Khamis, 20 Disember 2012

KATA2 MAKAN DIRI...KALAU TAK SUKA MAKA SOKONG PARTI LAIN LAH....LAWAK BODOH

Penduduk kesal PAKR 12 tahun terbengkalai

Khairil Abdul Rahim, 19 Dis 2012

MARAN: Penduduk sekitar Chenor dekat sini, kesal dengan kegagalan pemaju yang dilantik kerajaan BN menyiapkan projek Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Taman Jaya Diri 2, sehingga mereka terpaksa menunggu selama 12 tahun kerana terbengkalai.


Lebih mengecewakan mereka, projek sebanyak 186 buah rumah itu seolah-olah menjadi umpan kerana setiap kali menjelang pilihan raya umum (PRU), pihak kerajaan akan memanggil pemohon untuk ditemuduga.

Menurut seorang pemohon yang enggan disiarkan namanya, tapak perumahan berkenaan mula disodok sebaik selesai PRU 1999 dan beliau telah dua kali dipanggil temuduga iaitu sebelum PRU 2004 dan PRU 2008.

“Saya pernah diberitahu oleh pihak Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) bahawa perumahan tersebut sudah ada pemiliknya tetapi pihak pemaju tidak menghantarnya untuk proses pinjaman di bank kerana rumah masih gagal disiapkan.

“Pada awalnya kami rumah kembar kos rendah ini ditawarkan dengan harga RM35 ribu, tetapi saya yakin jika perjanjian dibuat nanti kami tidak akan dapat lagi harga itu... itulah yang ruginya bila terbengkalai,” katanya.

Beliau berkata, akibat terbengkalai kebanyakan dinding rumah-rumah di situ telah banyak yang retak, tingkap dan longkang dipecahkan dan semak samun mulai memasuki rumah.

Projek PAKR itu dimajukan oleh syarikat J & S Holding Sdn Bhd (dengan kos sendiri) di bawah ‘projek silang’ Kerajaan Negeri Pahang di mana kerajaan menukar projek tersebut dengan tanah seluas 65 ekar di Mukim Bukit Segumpal sebagai anugerah.

Rumah memiliki dua bilik tidur itu dibuka kepada warga Chenor yang layak dan difahamkan, lebih 500 pemohon ditemuduga pada setiap kali.

Sementara itu, dalam lawatan kami ke tapak projek, terdapat beberapa buah jentera diletakkan di situ untuk menunjukkan kerja-kerja sedang berjalan.

Bagaimanapun dakwa seorang penduduk, mereka tidak mahu tertipu lagi, kerana setiap kali menjelang PRU begitulah keadaannya. Tetapi selepas BN menang semula, projek tersebut kembali ditinggalkan.

“Yang kami kesalkan kenapa kerajaan sendiri membisu seribu bahasa, kenapa tidak didesak pemaju supaya segerakan projek jika itu jika benar-benar mengamalkan slogan rakyat didahulukan?,” soalnya.

Sementara itu bekas Ketua Kampung Awah Md Yusoh Mohd Zin, 78, ketika ditemui, mengesahkan tanah yang diambil oleh kerajaan negeri seluas 65 ekar di Kampung Awah diberikan kepada pemaju perumahan berkenaan merupakan tanah berkelompok milik JKKK Kampung Awah dan Belia kampung berkenaan.

Dalam pada itu Penyelaras Dewan Undangan Negeri PAS (Dun) Chenor, Ramli Abdul Rahman, berkata sepatutnya kerajaan negeri mengambil tindakan kepada pemaju yang telah dilantik kerana syarikat tersebut telah diberi tanah.

“Dalam keadaan seperti ini kerajaan negeri wajar bertindak termasuk memberi suntikan wang jika pemaju berkenaan tidak mampu lagi kerana rumah berkenaan akan dijual kepada pemohon, bukannya diberi percuma.

“Sepatutnya sebagai kerajaan yang prihatin, tak payahlah nak berkira sangat dengan rakyat. Kalau boleh habiskan wang untuk projek membazir lain, kenapa tidak untuk rakyat

“Sekarang ini orang Chenor rugi kerana rumah yang sepatutnya boleh dimiliki 186 keluarga untuk tempat berteduh tak siap. Manakala orang Kampung Awah pula rugi kerana tanah mereka diambil walaupun tanah itu pada asalnya milik mereka,” katanya.

Ramli turut meminta pihak berkuasa memeriksa dan disiasat dahulu perumahan tersebut selama ada selamat atau tidak sebelum diberikan hak milik kerana beliau difahamkan sudah banyak dinding yang sudah retak.

Fathul Bari perlu rujuk buku 'Thawrah Sha'ab'

Salmiyah Harun, 19 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) meminta Ulama Muda Umno Fathul Bari Mat Jahaya merujuk semula tulisan Dr Yusuf Al-Qaradhawi di dalam sebuah buku yang bertajuk 'Thawrah Sha'ab', sebelum melemparkan tuduhan  beliau mempunyai ideologi Khawarij.

Presiden Abim Amidi Abd Rahman berkata tulisan Yusuf tersebut turut menjawab apa yang cuba dimainkan oleh Ulama Muda Umno itu.

"Tulisan beliau turut menjelaskan kebangkitan rakyat yang dimaksudkan mempunyai ciri-ciri tersendiri, dan Fathul Bari patut rujuk buku tersebut," katanya.

Buku berkenaan diterjemahkan oleh Abim di mana ia mengumpul semua pandangan Yusuf Al-Qaradhawi terhadap kebangkitan rakyat Mesir.

Malah katanya, buku tersebut turut menggambarkan bagaimana pemikiran Yusuf dalam memahamkan umat Islam terhadap fikh kebangkitan, termasuk menyenaraikan ciri-ciri pemerintahan yang adil.

"Beliau juga memberi pencerahan bagaimana tunjuk perasaan yang dituntut, di mana letakkanya hukum dibolehkan unjuk perasaan dan demonstrasi," katanya kepada Harakahdaily.

Amidi tidak menolak kemungkinan Umno BN bimbang akan kebangkitan rakyat negara ini sebab itulah bermacam-macam label cuba dilemparkan kepada ulama tersohor itu.

Sehubungan itu, Abim akan mempergiatkan siri video rakaman Yusuf yang menyampaikan mesej kepada belia Islam di negara ini.

Justeru katanya, Fathul Bari harus baca dan tengok buku tersebut dan beliau digalakkan berbincang dengan Yusuf Al-Qaradhawi jika Ulama Muda Umno itu tidak bersetuju.

Sebelum ini, video Fathul Bari menyatakan pemikiran Yusuf mempunyai nilai-nilai pendukung Khawarij, yang tersebar dalam laman Youtube sejak beberapa bulan yang lalu dan kini sedang hebat dikongsi oleh pengguna laman sosial Facebook.


Bantah Awang Adek, R himpun junjung titah Sultan

Harakahdaily, 19 Dis 2012

KUALA LUMPUR: Gabungan Tuntut Royalti Petroleum, Pendaratan Minyak & Gas Kelantan atau 'R', akan mengadakan himpunan 'Menjunjung Titah Tuanku' pada Jumaat, 21 Disember ini.

Himpunan tersebut sebagai tanda membantah kenyataan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr. Awang Adek Hussain yang mengatakan pusat tidak pernah berjanji untuk mendaratkan gas yang diperolehi di telaga di perairan antara sempadan Malaysia dan Thailand ke Bachok.

Presiden 'R' Nazri Deraman berkata, himpunan itu akan diadakan sejurus solat Jumaat di perkarangan Masjid Telipot, berhampiran Istana Sultan Muhammad V.

"Program ini bagi menyatakan solidariti rakyat kepada Sultan Muhammad V.

"Semua rakyat yang sayang kepada Sultan dijemput hadir beramai-ramai Jumaat ini dengan berpakaian merah iaitu warna rasmi atau memakai baju "R"," katanya.

Menurut beliau, kenyataan Awang Adek itu sebenarnya jauh meleset dari isu sebenar yang dititahkan Sultan Kelantan ketika merasmikan sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) pada 1 Mac lalu.

Baginda antara lain bertitah bahawa gas asli yang terdapat di Telaga Bumi Selatan dan Telaga Surya Selatan (blok PM-301) sudah mulai dikeluarkan.

Sehubungan itu baginda berharap gas tersebut dapat didaratkan di negeri Kelantan yang telah menyediakan zon indutri petroleum di Bachok seluas 4,000 ekar sejak tahun 1990-an lagi.

Mengulas lanjut Nazri berkata, Tuanku Sultan secara jelas tidak pernah bertitah tentang isu Pendaratan Gas yang diperolehi dalam Blok MTJDA jauh sekali berkenaan minyak yang tidak pernah ditemui di lokasi tersebut.

"Pihak R Malaysia dengan tegas mendesak Datuk Dr. Awang Adek Hussain selaku Timbalan Menteri Kewangan menjunjung Titah dan merealisasikan harapan KDYMM Tuanku Sultan Kelantan agar Gas yang dikeluarkan didalam Blok PM-301 didaratkan di Negeri Kelantan.

"Seharusnya difahami bahawa ianya adalah sesuatu yang boleh dan bukan mustahil untuk dilakukan sekiranya ada usaha, kerjasama dan komitmen yang tinggi di antara pihak kerajaan Pusat dan kerajaan negeri," katanya.

Beku saman dedah pelaksanaan AES pincang

Muhammad Faizal, 19 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Pengumuman pembekuan prosiding kes saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang dibuat oleh Peguam Negara semalam memberi peluang kepada Pakatan Rakyat untuk terus mendedahkan kepincangan perlaksanaan sistem itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) Kedah, Mohd Firdaus Jaafar berkata, Pakatan Rakyat akan mengkaji semula pelaksanaan AES setelah mengambil alih pemerintahan di Putrajaya selepas pilihraya umum nanti.

"Melihat kepada apa yang telah kita dedahkan sebelum ini berkaitan dengan AES bersama-sama bukti yang jelas menunjukkan banyak kelemahan dalam pelaksanaannya.

"Apatah lagi kenyataan Peguam Negara sebelum ini, saya pasti AES akan dikaji semula apabila Pakatan Rakyat memenangi pilihanraya nanti," jelas Ahli Parlimen Jerai itu.

Firdaus menegaskan, AES yang dilakukan secara tergesa-gesa sebenarnya bukan untuk kebaikan rakyat tetapi lebih kepada kepentingan kroni dalam mengaut keuntungan.

Tambah beliau, ahli parlimen BN yang sebelum ini secara tergesa-gesa meluluskan belanjawaan bagi Kementerian Pengangkutan terutama dalam isu AES membuktikan mereka tidak mengkaji secara menyeluruh kelemahan yang wujud.

Malah kata Firdaus, ahli parlimen BN lebih dilihat sebagai akur kepada arahan pihak tertentu agar peruntukan yang diberikan kepada kementerian diluluskan dengan segera khususnya untuk pelaksanaan AES.

"Kita sudah jelaskan tetapi mereka dari kalangan ahli parlimen BN tidak mahu mengakuinya dan sekarang membuktikan bahawa AES ini jelas wujud kepincangan dan kekeliruan dalam pelaksanaannya," tambah beliau lagi.

Pejabat Peguam Negara sebelum  ini mengarahkan supaya semua prosiding kes saman melalui AES digantung.

Tindakan tersebut diambil ekoran kebimbangan yang dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu mengenai undang-undang dan aspek teknikal lain.

Gantung saman: Bukti Pakatan halang AES betul

Harakahdaily, 19 Dis 2012
GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, penggantungan dakwaan ke atas pemandu yang dikenakan dengan 300,000 saman trafik di bawah AES membuktikan keputusan kerajaan negeri menjadi negeri pertama di Malaysia yang menghalang pemasangan AES adalah wajar dan benar.
Justeru, ujarnya Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail seharusnya tidak hanya menarik balik dakwaan terhadap individu yang telah dihukum melalui Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) tetapi memulangkan semua wang yang telah dibayar oleh mereka yang sudah menyelesaikan saman tersebut.

Hampir 300,000 saman telah dikeluarkan sejak kamera AES 1Malaysia dipasang di 14 lokasi pada 23 September 2012.

Lebih banyak saman akan dikeluarkan apabila baki 817 lokasi dipasang tahun depan, menjadikan jumlah keseluruhannya 831 kamera di seluruh negara.

Guan Eng menambah, walaupun Abdul Gani cuba untuk mengurangkan tamparan hebat kepada BN dan kredibilti Kerajaan Persekutuan dengan mendakwa bahawa langkah itu berpunca daripada kebimbangan orang ramai ke atas ‘undang-undang dan ciri-ciri teknikal lain’ yang berkaitan dengan sistem, ia jelas menunjukkan bahawa AES telah hilang kredibilti awam.

“Seharusnya skim kotor ini, yang membenarkan 2 syarikat kroni BN untuk mengaut keuntungan berdasarkan komisen daripada setiap saman trafik, dan yang kononnya adalah untuk mengurangkan kemalangan, dihentikan tanpa melengahkan masa.

“Kenyataan Abdul Gani di sisi undang-undang adalah betul bahawa saman AES yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan masih sah,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Oleh itu, katanya Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha harus menggunakan kuasanya untuk membatalkan saman JPJ bagi menebus kembali sokongan beliau terhadap AES.

“Sekiranya Kong tidak berbuat demikian, beliau harus meletakkan jawatan kerana menjadi penyokong AES, dengan cuba merosakkan nama baik Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang kononnya menggalakkan kemalangan berlaku,” katanya.

Justeru, ujarnya Kerajaan BN seharusnya tidak hanya menarik balik tuntutan saman di bawah Sistem Penguatkuasa Automatik (AES) tetapi mengaku bahawa PR adalah betul dalam memansuhkan AES dan membayar balik semua saman yang telah dibayar atas kemarahan rakyat terhadap projek kroni.

Najib perlu jelaskan RM196.8b aliran wang haram

Harakahdaily, 19 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menegaskan Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak bertanggungjawab menjelaskan bagaimana hampir RM200 bilion wang kotor mengalir keluar dari negara ini pada tahun 2010 yang meletakkan negara ini di tempat kedua di belakang kuasa ekonomi Asia, China, dalam pengaliran modal global.

“Jika beliau tidak dapat menjelaskan kedudukan isu dengan telus dan jujur dan tidak mampu mengambil  tindakan mengatasi jenayah ini maka menteri tersebut wajar meletakkan jawatan,” kata Setiausaha Agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar).

Ini, ujarnya adalah suatu kepincangan yang sangat besar untuk diketepikan tanpa pertanggungjawapan  penuh daripada Menteri Kewangan.

Tambahnya, di peringkat antarabangsa aliran wang haram adalah suatu jenayah serius yang tidak boleh dipandang ringan.

Beliau menyatakan demikian dalam satu kenyataan ekoran laporan badan pemantau - Global Financial Integrity (GFI) yang berpangkalan di Washington - dalam laporan terbarunya yang menjejaki pengaliran modal, berkata tahap pengaliran wang haram dari Malaysia itu pada tahun 2010 adalah yang tertinggi dalam tempoh 10 tahun.


Laporan terbaru mendapati lonjakan dramatik pengaliran modal di Malaysia - dari AS$30.41 bilion (RM93 bilion) pada tahun 2009 kepada AS$64.38  bilion (RM196.8 bilion) pada tahun 2010.

Pemantau kewangan global itu telah memberi amaran bahawa pengaliran modal di Malaysia adalah "pada skala yang dilihat di beberapa negara Asia".

Laporan GFI - 'Aliran Kewangan Haram Dari Negara Membangun: 2001-2010' -  dihasilkan bersama oleh ahli ekonomi GFI, Sarah Freitas dan Dev Kar, yang merupakan bekas ahli ekonomi kanan di Tabung Kewangan Antarabangsa  (IMF).
Menurut GFI, bagi aliran keluar wang haram terkumpul sepanjang lebih 10 tahun - dari 2001-2010 - Malaysia berada di kedudukan ke-3 di dunia, selepas China dan Mexico.

Jumlah anggaran untuk tempoh 10 tahun bagi Malaysia ialah AS$285 bilion (RM871.4 bilion), manakala bagi China ialah AS$2,740 bilion dan Mexico, AS$476 bilion.

“Ekonomi negara kerugian pada tahap berbilion ringgit jika isu ini tidak diatasi dengan tegas bukan sahaja akan mengakibatkan negara kehilangan pendapatan yang sangat tinggi dari cukai malah integriti pengurusan kewangan negara dilihat sangat lemah dan wang negara akan terjejas teruk bila aliran keluar wang negara berlaku tanpa kawalan,” kata Mohd Azmi lagi.

Sementara, ujar beliau disedari bahawa taktik mengeluarkan wang secara haram  sangat banyak dan canggih tetapi persoalannya kenapa aktiviti haram itu menjadi sangat mudah dilakukan di Malaysia.

“Adakah ini membayangkan polisi dan undang-undang mengenai pengurusan kewangan negara mempunyai banyak kelemahan untuk dibolosi atau ada konspirasi di peringkat tinggi wujud yang menyebabkan  hal ini boleh berlaku dengan mudah?” tanya beliau.

Beliau berkata, Malaysia telah berhadapan dengan krisis besar dalam kewangan negara pada tahun 1997 apabila berlaku aliran keluar kewangan dengan sangat besar disebabkan apa yang sebut sebagai capital flight.

“Kini kita berhadapan dengan pengeluaran wang keluar dari Malaysia secara haram,” ujarnya


Ini, katanya menunjukkan tahap pengawasan sangat lemah dan begitu mudah untuk bolos keluar.

“Kami mempersoalkan apakah agensi yang bertanggungjawab memantau jenayah wang haram yang mengalir keluar dan masuk dalam negara ini tidak menjalankan tugas dengan berkesan.
“Kami berpendapat Menteri Kewangan harus mengambil tanggungjawab penuh terhadap isu ini. Ia melambangkan kelemahan dan kepincangan yang amat ketara yang melibatkan masa depan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata, jika menteri berkenaan tidak boleh mengatasi masalah itu maka beliau perlu melepaskan jawatan dan diserah kepada seorang yang lebih kompiten dan berkelayakan untuk menguruskan kewangan negara.

Bajet 2013 Perak tiada usaha tambah pendapatan

Muhammad Faeez Azahar, 19 Dis 2012
IPOH: Zainuddin Mohd Yusof (PAS-Lubok Merbau) menjelaskan bahawa kerajaan berhutang dengan tujuan untuk memperluas sumber adalah satu kebaikan.
Menurutnya, kerajaan tidak sepatutnya berhutang untuk menyelesaikan serta membiayai kos operasi dan pembangunan negeri.

Bercakap ketika membahaskan Bajet 2013 Kerajaan Negeri Perak, mantan Exco kerajaan negeri itu menjelaskan, bajet pada kali ini hanya membelanjakan untuk menyelesaikan hutang yang sedia ada tanpa memikirkan kaedah menambah pendapatan negeri.

“Bajet sebenarnya adalah bagaimana untuk kita perkasakan ekonomi sedia ada serta kaedah untuk mewujudkan kekayaan hasil negeri bagi mengupayakan masyarakat di negeri ini,” jelasnya.

Zainuddin menambah, nisbah Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan hutang negeri tidak boleh lebih 55 peratus.

“Dakwaan hutang itu salah sesekali tidak betul jika tujuan berhutang adalah untuk proses melipat gandakan kekayaan dan sumber negeri,” tegasnya.

Dewan Undangan Negeri Perak (Dun) hari ini bersidang untuk hari kedua dan Adun Pakatan Rakyat mengambil peluang untuk membahas bajet serta membawa suara rakyat di kawasan-kawasan mereka.

13 Mei: Polis ambil keterangan Pengarang Berita Harakahdaily

Harakahdaily, 19 Dis 2012



KUALA LUMPUR:

KUALA LUMPUR: Pengarang Berita Harakahdaily, Nazri Abdullah diambil keterangan oleh polis ekoran laporan ulasan terhadap kenyataan Shahrizat Abdul Jalil yang khuatir tragedi 13 Mei 1969 berulang jika Umno tidak lagi berkuasa.

ASP Chua Wee Seong dari IPD Dang Wangi mengambil keterangan beliau di pejabat Harakahdaily, di sini kira-kira 40 minit bermula jam 12.10 tengah hari.

Sebelum ini, polis mengambil keterangan dari Ketua Pengarang Harakahdaily, Zulkifli Sulong.

Ia berkaitan dengan laporan Harakahdaily yang melaporkan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar  mengarahkan semua peringkat PAS membuat laporan polis terhadap ucapan Shahrizat di PAU 2012 baru-baru ini.

Erdoğan akan temui Obama bincang hubungan dua hala

Terjemahan Mohamad Yahya, 19 Dis 2012
Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdoğan merancang untuk bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ketika lawatan kerja ke Amerika Syarikat pada tahun hadapan, lapor sumber rasmi Turki.

Bercakap dengan syarat namanya tidak disiarkan, pegawai kerajaan tersebut menyatakan bahawa mesyuarat berkenaan telah dibincangkan semasa perbualan telefon terakhir antara kedua-dua pemimpin ketika Erdoğan mengucapkan tahniah kepada Obama di atas pelantikan semula beliau sebagai presiden untuk penggal kedua.

Walau bagaimanapun, pegawai kerajaan tersebut menyatakan jadual untuk mesyuarat itu masih belum ditentukan, dan menambah bahawa isu-isu serantau serta hubungan dua hala akan menjadi agenda terpenting perbincangan berkenaan.

Sementara itu, laporan-laporan Turki menyatakan Selasa lalu bahawa mesyuarat Erdoğan dengan Obama di Rumah Putih akan diadakan pada bulan Februari dan akan memberi tumpuan kepada masalah Turki menghadapi isu keganasan.

Erdoğan dijangka akan meminta sokongan Presiden untuk projek kerajaan baru untuk menghapuskan keganasan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang melanda Turki, yang secara rasmi dipanggil Perpaduan Kebangsaan dan Projek Persaudaraan.

Lewat September lalu, Erdoğan membatalkan perjalanan yang dirancang ke Amerika Syarikat di mana beliau dijadualkan menghadiri Perhimpunan Agung PBB yang turut membincangkan isu krisis di Syria.

Pada masa tersebut, Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) menyatakan bahawa Perdana Menteri telah membatalkan perjalanan beliau kerana kongres parti yang dijadualkan pada 30 September, dan kerana jadual kerja yang padat.

Walau bagaimanapun, terdapat spekulasi bahawa antara faktor Erdoğan enggan meninggalkan Turki adalah kerana pertambahan serangan PKK yang mengakibatkan puluhan anggota polis dan tentera Turki telah terbunuh dalam serangan PKK. (todayszaman.com)

Pelaksanaan AES: Peguam Negara patut letak jawatan

Muhammad Faizal, 19 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Penasihat Undang-undang Kempen Anti Saman Ekor (Kase), Zulhazmi Shariff menggesa Peguam Negara, Tan Sti Abdul Gani Patail segera meletak jawatan kerana gagal memberi nasihat dari sudut perundangan berhubung pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Beliau yang dihubungi menjelaskan kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Peguan Negara yang mengarahkan semua prosiding kes saman melalui AES digantung jelas membuktikan pelaksanaan tergesa-gesa sebelum ini hanyalah sekadar untuk mengaut keuntungan semata-mata.

"Melihat kepada kenyataan Peguam Negara semalam membuktikan pelaksanaan AES ini tidak dirujuk sepenuhnya melalui sudut perundangan.

"Malah ia juga menunjukkan kegagalan Peguam Negara menasihati kerajaan berhubung tindakan sewajarnya diambil atas pelaksanaannya," jelasnya kepada Harakahdaily.

Tambahnya lagi, Peguam Negara perlu bertanggungjawab sepenuhnya dan segera meletak jawatan kerana telah gagal menjalankan tugas sebagai orang yang bertanggungjawab dari sudut perundangan sehinggakan prosiding kes saman ditangguhkan.

"Sebelum ini kita telah banyak kali menyuarakan kepincangan dalam pelaksanaan AES dan perkara ini terbukti berlaku apabila mahkamah menangguhkan semua prosiding.

"Selain Peguam Negara perlu meletak jawatan, kerajaan juga perlu membatalkan kesemua saman yang dikeluarkan serta memulangkan kembali duit yang telah dibayar oleh pemandu atas kesalahan yang mereka lakukan melalui saman AES," tambah beliau.

Kata beliau, kelemahan projek AES itu juga turut dapat diketahui jika kerajaan sanggup mendedahkan perjanjian yang dibuat antara syarikat pengendali dengan pihak kerajaan.

Sebelum ini, Pejabat Peguam Negara hari ini mengarahkan supaya semua prosiding kes saman melalui Sistem Penguatkuasan Automatik (AES) digantung.

Dalam satu kenyataan petang semalam, ia bagaimanapun menegaskan bahawa saman melalui AES yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah sah.

Menurut belian ekoran kebimbangan yang dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu mengenai undang-undang dan aspek teknikal lain.

Maka Pejabat Peguam Negara telah memutuskan untuk mengkaji perkara itu dan mengarahkan semua prosiding ditangguhkan sehingga kebimbangan tersebut ditangani.
MB Perak nafi beri tanah 14,000 hektar
Wartawan Sinar Harian
19 Disember 2012
zambry
$entry.content.caption.value
IPOH – Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menafikan dakwaan di laman Twitter milik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Panjang, Datuk Seri  Mohammad Nizar Jamaludin bahawa beliau memberi kelulusan tanah seluas 14,000 hektar kepada sebuah syarikat.
 Menurutnya, kenyataan Mohammad Nizar itu merupakan satu tuduhan serius dan meminta ahli politik itu menghentikan pembohongan tersebut.
“Beliau mengeluarkan kenyataan yang berunsurkan penipuan dan tanpa segan silu atau rasa bersalah menghebahkan perkara seumpama itu dan seolah-olah telah menjadi sebahagian daripada kehidupan, suka cakap berbohong serta suka memutarbelitkan kenyataan.
 “Kalau hanya berdebat di dalam dewan untuk mendapatkan penjelasan tak apa tetapi ini disambungkan pula kepada Twitter dan ini sikap yang tidak profesional,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sisi sidang Dun, hari ini,
Zambry berkata,  Mohammad Nizar sepatutnya meminta penjelasan di Dun dan ia merupakan medium terbaik untuk mendapatkan jawapan tidak mengeluarkan kenyataan di Twitter.
“Adakah dia tak fikir bila dia tweet ia akan dibaca oleh semua orang dan dia telah menyebarkan lagi perkara yang telah diputar belitkan.
“Tuduhan yang dibuat itu pernah ditimbulkan tiga tahun lalu dan ia tidak benar sama sekali malah kita telah jelaskan beberapa kali tetapi dimainkan semula kerana pilihan raya dah dekat,” katanya.
 Menteri Besar turut membidas Mohammad Nizar yang berterusan menimbulkan isu syarikat Vale yang telah dibangkitkan beberapa kali sebelum ini.
Asri: 'Isu Amanat Hadi harus dihentikan'
HASLINA KAMALUDIN
19 Disember 2012
DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
SHAH ALAM – Sambil menyifatkan isu Amanat Haji Hadi sebagai "kisah lama", bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, adalah lebih baik sekiranya Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat penarikan secara rasmi amanat yang pernah diberikan kepada ahli Pas lebih tiga dekad lalu.

Menurutnya, amanat yang berbunyi Umno itu kafir diungkapkan Hadi sewaktu angin kebangkitan Islam kira-kira 30 tahun lalu.
“Sungguhpun ahli Pas hari ini sudah tidak mengamalkan amanat tersebut, tetapi Hadi wajar membuat penarikan semula sebagai pencerahan kepada masyarakat.

“Ini perkara lama. Amanat tersebut diungkapkan ketika zaman muda beliau (Hadi). Ketika itu angin kebangkitan Islam mempengaruhi segenap pemuda ditambah dengan ketegangan sistem Perlembagaan yang menjadi teras negara ini,” katanya kepada Sinar Harian mengulas gesaan dua mufti agar Hadi menarik balik amanat beliau.

Katanya, perkara sama turut berlaku kepada ramai tokoh-tokoh pemimpin muda pada ketika itu.
“Pas sekarang sudah lain. Saya melihat kepimpinan hari ini sudah tahu hala tuju perjuangan mereka. Hadi juga sudah bertemu dengan pemimpin parti lain termasuk Umno.

“Jadi, ahli parti itu sudah boleh mengagak dan tahu amanat lama sudah tidak ada lagi,” katanya.

Menurutnya, penggabungan Pas bersama Pakatan Rakyat (PR) juga memperlihatkan parti itu semakin realistik dalam perjuangan politik mereka.

“Jika dapat dibuktikan, masih wujud ahli yang berpegang teguh dengan amanat seumpama itu, bermakna Hadi perlu tampil membuat penarikan semula dengan segera,” katanya.
Tambah Asri, isu lama ini seharusnya tidak lagi dibangkitkan kerana ia akan mengundang pelbagai perkara lain yang boleh mendatangkan kontroversi.
“Seharusnya ia dihentikan. Jika tidak, akan muncul macam-macam lagi termasuk isu 13 Mei. Tutup buku lama.

“Semua pihak perlu melihat ke depan bukan membongkar kisah lama lagi. Ia sudah tidak relevan lagi,” katanya.
Amanat 1981: Nik Aziz pertahan Hadi Awang
JAMILAH HAMZAH
19 Disember 2012
Nik Aziz
Nik Aziz
SHAH ALAM - Mursyidul Am Pas, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat membidas mufti-mufti yang mendesak Presidennya, Datuk Abdul Hadi Awang menarik balik "Amanat Haji Hadi" sambil menegaskan mufti tidak harus "bermain politik."

Menurutnya, Presiden Pas memiliki ilmu yang lebih tinggi berbanding mufti kerana mempunyai kelulusan Madinah yang cemerlang.

Sehubungan itu katanya, para mufti tidak harus menganggap Hadi tidak mengetahui hukum-hakam agama Islam semasa mengeluarkan amanat itu.

"Saya membaca kenyataan beberapa orang mufti yang mendesak agar Presiden Pas menarik balik apa yang didakwa sebagai Amanat Haji Hadi.
"Saya kira, ilmu yang dimiliki oleh Presiden Pas tidak lebih rendah dari ilmu yang dimiliki oleh para mufti, bahkan beliau merupakan lulusan Madinah yang cemerlang.

"Jadi saya menyeru kepada para mufti, jangan beranggapan Presiden Pas sebagai orang yang tidak tahu hukum hakam," kata beliau dalam reaksinya diperoleh dari laman sosial Facebook.
Kelmarin, dua orang mufti termasuk Tan Sri Harussani Zakaria menggesa Abdul Hadi  menarik balik amanat mendakwa Umno kafir, yang dikeluarkan lebih tiga dekad lalu.

Mengulas lanjut, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, mufti boleh berbincang dengan cara yang elok dan tidak perlu bermain politik.

"Mufti boleh berbincang jangan bermain politik partisan di dalam jubah mufti," katanya.

Beliau juga mengingatkan mufti supaya tidak menjual harga seorang mufti sehingga menjadikannya "murah".

"Jangan jual harga mufti dengan murah...," katanya.
Abby akan bantu kempen PRU13
Wartawan Sinar Harian
19 Disember 2012
Abby Abadi
Abby Abadi
KANGAR - Bekas pelakon popular drama bersiri Gerak Khas, Abby Abadi berjanji akan membantu calon Pas berkempen dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Saya sanggup turun bersama Muslimat Pas sebagai perayu undi di seluruh pelosok negara pada PRU13 nanti.

“Kami cukup bersedia untuk sama-sama menggempur pihak lawan pada kempen pilihan raya nanti untuk merayu undi,” katanya ketika menyertai perhimpunan kebangkitan rakyat peringkat negeri di dataran Kompleks Pas Perlis di Jalan Kampung Pondok di sini, malam kelmarin.

Kira-kira 4,000 ahli Pas dan PR menghadiri program itu.

Abby atau nama sebenar Arbaiyah Abdul Manan berkata, beberapa rakan artis lain akan bersamanya tidak lama lagi untuk memberi sokongan kepada PR.

Sungguhpun mengakui dirinya adalah dari keluarga penyokong Barisan Nasional (BN) bahkan ayah dan ibunya ialah orang Umno tetapi hatinya lebih terbuka untuk memilih Pas kerana ada hikmah  di sebaliknya.

“Saya ingin membina rumah di syurga,” katanya sambil menyifatkan dirinya begitu tenang setelah menyertai Pas.
Abby menyifatkan penyertaannya dalam Pas sebagai jihad dalam kehidupannya setelah meninggalkan dunia lakonan.

“Saya rasa begitu bahagia sebagai seorang Muslimah yang akan meneruskan perjuangan mencari kebenaran dan keadilan bersama parti pilihan,” katanya.
Pilih BN jika anda mahu saya, kata Najib

16 Disember 2012
SANDAKAN - Datuk Seri Najib Tun Razak berikrar akan terus bekerja keras untuk rakyat, terutama generasi muda yang merupakan masa depan negara.
 
Perdana Menteri berkata adalah penting bagi kerajaan menghulurkan teraju kepimpinan negara bila negara telah maju dan makmur.
 
"Terima kasih kerana percaya kepada saya dan saya harap anda akan terus menyokong Barisan Nasional.
 
"Kerajaan amat serius dalam menarik penglibatan belia kerana anda akan menjadi pemimpin negara kita satu hari nanti," kata Najib kepada peminat setianya yang berhubung dengan beliau menerusi Facebook yang dipanggil Ah Jib Gor, yang dalam bahasa Mandarin bererti abang Najib, di sini hari ini.
 
Najib berharap belia tidak melakukan kesilapan bila memilih seorang perdana menteri dalam pilihan raya umum akan datang.
      
"Tolong sokong BN jika anda masih mahukan saya pada kedudukan saya sekarang atau anda akan mendapat Ah Jib Gor atau abang yang salah," kata beliau sambil disambut dengan sorakan 'Ah Jib Gor' daripada peminatnya.
 
Najib, yang turut menyampaikan sijil keahlian kelab, berharap 300-anggota kelab itu di Sandakan, yang dilancarkan pada September, akan bertambah kukuh.  - Bernama

Tiada ulasan: