Khamis, 29 Disember 2011

JANGAN MAIN2 BAB ZAKAT...JANGAN KELEPIT WANG ZAKAT..DAH READY KE MASUK NERAKA...JANGAN MAIN2 TENTANG HUKUM ISLAM..DUNIA AKAN MUSNAH..INGATLAH MATI

Written by Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 29 Dis: Penerbangan untuk Sabah dan Sarawak akan menjadi lebih sukar dan mahal selepas ini kerana Firefly tidak akan lagi menjalankan perkhidmatan di negeri-negeri tersebut.

Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Liew Chin Tong (gambar) berkata, kolaborasi MAS-Air Asia dilihat hanya menguntungkan satu pihak sahaja, iaitu Air Asia sendiri, manakala rakyat menderita, lapor Roketkini.com.

“Dengan MAS dan Firefly menghadkan penerbangannya, Air Asialah yang memonopoli laluan-laluan udara tertentu. Sebagai contoh, laluan Sandakan-KL sudah menjadi monopoli Air Asia sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, dengan jumlah penerbangan yang kurang dan harga pula lebih mahal, ia bukan sahaja menyusahkan pengguna, malah tidak baik untuk ekonomi.

Beliau menjelaskan, institut kajian Research for Social Advancement (REFSA) telah mengenal pasti beberapa pekara utama:

1. Kurang penerbangan bermaksud kurangnya pekerjaan untuk staf di udara dan di lapangan. Ini juga bermaksud gaji lebih rendah, kurang peluang perkerjaan, dan kurang kuasa perbelanjaan.

2. Ia juga memberi impak terhadap perniagaan yang bergantung kepada penerbangan udara tersebut seperti teksi, hotel, restoran, penjaja dan sebagainya yang amat berharap dan bergantung kepada pengguna penerbangan tersebut.

3. Dalam jangka masa panjang, situasi ini juga akan menyebabkan semakin kurang peluang untuk bertemu, berbincang dan menghasilkan produktiviti ekonomi.

Liew berkata, walau pun alasan kolaborasi MAS-Air Asia dikatakan membuka peluang untuk semua, yang tersurat adalah Firefly telah diikat sayapnya.

“Sudahlah orang di Johor kecewa dengan pembatalan penerbangan, Firefly mengalami penurunan kadar 30 peratus di hub sendiri di Subang,” tambah beliau.

Para pekerja Firefly juga gelisah kerana tidak pasti dengan nasib mereka.

Jika dahulu saingan mereka yang utama ialah pemilik Air Asia Tan Sri Tony Fernandes, kini beliau terlibat secara langsung dalam pengurusan syarikat induk mereka.

Menurut Liew, adalah lumrah bahawa kebanyakan staf Firefly mahu ‘melompat kapal’ untuk masa depan yang lebih terjamin, dan kehancuran Firefly juga mengurangkan lagi jumlah pilihan pengguna.

“Penambahan pilihan, pengurangan kos, menggalakan persaingan, kesaling hubungan adalah amat penting untuk kemajuan negara,” ujarnya.

Beliau yang juga Setiausaha Biro Antarabangsa DAP berkata, kolaborasi yang berbentuk monopoli itu harus dihalang sebelum lebih berpuluh ribu rakyat Malaysia terjejas dengan pembatalan penerbangan, kehilangan mata pencarian mereka, dan pengecilan gaji.

“Semoga lebih banyak perkhidmatan dan pilihan diberi kepada rakan-rakan kita di Sabah dan Sarawak agar mereka dapat pulang dengan selamat, murah, dan mudah,” katanya.


Written by Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 29 Dis: 11 badan bukan kerajaan (NGO) seluruh Malaysia hari ini secara rasmi mengumumkan penubuhan Gerakan Selamatkan Felda (GSF).

Dikepalai Persatuan Anak-anak Peneroka Felda Kebaangsaan (Anak) yang bergerak sendirian sebelum ini, matlamat utama GSF ditubuhkan untuk menghalang penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH) ke Bursa Malaysia (BSKL).

Pengerusi Anak, Mazlan Aliman berkata, GSF di peringkat awal mendesak kerajaan membatalkan usaha penyenaraian yang bakal menjejaskan aset 112,635 peneroka.

"Gabungan ini akan bergerak ke seluruh negara bagi mendesak kerajaan membatalkan hasrat penyenaraian ke bursa saham," kata beliau pada sidang media di kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, dekat sini, hari ini.

GSF hari ini juga akan bertemu dengan veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah yang juga Ahli Parlimen Gua Musang untuk membincangkan penyenaraian tersebut dan mengajak beliau turut serta dalam siri jelajah ke seluruh negara.

Tengku Razaleigh yang merupakan bekas Menteri Kewangan itu kata Mazlan pernah menyatakan hasratnya untuk bertemu dengan Anak bagi berbincang tentang perkara tersebut.

"Sebelum ini saya pernah bertemu dengan Tengku Razaleigh dan beliau ada menyatakan hajat bertemu dengan kami. Mungkin sudah sampai masa beliau menyatakan pendirian berhubung isu Felda kerana beliau salah seorang yang terlibat sewaktu Felda diasaskan," katanya.

GSF juga akan bertemu dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) yakin kerajaan "mengidamkan" saham KPF yang merupakan koperasi yang mempunyai perolehan tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak RM13 bilion.

"Sebab itulah penyamun-penyamun ini mengintai saham KPF untuk senaraikan ke BSKL.

"Kami akan bawa perkara ini ke pengetahuan Angkasa dan minta pandangan mereka," katanya.

FGVH dijangka akan disenaraikan ke BSKL pada April 2012 setelah dibentangkan dalam belanjaan 2100 oktober lalu.

Kini, "orang kuat" Najib, Tan Sri Isa Samad yang dilantik sebagai Pengerusi Felda melalui "pintu belakang" sangat bersungguh-sungguh memastikan penyenaraian itu berlaku.

Selain Anak, GSF disertai Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Seniman Paksi Rakyat (Paksi), Kumpulan Media Independent (Kami), Badan Bertiindak Peneroka Felda (Bangkit), Badan Bertindak Peserta Felcra (Bapa).

Turut bersama, Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said.

Sementara itu, Pengerusi Teras, Azmi Abdul Hamid menyifatkan penyenaraian itu yang akan melibatkan pajakan 360,067 hektar kepada FGVH sebagai penggadaian kedaulatan negara.

"Aset yang akan digadai itu bukan aset biasa, tapi aset paling asas. Tanah ini menentukan kedaulatan sesebuah negara. Kalau bagi tanah pada orang luar, hilanglah kedaulatan sesebuah negara," tegasnya.

Setiausaha Agung Paksi Hasni Abas pula menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib sebagai 'Tanggang yang menderhaka kepada bapanya'.

Ini kerana katanya, tindakan Najib seringkali bercanggah dengan tindakan bapanya, Tun Abdul Razak.

"Tun Abdul Razak nak bagi tanah kepada orang Melayu tapi Najib nak masukkan pelabur asing. Dulu kes PPSMI, Najib yang benarkan kolej swasta mengajar dalam bahasa Inggeris sedangkan bapanya tak benarkan begitu," katanya yang pernah menjadi setiausaha Gerakan Mansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Mazlan juga berkata, kemuncak kepada gerakan ini ialah demonstrasi jalanan sekiranya najib tidak mengambil kira pandangan dan bantahan mereka.

"Sebelum in ikita membuatr bantahan secara beretika, penuh kompromi. Kita tulis surat, hantar memorandum, tapi kalau tidak dilayan, kita terpaksa turun ke jalan raya seperti gerakan-gerakan sebelum ini," katanya.

Written by Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 29 Dis: Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berharap Datuk Jamil Khir Baharom segera tampil ke hadapan dan bukan menyorok di belakang pegawai kerajaan bagi menjawab isu wang zakat.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada jawapan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tentang salah guna wang zakat meliabtkan menteri berkenaan.

Nazmi berkata, berikutan kenyataannya semalam, Muhamad Yamin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menyatakan bahawa pembiayaan kos guaman Datuk Jamil Khir Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan dua lagi pegawai kanan MAIWP dalam menghadapi kes permohonan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim diambil daripada geran kerajaan.

“Dalam kenyataannya, beliau juga menyalahkan Anwar dan pihak-pihak tertentu yang ‘menyalahgunakan’ proses mahkamah terhadap penjawat awam yang menyebabkan dana dan wang rakyat terpaksa digunakan bagi melayan proses mahkamah,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Pada Jun 2011 juga, katanya Jamil Khir menafikan penggunaan wang zakat untuk membayar kos guaman itu.

Malangnya, kata beliau Yamin tidak menyebut tentang ‘pendahuluan’ RM63,650 daripada wang zakat yang telah disahkan oleh Ketua Audit Negara pada November 2011.

“Yamin juga harus sedar bahawa apabila seorang itu dizalimi, beliau mempunyai hak yang diiktiraf di dalam syarak dan sistem Perlembagaan kita untuk mempertahankan diri mereka.

“Saya berharap Jamil Khir sebagai menteri yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal agama Islam Malaysia dapat segera tampil ke hadapan dan bukan menyorok di belakang pegawai kerajaan bagi menjawab isu ini,” ujarnya.

Menurutnya, pada Jun lalu juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Md Hashim Yahya telah menegaskan sebarang salah guna wang zakat yang disalurkan selain daripada asnaf yang lapan adalah kesalahan dan dosa besar.

Sekurang-kurangnya, kata beliau apabila isu itu mula-mula timbul peguam Zainul Rijal Talha dan Amir terbuka dalam bertanya tentang pandangan Mufti Wilayah Persekutuan.

“Persoalannya, adakah pandangan tersebut diberikan dan sekiranya ya, apakah pandangan beliau?” tanya beliau yang juga Adun Seri Setia

Yang nyatanya, kata beliau lagi Ketua Audit mengesahkan wang zakat dibayar kepada peguam sebelum dipulangkan hampir enam bulan kemudian pada Disember 2010.

Soalnya lagi, mengapa wujud dwi-standard dengan kes amil zakat di Johor Redzuan Mohd Said yang menyalahgunakan RM19,510 dan memulangkannya tetapi dipenjarakan empat tahun dan dihukum tiga kali sebatan tahun ini.

Katanya, umat Islam yang menyumbang berbilion ringgit wang zakat setiap tahun di seluruh negara tidak mahu timbul sebarang keraguan terhadap pengurusan wang zakat.


Written by Muhammad Faizal

KUALA LUMPUR, 29 Dis: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (kanan) menyifatkan Rang Undang-Undang Hubungan Kaum tidak diperlukan di negara ini jika kerajaan Umno Barisan Nasional memahami hak setiap kaum.

Beliau yang dihubungi Harakahdaily hari ini menjelaskan situasi negara sekarang tidak memerlukan undang-undang tersebut malah apa yang perlu dilakukan adalah menghentikan sikap perkauman sesetengah pihak.

"Bagi saya kita tidak memerlukan undang-undang baru terutamanya dalam hubungan kaum jika sesetengah pihak boleh hentikan sikap perkauman mereka.

"Hubungan kaum boleh terjadi tanpa ada sebarang undang-undang jika masyarakat itu menghormati antara satu sama lain tanpa ada sikap berkepentingan diri sendiri," jelasnya.

Tambahnya lagi, masalah yang wujud sekarang adalah menghormati antara satu kaum malah masih ada pihak yang terlalu ekstrim dengan kaumnya sehinggakan sanggup melakukan sesuatu di luar batasan kemanusiaan.

"Kalau menyebut tentang Islam, sesetengah orang Islam itu sendiri tidak faham dengan tuntutan Islam yang telah meletakkan asas yang betul dalam hubungan antara kaum.

“Inilah yang menjadi masalah sebenar, kerajaan perlu peka dalam permasalah sekarang yang dimainkan oleh sesetengah pihak dan kalau perlu hentikan terus kegiatan mereka yang terlalu ekstrim dalam soal perkauman," sambung beliau lagi.

Dalam masa yang sama, beliau juga menekankan agar Umno yang perlu memahami apa makna sebenar hubungan antara kaum di dalam negara ini.

"Jika Umno itu sendiri betul-betul faham apa ertinya yang sebenarnya, maka mereka sendiri akan merasakan bahawa undang-undang tersebut tidak diperlukan," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi.

Seorang lagi Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (kiri) berkata, perkara tersebut perlu dibincangkan lebih awal dengan mengambil pandangan setiap lapisan masyarakat dan kaum di negara ini sebelum ia dibentangkan di Parlimen.

"Kita mahukan sesuatu yang terbaik bukannya undang-undang dilakukan mengikut kepentingan parti politik.

"Perkara ini perlu dibincangkan terlebih dahulu dengan mengambil pandangan setiap kaum di negara ini, setelah itu mewujudkan satu laporan lengkap dengan meletakkan segala sudut pandangan sebelum ia dibentangkan di Parlimen," katanya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga menyatakan dalam keadaan negara sekarang ini, perlaksanaan undang-undang itu bukan satu keperluan yang penting.

"Negara aman dan bagi saya tidak nampak langsung keperluan kepentingan undang-undang ini perlu dilaksanakan segera, apa yang perlu adalah perbincangan dan menghormati hak sesama kaum," sambung beliau lagi

Mengikut laporan media bahawa kerajaan telah mencadangkan undang-undang itu, yang akan dibentangkan pada Mac nanti.

Ia merupakan undang-undang yang dilihat mencerminkan komitmen pentadbiran Najib terhadap kepelbagaian budaya dan toleransi.


Written by Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 29 Dis: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) mengucapkan terima kasih dan penghargaan setingginya kepada pucuk pimpinan PAS yang berjaya menyelesaikan kemelut dalaman secara penuh ukhwah dan semangat persaudaraan melalui pertemuan khusus yang diadakan semalam.

“DPP Malaysia merasa terharu kerana pimpinan PAS bingkas menyelesaikan segala konflik dan kemelut dalaman yang membelenggu PAS beberapa minggu ini dengan penuh sifat tawadduk dan merendah diri,” kata naib ketuanya, Dr Raja Ahmad al-Hiss.

Katanya, pertemuan dan penyelesaian penuh bermakna antara Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Datuk Dr Hassan Ali dan Ustaz Nasharuddin Mat Isa pastinya akan menjernihkan keadaan dan memadamkan fitnah yang selama ini membakar dan meliar di dalam gerakan Islam itu.

Menurutnya, masyarakat khususnya yang beragama Islam melihat bahawa PAS mampu menjadi contoh kepada semua parti politik bagaimana pengurusan konflik boleh diselesaikan dengan baik dan mudah tanpa persengketaan yang panjang.

Katanya, meskipun terdapat perbezaan pandangan dan pendapat dalam beberapa perkara, akhirnya ia mampu diselesaikan di meja rundingan dalam pertemuan penuh mahabbah.

Tambahnya lagi, ternyata segala tohmahan liar segelintir golongan bahawa kemelut dalaman PAS tidak akan berkesudahan adalah suatu tuduhan tidak berasas.

PAS, ujarnya membuktikan masih menjunjung tinggi nilai ukhwah, perpaduan dan persaudaraan yang bertunjangkan kepada akidah perjuangan Islam.

“Nilai ini terus bertahan dan tidak akan luput sejak ia ditubuhkan dan selama mana hayat PAS di persada tanah air ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, DPP Malaysia percaya penyelesaian baik yang ditunjukkan antara pimpinan PAS membuktikan kepemimpinan PAS berjiwa besar dan sanggup berlapang dada bagi menyelesaikan permasalahan mereka secara baik.

PAS juga, katanya dilihat mampu menjadi pengganti Umno BN yang sudah semakin mereput menanti ajal.

“Insya Allah, keteladanan yang terpuji oleh kepemimpinan tertinggi PAS mampu menjadi bekal buat semua ahli dan pendokong PAS bekerja bersungguh-sungguh bagi memastikan kemenangan dalam PRU ke-13,” katanya lagi.

Written by Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 28 Dis: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) menggesa kerajaan menghentikan semua bentuk tekanan terhadap mahasiswa.

Ini, katanya kerana jelas ia merupakan kehendak politik pimpinan Umno yang terdesak.

“Saya juga mengulangi tekad dan komitmen Pakatan Rakyat untuk memansuhkan Auku serta memberi penumpuan kepada usaha mengangkat mutu pendidikan yang berteraskan prinsip kebebasan akademik, pencerahan dan pemerkasaan intelektual.

“Saya meneliti secara serius perkembangan mutakhir gerakan kebebasan akademik yang dipimpin oleh kelompok mahasiswa yang kini berdepan dengan pelbagai tekanan politik Umno,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, tatkala kesedaran menuntut kebebasan di kalangan mahasiswa mulai berkembang dan matang, pimpinan Umno semakin gusar dan resah dalam menghadapi asakan itu serta bertindak melulu dengan menzahirkan ancaman fizikal bersifat biadab dan semberono.

Katanya, komitmen pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, kononnya mahu meminda Seksyen 15, Akta Universiti Kolej Universiti (Auku) dan memberi lebih kebebasan kepada mahasiswa dalam politik kepartian kini dilihat tidak lebih sekadar omong kosong.

Menurutnya, perkembangan membabitkan Adam Adli, mahasiswa dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) yang kini berdepan dengan tindakan di bawah Auku sememangnya menzahirkan ketakutan Umno terhadap gelombang kebangkitan mahasiswa.

Tambah beliau, tindakan sama turut dilihat dalam beberapa kes terdahulu dengan tindakan keras oleh pihak universiti termasuk risiko dibuang kampus.

“Insiden remeh di depan ibu pejabat Umno di PWTC yang dikaitkan dengan tuntutan mahasiswa tempoh hari diangkat oleh media milik Umno seolah-olah ianya jenayah besar walhal isu-isu yang berkait dengan fitnah, ugutan bunuh, jenayah dan rasuah seringkali diketepikan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Beliau berkata, tindakan menghukum dengan menggunakan peruntukan Auku terhadap mahasiswa selepas insiden tersebut jelas bertujuan untuk menakut-nakut dan sebagai langkah untuk mengendurkan semangat serta iltizam mahasiswa.


Written by Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 28 Dis: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) meminta para ulama dan Mufti di negara ini bersuara dengan memberikan pandangan terhadap isu penggunaan duit zakat untuk tujuan membayar kos guaman Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Timbalan Ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata pandangan segera para ulama dan Mufti penting bagi mengelakkan timbulnya pelbagai persepsi negatif dari umat Islam di negara ini terhadap institusi zakat dan pemimpin yang berkuasa menjaga institusi tersebut.

Katanya, isu sama ada duit tersebut telah dikembalikan tidak timbul kerana persoalan pokok yang perlu dijawab adalah bolehkah duit zakat digunakan untuk kepentingan peribadi pemimpin.

"Sebagai pemimpin yang berkuasa dalam urusan hal ehwal umat Islam di negara ini, sepatutnya beliau memegang amanah ini sebaiknya.

"Wang zakat perlu diuruskan dengan betul dan disalurkan ke tempat yang sewajarnya. Wang zakat tidak boleh sewenang-wenangnya dikeluarkan selain dari urusan yang selayaknya," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya, tindakan Datuk Seri Jamil Khir mengeluarkan wang zakat bagi membiayai kos guaman beliau dan orang bawahannya amat dikesali seluruh umat Islam yang membayar zakat di negara ini, khususnya di Wilayah Persekutuan.

Tindakan tersebut ujarnya, boleh menimbulkan prejudis dikalangan umat Islam dengan persoalan adakah wang zakat disalurkan ke tempat yang sepatutnya ataupun ianya digunakan untuk tujuan-tujuan tertentu.

"DPPWP mengharapkan agar para ulama dan Mufti di negara ini bersuara dengan menyatakan pandangan mereka.

"Sekiranya tindakan ini salah dan melanggari syariat Islam, teguran secara terbuka perlu dibuat terhadap Datuk Seri Jamil Khir dengan ingatan dan amaran keras," ujarnya lagi.

Tambahnya lagi, kemungkaran yang dilakukan perlu dicegah terutama melibatkan pemimpin besar negara kerana mereka perlu menunjukkan contoh teladan yang baik kepada masyarakat.

Selain itu, Datuk Seri Jamil Khir juga jelasnya perlu memohon maaf atas tindakan beliau dan menyerahkan kepada pihak polis atau yang berkaitan untuk menyiasat dan mengambil tindakan lanjut.

"Beliau perlu bersedia menghadapi sebarang tindakan dan hukuman jika terbukti jelas telah melakukan kesalahan," tegasnya.

Tiada ulasan: