Rabu, 21 Disember 2011

NI KESAN...BILA KITA SERAH ORANG YANG TAK AMANAH..JIKA BENAR PENYALAHAN GUNA DANA YANG DIBERI..HUKUM AKHIRAT MENUNGGU

Written by Harakahdaily

SHAH ALAM, 20 Dis: Pakatan Rakyat (PR) mengutuk sekeras-kerasnya pembohongan yang disebarluaskan oleh pihak tertentu bahawa DAP sedang merancang untuk mengambil kuasa Menteri Besar Selangor dengan meletakkan calon Melayu di kerusi majoriti Melayu.

“Kita melihat ini sebagai satu usaha terdesak Umno khususnya untuk menakut-nakutkan orang Melayu supaya tidak menyokong calon-calon PR dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti,” kata Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman (gambar) pada sidang media di pejabat Ahli Parlimen Shah Alam, di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Pengerusi DAP negeri, Teresa Kok Suh Sim dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Persoalan jawatan Menteri Besar Selangor tidak pernah timbul kerana PR berpuas hati dengan prestasi Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan tiada apa-apa rancangan untuk menukarnya.

“Kami yakin bahawa melalui kerjasama dan semangat saling sokong menyokong yang ditunjukkan selama ini, prestasi Selangor di bawah Tan Sri Khalid akan bertambah, bukan sebaliknya.

“Sekalli lagi kami dari PR mengutuk sekeras-kerasnya usaha adu domba dan persengketaan berbau perkauman yang disebar Umno dan menggesa mereka meninggalkan tabiat buruk dan terkutuk itu demi negara,” ujar Dr Rani lagi.

Hakikatnya, kata beliau DAP adalah parti berbilang kaum tetapi telah ‘dipenjarakan’ dalam imej parti bukan Melayu oleh Umno sebagai strategi politik pecah dan perintah yang telah mereka gunakan ke atas rakyat selama ini.

(Dr Rani bersama Teresa dan Khalid Samad dalam sidang media Pakatan Selangor hari ini)

Jelasnya, Umno mahu meneruskan pembohongan dengan menimbulkan satu persoalan yang tidak pernah ditimbulkan oleh mana-mana pihak dalam PR.

Beliau yang juga Adun Meru menjelaskan DAP telah mencadangkan kepada PR Selangor supaya mereka dibenarkan meletak calon Melayu di kawasan majoriti Melayu.

Ini, katanya dicadangkan DAP dengan tujuan supaya DAP boleh membebaskan dirinya daripada imej yang ‘dipenjarakan’ oleh Umno.

Menurutnya, perbincangan telah dilakukan secara tenang dan terbuka bersama rakan-rakan PR dan bukan secara tertutup atau rahsia.

PAS dan PKR, jelasnya telah menyatakan kekhuatiran ia akan dieksploitasi oleh Umno yang sememangnya menggunakan sentimen perkauman untuk menyerang PR.

DAP, ujarnya akan dituduh gila kuasa dan PAS serta PKR pula akan dituduh pengkhianat bangsa.

“Walaupun inilah apa yang sering dilakukan Umno, namun tindakan itu boleh mengukuhkan persepsi yang songsang ini di kalangan masyarakat Melayu,” ujarnya.

Justeru, beliau berharap semoga rakyat diselamatkan daripada politik perkauman sempit yang diperjuangkan Umno BN.

“Semoga rakyat memahami bahawa politik sedemikian hanya pembohongan Umno BN untuk menutup amalan rasuah dan penyelewengan yang telah menjadi darah daging mereka selama ini,” katanya.


Written by Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 20 Dis: Perkasa memberi amaran, tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mahu menggunakan dakwat kekal dalam pilihan raya umum akan datang akan menyebabkan orang Melayu tidak keluar mengundi.

Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali juga berkata, pihaknya yakin penggunaan dakwat kekal akan membawa negara ke belakang.

Semalam SPR mengumumkan bahawa semua pengundi wajib dicalit dengan dakwat kekal dan sekiranya mereka enggan berbuat demikian, maka pengundi terbabit tidak akan diberikan kertas mengundi.

Langkah itu seiring dengan syor jawatankuasa pilihan khas Parlimen berhubung penambahbaikan proses pilihan raya.

“Adalah memalukan negara yang jauh lebih maju dari negara-negara membangun lain mahu menggunakan dakwat kekal dalam pilihan raya umum.

“Malaysia bukan negara seperti Somalia, Bangladesh, Pakistan, Afghanistan, Kemboja dan lain-lain negara mundur yang rekod pengenalan diri masih tidak canggih, yang menggunakan kertas biasa dengan maklumat peribadi tulisan tangan. Memalukan,” kata Setiausaha Perkasa itu.

Syed Hassan juga mendakwa Perkasa percaya gesaan untuk penggunaan dakwat kekal adalah daripada pihak yang sebenarnya tidak mahukannya juga tapi oleh kerana ia cara untuk membuatkan orang Melayu dan Islam tidak mahu keluar mengundi.

“Siapa yang untung jika orang Melayu tidak keluar mengundi? Saya sendiri kemungkinan besar tidak akan keluar mengundi jika kekal dengan penggunaan dakwat kekal.

“Dan, kemungkinan ramai ahli Perkasa tidak keluar mengundi juga. Siapa yang akan terasa rugi jika ramai ahli Perkasa dan orang Melayu lain tidak keluar mengundi?” katanya.

Oleh itu kata beliau, kerajaan perlu berfikir dengan sebaik-baiknya keputusan penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum ke-13.

Semalam, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata, dakwat kekal ‘silver nitrate’ akan digunakan pada pilihan raya umum ke-13 dan ia berlainan dengan dakwat kekal yang disyorkan pada pilihan raya umum 2008.

Beliau berkata, dakwat kekal yang mengandungi ‘silver nitrate’ itu telah dihantar ke Jabatan Kimia pada 9 Disember untuk diteliti kandungan dan kesesuaiannya digunakan di negara ini dan seterusnya akan dihantar ke Majlis Fatwa Kebangsaan untuk memastikan ia sesuai digunakan orang Islam.

Dakwat itu juga dihantar ke Kementerian Kesihatan untuk memastikan ia tidak menjejaskan kesihatan pengguna secara umum.

Menurut Aziz, dakwat ini mengandungi logam silver nitrate apabila dicalit pada kuku jari dan akan diserap dalam kuku kulit.

Dakwat kekal silver nitrate tujuh peratus digunakan untuk pengundian awal iaitu hari pembuangan undi khas untuk anggota tentera, pasangan anggota tentera, polis dan pasangan anggota Pasukan Gerakan Am manakala dakwat kekal siver nitrate empat peratus bagi pengundian biasa.


Written by Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 20 Dis: PAS menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak faham dengan kehendak belia hari ini sehingga terpaksa melancar TV internet.

AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) berkata, isu media tidak berbangkit di negara ini tetapi yang menjadi isu adalah kandungan media.

"Sebenarnya bukan masalah media yang tidak cukup, tetapi laporan dalam media yang sudah tidak beretika dan berat sebelah menyebabkan golongan belia mual dengan laporan tersebut," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berpendapatan, Barisan Nasional resah kerana propaganda mereka tidak lagi dipercayai terutama di kalangan anak muda.

Media tradisional seperti televisyen dan akhbar tidak lagi membantu BN untuk meyakinkan anak muda di negara ini.

Idris berkata, langkah Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan televisyen Internet dan mobil pertama dengan harapan menjadi wadah dan sumber terbaru bagi belia mendapatkan maklumat, berita, mesej yang meliputi isu-isu semasa yang melibatkan golongan tersebut tidak akan berkesan.

"Pelik juga rakyat melihat gelagat pemimpin BN yang takut dengan bayang-bayang kebangkitan rakyat yang terdiri daripada anak muda," tulisnya.

Bagi beliau, pemimpin BN sedar seramai 4.5 juta daripada 12 juta pengundi atau 38.8% daripada golongan belia yang bakal menjadi pengundi PRU 13.

Ini merupakah langkah terakhir yang Datuk Seri Najib terpaksa lakukan untuk memastikan golongan ini menyebelahi BN, katanya.

Bagi Idris, bukan masalah media yang tidak cukup, tetapi laporan dalam media yang sudah tidak beretika dan berat sebelah menyebabkan golongan belia mual dengan laporan tersebut.

"Belia pada hari ini mahu politik baru yang telus dan berintegriti.

"Mereka mempunyai maklumat dan merasakan perlu perubahan politik di negara ini.

"Belia mengetahui kebolehan kerajaan Pakatan Rakyat menguruskan negeri begitu cemerlang berbanding dengan pemimpin BN yang penuh dengan penyelewingan dan ketirisan," katanya.

Semua maklumat ini diperolehi melalui media baru, tambah beliau.

"Apa makna televisyen internet jika kandungan berita yang diambil daripada Media Perdana, dengan ini tidak ada apa yang baru kepada belia," tambahnya.

Mereka bukan lagi belia di zaman Datuk Najib menjadi ketua pemuda Umno, yang hanya menjadi belia kompang dan sehelai baju T, katanya.

Belia pada waktu itu boleh diupah dengan sebiji karipap dan sebotol air mineral.

"Sekarang mereka sudah berubah, walaupun nampak berpakaian "rock" tetapi motor ditampal gambar Tuan Guru Nik Aziz," kata Idris.

Written by Mohd Firdaus
KOTA KINABALU, 20 Dis: PAS hari ini melancarkan Dokumen Negara Berkebajikan dengan memberi tawaran PAS kepada rakyat Malaysia, khususnya Sabah dalam pendekatan ke arah mewujudkan sebuah pemerintahan yang beramanah, adil dan berkebajikan.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dalam sidang media pelancaran dokumen tersebut berkata, kandungan dokumen yang merangkumi 10 agenda utama menterjemahkan konsep Negara Berkebajikan.

“Saya mengambil kesempatan pada hari ini, melancarkan Dokumen Negara Berkebajikan peringkat Negeri Sabah.

“Saya berharap ianya dapat diteliti dan dikaji sebaiknya oleh rakyat Sabah,” ujarnya.

Dokumen tersebut telah dilancarkan di peringkat nasional pada 11 Disember lalu oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Buku setebal 59 muka surat itu mengandungi tujuh bahagian antara lain memuatkan penjelasan konsep negara berkebajikan, teras-teras utama, polisi-polisi umum dan 10 agenda permulaan jika PAS diberi mandat bersama Pakatan Rakyat untuk memerintah Malaysia.

Dalam bahagian polisi-polisi umum, Negara Berkebajikan akan melihat dan menambahbaik polisi-polisi sedia ada termasuk dalam polisi politik, ekonomi dan sosial.

Bahagian 10 agenda permulaan pula memperincikan tawaran PAS antara lain seperti berikut:

1- Kerajaan beramanah, adil dan bersih
2- Masyarakat penyayang , aman dan bersatu
3- Ekonomi mampan, seimbang dan saksama
4- Pendidikan berkualiti, berdaya saing dan boleh capai
5- Perkhidmatan kesihatan cekap, berkualiti dan boleh capai
6- Kebajikan langsung, menyeluruh dan mesra rakyat
7- Keluarga harmoni, bahagia dan bermoral
8- Belia, pekerja produktif, berdaya saing dan terbela
9- Kemudahan prasarana berkualiti, cekap dan bertaraf dunia
10- Alam sekitar segar, terpelihara dan lestari

Pelancaran yang diadakan di Pejabat PAS Sabah, Kota Kinabalu itu turut dihadiri oleh Datuk Mahfuz Omar, Naib Presiden PAS; Aminuddin Aling, Pesuruhjaya PAS Sabah; Awang Laiman, Setiausaha PAS Sabah dan Lahirul Latigu, Ketua Pemuda PAS Sabah.

Written by Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 20 Dis: Klip video atau Filem pendek berjudul 'Oley' hanya memakan belanja RM3,000 sahaja dan mengambil masa penggambaran 2 jam, tetapi memberikan kesan cukup besar bagi aktiviti dakwah.

Ini kerana, klip video terbitan sebuah NGO, Solidariti Muslim Prihatin ini sehingga kini ditonton lebih 180,000 orang dalam jangka masa 5 hari setelah disiarkan.

Dengan 'view' yang sedemikian tinggi, sambutan orang ramai terhadap filem tersebut ternyata menyamai filem triler hebat keluaran Hollywood.

Berdasarkan mutunya yang sedemikian hebat dan sambutan orang ramai yang sebegitu baik terhadap filem tersebut, banyak pihak beranggapan belanja yang dikeluarkan oleh pihak penerbit dalam usaha penerbitan filem itu pasti tinggi.

"Namun, jangan terkejut jika saya jelaskan, belanja untuk membuat filem itu sebenarnya hanya sebanyak RM3,000 sahaja, manakala masa keseluruhan yang kami gunakan untuk penerbitannya pula hanya 3 jam setengah sahaja.

"Dari masa 3 jam setengah itu, 2 jam untuk shooting dan 1 jam setengah lagi untuk proses editing bagi membolehkan ia disiarkan ke dalam Youtube untuk tontonan orang ramai," jelas Pengerusi Solidariti Muslim Prihatin, Nurul Islam Mohamed Yusoff.

Ketika dihubungi Harakahdaily di sini hari ini, beliau menjelaskan, pada dasarnya untuk menghasilkan filem tersebut pasti memerlukan belanja yang besar, tetapi ia menjadi murah di sebaliknya disebabkan banyak faktor.

Antara faktor utamanya kerana kesemua pelakon penting di dalam filem tersebut enggan menerima sebarang bayaran, tetapi hanya berlakon secara percuma demi kepentingan dakwah.

"Begitu juga dengan pengarah dan penulis skrip bagi filem itu. Mereka juga hanya membuat kerja-kerja mereka secara percuma sahaja," jelasnya.

(Nurul Islam...teruja)

Belanja yang dikeluarkan oleh pihaknya bagi penerbitan filem itu hanyalah bagi urusan-urusan teknikal, manakala sebahagian lagi bayaran kepada sebahagian pelakon tambahan.

Nurul Islam, 29, menjelaskan, Oley merupakan sebuah filem pendek yang terhasil khusus buat menjawab segala tohmahan mengenai hukum Islam yang dipersendakan oleh filem pendek “Bicara Rakyat“ yang dihasilkan dengan penuh kebencian dan kenistaan terhadap hukum hudud oleh pihak tertentu.

Dengan penghasilan ‘Oley’ bererti Solidariti Muslim Prihatin melangkah setapak lagi ke hadapan dalam menyampaikan mesej bermaklumat kepada masyarakat dengan cara baru.

Lebih menarik apabila 'Oley' turut dilakonkan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan; Nik Mohd Abduh dari ILMAM; Riduan Mohd Nor yang juga Ahli Jawatankuasa MuslimCare; penceramah selebriti yang sedang meningkat naik, Ustaz Syed Kadir Hussin Al Joffre serta pendakwah bebas, Ustaz Imran Al-Malizi.

Filem tersebut turut menampilkan pengacara, penulis lirik dan pelawak terkenal, Bob Lokman; vlogger Youtube terkenal, Mat Lutfi dan Man John dengan lakonan watak menarik mewakili segmen anak-anak muda pelbagai latar belakang yang mendambakan pengetahuan sebenar mengenai Islam.

(Penampilan Matlutfi memberi nilai tersendiri kepada video klip ini)

Oley adalah sebuah klip video yang dihidangkan dalam bentuk 'santai' dan simple tetapi menepati citarasa dan selera anak muda, dengan para pelakonnya berdialog dengan gaya selamba, bersahaja tetapi penuh dengan mesej bermakna.

Melalui kaedah soal jawab yang pasti boleh membuka mata dan telinga masyarakat yang jahil terhadap hukum Islam, khususnya mengenai hukum hudud, sehingga boleh menimbulkan keinsafan kepada para penontonnya.

Setelah diterbitkan 15 Disember lalu, video tersebut telah ditonton oleh sejumlah 154,687 kali dan mendapat likes sebanyak 8729 dan dislikes hanya sebanyak 72 kali, berbanding dengan video pendek bertajuk sembang rakyat yang telah mengundang kritikan dan pertikaian pelbagai pihak kerana didakwa sengaja menimbulkan prejudis terhadap Islam.

Angka tersebut dapat dilihat melalui jumlah likes sebanyak 57 kali dan dislikes sebanyak 3048 kali semalam, manakala hari ini pula jumlahnya terus meningkat kepada lebih 180,000 orang penonton.

Filem tersebut turut disiarkan menerusi slot video Harakahdaily dengan jumlah penonton sebanyak lebih 21,000 sehingga jam 4.30 petang ini sejak dimuatnaik 15 Disember lalu.

Penerimaan baik daripada orang ramai mengenai filem pendek itu sebagai indikator bahawa anak-anak muda tidaklah bencikan hukum Islam, sebaliknya menerima hukum Allah dengan baik.
Malah anak muda memberi kepercayaan kepada golongan yang ingin memperjuangkan hukum Islam berbanding mereka yang menentangnya.

KLIK UNTUK TONTON 'OLEY'


Written by Harakahdaily

SHAH ALAM, 20 Dis: Umno perlu membuat keputusan segera untuk bertindak kepada pihak yang bertanggungjawab dalam skandal NFC atau terus dimalukan.

Skandal Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) semakin membarah apabila PKR hari ini mendedahkan NFC membeli sebuah kondominium bernilai hampir RM10 juta di Singapura.

(Kondominium mewah Orchard Scotts di Singapura. Disinilah NFC membeli unitnya bernilai kira-kira RM10 juta)

Kondominium ini dibeli pada harga S$4,107,600 dan luasnya adalah 2,282 kaki persegi, iaitu salah satu unit yang terbesar di bangunan kondominium mewah di tengah-tengah kota Singapura itu.

Pendedahan kali ini dibuat oleh tiga pemimpin kanan PKR dalam sidang media mereka hari ini.

Ketiga-tiga mereka adalah Saifudin Nasution Ismail (Setiausaha Agung), Zuraida Kamarudin (Ketua Wanita) dan Rafizi Ramli (Pengarah Strategik).

Sebelum ini, pelbagai pihak dalam Umno menekan agar Datuk Seri Shahrizat Jalil meletakkan jawatan. Turut memberikan tekanan adalah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir.

Ini kerana, NFC dikendalikan oleh suami dan anak-anak beliau.

Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu beranggapan, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ketika pinjaman itu diluluskan, Tan Sri Muhyidin Yassin mesti bertanggungjawab ke atas penyelewengan ini kerana projek ini terletak di bawah penyeliaan kementerian yang beliau jaga.

Pembelian harta mewah oleh keluarga menteri ini lebih memualkan bila mana ia didaftarkan terus di atas nama mereka.

"Carian rasmi menunjukkan ia didaftarkan secara bersama di atas nama Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail, Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh dan Wan Izzana Fatimah Zabedah Mohamad Salleh," kata kenyataan mereka bertiga.

Pendedahan dibuat ekoran Umno dan Shahrizat belum memberi tanda-tanda akan ada pertanggungjawaban kepada penyelewengan dana rakyat melalui NFC seperti yang dituntut rakyat.

"KEADILAN akan terus membongkar penyalahgunaan dana awam bagi kepentingan peribadi keluarga menteri berkenaan," kata mereka.

Menurut kenyataan itu, mereka ada bukti-bukti pembelian sebuah kondominium mewah beralamat 7 Anthony Road, #14-24, Orchard Scotts, Singapore 229955 oleh keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil pada 27 Januari 2010.

Kondominium ini dibeli pada harga S$4,107,600 dan luasnya adalah 2,282 kaki persegi, iaitu salah satu unit yang terbesar di bangunan kondominium mewah di tengah-tengah kota Singapura itu.


Pendedahan ini melengkapkan dakwaan KEADILAN sebelum ini bahawa dana dari NFC yang sepatutnya digunakan untuk membina industri daging negara telah disalurkan kepada syarikat-syarikat peribadi milik keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil seperti NMLC dan RFC, kata mereka.

Lebih teruk lagi, wang dari syarikat-syarikat seperti NMLC dan RFC kemudiannya disalurkan pula ke syarikat-syarikat milik keluarga Shahrizat di Singapura iaitu Meatworks (Singapore) Pte Ltd dan Global Biofuture Pte Ltd yang menjalankan operasi perniagaan yang tidak ada kena mengena dengan tujuan bantuan dana kerajaan berjumlah RM250 juta kepada NFC.

Meatworks (Singapore) Pte Ltd dilaporkan menjalankan perniagaan restoran mewah di Singapura, sementara Global Biofuture Pte Ltd pula menjalankan perniagaan perdagangan minyak dan ternakan.

Pada hari ini, KEADILAN boleh mendedahkan satu komunikasi (dalam bentuk email) di antara Saudara Wan Shahinur Izran dengan Saudari Donna Yong yang menguruskan perniagaan restoran di Singapura bagi pihak keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Email ini membincangkan pemindahan wang yang diperlukan untuk membiayai perniagaan restoran mewah di Singapura.

Bagi tempoh 3 bulan di antara Oktober 2010 dan Disember 2010, keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil dianggarkan memindahkan sejumlah S$530,000; bersamaan RM1.3 juta dari dana milik kerajaan untuk membiayai perniagaan peribadi di Singapura.

Jika ini berlaku sepanjang tahun 2010 dan 2011, kemungkinan jumlah wang yang telah dilarikan mencecah RM10 juta hanya untuk satu perniagaan di Singapura.

Amalan ini sudah tentu turut berleluasa dengan syarikat-syarikat lain yang dimiliki oleh mereka di Singapura, kata mereka.

Oleh kerana syarikat-syarikat ini adalah milik penuh keluarga Shahrizat Jalil, wang dari NFC boleh sahaja dipindahkan terus ke akaun syarikat-syarikat ini, kemudiannya dikeluarkan oleh keluarga menteri untuk membiayai pembelian peribadi seperti kondominium mewah di Orchard Scotts.

"Datuk Seri Najib Tun Razak tidak boleh berdiam diri lagi kerana pendedahan demi pendedahan membuktikan berlaku penyelewengan berleluasa dalam penggunaan dana rakyat berjumlah RM250 juta itu.

"Kami mendesak beliau mengambil tindakan segera membekukan kesemua akaun bank dan perbelanjaan NFC serta syarikat-syarikat berkaitan yang dimiliki oleh keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil, sementara siasatan yang lebih telus dan serius dijalankan secepat mungkin," kata kenyataan itu.

Written by Harakahdaily

(Pemimpin muda PAS dan PKR Perak bertemu secara rasmi hujung minggu lalu)

IPOH, 20 Dis: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak telah mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Angkatan Muda Keadilan PKR Negeri Perak bagi mengukukuhkan hubungan antara kedua parti yang kini dalam Pakatan Rakyat di Negeri Perak.

Rombongan Pemuda PAS Perak diketuai oleh Timbalan Ketuanya, Dr Raja Ahmad Al-Hiss bersama 10 orang Ahli Jawatankuasa Kerjanya membuat kunjungan itu hujung minggu baru-baru ini.

Angkatan Muda Perak pula diketuai oleh Ketuanya, Dr Meor Ahmad Isharra Ishak bersama Ahli Jawatankuasa Kerjanya menyambut kedatangan Pemuda PAS Perak.

Perbincangan lebih kearah untuk mengukuh peranan anak muda di dalam PR Perak bagi memastikan PR akan kembali memerintah Negeri Perak setelah dirampas dengan cara kotor awal Februari 2009 yang lalu.

Perbincangan hampir sejam tersebut banyak membincangkan persiapan jentera pilihanraya kedua-duanya.

Pemuda PAS Perak juga akan bertemu selepas ini dengan Ahli Jawatankuasa Kerja Pemuda Sosialis DAP Negeri Perak dalam masa terdekat untuk meneruskan agenda mengukuhkan hubungan dengan parti tersebut menjelangnya persiapan jentera Pilihan Raya Umum ke - 13 nanti.

Futsal Pemuda Perak meriah

Sebelum ini, Dewan Pemuda PAS Negeri Perak melalui Lajnah Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (DACS) telah menganjurkan kejohanan Futsal tahun 2011 kali ini.

Sebanyak 33 pasukan telah menyertai kejohanan kali ini yang datang daripada seluruh Negeri Perak. Pasukan yang telah menyertai kali ini dipilih oleh Dewan Pemuda PAS Kawasan-kawasan seluruh Perak.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengarah Pilihanraya PAS Perak, Haji Asmuni Awi.

Manakala kehadiran daripada kepimpinan Pemuda PAS Perak terdiri daripada Timbalan Ketuanya, Dr Raja Ahmad Al-Hiss dan Setiausahanya, Salman Saleh.

Kejohanan kali ini diserikan dengan cabutan bertuah yang menarik berikutan hadiah-hadiah yang disediakan oleh pihak penganjur menarik minat hadirin untuk tunggu hingga ke saat akhir.

Tiada ulasan: