Ahad, 11 Disember 2011

'Angry Birds'...Real Madrid 1- 3 Barcelona.NAK JADIKAN IKTIBAR..ADAKAH ISLAMIK PEMIKIRAN KITA...KETERBUKAAN KITA JANGAN SAMPAI MENGUNTUNG ORANG LAIN.

Menteri diminta dedah hubungan dengan Papagomo | Print |
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 11 Dis: DAP mahu Menteri Pertahanan Datuk Seri Zahid Hamidi menjelaskan kepada seluruh rakyat Malaysia, apakah keistimewaan dimiliki blogger Papagomo sehingga dibenar menaiki kapal selam Scorpene KD Tun Razak.

Setiausaha publisitinya Tony Pua berkata, kehadiran penulis blog itu dalam kapal tersebut telah membuktikan Zahid hanya berbohong bahawa tiadak ada penulis blog yang dibenarkan menaiki kapal tersebut selain wartawan Bernama dan TV3.

"Keistimewaan yang dimiliki Papagomo adalah jelas membuktikan salah guna kuasa, dan menteri pertahanan mesti menjelaskan kepada seluruh rakyat Malaysia tentang pembohongannya dan hubungan intimnya dengan blogger Umno itu," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Sejak dua hari lalu, Papagomo telah menulis di blognya bahawa beliau adalah "blogger pertama belayar di atas kapal selam Scorpene KD Tun Razak".

Dalam pos blognya semalam, beliau mengakui berada di kapal selam itu selama kira-kira lima jam, dan telah menemubual anak-anak kapal perkara-perkara berhubung kapal selam berkenaan yang dipercayai adalah rahsia negara.

Jejas keselamatan negara

Sementara itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dilaporkan mempersoal tindakan kementerian pertahanan membenarkan blogger kontoversi Umno itu menaiki kapal tersebut.

Bercakap kepada pemberita pada majlis makan malam amal parti itu di Straits Quay Pulau Pinang, malam tadi, Anwar mendakwa tindakan membawa Papagomo itu mungkin menjejaskan keselamatan negara.

Beliau juga turut melahirkan rasa hairan seolah-olah Papagomo 'berada di atas undang-undang' dan tidak perlu mematuhi mana-mana undang-undang negara.

Justeru, kata Anwar, kehadiran Papagomo di sekitar kapal selam berkenaan merupakan satu isu penting bagi pihak pembangkang ketengahkan kerana keselamatan negara mungkin telah terjejas.

Beliau mendesak pihak polis supaya segera menyiasat perkara itu.


Siswa: Anak kecil bermain api, terbakar hatinya | Print |
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 11 Dis: Aksi Mahasiswa Peduli (Aksi) menyambut baik kenyataan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifudin Abdullah kerana merasakan bahawa sudah tiba masanya untuk mahasiswa diberikan autonomi.

Setiausaha Akhbar Aksi, Ekhsan Bukharee Badarul Hisham menyatakan demikian sebagai respons terhadap pelbagai reaksi mengenai debat yang mereka anjurkan di Universiti Malaya, kelmarin.

Antaranya daripada Timbalan Naib Canselor HEP UM, Prof Datuk Dr Rohana Yusuf yang meminta bahagian keselamatan untuk memberhentikannya kerana penganjur telah melanggar kesalahan universiti di atas sebab tidak meminta kebenaran daripada pihak HEP sendiri.

Tambahnya, tindakan itu tidak menunjukkan keprofesionalan beliau dan memalukan profesyen pensyarah serta ahli akademik umumnya.

Di atas paksi kebebasan berakademik, kata beliau sewajarnya pihak universiti menyambut baik program yang kami anjurkan kerana ia adalah untuk mematangkan konsep ilmiah dalam minda mahasiswa itu sendiri.

“Dan kami berasa hairan mengenai program forum yang dianjurkan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) sendiri pada dua hari sebelum debat ini berjalan, mengapa pihak universiti memberi kebenaran untuk dilaksanakannya?

“Adakah pihak universiti takut dengan memberi autoriti kepada panel-panel dalam forum itu?” soalnya.

Justeru, katanya Aksi berasa janggal terdapat sebuah universiti yang gah namanya pada suatu ketika dahulu, kini seakannya mahu mengekang mahasiswa dari terus bersuara dan melontarkan idea, malah dimomokkan dengan Auku itu sendiri.

Pihaknya, kata beliau mendapat respons mengenai pembatalan tempat di Auditorium Tun Mohamed Suffian, Fakulti Undang-undang UM selepas Speaker Corner di Masjid Ar-Rahman UM selepas solat Jumaat kira-kira jam 4 petang.

Walau bagaimanapun, katanya Aksi tetap meneruskannya di sebelah perpustakaan Fakulti Undang-undang yang kecil ruangnya dan kami begitu teruja dengan kehadiran kira-kira 300 orang mahasiswa serta mahasiswi walaupun program kami disabotaj sebegitu rupa.

Lantaran dari provokasi itu, ujarnya Datuk Saifuddin Abdullah dalam laman twitternya berasa dukacita debat Auku di UM terbatal ketika ia sedang dijalankan dan beliau akan menyiasatnya.

“Aksi menyambut baik kenyataan beliau itu kerana kami merasakan bahawa sudah tiba masanya untuk mahasiswa diberikan autonomi,” ujarnya lagi.

Ini, katanya berbeza dengan TNC HEP UM yang mendidik mahasiswa dengan mengagungkan birokrasi yang rumit daripada konsep ilmiah itu sendiri lalu menghalang mahasiswa dan tidak meminta penjelasan daripada mahasiswa.

“Tujuan kami hanya satu iaitu perbincangan ilmiah serta mahukan percambahan idea daripada mahasiswa kepada mahasiswa sendiri dan sebab itulah kami menganjurkan debat kelmarin,” katanya.

Oleh sebab itu, ujarnya lagi Aksi seiring dengan pendirian Bebas yang mahukan autonomi sepenuhnya kepada mahasiswa.

“Kami mahu mengingatkan tangan-tangan yang tidak sepatutnya agar tidak memandomkan minda mahasiswa sendiri dari terus matang dan mampu menilai serta menjadi agen perubahan sedangkan ‘anak kecil bermain api, terbakar hatinya yang suci’, begitu jugalah kami di pihak mahasiswa yang menginginkan perubahan,” ujarnya.


Sultan Selangor dukacita anugerah Hasan Ali dipolitik | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 11 Dis: Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Mohammed Khusrin Munawi menjelaskan penganugerahan darjah kebesaran Selangor kepada exco kerajaan negeri Datuk Hasan Mohamed Ali adalah sebagai memberi keadilan kepada parti komponen Pakatan Rakyat negeri itu.

Beliau yang dipertik Bernama berkata, pemberian anugerah itu bukan atas kapasiti Hasan sebagai ahli politik tetapi atas kapasitinya sebagai seorang penjawat awam.

"Penganugerahan kepada Hasan (tengah) disifatkan memberi keadilan kepada parti komponen Pakatan kerana Selangor ditadbir kerajaan Pakatan Rakyat yang mengandungi tiga parti komponen iaitu PKR, DAP dan PAS," katanya yang dilapor agensi berita itu.

Pada 2009, Sultan Selangor mengurniakan darjah kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (atas, kiri) yang mewakili PKR, dan darjah Datuk Paduka Mahkota Selangor (DPMS) kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Teng Chang Khim pada 2010 mewakili DAP.

Tahun ini, Sultan Selangor berkenan menganugerahkan DPMS kepada Hasan.

Sehubungan itu kata Khusrin, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa dukacita kerana mendapati ada pihak cuba mempolitikkan isu pemberian darjah kebesaran Selangor sempena hari keputeraan ke-66 baginda itu.

Permainan Utusan

Penjelasan itu sekaligus menolak telahan kolumnis tetap akhbar Umno Utusan Malaysia, Zaini Hassan yang membuat andaian anugerah kepada Hasan itu perlu dilihat sebagai satu usaha untuk mengahwinkan PAS dan Umno demi perpaduan umat Islam.

Zaini dalam tulisannya yang disiar di akhbar itu 7 Disember lalu mendakwa Hasan sangat diperlukan untuk memainkan peranan “melakukan perkahwinan” antara PAS-Umno.

Nama Hassan sering dikaitkan oleh Utusan sebagai orang “penting” dalam mewujudkan kerajaan perpaduan antara Umno dan PAS selepas pilihan raya umum 2008.

Dalam kolumnya itu, Zaini berhujah bahawa di Selangor, faktor Dr Hasan masih lagi penting kerana pengikutnya di dalam PAS sangat besar dan pengaruhnya di kalangan penjawat awam Melayu dalam kerajaan Selangor juga amat besar.

Perkembangan itu, menurut Zaini, memberikan kelebihan kepada Dr Hasan bertindak sebagai pemangkin kepada perkahwinan PAS dan Umno.


Real Madrid 1- 3 Barcelona: Suatu Iktibar | Print |
Nasruddin Hassan
1. Seawal pagi tadi, sebelum saya berkesempatan solat subuh berjamaah dengan Al Fadhil Ustaz Nik Mohd Abduh, Al Fadhil Ustaz Syed Abdul Kadir al Joofre dan Ir Hj. Khairil Nizam di pejabat kami, saya sempat menonton penuh minat perlawanan bolasepak El Clasico antara Real Madrid dan Barcelona yang sememangnya menjadi 2 pasukan favourite saya sejak saya masih dibangku sekolah lagi.

2. Perlawanan ini sangat menarik bermula dengan gegak gempita Stadium Santigao Bernabeu seawal 21 saat perlawanan berlangsung oleh jaringan Karim Benzema yang juga merupakan pemain antarabangsa dari Perancis. Tentu sahaja penyokong Real Madrid yang memenuhi Stadium di laman sendiri melimpah melampaui garis 50 ribu penyokong tegar.

3. Namun kewibawaan pasukan seperti Barcelona yang sering mengungguli pentas perlawanan antarabangsa nyata tidak tergugat dengan sorakan dan sokongan puluhan ribu penyokong Real Madrid apabila Barcelona berjaya menyamakan kedudukan melalui jaringan bergaya Alexis Sanchez pada minit ke-30.

4. Sungguhpun demikian, Real Madrid juga bukanlah sebarang pasukan malah mereka sedang mengungguli La Liga. Pasukan mereka turut dibarisi pemain yang memiliki karisma tersendiri. Namun kesilapan yang tidak disengajakan oleh seorang pemain Real Madrid Marcelo, membentuk defleksi yang menghasilkan jaringan kedua Barcelona pada minit ke 52 menewaskan Iker Casillas ekoran tendangan jarak jauh oleh Xavi Hernandez.

5. Saya lihat, Real Madrid mula kehilangan rentak dan sentuhan classic mereka apabila ketinggalan 2-1sedang mereka beraksi dilaman sendiri dan ianya jelas ketara apabila sering membuat hantaran - hantaran yang tidak tepat serta kegagalan membuat penyudah yang tajam dan tepat ke pintu gol. Akibatnya gawang mereka bolos lagi pada minit ke 65 tatkala umpan silang Daniel Alves berjaya ditanduk bijak oleh Fabregas dan membawa kemenangan bergaya Skuad Barcelona di gelanggang lawan.

6. Nota subuh saya pagi ini buat semua sahabat dan rakan - rakan seperjuangan, suka saya kongsikan beberapa pengajaran atau iktibar dari perlawanan El Clasico ini kerana saya sifatkan pertandingan di liga pilihanraya umum ke 13 kelak turut melibatkan perlawanan classic antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional.

7. Menjelang perlawanan antara Real Madrid dan Barcelona di awal pagi tadi jelas menunjukkan Real Madrid agak over confident untuk memenangi perlawanan berasaskan reputasi mereka yang mendahului liga dan bertanding pula di laman sendiri. Lebih ketara sifat itu terserlah apabila mereka berjaya mencecah jaring Barcelona seawal detik perlawanan. Akhirnya sifat over confident ini telah menjerat diri mereka. Mereka tewas dengan 1- 3 di tangan Barcelona. Justeru itu, kita tidak boleh mewarisi sifat over confident dalam perjuangan ini sungguhpun kita mempunyai beberapa kelebihan semasa.

8. Perkara kedua yang ingin saya tekankan di sini ialah penyokong yang ramai tidak menjamin kita mencapai kemenangan. Kita jangan sekali - kali teruja dengan jumlah penyokong. Apa yang penting kepada kita untuk memenangi liga pilihanraya umum ke 13 ini ialah penglibatan dan dokongan yang berstamina, kehebatan skil serta bijak teknikal dan kaya taktikal. Jangan hanya menjadi penyokong di luar gelanggang kerana ia tidak menjamin kemenangan. Sebaliknya turun bergelanggang, harungi susah sukar mengerah tenaga memburu kemenangan.

9. Jangan banyak bercakap apalagi bercakap besar menonjolkan keangkuhan dengan kelebihan yang dimiliki. Sebaliknya banyakkan kerja dan fokus kepada tugas. Bentuk kesepaduan dan kerja berpasukan yang mantap melalui persefahaman yang baik. Stamina yang tinggi untuk membuat larian tanpa henti dengan tidak memiliki persefahaman yang baik akan menyebabkan team kita kucar kacir dan sering membuat hantaran yang tidak tepat lalu kita gagal pula membuat penyudah yang berkesan.

10. Minimakan kesilapan - kesilapan yang boleh merugikan perjuangan. Jangan sekali - kali menjaringkan gol sendiri walaupun ianya boleh sahaja berlaku di luar kawal, tetapi kita wajar berhati - hati terutama menghampiri area kotak penalti sebagaimana kita juga wajar berhati - hati menjelang tempoh pilihanraya.

Akhirnya, sungguhpun kita pernah tewas, jangan putus asa sebaliknya terus bangkit dan berjuang. Insyaallah kita masih berpeluang untuk mencapai kemenangan. Lihat sahaja Barcelona pagi tadi, biarpun ketinggalan satu gol, tetapi bingkas berjuang dan akhirnya memenangi perlawanan tersebut dengan jaya dan gayanya.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Contohi semangat 'Angry Birds', lawan kezaliman | Print |
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 11 Dis: Dewan Pemuda PAS Pusat menyeru seluruh rakyat negara ini mencontohi semangat juang burung-burung yang menentang pencuri dalam permainan Angry Birds.

Dalam satu kenyataan sempena ulangtahun kedua Angry Birds, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hasan menyifatkan Angry Birds sebagai permainan yang mengajar rakyat agar bangkit berjuang menghapuskan kezaliman.

"Slogan ‘Jangan Curi !!’ dalam permainan itu adalah simbol kemarahan rakyat terhadap empat pengkhianatan pemimpin terhadap rakyat di Malaysia.

"Ianya adalah penafian hak rakyat Kelantan terhadap royalti petroleum, penyelewengan Felda dan langkah penyenaraian Felda Global Ventures yang menggadai nasib peneroka, keraguan daftar pemilih oleh SPR sebagaimana didedahkan oleh Pemuda PAS dan kontroversi projek National Feedlot Centre bernilai RM250 juta sebagaimana dilapor Ketua Auditor Negara", katanya kepada Harakahdaily.

Sementara itu, Pengarah Institut Polisi Studi dewan itu, Mohd Syahir Sulaiman pula berkata, rakyat negara ini wajar mengambil semangat sama demi menentang budaya korupsi dan pecah amanah di kalangan pemimpin negara.

Angry Birds katanya memberi inspirasi perjuangan mempertahankan hak dengan semangat yang ditunjjukan secara kreatif dan penuh tekad berusaha untuk mendapatkan kembali telur mereka yang dicuri.

"Pada setiap peringkat, Angry Birds perlu meningkatkan keupayaan untuk memecahkan tembok dan helah oleh si pencuri untuk berselindung.

"Ini mengajar kita tiga perkara iaitu; rakyat perlu bangkit menentang kezaliman, pencuri akan ditentang dan pihak yang benar pasti akan mengalahkan pihak yang salah”," katanya.

Media sebelum ini melaporkan ‘Angry Birds’ adalah salah satu daripada carian Google paling popular di kalangan rakyat Malaysia, yang berjaya memecah rekod tertinggi di dalam sejarah permainan video dengan jumlah muat turun melebihi 500 juta, hasil idea permainan yang santai, interaktif, dan mempunyai makna tersendiri.


MB T'ganu tidak faham Enakmen Jenayah Syariah | Print |
Harakahdaily

KUALA TERENGGANU, 11 Dis: Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) merasa kecewa dan kesal dengan kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berhubung pertikaian Enakmen Kanun Jenayah Syariah Terengganu dan Kelantan khususnya berkaitan meliwat isteri dan kesalahan rogol seperti mana dilaporkan dalam akhbar Sinar Harian edisi 9 Disember lalu.

Timbalan ketuanya, Ridzuan Hashim berkata, DPPNT mendapati MB telah gagal memahami enakmen tersebut secara menyeluruh sedangkan sudah berkali-kali diterangkan oleh banyak pihak khususnya dari PAS sendiri bahawa yang dimaksudkan perkataan “selain dari isterinya” bagi kes liwat bukan bermaksud pengecualian dari sudut pengharusan di mana suami boleh meliwat isteri, tetapi ianya adalah pengecualian dari disabitkan di bawah kesalahan hudud.

Katanya, perbuatan suami meliwat isteri tetap salah, tetapi ianya disabitkan dibawah kesalahan ta’zir.

Jelasnya, bagi seseorang wanita yang hamil atau melahirkan anak sebelum berkahwin tidaklah terus disabitkan di bawah hukuman zina seperti didakwa Ahmad.

“Ini kerana dalam enakmen jelas menyebut bahawa jika perempuan tersebut dapat membuktikan dirinya dirogol, maka dia tidak akan disabitkan dengan kesalahan zina,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini.

Perkara 46 (2) Kanun Jenayah Syariah Kelantan menyebut:

“Dalam perkara zina, kehamilan atau kelahiran anak oleh seseorang perempuan yang tidak mempunyai suami hendaklah menjadi keterangan yang boleh mendapatinya bersalah melakukan zina dan yang demikian hukuman hudud ke atasnya hendaklah dikenakan MELAINKAN jika dia dapat membuktikan sebaliknya.”

Ini, ujarnya membuktikan Ahmad Said tidak membaca enakmen tersebut secara menyeluruh dan mendapat nasihat yang salah dari penasihat agamanya.

Seharusnya, kata beliau sebagai seorang yang kurang arif dalam agama, Ahmad sewajarnya mendapatkan penasihat agama yang betul dan arif tentang agama.

Ahmad Said juga, tambah beliau seharusnya sedar bahawa Enakmen Jenayah Syariah itu bukan digubal mengikut kehendak pimpinan PAS semata-mata, tetapi merujuk kepada sumber Al-Quran dan as-Sunnah serta pendapat para alim ulama terkemuka.

“Enakmen ini juga sudah diwartakan dan ditandatangani oleh Tuanku Sultan selaku Ketua Agama Islam Negeri,” ujarnya.


Pakatan tak pernah bincang penyertaan Kita | Print |
Muhammad Faizal

SHAH ALAM, 11 Dis: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu memberitahu Pakatan Rakyat tidak pernah membincangkan soal Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) untuk menyertai gabungan itu.

Malah katanya, sehingga sekarang belum ada sebarang permohonan dari Presiden Kita, Datuk Zaid Ibrahim untuk menyertai Pakatan Rakyat pada Pilihanraya Umum Ke 13 nanti.

Beliau juga menjelaskan, segala keputusan penyertaan parti Kita itu perlu melalui pembincangan pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat.

"Perkara ini baru saya ketahui walaupun ia telah disiarkan di dalam akhbar, tapi apa yang ingin dinyatakan sehingga sekarang kita belum menerima apa-apa permohonan dari Presiden Kita.

"Setiap apa jua keputusan setelah permohonan diterima kita akan membincangkan pada peringkat tertinggi Pakatan Rakyat," jelasnya pada satu sidang media selepas Majlis Pelancaran Dokumen Negara Berkebajikan di Kompleks PKNS hari ini.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menambah buat masa sekarang tidak ada sebarang jawapan dapat diberikan terhadap dakwaan itu.

"Secara dasarnya kita tidak boleh membuat sebarang keputusan kerana ia perlu diputuskan oleh peringkat tertinggi.

"Banyak perkara yang perlu dinilai kembali sewaktu beliau keluar dari Keadilan dan sepanjang beliau berada di dalam Kita," katanya yang juga ahli parlimen Kubang Kerian.

Tambahnya Pakatan Rakyat mempunyai dasar bersama dan setiap dasar perlu dipersetujui oleh Kita jika mereka mahu menyertai Pakatan Rakyat.

Sebelum itu Presiden Kita, Datuk Zaid Ibrahim telah mengeluarkan kenyataannya bahawa parti itu tidak akan meletakkan mana-mana calon bertanding dalam PRU 13 dan bersedia menyokong Pakatan Rakyat.

Sokongan itu menurutnya ekoran tidak sehaluan dengan dasar Barisan Nasional sejak akhir-akhir ini yang membangkitkan isu perkauman dan menghina parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

1,160 pemimpin PAS lafaz ikrar bai'ah hari ini | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 10 Dis: Seramai 1,160 orang pemimpin PAS dari seluruh negara melafazkan ikrar bai'ah memikul tanggungjawab kepada perjuangan parti untuk menegakkan perintah Allah di negara ini, di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) di Taman Melewar, di sini, hari ini.

Mereka terdiri daripada Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat; Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Pusat; Ahli-ahli Jawatankuasa Jabatan Pilihanraya PAS Pusat; Pengarah dan Setiausaha Jabatan Pilihanraya Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat PAS Pusat.

Selain itu termasuk Yang Dipertua dan Setiausaha PAS kawasan-kawasan: Pengarah dan Setiausaha Jabatan Pilihanraya PAS negeri-negeri; Pengarah, Setiausaha dan Ahli-ahli Jawatankuasa Pilihanraya PAS kawasan-kawasan; Pengerusi dan Setiausaha Lajnah Tarbiyah PAS negeri-negeri.

Turut serta Pengerusi dan Setiausaha Lajnah Tarbiyah PAS kawasan-kawasan; Pengerusi dan Setiusaha Lajnah Tarbiyah Dewan Ulama negeri, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS negeri; Pengerusi dan Setiausaha Lajnah Tarbiyah Urusan Ulama kawasan, Dewan Pemuda PAS dan Dewan Muslimat kawasan dan 10 orang wakil Nisa' negeri-negeri.

Bacaan ikrar bai'ah diketuai oleh Pengarah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dengan diikuti Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden, Mohamad Sabu, Naib-Naib Presiden dan pemimpin-pemimpin utama PAS lain bersama-sama pemimpin-pemimpin terbabit.

Lafaz baiah tersebut dibacakan sekitar jam 3.30 petang yang berbunyi: "Alhamdulillahi hirabbil alamin, wassalatu wassalam ala asrafil ambiai warmusalin, waala alihi wa sohbihi ajmain, am ma bad ......

"Dengan nama Allah yang telah mengutuskan rasul-Nya Muhammad sallallahu alaihi wasallam, saya dengan ini berikrar dan berbai'ah bahawa saya akan memikul amanah dan tanggungjawab dalam mengikhlaskan diri kepada perjuangan PAS untuk menegakkan agama/perintah Allah subhanahu wataala dan rasul-Nya.

"Saya juga akan sentiasa menjaga dan memelihara semua perkara yang menjadi kerahsiaan urusan dan perjalanan Parti Islam Se-Malaysia (PAS)".

Ikrar bai'ah itu dilafaz dengan Idris, Abdul Hadi, kepimpinan utama parti dan kesemua pemimpin terbabit berdiri sambil tangan memegang kertas yang bercetak kata-kata tersebut, tetapi tidak dengan mengangkat tangan seperti ikrar-ikrar yang dibuat oleh sesetengah pihak.

Lafaz ikrar bai'ah itu dibuat sempena program Ijtimak Tarbawi Pilihanraya anjuran Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Pusat dengan kerjasama Lajnah Politik PAS Pusat di Dewan Datuk Fadzil Mohd Noor di KUIZM bermula jam 8.00 pagi tadi.

Ijtimak tersebut dirasmikan oleh Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada jam 9.15 pagi yang turut menyampaikan ucapannya atas tajuk "Teguhkan Jamaah Teruskan Jihad".

Selepas itu, program diteruskan dengan pembentangan kertas kerja pertama oleh Ustaz Idris Ahmad yang bertajuk "Peranan Tarbiyah Kepada Petugas Pilihan Raya".

Kertas kerja kedua pula dibentangkan oleh Bendahari PAS Pusat yang juga dari Majlis Syura, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman yang bertajuk "Jihad dan Penghayatannya - Bertekad Memenangi PRU 13".

Manakala majlis penutupnya disempurnakan oleh Abdul Hadi dengan ucapannya yang berkisar atas tajuk "Kesepaduan Fikrah dan Amal Jamaie Dalam Menghadapi PRU 13".

Sebaik sahaja Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang selesai menyampaikan ucapannya yang juga amanatnya selaku Presiden parti, pengerusi majlis terus menjemput Idris untuk memulakan majlis bai'ah yang dibacakan dengan penuh keikhlasan oleh beliau, Abdul Hadi, kepimpinan utama parti dan kesemua pemimpin terbabit.

Perpaduan suara mereka membuatkan Dewan Datuk Fadzil Noor bukan sekadar bergema dengan janji para pemimpin PAS untuk terus berbakti di jalan Allah, tetapi turut menjadi saksi tentang kesepaduan semangat mereka untuk menempuhi pelbagai halangan dalam usaha mendaulatkan agama Allah di tanah air ini.

Tiada ulasan: