Jumaat, 30 Oktober 2015

MEMULIAKAN TETAMU

Petikan dari Blog – Adab Menerima dan Melayan Tetamu

Berikut ada lah satu petikan dari sebuah blog. Mungkin kita tidak perasan dan tidak berapa ambil berat tentang adab-adab menerima dan melayan tetamu khasnya bila tetamu itu adalah orang yang terlalu biasa dengan kita  seperti ibu-bapa kita, adik beradik kita atau saudara-mara kita mau pun sahabat handai kita yang biasa bertamu ke kediaman kita.  Petikan ini amat berguna untuk kita jadikan panduan dalam kehidupan seharian kita dan juga anak-anak kita. Di dalam kesibukan kita dalam berkerja dan mencari rezeki, kadang-kadang kita lupa untuk melengkapkan diri kita serta anak-anak kita dengan ilmu kehidupan ini. Apa lagi bila anak-anak kita belajar di sekolah berasrama dan masa mereka bersama kita hanyalah pada cuti sekolah sahaja. Kita kena ketahui bahawa itulah dosa kita sebagai ibu mahu pun bapa jika kita gagal atau alpa dalam memperlengkapkan ilmu kehidupan yang dituntut oleh Islam ini kepada anak-anak kita. Oleh itu, (peringatan buat diri saya sendiri juga) masih tidal terlambat bagi kita untuk mendidik mereka walau pun mereka dah berkerjaya serta berumahtangga. Petikan ini diharap dapat dibaca oleh ibu/ bapa serta semua anak-anak agar memperoleh rahmat Allah SWT  serta menjadi umat yang berjaya dalam kehidupan dan kebarkatan di akhirat nanti.
Ini lah petikannya:
Thursday, May 29, 2008TAZKIRAH AKHLAK ISLAMIYYAH
ADAB MELAYAN TETAMU
Siapakah tetamu? Tetamu ialah orang yang berkunjung atau menziarahi orang lain sama ada dijemput atau tidak. Dalam Islam adalah dituntut untuk melayan tetamu yang menghadirkan diri ke rumah kita dengan layanan yang paling baik. Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat hendaklah memuliakan tetamu dengan memberi layanan kepadanya. Sahabat bertanya, “Apakah layanan itu wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab, “ Layanan istimewa selama sehari semalam, dan tempoh layanan sebagai tetamu hendaklah dalam masa tiga hari, layanan yang diberikan selepas tempoh itu dikira sebagai sedekah.” Muttafaqun ‘Alaihi

Oleh yang demikian, adalah wajib bagi umat Islam melayan tetamu yang hadir ke rumah kita. Apa ada terhadap tetamu?Ada beberapa adab dengan tetamu kita. Antaranya ialah;

1. Memberikan layanan yang baik. Kita perlu menyambut tetamu dengan muka yang manis, berjabat tangan dan jangan lupa kita tanyalah khabar tetamu tu. Janganlah jadi kera sumbang pula dengan buat tidak tahu sahaja apabila tetamu hadir. Ada juga di antara kita yang tidak mahu buka pintu pagar memberikan izin tetamu masuk dengan alasan, menyibuk sahaja. Jangan begitu, tapi berilah layanan yang paling baik yang termampu bagi kita.

2. Menyediakan jamuan yang termampu. Jamuan, satu kemestian bagi orang-orang tua zaman dulu, jika ada orang datang layanannya memang kelas pertama. Sama juga dalam tuntutan Islam, sediakan jamuan tapi ikutlah kemampuan kita. Jangan menjamu selera secara membazir dengan menggunakan di luar kemampuan kita. Itu yang dilarang dalam Islam. Ingat sediakan yang termampu, kalau air bujang sahaja yang termampu, maka sediakanlah ikut kemampuan. Nabi pesan kepada kita, hendaklah kita makan bersama-sama dengan tetamu kerana tetamu segan makan bersendirian. Jadi selaku tuan rumah janganlah biar tetamu makan seorang diri.

3. Menunjukkan muka yang manis. Ingat, jangan buat muka yang tidak disenangi oleh tetamu yang hadir.Walaupun dalam keadaan penat, maniskan muka semampu boleh agar tidak timbul fitnah di belakang kita pula. Jangan sombong dengan tetamu, pilih topik yang sesuai dengan tetamu kita. Ajak berbual,selepas itu jangan pula tetamu tanya 10 patah perkataan, kita jawab 1perkataan je. Tidak boleh sama sekali. Kenapa Islam menggesa melayan tetamu?Banyak kelebihannya, antaranya kita akan lebih murah rezaki dan akan ditambah keberkatan daripada Allah S.W.T. Dengan jamuan yang diberikan sebenarnya rezeki kita itu akan dibayar berganda dengan Allah asalkan pemberian kita itu ikhlas. Allah juga akan memberikan ganjaran pahala berlipat kali ganda kerana kesungguhan kita melayan tetamu. Apa lagi yang diperoleh? Hubungan silaturrahim akan bertambah erat dan semakin kukuh. Lebih kenal  mengenal antara satu sama lain dan memudahkan urusan kerjasama antara satu sama lain. Bila kita susah,ramai yang akan membantu, bila kawan kita susah jangan buat tidak tahu. Salah di sisi Islam.
APA PULA PERANAN KITA SEBAGAI TETAMU?
Jagalah adab-adab berikut:
1. Mengunjungi rumah kawan pada waktu yang sesuai. Elakkan datang pada waktu makan, waktu tuan rumah berehat dan jangan duduk terlalu lama.
2. Berilah salam sebelum masuk ke rumah.
3. Masuk ke rumah setelah dijemput. Jangan  selamba sahaja masuk tanpa dijemput oleh tuan rumah. Salah.
4. Elakkan rambang mata dalam rumah. Lihat jenama TV, jenama sofa, jenama peti ais, jenama kasut, hatta ada yang buka almari melihat jenama pakaian pun ada. Jangan buat begitu. Salah. Kalau ada niat nak melihat apa yang menarik di rumah yang kita ziarah tu, minta izin dahulu. Yang itu betul.
5. Makan makanan yang disediakan tanpa membuat ulasan yang tidak elok.
6. Jangan tunggu di hadapan pintu rumah, tapi berdirilah di tepi pintu atau di tepi dinding yang berhampiran pintu.Tujuannya, mungkin tuan rumah malu dengan pakaiannya atau  yang tidak menutup aurat atau rumah berselerak. Tunggu dengan sabar, kerana kita adalah tetamu. Ucapkanlah terima kasih dengan layanan tuan rumah tersebut dan salam mereka (yang dibenarkan syarak) sebelum berangkat pulang. Ingatlah, adab melayan tetamu perlu dihayati agar hubungan terus harmoni. Ingat akhlak kita sebagai tetamu supaya tuan rumah tidak jelek dengan karenah kita. Islam menggesa supaya kita mengeratkan silaturrahim tapi jangan lupa dengan adabnya.

Sunday, January 19, 2014

ADAB MENYAMBUT TETAMU

Assalamu'alaikum.  Semoga kita selalu di bawah naungan Allah s.w.t. selalu.  Diberi hidayah dan bimbingan dari masa ke semasa.
Niat yang betul
Tuan rumah perlu berniat mengharapkan pahala dalam menyambut kedatangan tetamu daripada makanan yang dihidangkan serta sambutan yang baik kepada mereka.  Tetamu juga hendaklah meniatkan pahala daripada mendatangi undangan tersebut
kepada tuan rumah.  Dengan demikain, kedua-dua belah pihak akan mendapat pahala atas sebab itu.
Memuliakan Tetamu
Tuan rumah perlu menerima tetamunya dengan hormat dan memuliakannya, iaitu menerimanya dengan senyuman, wajah yang ceria dan mengucapkan kata-kata selamat datang dan sambutan.
Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “ Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Tempoh layanan sebagai tetamu hendaklah dalm masa 3 hari
- Layanan istimewa selama sehari semalam mengikut kemampuan tuan rumah
- Pada hari kedua dan ketiga layanan yang diberi sama seperti yang diberikan kepada  keluarga sendiri dan ianya dianggap sebagai sedekah
Menempatkan Tetamu di Tempat yang sesuai
·         Mempersilakan duduk di tempat yang paling selesa
·         Jika tetamu wanita, tempat yang tidak menyingkap aurat mereka
·         Tempat yang tidak tersebar bau yang kurang senag dan kotor
Menyegerakan Hak Tetamu
Tuan rumah perlu segera menghidangkan hak tetamu seperti air minuman, makanan dan sebagainya.  Jangan lambat dalam menyediakan hidangan sehingga tetamu balik.
Menghidangkan makanan merupakan adab yang dianjurkan seperti Firman Allah s.w.t dalam surah al-Dhariyat 51:27 yang bermaksud “Lalu hidangkan kepada mereka…”
Tidak berlebihan dalam menjamu tetamu
Tuan rumah tidak perlu memberatkan kemampuan diri di luar kemampuannya dalam menyediakan makanan kepada tetamu.  Namun, hidangan yang disediakan untuk tetamu perlu disertai dengan sikap memuliakan mereka.  Nabi Ibrahim a.s. telah menyembelih seekor anak lembu yang gemuk untuk tetamunya.  Itu ialah hidangan terbaik yang dimiliki baginda.
Layanan terbaik kepada tetamu
- Melayani sendiri tetamu merupakan satu adab yang dianjurkan dalam al-Quran, sebagaimana dalam kisah Nabi Ibrahim a.s. Allah berfirman yang bermaksud: “Kemudian ia masuk menemui keluarganya serta membawanya keluar seekor anak lembu (yang dipanggang).  Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata: ‘Silakan makan.’” ( surah al-Dhariyat 51 : 26 – 27)
- Antara layanan baik yang boleh diberikan kepada tetamu ialah menyediakan tempat tidur yang selesa, memastikan anak2 kita tidak membuat bising, tidak menganggu tetamu,
sentiasa tersenyum dgn muka yang manis, berbual bertanya khabar sama tentang diri atau keluarga, jaga tutut kata supaya tidak mengikut perasaan dsbnya.

- Elakkan melakukan sesuatu yang menjatuhkan maruah tetamu seperti melunjurkan kaki ke arahnya
- Pesan Rasulullah saw: Makanlah bersama tetamu kerana tetamu malu makan bersendirian

 Menghantar ke muka pintu
Apabila tiba waktu tetami akan pulang, tuan rumah perlu menghantarnya sampai ke pintu rumah sebagai tanda memuliakan dan mengormatinya.
Abu ‘ubaid pernah mengunjungi Imam Ahmad di rumahnya. Dia bercerita: “ Ketika aku bangkit ingin pulang, Imam Ahmad juga bangun bersamaku.  Aku berkata: ‘Jangan susah wahai Abu Abdillah.’ Beliau mengatakan bahawa al-Sha’bi berkata: ‘Termasuk kesempurnaan memuliakan tetamu ialah tuan rumah berjalan bersama tetamu hingga ke pintu rumah dan sehingga mereka menaiki kenderaannya.’” (al-Adab al-Shari’yyah, jil. 3, hlm. 227)
Tuan rumah tidak terus masuk ke rumah dan mengunci pintu sejurus tetamu keluar rumah kecuali setelah tetamu sudah berlalu pergi atau kenderaannya sudah bergerak.


Batas-batas pergaulan bersama tetamu
Memakai pakaian yang bersih, kemas dan menutup aurat

Kelebihan melayan tetamu
- Murah rezeki, mendapat rahmat dan berkat drpd Allah swt
- Bertambah kasih sayang antara tetamu dan tuan rumah yang dikunungi
- Menarik perhatian orang bukan Islam terhadap keindahan Islam
- Mengiratkan silaturrahim dan memupuk semangat perpaduan
- Mendapat ganjaran pahala dan keampunan Allah swt
 Semoga bermanfaat dan dimanfaatkan.
Wassalam



Renungan Buat Pecinta Syurga: Memuliakan Tetamu Undang Rahmat

Renungan Buat Pencinta Syurga Oleh Mohd Shahrizal Nasir
Renungan Buat Pencinta Syurga Oleh Mohd Shahrizal Nasir
SETIAP individu di dunia ini semestinya pernah dikunjungi oleh tetamu. Mereka yang datang bertandang ke rumah, pastinya dengan hajat dan keperluan tertentu.

Islam amat menitik-beratkan hubungan antara sesama manusia. Oleh itu, Islam telah menggariskan adab dan etika tertentu bagi memuliakan tetamu yang hadir ke rumah kita.

Sebenarnya, tetamu yang bertandang ke rumah adalah satu amanah ALLAH yang harus ditunaikan haknya. Pihak tuan rumah bertanggungjawab sepenuhnya selama keberadaan tetamu di rumahnya serta berkewajipan membelanjakan sebahagian rezekinya untuk mereka.

Menghormati tetamu dan menyempurnakan haknya menjadikan seseorang muslim itu memiliki iman yang sempurna. Lebih utama lagi apabila tetamu yang berkunjung ke rumah adalah saudara seagama sendiri. Di sini jelas terpancar keindahan Islam yang amat menitikberatkan amalan bantu-membantu sesama manusia.

Namun, keadaan ini tidak menafikan hak tetamu yang bukan beragama Islam untuk mendapat layanan terbaik daripada pihak tuan rumah yang beragama Islam. Golongan bukan Islam yang menjadi tetamu kepada orang Islam juga berhak mendapat layanan yang terbaik daripada tuan rumah.

Berkaitan hubungan sesama manusia, khususnya yang beragama Islam, Rasulullah pernah bersabda dalam sebuah hadis yang menerangkan betapa perlunya kita menghormati dan menyayangi saudara seagama. Perkara ini berkait rapat dengan tahap keimanan seseorang individu muslim.

Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga dia menyukai (sesuatu kebaikan terjadi) untuk saudaranya apa yang dia sukai untuk dirinya sendiri. - Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim

Menghormati serta memuliakan tetamu juga merupakan sunnah para nabi dan rasul sebagai contoh ikutan terbaik buat umat manusia. Misalnya, Nabi Ibrahim adalah antara para rasul yang amat memuliakan tetamunya.

Baginda menerima tetamu yang bertandang ke rumahnya dengan hati terbuka serta melayani mereka dengan layanan terbaik. ALLAH telah merakamkan perihal baginda yang menghormati tetamunya serta memberi layanan terbaik kepada mereka menerusi firman-NYA:

Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Ibrahim yang dimuliakan? Tatkala mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: “Salam sejahtera kepadamu!’’, Ibrahim menjawab: “Salam sejahtera kepada kamu!” (sambil berkata dalam hati): Mereka ini orang yang tidak dikenali. Kemudian ia masuk mendapatkan ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata: “Silakanlah makan.” - Surah al-Zariyat : 24-27

Begitu juga dengan kisah Nabi Lut ketika didatangi tetamu yang sebenarnya para malaikat untuk menguji kaum baginda. Tetamu Nabi Lut telah datang ke rumah baginda dengan menyerupai wajah lelaki yang sangat memikat.

Oleh kerana kaum Nabi Lut memiliki perasaan cintakan kaum sejenis, maka mereka berusaha untuk mengganggu tetamu baginda. Lalu baginda telah sedaya upaya menjaga keselamatan para tetamu tersebut daripada menjadi mangsa kezaliman kaumnya yang dilaknat ALLAH. Al-Quran merekodkan kisah ini:

Dan kaumnya pun datang meluru kepadanya (dengan tujuan hendak mengganggu tetamunya) sedang mereka sebelum itu sudah biasa melakukan kejahatan. Lut berkata: “Wahai kaumku. Di sini ada puteri-puteriku. Mereka lebih suci bagi kamu (maka berkahwinlah dengan mereka). Oleh itu, takutlah kamu kepada ALLAH dan janganlah kamu memberi malu kepadaku di hadapan tetamu-tetamuku. Tidakkah ada di antara kamu seorang lelaki yang bijak berakal (yang dapat memberi nasihat)?” - Surah Hud : 78

Inilah di antara contoh yang jelas bagi menggambarkan pentingnya memuliakan tetamu yang datang ke rumah. Jika disoroti sejarah Rasulullah pula, dapat dilihat bahawa golongan Ansar telah menunjukkan contoh yang baik dalam hal memuliakan tetamu.

Mereka telah memberi layanan dan bantuan yang amat istimewa kepada golongan Muhajirin yang meninggalkan keluarga, harta benda serta kemuliaan di Mekah semata-mata untuk berhijrah ke Madinah.

Segala keperluan hidup yang diperlukan oleh golongan Muhajirin dipenuhi dengan sempurna oleh Ansar. Bahkan, golongan Ansar ini sanggup menceraikan sebahagian daripada isteri-isteri mereka untuk dijadikan isteri kepada kelompok Muhajirin. ALLAH menjelaskan kemuliaan sifat-sifat golongan Ansar ini menerusi firman-NYA:

Dan orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang yang berhijrah (Muhajirin) ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang yang berjaya. - Surah al-Hashr : 9

Sebenarnya, amalan menghormati dan memuliakan tetamu bukan sahaja menunjukkan akhlak yang terpuji, malah ia berkait rapat dengan tahap keimanan seseorang muslim. Hal ini dijelaskan oleh Rasulullah dalam sebuah hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim:

Sesiapa yang beriman kepada ALLAH dan hari Kemudian, maka hendaklah dia berkata perkara yang baik atau diam. Barang siapa yang beriman kepada ALLAH dan hari Kemudian, maka hendaklah dia memuliakan jirannya. Barang siapa yang beriman kepada ALLAH dan hari Kemudian, hendaklah dia memuliakan tetamunya. - Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim

Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, Rasulullah bersabda:

Barang siapa yang beriman kepada ALLAH dan hari Akhirat maka hendaklah dia menyambung silaturahim. - Hadis riwayat al-Bukhari

Di antara adab-adab yang dianjurkan oleh Islam bagi memuliakan tetamu ialah menyambut kedatangan mereka dengan perasaan gembira serta berwajah manis, saling bertanya khabar berita, sedaya upaya menyembunyikan sebarang masalah keluarga, menyajikan makanan, menyediakan tempat tidur yang baik serta kemudahan-kemudahan yang diperlukan jika mereka bermalam. Perkara-perkara ini harus dizahirkan agar para tetamu yang datang merasa selesa dan rasa dihormati oleh tuan rumah.

Apa yang lebih penting, kesemuanya ini disediakan mengikut tahap kemampuan tuan rumah, tidak terlalu berkira atau berlebihan serta bukan dengan niat untuk bermegah-megah atas rezeki dan kemewahan yang dimiliki.

Kemudahan yang disediakan kepada tetamu pula haruslah pada kadar kemampuannya yang sederhana, serta tidak membebankan. Jika berasa terbeban dengan apa yang diusahakan untuk tetamunya, maka ia telah jauh tersasar daripada tujuan sebenar jalinan hubungan baik antara tuan rumah dengan tetamunya. Firman ALLAH:

Dan juga mereka (yang diredhai ALLAH itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tidaklah melampaui batas dan tidak bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu. - Surah al-Furqan : 67

Para ulama menyatakan bahawa bertamu yang disyariatkan oleh syarak adalah selama tiga hari. Melayani tetamu pada tahap yang wajib secara yang terbaik mengikut kemampuan hanya untuk sehari semalam sahaja. Manakala dua hari yang selebihnya disyariatkan melayani tetamu dengan apa yang ada di rumah sahaja.

Keadaan ini bagi mengelak perasaan terbeban oleh tuan rumah. Perbuatan yang pada awalnya dikira sebagai mulia, tetapi jika berlarutan sehingga sampai ke tahap menyusahkan tuan rumah, dikhuatiri ia akan menimbulkan suasana tidak elok. Malah, mungkin menimbulkan persengketaan pada kemudian hari. Rasulullah bersabda:

Bertamu itu tiga hari; dan selebihnya siang mahupun malam. Tidak halal bagi seorang muslim menetap di rumah saudaranya sehingga saudaranya itu berdosa kerananya. Para sahabat bertanya: “Bagaimana caranya dia berdosa?” Jawab baginda: “Orang itu menetap di rumah saudaranya, sedangkan saudaranya itu tidak mempunyai apa-apa lagi yang akan dihidangkan kepada tetamunya itu.” - Hadis riwayat Muslim

Bagi tetamu pula, mereka juga seharusnya menjaga adab serta etika sepanjang berada di rumah orang lain. Contohnya, mereka seharusnya memilih masa yang sesuai bagi pihak tuan rumah sebelum bertandang.

Tidak manis sekiranya tetamu itu datang bertandang pada waktu pagi selepas solat subuh, waktu tengah hari ketika orang sedang beristirehat, waktu maghrib dan juga larut malam. Inilah hak tuan rumah yang mesti dihormati oleh para tetamu.

Penuturan kata-kata juga mestilah sentiasa dijaga agar tidak mengundang rasa kurang senang dan menyakiti hati tuan rumah. Selain itu, tetamu seharusnya sentiasa menjaga setiap tingkah laku serta tidak mengganggu masa tuan rumah yang sepatutnya diperlukan untuk menyelesaikan tugasan harian mereka yang lebih penting.

Tetamu sepatutnya mengucapkan ucapan ‘terima kasih’ di atas segala layanan yang telah diberikan pada akhir kunjungan mereka serta mendoakan kebaikan buat tuan rumah seisi keluarga. Lebih penting, pihak tetamu wajib menjaga rahsia serta aib tuan rumah sepanjang keberadaan mereka di rumah tersebut.

Dalam konteks yang lebih besar, sebagai rakyat sebuah negara Islam terbaik, maka seharusnya kita sentiasa mempamerkan akhlak dan budaya yang terpuji kepada para pengunjung.

Para pelancong serta pelajar asing yang memilih Malaysia sebagai tempat untuk memenuhi hajat masing-masing seperti belajar dan bekerja sebenarnya adalah tetamu negara yang layak diberi layanan terbaik.

Tanpa mengira agama dan budaya, mereka seharusnya diberi bantuan sewajarnya sepanjang berada di negara ini. Sifat tidak kedekut memberi senyuman serta ringan mulut untuk memberi bantuan apabila diajukan soalan-soalan tertentu adalah antara cara bagi menunjukkan tatasusila dan budaya rakyat Malaysia yang mulia seperti mana yang dianjurkan Islam.

Budaya dan akhlak islamiah perlu ditonjolkan bagi memberi keselesaan kepada para tetamu negara sehingga berjaya memikat hati mereka untuk merasai keindahan Islam yang sentiasa menyeru umatnya supaya berakhlak mulia serta menjaga hubungan baik sesama manusia.

Sesungguhnya mereka ini mengundang rahmat dan keberkatan daripada ALLAH dalam kehidupan, menghilangkan dosa serta menjanjikan pahala sedekah buat tuan rumah yang berusaha sebaik mungkin memuliakan para tetamunya menurut tuntutan Islam.



Bagi yang tiada masa ke kedai buku, bolehlah membuat pesanan secara pos.  Sila bank in bayaran (menurut harga buku)  ke akaun Karangkraf Mall Sdn Bhd. (Maybank - 0142 7120 4204). Tambah RM7 senaskhah bagi kos pos. Kemudian, fakskan slip bank (nyatakan nama, judul buku, alamat & no.tel) ke 03-5101 7483.

Atau sertakan Kiriman Wang/Wang Pos/Cek atas nama KARANGKRAF MALL SDN. BHD. Kirimkan ke Unit Langganan Karangkraf Mall Sdn Bhd, P/S 7041 Pejabat Pos Besar Shah Alam, 40700 Shah Alam, Selangor.

Sebarang pertanyaan mengenai langganan sila hubungi  03 51017480/7481 /7478 HP: 019-3310102 atau http://mall.karangkraf.com

Menghormati tetamu termasuk tuntutan iman

Ditulis oleh Wan Roslili Bt. Abd. Majid. Posted in Berita Harian
SESUATU yang menarik dan tidak putus-putus diperkatakan mengenai tradisi menyambut Syawal adalah kunjung-mengunjungi antara sesama saudara, sahabat handai, kaum dan bangsa.

Demikian juga amalan mengadakan rumah terbuka yang bukan saja membabitkan sesebuah keluarga, malah kini dianjurkan pelbagai organisasi dan institusi.

Tradisi ini pula tidaklah menyalahi hukum dan adat, malah amat digalakkan kerana ia membawa banyak kebaikan kepada masyarakat negara ini, khususnya dalam mengerat hubungan antara anggota masyarakat.

Dalam kemeriahan dan keghairahan memenuhi undangan menghadiri jamuan dan rumah terbuka, pasti ada adab-adabnya yang tidak wajar diabaikan.

Adab meraikan tetamu dan memenuhi undangan dijelaskan terperinci dalam kitab Ihya' `Ulumuddin, karangan Imam Muhammad al-Ghazali Jilid 2 muka 10 hingga 13.

Adab ini yang dapat memastikan bahawa setiap tingkah laku dan tindakan tuan rumah yang mengadakan jamuan serta tetamu yang memenuhi undangan kekal terpelihara dan tidak melanggar batas sempadan.

Bagi tuan rumah yang mengadakan jamuan, ia sebenarnya memenuhi tuntutan agama agar sentiasa mengalu-alukan kehadiran tetamu.

Ini seperti ditegaskan Rasulullah saw yang bermaksud: "Tiada kebaikan bagi sesiapa yang tidak menerima tetamu." Amalan mengundang tetamu dan menikmati hidangan bersama-sama ini juga adalah amalan nabi-nabi.

Misalnya, diriwayatkan Nabi Ibrahim akan berjalan sejauh sebatu atau dua batu untuk mencari orang yang akan bersama-sama dengannya.

Sikap ditunjukkan Nabi Ibrahim ini menunjukkan betapa penting kita menjemput orang lain menjadi tetamu dan menikmati hidangan bersama-sama.

Apatah lagi, jika mengadakan majlis meriah seperti majlis perkahwinan, jamuan hari raya atau majlis seumpamanya seperti kenduri kesyukuran dan sebagainya. Di sini juga letaknya keutamaan atau kepentingan memberi makan khususnya kepada golongan fakir dan miskin.

Dalam perkara ini, Rasulullah pernah ditanya,yang bermaksud: `Apakah iman itu? Jawab Baginda: `Menghidangkan makanan dan mengucapkan salam.' Dalam menjemput atau mengundang orang lain sebagai tetamu, kita diingatkan supaya tidak membebankan tetamu dengan sesuatu perkara hingga menyusahkannya.

Umpamanya, menetapkan sesuatu peraturan ketika berada di rumah kita hingga membuatkan tetamu berasa tidak selesa. Ataupun, kita memintanya membawa hadiah atau melakukan sesuatu yang jika tidak dilakukan akan menyebabkan marah.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Janganlah kamu membebankan tetamu atau kamu memarahinya dan sesungguhnya orang yang memarahi tetamu, dia memarahi Allah dan sesiapa yang memarahi Allah, maka Allah murkainya."

Perbuatan memarahi tetamu atau menyebabkan dia berasa tidak selesa. Ia bukan saja bertentangan dengan tata cara ditetapkan Islam, malah menunjukkan yang kita tidak menghormati tetamu.

Sedangkan, menghormati tetamu amat dituntut Islam. Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang menghormati tetamu, maka ia menghormatiku dan sesiapa menghormatiku, maka dia memuliakan Allah dan sesiapa memarahi tetamu, maka dia marah kepadaku dan sesiapa yang marah kepadaku, maka dia memarahi Allah."

Seterusnya, dalam mengundang tetamu juga, kita hendaklah mengutamakan golongan yang bertakwa atau lebih tepat lagi, orang berakhlak mulia, di samping golongan fakir dan miskin. Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Pastikan bahawa makanan kamu dimakan orang yang baik-baik."

Dalam hadis lain pula, Rasulullah bersabda yang bermaksud : "Seburuk- buruk makanan adalah makanan (di majlis) kenduri yang hanya dijemput golongan kaya dan mengetepikan golongan fakir." Begitu juga dengan usaha mengundang dan menghidang makanan untuk golongan fakir dan miskin.

Dalam hadis yang diriwayatkan Abu Sa'id, katanya Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Setiap orang Islam yang memberikan pakaian kepada orang Islam lain yang tidak berpakaian, maka Allah akan memberikannya pakaian daripada pakaian hijau di syurga; dan setiap orang Islam yang memberi makan orang Islam lain yang dalam keadaan lapar, maka Allah akan memberikannya makanan daripada buah-buahan dari syurga. Setiap orang Islam yang memberi minum kepada orang Islam lain, maka Allah akan memberikannya minum daripada minuman yang termeteri bekasnya."

Selain golongan fakir dan miskin, kita diingatkan supaya tidak melupakan saudara terdekat kerana tindakan mengabaikan atau mengetepikan mereka hanya akan menyebabkan tersinggung atau melukakan hati mereka.

Lebih buruk lagi, jika ia mengeruhkan hubungan. Sebaik-baiknya, kita dapat menjemput semua tetamu mengikut keutamaan mereka, iaitu bermula dengan terdekat tidak kira sama ada mereka kaum kerabat, sahabat atau kenalan.

Di samping itu, kita diingatkan supaya tidak mengadakan majlis atau menjemput tetamu ke rumah semata-mata untuk bermegah atau menunjuk-nunjuk.

Sifat yang buruk ini hanya mendatangkan kerugian kerana Allah tidak menerima perbuatan mengundang tetamu itu sebagai ibadat dan tidak akan memperoleh keberkatan.

Sebaliknya, kita hendaklah membahagiakan dan menggembirakan hati saudara seIslam serta menurut sunnah Rasulullah.

Dalam memenuhi undangan juga, kita diingatkan agar tidak menjadikan jarak sebagai halangan kerana ia hanyalah pada adat.

Dalam kitab Taurat atau sesetengah kitab lain menyebut: "Berjalanlah kamu sebatu untuk menziarahi pesakit, berjalanlah kamu dua batu untuk mengiringi jenazah, berjalanlah kamu tiga batu untuk memenuhi undangan dan berjalanlah empat batu untuk menziarahi saudara di sisi Allah."

Perkara ini menunjukkan kita digalakkan memenuhi undangan dan menziarahi saudara walaupun jaraknya jauh.

Adab terakhir adalah menghadiri sesuatu majlis bukan dengan niat memuaskan nafsu makan semata-mata kerana ia akan mendorong kita cenderung kepada hal-hal keduniaan. Sebaliknya, kehadiran kita biarlah dengan niat yang baik.

Mudah-mudahan, kita akan mendapat ganjaran yang baik di dunia dan akhirat.

Memuliakan Tetamu

Memuliakan Tetamu
Dari Abu Hurairah R.A katanya: “ Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari kiamat, maka janganlah dia menyakiti tetangganya. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari kiamat, hendaklah dia memuliakan tetamunya. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari kiamat, hendaklah dia berkata yang baik atau diam.”
–         hadith riwayat Muslim

Hadith ini membicarakan tentang suruhan Allah:
  1. menghormati jiran tetangga
  2. memuliakan tetamu
  3. berkata yang baik-baik
Namun, untuk posting kali ini saya hanya ingin menyentuh berkenaan dengan suruhan memuliakan tetamu.
Maksud Tetamu.
Maksud tetamu dari sudut bahasa secara ringkasnya bermaksud: seorang yang menziarahi seseorang samada dijemput atau tidak dijemput.
Hebatnya tetamu.
Sungguh hebat orang yang bergelar tetamu ini. Sehinggakan Allah memuliakan mereka setinggi itu. Sehinggakan Allah dengan tegas membuat pertimbangan yang begitu besar agar memuliakan tetamu dan meletakkan nilainya sama dengan Beriman Kepada Allah dan Hari Kemudian (kiamat). Dengan erti kata lain, seseorang itu belum boleh disebut beriman selama mana ia tidak memuliakan tetamunya. Ini adalah kerana tetamu yang datang menziarahi sudah semestinya mempunyai tujuan dan maksud yang tertentu.
Perintah memuliakan tetamu ini disebut secara am. Ianya tidak disebut tetamu muslim, tetamu kaya, tetamu berpangkat dan sebagainya. Ini bermakna tugas kita memuliakan tetamu tanpa mengira tetamu itu miskin atau kaya, hodoh atau cantik, pangkat rendah atau berpangkat tinggi, bukan Muslim atau Muslim. Semua yang bertandang wajiblah dimuliakan.
Ada beberapa kisah dan hadith berkenaan perkara ini:
Kisah 1
Pernah diriwayatkan bahawa Nabi Allah Sulaiman A.S pernah ditegur oleh Allah SWT kerana melayan tetamu dengan tidak sepenuh hati.
Pada suatu hari Nabi Sulaiman AS telah dikunjungi oleh seorang tetamu. Dia adalah seorang yang kafir. Baginda pada waktu itu berfikir bahawa tidak perlu tetamu itu dimuliakan dan dihargai sepertimana tetamu dari kalangan pengikutnya kerana dia adalah seorang yang kafir. Lantas baginda hanya menghidangkan tetamunya dengan minuman dan bercakap dengan seadanya.
Sekembalinya tetamu itu, baginda telah didatangi malaikat Jibril A.S menyampaikan teguran Allah: “Wahai Nabi Allah, Allah menegurmu, mengapa engkau melayan tetamu seperti itu ?
Jawab nabi Sulaiman:”Bukankah dia (tetamu itu) dari golongan kafir?”
Jibril bertanya:”Siapakah yang menciptakan langit dan bumi ini?”
“Allah!” Jawab Nabi Sulaiman penuh yakin.
Jibril : “Siapakah yang menciptakan malaikat, jin dan manusia?”
Nabi Sulaiman : “Allah!”
Jibril :”Siapakah yang menciptakan tumbuh-tumbuhan dan haiwan-haiwan?”
Nabi Sulaiman :”Allah!”
Jibril :”Siapakah yang menciptakan orang kafir itu?”
Nabi Sulaiman :”Allah!”
Jibril : “Lalu, berhakkah engkau berlaku tidak adil terhadap ciptaan Allah? Sementara Allah adalah zat Yang Maha Adil?” Nabi Sulaiman A.S terdiam dan terus bersujud”.
Nabi Sulaiman : “Ya, Allah! Ampunilah hamba-Mu yang telah berbuat zalim ini.”
Kemudian malaikat Jibril menyampaikan wahyu Allah:”Wahai nabi Allah, pergilah dan pohonlah kemaafan kepada orang itu. Ampunan Allah tergantung daripada kemaafannya.”.
Dengan segera Nabi Sulaiman mencari tetamunya tadi. Setelah bertanya ke sana ke mari dan mencari-cari, ternyata, tetamunya itu sudah jauh berjalan meninggalkan kota. Nabi Sulaiman A.S dengan pantas mengejar tetamunya itu. Setelah bertemu, dan dengan nafas yang masih termengah-mengah, baginda berkata: “Saudara, tunggu…!”
Tetamu tadi menoleh dan melihat keadaan Nabi Sulaiman dengan kehairanan lalu bertanya: “Kenapa?”
“Saudara… sudikah kamu memaafkan tingkah laku saya tadi, ketika mana kamu menjadi tetamu di rumah saya tadi?”
Orang itu diam. Jauh di sudut hatinya, sebenarnya dia merasa wajar diperlakukan seperti itu, kerana dia memang bukan termasuk di dalam golongan pengikut Nabi Sulaiman. Dia tidak menerima ajaran Tauhid yang dibawa oleh baginda.
Tetapi dia terus juga bertanya: “Kenapa, wahai Sulaiman?”
“Allah menegurku, setelah engkau pulang dari kediamanku.”
“Allah? Siapakah dia?” Tetamu itu bertanya.
“Allah adalah Tuhan, Tuhan Kami dan Tuhan Engkau, Yang menciptakan langit dan bumi, dan semua isinya. Dia yang menciptakan malaikat, jin dan manusia. Dia Maha Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya.”
“Lalu, kenapa Dia menegurmu?” Tetamu itu terus bertanya.
“Allah menegurku, kerana aku sudah tidak berlaku adil terhadapmu. Aku tidak memuliakanmu sebagai tetamu. Allah yang Maha Kuasa selalu bersifat adil terhadap semua hamba dan ciptaan-Nya, mengapa aku berlaku tidak adil terhadapmu?” Nabi Sulaiman menerangkan keadaan sebenar.
“Sebegitukah Tuhanmu wahai Sulaiman, memperlakukan aku, walaupun aku bukan dari golonganmu?” Tetamu itu bertanya penuh taajub.
“Iya…! Maafkan sikapku tadi wahai saudara, ampunan Allah tergantung dengan kemaafanmu” Nabi Sulaiman meminta.
“Saksikanlah, wahai Sulaiman! Asyhadu alla ilaa ha illallah, Wa anta Rasulullah!” ucap si tetamu.
Orang itu memeluk nabi Sulaiman a.s. Nabi Sulaiman pun memeluk tetamunya itu dengan penuh rasa terharu.
Sebenarnya bila Allah memerintahkan kita berbuat sesuatu ataupun meninggalkan sesuatu pasti akan ada hikmahnya yang besar di sebaliknya. Lihatlah, dengan hanya memuliakan tetamu bisa membuatkan hati seorang kafir menjadi lembut dan menerima Islam.
Kisah 2
DIKISAHKAN bahwa ketika berlakunya kekurangan makanan dalam kalangan Bani Israil, maka lalulah seorang fakir menghampiri rumah seorang kaya dengan berkata: “Sedekahlah kamu kepadaku dengan sepotong roti dengan ikhlas kerana Allah.”
Setelah fakir itu berkata demikian, maka keluarlah anak gadis orang kaya, lalu memberikan roti yang masih panas kepadanya.
Sebaik gadis itu memberikan roti itu, maka keluarlah bapa gadis berkenaan yang bakhil terus memotong tangan kanan anak gadisnya hingga putus.
Sejak peristiwa itu, Allah mengubah kehidupan orang kaya itu dengan menarik kembali harta kekayaannya hingga dia menjadi seorang yang fakir. Akhirnya, dia meninggal dunia dalam keadaan yang paling hina.
Anak gadis itu menjadi pengemis dan meminta-minta dari rumah ke rumah. Maka pada suatu hari anak gadis itu menghampiri rumah seorang kaya sambil meminta sedekah, maka keluarlah seorang ibu dari rumah itu.
Ibu itu terpegun dengan kecantikannya dan mempelawa anak gadis itu masuk ke rumahnya. Ibu itu sangat tertarik dengan gadis itu dan berhajat untuk mengahwinkan anaknya dengan gadis berkenaan. Maka, selepas perkahwinan itu selesai, si ibu itu pun memberikan pakaian dan perhiasan bagi menggantikan pakaiannya.
Pada suatu malam apabila sudah dihidang makanan malam, maka si suami hendak makan bersamanya. Anak gadis itu kudung tangannya dan suaminya juga tidak tahu bahwa dia kudung kerana ibunya merahsiakan perkara itu. Apabila suaminya menyuruh dia makan, lalu dia makan dengan tangan kiri.
Apabila suaminya melihat keadaan isterinya itu dia pun berkata: “Aku mendapat tahu bahwa orang fakir tidak tahu dalam tata cara harian, oleh itu makanlah dengan tangan kanan dan bukan dengan tangan kiri.”
Selepas si suami berkata demikian, maka isterinya itu tetap makan dengan tangan kiri, walaupun suaminya berulang kali memberitahunya.
Dengan tiba-tiba terdengar suara dari sebelah pintu: “Keluarkanlah tangan kananmu itu wahai hamba Allah SWT, sesungguhnya kamu telah mendermakan sepotong roti dengan ikhlas kerana-Allah, maka tidak ada halangan bagi-Allah SWT memberikan kembali akan tangan kananmu itu.”
Setelah gadis itu mendengar suara itu, maka dia pun mengeluarkan tangan kanannya dan mendapati tangan kanannya berada dalam keadaan asalnya. Dia pun makan bersama suaminya dengan menggunakan tangan kanan.
Hendaklah kita sentiasa menghormati tetamu kita, walaupun dia fakir. Sesungguhnya apabila dia datang ke rumah kita, maka dia adalah tetamu kita.
Hadith 1

Ada satu hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, dari Abu Hurairah, beliau berkata: “Pernah datang seorang lelaki kepada Nabi, lalu berkata: ‘Sesungguhnya aku sangat lapar’.
Baginda pun menyuruh seseorang untuk meminta bantuan kepada salah seorang isteri Baginda, namun isteri Baginda berkata: Demi Tuhan yang mengutusmu dengan kebenaran, aku tidak memiliki apa-apa selain air.
Baginda pula lalu menyuruh seseorang untuk meminta bantuan kepada isteri Baginda yang lain, namun isteri Baginda ini juga mengatakan hal yang sama, sehingga semua isteri Baginda juga mengatakan hal yang sama, iaitu: Demi Tuhan yang mengutusmu dengan kebenaran, aku tidak memiliki apa-apa selain air.
Nabi lalu berkata kepada sahabat: Adakah daripada kamu yang mahu menjamu orang ini malam ini? Seorang daripada kalangan Ansar berkata: Saya, wahai Rasulullah. Seterusnya, orang itu pun membawa orang tadi ke rumahnya. Sesampai di rumah, dia berkata kepada isterinya: Muliakanlah tetamu Rasulullah ini.
Dalam riwayat lainnya disebutkan bahawa dia berkata kepada isterinya: Adakah engkau mempunyai makanan? Isterinya menjawab: Tidak, kecuali hanya sebatas yang cukup untuk makan anak-anak kita.
Dia berkata: Lakukanlah sesuatu yang boleh membuat mereka lupa makan. Jika mereka teringat minta makan, maka dodoikanlah mereka. Seterusnya, jika tetamu kita sudah siap untuk bersantap apa yang kita hidangkan, padamkanlah lampunya dan tunjukkanlah tanda bahawa kita seakan-akan juga ikut makan.
Akhirnya, mereka duduk bersama di ruang makan dan tetamu itu pun menyantap makanan, sementara tuan rumah melalui malam harinya dengan perut kosong. Pagi harinya, orang Ansar tadi melaporkan apa yang diperbuatnya semalam kepada Nabi dan Baginda berkata: Sesungguhnya Allah merasa gembira terhadap apa yang kamu lakukan terhadap tetamu kamu malam tadi.”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Lihatlah betapa para sahabat sezaman Rasulullah begitu menghormati tetamu melebihi kaum keluarga sendiri demi mengharap keredhaan Allah.
Hadith 2

Lagi Hadith tentang memuliakan tetamu ini:
Dari Abu Syuraih Al ‘Adawi r.a. katanya :
“Kedua telinga saya mendengar dan kedua mata saya melihat, ketika Rasulullah s.a.w. berkata, beliau bersabda:
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya jamuan tambahannya.”
Mereka bertanya : “Apakah jamuan tambahan itu ya Rasulullah”
Beliau menjawab : “Sehari dan malamnya” Menerima tamu itu hanya tiga dan barang siapa yang lebih dari itu, adalah sedekah.”.
Beliau bersabda lagi : “Sesiapa yang ada beriman
kepada Allah dan hari kemudian , maka hendaklah
dia mengucapkan perkaan yang baik atau diam saja”.
(Hadis sahih riwayat Muslim)
Dalam hadith ini Rasulullah telah menerangkan tentang layanan istimewa terhadap tetamu dan tempoh masa yang WAJIB (3 hari) melayan tetamu dengan layanan yang istimewa.
Walaupun Islam begitu menitik beratkan perihal memuliakan tetamu, namun Islam juga melihat kepada tuan rumah ataupun orang yang menerima tetamu di mana tamu tidak boleh memberati atau menyusahkan tuan rumah.
Hadith 3
Dari Abu Syuraih Al Khuza’i r.a katanya :
“Rasulullah s.a.w. bersabda : “Menerima tamu tiga hari dan jamuan tambahannya sehari semalam. Tidak halal bagi seorang Muslim bertamu dirumah saudaranya sampai menyebabkan saudaranya berdosa.”
Sahabat bertanya: Bagaimana caranya dia berdosa?
Baginda menjawab : “Dia masih tinggal dirumah saudaranya itu, sedang saudara itu tidak mempunyai apa-apa untuk menyediakan makannya.”
– Hadis sahih riwayat Muslim
Mengikut hadith ini tidak halal ataupun berdosa jika tetamu terlalu lama menjadi tetamu tuan rumah (melebihi 3 hari) sehinggakan menyusahkan tuan rumah untuk memenuhi layanan.
Hadith 4
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa menghormati tetamu, menghormatiku, maka sesungguhnya dia telah memuliakan Allah. Dan barang siapa telah menjadi kemarahan tetamu, dia telah menjadi kemarahan Alah SWT . Dan barang siapa menjadikan kemarahanku, sesungguhnya dia telah menjadikan murka Allah.”
Hadith 5
Sabda Rasulullah lagi yang bermaksud: “Sesungguhnya tetamu itu apabila dia datang ke rumah seseorang mukmin itu, maka dia masuk bersama dengan seribu berkah dan seribu rahmat.”
Adab-adab layanan kepada tetamu.
Dalam melayan tetamu yang bertandang, ada adab-adab yang perlu dijaga seperti :
Memberikan layanan yang baik
  • menyambut dan mengalu-alukan kedatangan mereka, kalau boleh di muka pintu atau di halaman rumah
  • Sebagai tuan rumah, kita hendaklah menjemput tetamu masuk dan menunjukkan kemesraan dengan muka yang manis.
  • Wajib menutup aurat.
  • Menggunakan bahasa yang sopan dan baik ketika bercakap.
  • Menyediakan tempat duduk yang selesa dan bersih.
  • Mengiringi tetamu ke muka pintu ketika hendak pulang.
Menyediakan jamuan mengikut kemampuan
  • Menyediakan makanan dan minuman yang terbaik mengikut kemampuan.
  • Makan bersama-sama tetamu.
  • Jaga tingkah laku ahli keluarga ketika makan bersama-sama tetamu.
  • Jangan mengemas meja makan sebelum tetamu selesai makan.
Bersifat ikhlas dan berlapang dada
  • Gembira dan berlapang dada atas kedatangan tetam
  • Tidak merasa kedatangan mereka mengganggu perjalanan kehidupan dan aktiviti harian kita.
Menyediakan kemudahan yang baik kepada tetamu mengikut kemampuan
  • Menyediakan keperluan tandas dan bilik air yang bersih kepada tetamu
  • Memberi keselesaan kepada tetamu seperti kipas angin dan sebagainya mengikut kemampuan
Adab-adab yang tersenarai ini adalah yang terlintas di fikiran saya semasa mengarang posting ini. Ada banyak lagi perkara-perkara yang baik yang sepatutnya kita lakukan kepada tetamu kita mengikut keadaan yang tertentu.
Hikmah Memuliakan Tetamu

Antara hikmah-hikmah suruhan Allah ini adalah :
  • Ia adalah sunnah Rasulullah dan suruhan Allah – membuatnya anak diberi ganjaran oleh Allah.
  • Dengan sikap memuliakan tetamu ia akan lebih mengeratkan tali silaturrahim dan mengekalkan ukhuwwah sesama manusia (baik muslim maupun bukan Islam)
  • Ia akan menolong tetamu yang dalam musafir terutama dari aspek tempat tinggal,  makan minum dan keperluan asa yang lain.
  • Ia akan meninggikan darjat diri tuan rumah yang mana dia akan dimuliakan orang.
  • Sikap ini akan meninggikan lagi syiar Islam di mana orang-orang bukan Islam akan dapat melihat tingginya akhlak seorang muslim dan ini akan sedikit sebanyak menarik minatnya kepada Islam
  • Orang yang melayan tetamunya akan sentiasa murah rezeki dan mendapat rahmat dari Allah
  •  Orang yang memuliakan tetamu akan mendapat pahala sedeqah atas layanan yang diberikan kepada tetamunya.

Konklusi
Allahuakbar. Besarnya hikmah-hikmah yang tersembunyi disebalik perintah Allah menyuruh kita ummat Islam memuliakan tetamu.
Di sini saya menyeru kepada diri saya sendiri dan juga pembaca  blog sekelian supaya amalkanlah sikap memuliakan tetamu. Percayalah, apa yang kita bagi baik tenaga maupun harta benda yang kita korbankan untuk di berikan kepada tetamu dengan ikhlas demi melaksanakan perintah Allah, setiap satunya akan di balas Allah dengan kebaikan.
Jauhilah sikap bermasam muka kepada tetamu. Kepada suami dan bapa, didiklah isteri dan anak-anak kita untuk turut sama memuliakan tetamu. Tidak perlulah membuat pelbagai alasan (sehinggakan ada yang sanggup menipu hanya sekadar untuk mencipta alasan) untuk mengelakkan daripada menerima tetamu ataupun supaya tetamu memendekkan waktu ziarah. Dengan perbuatan ini bukan sahaja mendapat dosa bercakap bohong malah rahmat Allah juga akan meninggalkan kita.
Kepada kawan-kawan saya yang pernah bertandang ke rumah saya yang tidak seberapa ini, maafkan saya jika layanan sebelum ini tidak memuaskan hati. Jangan jemu datang lagi. insyaAllah selepas ini saya akan cuba memberikan yang terbaik mengikut kemampuan saya kepada anda sebagai tetamu saya. Moga usaha ini akan mendapat ganjaran seperti yang dijanjikan olehNya. Amiin.
Kepada sahabat-sahabat saya yang pernah menjadi tuan rumah sewaktu saya menjadi tetamu, terima kasih yang tidak terhingga diucapkan. Maaf jika saya menyusahkan sahabat.

Wallahua’lam.

2 ulasan:

Nurdiana Aniff berkata...

Trima kasih.. Sangat bermanfaat..

Unknown berkata...

Alhamdulillah ..perkongsian yg amat bermnfaat..terima.kasih..