islam untuk merogol wanita bukan Islam.

"DAP mempertahankan Islam apabila MCA menyerang Islam dengan cuba mengaitkan dengan rasuah dn kemiskinan, mempertahankan Menteri Besar Kelantan dan memperbetulkan tuduhan MCA yang memperkecilkan calon wanita PAS semasa pilihanraya kecil Dun Tenang, Johor kerana enggan berjabat tangan dengan lelaki, " ujar beliau lagi.

Beliau yakin tiga serangkai itu dapat menangkis anggapan sinis golongan yang tidak senang dengan tindakan Pakatan Rakyat menentang BN secara agresif untuk menerangkan  kepada keseluruhan rakyat yang selama ini tidak senang dengan keangkuhan kepimpinan UMNO dan BN.

Rakyat juga dinasihatkan jangan terpengaruh dengan dakyat politik kotor BN yang melampau.
MCA yang tidak bermoral berganding dengan Gerakan yang tidak mempunyai keberanian ataupun pendirian manakala MIC sendiri tidak mempunyai arah tuju dan hanya memimpin dari belakang.

Ujar Lim, jalan menuju ke Putra Jaya akan menjadi mudah dengan formula baru berdasarkan kepercayaan sesama sendiri selari dengan apa yang ada dalam Buku Jingga.

"Rakyat dinasihatkan jangan sekali- kali terpengaruh dengan  ancaman dan dakyah politik yang kotor. Sebaliknya cekalkan prinsip dengan semangat baru, " katanya.

Walaupun ramai lagi masyarakat Islam dan bukan Islam mempersoalkan samada Pakatan Rakyat mampu menjalinkan permulaan ini ianya tidak menjadi masalah sebab yang penting sekarang ialah gerak kerja mesti kuat dan sehala.

Justeru itu, BN cuba menimbulkan ketakutan untuk  memastikan kekuasaan mereka terus kekal kerana kekalahan dalam pilihanraya umum nanti membuatkan mereka tidak senang duduk kerana ada antaranya akan dipenjarakan.

Waris perjuang lawan kepincangan Ketengah

Hazayani Zakaria, 15 Dis 2012
DUNGUN: Badan Bertindak Pewaris Bumi Malaysia (Waris) memberi jaminan akan terus membantu rakyat keluar dari belenggu kemiskinan akibat kepincangan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

Presidennya, Roslan Ismail (gambar) berkata banyak kepincangan yang harus diperbetul sejak  kewujudan Ketengah 20 tahun lalu.

"Waris ditubuhkan untuk bela nasib rakyat khususya di kawasan luar bandar.

"Ketengah gagal menyelesaikan masalah kemiskinan penduduk dan gagal menyediakan peluang pekerjaaan seperti yang dijanjikan," kata beliau sewaktu berucap di Himpunan Kebangkitan Rakyat di Dataran PGU Paka, dekat sini malam tadi.

Justeru beliau berjanji akan meneruskan perjuangan Waris walaupun selepas Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih Putrajaya.

"Perjuangan Waris bukan setakat ini namun akan diteruskan sehingga Pakatan Rakyat berada di Putrajaya.

"Kita sedih kerana masih terdapat penduduk Ketengah dan Kesedar tak mampu nak bayar rumah RM50 sebulan.

"Apa gunanya rancangan kemajuan yang ditubuhkan kerajaan jika akhirnya menyusahkan rakyat," katanya.

Beliau juga berkata, kerajaan melakukan pembaziran apabila menubuhkan kolej di Ketengah sedangkan pelajarnya tidak sampai 20 orang.

"Ketengah tubuhkan kolej pada 2002 tapi 2012 kita dapati bangunan berdiri tapi pelajar hanya 18 orang, pensyarah 16 orang.

"Apa sebenarnya matlamat penubuhan kolej ini sedangkan rakyat ketengah terus berada dalam paras kemiskinan," katanya di hadapan kira-kira 50,000 hadirin.

Tiada ulasan: