Isnin, 26 Disember 2011

ELOK..TAKUT BANYAK CAKAP BANYAK BOHONG..KENA TAHU PERJUANGAN ISLAM DENGAN PERIBADI..JANGAN DIRI ITU HEBAT..APA NILAI ALLAH PADA KITA..KITA TAK TAHU..

Written by Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 25 Dis: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali (kiri) berkata, beliau tidak akan lagi membuat sebarang ulasan berhubung exco Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali (kanan).

Katanya, beliau akan mengambil pendekatan 'kunci mulut', sesuai dengan janjinya sebelum ini bahawa jika Hasan tidak lagi menyerang PAS, maka dia juga akan berhenti mengulas tentang bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu.

"Seperti saya janji sebelum ini bila dia (Hasan Ali) berhenti serang PAS maka saya akan tutup mulut," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan terbaru Hasan pada sidang media di kediamannya semalam.

Pada sidang media tersebut, Hasan menyatakan permohonan maafnya kepada pimpinan dan ahli PAS kerana mengkritik konsep Negara Berkebajikan yang telahpun dipersetujui dalam muktamar parti itu Jun lalu.

Hasan juga sebelum ini menyifatkan PAS tergelincir dari perjuangan Negara Islammya apabila memperkenalkan konseb Negara Berkebajikan.

Menyesali pandangannya itu sebagai 'keterlanjuran kata', Hasan juga semalam bertindak menarik balik kritikan tersebut.

"Bagi saya dia dah mintak maaf sungguh-sungguh tu. Pasal dia serang peribadi saya takpe lah saya dah maafkan dia," tegas Mustafa.

Pendekatan Mustafa itu diyakini mampu menutup episod yang dilihat 'pertembungan dalam parti' yang menjadi topik perbincangan hangat sejak dua minggu lalu.

Ditanya jika Hasan tidak mahu berhenti dan masih mahu mengulas isu parti, Mustafa berkata, itu terserah kepada Hasan.

"Kalau dia nak bercakap lagi, biar la dia bercakap sorang, saya tak mahu layan," katanya.

Mesyuarat Lajnah Politik PAS Pusat sebelum ini memutuskan akan memanggil Hasan memberi penjelasan berhubung isu yang dibangkitkan sejak akhir-akhir ini.

Selain Hasan, dua lagi yang akan dipanggil adalah bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dan Ketua Penerangan PAS Selangor Saari Sungip.

Written by Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 25 Dis: Kenyataan Datuk Seri Shahrizat Jalil yang mempersoal 'siapakah pemimpin Umno yang tiada masalah', seperti mendedahkan ramai pemimpin Umno terbabit dengan skandal salah guna kuasa.

Shahrizat selaku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang terpalit dengan skandal projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) mengeluarkan kenyataan itu sebagai mengulas tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) yang memulakan siasatan terhadap kes itu baru-baru ini.

Bagi Dewan Pemuda PAS Pusat, kenyataan spontan yang keluar dari mulut Shahrizat yang juga ketua wanita Umno itu seperti menyindir semua pemimpin Umno agar tidak berlagak bersih dari masalah.

"Skandal mereka belum terdedah dan masa yang akan menentukan keadaan diri mereka dalam Umno.

"Bagi DPP Malaysia, tidak ada apa yang memeranjatkan dalam kenyataan Shahrizat kerana rakyat sudah sinonim bahawa Umno dan rasuah serta penyelewengan sudah sebati," kata ketua penerangnnya, Riduan Mohd Nor (gambar) dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya lagi, kes Bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo yang didapati bersalah kerana rasuah di mahkamah Tinggi Shah Alam semalam boleh menjadi bukti dan kayu pengukur bahawa pemimpin Umno sukar untuk dijadikan contoh teladan buat rakyat Malaysia.

Malah ujarnya, selain Khir, ramai lagi pemimpin Umno yang pernah terkait dengan pelbagai skandal.

"Beberapa tahun lepas, beberapa orang pemimpin kanan Umno pernah dihadapkan ke Lembaga Disiplin Umno sehingga ke SPRM kerana dakwaan rasuah.

"Malah, bekas Naib Presiden Umno sendiri turut terbabit dengan rasuah sehingga terpaksa melepaskan jawatan beliau," katanya lagi.

Dengan isu skandal penyelewengan dalam NFC pula katanya, ramai percaya bukan setakat Shahrizat sahaja yang terlibat, malah ramai lagi pemimpin kanan negara juga boleh dikaitkan dengan kelulusan projek tersebut.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 juga tegasnya, sudah cukup menjadi bukti kepada rakyat betapa ketirisan dan penyelewengan berlaku dalam kerajaan pimpinan Umno BN.

"Dalam keadaan demikian, tidak hairanlah Indeks Persepsi Rasuah negara merudum buat tahun ketiga berturut-turut.

"Justeru, tidak ada apa lagi yang boleh diharapkan oleh rakyat dalam negara ini, melainkan perubahan mesti dibuat oleh rakyat dalam PRU ke 13," katanya.


Written by Khairil Abdul Rahim

KUANTAN, 25 Dis: Bekas pelakon dan penulis lirik lagu terkenal, Bob Lokman (gambar) yang pernah menerima waran tangkap Jabatan Agama Islam Selangor, semalam menerima notis daripada Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) kerana disyaki menyampaikan ceramah tanpa tauliah.

Setiausaha Penerangan PAS Pahang, Youslydi Mohd Desa, berkata Bob atau nama sebenarnya Muhammad Hakim Lokman, 47, ditahan pegawai Jaip sebaik selesai menyampaikan tazkirah selepas solat Maghrib di hadapan jemaah Masjid Taman Sri Mahkota Aman, Batu 11, Jalan Gambang dekat sini.

Katanya, selepas Bob Lokman berucap memberi beberapa nasihat, beliau didekati kakitangan Jaip lalu membawa Bob ke beranda masjid untuk disoal siasat.

“Mereka mengambil maklumat daripada Bob Lokman pada ketika jemaah yang penuh sesak ketika itu menunaikan Solat Isyak dan Bob disiasat di bawah Seksyen 161, Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982.

“Bagaimanapun beliau tidak ditangkap malah Bob Lokman kemudiannya menyampaikan ceramah di Kampung Razali, Jalan Gambang,” katanya.

Youslydi percaya, terdapat orang politik yang membuat bantahan terhadap majlis melibatkan Bob Lokman sehingga Jaip bertindak.

Seksyen 161, Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 ialah peruntukan bagi “Mengajar Ugama yang salah” di mana jika sabit kesalahan hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Written by Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 25 Dis: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo hanya 'drama politik' Umno BN.

Katanya, dengan pelbagai isu rasuah yang terpalit kepada ramai pemimpin parti itu, maka Umno BN terpaksa 'menempisnya' dengan bertindak ke atas Khir, itu pun selepas Khir tidak mempunyai kuasa lagi.

Jelasnya lagi, tindakan 'memangsakan' Khir itu kononnya bagi memberi gambaran kepada Masyarakat bahawa kerajaan Umno BN secara keseluruhanya tidak berkompromi dengan rasuah.

"Selepas Umno tak mampu nak bersih najis rasuah yang (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) kata 'sudah busuk sampai ke usus', maka Khir jadi mangsa sembelihan untuk bersihkan semua kes rasuah dalam Umno," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam kelmarin yang memutuskan Khir bersalah atas tuduhan rasuah dan dihukum penjara setahun.

Bagi Mahfuz, apa yang cuba ditonjolkan oleh Umno BN dengan bertindak ke atas Khir itu hanya mengulangi skrip lama yang pernah dibuat ke atas bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik dalam isu PKFZ.

Bagaimanapun tindakan mendakwa Ling itu selepas beliau bersara dari kerajaan.

"Saya harap Khir sabar banyak-banyak sebab dia seorang sahaja yang kena untuk dijadikan mangsa korban partinya.

"Saya yakin kalau dia masih ada kuasa, dia tak akan diambil tindakan," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.


Written by Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 25 Dis: Isu Negara Berkebajikan sering dijadikan turning point untuk menyerang PAS kononnya PAS telah tersasar dari landasan perjuangan asal iaitu Negara Islam.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan at-Tantawi berkata, lalu Umno mendesak supaya PAS kembali menggunakan istilah Negara Islam bukannya Negara Berkebajikan.

Lebih menarik, katanya Umno juga menyatakan demikian sedang Umnolah antara yang paling kuat menentang hasrat PAS sewaktu PAS menggunakan istilah Negara Islam sebelum ini.

“Sekarang apabila PAS menggunakan istilah Negara Berkebajikan, mereka sibuk pula mendesak supaya PAS tukar kembali kepada istilah Negara Islam. Mengada-ngada betullah mereka ni!” kata kepada Harakahdaily.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan bahawa langkah dan usaha PAS Membangun Negara Berkebajikan adalah merupakan Fasa 2 pembinaan Negara Islam.

Tambahnya, setelah PAS menerbitkan dokumen Negara Islam tempoh lalu, maka ia seperti pelan induk bagi PAS menjayakan hasrat mendaulatkan syariat Allah SWT, itulah Fasa 1 projek PAS.

Beliau berkata, Fasa ke 2, PAS bergerak dengan lebih praktikal, bukan sahaja membentang plan induk (Fasa 1) yang lengkap dengan teorinya, kini PAS tampil dengan Negara Berkebajikan sebagai subtance kepada Negara Islam.

Jelasnya lagi, ia adalah pengisian dan perlaksanaan, sekaligus menjawab pelbagai tohmahan kononnya Negara Islam adalah negara hukum semata-mata atau juga ditohmah sebagai negara mullah.

“Negara Islam ialah negara yang dibina berasaskan bimbingan syariat Islam. Sementara elemen utama dalam Syariat Islam ialah adil, telus, integriti dan amanah selain ubudiyyah (pengabdian diri kepada Allah),” katanya.

Katanya, ia menepati pembentukan good governence yang menjadi sendi utama bagi Negara Berkebajikan yang mahu dibangunkan oleh PAS.

Menurutnya, menganggap PAS telah tersasar dari landasan asal perjuangannya adalah berpunca dari salah faham atau buat-buat tidak faham terhadap matlamat dan objektif perjuangan PAS.

Justeru, ujar beliau selayaknya mereka terlebih dahulu membuka dan melihat Pelan Lengkap Projek PAS bagi memahami keseluruhan fasa yang akan dibina oleh arkitek PAS.

“Negara Berkebajikan bukan krisis identiti tetapi ia adalah pengukuhan identiti.

“Justeru ia memantapkan lagi pengenalan dan jati diri PAS dengan usaha bina dan tawaran yang lebih praktikal, mudah dan boleh laksana,” jelasnya.

Tiada ulasan: