Khamis, 27 Disember 2012

INI BETULNYA....SESUAI KITA BERSIFAT MAKHLUK...DIHIDUPKAN DAN DIMATIKAN OLEH ALLAH...SEGALA2 DIBERI OLEH ALLAH...ITU PUN NAK LAWAN ALLAH

Jadikan mata pelajaran Agama di Malaysia subjek wajib

Harakahdaily, 27 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa, Dr Maszlee Malik mencadangkan agar Kementerian Pelajaran mengadakan subjek 'Agama-agama di Malaysia' sebagai subjek teras dan wajib ke atas semua pelajar-pelajar di Malaysia.

Pihak IPTA dan IPTS juga hendaklah mempunyai subjek tersebut juga sebagai salah satu subjek teras mereka.

Begitu juga, subjek agama Islam, perlu dihadiri semua memandangkan Islam merupakan agama rasmi Malaysia yang perlu diketahui oleh setiap rakyatnya.

Beliau mengulas kekeliruan dan sensitiviti yang timbul dalam masyarakat Malaysia sekarang ekoran isu penggunaan nama Allah.

"Pada hemat saya, isu pengunaan nama Allah di kalangan penganut Kristian di Sabah dan Sarawak telah dipolitikkan dan menemui kebuntuan akibat sikap prejudis pada kedua-dua belah pihak," katanya.

Bagi beliau, isu tersebut hanyalah simptom kepada akar permasalahan yang lebih besar, iaitu kejahilan di antara penganut agama-agama di Malaysia berkaitan agama lain.
Akibat kejahilan bersama ini, maka timbullah salah faham bersama (mutual misconception) yang pastinya menjadi ruang yang subur untuk prejudis, fitnah dan perselisihan faham, kata beliau.

"Saya juga merasakan keperluan untuk setiap ahli politik samada dari pihak BN mahupun PR untuk mempunyai integriti moral dan etika yang tinggi untuk tidak menangguk di air yang keruh di atas kejahilan bersama rakyat mengenai agama-agama di Malaysia dan sensitiviti setiap agama untuk mendapatkan miledge politik serta senjata untuk menyerang lawan politik mereka," tambahnya.

Bagi beliau, menjadi tanggung jawab setiap warga di Malaysia untuk bersama-sama menghargai kemajmukan masyarakat Malaysia dan ianya wajib disikapi sebagai kekuatan dan bukannya sebagai faktor perbalahan.

Penafian Isa perlu difahami 'sebaliknya', kata Mazlan

Harakahdaily, 27 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Kenyataan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang menafikan beliau melobi untuk jawatan pengerusi Koperasi Permodalan Felda (KPF) disifatkan sebagai 'baling batu sembunyi tangan'.

Pengerusi Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata, beliau tidak pelik dengan penafian Isa itu malah menganggapnya 'skrip lama' yang digunakan untuk menempatkan diri beliau dalam jawatan tertinggi Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV).

"Sewaktu dia 'promote' FGV, dia juga nafi bahawa dia ada kepentingan. Tapi akhirnya dia yang jadi pengerusi FGV.

"Dia juga kata tidak akan sentuh sedikitpun aset peneroka. Akhirnya dia tubuh syarikat Felda Asset Holdings yang pegang 20% kepentingan peneroka dalam FGV yang dia sendiri jadi pengerusi," kata Mazlan kepada Harakahdaily.

Justeru itu kata Mazlan, penafian oleh Isa itu perlu difahami 'sebaliknya' seperti rekod yang telah berlaku sebelum ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penafian Isa yang dilaporkan media hari ini.

Isa dalam kenyataan itu dilapor menafikan beliau pernah melobi supaya namanya dicalonkan untuk bertanding sebagai pengerusi KPF.

"Itu (penafian) stail dia (Isa). Walaupun dia cuba nafikan, tapi beranikah dia menolak bukti-bukti yang ada pada kita. Kita ada bukti," kata Mazlan lagi.

Sebelum ini, Anak mendedahkan wujud konspirasi peringkat tertinggi dipercayai untuk membolehkan Isa dilantik sebagai Pengerusi KPF bagi tujuan menyenaraikan KPF ke dalam FGV.

Konspirasi itu dakwanya bermula dengan mengarahkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), mengeluarkan surat menyatakan Mesyuarat Agung perwakilan (AGM) KPF pada 20 jun lalu tidak sah dan perlu diadakan semula.

AGM semula itu sepatutnya berlangsung pada 27 Disember iaitu hari ini namun ianya terpaksa dibatalkan ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Isnin lalu yang membenarkan permohonan KPF membatalkannya.

Morsi gesa perpaduan, pulihkan ekonomi Mesir

Terjemahan Mohamad Yahya, 27 Dis 2012
Presiden Mesir, Mohamed Morsi menggesa semua kuasa politik untuk mengambil bahagian dalam dialog kebangsaan untuk menyelesaikan ketegangan yang berlarutan dan berjanji untuk mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk memulihkan ekonomi.


Dalam ucapan pertamanya kepada rakyat Mesir sejak pelaksanaan perlembagaan baru, beliau berkata Rabu lalu bahawa beliau sedang mempertimbangkan kemungkinan perubahan kabinet dan merancang untuk memperkenalkan insentif demi menjadikan Mesir sebuah destinasi pelaburan yang lebih menarik.

"Di masa hadapan kita akan saksikan, Insya-Allah, pelancaran projek-projek baru, dan pakej insentif bagi pelabur untuk menyokong pasaran dan ekonomi Mesir," katanya dalam ucapan yang disiarkan di televisyen.

Morsi berucap selepas Majlis Syura Mesir (yang berfungsi seperti Dewan Negara Malaysia) bersidang untuk sesi pertama selepas meluluskan perlembagaan negara yang baru, tindakan pertama oleh institusi kerajaan selaras dengan dokumen yang kesahihannya masih dipersoalkan oleh pembangkang.

Majlis Syura mengadakan sesi angkat sumpah untuk 90 ahli baru yang dilantik oleh Morsi.

Piagam tersebut, yang diluluskan oleh 63.8% dalam dua pusingan referendum yang berakhir Sabtu lalu, memberikan Mahlis Syura - yang secara tradisinya tidak berkuasa - kuasa perundangan penuh sehingga pilihan raya untuk Majlis Rakyat (berfungsi seperti Dewan Rakyat di Malaysia) dipanggil dalam tempoh dua bulan.

Majlis Syura telah mengambil alih dari Morsi, yang telah memberikan dirinya kuasa untuk meluluskan undang-undang yang membawa kepada protes ganas.

Morsi menandatangani dekri menguatkuasakan piagam lewat Selasa lalu selepas pengumuman rasmi keputusan referendum yang meluluskan undang-undang asas, perlembagaan pertama Mesir sejak penggulingan bekas Presiden Hosni Mubarak.

Presiden dijangka untuk berucap kepada Majlis Syura Sabtu ini.

Majlis Syura yang didominasi golongan Islamis dijangka untuk menggubal undang-undang bagi mengawal selia pilihan raya parlimen yang akan datang. Perkara-perkara lain dalam agenda termasuk undang-undang ke atas bantahan dan media. (aljazeera.com)

Lihatlah perbezaan pemimpin BN dan PR

http://batuvskayu.blogspot.com, 27 Dis 2012

Banjir punya penangan....habis semua orang kuat politik turun padang redah "ayor bah". Maka masa inilah orang politik berlumba lumba menunjuk bakti kepada pengundi.
Cuma sini ada kelainan sikit ....
Lihatlah photo di bawah dan tak perlu saya menulis cukup sekadar gambar berbicara...


Di antara dua darjat...

Pemimpin rakyat dengan pemimpin anak bangsawan..


Pemimpin Rakyat redah "ayor bah" tetapi  pemimpin Parti Bangsawan  tengok banjir  dari awan awangan. kah kah kah......








BIAR GAMBAR BERBICARA!!!!!... PERBANDINGAN PEMIMPIN PAS/PR DAN UMNO MENINJAU MANGSA BANJIR!!!!!


Beginilah caranya pemimpin PAS/PR dan UMNO/BN meninjau/melawat mangsa banjir.

Najib Razak sekadar menjenguk melalui pesawat khas kerajaan sedangkan TGNA menaiki bot meredah berjalan kaki sambil meninjau memberikan bantuan.

Bukan nak menghina, mencaci dan mengata tetapi sekadar mengajak rakyat mencuitkan minda berfikir dan menilai...ITU SAJA.

Tanya pada diri.. pemimpin mana yang berjiwa rakyat...meresapi kepayahan rakyat.

PAS lancar tabung khas bantu mangsa banjir

Saidah Hairan, 27 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Pengerusi Lajnah kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmud bertindak pantas melancarkan tabung khas bagi membantu mangsa-mangsa banjir di tiga negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang. Tabung khas itu akan disampaikan segera kepada mangsa-mangsa banjir melalui jentera kebajikan bagi meringankan bebanan yang ditanggung akibat banjir.

Selain sumbangan kewangan lajnah kebajikan turut mengalu-alukan sumbangan makanan, pakaian, lampin pakai buang dan apa sahaja yang boleh membantu mangsa-mangsa banjir yang tinggal di penempatan sementara.

Golongan korporat, individu, NGO dan sesiapa sahaja dialu-alukan menyalurkan sumbangan kepada Tabung Khas lajnah untuk disampaikan segera kepada mangsa banjir.

Sumbangan boleh dihantar terus ke akaun Dana Kami Prihatin ke akaun Bank Islam “DANA KAMI PRIHATIN” di nombor 12113010026150 atau hubungi Haji Zainal 012-3135471.

Poskad ‘Tanya Rosmah’ dapat sambutan hangat

Harakahdaily, 27 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Poskad ‘Tanya Rosmah’ kini diterjemah ke dalam Bahasa Mandarin dan akan diedar ke seluruh negara, kata Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Lee Khai Loon.
Katanya, sambutan kempen poskad sehingga sekarang sangat menggalakkan, lapor KeadilanDaily.

Beliau berkata, orang ramai bukan sahaja menurunkan tanda tangan di atas poskad, malah mereka faham dengan isu daripada tiga soalan yang ditanyakan, dan mereka menambah sendiri soalan untuk dijawab isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor.

“Ketika edaran dibuat, ramai yang tahu tentang kempen AMK ini. Mereka ketawa dengan cara kreatif ini,” kata Khai Loon kepada KeadilanDaily.

Beliau bersama AMK Pulau Pinang turut berkempen dan mengedarkan poskad tersebut di atas Bukit Mertajam, dekat Cheruk To’ Kun sambil membawa replika poskad, Ahad lalu.

“Ia juga peluang kita berjumpa masyarakat sambil mengedar risalah ‘100 Hari Janji Pakatan Rakyat’ dan mengajak orang ramai turun ke Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Merdeka 12 Januari depan,” katanya.

Ketua Polis Tentera Syria sertai pembangkang

Terjemahan Mohamad Yahya, 27 Dis 2012
Jeneral Abdel Aziz Jassem al-Shallal (gambar) dilaporkan berkata dalam video dalam talian bahawa dia telah menyertai pembangkang.

Ketua Polis Tentera Syria telah berpaling tadah daripada kerajaan Presiden Bashar al-Assad dan menuduh tentera kerajaan telah bertukar menjadi "geng pembunuh", menurut satu sumber keselamatan dalam sebuah video dalam talian.

Dalam video yang diedarkan oleh aktivis pembangkang Rabu lalu, beliau yang berpakaian lengkap tentera berkata: "Saya, Jeneral Abdel Aziz Jassem al-Shallal, komander Polis Tentera Syria, mengumumkan bahawa saya berpaling dari tentera rejim kerajaan, untuk menyertai revolusi rakyat”.

"Pihak tentera telah menyimpang dari misi asalnya, iaitu untuk melindungi negara, dan telah berubah menjadi kumpulan pembunuh dan perosak," dakwa Shallal dalam video yang disiarkan di laman web perkongsian video, YouTube.

"Kemusnahan bandar-bandar dan kampung-kampung, dan perbuatan jenayah pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat sendiri, orang-orang awam yang tidak bersenjata, yang membuat demonstrasi jalanan meminta kebebasan" mendorong Shallal untuk menyertai pembangkang, katanya.

Pengumuman beliau dibuat ketika rejim semakin mendapat tekanan, dengan pengkalan-pengkalan kerajaan jatuh kepada serangan pemberontak berhampiran ibu kota Damsyik dan di tempat lain di seluruh negara.

Satu sumber keselamatan Syria mengesahkan pengumumam Shallal tersebut tetapi meremehkan kepentingannya, berkata bahawa Shallal akan bersara dan berpaling tadah untuk "dianggap sebagai wira".

Wartawan Al Jazeera, Mohamed Vall dari Beirut berkata: "Sejak penyertaan Perdana Menteri Syria Ogos lalu, pengumuman ini mungkin adalah yang terpenting."

"Terdapat corak pegawai kerajaan Syria cuba untuk meremehkan isu berpaling tadah. Mereka berkata beliau di ambang persaraan dan pengumuman beliau adalah tidak penting.

"Kes seperti ini biasanya berlaku apabila rejim dan pertahanannya mulai goyah," katanya. (aljazeera.com)

Pakatan Rakyat jangan gopoh ambil bola tanggung

Aspan Alias, 27 Dis 2012
Sama ada negara itu kekal sebagai sebuah negara yang aman dan sentosa buat selama-lamanya, bergantung kepada rakyatnya. Rakyatlah yang boleh membina dan rakyat jugalah yang boleh memusnahkannya. Setiap negara, apatah lagi negara yang majmuk seperti Malaysia ini, perpaduan semua kaum itu adalah ultimate dan jika kurang dari itu ia tidaklah sebuah negara yang aman untuk didiami.


Rakyat semua kaum tidak boleh menyalahkan di antara satu dengan lain kerana kewujudan kaum yang berbilang itu adalah kewujudan ciptaan Tuhan yang Maha Esa. Menyalahkan keadaan itu serupalah menyalahkan Tuhan yang Maha Pencipta. Bukankah kita dicegah dari mengeluh dan murung dengan kejadian Tuhan ini?

Jika kita akui hakikat ketuhanan ini, maka kita wajar berusaha untuk mengenali rakyat senegara yang terdiri dari semua kaum ini dan berusaha untuk menghormati dan hidup bersama-sama dengan aman dan berbaik sangka di antara satu dengan lain. Maka perjuangan untuk bersama-sama hidup dengan aman damai di antara kaum itu merupakan ibadah yang amat besar nilainya di sisi agama dan Tuhan.

Usaha ini bukannya usaha yang mudah kerana politik perkauman yang dijaja oleh setengah pihak menyebabkan tidak dapat tidak kita terpaksa akui yang rakyat masih menyebelahi satu-satu tindakan politik berdasarkan perkauman. Walaupun pada zahiriahnya pimpinan UMNO bercakap lantang tentang perpaduan kaum tetapi bagi pengikut-pengikutnya ia tetap bermain dengan isu perkauman. Tindakan saya menyertai DAP awal tahun ini telah menyebabkan banyak komen-komen dari ahli-ahli UMNO dalam blog saya membidas saya kerana mereka tidak suka saya bersama DAP kerana DAP itu kata mereka adalah parti Cina.

Banyak juga saya menerima e-mail yang membidas saya dan menganggap saya sebagai petualang kepada bangsa Melayu kerana saya menyertai parti yang mereka tuduh sebagai parti yang rasis Cina itu. Saya selalu menjawabnya dengan mudah. Saya perkatakan yang DAP sedang berusaha untuk menjadi parti multi-racial dan ia memakan masa untuk menjayakannya. Tetapi saya selalu memberitahu mereka dalam jawapan saya yang saya tidak akan lari dari berjuang untuk melihat DAP benar-benar sebagai parti yang multi-racial kerana itu adalah janii dan matlamat parti itu dan ia termaktub di dalam perlembagaan sebagai parti muli-racial.

Saya percaya DAP tidak memungkiri janji-janji ini kerana memungkiri janji itu akan membuatkan rakyat khususnya orang bukan Cina tidak mempercayai parti itu pada masa yang akan datang. Saya bersetuju dengan setengah pendapat jika DAP masih lagi mahu menjadi parti untuk orang Cina sahaja maka parti yang selayaknya disokong oleh orang Cina ialah MCA kerana MCA sesungguhnya parti chauvinis Cina. Kalau benar-benar pemimpin-pemimpin kaum Cina mahukan sebuah parti khas untuk dominasi orang Cina maka MCA lah parti yang sesuai.

Segala-galanya ini menjadi perhatian dan tumpuan rakyat terutamanya pengundi di atas pagar yang pada bila-bila masa boleh mengubah haluan dan patern pengundian dalam pilihanraya nanti. Bagi pengundi Melayu pula yang kini sedang bertambah-tambah menyokong DAP sekarang ini adalah disebabkan DAP telah menunjukan keinginannya menjadi sebuah parti multi racial dan jika mereka kedapatan yang janji-janji itu hanyalah janji-janji bohong untuk pilihanraya sahaja maka mereka lebih selesa untuk mengekalkan sokongan terhadap MCA yang sudah biasa dengan mereka. Saya begitu berkeyakinan DAP memahami isu ini dan ia bukannya satu isu yang kecil.

Orang Melayu juga sedang serius berfikir maka itulah sebabnya ramai orang Melayu termasuk ahli-ahli UMNO sendiri sedang beralih sokongan mereka dan sedang memberikan harapan dan sokongan terhadap PAS. Fenomena penghijrahan orang Melayu dari UMNO kepada PAS memang satu fenomena yang jelas dan PAS dijangka akan mendapat sokongan yang besar dalam pilihanraya kali ini dari kaum Melayu. Itulah sebabnya kita hairan bagaimana Ketua Penerangan UMNO begitu yakin yang UMNO akan dapat merampas 20 kerusi dari Pakatan Rakyat kerana penghijrahan sokongan Melayu dari UMNO kepada PAS begitu menggalakkan dan sangat memberangsangkan.

Saya telah memberikan banyak jawapan kepada persoalan ini kepada mereka yang masih was-was dengan usaha DAP itu melalui e-mail. Saya memahami yang sesiapa yang bertanya melalui e-mail dengan serius itu, adalah dari mereka yang benar-benar ingin melihat ada usaha yang bersungguh untuk menamatkan zaman politik yang dilandaskan kepada premis perkauman ini. Mana-mana pihak tidak boleh memandang ringan terhadap pandangan dan persepsi pengundi atas pagar ini kerana jumlahnya bukannya kecil.

Kata perpatah, ‘sekilas ikan di air kita tahu jantan betinanya’. Itulah sebabnya saya tidak henti-henti mengingatkan yang mana-mana pihak yang melakukan sedikit kesilapan dan boleh dibaca oleh ramai dengan mudah, maka pihak itulah yang akan kecundang di dalam pilihanraya ini.

Perkara yang paling pokok ialah tidak ada pihak yang berbohong politik yang mudah dilihat. Rakyat sedang memerhati dengan begitu rapi dan kesilapan UMNO dahulu ialah kerana permainan politik kepimpinannya yang telah dapat dibaca oleh orang ramai dan hasilnya UMNO semakin hari semakin tidak diyakini lagi.

Pilihanraya kali ini bukan seperti pilihanraya-pilihanraya yang lalu kerana ini merupakan ibu kepada semua pilihanraya. Rakyat berkehendakan perubahan dan kepada pihak yang mahu melakukan perubahan itu sendiri mesti melakukannya dengan jujur dan telus.

Asas untuk melakukan perubahan itu semakin kuat. Terpulang kepada pihak yang ingin melaksanakan perubahan itu sahaja untuk menentukan kejayaannya. Jangan melakukan kesilapan dan jangan tunjukkan keghairahan yang keterlaluan untuk mendapatkan kuasa itu.

Kesalahan bukan lagi kesalahan UMNO dan BN kerana BN telah memberikan ruang untuk Pakatan mengambil alih kuasa dengan tindakan parti pemerintah itu yang melakukan banyak kesilapan demi kesilapan setiap waktu dan masa. BN sekarang ibarat memberikan bola tanggung kepada pembangkang.

Tetapi ada kalanya bola tanggung pun tidak dapat dimanfaatkan oleh pihak yang mendapatnya semata-mata kerana kesilapan dan kelalaian sendiri. Keghairahan untuk mengambil bola tanggung itu kadang kala membawa padah. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Mendapatkan kerajaan yang adil dalam PRU13

Yahya Lampong, 27 Dis 2012

1. Allah beri petunjuk dalam kitab suci Al-Qur’an, surah An-Nissa, 4:58. Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat.

2.Perlembagaan Negara memberi kuasa, hak dan kebebasan kepada rakyat mengundi dalam pilihan raya umum untuk memilih atau menukar kerajaan. Mengundi kerajaan yang amanah, berhak dan adil. Sebaliknya, menulak kerajaan tidak amanah, berhak dan adil.

3.Kepimpinnan Perdana Menteri pertama, kedua dan ketiga, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Abdul Razak bin Datuk Hussein dan Tun Hussein Onn adalah model atau contoh kepada rakyat Malayisa, kepimpinan yang amanah, berhak dan adil. Amanah maksudnya, tidak rasuah atau salahguna kuasa, utamakan kepentingan diri, keluarga atau kroni.

Berhak maksudnya, berkualiti meritokrasi seperti Barack Obama, iaitu lebih berkebolehan berbanding dengan kepimpinan kulit puteh.

Adil maksudnya, tidak zalim atau berat sebelah apabila menetapkan hukum atau memberi bantuan kepada rakyat, tidak kira penyokong atau bukan menyokong. Kerajaan yang membeza-bezakan bantuan kepada penyokong dan bukan penyokong ialah prinsip kerajaan komunis.

1. Kepimpinan Perdana Menteri ke-empat, kelima dan ke-enam, Dr. Mahathir Mohamad, Abdullah Ahmad Badawi dan Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak menyeleweng daripada perintah Allah, dalam kitab suci Al-Qur’an surah 4:58 yang saya sebutkan tadi.

2. Kerajaan ke-empat, kelima dan ke-enam bercanggah dengan Perlembagaan Negara kerana majoriti pengundi dalam negara ialah ahli-ahli Barisan Nasional atau BN. Sisterm politik BN sama seperti sistem politik komunis. Sungguh pun pilihan raya umum diadakan tetapi kerajaan BN atau komunis tidak tertakluk kepada perubahan (not subject to regime change) kerana majoriti pengundi ialah ahli-ahli BN iaitu sama seperti prinsip kerajaan komunis.

Justeru itu, pilihan raya umum diadakan bukan untuk menukar kerajaan. Sebaliknya, pilihan raya umum diadakan ialah untuk menghalalkan pemerintahan seterusnya dan membayangkan kepada dunia, kerajaan komunis juga mengadakan pilihan raya umum seperti prinsip demokrasi.

3. Sistem politik BN yang sama seperti sistem politik komunis diamalkan selepas UMNO diharamkan dalam tahun 1987. Dr. Mahathir Mohamad tubuhkan UMNO BARU dalam tahun 1988. No. Pendaftaran UMNO BARU ialah 676/88. UMNO BARU ialah pertubuhan politik ahli-ahli.

UMNO BARU membezakan bangsa Melayu ahli-ahli UMNO BARU dan bangsa Melayu bukan ahli UMNO BARU. Justeru itu, UMNO BARU tidak sama seperti UMNO yang telah diharamkan. UMNO yang telah diharamkan, ditubuhan dalam tahun 1946. UMNO yang telah diharamkan ialah pertubuhan politik bangsa Melayu. Berikutan daripada itu, BN ialah sistem politik ahli-ahli anggota komponen.

Ahli-ahli BN ialah pengundi majoriti dalam negara. Justeru itu, sistem politik BN sama seperti sistem politik komunis. Majoriti pengundi dalam Negara komunis ialah ahli-ahli parti kerajaan komunis. Majoriti pengundi dalam Negara juga ahli-ahli BN.

Buktinya, pada 9hb September, 2010, Adnan Mansor, Setiausaha Agong BN, membuat kenyataan dalam akhbar, The New straits Times, bahawa ahli-ahli BN berjumlah 7,000,000. Dalam pilihan raya umum tahun 2008, jumlah pengundi dalam Negara ialah 10,922,139 (SPR). Justeru itu, majoriti pengundi dalam Negara ialah ahli-ahli BN. Maka tidak syak lagi bahawa BN ialah sama seperti sistem politik komunis.

Sebelum itu, Presiden UMNO, Mohd. Majib bin Tun Abdul Razak, membuat kenyataan dalam akhbar yang sama pada 28hb Mei, 2010 bahawa ahli-ahli UMNO berjumlah 3,159,484.
Allah sahaja yang mengetahui sebab Adnan Mansor dan Mohd. Najib membuat kenyataan tersebut di atas.

Pertama, sebelum itu, rakyat Malaysia tidak mengetahui bahawa BN mengamalkan sistem politik komunis atau sistem politik totalitarian (berkuasa secara total atau berkuasa mutlak).

Kedua, rakyat Malaysia tidak mengetahui bahawa ahli-ahli UMNO ialah minoriti dalam BN. Apabila ditulak ahli-ahli UMNO daripada 7,000,000, maka ahli-ahli anggota komponen bukan ahli-ahli UMNO berjumlah 3,840,516, iaitu majoriti.

Sekarang, rakyat keseluruhan nya, termasuk ahli-ahli BN bukan UMNO, sudah mengetahui bahawa sistem politik BN adalah sama seperti sistem politik kerajaan komunis, adakah rakyat dan ahli-ahli BN bukan UMNO akan mengundi BN dalam pilihan raya umum akan datang?

Rakyat keseluruhannya, termasuk ahli-ahli BN bukan UMNO adalah pengundi majoriti. Apabila pilihan raya umum ke 13 diadakan, BN akan kehilangan kuasa kerana ahli-ahli BN hanya minoriti.

Justeru itu, Dewan Rakyat belum dibubarkan sehingga kini kerana Perdana Menteri takut rakyat sudah mengetahui bahawa ahli-ahli BN ialah minoriti.

BN tidak lagi berupaya mengamalkan sistem politik komunis atau sistem politik totalitarian (berkuasa secara total seperti kerajaan komunis).

*Penulis adalah bekas timbalan menteri kerajaan pusat. Beliau meletakkan jawatan ketika PM Dr Mahathir dan baru-baru ini mengisytiharkan keluar dari Umno untuk bersama Pakatan Rakyat.

Penganjur jamin Himpunan Selamatkan Felda esok aman

Harakahdaily, 27 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Penganjur Himpunan Oren Selamatkan Felda 2.0, Gerakan Selamatkan Felda (GSF) memberi jaminan himpunan yang akan diadakan selepas solat Jumaat di hadapan Ibu Pejabat Felda di Jalan Semarak esok adalah aman.

Pengerusi Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata tujuan himpunan esok hanya mahu menyatakan bantahan terhadap Tan Sri Isa Samad dan mahu menyerahkan memorandum tuntutan kepada Pengerusi Felda itu sendiri.

Menurut beliau lagi, pihak penganjur juga telah meminta bantuan Unit Amal Dewan Pemuda PAS untuk membuat kawalan keselamatan.

"Kita memberi jaminan bahawa himpunan ini adalah aman dan jangan ada pihak buat provokasi. Jika ada provokasi, itu bukan daripada kita.

"Kita akan menempatkan seramai 300 unit amal untuk membuat kawalan keselamatan," katanya kepada Harakahdaily.

Bagi memudahkan keadaan esok katanya, Isa diharap dapat memberi kerjasama untuk menerima sendiri memorandum itu nanti.

Mazlan berkata, beliau mendapat maklumat ada kumpulan lain yang juga berpakaian sama seperti mereka akan mengadakan perhimunan serupa esok.

Bagaimanapun menurutnya, maklumat itu masih bersifat 'khabar angin' dan pihaknya sedang mendapatkan maklumat terperinci.

Mazlan yang juga AJK PAS Pusat memberitahu, pihaknya kini dalam proses persiapan terakhir menjelang himpunan itu esok.

"Kita sudah sudah menerima pengesahan dari semua parti-parti politik Pakatan Rakyat dan juga NGO yang akan bersama kita esok.

"Kita jangka esok adalah himpunan paling ramai dan beberapa pimpinan tertinggi politik dan NGO akan hadir bersama kita," katanya lagi.

PAS sebelum ini telah mengeluarkan surat kerahan rasmi kepada semua pemimpin dan ahli di seluruh negara agar hadir ke himpunan itu esok.

Himpunan esok antara lain mahu mendesak Isa meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi Felda dengan segera.

Selain itu, ianya juga bagi mendesak Kerajaan Malaysia menghentikan urus niaga dengan Israel, menghentikan campur tangan politik dalam KPF dan Felda dan mengembalikan tanah Felda Plantation kepada rakyat.

Tiada ulasan: